Tafsir Surah Muzzammil Ayat 13 – 19 (Kisah Hari Kiamat)

Ayat 13: Allah sambung menceritakan azab yang akan dikenakan kepada orang yang degil dan menentang dakwah Rasulullah.

وَطَعامًا ذا غُصَّةٍ وَعَذابًا أَليمًا

Sahih International

And food that chokes and a painful punishment –

Malay

Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

وَطَعَامًا ذَا غُصَّةٍ

Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik,

Ini adalah sambungan dari azab yang dikenakan kepada mereka yang mendustakan kebenaran. Mereka dikenakan dengan azab makanan yang tak masuk terus dalam perut dan tak boleh luah balik. Maknanya, makanan itu terus lekat di halqum.

Antaranya buah Zaqqum yang berduri yang akan diberikan kepada mereka dan makanan itu akan melekat di tekak. Kalau tulang ikan terlekat sekejap di tekak pun kita dah terseksa, bukan?

 

وَعَذَابًا أَلِيمًا

dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ditambah lagi dengan azab yang pedih. Ini adalah sesuatu yang amat menakutkan. Tidak disebut dengan jelas apakah ia, kerana akal kita tidak dapat nak menerimanya kerana teruk sangat. Tidak dapat dibayangkan oleh akal. Kalau Allah sebut pun, kita tidak dapat nak bayangkan.


 

Ayat 14: Ayat 14 – 19 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia memberi perbandingan Kerasulan Musa dan Muhammad.

يَومَ تَرجُفُ الأَرضُ وَالجِبالُ وَكانَتِ الجِبالُ كَثيبًا مَهيلًا

Sahih International

On the Day the earth and the mountains will convulse and the mountains will become a heap of sand pouring down.

Malay

(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur), dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.

 

يَوْمَ تَرْجُفُ الْأَرْضُ وَالْجِبَالُ

pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur),

Allah membayangkan kepada kita bagaimana keadaan pada Hari Kiamat nanti. Bumi dan gunung ganang akan bergoncang lebih teruk lagi dari gempa bumi. Supaya kita takut dan kembali kepadaNya. Ini kerana goncangan yang kuat amat menakutkan manusia. Mereka yang mengalami gempa bumi akan teringat teruknya keadaan itu.

 

وَكَانَتِ الْجِبَالُ كَثِيبًا مَّهِيلًا

dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang bersepah.

Sekarang gunung ganang itu kukuh, tapi akan jadi kumpulan tanah sahaja. Ini adalah adalah kerana goncangan Hari Kiamat itu amat kuat. Sampai gunung ganang yang kukuh pun akan hancur. Tinggal pasir sahaja nanti yang bersepah.

Bangsa Arab tinggal di kawasan yang berbukit bukau dan bergunung ganang. Allah beri perumpamaan kepada mereka dengan sesuatu yang mereka biasa lihat. Supaya mereka boleh membayangkan bagaimana kejadian Hari Kiamat itu nanti.


 

Ayat 15:

إِنّا أَرسَلنا إِلَيكُم رَسولًا شاهِدًا عَلَيكُم كَما أَرسَلنا إِلىٰ فِرعَونَ رَسولًا

Sahih International

Indeed, We have sent to you a Messenger as a witness upon you just as We sent to Pharaoh a messenger.

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu, seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا إِلَيْكُمْ رَسُولًا شَاهِدًا عَلَيْكُمْ

Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu

Rasul akan bersaksi yang baginda telah menyampaikan ajaran yang sepatutnya baginda sampaikan.

Baginda juga menjadi saksi ke atas amalan yang kita buat, sama ada amalan itu sunnah atau bidaah. Apabila ditanya tentang perbuatan amal ibadat bidaah yang kita lakukan, baginda akan ditanya sama ada baginda ada ajar amalan itu, dan baginda akan jawab yang baginda tidak ajar pun. Lalu, apa lagi alasan kepada pembuat amalan bidaah?

 

كَمَا أَرْسَلْنَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ رَسُولًا

sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.

Sebagaimana Allah telah mengutus seorang Rasul kepada Firaun, begitu juga Allah telah mengutus seorang Rasul kepada penduduk Mekah. Dalam ayat ini, penduduk Mekah dibandingkan dengan Firaun. Kerana begitu teruknya mereka. Kerana Firaun itu degil, begitu juga kebanyakan dari mereka.


 

Ayat 16:

فَعَصىٰ فِرعَونُ الرَّسولَ فَأَخَذناهُ أَخذًا وَبيلًا

Sahih International

But Pharaoh disobeyed the messenger, so We seized him with a ruinous seizure.

Malay

Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksanya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.

 

فَعَصَىٰ فِرْعَوْنُ الرَّسُولَ

Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu,

Rasul yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Musa. Seperti selalu, Allah selalu menceritakan tentang Nabi Musa dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ada persamaan antara perjuangan dan cabaran yang dihadapi oleh Nabi Musa dan Nabi Muhammad. Dugaan yang Nabi Muhammad hadapi hampir sama dengan dugaan yang dihadapi oleh Nabi Musa.

Sepertimana Firaun menderhaka kepada Nabi Musa, Musyrikin Mekah juga telah menderhaka kepada Nabi Muhammad. Maka, Allah nak beritahu kepada mereka, apakah kesan kepada mereka kalau mereka menderhaka kepada baginda.

 

فَأَخَذْنَاهُ أَخْذًا وَبِيلًا

lalu Kami menyeksanya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.

Firaun dan pengikutnya telah dilemaskan dalam laut. Azab itu adalah amat berat sekali. Diceritakan dengan panjang lebar di dalam surah-surah yang lain.

Ini adalah ayat ancaman kepada penduduk Mekah. Kalau mendustakan Nabi Musa pun kena azab, maka kalau dustakan Nabi Muhammad lebih teruk lagi kerana Nabi Muhammad lebih mulia. Maka, mereka disuruh supaya beringat-ingat. Jangan fikir kesenangan di dunia sahaja. Apa yang mereka lakukan itu akan mendapat balasannya di akhirat kelak.


 

Ayat 17:

فَكَيفَ تَتَّقونَ إِن كَفَرتُم يَومًا يَجعَلُ الوِلدانَ شيبًا

Sahih International

Then how can you fear, if you disbelieve, a Day that will make the children white- haired?

Malay

(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu – kalau kamu kufur ingkar – (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?

 

Maka bagaimana kamu dapat ‘menyelamatkan diri kamu’ kalau kamu kufur ingkar kepada hari yang huru-haranya sampai menyebabkan kanak-kanak menjadi beruban? Maknanya teruk sangat hari itu sampai kanak-kanak pun sampai beruban kepalanya kerana risau sangat.

Ayat ini menempelak mereka yang tidak beriman – bagaimana lagi mereka nak menyelamatkan diri mereka kalau mereka tak takut kepada hari yang amat menakutkan itu? Kalau tak takut dengan Hari Kiamat, memang susah nak beriman.

Atau, bagaimana kamu nak selamatkan diri kamu pada hari kiamat itu kalau tidak percaya yang ianya akan terjadi? Kalau kita tak percaya kepada Hari Kiamat, tentu kita tidak takut dengannya.

Teruk sangat hari itu, sampaikan kanak-kanak pun boleh jadi beruban. Ini adalah kerana kepayahan dan huru hara pada hari itu yang akan menyebabkan rambut seorang kanak-kanak sampai beruban dan nampak tua. Kalau kita susah hati, ianya memang sampai boleh menyebabkan rambut beruban. Sebagaimana ada satu hadis yang Nabi Muhammad memberitahu bahawa ada lima surah yang berat sampaikan menyebabkan rambut Nabi beruban. Ini disebut dalam Sunan Tirmizi:

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ، حَدَّثَنَا مُعَاوِيَةُ بْنُ هِشَامٍ، عَنْ شَيْبَانَ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رضى الله عنه يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ ‏.‏ قَالَ ‏ “‏ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلاَتُ وَ عمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لاَ نَعْرِفُهُ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ عَبَّاسٍ إِلاَّ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ ‏.‏ وَرَوَى عَلِيُّ بْنُ صَالِحٍ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ نَحْوَ هَذَا ‏.‏ وَرُوِيَ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ أَبِي مَيْسَرَةَ شَيْءٌ مِنْ هَذَا مُرْسَلاً ‏.‏

Abu Ishaq meriwayatkan from Ikrimah, dari Ibn Abbas yang berkata:
“Abu Bakr berkata: ‘Ya Rasulullah! Rambutmu telah beruban.’ Baginda menjawap: ‘Aku telah beruban kerana (Surah) Hud, Al-Waqi`ah, Al-Mursalat dan `Amma Yatasa’alun and Idhash-Shamsu Kuwwirat.’”

Kenapa kanak-kanak sampai beruban? Ada yang kata kerana lamanya di Mahsyar adalah selama 50 ribu tahun. Sampaikan sesiapa yang mati muda pun akan jadi tua kerana lamanya jangkamasa di Mahsyar.

Keduanya, kerana kesusahan yang dihadapi pada hari itu. Kalau kita lihat kanak-kanak di yang hidup susah, cahaya keanakan pun telah hilang dari wajah mereka. Mereka nampak lebih tua dari umur sebenar mereka. Kerana trauma kehidupan yang mereka lalui. Dan kepayahan Mahsyar lagi teruk tidak dapat dibandingkan.


 

Ayat 18:

السَّماءُ مُنفَطِرٌ بِهِ ۚ كانَ وَعدُهُ مَفعولًا

Sahih International

The heaven will break apart therefrom; ever is His promise fulfilled.

Malay

Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya.

 

السَّمَاءُ مُنفَطِرٌ بِهِ

Langit akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu.

Allah sambung lagi menceritakan kedahsyatan pada hari itu. Langit yang nampak kukuh pada pandangan mata kita sekarang pun akan berpecah. Ini amat menakutkan.

 

كَانَ وَعْدُهُ مَفْعُولًا

(Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya.

Allah takkan ubah fikiranNya. Hari Kiamat itu pasti akan terjadi. Kalau manusia kata dia hendak melakukan sesuatu, ada kemungkinan dia tidak lakukan. Tapi, tidak dengan Allah. Kalau Dia hendak lakukan, Dia pasti akan lakukan. Maka kita tidak dapat nak elak, tidak boleh tidak kena taat juga dengan arahanNya dan meninggalkan segala laranganNya.


 

Ayat 19:

إِنَّ هٰذِهِ تَذكِرَةٌ ۖ فَمَن شاءَ اتَّخَذَ إِلىٰ رَبِّهِ سَبيلًا

Sahih International

Indeed, this is a reminder, so whoever wills may take to his Lord a way.

Malay

Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).

 

إِنَّ هَٰذِهِ تَذْكِرَةٌ

Sesungguhnya ini menjadi peringatan

Peringatan yang dimaksudkan adalah surah ini. Sesiapa yang ada akal, akan menjadikan surah ini sebagai peringatan. Mereka akan rasa takut untuk menghadapi Hari Kiamat dan menghadapi Allah. Mereka akan takut untuk datang kepada Allah dengan dosa yang berkepuk, maka mereka beramal dengan amalan yang sunnah sahaja. Masa nak buat dosa sahaja, teringat ayat-ayat yang menceritakan kedahsyatan hari Kiamat itu.

 

فَمَن شَاءَ اتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِ سَبِيلًا

oleh itu sesiapa yang mahu, hendaklah dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya

Kalau kita hendakkan kebaikan untuk diri kita, kita akan cari jalan yang menuju kepada Allah. Sama ada kita bawa diri kita sendiri atau Allah bawakan kita. Allah bawa kita kepada jalan yang lurus dengan beri hujah yang boleh diterima oleh manusia dan jin. Allah tak paksa manusia untuk beriman, tapi Allah beri asbab kepada kebenaran dalam bentuk hujah dan keadaan.

Contoh, ada orang kafir masuk Islam sebab tidak dapat jawapan dari guru agama mereka. Walaupun mereka lahir kafir, tapi kerana mereka menggunakan akal mereka untuk mencari kebenaran, mereka akan berjumpa.

Oleh itu, kita hendaklah menzahirkan diri kita sebagai hamba kepada Allah. Ini adalah cara yang Allah dah aturkan untuk kita menunjukkan kehambaan kepadaNya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 September 2019


Rujukan:

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment