Tafsir Surah Baqarah Ayat 89 – 91 (Yahudi memang tunggu Nabi Muhammad)

Ayat 89: Ini adalah tentang Yahudi jenis kelima. Satu ayat ini sahaja ingin memberitahu kepada kita yang menolak kitab itu bukan sahaja Yahudi di zaman datuk nenek dahulu, tetapi Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ juga. Sedangkan ajaran nabi-nabi mereka pun mereka tolak, apatah lagi bila Nabi Muhammad ﷺ membawakan ajaran Islam, lagilah mereka tolak dengan sewenang-wenangnya.

Tambahan pula Nabi Muhammad ﷺ bukan dari kalangan Bangsa Yahudi. Ayat ini merujuk kepada Yahudi di zaman Nabi Muhammad ﷺ.

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ

Sahih International

And when there came to them a Book from Allah confirming that which was with them – although before they used to pray for victory against those who disbelieved – but [then] when there came to them that which they recognized, they disbelieved in it; so the curse of Allah will be upon the disbelievers.

Malay

Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

 

وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَـٰبٌ

Dan apabila datang kepada mereka Kitab;

Yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an kerana ada sifat Al-Qur’an ini yang akan disebut selepas ini: (yang membenarkan) مُصَدِّقٌ.

 

مِّنْ عِنْدِ اللَّهِ

daripada sisi Allah

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa Al-Qur’an itu dari sisi Allah ‎ﷻ bukannya rekaan manusia. Kalau Taurat dari Allah ‎ﷻ, begitu juga Al-Qur’an. Maka jangan disangsikan lagi.

 

مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ

yang membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Iaitu membenarkan ajaran dalam Kitab Taurat. Membenarkan isi kitab mereka dari ‘segi tauhid’. Kena terjemah seperti ini kerana bukan membenarkan dari segi amalan dan fiqah kerana syariat tidak sama. Tetapi ajaran tauhid sahaja yang sama.

 

وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا

Sedang mereka sebelum itu meminta kemenangan ke atas kaum Musyrik;

Sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, orang-orang Yahudi Madinah memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dilantik seorang Rasul untuk memerangi kuffar Musyrikin Mekah. Mereka tahu yang Musyrikin Mekah itu salah kerana mengamalkan syirik dengan menyembah berhala. Padahal mereka tidak sedar yang mereka pun sesat juga.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang mereka dahulu pernah minta dibangkitkan Rasul akhir zaman. Yahudi Madinah semasa berbalah dengan puak Arab, mereka berkata: “Tunggulah nanti Nabi akhir zaman akan datang!” Ini adalah kerana Arab Mekah menyokong puak musyrik yang tidak mempunyai kitab iaitu mereka menyokong kerajaan Parsi yang beragama Majusi dalam hal politik.

Tanah jajahan Parsi adalah Yaman dan Mekah pula di bawah Yaman. Ini adalah kerana kerajaan Parsi tidak mahu mentadbir Mekah secara langsung, maka mereka serahkan kepada Yaman sahaja untuk menguruskannya.

Maka, setiap kali ada peperangan antara Yahudi dan Arab, puak Yahudi akan berkata, akan bangkit Nabi yang akan membaca kitab wahyu seperti mereka juga dan kedatangan Nabi itu akan memberi kemenangan kepada mereka. Namun apabila Nabi akhir zaman itu (Nabi Muhammad ﷺ) datang, mereka tolak pula.

 

فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَّا عَرَفُوا

Maka tatkala datang kepada mereka seorang yang mereka kenal;

Iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mereka katakan sebelum itu, benar-benar telah dibangkitkan. Mereka kenal sungguh Nabi Muhammad ﷺ itu kerana sifat Nabi sama dengan apa yang mereka baca dalam kitab mereka.

Cuma yang mereka tidak sangka adalah baginda dari Bani Ismail, bukan dari Bani Israil. Mereka sangkakan yang Nabi itu akan meneruskan agama Yahudi tetapi sebaliknya pula. Mereka tidak sangka Nabi akhir zaman itu dari bangsa Arab.

 

 كَفَرُوا بِهِ

mereka telah kufur kepadanya;

Apabila benar Nabi akhir zaman yang mereka katakan itu telah dibangkitkan, mereka tidak mahu terima kerana Nabi Muhammad ﷺ bukan datang dari bangsa mereka. Mereka tolak baginda walaupun mereka sedar yang memang baginda itu seorang Nabi dan memang Nabi akhir zaman yang mereka tunggu-tunggu selama ini.

Maknanya, kadang-kadang manusia apabila kebenaran tidak datang dari puak mereka, maka mereka tolak. Contohnya, kalau ada yang hendak datang mengajar tafsir Al-Qur’an, tetapi orang itu bukan dari guru yang mereka biasa belajar dengannya, maka mereka akan tolak.

Ataupun, yang  mengajar itu lain dari apa yang dia faham selama hari ini, maka dia tolak juga. Begitulah sifat manusia yang degil macam Yahudi.

 

فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ

Maka laknat Allah ke atas orang-orang kafir;

Oleh kerana mereka terus tolak Nabi Muhammad ﷺ dan kebenaran yang disampaikan oleh baginda, maka mereka telah dilaknat oleh Allah ‎ﷻ. Maksud dilaknat itu bermakna mereka akan dibiarkan dalam kufur. Rahmat keimanan tidak akan diberikan kepada mereka.

Keduanya, Allah ‎ﷻ tidak beri keampunan kepada mereka. Caranya adalah tidak ditimbulkan dalam hati mereka untuk meminta ampun. Pernah tidak kita berbuat dosa, tetapi kita tidak teringin untuk minta ampun? Rasa macam malas hendak meminta ampun.

Atau tidak teringat pun untuk meminta ampun atas dosa kita itu. Walaupun kita tahu yang kita telah buat itu adalah salah. Itu maknanya, Allah telah ‎ﷻ melaknat kita. Ini kerana, kalau kita minta ampun, in sha Allah Dia akan ampunkan dosa kita itu. Terpulang kepada Dia sama ada hendak ampunkan ataupun tidak. Tetapi kalau langsung tidak ada keinginan untuk meminta ampun, bagaimana?

Dorongan untuk meminta ampun itu pun sebenarnya datang dari Dia juga. Jadi, kalau kita teringat akan dosa yang telah kita telah lakukan, sama ada tengah masak atau tengah bawa kereta, teruslah meminta ampun waktu itu juga. Ini kerana semasa itu Allah ‎ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan untuk meminta ampun kepada dosa itu.

Dan ketika itu pintu pengampunan sedang terbuka. Allah ‎ﷻ detikkan keinginan untuk meminta ampun dalam hati kita kerana Dia memang hendak mengampunkan kita. Maka jangan kita tidak endahkan bisikan hati kita untuk meminta ampun pada waktu itu. Ambil peluang itu untuk benar-benar memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Selalunya orang yang berbuat dosa, mereka tidak teringat untuk meminta ampun. Apabila Allah ‎ﷻ tidak ampunkan dosa kita, kita tidak akan masuk syurga. Ingatlah bahawa kita masuk syurga bukan dengan pahala. Kita masuk syurga dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Ini kerana berapa banyak pun ibadat yang kita buat, tidak mampu membalas segala kurnia Allah ‎ﷻ ke atas kita.


 

Ayat 90: Ayat 90 – 123 menceritakan tentang sifat dengki luar biasa Yahudi terhadap keturunan lain. Mereka menolak wahyu hanya kerana Nabi terakhir dilantik daripada bangsa yang lain.

Mereka menganggap syurga hanya untuk bangsa mereka sahaja. Mereka juga mendakwa merekalah bangsa yang benar dan bangsa lain adalah sesat.

بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ بَغيًا أَن يُنَزِّلَ اللَّهُ مِن فَضلِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ فَباءوا بِغَضَبٍ عَلىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ

Sahih International

How wretched is that for which they sold themselves – that they would disbelieve in what Allah has revealed through [their] outrage that Allah would send down His favor upon whom He wills from among His servants. So they returned having [earned] wrath upon wrath. And for the disbelievers is a humiliating punishment.

Malay

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

بِئْسَمَا اشْتَرَوْا

Buruk sungguh jual beli mereka

Mereka telah menyebabkan kerugian kepada diri mereka. Allah ﷻ beri perumpamaan perniagaan jual beli dalam ayat ini. Maka apakah jual beli yang dimaksudkan ini?

 

بِهِ أَنْفُسَهُمْ

dengan diri-diri mereka sendiri;

Mereka tukar keampunan Allah ‎ﷻ dengan neraka. Mereka ada peluang untuk membaiki keadaan diri mereka, tetapi mereka tidak ambil. Mereka beli dunia dengan menjual rahmat dari Allah ‎‎ﷻ sebab mereka merasa kalau mereka masuk neraka pun sekejap sahaja.

 

أَنْ يَكْفُرُوا

dengan mereka kufur;

Mereka ‘beli’ kufur, dan mereka nanti akan diazab dalam neraka. Berdoalah kita supaya berlindung dari mempunyai sifat sebegini.

 

بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ

dengan Al-Qur’an yang Allah turunkan;

Mereka lupa bahawa yang mereka kufurkan itu adalah Al-Qur’an iaitu wahyu Allah ‎ﷻ. Mereka tidak mahu belajar Al-Qur’an. Mereka beli kufur dengan menolak Al-Qur’an.

Macam orang kita juga yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an tetapi sangka akan dapat masuk syurga. Mereka biarkan Al-Qur’an berlapuk di rumah dengan tidak dibaca dan dipelajari maknanya. Atau mereka cuma jadikan hiasan dinding. Hanya dibaca sekali sekala (selalunya bila Ramadhan menjelma).

Kenapa orang-orang Yahudi buat begitu?

 

بَغْيًا

Kerana mereka dengki;

Kenapa mereka kufur? Kita kena tahu apakah maksud lafaz بَغْيًا itu. Ia bermaksud dengki dan hasad. Ia adalah perasaan tidak boleh tengok orang lain lebih daripada mereka. Lebih-lebih lagi kalau orang bawahan mereka yang menjadi besar. Mereka hendakkan mereka sahaja di kedudukan yang tinggi.

Orang Melayu pun banyak ada sifat ini. Mereka tidak mahu jatuh “standard”. Oleh itu, kita dapat tahu bahawa orang Yahudi itu dengki kerana Nabi akhir zaman bukan orang Yahudi. Mereka tidak puas hati sebab Nabi akhir zaman itu datang dari kalangan bangsa Arab yang mereka selama ini pandang rendah dan menjadi kuli mereka sahaja.

Orang kita pula, dengki kerana ilmu tafsir ini tok guru mereka tidak ajar. Tok guru mereka hanya ajar kitab yang bukan diambil ajaran dari Al-Qur’an. Jadi bila ada yang datang membawa ajaran tafsir Al-Qur’an, yang mereka cerita adalah kitab-kitab yang mereka sudah belajar dari guru mereka. Macam-macam kitab karangan manusia mereka sudah belajar. Tetapi tafsir Al-Qur’an mereka belum belajar lagi.

Jadi mereka belajar kitab karangan manusia itu sampai tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka rasa sudah cukup dengan kitab-kitab itu. Dan ada guru yang tidak suka anak murid dia belajar tafsir Al-Qur’an. Seperti mereka menyekat sesiapa yang mahu belajar Al-Qur’an. Padahal kita hendak belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita ingin tahu kehendak Allah ‎ﷻ dan untuk tahu kehendak Allah  ‎ﷻ kita kena tahu tafsir.

Malangnya, ada guru-guru yang ajar ajaran salah akan kata kalau belajar tafsir Al-Qur’an, akan menjadi sesat. Sampai hasilnya, anak-anak murid mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Antara cara mereka sekat adalah mereka kata bagaimana hendak belajar Al-Qur’an sedangkan mereka tidak tahu membaca Al-Qur’an? Dan tidak tahu bahasa Arab?

Sampaikan mereka menangguh belajar tafsir Al-Qur’an sehingga mereka tahu baca Al-Qur’an dan tahu bahasa Arab. Kalau begitu, sampai bila baru mereka boleh belajar tafsir? Sedangkan apabila belajar tafsir, akan timbul dalam hati keinginan untuk belajar baca Al-Qur’an dan untuk tahu bahasa Arab. Lama-kelamaan kita akan tahu bahasa Arab sebab kita hendak tahu apakah makna setiap huruf-huruf itu. Yang penting, mulakan dengan mengetahui apakah kehendak Allah ‎ﷻ dari Al-Qur’an itu.

 

أَنْ يُنَزِّلَ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

Kerana Allah menurunkan daripada kurniaNya

Mereka tidak suka Allah ‎ﷻ turunkan wahyu kepada Nabi dari bangsa Arab. Mereka mahukan Nabi dari kalangan mereka juga. Sedangkan mereka sepatutnya tahu yang Nabi akhir zaman tidak semestinya akan datang dari bangsa mereka.

Namun oleh kerana dengki, mereka tidak mahu puak lain menjadi Nabi. Jiwa mereka tidak boleh terima. Tetapi sebenarnya, kalau datang dari bangsa mereka sendiri pun, mereka tidak ikut juga. Ini kerana sifat mereka yang amat degil.

 

عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

ke atas sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya;

Dari ramai-ramai makhluk yang dijadikan, Allah ‎ﷻ telah pilih Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan wahyu Al-Qur’an dan dijadikan Nabi Akhir Zaman. Allah ‎ﷻ tidak pilih orang Yahudi walaupun keturunan mereka banyak nabi-nabi dan rasul-rasul.

Macam kita juga, kalau orang lain yang mengajar tafsir Al-Qur’an yang bukan dari puak kita, ada yang tidak mahu belajar tafsir. Dikatakan pula kepada yang mengajar tafsir itu bahawa ajaran mereka sesat sebab ajaran dari tafsir Al-Qur’an lain daripada apa yang mereka telah belajar dari kitab-kitab itu.

Padahal Al-Qur’an dari Allah ‎ﷻ dan kitab itu karangan manusia sahaja. Kalau karangan manusia, tentu ada salah dan silapnya. Maka untuk tahu mana yang salah dan silap, kenalah tahu tafsir Al-Qur’an.

 

فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٍ

Maka mereka kembali kepada Allah dengan kemurkaan atas kemurkaan;

Oleh kerana kedegilan mereka itu, maka mereka kembali bertemu Allah ‎ﷻ dengan kemurkaan atas kemurkaan. Berganda kemurkaan ke atas mereka. Kemurkaan pertama kerana tidak mengikut kitab mereka dan kemurkaan kedua kerana tidak mengikut Al-Qur’an.

 

وَلِلكَـٰفِرِينَ

Dan bagi orang kafir seperti ini;

Iaitu mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi dengan memberi pelbagai alasan. Ini adalah kerana sama sahaja sifat mereka dengan sifat orang Yahudi itu.

 

عَذَابٌ مُّهِينٌ

akan dapat azab yang menghinakan di akhirat kelak.

Mereka akan mendapat azab yang menghinakan. Maknanya ia bukan azab biasa. Azab yang akan dikenakan kepada mereka amat teruk.


 

Ayat 91: Ini adalah Ayat Syikayah atau ayat rungutan Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana orang Yahudi tidak mahu beriman kerana mereka ada sikap dengki di dalam diri mereka. Tetapi sikap dengki itu sikap dalaman, maka kita tidak tahu mereka betul-betul dengki ataupun tidak. Maka Allah ‎ﷻ berikan dalil yang mereka memang ada perasaan dengki.

وَإِذا قيلَ لَهُم ءَامِنُواْ بِما أَنزَلَ اللَّهُ قالوا نُؤمِنُ بِما أُنزِلَ عَلَينا وَيَكفُرونَ بِما وَراءَهُ وَهُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِّما مَعَهُم ۗ قُل فَلِمَ تَقتُلونَ أَنبِياءَ اللَّهِ مِن قَبلُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sahih International

And when it is said to them, “Believe in what Allah has revealed,” they say, “We believe [only] in what was revealed to us.” And they disbelieve in what came after it, while it is the truth confirming that which is with them. Say, “Then why did you kill the prophets of Allah before, if you are [indeed] believers?”

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Qur’an itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْءَامِنُواْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ

Apabila dikatakan kepada mereka: “Kamu berimanlah dengan wahyu yang Allah turunkan”;

Iaitu apabila mereka dinasihatkan supaya beriman dengan Al-Qur’an. Apa jawab mereka?

 

قَالُوا نُؤْمِنُ بِمَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا

mereka jawab: “Kami hanya beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami sahaja”.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada kita alasan batil mereka kenapa mereka tidak mahu menerima Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ. Alasan mereka itu adalah alasan yang tidak boleh dipakai langsung.

Mereka tidak mahu terima Al-Qur’an yang diturunkan Allah ‎ﷻ kerana mereka kata ia tidak diturunkan kepada puak mereka. Kononnya mereka hendak beriman dengan apa yang diberikan kepada mereka sahaja.

Begitulah juga ada di antara masyarakat kita yang tidak mahu menerima dakwah kerana cara orang mengajar itu lain dari cara yang mereka telah biasa. Ini kerana cara mengajar itu tidak kena dengan selera mereka, maka mereka tolak sahaja. Atau mereka nak berpegang kepada yang diajar oleh guru-guru mereka sahaja, orang lain mereka tidak mahu dengar.

Bani Israil sangka mereka tidak boleh hendak terima kitab lain lagi. Ini kita dapat tahu dari penggunaan perkataan عَلَيْنَا – “ke atas kami”. Perkataan itu menunjukkan ada elemen ‘tanggungjawab’ yang telah dikenakan ke atas mereka di dalamnya. Mereka sangka hanya Taurat sahaja yang mereka boleh terima, kitab-kitab lain sudah tidak boleh lagi.

Ini adalah kerana pendeta mereka ada yang ajar: memang Muhammad ﷺ itu Nabi, tetapi Nabi untuk bangsa Arab sahaja. Mereka tetap kena pakai Taurat juga. Ini adalah fahaman yang salah yang ada dalam hati mereka kerana mereka degil dan sudah menutup pintu hati mereka kepada kebenaran.

 

 وَيَكْفُرُونَ بِمَا وَرَاءَهُ

Dan mereka engkar dengan kitab yang setelahnya;

Iaitu mereka mereka tidak mahu terima kitab yang diturunkan selepas Taurat. Mereka kata mereka tetap kena pegang Taurat kerana mereka telah berjanji dahulu.

Tetapi sebenarnya mereka bukan beriman pun dengan Kitab Taurat itu. Lihatlah bagaimana Bani Israil tidak menerima Nabi Isa عليه السلام – padahal Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka juga. Itu semua adalah alasan mereka sahaja.

Dan mereka kata mereka beriman dengan Taurat, tetapi dalam ayat sebelum ini kita telah belajar bagaimana Kitab Taurat itu pun mereka telah ubah mengikut kehendak nafsu mereka. Zaman sekarang mereka memberi alasan kenapa mereka boleh ubah Kitab Taurat.

Mereka kata tidak salah mereka ubah Taurat sebab Allah ‎ﷻ telah memberikan akal kepada manusia, maka manusia boleh mengubah Kitab Allah ‎ﷻ mengikut keadaan semasa (mana yang sesuai kononnya). Begitulah, mereka memang jenis manusia yang pandai memusing kata-kata.

 

وَهُوَ الْحَقُّ

Sedangkan Al-Qur’an itu benar;

Al-Qur’an itu benar dari Allah ‎ﷻ. Kalau Taurat itu benar dan datang dari Allah ‎ﷻ, begitu juga dengan Al-Qur’an. Tetapi mereka tetap juga berani hendak menolak Al-Qur’an yang datang dari Allah ‎ﷻ.

 

مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَهُمْ

membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Iaitu membenarkan Kitab Taurat, Injil dan Zabur yang mereka telah ada. Apakah yang telah dibenarkan oleh kitab-kitab itu?

Kitab-kitab itu telah menyebut tentang kedatangan Nabi akhir zaman. Dan kriteria manusia yang disebut dalam kitab-kitab itu menepati ciri-ciri Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sahaja yang menutup mata hati mereka daripada menerima Nabi Muhammad ﷺ walaupun telah jelas kepada mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itulah yang mereka tunggu-tunggu selama ini.

 

قُلْ فَلِمَ تَقْتُلُونَ أَنْبِيَاءَ اللَّهِ مِنْ قَبْلُ

Katakan kepada mereka: “Kenapa kamu bunuh nabi-nabi Allah sebelum ini,

Allah ‎ﷻ suruh Nabi sahaja yang cakap kepada mereka sebab Allah ‎ﷻ sudah murka kepada mereka, tidak mahu bercakap secara langsung dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ ajar bagaimana untuk bercakap dengan mereka.

Tanya mereka: kenapa mereka bunuh para Nabi mereka?

 

إِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِينَ

sekiranya kamu dulu betul-betul beriman dengan Allah?”

Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Yahya عليه السلام, Zakaria عليه السلام dan lain-lain.

Allah ‎ﷻ suruh Nabi tanya: kalau betul kamu itu beriman dengan kitab yang telah diturunkan kepada kamu, kenapa kamu bunuh nabi-nabi dahulu? Adakah dibenarkan dalam kitab mereka untuk membunuh para Nabi? Hendak bunuh manusia biasa pun tidak boleh, apatah lagi membunuh seorang Nabi? Itu adalah dosa yang amat besar.

Allah ‎ﷻ akan buka lagi rahsia mereka dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 17 November 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 89 – 91 (Yahudi memang tunggu Nabi Muhammad)”

  1. Salam.
    Apakah yang dimaksudkan dengan kitab karangan manusia? Sebab setahu saya kitab2 agama dikarang berdasarkan Quran dan Hadis. Bagaimana kita nak kategorikan yang mana satu kitab karangan manusia sebab kitab tafsir Quran juga adalah karangan manusia. Bolehkah tuan beri contoh kitab2 yang dipelajari oleh orang Islam di pondok2 Malaysia yang tidak berdasarkan Quran dan Hadis?

    Like

    1. Contohnya:
      tanbihul ghaafilin karya abu laits al samarqandi, majmu’ syarif, kitab Ihya’ yang ada 265 hadis palsu di dalamnya.
      Kena tahu ilmu wahyu iaitu ilmu tafsir dan ilmu hadis baru dapat bezakan. Kalau dua ilmu ini tidak ada, memang akan terus percaya sahaja.
      Bukanlah kita tolak semua kitab. Tapi kita kena berhati-hati. Kena tengok apakah rujukan kitab-kitab itu. Sudah ada kitab-kitab muktabar yang menjadi pegangan kita kerana telah banyak dikaji dan mendapat thumbs up dari para ulama’. Kitab-kitab lain kena sealiran dengan kitab-kitab muktabar itu.

      Yang penting, kena habis belajar tafsir Qur’an 30 juzuk ini. Inilah yang utama kerana ini ilmu utama. Yang lain itu boleh datang kemudian.

      Like

      1. Ini sama dengan ayat Nisa’:14 juga. Ia menjadi perbincangan juga. Ini adalah kerana sudah pasti yang kekal dalam neraka adalah mereka yang mengerjakan syirik. Oleh kerana itu, ada pendapat yang mengatakan ia tidaklah bermaksud secara literal ‘kekal’, tapi kerana lamanya sangat di dalam neraka itu, seolah-olah ia tetap kekal.

        Tapi kalau kita ambil literal pun dari ayat ini dan ayat Nisa’:14 tadi, ia boleh bermaksud kekal dalam neraka kerana tidak mengikut hukum-hukum dari Allah dan Rasul. Semoga kita terselamat dari keadaan ini.

        Like

  2. Ada diterangkan diatas Allah dah murka dgn yahudi dan tak mahu bercakap secara langsung lagi dgn mereka, dan Allah suruh nabi yg cakap, mengikut apa yg Allah ajar. Soalan saya, sebelum tu Allah cakap direct dgn yahudi tu dgn siapa? Nabi sebelum atau mcm mana? Adakah yg dimaksud dlm kitab sebelum quran? Bantu sy utk memahami

    Like

    1. Maksudnya ayat itu ditujukan terus kepada mereka. Sebagai contoh ayat yang dimulakan:
      Wahai Bani Israil,
      Wahai Ahli Kitab….

      Tengok konteks ayat. Ada kisah tentang umat terdahulu (contohnya zaman Nabi Musa).
      Ada yang konteks kepada bani Israil Madinah dan selepas itu zaman berzaman.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s