Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 3] (Bukan jalan orang yang dimurkai)

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ

Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai;

Selepas kita meminta hidayah dari Allah dan memberitahu apakah kedudukan yang kita mahu (seperti orang yang Allah telah beri nikmat), maka sekarang ditambah pula dengan golongan yang kita tidak mahu dikaitkan dengan kita. Kita tidak mahu masuk ke dalam golongan ini. Iaitu golongan orang yang dimurkai.

Tapi siapakah mereka itu? Tentu Allah beritahu siapakah mereka itu. Dari hadis, kita dapat tahu bahawa golongan yang dimurkai adalah golongan Yahudi. Ianya juga disebut dalam Al-Qur’an. Jadi kita kena lihat apakah dalil bagi menjelaskan lagi siapakah yang dimurkai itu.

Empat golongan sesat tafsir Quran
Sifat-sifat empat golongan yang dimurkai atau sesat dijelaskan dengan lebih lanjut dalam surah-surah selepas al-Fatihah

Antara tafsir ayat ini, ada dalam ayat al-Maidah:82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَداوَةً لِلَّذينَ آمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَوَدَّةً لِلَّذينَ آمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصارىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Siapakah golongan Yahudi itu? Kita kena ingat yang mereka itu percaya Allah itu adalah Tuhan yang sebenarnya, Nabi Musa itu adalah seorang Rasul mereka dan Kitab Taurat itu dari Allah. Itu mereka tahu, tapi masalahnya ulama’ mereka hanya belajar sikit-sikit sahaja ajaran dari Taurat itu dan selebihnya mereka tinggal.

Yang mereka banyak pakai adalah kitab yang ditulis oleh ulama-ulama mereka – yang dinamakan Talmud dan juga kitab-kitab lain. 

Dan begitu juga, umat mereka percaya Allah Tuhan, Nabi Musa Rasul dan Taurat dari Allah tapi tak pakai semua sekali. Sebaliknya mereka hanya pakai ajaran tok guru mereka sahaja. Macam juga orang kita, percaya Allah itu Tuhan, Nabi Muhammad itu Rasul dan Al-Qur’an itu adalah wahyu untuk kita amalkan, tapi akhirnya tidak amalkan juga.

Memang orang Islam sayang kepada Al-Qur’an, tapi cuma pakai masa nak kahwin, masa mati, masa majlis tertentu dan sebagainya. Itulah cara Yahudi yang dibuat juga oleh orang-orang kita. Kita selalu kutuk orang Yahudi, tapi sebenarnya, tanpa disedari, kita ada banyak sifat-sifat Yahudi dalam diri kita. Inilah yang kita hendak sampaikan sekarang.

Penerangan sifat orang Yahudi ini ada dalam ayat yang panjang iaitu Baqarah:40-141. Keseluruhan ayat-ayat itu adalah hendak menceritakan kepada kita sifat-sifat pendita Yahudi dan sifat-sifat orang Yahudi iaitu pengikut-pengikut mereka.

Ada lagi ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an di merata tempat untuk pengajaran bagi kita supaya kita kenal sifat-sifat mereka dan kaji. Yang pentingnya adalah kita kena periksa sama ada sifat itu adalah persamaan dengan kita. Kerana kalau kita ada sifat-sifat itu, maka kita termasuk dalam golongan mereka juga. Iaitu golongan ‘yang dimurkai’.

Tentu kita tidak mahu dimurkai, bukan? Maka kenalah kita belajar sifat-sifat mereka supaya kita dapat elak.

Ini memang sesuatu yang agak keras untuk disampaikan, tapi kita hendaklah buka minda kita untuk keselamatan kita juga. Kita memang kena belajar tentang mereka sebab memang ada tokoh agama kita yang bersifat seperti pendita-pendita Yahudi itu. Mereka tahu Allah itu Tuhan, Nabi Muhammad adalah Rasul dan Al-Qur’an dari Allah tapi mereka tak pakai ajaran dalam Al-Qur’an dan Hadis Nabi. Mereka hanya menggunakan kitab-kitab tulisan manusia sahaja.

Siapakah Yahudi itu? Mereka adalah keturunan Bani Israil dan siapakah mereka? Bani Israil itu adalah anak cucu Nabi Ya’kub. Nama ‘Israil’ itu sendiri adalah gelaran kepada Nabi Ya’kub. Baginda ada dua isteri. 10 anak dari satu isteri dan dua lagi dari isteri yang muda. Dari isteri muda itulah lahirnya Nabi Yusuf dan Bunyamin. Kisah mereka ada banyak disebut dalam Surah Yusuf.

Bukan sahaja pendita Yahudi itu yang bersalah tapi penganut agama Yahudi itu juga bersalah. Penganut Yahudi itu tidak mahu belajar Taurat tapi mereka hanya terima ajaran dari pendita-pendita mereka dan kitab-kitab yang ditulis oleh ulama mereka yang kononnya adalah agama. Jadi kalau kita pun macam itu juga, hanya ikut kata-kata ustaz-ustaz tanpa belajar dengan Al-Qur’an, maka kita pun macam mereka juga.

Kalimat وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا bermaksud: dan orang-orang yang buat syirik; Yang pertama kita kenal adalah Musyrikin Mekah. Tapi kita jangan lupa bahawa orang Islam yang buat syirik juga boleh dipanggil ‘musyrikin’. Yang jelas nampak syirik adalah mereka yang sembah patung dan berhala seperti Musyrikin Mekah itu. Tapi walaupun orang Islam tidak sembah patung dan berhala dengan jelas, mereka juga ada mengamalkan amalan syirik. Maka, mereka juga musyrikin sebenarnya.

Dari ayat Surah Maidah ini, kita dapat tahu yang paling dekat dengan orang Islam adalah orang Kristian, bukan Yahudi dan musyrikin. Ini kerana tok guru mereka, seperti paderi, ulama-ulama mereka dan rahib-rahib yang bertapa di bukit, tidak sombong. Mereka masih boleh terima kebenaran.

Jadi tafsir bagi ‘orang-orang yang dimurkai’ adalah Yahudi dan juga Musyrikin. Jadi kalau kita buat syirik, kita termasuk dalam golongan yang dimurkai juga. Contoh yang paling mudah kita lihat orang buat sekarang adalah bersanding dalam perkahwinan.

Hadir majlis itu pun sudah syirik. Kerana kita bersekongkol dengan orang buat syirik. Bersanding itu adalah amalan agama Hindu sebagai pemujaan kepada Dewa Sri Rama dan Sita Devi. Ia adalah peringatan kepada majlis perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi. Kalau tengok patung sembahan Hindu berkenaan mereka, memang boleh dilihat ia dalam keadaan bersanding. Siap dalam sesetengah gambar, ada pengapit lagi. Tapi kita pula ikut perbuatan mereka.

Ada juga yang mengatakan bahawa maksud ayat ini bukanlah Allah sahaja yang murka kepada mereka. Memang Allah murka kepada mereka, tapi dari segi bahasa, tidak ada perkataan ‘Allah’ dalam ayat ini. Ia sebenarnya adalah ‘orang-orang yang dimurkai’.

Jadi tidak disebut siapakah yang murka itu. Jadi, bukan hanya Allah sahaja yang murka dengan mereka, tapi para malaikat, orang-orang beriman, dari golongan terdahulu dan kemudian, semuanya murka kepada mereka. Allah terlalu murka kepada mereka, sampai Allah tidak mahu mengaitkan namaNya dengan mereka.

Jadi apakah yang menyebabkan mereka itu dimurkai? Apakah yang menyebabkan sampai mereka itu disebut dalam Surah Al-Fatihah ini sampaikan ayat ini diulang-ulang sampai ke Hari Kiamat? Memang Allah murka kepada mereka seperti yang Allah sebut dalam Baqarah:90.

فَبَآؤُواْ بِغَضَبٍ عَلَى غَضَبٍ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

Kita kena tahu apakah kesalahan mereka supaya kita dapat elak, bukan? Yang paling besar adalah kerana mereka itu tahu kebenaran, tapi mereka tetap tolak kebenaran itu. Kerana mereka bukannya tidak kenal Nabi Muhammad itu Rasul dan Al-Qur’an itu wahyu dari Allah, tapi mereka tetap tolak juga.

Ada orang yang tahu kebenaran, tahu mana salah dan benar, tapi kerana lemah, kurangnya iman, mereka telah melakukan kesalahan. Tapi yang dilakukan oleh Yahudi ini lebih teruk lagi. Kerana mereka itu amat sombong dengan Allah. Mereka rasa mereka itu hebat sangat sampaikan mereka sangka yang mereka tidak akan diazab oleh Allah. Mereka sangka mereka boleh lawan Allah. Mereka sangka Allah tidak azab mereka kerana kononnya mereka itu adalah ‘kesayangan Allah’ (The Chosen Ones).

Ini adalah kerana niat mereka ada salah. Kerana mereka tahu kebenaran tapi niat mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Niat mereka memang jahat dan hendak menentang kebenaran. Mereka memang sengaja nak menolak kebenaran.

Bukanlah semua Yahudi itu dimurkai. Kerana ada dari kalangan mereka itu orang yang baik dan beriman. Dalam ayat-ayat Al-Qur’an ada disebut tentang mereka, tapi Allah hanya sebut secara umum sahaja. Maksudnya tidaklah semua dan setiap orang dari mereka itu dimurkai. Kalau mereka yang memang menentang kebenaran itulah sahaja yang termasuk dalam golongan yang dimurkai itu.

Yahudi dan Nasrani itu memang rapat dengan Muslim dari dulu lagi. Kerana para Nabi dan Rasul mereka pun adalah Rasul dan Nabi kita. Dan Tuhan kita pun sama juga iaitu Allah. Jadi tentulah ada persamaan dan kaitan yang rapat antara ketiga-tiga agama ini (Abrahamic Religion). Dan sampai sekarang pun kita masih rapat dengan mereka. Maksudnya kita selalu berurusan dengan mereka. Ada juga persamaan antara mereka dan kita dan kerana itu selalu sahaja ada dialog antara agama dilakukan.

Kerana rapatnya mereka dengan kita, maka banyak kali Allah ingatkan kita tentang mereka supaya kita jangan terpedaya dengan mereka, kerana kita senang sahaja tertipu dengan mereka. Maka jangan kita terpedaya dengan cara kehidupan mereka dan cara fahaman agama mereka kerana itu akan menyebabkan kita pun dimurkai dan jadi sesat seperti mereka.

 

Penggunaan bahasa yang tepat: 

Kenapa Allah gunakan kalimah غير (bukan) dan bukan لا (tidak) dalam ayat ini? Kerana kalau gunakan kalimah لا, ia tidak berapa kuat kalau dibandingkan dengan غير. Kerana kalau لا sahaja, ia tidak memberi penekanan pada kalimah sebelumnya.

Kalimah لا hanya kata penyambung. Kalau kita pakai contoh ayat begini: “Orang berilmu datang, لا (tidak) orang bodoh”. Maka ini tidak kuat kerana ianya hanyalah kata penyambung sahaja.

Tapi apabila digunakan غير, ia adalah satu adjektif, memberikan penjelasan. Oleh itu kalau kita gunakan ayat yang sama: “Orang berilmu datang, غير (bukannya) orang bodoh”, maka ia memberitahu bahawa orang berilmu itu TIDAKLAH orang yang bodoh.

Maknanya, golongan yang dimurkai dan sesat ini bukanlah golongan yang diberi nikmat oleh Allah.

Dalam ayat ini, ada dua bahagian: satu tentang golongan yang dimurkai dan satu lagi golongan yang sesat. Allah menggunakan kalimah لا (dalam وَلَا ٱلضَّآلِّينَ) walaupun dari segi susunan bahasa, ianya tidaklah mengubah makna terjemahan.

Tapi apabila Allah gunakan kalimah لا, ia bermaksud ada sesuatu yang Allah hendak sampaikan: Apabila Allah gunakan kalimah لا untuk memisahkan antara golongan yang dimurkai dan sesat, ini memberi maksud bahawa dua golongan ini bukan golongan yang sama, tapi ia adalah dua kumpulan yang berbeza.

Kedua-duanya ada elemen salah satu di dalamnya (ada yang dimurkai dalam golongan yang sesat dan yang sesat pun ada dimurkai). Tapi tetap ada perbezaan antara dua kumpulan itu. Ianya bukan kumpulan yang sama. Maka kita

 

Apakah maksud dimurkai?

Ada banyak makna ‘dimurkai’ itu tapi apakah maksud yang paling penting? Yang penting adalah kerana mereka itu bukannya tidak tahu kebenaran, tapi mereka tetap tolak juga kebenaran itu. Mereka tolak kebenaran kerana sifat degil yang ada dalam diri mereka.

Jadi ini adalah masalah bagi orang berilmu. Iaitu tahu kebenaran tapi tidak ikut kebenaran itu. Jadi kalau kita pun begitu juga, maka kita pun termasuk dalam golongan yang ‘dimurkai’ seperti golongan Yahudi ini.

Maka amat bahaya bagi golongan ulama’ dan ustaz yang tahu mana yang benar dan salah, tapi tidak sampaikan kebenaran itu, sorok kebenaran itu dari masyarakat. Mereka itu dimurkai oleh semua makhluk.

Allahu a’lam. Kita lihat pula apakah maksud golongan yang ‘sesat’ pula. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 3] (Bukan jalan orang yang dimurkai)”

  1. Alhamdulillahi robbil aalamìin…karena saya bisa baca celik tafsir ini.
    Saya tidak tau anda dan tidak kenal anda penulis celik tafsir ini.
    Tapi saya tetap berdoa untuk anda semoga celik tafsir ini diridhoi oleh Allah swt dunia akhirat. Amiin..

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s