Tafsir Surah an-Nisa Ayat 80 – 83 (Jangan sebar berita sensitif)

Ayat 80: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa Nabi Muhammad itu adalah seorang Rasul.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu hak seorang Rasul itu. Allah menegaskan dalam ayat ini bahawa kena taat kepada Nabi Muhammad. Ketaatan kepada Rasulullah adalah ukuran bagi ketaatan kepada Allah.

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He who obeys the Messenger has obeyed Allāh; but those who turn away – We have not sent you over them as a guardian.

MALAY

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

 

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah;

Untuk taat kepada Allah, syaratnya kena taat kepada Rasulullah. Tidak boleh kita kata kita taat kepada Allah, tapi tidak hirau dengan apa yang Nabi sampaikan. Ini penting kerana Nabi menyampaikan apa yang Allah suruh baginda sampaikan, bukannya perkara itu dari diri baginda sendiri.

Oleh itu, kena taat sungguh-sungguh kepada Nabi. Kemudian, Nabi tambah satu lagi syarat, iaitu kena taat kepada amir (pemerintah). Kalau taat kepada amir, itu adalah tanda taat kepada Nabi. Ini berdasarkan dari hadis:

Dari Abu Hurairah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,

مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ يَعْصِنِى فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِى وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِى

Barangsiapa mentaatiku, maka dia berarti mentaati Allah. Barangsiapa yang  tidak mentaatiku bererti dia tidak mentaati Allah. Barangsiapa yang taat pada pemimpin bererti dia mentaatiku. Barangsiapa yang tidak mentaati pemimpin, bererti dia tidak mentaatiku.” (HR. Bukhari no. 7137 dan Muslim no. 1835).

 

وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

dan sesiapa yang berpaling ingkar, Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal 

Nabi tidak menjaga amalan mereka. Nabi hanya disuruh sampaikan sahaja dakwah dan ajaran kepada mereka. Dan baginda telah jalankan tugas baginda dengan sempurna. Kalau mereka tidak mahu terima, degil tidak mengikut ajaran, itu bukan salah Nabi. Oleh itu, janganlah kamu wahai Nabi, berdukacita atas kedegilan mereka.

Ia juga bermaksud, Nabi tidak bertanggungjawab di atas perbuatan mereka. Jadi Nabi tidak perlu bimbang yang baginda akan disoal tentang apa yang mereka lakukan kerana baginda tidak bersalah. Begitulah dengan kita, kita kena sampaikan sahaja. Kalau orang tidak mahu ikut nasihat kita, kita tidak boleh paksa mereka. Kalau mereka masih juga hendak melakukan amalan bidaah, kita tidak boleh nak halang mereka, serang majlis bidaah mereka dan sebagainya.

Ini juga adalah penolakan terhadap glongan yang engkar kepada hadis – samada golongan anti-hadis atau sesiapa sahaja yang tidak memandang hadis Nabi sebagai penting. Mereka itu termasuk dalam ayat ini tentang mereka yang menolak hadis.


 

Ayat 81: Ayat tentang Munafikin. Allah sebut kata-kata mereka. Jadi ini adalah Ayat Syikayah.

وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُوا مِنْ عِندِكَ بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ وَاللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَىٰ بِاللهِ وَكِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “[We pledge] obedience.” But when they leave you, a group of them spend the night determining to do other than what you say. But Allāh records what they plan by night. So leave them alone and rely upon Allāh. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

MALAY

Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).

 

وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ

Dan mereka (golongan munafik) berkata: “(Kami) taat”, 

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan munafik. Mereka kata dalam urusan hidup mereka, mereka taat kepada Nabi Muhammad semata-mata.

Itu cakap mereka di mulut sahaja. Begitulah, ramai manusia yang manis di bibir sahaja, tapi hati lain sama sekali.

 

فَإِذَا بَرَزُوا مِنْ عِندِكَ

kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, 

Allah memberitahu kepada Nabi, bahawa selepas sahaja mereka keluar dari majlis duduk-duduk dengan Nabi, lain pula yang mereka buat. Semasa berada di depan Nabi, mereka kata mereka taat.

 

بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ

segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan

Bila beredar dari majlis Nabi, mereka buat mesyuarat lain pula. Lafaz بَيَّتَ bermaksud mereka buat mesyuarat sulit malam hari. Digunakan lafaz ini untuk memberi isyarat bahawa mesyuarat itu dijalankan dalam suasana yang rahsia. Dan dalam mesyuarat itu, mereka cakap dan berbincang lain dengan apa yang mereka katakan sebelum itu semasa di dalam majlis Nabi.

Ini memang selalu orang kita buat. Lepas mesyuarat yang utama, ramai yang ajak kawan-kawan yang sama geng pergi kedai minum teh tarik untuk berbincang mengenai mesyuarat awal tadi. Dan kadang-kala mereka akan membincangkan perkara yang berlawanan dengan apa yang mereka cakap dalam mesyuarat utama itu. Semasa dalam mesyuarat, setuju belaka dengan apa yang dibincangkan, tapi bila di luar, lain pula mereka buat rancangan. Jadi ini adalah sifat orang munafik.

 

وَاللُه يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ

Dan Allah menulis apa yang mereka rancangkan itu;

Allah suruh malaikat tulis semua apa yang mereka kata dan bincangkan itu. Segala perancangan jahat mereka ada dalam rekod yang disimpan oleh Allah dan akan dipertunjukkan kepada mereka nanti.

Mereka akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang mereka telah lakukan dan katakan. Jangan mereka sangka perbincangan mereka itu rahsia sangat, kerana Allah tahu dan malaikat sedang buat minit meeting mereka itu.

 

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ

maka berpalinglah daripada mereka,

Tentunya sifat mereka yang ‘talam dua muka’ ini memberi kesan kepada Nabi, tapi Allah suruh berpaling dari mereka. Maknanya jangan peduli tentang mereka, jangan berasa hati, jangan sedih.

Ia juga boleh bermaksud: maafkanlah mereka, jangan hukum mereka, jangan buka pekung mereka kepada sahabat yang lain. Serahkan kepada Allah untuk uruskan mereka.

Jangan hirau mereka dan teruskan perjuangan menegakkan dakwah. Jangan hirau musuh dalam selimut yang hendak menjatuhkan Islam atau hendak melemahkan Islam dari dalam.

Itu sahaja yang boleh dilakukan kerana kalau nak berperang dengan mereka, tidak boleh kerana dari segi zahir, mereka nampak sebagai orang Islam. Kalau musuh luar, bolehlah kalau kita nak perang dengan mereka. Tapi, dengan orang Munafikin, tak boleh dibunuh mereka dan tidak boleh memulakan perang dengan mereka. Kerana kita pun tidak pasti siapakah mereka.

Tidak ada sesiapa yang tahu siapakah yang munafik yang sebenar kerana ianya adalah hal dalam hati dan ianya ghaib bagi kita. Jadi kalau ada orang yang tuduh orang lain sebagai munafik, itu adalah salah sama sekali. Adakah kamu Tuhan, tahu apa yang dalam hati manusia?

 

وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَىٰ بِاللهِ وَكيلًا

serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela

Maka, serah sahaja kepada Allah nak buat apa. Itulah maksud tawakal, iaitu serahkan segala urusan kepada Allah. Kerana kita sendiri tidak mampu nak buat apa-apa.

Cukuplah dengan Allah sahaja yang menguruskan hal kita. Kita kena rasa cukup dengan adanya Allah. Itu juga adalah tawakal. Kalau serah kepada Allah, tapi kita tidak yakin dengan apa yang Allah nak buat, itu belum tawakal lagi. Kena ingat yang Allah tidak akan membiarkan hamba-hambaNya yang menjaga hukum-hukumNya dikalahkan.

Oleh itu, jangan peduli dengan mereka yang bersifat munafik itu. Yakinlah bahawa semua perkara dalam tangan Allah. Ini adalah nasihat kepada pemimpin Islam. Sebagai pemimpin, memang akan berhadapan dengan berbagai jenis manusia dan orang bawahan yang berperangai macam-macam. Ada orang bawahan yang mengaku mereka taat, tapi di belakang, mereka buat komplot lain pula. Dalam keadaan begitu, apa yang boleh dibuat? Serah kepada Allah sahaja.

Pernah ada orang Islam yang merancang untuk membunuh Saidina Ali yang menjadi Khalifah waktu itu. Rancangan itu telah disampaikan kepada Saidina Ali. Saidina Ali kata dia tak boleh buat apa-apa kerana tidak ada apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu lagi. Itu cuma kata-kata lelaki itu sahaja. Akhirnya lelaki itu memang telah membuat cubaan membunuh Saidina Ali dan kena tangkap. Barulah boleh dijalankan hukum hudud kepadanya.

Maknanya, musuh dalam selimut iaitu munafik ini, kita tidak boleh buat apa-apa kepada mereka. Memang kena serah kepada Allah sahaja.


 

Ayat 82: Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa mereka yang sudah duduk dengan Nabi masih tak faham tentang Islam? Sedangkan mereka duduk mendengar ajaran agama dari Nabi, melihat akhlak Nabi dan sebagainya, tapi masih tidak beriman sempurna lagi?

Memang kalau dah ada masalah dengan hati, duduk depan Nabi pun boleh jadi munafik. Maka kalau duduk dengan Nabi pun ada yang macam itu, apatah lagi kalau duduk luar?

Jadi kalau ada orang yang munafik zaman sekarang, memang tidak hairanlah. Sudahlah Nabi tidak ada, iman dan ilmu agama pun kurang. Maka kita kena tahu yang ubat untuk membaiki keadaan ini adalah dengan tadabbur Qur’an.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلٰفًا كَثِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they not reflect upon the Qur’ān?¹ If it had been from [any] other than Allāh, they would have found within it much contradiction.

  • i.e., its meanings and its objective.

MALAY

Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

 

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ

Kenapakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?

Kenapa sebut pasal Qur’an pula dalam menyebut tentang golongan Munafik? Kerana apa yang terjadi kepada mereka yang munafik itu adalah kerana mereka tidak tadabbur Qur’an. Mereka dengar ayat Qur’an dibacakan, tapi mereka tidak tadabbur Qur’an.

Mereka tidak meneliti Qur’an dan belajar apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Sebab itu mereka jadi munafik kerana mereka tidak faham agama dengan lengkap.

Dan mereka tidak tadabbur Qur’an itu adalah mereka asalnya memang tidak percaya dengan Nabi. Apabila Nabi kata Qur’an itu dari Allah, kena belajar, kena tadabbur, mereka tak ambil kisah. Kerana mereka tidak percaya penuh kepada Nabi.

Ada suruhan untuk kita tadabbur Qur’an dalam ayat ini. ‘Tadabbur’ adalah membaca ayat Qur’an dan memikirkan maknanya, mengambil pengajaran darinya. Bukan hanya baca sahaja dan tahu terjemahan sahaja. Kerana kalau baca terjemah sahaja, tidak akan nampak keindahan ayat-ayat Qur’an itu.

Kerana kalau baca terjemah, mungkin akan perasan ada seperti perbezaan antara sesetengah ayat. Tapi kalau tadabbur Qur’an, tidak ada masalah itu. Dan untuk tadabbur, kena mulakan dengan belajar tafsir. Kerana tadabbur itu adalah mendalami maksud dalam Qur’an. Maka kenalah ada ilmu asas iaitu dengan mempelajar tafsir (dengan cara yang benar). Sebab itu kita selalu mengingatkan untuk belajar tafsir.

Malangnya, ada ‘ustaz’ yang beritahu bahawa orang awam tidak boleh belajar tafsir Qur’an kerana mereka tidak akan faham. Mereka kata tafsir Qur’an adalah bidang ulama sahaja. Ini adalah salah sama sekali. Itu adalah bisikan dari syaitan, kerana syaitan tidak mahu manusia faham Qur’an.

Syaitan memang tidak mahu manusia faham Qur’an kerana susah mereka nak hasut manusia kalau manusia faham Qur’an. Maka kalau ada yang ajar tak boleh belajar tafsir Qur’an, maka mereka itu sebenarnya tolong kerja syaitan lah.

Memang pemahaman ulama dari orang awam tidak sama. Ulama tentunya akan memahami ayat Qur’an lebih mendalam lagi. Tapi itu bukanlah alasan untuk menghalang orang awam untuk memahami Qur’an setakat yang mereka mampu. Belajar dari pemahaman yang asas, maka nanti Allah akan menambahkan lagi ilmu kefahaman itu. Semuanya kena bermula dari mula.

 

وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلٰفًا كَثِيرًا

Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Mereka yang munafik tidak percaya kepada Nabi tentang kehebatan Qur’an itu. Maka Allah berhujah dengan mereka dalam ayat ini: Begitu hebatnya Qur’an itu, kalau bukan ianya datang dari Allah, tentulah akan ada banyak percanggahan.

Dan dalam Qur’an itu memang tidak ada percanggahan langsung, walau sedikit pun. Ajaran yang disampaikan adalah sama sahaja dari mula sampai habis.

Qur’an juga tidak ada perselisihan dengan ilmu sains; juga tidak ada perselisihan dengan dunia yang nyata. Kalau bukan ianya dari Allah, tentulah kesempurnaan ini tidak dapat dicapai. Maka fikir-fikirkanlah.

Maka tidak mungkin Qur’an yang hebat itu ditulis oleh manusia melainkan ianya dari Allah taala. Maka takkan kita nak biarkan begitu sahaja tanpa kita belajar, faham dan mengamalkan apa yang ada di dalamnya?

Maka manusia terus jadi munafik (atau lemah imannya) kerana tidak tadabbur Qur’an.


 

Ayat 83: Ayat zajrun kepada munafiqin. Ayat ini mengajar kita, apabila mendapat sesuatu berita, kena tabayyun dahulu. Jangan terus sebar tanpa periksa.

Kadang-kadang ada bahaya besar kalau terus sebar maklumat, walaupun ianya adalah berita yang benar pun. Ini adalah satu lagi masalah orang munafik, kerana mereka suka sebar berita ke khalayak ramai.

Patutnya kita orang Mukmin disuruh sebar Qur’an, bukan sebar berita. Tapi munafik itu, mereka terbalik pula.

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطٰنَ إِلَّا قَلِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when there comes to them something [i.e., information] about [public] security or fear, they spread it around. But if they had referred it back to the Messenger or to those of authority among them, then the ones who [can] draw correct conclusions from it would have known about it. And if not for the favor of Allāh upon you and His mercy, you would have followed Satan, except for a few.

MALAY

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).

 

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya;

‘Berita’ yang dimaksudkan itu boleh jadi tentang kemenangan atau kekalahan pasukan tentera Islam di medan perang. Ataupun ada berita-berita yang kedengaran datang dari luar. Orang munafik itu, apabila mereka dengar berita-berita sebegitu, mereka terus sebar ke khalayak ramai.

Padahal, maklumat-maklumat dari berita itu kadang-kadang adalah maklumat yang sensitif. Kalau kita ada orang yang macam orang munafik itu, maka teruklah. Kerana apabila berita itu sudah tersebar, sudah susah nak kena jelaskan balik, nak kena kawal perasaan masyarakat yang mungkin jadi gelisah dan kelam kabut apabila mendengar berita-berita itu. Tapi sudah perangai orang munafik, mereka memang suka nak sebarkan berita.

Ada tak orang sebegini dalam kalangan masyarakat kita sekarang? Tentulah ada. Dan masalah sekarang lagi lebih berat lagi kerana dalam zaman teknologi maklumat yang canggih ini, maklumat senang sangat nak sampaikan kepada ramai orang dengan mudah. Dengan sekali tekan butang forward sahaja, entah berapa ribu orang dapat maklumat yang palsu atau  yang sensitif.

Masyarakat pula kebanyakannya tidak cerdik, tak reti nak bandingkan mana maklumat yang benar dan mana maklumat yang salah. Maka, yang senang kelam kabut jadi kelam kabut, yang nak ambil kesempatan, akan ambil kesempatan dan macam-macam lagi.

Dalam Tafsir Ibn Kathir, ada disebut tentang satu hadis berkenaan asbabun nuzul ayat ini:

Diriwayatkan oleh Muslim yang bersumber dari Umar bin Khattab: bahawa ketika Nabi ‘uzlah (menjauhi) isteri-isterinya, Umar bin Khattab masuk ke masjid di saat orang-orang sedang kebingungan sambil bercerita bahawa Rasulullah Saw telah menceraikan isteri-isterinya, Umar berdiri di pintu masjid dan berteriak: “Rasulullah tidak menceraikan isterinya, dan aku telah menelitinya”. Maka turunlah ayat ini (An-Nisa ayat 83), berkenaan dengan peristiwa tersebut untuk tidak menyiarkan berita sebelum diselidiki.

Malangnya, ramai orang sekarang tidak kisah samada berita benar atau tidak. Mereka akan ‘forward’ sahaja maklumat dalam Whatsapp, Telegram dan Facebook. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat.

 

وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ

padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, 

Sebaliknya, Allah ajar kita yang sepatutnya berita-berita sensitif itu sepatutnya kena bawa kepada pemimpin. Biar mereka yang nilai dahulu dan bincangkan apa tindakan yang patut diambil kerana mereka yang layak.

Kalau pada zaman Nabi, kena beritahu kepada Nabi atau pemimpin bawahan baginda yang boleh menapis berita tersebut.

 

لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ

tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka;

Lafaz يَسْتَنبِطُونَهُ iaitu ‘istinbat’ asalnya bermaksud mengambil air dari telaga yang dalam. Dalam istilah, ia digunakan untuk membawa maksud melihat kepada maklumat secara mendalam dan mengambil manfaat darinya.

Berita-berita yang mereka dengar itu sepatutnya dibawakan kepada para pemimpin kerana merekalah yang dapat buat keputusan samada berita itu boleh sebar kepada umum atau tidak. Bukan semua berita boleh disebarkan. Ini penting untuk menjaga keamanan negara kita.

Tapi sebar Qur’an memang dah kena buat dah. Jangan terbalik pula. Kalau Qur’an, memang kena sebar, tak payah nak tunggu keputusan dari kerajaan pun.

Nota: ayat ini juga boleh digunakan sebagai dalil untuk manusia merujuk kepada ulama untuk memberi hukum kepada sesuatu perkara. Kalau ada masalah dalam masyarakat, dalam hukum yang kita tidak tahu halal haramnya, perkara itu sepatutnya dibawa kepada ulama supaya mereka boleh memberikan keputusan mereka.

Dalam zaman sekarang yang ada banyak perkara baru, tentulah tidak semua perkara telah disebut oleh Nabi dalam sunnahnya. Maka, perkara itu hendaklah dibawa kepada ulama yang layak untuk melakukan ijtihad.

Pertama, kena cari dalil dari Qur’an dan hadis, dan kalau tiada, ulama mujtahid kena buat qiyas. Iaitu, ulama akan istinbat hukum dari nas yang ada, mencari apakah hukum yang paling rapat dengan keadaan semasa. Perkara ini dibincangkan dalam usul fiqh dan ianya terlalu panjang untuk dibincangkan di sini.

Ijtihad ulama bukanlah ketetapan yang pasti tepat. Kerana mereka membuat keputusan itu berasaskan kepada ilmu mereka yang ada. Ia mungkin benar dan mungkin salah. Tapi itulah sahaja yang boleh dilakukan kalau tidak ada nas dari Qur’an dan Sunnah. Allahu a’lam.

 

وَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ

dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu,

Kita amat beruntung kerana Allah telah memberi limpah kurnia dan RahmatNya kepada kita. Yang dimaksudkan adalah Allah telah beri Qur’an dan Nabi Muhammad kepada kita. Allah ingatkan nikmat pemberianNya kepada kita, supaya kita beringat dan bersyukur kepadaNya.

 

لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطٰنَ إِلَّا قَلِيلًا

tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja

Kalau kita tidak diberikan dengan limpah kurnia dan Rahmat Allah, tentu kita dalam dunia ini akan ikut syaitan sahaja. Memang hati manusia cenderung kepada kesyirikan kerana syaitan akan mengambil peluang sahaja untuk menyesatkan kita. Tapi kalau kita berlandaskan Qur’an dan Sunnah dari Nabi, kita akan selamat.

Ayat ini asalnya tentang menyebar maklumat dan sekarang disebut tentang syaitan pula. Ini juga hendak memberitahu kita yang sebarkan maklumat palsu itu adalah kerja syaitan. Maka, jangan ikut kerja syaitan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment