Tafsir Surah an-Nisa Ayat 173 – 176 (Hukum Kalaalah)

Ayat 173: Dalam ayat ini ada tabshir dan juga ada takhwif. Ayat ini untuk mengingatkan manusia bahawa terdapat kesan daripada akidah serta semua amalan perbuatan mereka semasa di dunia. Jangan sangka habis begitu sahaja.

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم وَيَزيدُهُم مِّن فَضلِهِ ۖ وَأَمَّا الَّذينَ استَنكَفوا وَاستَكبَروا فَيُعَذِّبُهُم عَذابًا أَليمًا وَلا يَجِدونَ لَهُم مِّن دونِ اللهِ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as for those who believed and did righteous deeds, He will give them in full their rewards and grant them extra from His bounty. But as for those who disdained and were arrogant, He will punish them with a painful punishment, and they will not find for themselves besides Allāh any protector or helper.

MALAY

Sesudah itu, orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.

 

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Sesudah itu, orang-orang yang beriman dan beramal soleh, 

Beriman di sini bermaksud ‘beriman sempurna’. ‘Iman sempurna’ adalah berpegang kepada tauhid dan tidak melakukan syirik. Maka mestilah belajar yang mana amalan serta fahaman syirik dan mana yang tauhid. Malangnya masyarakat kita sangat jauh dari wahyu maka, mereka tidak dapat membezakan perkara ini.

Umat Islam bukan hanya wajib beriman, tetapi iman itu hendaklah ditunjukkan dengan amal ibadat. Tidaklah hanya cakap di mulut sahaja, tetapi ibadat yang Allah ‎ﷻ perintahkan, tidak pula dilakukan.

Amal ibadat itu pula mestilah amal yang ‘soleh’. Amal yang soleh hanyalah amal yang ada contoh dan sunnah dari Nabi ﷺ dan para sahabat. Ini menolak amalan-amalan bidaah yang tidak ada contoh dari Nabi ﷺ dan para sahabat. Malangnya, oleh kerana jauh dari ajaran hadis, maka masyarakat kita ramai yang mengamalkan amalan yang bukan datang dari ajaran Nabi ﷺ dan para sahabat.

 

فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم وَيَزيدُهُم مِّن فَضلِهِ

Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Dia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. 

Mereka yang beriman dan beramal soleh itu akan mendapat balasan pahala untuk mereka. Dan Allah ‎ﷻ boleh memberikan yang lebih lagi kepada mereka. Maka ini adalah janji dari Allah ‎ﷻ kepada hambaNya. Dia boleh memberikan balasan yang amat baik dan berganda-ganda, asalkan beriman dengan sempurna serta mengamalkan amalan yang soleh.

Maka kita mestilah belajar apakah tauhid dan syirik supaya dapat membezakan antara keduanya; dan juga mesti belajar manakah amalan soleh dan manakah amalan bidaah supaya dapat meninggalkan amalan yang bidaah.

 

وَأَمَّا الَّذينَ استَنكَفوا وَاستَكبَروا

Sebaliknya orang-orang yang rasa tidak layak beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, 

Ayat ini adalah berlawanan kepada ayat sebelum ini. Sepatutnya kita mesti beriman dan beramal soleh tetapi ayat ini pula adalah untuk orang-orang yang merasakan diri mereka tidak layak untuk menghambakan diri dan beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka merasakan diri mereka sangat hebat dan tidak perlu untuk taat kepada Allah ‎ﷻ.

Apakah balasan kepada mereka itu?

 

فَيُعَذِّبُهُم عَذابًا أَليمًا

maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, 

Mereka akan diberikan dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan sakit itu tidak berkurangan azabnya dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Mereka akan terus berada di dalam kesakitan buat selama-lamanya.

Ini berbeza kalau dibandingkan dengan kesakitan di dunia. Kalau sudah selalu dan biasa di dalam kesakitan, lama-kelamaan rasa sakit itu akan berkurangan. Akan tetapi perkara ini tidak berlaku di akhirat kelak. Ahli Neraka akan tetap berada di dalam kesakitan sampai bila-bila. Rasa sakit itu tidak berkurangan sedikit pun, malah akan bertambah lagi dan lagi.

 

وَلا يَجِدونَ لَهُم مِّن دونِ اللهِ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا

dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.

Tidak akan ada penolong dan pembantu pun di akhirat yang akan membantu mereka kelak. Allah ‎ﷻ hendak menolak harapan sesetengah manusia yang menyangkakan mereka kalau masuk neraka pun ada yang boleh menolong mereka di sana nanti.

Apakah perbezaan di antara وَلِيًّا dan نَصيرًا? Lafaz وَلِيًّا adalah untuk mereka yang mahu memberikan perlindungan sebelum orang yang hendak ditolong itu terkena azab. Manakala lafaz نَصيرًا pula adalah penolong kepada orang yang hendak ditolong itu sudah terkena azab.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu manusia bahawa kedua-dua jenis bantuan itu tidak akan ada nanti. Sebelum terkena azab pun tidak ada yang boleh menolong untuk menyelamatkan mereka dari azab itu. Selepas dikenakan azab pun tidak akan ada yang dapat membantu. Maknanya, mereka akan dimasukkan ke dalam azab neraka dan tidak akan ada yang dapat mengeluarkan mereka.

Allah ‎ﷻ memberitahu kerana mungkin terdapat manusia yang menyembah dan memuja Nabi, wali, malaikat dan jin semasa di dunia. Mereka sangkakan yang mereka akan mendapat bantuan dari sembahan-sembahan mereka itu. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak menutup fahaman salah mereka itu kerana itu semua tidak akan berlaku. Itu hanyalah angan-angan kosong mereka sahaja.


 

Ayat 174: Ayat targhib (ajakan) untuk mengikuti ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ memberitahu kedudukan Nabi Muhammad ﷺ yang mulia.

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَكُم بُرهٰنٌ مِّن رَّبِّكُم وَأَنزَلنا إِلَيكُم نورًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, there has come to you a conclusive proof from your Lord, and We have sent down to you a clear light.¹

  • Showing the truth (i.e., the Qur’ān).

MALAY

Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Qur’an sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَكُم بُرهٰنٌ مِّن رَّبِّكُم

Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhan kamu, 

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia. Tetapi kita pun tahu yang ramai yang tidak membaca Qur’an, terutama sekali orang yang bukan Islam. Lalu bagaimana mereka dapat tahu tentang pemberitahuan dari Allah  ‎ﷻ ini? Maknanya, kitalah yang mesti menyampaikan kepada mereka. Kalau kita tidak menjalankan kerja untuk menyampaikan wahyu Allah ‎ﷻ ini kepada manusia, maka manusia akan terus jahil dari ilmu tentang Allah ‎ﷻ.

Lafaz بُرهانٌ (bukti) yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Ia dari katadasar بره yang bermaksud ‘putih dan bersinar’. Ini memberi isyarat yang bukti dari Allah ‎ﷻ lebih bersinar dari hujah-hujah yang lain. Nabi Muhammad ﷺ itu sendiri menjadi ‘bukti’ bagi kebenaran agama Allah ‎ﷻ. Ini kerana baginda mempunyai sifat-sifat yang mulia dan baginda telah diberikan dengan mukjizat-mukjizat untuk membuktikan kebenaran yang baginda bawa.

Nabi Muhammad ﷺ juga telah dibangkitkan untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ kepada kita dan baginda juga telah mengajar cara-cara untuk mentaatiNya. Ajaran ini telah disampaikan seluruhnya kepada manusia.

Tapi kita pun tahu yang sekarang Nabi Muhammad ﷺ sudah tidak ada, lalu bagaimana ajaran itu akan sampai kepada manusia lain? Ini juga mengajar kita yang kitalah yang mesti menyampaikan ajaran baginda kepada manusia. Maka kita haruslah menjalankan tugas kita dalam usaha dakwah termasuk menyampaikan ajaran baginda kepada seluruh umat Islam yang lain juga, kerana ramai lagi yang tidak tahu walaupun mereka sudah lama bergelar Muslim.

 

وَأَنزَلنا إِلَيكُم نورًا مُّبينًا

dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu Nur (cahaya) yang menerangi jelas nyata. 

Lafaz نورًا yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Qur’an. Ini seperti yang disebut dalam Maidah:15

قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللهِ نُورٌ وَكِتَٰبٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.

Qur’an membawa dalil yang jelas nyata. Ia mengajar kita tentang perkara yang perlu kita ketahui supaya selamat di dunia dan di akhirat. Tapi kenapa ramai yang tidak faham? Kerana mereka tidak belajar.

Kalau tidak belajar, memanglah tidak akan jelas kepada mereka. Kalau mereka belajar, sudah tentulah Qur’an itu akan menjadi jelas sejelas-jelasnya. Ini kerana penerangan Qur’an itu adalah dari Allah ‎ﷻ sendiri dan tentu Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui bagaimana cara untuk memberi kefahaman kepada kita hambaNya.

Ada juga yang mengatakan ‘Nur’ dalam ayat ini merujuk kepada Rasulullah . Ini pun boleh juga diterima. Tetapi tidaklah menjadi dalil bagi mengatakan baginda adalah cahaya atau fahaman sesat Nur Muhammad yang melanda masyarakat kita. Ayat-ayat lain tetap mengatakan yang baginda adalah manusia biasa dan tidak lebih dari itu.


 

Ayat 175: Tabshir.

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَاعتَصَموا بِهِ فَسَيُدخِلُهُم في رَحمَةٍ مِّنهُ وَفَضلٍ وَيَهديهِم إِلَيهِ صِرٰطًا مُّستَقيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So those who believe in Allāh and hold fast to Him – He will admit them to mercy from Himself and bounty and guide them to Himself on a straight path.

MALAY

Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam), yang membawa kepadaNya.

 

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ

Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah

Beriman dengan bersungguh-sungguh iaitu berusaha memahami dan mengamalkan tauhid serta meninggalkan syirik. Maka kenalah belajar barulah tahu. Maka janganlah sangkakan diri itu sudah benar-benar beriman kalau belum mempelajari tafsir Qur’an lagi.

 

وَاعتَصَموا بِهِ

dan berpegang teguh denganNya,

Iaitu berpegang teguh dengan ajaran dan suruhanNya.

Juga boleh bermaksud berpegang teguh dengan Qur’an kerana Qur’anlah yang menghubungkan kita dengan Allah ‎ﷻ. Kalau tidak tahu wahyu Qur’an kerana tidak belajar tafsir, bagaimanakah caranya lagi untuk berhubung dengan Allah ‎ﷻ?

 

فَسَيُدخِلُهُم في رَحمَةٍ مِّنهُ وَفَضلٍ

maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya dan limpah kurniaNya

Memasukkan mereka ke dalam RahmatNya, bermaksud Allah ‎ﷻ akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Ini adalah kerana tidak akan dapat masuk ke dalam syurga, melainkan hanya dengan rahmatNya. Kita harus ingat bahawa kita tidak akan dapat memasuki syurga hanya dengan amalan kita. Amal ibadat kita tidak akan cukup untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Serta mendapat ‘kurniaan tambahan’ adalah dapat melihat Allah ‎ﷻ secara nyata di syurga. Lafaz فَضلٍ bermaksud mendapat sesuatu lebih dari yang kita layak. Sememangnya Allah ‎ﷻ telah memberikan kita lebih dari apa yang kita sepatutnya dapat.

Kalau dosa hanya dibalas sama sahaja, tetapi kalau kita berbuat kebaikan, kita akan dibalas berlipat kali ganda, sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dari amalan kita. Oleh itu, kalau kita amalkan sedikit sahaja, tetapi balasannya amat banyak sekali. Bukankah itu bermaksud kita akan mendapat lebih dari yang sepatutnya?

 

وَيَهديهِم إِلَيهِ صِرٰطًا مُّستَقيمًا

dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus, yang membawa kepadaNya.

Semasa di dunia, Allah ‎ﷻ akan memimpin orang-orang sebegitu supaya dapat berada di atas jalan yang lurus dalam agama.


 

Ayat 176: Surah ini disudahi dengan ayat Umur Munazimah kerana surah an-Nisa’ ini kebanyakannya tentang Umur Munazimah. Perkara tentang pembahagian harta telah disebut di awal dan pertengahan surah ini. Disebutkan di banyak tempat, untuk mengingatkan manusia tentang kepentingan perkara ini.

Ayat ini adalah tentang kalalah. Kalalah maksudnya orang yang tiada waris yang dapat menerima harta pusaka peninggalannya kerana dia tidak mempunyai anak dan ibubapa. Para sahabat pada waktu itu masih keliru lagi tentang pembahagian Harta Pusaka. Pembahagian harta pusaka telah disebut di awal surah ini, jadi ini adalah penjelasan tambahan.

Maka kita boleh melihat bagaimana ayat-ayat tentang peninggalan harta ini tidaklah diletakkan pada satu tempat sahaja tetapi Allah ‎ﷻ telah menyusunnya di beberapa tempat. Kelebihannya adalah supaya pembaca Qur’an diingatkan di banyak tempat tentangnya. Kalau baca di satu tempat sahaja, mungkin sekejap sahaja sudah lupa. Tetapi apabila disusun di tempat lain juga, maknanya pembaca Qur’an akan selalu mendapat peringatan.

Kenapa perlu diingatkan banyak kali? Ini kerana hal harta ini adalah perkara yang sering menjadi punca kezaliman di dalam masyarakat kita. Mereka tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada penerima. Maka Allah ﷻ  benar-benar menekankan hal ini di dalam Qur’an.

Ayat ini diturunkan pada 9 Hijrah bermakna ia diturunkan setelah lama ayat-ayat yang lain dalam Surah Nisa’ ini diturunkan. Malah ada pendapat yang mengatakan ini adalah ayat terakhir yang diturunkan (namun tiada sepakat ulama mengenainya).

يَستَفتونَكَ قُلِ اللهُ يُفتيكُم فِي الكَلٰلَةِ ۚ إِنِ امرُؤٌ هَلَكَ لَيسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُختٌ فَلَها نِصفُ ما تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُها إِن لَّم يَكُن لَّها وَلَدٌ ۚ فَإِن كانَتَا اثنَتَينِ فَلَهُمَا الثُّلُثانِ مِمّا تَرَكَ ۚ وَإِن كانوا إِخوَةً رِّجالًا وَنِساءً فَلِلذَّكَرِ مِثلُ حَظِّ الأُنثَيَينِ ۗ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم أَن تَضِلّوا ۗ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They request from you a [legal] ruling. Say, “Allāh gives you a ruling concerning one having neither descendants nor ascendants [as heirs].” If a man dies, leaving no child but [only] a sister, she will have half of what he left. And he inherits from her if she [dies and] has no child. But if there are two sisters [or more], they will have two thirds of what he left. If there are both brothers and sisters, the male will have the share of two females. Allāh makes clear to you [His law], lest you go astray. And Allāh is Knowing of all things.

MALAY

Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga [2/3] daripada harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

يَستَفتونَكَ

Mereka meminta fatwa kepadamu

Para sahabat meminta fatwa dari Nabi ﷺ tentang hukum harta pusaka apabila mereka tiada penerima pusaka.

Ini mengajar kepada kita tentang sikap para sahabat. Mereka prihatin tentang hukum dan tentang perjalanan hidup mereka. Mereka akan mendapatkan keputusan dari Rasulullah ﷺ dan wahyu di dalam setiap sudut kehidupan mereka. Kalau terdapat perkara yang mereka musykil, mereka akan terus bertanya dan mendapatkan maklumat yang tepat.

Maka kita pun kenalah bersikap sedemikian. Selagi kita tidak faham tentang sesuatu perkara, haruslah bertanya lagi dan lagi sehingga kita faham. Janganlah malu untuk bertanya. Dan lebih penting lagi: jangan memandai-mandai membuat hukum sendiri.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak membuat keputusan sendiri dalam berhukum. Kalau baginda ditanya dan baginda tidak mempunyai jawapannya, maka baginda akan menunggu wahyu dari Allah ‎ﷻ untuk menjawab persoalan itu.

 

قُلِ اللهُ يُفتيكُم فِي الكَلٰلَةِ

Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, 

Hukum yang dimaksudkan adalah tentang Kalalah.

Lihat bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjawab pertanyaan sahabat. Inilah kelebihan para sahabat di mana persoalan mereka dijawab terus oleh Allah ‎ﷻ. Ini memberi tanda kepada mereka yang Allah ‎ﷻ mendengar persoalan mereka.

Dan ini juga adalah hikmah kenapa Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit dan tidak terus lengkap (seperti hujah Ahli Kitab yang mempersoalkan kenapa Qur’an tidak diturunkan terus lengkap). Apabila ayat turun banyak kali, ia dapat menangani permasalahan mereka pada masa itu. Dan mereka terus dapat mengamalkan ayat itu. Ini juga memberi ingatan yang kuat kepada mereka.

Dan juga apabila ayat Qur’an banyak kali turun kepada para sahabat pada waktu itu, mereka mendapat perasaan yang rapat dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana mereka sentiasa sahaja mendapat wahyu yang baru (dibandingkan dengan sekali turun sahaja dengan lengkap).

 

إِنِ امرُؤٌ هَلَكَ لَيسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُختٌ فَلَها نِصفُ ما تَرَكَ

jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati;

Dalam ayat ini disebut anak sahaja tetapi ia mewakili semua waris. Maknanya dia tidak ada langsung ashabul furud (yang layak menerima harta faraid). Tiada emak ayah pun dan yang ada hanyalah adik beradik sahaja.

Kalau dia mempunyai adik beradik perempuan, maka adik beradik perempuan itu akan mewarisi separuh daripada harta yang ditinggalkan. Dan yang separuh lagi diberikan kepada golongan yang dikategorikan sebagai asbat (jamak bagi asobah). Kalau tidak ada asobah, maka seluruh harta itu akan diberikan kepada saudara perempuannya itu.

Pengertian asobah: iaitu waris terdekat kepada si mati iaitu anak lelaki atau kaum kerabat sebelah lelaki sahaja. Mereka berhak mendapat kesemua baki harta.

 

وَهُوَ يَرِثُها إِن لَّم يَكُن لَّها وَلَدٌ

dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak.

Kalau yang meninggalkan harta itu pula adalah perempuan, dan dia mempunyai adik beradik lelaki, maka adik beradik lelaki itu akan mendapat kesemua hartanya.

 

فَإِن كانَتَا اثنَتَينِ فَلَهُمَا الثُّلُثانِ مِمّا تَرَكَ

Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga daripada harta yang di tinggalkan oleh si mati.

Sebelum ini, hukum kalau adik beradik itu seorang sahaja. Kalau yang meninggalkan harta itu mempunyai dua orang atau lebih adik beradik perempuan, mereka akan berkongsi 2/3 daripada harta-harta itu.

 

وَإِن كانوا إِخوَةً رِّجالًا وَنِساءً فَلِلذَّكَرِ مِثلُ حَظِّ الأُنثَيَينِ

Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”.

Dan kalau kombinasi adik beradik itu terdapat lelaki dan perempuan, maka kenalah bahagikan harta itu sampai lelaki akan mendapat dua kali ganda daripada bahagian perempuan.

 

يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم أَن تَضِلّوا

Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat.

Hukum pembahagian harta ini amatlah penting kerana kalau tersalah perkiraan, kemungkinan orang yang menerima harta pusaka itu dengan cara yang salah akan termakan benda yang haram dan tidak layak untuk masuk syurga. Ini adalah tidak berbaloi langsung.

Sekali lagi diingatkan yang pembahagian harta pusaka ini amatlah penting untuk diikuti. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan penerangan dengan terperinci maka kita sebagai hambaNya mestilah merendahkan diri dan menerima pembahagian yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan. Jangan ada langsung terdetik di dalam hati kita perasaan bahawa Allah ‎ﷻ tidak adil.

 

وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui. Kalau ada terambil mana-mana harta dengan cara yang salah, kalau manusia lain tidak tahu pun, tetapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.

Allahu a’lam. Habis tafsir surah an-Nisa’ ini. Sambung ke surah yang seterusnya: Surah al-Maidah.

Kemaskini: 18 Oktober 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s