Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 – 286 (Doa yang hebat)

Ayat 283: 

۞ وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ ۖ فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ ۗ وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ ۚ وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you are on a journey and cannot find a scribe, then a security deposit [should be] taken. And if one of you entrusts another, then let him who is entrusted discharge his trust [faithfully] and let him fear Allah , his Lord. And do not conceal testimony, for whoever conceals it – his heart is indeed sinful, and Allah is Knowing of what you do.

MALAY

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

 

وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ

Dan jika kamu berada dalam musafir

Dalam musafir pun kita menjalankan kehidupan biasa juga dan kadang-kadang kita berhutang juga atau memberi hutang yang bertempoh, juga berniaga, maka Islam juga menetapkan hukum dalam situasi begini.

 

وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ

sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang 

Kalau dalam musafir ada payah sikit sebab susah nak cari penulis dan saksi. Kena ingat yang zaman itu bukan semua boleh menulis. Maknanya, hukum asal masih berjalan, iaitu kena tulis juga surat perjanjian juga, dan kalau diri sendiri tidak boleh tulis, kena cari orang yang pandai menulis. Tapi kalau susah nak cari penulis dan saksi, maka kena ada barang gadaian.

Barang itu adalah barang yang ada harga, selalunya ia lebih berharga dari jumlah hutang itu. Sebagai contoh, mungkin hutang hanya seribu tapi kita beri cincin yang harganya dua ribu. Diberi cagaran ini supaya mudah orang untuk beri hutang kepada kita sebab dia pegang barang yang lebih mahal dari yang diberi. Apabila orang pegang barang yang lebih mahal, tentulah yang berhutang itu akan lebih terdesak untuk membayar hutang itu kembali.

Nota: Ayat ini bukanlah menghadkan pegangan barang hanya kalau semasa dalam perjalanan sahaja. Kalau bukan dalam musafir pun, kita boleh minta orang yang hendak berhutang itu memberikan kita memegang barang gadaian kalau kita tidak percaya sangat kepada dia.

Cuma ayat ini menyebut tentang musafir kerana kalau dalam musafir, mungkin tidak jumpa penulis maka waktu itu yang senang dilakukan adalah beri barang gadaian. Dan tidak dinyatakan penggunaannya di luar musafir kerana tidak mahu menyusahkan umat. Takut nanti kalau kena beri barang gadaian setiap kali berhutang, mungkin akan menyusahkan orang untuk berhutang pula.

Perlu juga diingatkan, kita memegang barang atau harta orang yang berhutang itu hanyalah untuk memastikan dia membayar hutang dia. Orang yang memegang barang gadaian itu tidak ada hak untuk mengambil kesempatan dari harta itu.

Sebagai contoh, kalau orang yang berhutang itu mencagarkan bangunan miliknya, kita tidak boleh sewakan bangunan itu dan makan duit sewa itu. Tapi kalau harta yang diberikan sebagai gadaian itu adalah binatang ternakan, boleh digunakan binatang itu untuk kenderaan dan diambil susunya, kerana semasa kita memegang binatang itu, kita kena beri makan kepada binatang itu.

 

فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا

Kemudian kalau satu pihak memberi amanah kepada pihak yang satu lagi   

Jika saling mempercayai sesama sendiri, bolehlah beri hutang tanpa barang gadaian.

 

فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ

maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanah yang diamanahkan kepadanya,  

Hendaklah orang yang berhutang itu sempurnakan amanah bayar hutang. Orang sudah beri kepercayaan dengan beri hutang tanpa ambil barang gadaian, janganlah ambil kesempatan pula.

Atau ia juga bermaksud kedua-dua pihak memegang amanah. Kalau diberikan gadaian kepada pemberi hutang, pemberi hutang itu sedang memegang amanah orang, kenalah simpan barang itu, jangan dijual pula sebelum tiba masa yang dijanjikan oleh penghutang untuk bayar hutang itu.

Yang berhutang pula, bayarlah hutang seperti yang dijanjikan (dari segi jumlah dan tarikh pembayaran). Kalau sudah berjanji hendak bayar dalam masa tiga bulan, bayarlah dalam masa tiga bulan atau lebih awal.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. 

Semua amanah ini dapat dipenuhi jikalau ada taqwa kepada Allah. Takut kepada Allah, takut kalau kita tidak memenuhi amanah dan janji itu, takut Allah akan murka kepada kita. Kalau tidak ada perasaan taqwa ini, maka susah nak tunaikan amanah.

 

وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ

Dan janganlah kamu menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.

Ini pula khitab kepada saksi. Jangan apabila dipanggil persaksian mereka oleh qadi, dia sembunyikan penyaksian pula. Salah kalau dia buat begitu. Bila dipanggil, kena datang.

 

وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ

dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. 

Kalau sembunyikan persaksian, berdosa hati dia. Maknanya, hati dia ada masalah.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita pinjam, kita pegang barang gadaian orang, kita jadi saksi atau sembunyikan persaksian, Allah lihat dan Allah akan balas perbuatan kita itu.


 

Ayat 284: Ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro Keempat surah ini yang menjadi Penutup surah ini. Ia memberi janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syariat Nabi yang terakhir. Umat Nabi Muhammad akan jadi bangsa yang memimpin dunia.

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

To Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. Whether you show what is within yourselves or conceal it, Allah will bring you to account for it. Then He will forgive whom He wills and punish whom He wills, and Allah is over all things competent.

MALAY

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. 

Ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa Surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah sahaja kerana langit dan bumi ini milik Allah sahaja, tidak ada entiti lain yang memilik alam ini.

Allah memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak dengan kita.

 

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota,

 

أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya, 

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu, Allah tetap tahu.

Allah nak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah tahu. Dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun nak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah sentiasa memerhati.

 

يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah tahu. Dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah masih akan hisab amalan kita. Maknanya, Allah ambil kira juga apa yang di dalam hati kita.

Bila diturunkan ayat ini, para sahabat amat risau kerana mereka kata kalau lidah dan anggota mereka, bolehlah mereka jaga lagi, tetapi kalau hati, mereka susah nak jaga. Kerana lintasan hati yang buruk banyak sangat, sampai tak boleh nak kawal. Jadi mereka tanya kepada Nabi, macam mana nak amal ayat ini? Sebab akan ada sahaja lintasan-lintasan hati kita yang tidak baik.

Nabi menjawab bahawa yang Allah akan azab bukanlah lintasan di dalam hati tetapi apa yang telah ada ‘azam’ di dalam hati. Kalau memang telah ada kesungguhan di dalam hati untuk melakukan sesuatu, barulah diambil kira. Kalau setakat lintasan hati sahaja, tidak dikira lagi. Alhamdulillah kalau begitu, kerana kalau tidak, susah kita.

 

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya

Allah mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah.

Lafaz غفرُ dari segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah sahaja.

 

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya

Kalau Allah nak seksa kita, kita tidak boleh buat apa untuk menghalangnya. Tapi ingatlah yang Allah maha adil.

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kenapa kita tidak boleh buat apa? Kerana Allah berkuasa atas segala sesuatu. Kena sedar yang kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hambaNya. Kita kena terima dan redha sahaja.


 

Ayat 285: Dalam hadis ada disebut bahawa dua ayat terakhir Surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi semasa Nabi Muhammad mi’raj bertemu Allah. Maka ianya adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah.

Ayat ini adalah Ayat Tabshir. Ianya tentang golongan yang Alah beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman macam mana? Macam dalam ayat ini.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL

The Messenger has believed in what was revealed to him from his Lord, and [so have] the believers. All of them have believed in Allah and His angels and His books and His messengers, [saying], “We make no distinction between any of His messengers.” And they say, “We hear and we obey. [We seek] Your forgiveness, our Lord, and to You is the [final] destination.”

MALAY

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

 

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, 

Nabi Muhammad sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Nabi kena percaya dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain.

Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tapi bayangkan keadaan Nabi waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat waktu itu sampaikan ramai yang kata baginda gila.

Baginda pun terkejut pada mulanya. Ingat kembali bagaimana terkejutnya baginda apabila pertama kali menerima wahyu, sampai baginda kena diselimuti apabila balik ke rumah dan baginda telah ditenangkan oleh Khadijah.

Kerana Nabi Muhammad percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Kalau tidak yakin, tentu baginda tidak sanggup.

 

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman; 

Begitu juga mukmin yang sempurna iman, beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal’, iaitu terima belaka wahyu yang disampaikan.

Allah sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad bertemu dengan Allah.

 

كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ

semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.

Sebelum ini disebut iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu perkara yang perlu diimani. Dari susunan ayat ini, kita boleh susun – Allah beri wahyu, sampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Disebut dalam ayat ini perkara-perkara yang penting untuk diimani. Kita telah percaya kepada Allah. Bagaimana percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanya hamba Allah, bukan wakil Allah. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Kita percaya bahawa semua kitab itu dari Allah. Tetapi yang kena ikut adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga.

 

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

Maksud ayat ini adalah semua rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi itu adalah utusan Allah juga. Tapi kepada Nabi Muhammad, kita ikut syariat baginda.

Oleh itu, kita dengan hadis kena ada hubungan. Kena belajar hadis-hadis Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi macam Yahudi yang tolak Nabi Isa. Dan jangan jadi macam Nasara yang tidak terima Nabi Muhammad sebagai Nabi.

 

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tapi tak taat, tak ikut, pun tidak berguna langsung. Berapa ramai dari kalangan orang kita tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tapi mereka tidak lakukan? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tapi mereka tidak taat. Jadi kalau kita tidak taat setelah dengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu.

Ini juga mengajar kita yang kita kena dengar wahyu Allah – kena belajar. Orang kita selalu kata mereka taat, tapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ini. Maka hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadis-hadis kerana hadis juga adalah wahyu dari Allah juga.

Golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Kalau susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Atheist yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.

 

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunanMu wahai Tuhan kami,

Kita minta ampun kepada Allah kerana kita banyak dosa. Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat. Tapi kenapa kita kena minta ampun lagi?

Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tak kisah tentang perkara ini.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah. Maka kita kena sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.


 

Ayat 286: Ini adalah huraian bahawa Allah tak azab kerana lintasan hati yang buruk. Kerana lintasan hati bukan perkara mukallaf – yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Tapi akidah dan sifat mazmumah tidak boleh ada walau dalam hati pun.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولَٮٰنَا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah does not charge a soul except [with that within] its capacity. It will have [the consequence of] what [good] it has gained, and it will bear [the consequence of] what [evil] it has earned. “Our Lord, do not impose blame upon us if we have forgotten or erred. Our Lord, and lay not upon us a burden like that which You laid upon those before us. Our Lord, and burden us not with that which we have no ability to bear. And pardon us; and forgive us; and have mercy upon us. You are our protector, so give us victory over the disbelieving people.”

MALAY

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

 

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Allah tidak bebankan manusia dengan apa yang kita tidak sanggup. Semua manusia mempunyai kapasiti menanggung beban yang berbeza. Ada orang yang boleh terima banyak beban dan ada orang yang tidak mampu.

Oleh itu, kita kena tengok kemampuan diri kita. Kita kena tanya diri kita, apakah usaha kita cukup dengan kebolehan kita? Kita kena lakukan sebaik mungkin untuk berkhidmat dalam dunia ini. Kemampuan itu kena ikut zaman dan suasana. Juga kena ikut kemampuan diri kita.

Ayat ini juga bermakna yang syariat yang Allah berikan kepada kita adalah yang boleh ditanggung manusia. Tidaklah Allah beri syariat yang manusia tidak mampu tanggung. Allah maha tahu kemampuan diri kita. Maka, Allah beri kepada kita syariat agama yang praktikal.

Maka ini bermakna tidak ada amalan agama yang tidak boleh dilakukan. Malah, kalau kita dalam keadaan susah untuk mengamalkan sesuatu syariat, ianya akan dimudahkan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita sakit, kita dibolehkan untuk solat duduk atau berbaring; zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu; haji kepada mereka yang boleh sampai sahaja; dan macam-macam lagi kemudahan dalam ibadat yang Allah telah berikan. Tidak diberati kepada mereka yang tidak mampu.

Ini juga bermakna yang kita boleh menanggung segala arahan yang dimasukkan oleh Allah dalam Al-Qur’an ini dan hadis dari Nabi. Kita boleh bawa Al-Qur’an dan amalkan ajarannya dalam kehidupan kita. Jangan kita rasa ianya berat sangat kerana ianya adalah sesuai dengan diri kita. Ini adalah kerana Allah sendiri yang cakap kita boleh.

Yang tidak rasa berat adalah orang yang beriman. Kalau tidak beriman, memang semua arahan agama mereka akan rasa berat.

 

لَها ما كَسَبَت

Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, 

Kita akan dapat pahala dari segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Dari segi bahasa yang digunakan, kalimah كَسَبَت menunjukkan yang amalan kebaikan itu mudah untuk dibuat. Maknanya, Allah mudahkan untuk kita buat pahala.

 

وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت

dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. 

Dan manusia akan tanggung dosa dari amalan keburukan yang dia lakukan. Dari penggunaan bahasa, perkataan اكتَسَبَت memberi isyarat bahawa dosa itu susah untuk dibuat.

Mungkin ada yang rasa hairan. Sebenarnya, dosa itu susah untuk dilakukan sebab ianya bertentangan dengan naluri diri kita sebagai manusia. Manusia memang tahu (dalam dirinya) yang perkara itu salah dan mereka yang melakukan dosa, sebenarnya melawan naluri fitrah manusia. Sebagai contoh, kalau menipu, bukankah hati kita akan gundah gulana dan berdebar?

Satu lagi, ianya bermaksud susah, kerana kalau kita buat dosa, Allah akan beri peringatan kepada kita dengan diberikan musibah. Maka, kalau ada musibah yang kena kepada kita, maka fikirkanlah mungkin ada kesalahan yang kita telah lakukan.

 

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa

Dalam ayat ini, Allah ajar doa kepada kita. Hamba yang mendapat taufik, akan berdoa dan dia akan diberikan dengan apa yang dia minta. Doa amat penting kerana semua amalan agama dimulakan dengan doa.

Untuk buat segala amal agama dan taat dalam agama, kena ada usaha. Sudah banyak hukum kita belajar dalam Surah Baqarah ini dan sekarang kita tentunya sudah mula rasa berat. Maka Allah ajar tentang doa di hujung surah untuk beri ‘kunci’ untuk mengamalkan hukum yang telah diberikanNya. Untuk memudahkan segalanya adalah dengan doa.

Inilah doa yang kita selalu baca: Jangan kira lagi dosa kami kalau kami buat dengan sengaja (sebab dalam hadis, Nabi terjemah perkataan نَسينا dengan maksud ‘sengaja’) atau ia juga boleh mengambil maksud dari lafaz terjemah ayat ini: terlupa.

Ini kerana kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita terlupa. Iaitu yang benar-benar terlupa, bukan buat-buat lupa! Sebagai contoh, solat empat rakaat tetapi terbuat tiga rakaat sahaja.

 

أَو أَخطَأنا

atau kami tersalah. 

Begitu juga, kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita tersalah. Tidak sengaja kita hendak menentang Allah, tapi kerana tersalah sahaja.

Jangan jadikan ini sebagai alasan tidak berdosa kerana ‘tidak tahu’ hukum. Kerana kita kena belajar agama dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tersalah. Kalau kita tidak belajar, nanti takut kita dipersalahkan kerana tidak belajar pula.

 

رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Jangan pikulkan kepada kami bebanan beragama – mudahkanlah agama kepada kami dengan beri tauhid kepada kami.

Maksud ayat ini, kita minta supaya agama tidak disusahkan untuk kita. Dari sejarah kita dapat tahu yang syariat yang diberikan kepada bangsa Bani Israil itu adalah amat berat dan beban sekali. Kita doa kepada Allah supaya jangan jadikan kita macam mereka, kerana mereka tidak mampu hendak menanggung bebanan syariat itu.

Syariat kepada Bani Israil itu amat berat. Antaranya, mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari Sabtu – hari kita adalah Hari Jumaat, tapi tidaklah kita sampai langsung tidak boleh bekerja. Allah suruh berhenti kerja waktu solat Jumaat sahaja.

Kita juga telah belajar dalam surah ini bagaimana hukuman kerana mengerjakan amalan syirik menyembah sapi adalah hukuman bunuh, sedangkan syariat Nabi Muhammad tidaklah sampai begitu; mereka telah diharamkan dari makan banyak jenis makanan; dan macam-macam lagi syariat yang berat-berat dikenakan kepada mereka.

Allah telah kabulkan doa orang Islam sebenarnya kerana Allah telah sebut yang Allah tidak memberati manusia melainkan yang dia sanggup sahaja.

 

رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. 

Sebelum ini tentang bebanan dalam syariat agama. Kali ini kita berdoa kepada Allah supaya jangan bebankan ujian dalam kehidupan yang kita tak mampu nak tanggung. Ini dalam hal takwini seperti sakit, hutang, anak yang degil dan macam-macam lagi.

 

وَاعفُ عَنّا

Dan maafkanlah kesalahan kami,

Lafaz وَاعْفُ عَنَّا adalah jawapan bagi ayat لَا تُؤَاخِذْنَا. Janganlah hukum kita dalam bebanan agama. Afwun adalah memaafkan seseorang kerana rasa sayang pada seseorang itu. Kita kata kepada Allah: Kerana sayang Kau kepada kami, maafkanlah kami kalau ada syariat agama yang kami tidak dapat penuhi.

 

وَاغفِر لَنا

serta ampunkanlah dosa kami,

Lafaz وَاغْفِرْ لَنَا untuk ayat وَلَا تُحَمِّلْنَا. Ampunlah kami kalau ada hukum kami tak mampu buat dan larangan kami tak mampu tinggal. Tutuplah kesalahan kami itu. Supaya orang lain tak nampak.

 

وَارحَمنا

dan berilah rahmat kepada kami.

Berilah rahmat kepada kami dengan beri kami taufik untuk menjalankan segala suruhan Engkau dan meninggalkan segala larangan Engkau, ya Allah.

Kasihanilah kami, ya Allah. Jangan beri ujian yang kami tak mampu tanggung. Jadi ada hubungan dengan وَلَا تُحَمِّلْنَا. Dibawa mari semula dalam potongan ayat ini.

 

أَنتَ مَولَٮٰنَا

Engkaulah Penolong kami;

Kita telah pernah sebut sebelum ini yang wali beza dengan mawla. Wali adalah mereka yang mahu menolong kita dan tidak semestinya boleh menolong. Tapi mawla adalah yang memang boleh menolong. Maksudnya, hanya Allah sahaja yang mampu melindungi kita, membantu kita dan menyelesaikan masalah kita.

 

فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Bantulah kami menegakkan agama Engkau, ya Allah. Kerana kadang-kadang dalam menjalankan tugas dakwah, ada orang yang tidak suka, sampaikan mungkin ke tahap kita kena lawan perang dengan orang kafir. Maka kita memerlukan nasrun dari Allah.

Nasrun adalah pertolongan yang besar. Maka, apabila berhadapan dengan orang kafir, maka kita hanya dapat berharap kepada bantuan dari Allah sahaja. Kita telah belajar, beginilah doa tentera Talut semasa hendak melawan tentera Jalut.

Allahu a’lam. Habislah sudah tafsir Surah Baqarah ini, alhamdulillah. Selepas ini kita akan mula belajar tafsir Surah Ali Imran. Surah Ali Imran adalah surah yang berpasangan dengan Baqarah. Kita akan lihat ada persamaan antara keduanya. Keduanya saling lengkap melengkapi sesama sendiri.

Kemaskini: 1 Februari 2020


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Surah Baqarah Ayat 282 (Penulisan Hutang)

Ayat 282: Ini adalah ayat terpanjang dalam Al-Qur’an. Lihatlah bagaimana Allah berikan penerangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Sebelum ini telah banyak disebut ayat tentang Infak iaitu ayat anjuran dari Allah.

Kemudian diterangkan pula ayat tentang Riba, iaitu larangan dari Allah. Pertengahan antara infak dan riba, suruhan dan larangan adalah perniagaan, pinjam meminjam sesama manusia. Itu adalah perkara yang halal tapi perlulah ditangani dengan baik.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ ۚ وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ ۚ وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا ۚ فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ ۚ وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم ۖ فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ ۚ وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا ۚ وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ ۚ ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا ۖ إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها ۗ وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم ۚ وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ ۚ وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, when you contract a debt for a specified term, write it down. And let a scribe write [it] between you in justice. Let no scribe refuse to write as Allah has taught him. So let him write and let the one who has the obligation dictate. And let him fear Allah , his Lord, and not leave anything out of it. But if the one who has the obligation is of limited understanding or weak or unable to dictate himself, then let his guardian dictate in justice. And bring to witness two witnesses from among your men. And if there are not two men [available], then a man and two women from those whom you accept as witnesses – so that if one of the women errs, then the other can remind her. And let not the witnesses refuse when they are called upon. And do not be [too] weary to write it, whether it is small or large, for its [specified] term. That is more just in the sight of Allah and stronger as evidence and more likely to prevent doubt between you, except when it is an immediate transaction which you conduct among yourselves. For [then] there is no blame upon you if you do not write it. And take witnesses when you conclude a contract. Let no scribe be harmed or any witness. For if you do so, indeed, it is [grave] disobedience in you. And fear Allah . And Allah teaches you. And Allah is Knowing of all things.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Orang yang beriman, kena pandang penting perkara ini. Ia mungkin nampak tidak penting atau tidak biasa diamalkan oleh kita selama ini, tapi orang beriman akan jaga perkara yang akan disebut sebentar lagi.

 

إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

Ini adalah ayat Umur Munazimah tentang hutang. Ianya mengajar kita untuk menulis maklumat hutang sesama kita. Walaupun ianya sunat, tapi kalau tak tulis, boleh jadi pecah belah dalam masyarakat dan itu yang hendak dielakkan oleh agama.

Kalau tidak ditulis, takut lupa (dan ada yang buat-buat lupa) dan jadi perbalahan apabila masa telah berlalu. Atau yang berhutang telah mati sebelum sempat hutang dibayar dan waris patut kena bayar, tapi kalau tidak ada maklumat, tentu waris pun berat hati nak bayar. Allah bantu orang yang memang ada niat hendak membayar hutang itu.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya. Hadith riwayat al-Bukhari: (2387)

Di sebaliknya pula, kalau memang tidak ada niat hendak membayarnya, maka amat bahaya bagi orang itu. Rasulullah SAW juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. Hadith riwayat Ibn Majah: (1969)

Maka bab hutang bukanlah perkara kecil yang boleh diremehkan. Kalau seseorang mati syahid tapi ada hutang yang tidak dilangsaikan, dia tak dapat masuk syurga terus, kena tunggu orang yang dia hutang itu di Mahsyar supaya dapat diselesaikan di situ. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya. Hadith riwayat Tarmidzi: (1079)

Nabi sampai tidak solatkan jenazah orang yang mati tapi ada hutang sehingga diselesaikan hutang itu sebab orang itu ada masalah dengan Tuhan. Oleh itu, tolonglah tulis hutang piutang sesama kita. Ini berdasarkan daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” Hadith riwayat al-Bukhari (2286)

 

وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ

dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil

Kalau kamu tak boleh tulis, biar ditulis oleh penulis yang adil. Iaitu orang yang boleh dipercayai. Diletakkan keperluan ini kerana zaman dulu ramai tak boleh baca dan tulis, jadi kena pergi minta tolong kepada orang lain.

Zaman sekarang, walaupun semua orang boleh dikatakan pandai menulis, tapi perjanjian seperti ini kita boleh juga pakai peguam. Jadi, sama sahaja, masih lagi memerlukan orang lain untuk tuliskan maklumat perjanjian hutang itu.

 

وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ

dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

Jangan penulis yang boleh menulis itu enggan untuk menulis. Jangan dia rasa buang masa dia sahaja nak kena tulis. Bila diminta untuk jadi penulis, hendaklah dia dengan rela hati, memenuhi hajat orang.

Sebagaimana Allah telah ajar mereka boleh menulis, maka gunakanlah kebolehan menulis itu. Allah sudah beri satu nikmat boleh menulis kepada mereka, kenalah gunakan untuk kebaikan.

Ini juga mengajar kita, kalau kita ada kelebihan yang Allah telah berikan, maka kita kena gunakan untuk kebaikan umum. Bukan dalam hal menulis sahaja. Mungkin ada yang pandai mengajar, bertukang, mengubat dan sebagainya, mereka kena jalankan apa yang mereka boleh buat. Ada sebab kenapa Allah beri kelebihan dan kepandaian kepada kamu itu, maka gunakanlah untuk kebaikan.

Lagi satu maksud yang kita boleh ambil dari potongan ayat ini, hendaklah penulis itu menulis menurut hukum Allah. Bukan pakai tulis  sahaja. Sebagai contoh, tidak boleh ada riba dalam peminjaman itu. Atau kalau ada unsur-unsur gharar atau zalim dalam perjanjian itu, kenalah penulis itu  tegur. Maka, yang menulis itu pun kenalah orang yang tahu hukum agama juga.

 

فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu membacakan/menyebut

Imla’ bermaksud baca supaya boleh ditulis. Yang kena tulis adalah orang yang berhutang, bukan yang beri hutang. Supaya dia tahu tanggungjawab dia. Kalau dia tulis atau dia yang sebut kepada penulis, dia tahu tanggungjawab dia. Tak boleh nak kata lain selepas itu. Yang beri pinjam pula kena ada supaya dia dengar apa yang dibacakan adalah betul.

Kena tulis sekali bila boleh bayar. Baru mudah nak kira dan agak bila pemberi pinjam boleh dapat duit itu balik. Kalau tidak ditetapkan tarikh, nanti penerima hutang boleh ambil kesempatan pula. Sedangkan mungkin yang beri hutang itu boleh beri pakai sekejap sahaja kerana dia pun nak pakai duit juga nanti.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا

Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.

Takutlah kepada Allah. Ini adalah peringatan kepada yang berhutang termasuk penulis itu. Kerana penulis itu kena tulis dengan tepat, jangan tulis lebih atau kurang pula.

Jangan tulis kurang atau lebih walau sedikit pun. Kerana kalau tulis sedikit, ianya adalah naya kepada pemberi hutang dan kalau tulis lebih, naya kepada penerima hutang pula.

 

فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ

jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak menyebut, maka hendaklah disebut oleh walinya dengan adil benar);

Kalau ada antara tiga sebab di atas, kenalah ditulis oleh walinya, atau walinya yang membacakan kepada penulis. Sebagai contoh, mungkin penerima hutang itu adalah seorang anak yatim, maka penjaganyalah yang kena mengambil tanggungjawab.

‘Safih’ adalah orang yang tidak pandai mengurus hartanya sendiri, mungkin kerana akalnya kurang. Dalam hal orang seperti ini, mahkamah boleh memegang hartanya dan hanya beri belanja bila perlu sahaja. Ini adalah untuk menjaga maslahah dia juga, kerana kalau dibiarkan, akan ada yang ambil kesempatan. Atau dia sendiri akan belanja sampai habis hartanya sendiri.

Dha’if pula adalah anak kecil yang belum  mumayyiz atau orang tua yang telah lemah ingatannya.

Yang tidak mampu adalah seperti mereka yang bisu, gagap dan sebagainya.

 

وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم

dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.

Untuk memastikan bahawa perjanjian itu akan dipenuhi, hendaklah dipanggil dua saksi lelaki. Kerana kalau kes itu kena bawa ke hadapan qadi, ada saksi yang boleh dipanggil untuk menjelaskan perkara sebenar. Mereka kenalah ada saksi semasa transaksi itu dijalankan dan mereka melihat dengan mata mereka sendiri.

Walaupun tidak disebut saksi kena adil,  tapi kerana telah disebut penulis dan wali kena adil, maka saksi pun begitulah juga sepatutnya.

Dari segi Fiqh, kalau saksi diambil dari kalangan bukan Muslim pun boleh juga, asalkan boleh dipercayai.

 

فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

Kalau cari punya cari, tak dapat dua saksi lelaki, maka bolehlah pakai seorang lelaki dan dua perempuan sebagai saksi. Maknanya, kena ada lelaki juga (sekurang-kurangnya seorang). Dan saksi itu hendaklah yang boleh dipercayai oleh kedua belah pihak.

Ini adalah salah satu dari ayat kontroversi. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai hujah bahawa ini menunjukkan yang Islam itu tidak adil terhadap wanita. Mereka kata ayat ini kata dua wanita baru sama dengan satu lelaki dan ini merendahkan martabat wanita.

Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya kepada Allah. Kita kena ingat yang ini adalah hukum dari Allah, jadi kena taat. Kalau Allah sudah kata kena pakai dua orang wanita sebagai ganti seorang lelaki, ikut sahaja kerana tentu ada kebaikan di dalamnya.

Kalau kita cuba nak jelaskan, ianya diberikan sebegini rupa kerana keadaan sosiologi masa itu. Perempuan selalunya tidak keluar rumah dan tidak menjalankan transaksi perniagaan atau hutang, jadi mereka mungkin tidak mahir dengan proses ini. Jadi, elok kalau ada dua orang.

Ayat ini tentang urusan berhutang dan transaksi perniagaan sahaja, bukannya hendak mengatakan yang wanita itu lebih rendah kedudukan dari lelaki pula. Kena baca dan faham ayat dengan konteks ayat itu.

Ada juga yang mengatakan ayat ini hanyalah sebagai irsyadi sahaja – iaitu sebagai panduan sahaja. Pendapat ini mengatakan kena tengok keadaan semasa. Kalau zaman sekarang, sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Mungkin ada perempuan yang lebih mahir dari lelaki pun dalam hal transaksi perniagaan, maka tidaklah perlu digunakan hukum ini dengan ketat. Allahu a’lam.

 

أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ

supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Kalau seorang saksi lupa, seorang boleh ingatkan. Kerana manusia itu sifatnya pelupa. Terutama kalau wanita. Kajian psikologi wanita juga semakin maju. Kita semakin tahu beza antara wanita dan lelaki.

Kalau wanita, mereka banyak perkara dalam fikiran mereka dan kerana itu tidak dapat nak fokus. Kalau jadi saksi, banyak perkara lain yang tidak terlibat pun mereka akan sebut sekali.

 

وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Janganlah orang-orang enggan jadi saksi apabila dipanggil. Janganlah rasa menyusahkan mereka pula kalau kena jadi saksi. Susahlah hendak menegakkan suruhan Allah kalau ada yang tidak mahu beri kerjasama. Tolonglah orang lain, kali ini mungkin kita tolong orang, nanti ada masa kita memerlukan pertolongan orang juga.

 

وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Jangan penulis jemu nak menulis. Kadang-kadang mungkin sudah banyak kali kena tolong orang untuk tulis, si penulis mungkin sudah rasa malas nak tulis. Maka, Allah beri peringatan dalam ayat ini.

Tulis surat hutang itu tidak kira sama ada tulis itu untuk jumlah yang sikit atau banyak. Kerana mungkin sikit pada kita, tapi banyak nilainya kepada orang lain. Atau nampak sikit sahaja sekarang, tetapi di kemudian hari, entah jadi perkara yang besar.

 

ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا

Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Yang disebut tadi adalah cara paling adil di sisi Allah untuk menjaga hubungan sesama manusia dalam hal hutang piutang. Jangan ada perbalahan nanti kerana semuanya telah tertulis.

Ia boleh memastikan penyaksian yang lebih tepat apabila dibawa saksi.  Kalau ada perbalahan, tentunya qadi memerlukan saksi yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar. Dan kalau ada dalam bentuk bertulis, lagi lah mudah untuk diadili.

Lebih dekat untuk tidak ada keraguan di kalangan kamu. Supaya tidak ada keraguan dalam urusan hutang. Dan tidak ada perbalahan. Kerana Islam mahu umatnya hidup dalam harmoni. Kerana bab duit ini, orang sanggup bertumbuk malah berbunuhan kalau tidak puas hati. Bagaimana nak dakwah kepada orang lain kalau hubungan sesama kita sendiri tidak selesai dan tidak boleh menjadi contoh?

 

إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Molek sekali dan dianjurkan sangat untuk tulis transaksi hutang melainkan pembelian tunai. Ini adalah keadaan apabila seorang beri duit dan seorang beri barang, terus dapat barang itu.

Dalam transaksi seperti ini, tak payah tulis kalau begitu kerana transaksi telah selesai, kedua-dua pihak telah dapat apa yang mereka kehendaki. Kalau zaman sekarang, tak payahlah nak minta resit setiap kali selepas beri barang. Takkan beli air secawan pun nak kena beri resit pula.

 

وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Kena ada saksi kalau pembelian itu jenis jangka panjang. Ini adalah pembelian yang bayar sekarang dan barang akan hantar lambat lagi. Sebab penjual sudah dapat duit dia, tapi pembeli belum lagi. Dan kalau tidak ada saksi, entah dia akan hantar barang atau tidak.

Kalau zaman sekarang, sudah ada resit bayaran, maka boleh pakai yang itu. Memang zaman sekarang sudah ada sistem untuk memastikan transaksi sebegini terjaga. Tapi bayangkan, 1,400 tahun dahulu pun Islam sudah mengajar tentang perkara ini.

 

وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Jangan bahayakan penulis, jangan pula marah mereka. Dan jangan susahkan juga bermaksud kena beri upah kepada mereka.

Jangan bahayakan saksi, jangan marah mereka beritahu kebenaran. Dan juga dianjurkan untuk beri upah kepada mereka.

Kenalah ada persetujuan dan tawar menawar dengan dengan penulis dan saksi sebelum transaksi dijalankan. Kena bincangkan berapa bayaran yang sesuai untuk mereka.

 

وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.

Kalau tak buat apa yang diarahkan oleh Allah, dikira langgar arahan Allah. Contohnya, kalau menyusahkan penulis dan saksi seperti mengugut mereka, maka kena jawap dengan Allah nanti.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

Asas yang paling penting adalah ada taqwa dalam hati kita. Kerana kalau ada taqwa, senanglah hendak menjalankan hukum-hukum dan arahan Allah. Semua hukum dan cara telah diberi, tapi kalau tidak ada taqwa, ia tidak dijalankan pun.

 

وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

dan (ingatlah), Allah mengajar kamu;

Allah ajar kita cara-cara Umur Munazimah ini supaya kita boleh hidup dengan aman harmoni dalam masyarakat. Tidak menyebabkan kerugian mana-mana pihak. Malangnya, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak tahu pun ada saranan dan cara berhubungan yang hebat sebegini dalam agama Islam.

 

وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah tahu apa sahaja yang kita lakukan. Allah juga tahu ada yang akan menipu dalam transaksi mereka sesama manusia. Maka mereka kena ingat bahawa Allah sudah pesan bahawa Dia maha tahu dan Dia akan membalas kesalahan mereka itu. Dalam dunia mereka mungkin selamat dan dapat untung, tapi di akhirat mereka akan kerugian yang amat sangat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Baqarah Ayat 275 – 281 (Riba)

Ayat 275: Dalam Allah banyak sebut tentang infak iaitu suruhan himpun harta kita di akhirat, dalam ayat ini Allah sebut pula tentang mereka yang himpun harta di dunia dengan cara haram.

Sudahlah himpun harta kemudian tidak infak (itu pun sudah tidak molek), tapi masih boleh lagi. Masalahnya sekarang mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka himpun harta mereka itu dengan cara haram.

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۗ  وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ  فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who consume interest cannot stand [on the Day of Resurrection] except as one stands who is being beaten by Satan into insanity. That is because they say, “Trade is [just] like interest.” But Allah has permitted trade and has forbidden interest. So whoever has received an admonition from his Lord and desists may have what is past, and his affair rests with Allah . But whoever returns to [dealing in interest or usury] – those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba

‘Makan’ dalam ayat ini maksudnya ambil riba. Kerana yang memberi hutang berlandaskan riba itu adalah untuk mereka makan sebenarnya, untuk menjaga perut mereka supaya kenyang sentiasa. Mereka sudah tidak kira kesusahan orang lain.

Mereka ambil keuntungan atas kelemahan dan kesusahan manusia dengan cara yang langgar syarak. Mereka buat duit menggunakan duit. Mereka beri pinjam kepada manusia dan minta bayaran yang lebih dari modal yang diberi. Mereka mendapat kekayaan dengan cara yang haram sedangkan banyak lagi cara halal yang lain.

Pada Zaman Jahiliah, jikalau orang yang meminjam tidak dapat membayar selepas waktu yang telah dijanjikan, hutang itu akan digandakan. Kalau tidak bayar juga selepas setahun, akan digandakan sekali lagi.

Makanya, hutang yang asalnya sedikit akan menjadi berganda-ganda. Hutang itu sampaikan boleh jadi turun temurun, kena dibayar oleh anak beranak yang meminjam kalau mereka mati dahulu tak sempat bayar semua hutang.

 

لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ

tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.

Ini adalah keadaan mereka yang mengambil riba. Keadaan mereka itu macam orang kena rasuk hantu. Memang tak macam manusia biasa. Rambut kusut masai, jalan hoyong hayang. Sudah tak dapat nak nasihat dekat mereka lagi kerana mereka tak dengar dengar nasihat.

Mereka ke sana dan ke sini sebab nak kutip duit mereka dari orang yang berhutang dengan mereka. Mereka menjadi bengis sebab nak kutip hutang dari orang yang berhutang.

Mereka sentiasa mengira-ngira duit mereka, risau siapa tak bayar lagi, siapa akan bayar lambat lagi… ada yang sudah mati tidak dapat bayar, ada yang lari, ada yang degil tak mahu bayar…. kepala mereka asyik pusing memikirkan duit mereka sahaja.

Ayat ini menjadi dalil bahawa memang jin ada merasuk manusia. Memang ianya berlaku dan banyak terjadi dalam masyarakat kita. Malangnya ramai menggunakan cara yang salah untuk mengubati pesakit dengan amalan-amalan yang salah. Tapi ianya adalah perbincangan yang panjang untuk dibincangkan di sini.

Di dunia ini, kalau hendak lihat mereka yang berperangai macam kena rasuk syaitan, boleh lihat mereka yang bekerja di Bursa Saham. Kalau tengok masa closing time bursa, mereka sudah macam orang gila atau seperti monyet yang kepanasan.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”.

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka kata riba itu halal sama macam perniagaan biasa. Ini adalah hujah mereka untuk membenarkan apa yang mereka lakukan.

Ini adalah alasan mereka sahaja. Mereka kata mereka cuma menjalankan perniagaan sahaja. Kerana wang yang mereka beri pinjam itu, kalau mereka laburkan ke tempat lain, mereka akan dapat pulangan juga (kata mereka). Dan macam-macam lagi hujah bathil mereka untuk membenarkan amalan riba mereka itu. Teruk sekali fahaman dia.

Padahal, tidak sama hutang riba dan perniagaan. Perniagaan adalah seorang pembeli memerlukan barang yang dibekalkan oleh penjual. Penjual membekalkan barang yang diperlukan dengan harga modal dicampur dengan untung usahanya menyediakan barang itu. Maka dua-dua pihak akan dapat keperluan masing-masing. Pembeli dapat barang yang diperlukan dan penjual dapat untung.

Kalau hujah mereka kata, wang mereka itu kalau mereka niagakan atau dilaburkan, pun akan duit juga. Jadi mereka kata tidaklah salah kalau mereka beri pinjam dan kemudian dapat pulangan. Ini pun tidak benar. Kerana kalau niaga, belum tentu dapat untung; dan kalau laburkan, belum tentu dapat pulangan. Sedangkan dalam beri pinjaman riba, pulangan sudah pasti.

Zaman sekarang, macam tak boleh lagi untuk mengelak dari terlibat dengan riba. Di mana-mana sahaja ada riba. Untuk beli rumah, beli kereta dan sebagainya. Yang lebih malang, anak-anak kita masuk universiti pun kena buat pinjaman yang ada riba juga. Bila keluar universiti, kerja belum tentu dapat lagi, tapi sudah mula kena bayar bunga riba.

Maka memang menjaga dari terlibat dengan riba ini memerlukan semangat juang yang amat tinggi. Kena sedar yang riba itu memang bahaya dan kalau sedar bahayanya riba, barulah semangat kuat untuk lawan dari terlibat dengan riba.

 

وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Hujah membenarkan riba dengan akal itu adalah bathil kerana Allah dengan jelas telah mengharamkan riba. Ianya menyusahkan manusia dan menyebabkan masalah ekonomi dunia. Yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin.

Bayangkan pembelian rumah. Rumah yang boleh dibeli asalnya, menjadi mahal sangat sampai tidak mampu diberi secara tunai. Rumah yang 20 tahun dahulu berharga 20 ribu, mungkin sekarang sudah berharga sejuta kerana telah dimasukkan dengan unsur riba.

Ini adalah kerana pembeli pertama akan pinjam wang dari bank yang kenakan riba. Kemudian apabila dia hendak jual, tentu dia akan jual lebih mahal kerana nak masukkan kos riba yang dia telah bayar, termasuk dengan keuntungan dia. Yang beli pula kena pinjam bank pakai riba juga. Kemudian dia pun akan jual mahal lagi.

Maka rumah yang menjadi keperluan asas manusia jadi mahal sangat sampai susah nak dibeli. Akhirnya mana orang nak duduk? Oleh kerana terpaksa juga ada rumah, maka ramailah yang hendak tak hendak, pakai juga sistem riba. Itulah keburukan riba sampai merosakkan ekonomi dunia.

Kajian telah banyak dijalankan untuk menunjukkan bagaimana konsep riba itu adalah buruk kepada ekonomi negara dan malah dunia. Kalau dikaji kenapa ada orang yang hidup di gelandangan, ekonomi negara runtuh sampai tidak ada pekerjaan dan matawang jadi susut sampai tiada nilai… ia adalah kerana riba.

Kitalah umat Islam yang kena sampaikan ajaran Allah tentang keburukan riba ini supaya manusia yang bukan Islam pun boleh tahu. Malah, ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana nampak keburukan riba dan melihat bagaimana agama Islam sahaja agama yang menentang riba.


  

فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan dari Tuhannya lalu dia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya,

Boleh ambil modal/pokok yang telah diberikan dahulu. Ini kerana semasa ayat ini turun, ada sahabat yang amalkan riba. Tidaklah terus tinggalkan transaksi itu sampai dia kerugian pula. Allah tidak menyusahkan. Masih boleh ambil balik wang dia.

Tapi hanya ambil yang pokok sahaja. Maksudnya, kalau dia beri pinjam seratus riyal dan peminjam kena bayar 150 riyal, dia boleh ambil balik seratus riyal itu sahaja. Bunga dia tidak boleh ambil.

Satu lagi maksud ayat ini, ‘baginya apa yang lepas’. Maksudnya yang sudah itu, sudahlah. Berhenti sahaja dari buat riba, tapi tidaklah perlu nak ganti bayar balik kepada penghutang yang sudah banyak kamu makan harta mereka.

 

وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ

dan perkaranya terserahlah kepada Allah. 

Terpulanglah kepada Allah sama ada akan mengampunkannya atau tidak. Serahkan kepada Allah semoga Allah ampunkan. Asalkan kita mahu berubah dan bertaubat di atas kesalahan yang lama.

Sama juga macam perbuatan syirik sembah berhala yang kamu lakukan dahulu, minta ampun sahaja. Benda yang sudah dibuat jangan dikenang lagi. Kerana perkara yang dilakukan dahulu adalah kerana jahil. Sekarang Allah sudah beri ilmu, maka taat dan ikutlah ia.

 

وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, 

Ini adalah orang yang degil, liat untuk ikut syariat dan hukum dari Allah. Kalau masih berdegil juga, syariat telah diberikan tapi masih tak mahu ikut juga, maka tempat yang layak baginya adalah neraka.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Bukan tinggal di neraka sekejap sahaja, tapi selama-lamanya, tidak ada harapan untuk diampunkan. Ini adalah amaran yang amat berat sekali. Oleh kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat, maka hukumannya pun berat.

Malangnya, orang kita tidak berapa ambil kisah tentang riba. Kerana ia sudah diamalkan merata-rata. Ini sama seperti amalan bidaah yang sudah turun temurun diamalkan dalam masyarakat. Kita rasa ia biasa sahaja kerana ia sudah lama diamalkan. Dan ramai orang terlibat, maka kita anggap ia biasa sahaja.


 

Ayat 276:

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُربِي الصَّدَقٰتِ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah destroys interest and gives increase for charities. And Allah does not like every sinning disbeliever.

MALAY

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

 

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ

Allah musnahkan riba 

Riba mesti dimusnahkan habis-habisan kerana keburukan yang amat sangat. Ia amat menyusahkan manusia dan menyebabkan kemunduran ekonomi.

Ia juga bermaksud yang Allah tidak memberi berkat kepada harta yang diperoleh melalui cara riba. Memang kalau lihat, perniagaan berunsurkan riba amat menguntungkan, tapi ia tidak ada berkat. Apabila tidak ada berkat, maka ia tidak berguna langsung. Ia tidak memberi kebaikan malah akan menyusahkan kita.

 

وَيُربِي الصَّدَقٰتِ

dan Dia pula mengembangkan sedekah-sedekah

Allah menyuburkan sedekah. Ada banyak kebaikan sedekah dan kita telah sebutkan balasan Allah kepada mereka yang infak pada jalan Allah. Sedekah mendekatkan hubungan antara yang memberi dengan yang diberi; dan yang diberi sedekah itu tentunya mendoakan si pemberi sedekah itu. Balasan dari Allah dapat, hubungan dengan manusia pun baik juga.

 

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Allah tidak suka kepada mereka yang melanggar hukum yang telah ditetapkan. Riba adalah sesuatu berat dan kalau ada yang tidak mahu ikut cakap, Allah amat marah. Kita pun sudah lihat hukuman Allah akan mengekalkan pelakunya kekal dalam neraka.


 

Ayat 277: Ini adalah ayat Tabshir (beri berita gembira).

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who believe and do righteous deeds and establish prayer and give zakah will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, 

Beriman itu maksudnya beriman dengan sempurna dan tidak melakukan syirik.

Beramal soleh itu pula adalah melakukan amal ibadah yang ada contoh dari Nabi. Maka ini menolak amal ibadah rekaan seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Amalan yang bukan dari contoh Nabi dan para sahabatnya dinamakan bidaah.

 

وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ

dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

Allah menyebut dua jenis hubungan iaitu hubungan dengan Allah (ibadat) dan hubungan dengan makhluk (adat). Solat adalah ibadat terbaik dan zakat adalah contoh terbaik dari adat.

Masyarakat Islam yang mengamalkan solat berjemaah dan mengeluarkan zakat adalah masyarakat yang tidak mengamalkan riba. Sepatutnya dalam masyarakat Islam, yang kaya menolong yang miskin supaya tidak perlu sangat meminjam.

Yang kaya sepatutnya suka untuk infak dan yang miskin tidak meminta-minta yang tidak perlu kerana mereka tahu yang Islam tidak suka umatnya meminta-minta kecuali kalau terdesak. Maka, mereka akan belajar redha dengan keadaan mereka.

 

لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah janjikan pahala kepada mereka yang sebegitu. Allah maha pemurah dan sanggup untuk beri balasan yang berganda-ganda asalkan mahu taat kepadaNya.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak ada ketakutan untuk menghadapi akhirat.

Mereka tidak berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.


 

Ayat 278:

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, fear Allah and give up what remains [due to you] of interest, if you should be believers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Dengarlah wahai orang yang beriman. Allah ulang pengajaran tentang riba. Orang yang hendak beriman, kenalah mengikutnya.

 

اتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah

Ikutlah dan jagalah segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Tanda orang bertaqwa adalah mereka akan memikirkan apakah hukum dalam sesuatu perkara itu dan akan taat kepada hukum itu.

 

وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ

dan tinggalkanlah saki baki riba 

Jangan buat langsung riba itu. Kalau dulu ada mengamalkan riba, jangan buat lagi. Tinggalkan 100%. Jangan terlibat langsung.

Ayat-ayat tentang riba ini diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi, maka perincian tentang hadis tidak banyak. Maka peganglah nasihat dari Saidina Umar ini:

“Sesungguhnya ayat Qur’an yang akhir sekali turunnya adalah ayat Riba. Dan Rasulullah telah wafat, padahal belum seluruhnya baginda terangkan kepada kita. Oleh kerana itu, tinggalkanlah mana yang menimbulkan keraguan di dalam hati kamu dan pilihlah apa-apa yang tidak menimbulkan keraguan.”

 

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Kalau kamu beriman, maka kamu akan ikut. Sudah tidak hanya melihat kepada keuntungan harta sahaja. Kena fikirkan baik buruk di akhirat kelak. Harta kita boleh sahaja cari dengan cara yang halal.


 

Ayat 279:

فَإِن لَّم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you do not, then be informed of a war [against you] from Allah and His Messenger. But if you repent, you may have your principal – [thus] you do no wrong, nor are you wronged.

MALAY

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

 

فَإِن لَّم تَفعَلوا

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan

Kalau sudah tahu hukum haram riba, tapi masih degil juga…maka dengarlah sekarang ancaman berat dari Allah!

 

فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,

Allah iklan isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba ini.

 

وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.

Walaupun sudah diharamkan riba, tapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba sebanyak 100 ringgit di mana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal.

 

لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak dari yang diberi adalah zalim. Islam tidak membenarkan kita zalim kepada orang.

Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus lupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba.


 

Ayat 280:

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if someone is in hardship, then [let there be] postponement until [a time of] ease. But if you give [from your right as] charity, then it is better for you, if you only knew.

MALAY

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

 

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,

Kalau kita tidak sedekah terus pun, sekurang-kurangnya kita beri pinjaman (tanpa riba). Ini pun dikira bantu juga. Kerana kalau kita beri sedekah, orang itu mungkin tidak berusaha untuk membalasnya dan dia jadi malas. Mungkin pada sesetengah orang, beri pinjam lebih baik dari beri sedekah.

Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar. Sama ada diberi pinjam dengan persetujuan riba atau tidak, kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dan dia sudah usaha nak bayar, cuma tidak boleh sahaja.

Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia nak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan  bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu.

 

فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ

maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya 

Kita beri pinjaman adalah untuk bantu kawan dan saudara kita. Maka teruskan bantu dia. Tengoklah keadaan dia mampu bayar atau tidak. Jangan dia tidak mampu bayar, kita paksa pula. Wajib bagi masa hingga dia boleh bayar. Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat begini.

 

وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم

dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu, 

Dengan kita beri pinjam, tanpa ambil riba, kita sudah dapat pahala kerana kita telah membantu orang. Dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam.

Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata: tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya.

Dan masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Al-Qur’an dan yakin benar dengan rezeki dari Allah. Dan dia yakin balasan dari Allah kepada mereka yang infak.

Orang yang yakin dengan Al-Qur’an sahaja akan sanggup buat begini. Ini kerana nasihat ini diberikan dalam Al-Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Al-Qur’an, macam mana nak tahu?

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu mengetahui 

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan lepaskan peluang untuk menyedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu. Biarlah tidak dapat pulangan di dunia, tapi dapat pulangan berganda di akhirat kelak.


 

Ayat 281: Jumhur ulama’ kata ayat ini adalah ayat terakhir turun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And fear a Day when you will be returned to Allah . Then every soul will be compensated for what it earned, and they will not be treated unjustly.

MALAY

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

 

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. 

Allah sentiasa suruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat. Kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, 

Dan apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, sama ada baik atau jahat.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak dizalimi. 

Allah tidak akan menzalimi hambaNya di mana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda dari amal perbuatan baik kita itu.

Dan kita tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Tapi Allah tidak akan tersalah buat keputusan.

Dan dosa hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir al-Azhar

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Baqarah Ayat 270 – 274 (Infak kepada guru agama)

Ayat 270:

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ ۗ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

SAHIH INTERNATIONAL

And whatever you spend of expenditures or make of vows – indeed, Allah knows of it. And for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

 

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan dari infak

Tidak disebut infak apa dalam ayat ini. Maka ia boleh merujuk kepada infak untuk jalan Allah atau infak kepada maksiat.

 

أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ

atau apa sahaja yang kamu nazarkan

Nazar disebut dalam ayat ini kerana nazar pun adik beradik infak juga. Sama ada nazar pada jalan Allah atau ke jalan maksiat.

Nazar adalah satu janji untuk melakukan sesuatu jikalau sesuatu terjadi. Sebagai contoh, kita bernazar untuk infak kepada sekolah agama kalau anak kita dapat keputusan yang baik.

 

فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ

sesungguhnya Allah mengetahuiNya

Allah nak beritahu yang apa sahaja yang kita infakkan untuk kebaikan, Allah tahu, maka tak payah sibuk beritahu kepada orang. Kerana kita harap pahala dari Allah sahaja.

Allah nak ingatkan yang kalau kita infak atau nazar kepada keburukan, pun Allah tahu juga.

 

وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Allah nak ingatkan yang kalau sesiapa infak kepada perkara keburukan, Allah akan beri balasan azab dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia.


 

Ayat 271: Kadang-kadang kerana tuntutan semasa, kita kena zahirkan sedekah kita. Terutama kalau zakat wajib. Ini pun bagus juga supaya orang kaya lain pun ikut keluarkan zakat sebab ikut kita. Sampai ulama kata sunat untuk menzahirkan zakat wajib.

Tetapi jika ‘sedekah sunat’, disunatkan untuk merahsiakannya untuk menjaga keikhlasan. Kerana takut ada timbul suka dalam hati kita kalau ada orang nampak.

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

If you disclose your charitable expenditures, they are good; but if you conceal them and give them to the poor, it is better for you, and He will remove from you some of your misdeeds [thereby]. And Allah , with what you do, is [fully] acquainted.

MALAY

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

 

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik

Ayat ini memberi hukum bahawa boleh untuk kita zahirkan sedekah kita. Kadang-kadang itu adalah sebaik-baik cara. Tapi kena tengok keadaan.

Kadang-kadang ada suasana yang apabila kita mula keluarkan sedekah, orang lain ada ikut. Ada satu hadis bagaimana semasa Nabi di dalam satu majlis dengan para sahabat, telah datang seorang peminta sedekah. Nabi suruh mereka membantu peminta sedekah itu. Tapi tidak ada sesiapa pun yang bangun membantu pada mulanya. Tetapi seorang sahabat telah bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Melihat perbuatan sahabat yang pertama itu, para sahabat yang lain pun mulai bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu.

Maka Rasulullah memberitahu yang sahabat yang mula buat itu dapat pahala sedekah sahabat-sahabat yang lain juga.

“Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebenaran) adalah baginya pahala sebagaimana pahala bagi orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan pahala tersebut sedikitpun” (Sahih Muslim)

 

وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu;

Tetapi kalau kita sembunyikan sedekah itu dan berikan pada tempat yang betul, itu lebih baik. Kerana hati kita terjaga dari sifat riak dan ujub.

Memberi pada tempat yang betul adalah lebih baik. Ini penting kerana kadang-kadang manusia beri kepada tempat tak kena. Maka, kita bukan sahaja kena sedekah, tetapi kena pandai memilih tempat pemberian yang sesuai. Dalam ayat ini disebut fakir miskin, kerana mereka antara golongan yang amat memerlukan bantuan dari orang lain.

 

وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم

dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu.

Berkat dari amalan infak, Allah akan tutup dosa-dosa kita. Allah sebut dalam ayat ini, ‘sebahagian’ dari dosa-dosa kita. Maknanya, bukan semua dosa akan ditutup. Kalau dosa kecil, Allah ampunkan terus.

Tapi kalau dosa besar, Allah akan gerakkan hati kita untuk bertaubat. Ini adalah kerana perkataan من maksudnya ‘sebahagian’ dan bukan semua. Dosa-dosa yang besar hendaklah kita minta ampun secara khusus.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Sama ada kita beri secara zahir atau kita sembunyikan sedekah kita itu, Allah tahu. Maka janganlah kita risau sama ada Allah balas atau tidak. Tak perlu kita nak beritahu kepada orang lain, yang penting Allah sudah tahu. Dan yang kita pentingkan adalah Allah sedar apa yang kita lakukan, bukan?


 

Ayat 272: 

۞ لَيسَ عَلَيكَ هُدِىٰهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Not upon you, [O Muhammad], is [responsibility for] their guidance, but Allah guides whom He wills. And whatever good you [believers] spend is for yourselves, and you do not spend except seeking the countenance of Allah . And whatever you spend of good – it will be fully repaid to you, and you will not be wronged.

MALAY

Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

 

لَيسَ عَلَيكَ هُدىٰهُم

Tidaklah ke atas engkau memberi hidayah kepada mereka

Tak boleh berhenti dari buat baik kalau apa yang kita hendak tidak menjadi. Contohnya, mungkin kita tolong orang supaya dia ikut kita belajar, tapi dia tetap tak mahu nak datang. Atau kita bantu dia kerana kita nak nasihat dia jadi orang yang baik, tapi itu tidak terjadi.

Kadangkala kita mungkin rasa sia-sia sahaja kita infak dan bantu orang dan orang itu tidak jadi seperti yang kita harapkan. Allah ingatkan dalam ayat ini yang janganlah kita sampai berhenti dari menolong dia.

Kerana beri hidayah bukan atas kuasa kita. Zaman Nabi pun jadi macam itu. Sahabat ada yang tolong keluarga mereka yang kafir tapi mereka tak mahu juga masuk Islam. Mereka sampai satu ketika sudah tak mahu nak tolong keluarga mereka lagi. Jadi Allah tegur perbuatan mereka itu. Allah ingatkan yang bukan kita yang beri hidayah kepada orang lain.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ

akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya 

Kita hanya boleh sampaikan dakwah sahaja. Kita hanya boleh mengajak sahaja. Allah sahaja yang boleh beri hidayah. Jadi jangan rasa bersalah kalau orang yang kita dakwah itu tidak mahu menerima dakwah itu. Kerana hidayah dan iman di dalam tangan Allah.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم

Dan apa jua harta yang halal yang kamu infakkan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri

Jangan berhenti dari infak termasuk kepada orang yang tidak ikut ajakan dakwah kita. Kerana kalau mereka masih tidak mahu beriman, tidak mahu datang belajar agama, kita masih juga dapat pahala infak itu. Maka tidaklah sia-sia perbuatan infak kita itu kerana pahala sudah tertulis.

 

وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ

dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah

Hendaklah kita infak kerana mencari redha Allah. Inilah tujuan kita infak sebenarnya. Maka kalau kita infak kerana hendak mengubah seseorang, kena ingat balik yang kita infak itu adalah kerana mencari redha Allah, bukannya kerana hendak ubah orang. Ubah orang ke arah kebaikan itu adalah bonus sahaja.

Ayat ini sebenarnya adalah ayat arahan dari Allah walaupun ianya dalam jumlah khabar (pemberitahuan). Nampaknya macam ayat beritahu, tapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan. Macam kita cakap kepada anak-anak kita: “ingat yer… keluarga kita tidak ada kurang ajar dengan orang tua…” Ayat itu macam ayat beritahu (ayat khabar), tapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan dan peringatan.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم

dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu

Nescaya infak kita itu akan dibalas dengan baik di akhirat. Pahala infak tetap akan dapat. Ini adalah janji dari Allah dan kalau Allah yang janji, tentu Allah akan tepati.

 

وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

dan kamu tidak akan dizalimi

Maksudnya tidak kurang pahala yang Allah balas dari infak kita itu. Malah Allah beri berlebih-lebih kali ganda lagi.

Contoh bagaimana Allah beri lebih lagi kepada kita: Kadang-kadang kita nak beri kepada orang lain supaya ikut kita belajar, tapi kadang-kadang Allah beri orang lain yang ikut kita.

Maknanya Allah ganti dengan orang lain. Maka, yang kita infak itu, kita dapat pahala infak walaupun dia tidak ikut belajar. Dan yang ikut belajar itu pun kita dapat pahala dakwah pula.


 

Ayat 273: Allah ajar kita untuk memilih tempat infak dengan terbaik. Infak yang elok adalah kepada fakir miskin seperti yang telah disebut. Tapi yang terbaik adalah kepada fakir miskin yang sedang menegakkan agama Allah.

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

[Charity is] for the poor who have been restricted for the cause of Allah , unable to move about in the land. An ignorant [person] would think them self-sufficient because of their restraint, but you will know them by their [characteristic] sign. They do not ask people persistently [or at all]. And whatever you spend of good – indeed, Allah is Knowing of it.

MALAY

Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

 

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ

bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya pada jalan Allah

Infak terbaik yang boleh kita berikan adalah kepada fakir miskin yang terikat mereka itu di jalan Allah.

Sebab fakir miskin ada juga yang tidak baik, tidak beriman dan mungkin jadi fakir sebab mereka malas bekerja sahaja. Tapi ada fakir miskin yang mengajar agama, berdakwah dan kerja-kerja lain dalam agama.

Mereka telah ‘mengikat’ diri mereka di jalan Allah sampai tidak ada masa mencari harta. Mungkin mereka telah mewakafkan diri mereka untuk mengajar Al-Qur’an kepada masyarakat atau mengajar hadis kepada manusia. Infak kepada mereka seperti ini adalah yang terbaik.

 

لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ

yang tidak berupaya mengembara di muka bumi untuk mencari rezeki

Mereka tidak sempat ke sana sini untuk mencari rezeki kerana sibuk mengajar. Mereka perlu dibantu kerana kalau mereka sibuk cari pendapatan, mereka akan kurang kerja pada agama.

Kita kena sedar yang mereka itu bukan malas bekerja, tapi mereka rasa tugas mereka mengajar atau berdakwah itu lebih penting lagi untuk kepentingan masyarakat.

Ada guru agama yang ada kerja dan mereka mengajar separuh masa. Maka mereka seperti ini tidak memerlukan bantuan orang lain. Mereka lebih suka tidak mengambil apa-apa dari anak murid.

Tapi ada guru agama yang memang sepenuh hidup mereka mengajar agama. Mereka tidak ada kerja lain. Maka kepada mereka yang sebegini, kenalah bantu mereka. Tidak perlu tunggu mereka meminta.

 

يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ

orang-orang yang jahil menyangka mereka itu kaya kerana kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.

Orang yang jahil agama sangka mereka yang mengajar itu kaya raya sebab mereka itu tidak meminta-minta. Yang jahil sangka, orang yang susah tentulah minta tolong, bukan? Tapi guru-guru agama itu tidak meminta-minta tolong pun, relaks sahaja nampaknya. Jadi orang jahil sangka: Mereka tak minta tolong, tentu mereka itu sudah cukup keperluan.

Ingatlah yang mengajar itu tidak meminta-minta dengan orang, tetapi mereka akan berdoa kepada Allah. Allah akan bantu mereka kerana Allah sudah berjanji nak beri jalan keluar kepada orang yang bertaqwa.

 

تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم

Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat mereka 

Kamu yang mengaji agama akan kenal mereka yang memerlukan pertolongan dengan melihat cara hidup mereka. Lihatlah bagaimana cara mereka pakai, bagaimana cara mereka makan dan sebagainya.

Maka kena sensitiflah sedikit dengan perhati memek muka mereka, pakaian mereka, cara mereka bercakap yang mungkin mereka ada sebut keperluan mereka dengan amat berhalus. Dalam hal ini kena faham-fahamlah.

 

لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا

mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. 

Mereka tidak meminta kepada manusia dengan cara sungguh-sungguh. Mereka tidak minta dengan cara yang memalukan. Mereka tidak malukan diri mereka dengan minta dengan cara yang kuat.

Mungkin mereka beri isyarat sahaja. Dan kalau dia nampak kita macam berat nak beri, dia dengan segera kata sebenarnya dia tidak perlukan pun. Mereka yang jahil, akan rasa kalau dia tidak minta bersungguh-sungguh, tentulah dia tidak perlu mana.

Tapi Allah sudah beritahu sifat mereka – mereka tidak mendesak. Mereka memang memerlukan, tapi mereka tidak mendesak-desak seperti orang lain. Kerana pengharapan mereka telah letakkan pada Allah. Tambahan pula dalam kerja mengajar agama ini, takut orang salah faham. Ramai yang jahil menuduh orang yang mengajar agama kerana hendakkan duit masyarakat.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Allah beri lagi motivasi kepada kita untuk infak dan sedekah. Entah berapa kali Allah sudah beritahu. Maka kena ingatlah perkara ini. Pahala amat banyak bagi mereka yang infakkan harta mereka di jalan Allah.


 

Ayat 274:

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who spend their wealth [in Allah ‘s way] by night and by day, secretly and publicly – they will have their reward with their Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

 

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, 

Maksud siang dan malam itu adalah ‘sentiasa’. Ini mengajar kita bahawa infak itu perlu dilakukan berterusan. Perlu dilakukan setiap masa dan bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Bila ada peluang sahaja, kita jalankan infak kita. Mata kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain.

 

سِرًّا وَعَلانِيَةً

dengan cara sulit atau terbuka, 

Kadang-kadang kita infak secara senyap dan kadang-kadang kita terpaksa infak di depan orang yang melihat kita. Kita bukannya sengaja nak tunjuk tapi waktu itu memang ada orang lain. Maknanya bila ada peluang sahaja, kita akan infakkan harta kita. Sama ada secara senyap atau tidak.

 

فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah jadikan pahala dari sisiNya. Kalau Allah kata ia dari SisiNya, tentulah ianya amat besar sekali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana banyaknya pahala itu.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Mereka tidak perlu ditakuti lagi nasib mereka di akhirat kerana mereka telah banyak bekal.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak berdukacita semasa meninggalkan dunia kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

Tafsir Surah Baqarah Ayat 265 – 269 (Syarat-syarat Infak)

Ayat 265: Masih lagi membicarakan tentang syarat-syarat dalam mengeluarkan infak.

وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And the example of those who spend their wealth seeking means to the approval of Allah and assuring [reward for] themselves is like a garden on high ground which is hit by a downpour – so it yields its fruits in double. And [even] if it is not hit by a downpour, then a drizzle [is sufficient]. And Allah , of what you do, is Seeing.

MALAY

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.

 

وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah

Allah hendak memberitahu perumpamaan mereka yang infak itu. Dari ayat ini, kita tahu yang infak itu mesti kerana hendak mencari redha ilahi. Maksudnya tujuan infak itu antara lain adalah untuk menggembirakan Allah.

Oleh itu, niat semasa mengeluarkan infak itu kenalah betul. Ianya mesti ikhlas kerana Allah. Jangan sebab nak menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan niat-niat lain yang salah.

 

وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم

dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, 

Infak itu boleh meneguhkan hati. Orang yang mengeluarkan infak itu adalah kerana mereka yakin yang akhirat itu ada. Dan mereka yakin yang infak mereka itu akan dapat balasannya di akhirat kelak.

Jadi kena latih diri kita untuk dapat keyakinan ini Mungkin pada awalnya, kita tidak dapat rasa begitu. Tapi lama kelamaan, kita terus infak, perasaan itu akan datang. Mungkin kita mulakan dengan infak yang sedikit, dan Allah akan kuatkan jiwa kita. Lama kelamaan kita akan biasa untuk infak yang besar-besar.

Apabila kita yakin yang kita akan dapat balasan di akhirat kelak, maka kesannya, kita akan rasa senang hati untuk mengeluarkan infak. Oleh itu, kesimpulannya, kita keluarkan infak itu supaya hati teguh dengan agama. Dengan sebab infak, Allah akan kuatkan jiwa kita atas agama.

 

كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ

adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,

Perumpamaan yang Allah beri: bayangkan satu tanah kebun yang berada di kawasan tanah tinggi. Apabila ia tinggi, ia tidak ditenggelami air. Ianya adalah tanah yang subur, dan Allah beri pula hujan lebat yang akan menyuburkan tanah itu lagi. Tanah tinggi yang tidak kontang dan sentiasa dilimpahkan dengan hujan lebat memang menjadi tanah yang sangat subur.

Allah berikan perumpamaan dalam bentuk visual supaya kita dapat bayangkan
Allah berikan perumpamaan dalam bentuk visual supaya kita dapat bayangkan

 

فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ

lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda

Tanah itu kerana amat subur, akan keluarkan hasil yang berganda. Kerana tanahnya subur dan dapat air hujan yang banyak pula.

 

فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ

Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun cukup

Kalau tak dapat hujan lebat pun, cukup dengan hujan renyai-renyai sudah cukup kerana tanah memang sudah subur pun.  Maknanya kalau amalan dibuat kerana Allah dan hati gembira semasa melakukannya, infak sikit pun sudah dapat pahala yang banyak dan kalau buat lebih banyak, lebih-lebih lagi.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.

Ayat ini diakhiri dengan lafaz تَعْمَلُونَ dahulu. Selalu تَعْمَلُونَ digandingkan dengan kalimah بَصِيرٌ. Akan tetapi susunannya berubah-ubah. Kadang-kadang Allah dulukan lafaz بَصِيرٌ sebelum lafaz تَعْمَلُونَ.

Apabila kita kaji, kita nampak apabila ayat itu berkenaan dengan amal perbuatan manusia, potongan ayat itu akan dimulai dengan perkataan تَعْمَلُونَ (yang kamu perbuat) kerana perbuatan itu adalah amalan fizikal. Macam ayat ini, ianya adalah tentang infak, dan infak adalah perbuatan fizikal, maka dimulai dengan perkataan تَعْمَلُونَ.

Tetapi jikalau ayat itu adalah tentang amalan hati, Allah akan mulakan dengan perkataan بَصِيرٌ sebelum تَعْمَلُونَ kerana Allah hendak memberitahu bahawa Dia nampak apakah niat hati kita dahulu.

Ma sha Allah…. Senang bila tahu untuk kita hafal Al-Qur’an. Sebab kadang-kadang bertukar dan kalau tak tahu formula ini, kalau sedang membaca Al-Qur’an dari hafalan, ada masa akan tersangkut kerana kita terlupa susunan. Dengan tahu formula ini, kalau ayat itu sedang memperkatakan amalan fizikal, maka kita tahu susunannya seperti susunan dalam ayat ini.


 

Ayat 266: Ini pula keterbalikan dari orang sebelum ini. Allah hendak menceritakan jenis orang yang tidak ada ikhlas semasa melakukan infak. Ini juga adalah ayat perumpamaan.

أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Would one of you like to have a garden of palm trees and grapevines underneath which rivers flow in which he has from every fruit? But he is afflicted with old age and has weak offspring, and it is hit by a whirlwind containing fire and is burned. Thus does Allah make clear to you [His] verses that you might give thought.

MALAY

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

 

أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur,

Allah beri perumpamaan lagi. Bayangkan seorang yang ada kebun kurma dan juga kebun anggur. Kalau sebut kebun tamar, itu biasa sahaja kerana tamar adalah makanan ruji mereka. Tetapi apabila disebut kebun anggur, itu dikira sebagai hebat. Allah suruh kita bayangkan seorang lelaki yang ada kebun yang ada tamar dan anggur. Bukan satu kebun, tapi dua kebun dia ada.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Kebun itu ada anak sungai pula yang boleh beri air kepada kebun itu. Ini adalah sesuatu yang amat hebat kerana ayat ini mula diturunkan di Tanah Arab yang bukan mudah untuk mendapatkan air. Tapi kebun yang disebut dalam ayat ini ada sistem pengairannya yang tersendiri. Jadi ini bukan kebun biasa-biasa.

 

لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ

dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan,

Selain kurma dan anggur, ada pula tanaman buah-buahan lain. Itu adalah tanaman sampingan yang boleh tambah pendapatan kepada tuan punya kebun itu. Jadi, secara ringkasnya, hebatlah kebun itu.

Itulah perumpamaan kepada infak yang kita telah keluarkan. Ianya adalah sesuatu yang amat hebat, yang akan memberi hasil kepada kita di masa kita tua nanti. Balasan dan hasil berganda-ganda.

 

وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ

sedang dia sudah tua dan mempunyai zuriat yang masih kecil,

Sekarang bayangkan apabila telah sampai masa tuanya, dan dia ada anak tapi mereka masih lagi kecil-kecil. Dia sudah lama usaha kebunnya itu. Sekarang dia sudah tua dan anak-anaknya tak dapat diharapkan lagi kerana masih kecil. Mereka pun belum besar lagi jadi mereka bergantung kepadanya.

Jadi dia memang amat mengharapkan hasil dari kebunnya itu untuk kelangsungan hidupnya dan zuriatnya. Tetapi apa yang terjadi?

 

فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت

lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia

Tiba-tiba kebun itu ditimpa taufan. Ianya adalah angin kuat yang ada api. Dipanggil Taufan Belati. Habis semuanya. Hasil kebun-kebunnya yang hebat itu sudah tiada lagi. Tanah pun sudah hancur kiranya.

Dia pula sudah tua dan tidak mampu nak bercucuk tanam lagi seperti semasa dia muda-muda dahulu. Dia sangka dia boleh makan hasil kebun dia di masa tua, tapi sekarang sudah habis semuanya.

Begitulah perumpamaan keadaan pahala infaknya di akhirat nanti. Segala infaknya di dunia itu tidak ada nilai, kerana sudah batal. Dia sangka dia infak banyak dan boleh banyak pahala menantinya di akhirat, tapi tidak ada langsung.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa kalau harta dunia tidak pasti akan kekal selama-lamanya, tapi infak kita akan kekal di akhirat. Maka jangan harap sangat kepada harta dunia. Jangan sangka apa yang kita ada itu akan kekal. Jangan berharap sangat dengan dunia, kerana Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir

Allah beri contoh bandingan yang mudah difahami dan mudah dibayang-bayangkan oleh akal, supaya manusia boleh faham. Semoga manusia boleh berfikir apakah jenis infak yang Allah hendak dari kita. Supaya kita senang ambil pengajaran dan didik hati kita ke arah kebaikan.


 

Ayat 267:

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ ۖ وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, spend from the good things which you have earned and from that which We have produced for you from the earth. And do not aim toward the defective therefrom, spending [from that] while you would not take it [yourself] except with closed eyes. And know that Allah is Free of need and Praiseworthy.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Dengarlah wahai orang-orang yang beriman. Ini adalah ajaran dari Allah tentang cara infak.

 

أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم

Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, 

Ini syarat yang kena ada. Barang yang kita infak itu mestilah barang yang baik-baik. Barang yang boleh digunakan dan masih boleh dipakai lagi. Boleh digunakan oleh orang yang diberi. Ia juga kenalah sesuai dengan orang yang diberi. Jangan beri baju perempuan kepada orang lelaki, contohnya.

Jangan berikan infak dari harta yang haram, contohnya hartanya yang didapati dengan cara yang haram. Malangnya, dalam masyarakat, ada yang dapatkan harta dengan cara haram dan konon nak bersihkan harta itu, mereka derma sedikit.

Ada juga orang Islam (di negara lain) yang jual arak, selamba sahaja dan sekali sekala mereka akan derma dan sedekah kepada masjid. Sepatutnya tidak boleh diterima infak itu kalau kita tahu dari mana sumbernya.

 

وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ

dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Berikanlah dari sumber rezeki yang Allah sendiri yang telah beri kepada kita. Allah berikan rezeki yang banyak kepada kita supaya kita dapat salurkan kepada orang lain yang memerlukan.

 

وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ

Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu infakkan

Jangan sengaja memilih yang buruk dari barang yang hendak diberi itu. Contohnya, sengaja pilih kambing yang buruk-buruk dari banyak-banyak kambing. Atau baju yang buruk-buruk yang kita memang nak buang pun, yang tak boleh nak pakai lagi.

 

وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ

padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya.

Jangan beri barang yang kita sendiri pun tidak mahu kalau diberi oleh orang. Kita terima pun dengan pejam mata kerana tidak suka dengan apa yang diberi. Maksudnya, barang itu kalau diberikan kepada kita pun, kita tak mahu nak terima, tapi ambil sahaja sebab orang dah beri.

Atau, pejam mata itu adalah dari pihak yang memberi kerana dia sendiri malu kepada pemberi. Dia malu sebab dia sendiri tahu barang yang dia beri itu tidak ada nilai. Tapi jangan kata: “tapi aku bagi orang itu ambik!” Kena faham yang orang yang diberi itu kadangkala ambil juga sebab orang sudah beri, ambil jugalah. Itulah maksudnya. Maknanya, buruk sangat benda yang diberikan itu tapi ambil kerana jaga hati orang yang memberi sahaja.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Allah Maha Kaya dan tidak perlukan infak kita itu, bukan Allah nak pakai pun. Allah suruh infak itu bukan kerana Dia yang mahu. Tapi Allah nak beri peluang kepada kita untuk buat dan kumpul pahala.

Allah dah sempurna dan tidak perlukan ibadat kita. Kalau kita tak buat amal ibadah pun Allah tetap mulia. Allah beri peluang kepada kita untuk infak untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka, ambillah peluang itu.


 

Ayat 268: Ayat ini memberitahu kita, kalau tidak infak, termasuk dalam golongan syaitan.

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Satan threatens you with poverty and orders you to immorality, while Allah promises you forgiveness from Him and bounty. And Allah is all-Encompassing and Knowing.

MALAY

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

 

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan

Syaitan bisik kepada kita: [kalau kita beri sedekah, infak, derma, nanti duit kita akan habis. Keadaan ekonomi susah sekarang, baik simpan duit. Jangan tolong orang sangat… bukan orang tolong kita pun….] dan macam-macam lagi hasutan dari syaitan supaya kita tidak infak.

 

وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ

dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji

Syaitan hanya menyuruh kepada melakukan perbuatan dosa dan perkara yang memalukan. Dalam ayat ini bermaksud ‘kedekut’ kerana memang kedekut adalah satu sifat yang memalukan. Kerana ia suatu sifat yang tidak patut ada pada orang yang baik. Satu dunia tahu yang kedekut adalah sifat yang buruk, hatta orang kafir pun tahu.

Lihatlah dalam ayat ini, disebut syaitan ‘menyuruh’, maknanya memberi arahan kepada manusia. Maknanya, Syaitan sudah boleh beri arahan kepada orang itu. Mula-mula dia hanya boleh bisikkan sahaja. Tetapi kalau sudah selalu sangat ikut bisikan dan saranan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah boleh beri arahan terus.

 

وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ

sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya

Allah beri keampunan kepada kita apabila kita infak. Kita tentunya banyak dosa, maka infak itu dapat membersihkan dosa-dosa kita.

 

وَفَضلًا

serta kurnianNya.

Maksudnya, Allah akan beri taufik kepada kita untuk mengerjakan amal ibadat. Taufik adalah kekuatan untuk melakukan perkara yang Allah suruh. Kadang-kadang ada manusia yang hidayah sudah sampai kepada dia – dia tahu dia kena buat amal ibadat, tapi dia tidak buat kerana dia tidak dapat taufik. Tidak ada kekuatan pada diri dia.

 

وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

Allah akan balas dengan beri tambahan ganjaran di akhirat. Dia Maha Tahu siapakah yang beri infak dan Dia akan balas infak itu dengan pahala yang lebih baik dari infak yang kita beri itu. Allah boleh beri ganjaran yang berganda-ganda kerana rahmatNya amat luas.


 

Ayat 269:

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

SAHIH INTERNATIONAL

He gives wisdom to whom He wills, and whoever has been given wisdom has certainly been given much good. And none will remember except those of understanding.

MALAY

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

 

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya

Orang yang infak akan diberi kefahaman agama yang benar. Antara yang diberi adalah kefahaman yang betul tentang infak. Iaitu kita faham kenapa kita kena infak.

Kefahaman (ilmu) ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu apakah kelebihan dan kepentingan infak dalam Islam. Ini adalah kerana mereka tidak belajar. Apabila tidak belajar, mereka akan terkesan dengan bisikan syaitan yang menjanjikan kemiskinan kepada mereka kalau mereka infak. Maka ramai yang tidak infak.

Hikmah adalah ilmu bermanfaat yang diamalkan. Kalau setakat tahu ilmu sahaja tapi tidak buat, itu bukan hikmah, itu setakat ilmu sahaja. Sebagai contoh, banyak orang sudah tahu mereka tidak patut membazir tapi bila dapat gaji, membazir juga.

Bukannya mereka tidak tahu membazir itu tidak elok, tapi mereka buat juga. Apabila gaji mereka bazirkan, maka mereka sudah tidak ada duit nak infak sebab sudah dihabiskan ke tempat yang tidak berfaedah.

 

وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا

Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. 

Amat beruntung sekali mereka yang diberikan dengan hikmah itu. Oleh kerana mereka dapat kefahaman yang betul, maka mereka akan infak dengan banyak dan hasilnya, mereka akan jadi kaya raya di akhirat. Malah di dunia lagi mereka akan mendapat balasan baik.

 

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Maksud ‘ulul albab’ adalah orang yang sempurna akalnya. Allah selalu sebut perkataan ulul albab ini dalam Al-Qur’an. Ia bermaksud orang yang bijak. Surah Ali Imran akan menjelaskan siapakah mereka.

Kita pun boleh jadi ulul albab kalau kita tahu dan kita berusaha untuk mencapai darjat itu. Janganlah kita sangka yang ianya adalah kedudukan yang tidak boleh dicapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan