Tafsir Surah Ghafir Ayat 46 – 49 (Berbantah dalam neraka)

Ayat 46:

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Fire; they are exposed to it morning and evening.¹ And the Day the Hour appears [it will be said], “Make the people of Pharaoh enter the severest punishment.”

  • From the time of their death until the Day of Resurrection, when they will be driven into it.

MALAY

Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”

 

النّارُ يُعرَضونَ عَلَيها غُدُوًّا وَعَشِيًّا

Mereka didedahkan kepada bahang api pada waktu pagi dan petang

Mereka dipanggang dengan bahang api setiap masa. Ini hendak menunjukkan betapa teruknya azab Allah itu. Lihatlah bagaimana mereka engkar itu sekejap sahaja, selama mereka hidup sahaja, tapi mereka berterusan dikenakan dengan azab.

Api itu adalah ‘Api Barzakh’. Allah sebut pagi dan petang sebagai isyarat ‘setiap masa’. Selepas mereka ditenggelamkan dan dimatikan, mereka telah mula diseksa di alam barzakh. Ini sebelum masuk neraka lagi. Alam Barzakh adalah alam antara dunia dan akhirat. Apabila seseorang sudah mati, dia akan masuk dalam Alam Barzakh.

Ayat ini adalah dalil menunjukkan alam barzakh ada dan azab kubur pun ada. Ada puak yang tidak menerima ada seksaan alam barzakh dengan berbagai hujah mereka. Tapi ayat ini adalah sebagai dalil bahawa ada seksaan kubur. Ahli Sunnah menerima adanya Alam Barzakh ini, cuma kita tidak tahu secara terperinci tentangnya kerana ianya termasuk perkara ghaib.

Ada juga dalil dari hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هَاشِمٌ -هُوَ ابْنُ الْقَاسِمِ أَبُو النَّضْرِ-حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ سَعِيدٍ -هُوَ ابْنُ عَمْرِو بْنِ سَعِيدِ بْنِ الْعَاصِ-حَدَّثَنَا سَعِيدٌ -يَعْنِي أَبَاهُ-عَنْ عَائِشَةَ؛ أَنَّ يَهُودِيَّةً كَانَتْ تَخْدُمُهَا فَلَا تَصْنَعُ عَائِشَةُ إِلَيْهَا شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ إِلَّا قَالَتْ لَهَا الْيَهُودِيَّةُ: وَقَاكِ اللَّهُ عَذَابَ الْقَبْرِ. قَالَتْ: فَدَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيَّ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلْ لِلْقَبْرِ عَذَابٌ قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ؟ قَالَ: “لَا وَعَمَّ ذَلِكَ؟ ” قَالَتْ: هَذِهِ الْيَهُودِيَّةُ، لَا نَصْنَعُ إِلَيْهَا شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ إِلَّا قَالَتْ: وَقَاكِ اللَّهُ عَذَابَ الْقَبْرِ. قَالَ: “كَذَبَتْ يَهُودُ. وَهُمْ عَلَى اللَّهِ أَكْذَبُ، لَا عَذَابَ دُونَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ”. ثُمَّ مَكَثَ بَعْدَ ذَلِكَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَمْكُثَ، فَخَرَجَ ذَاتَ يَوْمٍ نِصْفَ النَّهَارِ مُشْتَمِلًا بِثَوْبِهِ، مُحْمَرَّةً عَيْنَاهُ، وَهُوَ يُنَادِي بِأَعْلَى صَوْتِهِ: “الْقَبْرُ كَقِطَعِ اللَّيْلِ المظلم أَيُّهَا النَّاسُ، لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا. أَيُّهَا النَّاسُ، اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، فَإِنَّ عَذَابَ الْقَبْرِ حَقٌّ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim ibnul Qasim alias Abun Nadr, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Sa’id ibnu Amr ibnu Sa’id ibnul As, telah menceritakan kepada kami Sa’id (yakni ayahnya), dari Aisyah r.a., bahawa pernah ada seorang wanita Yahudi yang menjadi pelayannya, maka tidak sekali-kali Aisyah berbuat suatu kebaikan kepadanya, melainkan dia mendoakan bagi Aisyah, “Semoga Allah memelihara dirimu dari seksa kubur.” Aisyah r.a. melanjutkan kisahnya, bahawa lalu Rasulullah Saw. masuk menemuinya, maka dia bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah seksa kubur itu ada sebelum hari kiamat?” Rasulullah Saw. bersabda, “Tidak ada. Siapa yang menduga demikian?” Aisyah menjawab, “Wanita Yahudi ini, tidak sekali-kali aku berbuat baik kepadanya melainkan dia mendoakan bagiku, ‘Semoga Allah memelihara dirimu dari siksa kubur’.” Rasulullah Saw. bersabda, “Orang-orang Yahudi itu pendusta dan terhadap Allah mereka lebih pendusta lagi, tiada azab sebelum hari kiamat.” Kemudian selang beberapa waktu menurut apa yang dikehendaki Allah, pada suatu hari beliau Saw. keluar di tengah hari seraya memakai kain selimut, sedangkan kedua mata beliau memerah, lalu beliau berseru dengan suara yang sangat keras: Alam kubur itu bagaikan sepotong malam hari yang sangat gelap. Hai manusia, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit tertawa. Hai manusia, mohonlah perlindungan kepada Allah dari siksa kubur, kerana sesungguhnya seksa kubur itu benar (adanya).

 

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ

Dan pada hari kiamat esok

Kenapa kita pasti bahawa alam yang disebut sebelum ini adalah Alam Barzakh? Kerana sekarang disebut pula alam akhirat. Azab api yang Firaun dan pengikutnya terima itu adalah dalam alam kubur, belum lagi alam akhirat. Kerana di akhirat nanti, mereka akan kena azab yang lebih teruk lagi.

 

أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ

Masukkanlah keluarga Firaun kepada azab yang lebih teruk lagi

Allah akan perintahkan malaikat untuk masukkan Firaun dan pengikutnya ke dalam neraka jahannam. Tidaklah dapat dibayangkan apa lagi azab yang lebih teruk dari Api Barzakh itu, tapi Allah beritahu kita, sebagai takhwif ukhrawi, yang mereka akan menerima azab yang lebih teruk di neraka kelak.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ، أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ، إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَمِنْ أَهْلِ النَّارِ. فَيُقَالُ: هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ، إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq, telah menceritakan kepada kami Malik, dari Nafi’, dari Ibnu Umar r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya seseorang di antara kalian apabila mati, ditampakkan kepadanya setiap pagi dan petang kedudukannya. Jika dia termasuk ahli syurga, maka syurgalah yang ditampakkan kepadanya; dan jika dia ahli neraka, maka yang ditampakkan kepadanya adalah neraka. Lalu dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu kelak sampai Allah membangkitkan kamu untuk menempatinya di hari kiamat.” Riwayat Bukhari dan Muslim. 


 

Ayat 47: Allah sekarang menceritakan ahwal neraka (keadaan dalam neraka). Ini adalah interaksi antara pengikut dan ketua/guru mereka. Sebelum ini telah diceritakan tentang Firaun dan pengikutnya – kerana mereka pun termasuk dalam golongan ini juga.

Dulu semasa di dunia, mereka ikut sahaja apa yang diajar kepada mereka tanpa soal. Begitulah kebanyakan orang kita sekarang pun. Itulah golongan mereka yang malas belajar dan hanya sangkut pada fahaman orang lain.

Itu dinamakan taqlid buta. Ini bukan ajaran Islam kerana Allah telah beri Al-Qur’an kepada kita dan suruh kita belajar. Kita disuruh belajar kerana kita juga telah diberi dengan akal. Tidak ada mana-mana nas yang suruh umat Islam hanya taqlid sahaja. Kalau taqlid sahaja amat bahaya kerana kita tidak dapat pastikan sama ada orang yang kita ikut itu benar atau tidak.

Ketahuilah, sebahagian besar dalam neraka adalah golongan pengikut. Kalau nak ikut, golongan Sahabat Nabi sahaja yang boleh diikuti sebab mereka itu memang ahli syurga.

Sebab itulah maksud ‘Jemaah’ dalam lafaz Ahli Sunnah wal Jamaah itu adalah Sahabat Nabi. Kita ikut mereka kerana mereka pun ikut Nabi. Kalau mereka tidak ikut Nabi, kita pun tidak ikut mereka.

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ النَّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when they will argue within the Fire, and the weak will say to those who had been arrogant, “Indeed, we were [only] your followers, so will you relieve us of a share of the Fire?”

MALAY

Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?”

 

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ

Dan semasa mereka berbantah-bantahan dalam neraka,

Ayat ini adalah kata anak-anak murid kepada guru ajaran salah. Mereka berbalah bantah sesama mereka dalam neraka. Dulu semasa di dunia, mereka rapat sekali sampaikan ada pengikut yang cium kaki mereka. Tapi lain jadinya di akhirat kelak.

 

فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا

iaitu orang-orang yang lemah berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur:

Orang-orang yang lemah yang dimaksudkan adalah anak murid. Mereka yang lemah dari segi kedudukan dunia dan dari segi kedudukan agama. Mereka itu juga lemah fikiran sebab mereka ikut orang lain tanpa usul periksa. Lemah dari segi pegangan agama.

Mereka berkata dalam ayat ini kepada ‘pembesar’ mereka iaitu tok guru atau pemimpin mereka yang telah menyesatkan mereka. Mereka itu nampak ada kebesaran dan kedudukan semasa di dunia. Kalau dalam kerajaan, mereka itu adalah pemimpin-pemimpin dalam kerajaan.

 

إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا

“Sesungguhnya kami dulu telah menjadi pengikut-pengikut kamu,

Sesungguhnya mereka dulu adalah murid-murid, atau pengikut-pengikut setia, atau rakyat kepada guru atau pemimpin itu. Apa yang dikatakan oleh pemimpin itu mereka ikut; apa yang diajar oleh guru itu mereka ikut dan mereka amal. Sungguh taat mereka dulu semasa di dunia kepada guru dan pemimpin mereka. Kalau dulu mereka taat, sekarang mereka hendaklah sesuatu dari pemimpin dan guru mereka itu.

 

فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ النَّارِ

maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?”

“Tidakkah kamu boleh selamatkan kami dari azab neraka ni? Kalau tak boleh semua, sebahagian pun bolehlah, janji ada kurang sikit.” Mereka sedang tanya kepada ustaz-ustaz mereka, guru-guru mereka, pemimpin-pemimpin mereka.

Mereka minta kalau pemimpin mereka itu boleh ganti azab yang sedang mereka hadapi itu kerana mereka kata semua itu salah pemimpin mereka dahulu yang ajar mereka, suruh mereka buat perkara-perkara yang salah itu. Kalau tak dapat ganti pun, carilah jalan macam mana boleh kurangkan sedikit.


 

Ayat 48: Apakah jawapan orang-orang besar itu kepada orang bawahan mereka?

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُلٌّ فِيهَا إِنَّ اللهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who had been arrogant will say, “Indeed, all [of us] are in it. Indeed, Allāh has judged between the servants.”

MALAY

Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: “Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya ”

 

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا

Berkata tok guru/orang-orang besar itu,

Iaitu pemimpin dan tok guru yang sesat itu. Setelah orang bawahan cakap macam itu kepada mereka, mereka pun jawab.

 

إِنَّا كُلٌّ فِيهَا

Sesungguhnya kita semua dalam neraka ini sama-sama

“Kita dah sama-sama masuk dalam neraka.” Bukan yang mengikut sahaja telah masuk, yang diikuti pun masuk juga. Tidak ada yang selamat. Kerana masing-masing ada buat kesalahan. Kalau nak ganti ambil azab dari pengikut mereka itu, mereka pun tak boleh sebab mereka pun waktu itu kena azab juga.

 

إِنَّ اللهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ

sesungguhnya Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya

“Allah telah buat keputusan tetap yang kita semua ini adalah ahli neraka. Azab yang kamu dapat itu adalah kerana salah kamu dan azab yang kami dapat ini pun adalah atas kesalahan kami dulu juga. Tak boleh nak buat apa lagi.” Mereka pun sedar yang mereka tidak ada harapan lagi untuk keluar.

Mereka kata: “Kami ajar dulu pun sukarela, tak paksa kamu ikut.” Syaitan pula berkata dalam ayat yang lain, mereka cuma beritahu sahaja. Tapi orang yang ikut itu yang sukarela nak ikut.


 

Ayat 49: 

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those in the Fire will say to the keepers of Hell, “Supplicate your Lord to lighten for us a day from the punishment.”

MALAY

Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”.

 

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ

Dan berkata orang-orang dalam neraka itu

Selepas pemimpin pun kata mereka tidak ada jalan untuk mengeluarkan mereka dari neraka itu, maka mereka telah berpakat untuk sama-sama pergi jumpa Malaikat Penjaga Neraka. Yang mengikut dan yang mengikut sama-sama pergi berjumpa.

Sebenarnya nak minta jumpa malaikat itu pun seribu tahun minta nak cakap baru malaikat itu boleh cakap dengan mereka.

 

لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ

kepada penjaga neraka.

Apabila buat rayuan kepada tok guru, dia tak boleh nak buat apa. Bayangkan kalau kita duduk dalam jel, nak minta tolong dengan siapa? Dengan wardenlah kerana mereka yang menjaga jel itu. Di neraka nanti, penjaga neraka adalah malaikat yang duduk di dalam neraka.

 

ادْعُوا رَبَّكُمْ

“Tolonglah doa Kepada tuhan kamu”.

Mereka minta malaikat itu yang mintakan bagi pihak mereka sebab mereka sendiri sudah tak boleh berdoa. Mereka tahu yang Allah takkan dengar doa mereka lagi.

 

يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ

“Untuk ringankan untuk kami, satu hari sahaja dari azab ni”.

Ada banyak dalam ayat lain, penghuni neraka minta dipulangkan semula ke dunia kerana mereka nak beramal yang baik. Tapi dalam ayat ini, mereka minta untuk ringankan azab untuk sehari sahaja, kerana mereka tahu yang mereka tidak akan dapat keluar. Maka mereka cuma minta ringankan sahaja. Sehari pun tidak mengapa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment