Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 2] (Maksud nikmat)

Kembali kepada perbincangan ayat Surah Al-Fatihah. Dalam ayat dari Surah Al-Fatihah ini, kita juga boleh lihat penggunaan bahasa yang indah. Ayatnya adalah: Iaitu jalan orang-orang yang ‘Engkau’ telah beri nikmat kepada mereka. Ini menekankan bahawa hidayah itu datangnya dari Allah sahaja. Allahlah yang beri nikmat hidayah kepada mereka. Kita diingatkan yang segala nikmat, datang dari Allah.

Apabila kita tahu yang nikmat itu dari Allah, maka apabila kita baca ayat ini, kita berdoa kepada Allah supaya, sebagaimana Allah telah beri nikmat itu kepada mereka, maka berilah juga kepada kita nikmat yang sama. Inilah harapan kita semasa membaca ayat ini dalam solat dan bila-bila masa sahaja. Kerana Allah sudah beri kepada orang sebelum kita, maka kita nak sama juga. Bukan kita minta lebih pun, tapi yang Allah sudah pernah beri pun.

Kena ingat yang Allah sendiri ajar kita baca doa ini. Maka kita kenalah gunakan cara doa yang Allah sudah ajar ini. Tidak sama kalau kita menyebut doa ini dalam kita faham apa kita cakap dengan tidak faham. Apabila kita faham, ianya lebih menusuk ke dalam kalbu.

Kalau kita memang telah berada atas jalan yang benar, maka kita diingatkan bahawa Allahlah yang meletakkan kita di jalan itu. Tentunya, sedikit sebanyak kita sudah mula berada di atas jalan yang lurus kerana kita sudah Muslim, bukan?

Dan oleh kerana itu, kita kena bersyukur kepada Allah kerana telah meletakkan kita di atas jalan yang lurus ini. Maka apabila kita bangkit pada rakaat kedua dan baca semua Surah Al-Fatihah, maka perkataan ‘alhamdulillah’ itu lebih bermakna buat kita.

Kalau Allah suruh kita ikut jalan itu, tentu itu jalan yang selamat dan sukses. Jadi kita nak jalan macam tu. Kita mahu selamat dan kerana itu kita hendak sesangat Allah letakkan kita di atas jalan itu.

Jadi, jangan pilih jalan yang lain. Jangan ikut mereka yang tidak ikut jalan yang lurus ini. Kita mahu berada atas jalan yang telah dilalui oleh salafussoleh, walaupun sedikit yang ikut. Dari nas yang ada, kita pun tahu bahawa tak ramai yang akan ikut jalan itu.

Maka jangan takut dan lemah semangat kalau kita tengok tidak ramai yang mengikuti jalan itu. Memang itu janji Allah. Jangan takut jadi orang yang asing. Jangan takut kalau fahaman kita tidak sama dengan fahaman majoriti dari masyarakat. Kena cari lagi mereka mahu berada di yang di jalan yang sama. Jangan hirau dengan pandangan orang lain.

Kita kena sedar yang majoriti dari manusia masuk neraka. Maka kita tidak boleh ikut kehendak dan fahaman majoriti dari manusia. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Allah berfirman: “Wahai Adam!” maka dia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah berfirman: “Keluarkanlah dari keturunanmu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah berfirman: “Dari setiap 1000 orang, 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk syurga.” Maka ketika itu para sahabat yang mendengar bergemuruh membicarakan hal tersebut. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah di antara kami yang menjadi satu orang tersebut?” Maka beliau bersabda: “Bergembiralah, kerana kalian berada di dalam dua umat, tidaklah umat tersebut berbaur dengan umat yang lain melainkan akan memperbanyaknya, yaitu Ya’juj dan Ma’juj. Pada lafaz yang lain: “Dan tidaklah posisi kalian di antara manusia melainkan seperti rambut putih di kulit sapi yang hitam, atau seperti rambut hitam di kulit sapi yang putih.” (HR. Bukhari dan Muslim)

 

Apakah ‘nikmat’ itu?

Perkataan أَنۡعَمۡتَ datang dari katadasar ن ع م yang bermaksud ‘dalam keadaan ketenangan’. Ada persamaan dengan perkataan yang diberikan untuk binatang ternak seperti kambing dan lembu. Mereka dipanggil an’am dalam bahasa Arab. Kita pun boleh lihat binatang-binatang itu keadaan mereka adalah tenang sahaja, tidak seperti binatang-binatang buas yang lain.

Ini adalah isyarat bahawa orang-orang yang telah melepasi ujian dalam dunia ini, mereka telah mencapai ketenangan yang Allah berikan kepada mereka. Mereka tidak kelam kabut, kita boleh nampak ketenangan pada wajah mereka. Apa-apa sahaja yang terjadi, mereka akan tenang-tenang sahaja.

Apakah makna ‘nikmat’ itu. Kalau dikatakan ‘nikmat’, tentulah banyak nikmat yang boleh disebut. Antaranya nikmat kekayaan, nikmat kesihatan, kesenangan, pangkat dan sebagainya. Itu semua nikmat juga.

Tapi yang dimaksudkan dalam ayat dari Surah Al-Fatihah ini adalah nikmat yang sebenar. Nikmat yang sebenar bukanlah kehidupan yang senang, kerana bukan itu yang diberi kepada empat golongan yang disambut sebelum ini. Kita pun tahu, bahawa kebanyakan Nabi hidup dalam kemiskinan. Lihatlah kisah Umar melawat Nabi dan nampak baginda tidur atas tukar. Kisahnya begini:

Pada suatu hari Umar bin Khatab R.A. memasuki rumah Rasulullah S.A.W. dan melihat Rasulullah S.A.W. tidur di lantai, tidak ada alas antara Rasulullah dengan lantai. Bayangkanlah Rasulullah S.A.W., makhluk Allah yang paling mulia tidur di lantai.

Ketika Umar bin Khatab R.A. melihat ini, dia mulai menangis. Rasulullah S.A.W. melihatnya dan bersabda “Wahai Umar, kenapa kau menangis?”

Umar berkata “Wahai Rasulullah, aku melihat keadaanmu, kemudian aku ingat bahwa Kaisar Romawi dan Persia tidur di atas bantal sutera yang nyaman. Sedangkan engkau adalah seorang Rasul dan utusan Allah! Manusia terbaik di muka bumi, namun engkau tidur di lantai dan tidak ada alas antara tubuhmu dengan lantai.”

Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Umar bin Khatab. “Wahai Umar, tidakkah kau menerima bahawa kaisar yang baru saja kau sebutkan, tidakkah kau menerima bahawa Allah memberikan mereka dunia, sedangkan Allah memberikan kita syurga? Syurga yang dibuat-Nya sendiri dan disiapkan untuk orang-orang mukmin!”

Jadi, kita bukan nak kejar nikmat kesenangan hidup di dunia. Kerana itu bukan nikmat yang sebenar. Nikmat sebenar adalah iman dan agama. Allah telah berfirman:

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا (٣)

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu Jadi agama bagimu.” (Al-Maaidah: 3)

Lihatlah bagaimana lafaz نِعْمَتِي (nikmatKu) itu dinisbahkan kepada agama. Maknanya, nikmat yang kita hendak adalah dalam hal agama. Kerana kalau agama kita sempurna dan baik, kita akan mendapat nikmat yang lebih besar lagi. Kalau akhirat kita anggap lebih penting dari kehidupan di dunia, maka apa yang terjadi kepada kita dalam dunia, kita akan senang untuk redha. Kerana kita tahu yang nikmat yang sempurna bukannya di dunia, tapi di syurga nanti.

Kita juga tahu bahawa dunia ini penuh dengan ujian dan kesusahan yang kita hadapi adalah salah satu dari ujian yang Allah berikan kepada kita, supaya Dia boleh balas dengan kebaikan di akhirat kelak kerana kita telah melepasi ujianNya. Oleh itu, kita kena tahu tujuan hidup kita di dunia ini. Bukannya bersenang lenang mencari kesenangan dalam kehidupan.

Memang kita mengharap nikmat yang di akhirat nanti. Tapi bukanlah nikmat itu hanya dapat di akhirat sahaja. Di dunia pun sudah boleh dapat. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Nahl:97.

 مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

Kehidupan baik حَيَاةً طَيِّبَةً yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kehidupan di dunia. Tapi bukanlah ia bermaksud harta banyak dan sebagainya, tapi Allah beri ketenangan, kepuasan, kesukaan dengan apa yang mereka ada. Kalau kita puas walau dengan harta yang sedikit, itu sudah kekayaan yang banyak.

Sebab manusia selalunya tidak puas. Kalau ada orang yang ada sejuta Ringgit, mereka mahu dua juta. Yang ada satu billion, nak dua billion pula. Kerana mereka takkan puas dengan apa yang ada. Maknanya, mereka tidak mendapat nikmat yang dimaksudkan dalam ayat Surah Al-Fatihah ini.

Lihatlah juga kata ulama’ yang besar, Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah kata ada syurga di dunia dan tidak akan memasuki syurga akhirat jikalau tidak masuk syurga dunia dahulu.

“Di dunia itu terdapat syurga. Barangsiapa yang tidak memasukinya, maka dia tidak akan memperoleh syurga akhirat.” (Al-Wabilus Shayyib minal kalimit Thayyib, hal. 81)

Ibnul Qayyim (anak murid utama Ibn Taimiyyah) menjelaskan bahawa syurga dunia adalah:

    • mencintai Allah,
    • mengenal Allah,
    • senantiasa mengingat-Nya,
    • merasa tenang dan thuma’ninah ketika bermunajat pada-Nya,
    • menjadikan kecintaan hakiki hanya untuk-Nya,
    • memiliki rasa takut dan rasa harap kepada-Nya,
    • senantiasa bertawakkal pada-Nya dan
    • menyerahkan segala urusan hanya pada-Nya.

(Shahih Al Wabilush Shoyyib, Dar Ibnul Jauziy)

Ibn Qayyim belajar dan mendampingi Ibn Taimiyyah selama 16 tahun. Beliau wafatnya di dalam penjara Qal`ah Dimasyq disaksikan oleh salah seorang muridnya yang menonjol, Al-`Allamah Ibnul Qayyim Rahimahullah. Beliau berada di penjara itu selama dua tahun tiga bulan dan beberapa hari, mengalami sakit dua puluh hari lebih. Selama dalam penjara beliau selalu beribadah, berzikir, tahajjud dan membaca Al-Qur’an.

Walaupun telah dipenjara sebegitu rupa, tapi ianya tidak memberi kesan kepada Ibn Taimiyyah. Kerana hatinya telah mendapat nikmat dari Allah. Ibn Qayyim berkata bahawa kalau mereka mengalami susah hati, mereka akan pergi melawat ibn Taimiyyah dan mereka akan merasa tenang melihat keadaan beliau.

Lihatlah, kalau kita hendak kata nikmat itu adalah nikmat kesenangan dunia, tentulah Ibn Taimiyyah itu hidup senang lenang, tapi tidak. Malah dia telah diberi ujian yang amat berat sekali.

Oleh itu, nikmat yang kita mahu dalam doa kita dalam Surah Al-Fatihah ini adalah nikmat yang tertinggi. Ianya bukan dari harta dan kuasa. Kerana kalau ianya harta dan kuasa, manusia yang jahat pun ramai yang dapat. Seperti Firaun, dia ada harta yang banyak dan kuasa yang besar, tapi tentunya dia tak dapat nikmat yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Oleh kerana kita sudah tahu nikmat ini adalah satu nikmat yang amat tinggi, maka kita kenalah cuba untuk dapatkan. Jangan rasa yang kita tidak layak kerana nikmat ini boleh didapati oleh setiap manusia asalkan mereka mahu berusaha. Dan yang penting, kena doa kepada Allah diberikan nikmat ini kepada kita.

 

Ulama’ ada juga berbincang, adakah orang kafir dapat nikmat? Kalau kita lihat dalam dunia sekarang, yang banyak ada harta dan kesenangan adalah orang kafir. Adakah kita rasa Allah lebih sayang kepada mereka sampaikan mereka dapat lebih lagi dari orang Islam?

Ini kena dijelaskan kerana kalau manusia tidak jelas, mereka akan pandang tinggi kepada orang kafir yang kaya raya dan berjaya itu dan akan cuba untuk mengikuti cara-cara mereka. Ini amat bahaya kerana kalau cara mereka itu bertentangan dengan agama, takkan kita nak ikut pula?

Oleh kerana itu, kita kena faham, segala kelebihan dan nikmat yang didapati oleh orang kafir itu bukanlah nikmat yang sebenarnya, kerana apa yang mereka dapat itu akan memberi azab kepada mereka akhirnya. Kerana dengan kesenangan, kekuasaan dan kekayaan mereka itu, ianya semakin menjauhkan mereka dari agama yang benar.

Dan kita kena faham bahawa, kalau mereka kaya dan senang, bukanlah itu tanda Allah sayang kepada mereka. Ini penting kerana ada fahaman yang salah yang kata, kalau seseorang itu tidak berjaya dalam kehidupan, ada orang yang akan kata, itu sebab dia adalah buat salahlah tu, tidak solatlah tu, harta tidak berkat… dan sebagainya.

Jangan kita terjerumus dengan fahaman yang sebegitu. Itu adalah fahaman orang kafir. Sebagai contoh, Kristian mazhab Protestant berfahaman, kalau seseorang itu kaya, itu tanda tuhan sayang. Itu salah faham dan orang Islam pun ada salah faham begitu. Mereka itu tidak sedar yang kesenangan dan kesusahan adalah ujian. Selalu kita sangka kesusahan itu ujian, bukan? Tapi ketahuilah, kesenangan itu juga ujian.

Kerana selalunya orang yang senang, susah nak ingat Allah. Maka dengan kesenangan hidup keduniaan yang Allah berikan, mereka diuji: sama ada mereka ingat kepada Allah atau tidak.

Dan kerana salah faham dengan konsep ini, menyebabkan ramai orang Islam yang solat kerana mereka hendak rezeki mereka murah, padahal kita sepatutnya solat kerana itu adalah arahan dari Allah. Kalau solat kerana hendak rezeki, itu sudah salah niat. Selalu bukan kita dengar orang ajar Solat Dhuha untuk murah rezeki?

Untuk memahami dengan lebih mendalam, kita kena faham hakikat dunia. Iaitu kita kena tahu betapa rendah nilainya seperti yang Allah telah firmankan dalam An’am 32:

 وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Allah kata kehidupan dunia ini hanya permainan dan hiburan sahaja. Ayat ini adalah tentang orang kafir yang hidup di dunia ini dengan menjadikan ianya sebagai permainan dan melakukan perkara yang sia-sia sahaja. Mereka tidak ada melakukan perkara yang bermanfaat. Sedangkan orang mukmin, akan beramal dan mengumpulkan pahala semasa hidup di dunia.

Bukannya nak kata dunia ini langsung tiada nilai. Maka kena faham apakah maksud ayat ini. Oleh kerana itu, kita tidaklah tolak langsung dunia ini. Boleh kalau nak pakai pakaian yang cantik, kereta yang baik, tapi jangan jadikan ianya sebagai tujuan utama hidup kita. Kita kena tahu yang tujuan hidup kita adalah untuk mencari bekal untuk akhirat. Kena buat amalan kebaikan dengan banyak. Barulah kehidupan kita di dunia ini tidak jadi ‘mainan’ sahaja.

Memang keindahan dunia ini amat merbahaya. Kerana ianya ada sahaja di depan mata kita dan kita hanya nampak dunia sahaja. Walaupun kita sudah banyak baca dan faham apakah kepentingan akhirat, syurga dan neraka, tapi mata kita tidak nampak semua benda-benda ghaib itu. Lain dengan dunia, yang memang kita sedang hadapi setiap hari ini.

Dan kita memang sudah biasa membuat keputusan berdasarkan apa yang kita nampak di hadapan mata kita. Oleh kerana itu, ramai yang terjerumus ke dalam perangkap dunia sampai mereka lupa akhirat, lupa yang akhirnya mereka akan pergi ke sana dan lupa untuk menyiapkan bekal ke sana. Maka jangan kita lebihkan dunia dari akhirat. Ingatlah yang kita tinggal di dunia sekejap ini sekejap sahaja.

Dalilnya, setiap hari ada sahaja orang yang mati. Kita pun tidak lama lagi, akan mati, entah sebentar lagi boleh mati, kita tidak tahu. Oleh kerana dunia ini kehidupan yang sementara sahaja, maka ianya bukan tempat mengaut nikmat. Yang kita hendak terima nikmat yang sebenarnya adalah di syurga nanti. Kalau kita tidak dapat nikmat semasa di dunia ini pun, tidaklah mengapa, asalkan kita mendapat nikmat yang banyak di akhirat nanti.

Ada satu hadis dari Nabi Muhammad yang mengatakan bahawa dunia tidak bernilai walaupun satu sayap nyamuk.

Dari Sahl bin Sa’id as-Sa’idi radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ الله جَنَاحَ بَعُوضَةٍ ، مَا سَقَى كَافِراً مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

“Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir” (HR. Tirmidzi, dan dia berkata: ‘hadits hasan sahih’)

Lihatlah apa kata Nabi kita sendiri, dunia ini tiada nilai. Apa yang boleh buat dengan satu sayap nyamuk? Kalau nyamuk nak terbang pun, kena ada dua sayap baru boleh terbang. Kalau kita sedar hakikat dunia, jadi kita tidak tertipu dengan dunia lagi.

Kesimpulannya, banyak sangat ayat Al-Qur’an dan hadis yang mengingatkan kita supaya jangan fokus kepada kenikmatan dunia sahaja. Kalau kita tumpukan sangat kepada dunia, akhirnya akan mati juga. Semua kena tinggal, termasuk anak pinak, harta benda dan duit yang kita kumpulkan itu.

Kena ingat bahawa tempat tinggal kita yang kekal abadi adalah di akhirat nanti. Oleh kerana itu, nikmat yang kita mahukan adalah di tempat yang kita akan kekal abadi, di syurga, in sha Allah. Maka kena buat persediaan untuk akhirat. Kalau rumah di dunia ini tidak percuma, maka rumah dan istana di akhirat juga tidaklah percuma.

Jadi jangan terkesan sangat dengan apa yang terjadi di dunia ini. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita, kita redha sahaja, terimalah ia sebagai ujian dari Allah. Tapi bukanlah kita suruh tolak terus dunia ini. Kerana kita masih hidup di dunia.

Kita masih lagi perlu makan, berkeluarga dan sebagainya. Para Nabi dan para sahabat pun tidaklah menidakkan keinginan nafsu mereka. Cuma ia perlu dijalankan dalam lingkungan syariat. Dan kita kena ingat yang hati mereka tidak tertakluk kepada dunia. Itulah maksud zuhud yang sebenarnya.

 

Kesimpulan

Jadi kena faham apakah yang kita minta kepada Allah dalam ayat ini. Jangan kita baca sahaja tanpa faham. Dan selepas tahu, kita kena cuba sedaya upaya untuk mencapainya.

Ingatlah juga bahawa sedikit sebanyak kita sudah dapat nikmat yang disebut dalam ayat ini. Kerana kita sekarang sudah mendapat iman dan islam. Maka kita kena bersyukur kepada Allah supaya Dia tambah nikmat itu. Bersyukurlah kepada Allah atas nikmat iman yang telah diberikanNya ini, kerana bayangkan kalau kita sekarang dalam agama lain dan sembah batu, matahari, api dan sebagainya?

Dan majoriti manusia adalah kufur, tapi Dia telah pilih kita sebagai Muslim. Tingkatan iman dan Islam seseorang tentunya tidak sama, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah Muslim, bukan? Bersyukurlah. Cuma kita kenalah memperbaiki diri dan iman kita. Jangan pula rasa sudah selamat kerana rasa sudah Muslim.

Sekian sahaja tentang mereka yang kita kena ikut. Selepas ini kita akan belajar apakah jalan dan sifat yang salah. Ini penting supaya kita mana yang salah kerana kita tahu mana nak kita elak. Kalau nak tahu tentang putih, kita kena bezakan dengan hitam, bukan? Barulah jelas putih apabila dibandingkan dengan hitam.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya. 

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan: 

Jamal Zarabozo

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 2] (Maksud nikmat)”

  1. Assalaamualaikum warohmatullahi wabarokatuh… Mohon penjelasan ttg “dua umat” dlm hadith mengenai “Dari setiap 1000 orang, 999 di neraka dan hanya 1 orang yg masuk syurga” – Jazakallahu khairan

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s