Ayat 77: Ini adalah ayat zajrun. Ayat sebelum ini tentang arahan perang. Dalam ayat ini, disuruh jangan perang pula. Ini penting untuk difahami kerana ada masa untuk perang dan ada masa bertahan sahaja.
Asbabun Nuzul ayat ini: ada orang Islam yang hendak berperang di Mekah sebagai tindakan balas dari penindasan yang telah diberikan. Dan mereka pun telah minta kepada Nabi Muhammad untuk berperang melawan kembali penindasan dari Musyrikin Mekah itu. Semasa mereka di Mekah, umat Islam ditindas dengan teruk oleh musyrikin Mekah. Tentu mereka ada yang hendak membalas segala penindasan yang dikenakan kepada mereka.
Maka ada di kalangan sahabat waktu itu yang mencadangkan memerangi kembali musyrikin Mekah itu. Tetapi waktu itu permintaan mereka tidak dimakbulkan dan mereka kena bertahan sahaja. Itu waktu di Mekah, akan tetapi apabila disuruh berperang semasa di Madinah, mereka takut pula. Ini adalah kerana mereka sudah nampak apa yang mereka perlu lalui.
Di awal Islam, permintaan mereka untuk berperang dengan musyrikin Mekah tidak diizinkan oleh Allah. Banyak kali mereka minta dan banyak kali ditolak permintaan mereka itu. Ini adalah kerana masa itu tidak sesuai lagi. Ini boleh dikira non violent movement pihak muslim. Iaitu penentangan tanpa senjata.
Ianya berkesan kerana apabila mereka yang ditindas terus ditindas oleh pihak yang zalim, ianya telah membuka hati mereka yang berada di atas pagar. Kerana bukan semua musyrikin Mekah itu zalim. Ada yang tidak kisah pun dengan orang Islam, mereka cuma tidak mahu beriman sahaja. Dan dalam masa yang sama, mereka tidak menindas pun orang Islam.
Dan apabila mereka melihat orang-orang Islam itu ditindas dan dizalimi dengan teruk, tentu hati mereka akan berdetik dan kasihan kepada puak Islam itu. Kerana mereka nampak yang umat Islam bukan di pihak yang bersalah. Hati mereka pun sayu dan terkesan dengan apa yang mereka lihat. Itu membuka ruang kepada mereka untuk beriman nanti.
Oleh itu, pergerakan penentangan tanpa senjata dengan cara aman ini sudah dimulakan oleh Muslim Mekah lagi. Sekarang orang kata Mahatma Gandhi yang mula buat. Padahal ini adalah asal pergerakan Islam dan ia dikaji oleh ahli sejarah. Dan kita kena ingat bahawa 2/3 Qur’an diturunkan di Mekah. Maka banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat-ayat Makkiyah.
Kenapa Allah tidak membenarkan umat Islam serang balik Musyrikin Mekah itu apabila mereka dizalimi? Mengikut kata ahli tafsir, hikmah tidak diizinkan perang waktu itu adalah kerana keimanan umat Islam waktu itu tidak lengkap lagi. Ada yang molek dah iman mereka tetapi ada yang belum lagi kemas. Waktu di Mekah adalah waktu pembinaan akhlak dan juga pembinaan akidah.
Dan juga, kalau orang Islam balas serang balik dengan kekerasan waktu itu, musyrikin Mekah akan dapat alasan yang kukuh untuk musnahkan semua sekali umat Islam. Muslim waktu itu tidak beri alasan kepada mereka yang zalim untuk serang mereka secara besar besaran. Seperti yang kita telah sebut, ada kalangan orang Mekah yang tidak menzalimi umat Islam dan mereka telah ada rasa kasihan kepada umat Islam waktu itu.
Kerana mereka melihat orang-orang Islam itu tidak ada salah apa pun, tapi ditindas dengan teruk sekali oleh mereka yang jahat. Tapi, kalau umat Islam menentang balik dengan keras, itu akan digunakan sebagai alasan oleh pemuka Quraish yang jahat untuk mengajak mereka-mereka yang di atas pagar untuk sama-sama menyerang dan menghapuskan terus umat Islam. Mereka boleh kata: “tengoklah mereka itu, memang terroris. Maka kita kena matikan mereka semua!”.
Hanya apabila umat Islam telah Hijrah ke Madinah, baru dibenarkan untuk berperang. Kerana keimanan mereka telah diuji dengan terpaksa meninggalkan semuanya untuk agama, maka itu tanda yang mereka benar-benar sudah beriman. Maknanya, mereka sanggup berkorban untuk Islam dan sudah boleh disuruh untuk memerangi Musyrikin.
Kita boleh lihat bagaimana ayat-ayat di Madinah juga sudah bertukar sedikit. Semasa di Mekah, lafaz yang digunakan untuk merujuk kepada umat Islam adalah ‘wahai manusia’ tetapi selepas Hijrah, lafaz yang digunakan adalah ‘wahai orang-orang beriman’. Ini adalah kerana mereka sudah beriman dah.
Dari sudut penurunan ayat Qur’an yang membenarkan peperangan, ia mula dibenarkan dalam surah an-Nur yang kita akan kaji nanti.
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللهِِِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you not seen those who were told, “Restrain your hands [from fighting]¹ and establish prayer and give zakāh”? But then when fighting was ordained for them, at once a party of them feared men as they fear Allāh or with [even] greater fear. They said, “Our Lord, why have You decreed upon us fighting? If only You had postponed [it for] us for a short time.” Say, “The enjoyment of this world is little, and the Hereafter is better for he who fears Allāh. And injustice will not be done to you, [even] as much as a thread [inside a date seed].”
- Before permission was given by Allāh.
MALAY
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu
Allah sedang memperkatakan tentang mereka yang telah disuruh untuk tahan tangan mereka dari berperang semasa di Mekah dahulu. Ini berkenaan umat Islam semasa di Mekah yang mahu berperang membalas kejahatan dan penindasan musyrikin Mekah. Waktu itu mereka ditahan dari melawan balik.
قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْحُسَيْنِ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ أَبِي رِزْمة وَعَلِيُّ بْنُ زِنْجَةَ قَالَا حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْحَسَنِ، عَنِ الْحُسَيْنِ بْنِ وَاقِدٍ، عَنْ عَمْرِو بْنِ دِينَارٍ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابن عباس: أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ وَأَصْحَابًا لَهُ أَتَوُا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ، فَقَالُوا: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، كُنَّا فِي عِزٍّ وَنَحْنُ مُشْرِكُونَ، فَلَمَّا آمَنَّا صِرْنَا أَذِلَّةً: قَالَ: “إِنِّي أُمِرْتُ بِالْعَفْوِ فَلَا تُقَاتِلُوا الْقَوْمَ”. فَلَمَّا حَوَّلَهُ اللَّهُ إِلَى الْمَدِينَةِ أَمَرَهُ بِالْقِتَالِ، فَكَفُّوا. فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ [وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً] } الآية.
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdul Aziz, dari Abu Zar’ah dan Ali ibnu Rumhah; keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Hasan, dari Al-Husain ibnu Waqid, dari Amr ibnu Dinar, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa Abdur Rahman ibnu Auf dan beberapa orang temannya datang menemui Nabi Saw. di Mekah. Lalu mereka berkata, “Wahai Nabi Allah, dahulu kami berada dalam kejayaan ketika masih musyrik. Tetapi setelah beriman, kami menjadi kalah.” Nabi Saw. bersabda: Sesungguhnya aku diperintahkan untuk memberi maaf (terhadap tindakan-tindakan kaum musyrik). Kerana itu, janganlah kalian memerangi kaum itu. Setelah Allah memindahkan Nabi Saw. ke Madinah, maka Allah memerintahkannya untuk memerangi orang-orang musyrik. Ternyata mereka yang berkata demikian tidak mahu berperang. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka, “Tahanlah tangan kalian (dari berperang).” (An-Nisa: 77), hingga akhir ayat.
Imam Nasai dan Imam Hakim serta Ibnu Murdawaih meriwayatkannya melalui hadis Ali ibnul Hasan ibnu Syaqiq dengan lafaz yang sama.
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”
Mereka dilarang dari melancarkan serangan balas, sebaliknya mereka disuruh untuk buat amal ibadat solat dan mengeluarkan zakat kerana amal ibadat itu boleh kuatkan dalaman mereka.
Kerana amalan luaran datang dari dalaman diri manusia. Musuh paling besar adalah nafsu yang berada dalam diri. Kalau mereka boleh kuatkan dalam diri mereka sampai boleh mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat, itu adalah satu kejayaan diri.
Maka kena usaha dengan tegakkan solat dan zakat dahulu. Ini perlu dilakukan supaya hubungan dengan Allah jadi kuat dengan ibadat solat dan hubungan dengan manusia dikuatkan dengan ibadat zakat.
Allah berikan dua contoh ibadat, satu menguatkan hubungan dengan Allah dan satu menguatkan hubungan dengan manusia.
فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ
kemudian apabila mereka diperintahkan berperang,
Dulu semasa mereka di Mekah, mereka beriya-iya untuk membalas kezaliman yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Tetapi apabila diturunkan ayat-ayat arahan perang, mereka jadi lain pula. Apa yang lainnya?
إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ
tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia
Ada pula golongan munafik yang takut dengan orang kafir. Mereka takut pula kepada manusia sedangkan manusia tidak boleh melakukan apa-apa pun tanpa kebenaran dari Allah. Dulu mereka beriya-iya nak melawan musyrikin Mekah, tapi apabila arahan sudah keluar, mereka takut pula.
Ia juga ejekan kepada orang yang sanggup solat dan bayar zakat. Tapi bila masa mereka dikerahkan untuk berperang, maka mereka telah takut. Padahal arahan solat dan zakat itu adalah dari Allah, dan arahan jihad pun dari Allah juga.
Begitulah ada golongan seperti golongan tasawuf dan tarekat yang sudah meninggalkan jihad dalam ajaran mereka.
كَخَشْيَةِ اللهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً
sama seperti mereka merasa gerun kepada Allah atau lebih gerun lagi.
Mereka takut kepada orang kafir itu sama macam mereka takut kepada Allah. Padahal dulu sesama mereka tidak dibenarkan menggunakan kekerasan, mereka kuat sangat nak berlawan dengan orang kafir.
Orang Mukmin sepatutnya takut kepada Allah dan tidak takut kepada musuh mereka. Kerana musuh tidak dapat melakukan apa-apa pun tanpa kebenaran Allah. Tapi Allah kata mereka takut kepada musuh pula. Malah, Allah kata mereka lebih takut kepada orang kafir itu lebih dari mereka takut kepada Allah.
وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ
mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang?
Mereka sanggup berkata kepada Allah: kenapa cepat sangat fardhukan perang kepada mereka?
لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ
Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke suatu tempoh yang sedikit lagi?”
Mereka kata lagi, kenapalah Allah tak tunda sedikit masa lagi sampai mereka sedia. Inilah kata sebahagian dari orang Islam. Bukanlah semua kata begitu, kerana yang majoriti dari umat Islam sudah bersedia.
قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja,
Nabi Muhammad disuruh untuk memberitahu mereka bahawa mereka jadi begitu sebab nak hidup selesa di dunia sahaja. Dulu semasa di Mekah dan mereka ditindas, mereka memang ada rasa yang tinggi untuk melawan balik. Tapi bila dah hidup senang sedikit di Madinah, mulalah mereka rasa senang sikit kerana sudah hidup tanpa gangguan lagi. Sudahlah mereka lupa semangat mereka untuk membalas kekejaman Musyrikin Mekah itu dulu.
Tapi Allah nak ingatkan bahawa kesenangan di dunia ini sedikit sahaja. Yang mereka hendak kejar itu adalah kesenangan yang sedikit dan sudahlah sedikit, sekejap pula. Ianya akan hilang begitu sahaja nanti. Ianya tidak kekal.
وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ
dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa
Dan Allah hendak bandingkan akhirat dengan dunia. Dunia itu tidak kekal dan sedikit sedangkan akhirat dan syurga itu lebih baik, lebih banyak nikmatnya dan lebih kekal. Kerana itu, hendaklah akhirat yang dikejar, bukannya dunia.
Maka untuk mendapat nikmat di akhirat kelak, maka kenalah berjuang untuk menegakkan agama Islam di dunia ini. Maka kena jalankan jihad. Kerana kalau jihad tidak dijalankan maka dakwah tidak dapat dijalankan. Ini adalah kerana ada penentang-penentang dari musuh yang menghalang dakwah dari sampai ke tempat mereka. Jadi penentang-penentang itu yang kena dikalahkan dan dibuang.
وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun
Allah akan balas semua sekali kebaikan yang telah dilakukan oleh orang mukmin. Tidak ada yang tidak dibalas. Kerana kalau ada yang tidak dibalas, itu adalah satu kezaliman dan Allah tidak akan zalim sedikit pun. Walaupun zalim yang sebesar benang pada butir kurma. Maknanya, langsung tidak ada kezaliman.
Oleh itu, jangan kamu berbelah bahagi lagi untuk menjalankan jihad, kerana segala pengorbanan kamu untuk menjalankan jihad itu akan dibalas oleh Allah.
Ayat 78: Allah pecah rahsia mereka – mereka tidak mahu perang kerana mereka takut mati. Tapi Allah ingatkan yang kematian itu tetap akan berlaku. Sampai masa, mereka akan mati juga, tidak ada sesiapa yang dapat elak dari mati. Samada mereka berjihad atau tidak, mereka akan tetap mati. Ini semua orang pun tahu.
Tapi kalau mati semasa jihad fisabilillah, mereka mati atas jalan Allah dan akan mendapat balasan yang tidak ada tandingannya. Maka ini adalah seruan kepada orang mukmin agar membuang perasaan takut mati dalam perjuangan menegakkan agama.
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِ اللهِ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِكَ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللهِ فَمَالِ هَٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Wherever you may be, death will overtake you, even if you should be within towers of lofty construction. But if good comes to them, they say, “This is from Allāh”; and if evil befalls them, they say,¹ “This is from you.” Say, “All [things] are from Allāh.” So what is [the matter] with those people that they can hardly understand any statement?
- Addressing the Prophet (ṣ).
MALAY
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu
Lafaz يُدْرِككُّمُ dari katadasar د ر ك bermaksud sesuatu yang mengikut. Ia akan mendatangi kita sedikit demi sedikit dan tidak akan lepaskan.
Begitulah Allah memberikan gambaran kematian itu menghampiri kita sedikit demi sedikit. Tidak ada sesiapa pun yang dapat melarikan diri dari kematian. Lambat laun setiap dari kita akan mati. Tidak kira bagaimana mana kita jaga makan, makan vitamin, pergi bersukan dan sebagainya, lama-lama akan mati. Samada cepat atau lambat sahaja.
Seperti yang dikatakan oleh Khalid ibnul Walid ketika menjelang kematiannya di atas tempat tidurnya:
لَقَدْ شَهِدْتُ كَذَا وَكَذَا مَوْقِفًا، وَمَا مِنْ عُضْوٍ مِنْ أَعْضَائِي إِلَّا وَفِيهِ جُرْحٌ مِنْ طَعْنَةٍ أَوْ رَمْيَةٍ، وَهَا أَنَا أَمُوتُ عَلَى فِرَاشِي، فَلَا نَامَتْ أَعْيُنُ الْجُبَنَاءِSesungguhnya aku telah mengikuti perang anu dan perang anu, dan tiada suatu anggota tubuhku melainkan padanya terdapat luka kerana tusukan atau lemparan panah. Tetapi sekarang aku mati di atas tempat tidurku, semoga mata orang-orang yang pengecut tidak dapat tidur.
وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.
Walaupun kita menyorok dalam kubu yang dikukuhkan dan tinggi, kematian itu pasti datang. Malangnya, kalau kita tidak mati semasa menjalankan jihad fisabilillah, ada kemungkinan kita mati bukan di jalan Allah.
وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِ اللهِ
Dan kalau mereka beroleh kebaikan, mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”,
Ada golongan munafik yang dapat keuntungan dan kemenangan dalam peperangan dan dapat ghanimah (harta rampasan perang). Mereka kata itu semua dari Allah.
Memang betul pun apa yang mereka cakap itu. Tapi tujuan mereka cakap itu adalah untuk menidakkan Nabi Muhammad. Mereka nak kata: “alah, menang tu sebab Allah bagi menang jer…” Ini adalah kerana mereka tidak menghormati Nabi Muhammad. Orang munafik tidak ada masalah pakai nama Allah dalam hujah mereka.
Tapi mereka tidak suka Nabi Muhammad, maka mereka akan cuba nak rendahkan baginda. Tapi bagaimana mungkin mereka boleh rahmat itu kalau bukan melalui Nabi Muhammad? Maka jangan diringankan kepentingan baginda.
‘Kebaikan’ dalam ayat ini, boleh juga bermaksud segala nikmat yang manusia dapat: perniagaan yang berjaya, tanaman yang subur yang membuahkan hasil, keluarga yang besar dan macam-macam lagi. Mereka kata itu semua dari Allah.
وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِكَ
dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari yang ada padamu”.
Kalau kena musibah, mereka kata itu adalah salah atau sial Nabi sebab salah buat perkiraan. Mereka salahkan Nabi pula kalau ada kekalahan di pihak umat Islam.
Mereka kata segala kesusahan itu mereka dapat kerana mereka sokong Nabi dan masuk Islamlah yang boleh jadi macam itu. Mereka kata dulu hidup mereka aman sahaja tanpa Nabi Muhammad dan golongan muhajirun.
Demikian pula yang dikatakan oleh orang-orang munafik, yaitu mereka yang masuk Islam lahiriahnya, sedangkan hati mereka benci terhadap Islam. Kerana itulah bila mereka tertimpa bencana, maka mereka kaitkan hal itu dengan penyebab kerana mengikuti Nabi Saw.
Kata-kata mereka itu sama sahaja seperti yang disebut oleh Bani Israil kepada Nabi Musa seperti makna yang terkandung di dalam firman-Nya yang menceritakan perihal kaum Fir’aun, yaitu:
{فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ}Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata, “Ini adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang mengikutinya. (Al-A’raf: 131)
قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللهِ
Katakanlah: “Semuanya itu adalah dari sisi Allah”.
Semuanya dari Allah: kalah atau menang, senang atau susah, semuanya dari Allah. Apa-apa sahaja yang terjadi adalah dari perancangan Allah, bukan? Maka kalau kita percaya dengan qada’ dan qadar, iaitu Rukun Iman, maka senang sahaja untuk kita terima perkara ini. Tidak ada yang berlaku melainkan dengan kehendak dan perancangan Allah.
فَمَالِ هَٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا
Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan?
Allah ejek: Kenapa dengan mereka ini? Mereka itu hampir-hampir tidak dapat memahami agama. Segala nasihat dan ajaran yang diberikan kepada mereka, mereka tak boleh nak terima dan masukkan dalam akal mereka.
Mereka macam tak faham apa-apa. Walaupun Nabi ada dalam kalangan mereka, mereka masih tidak faham agama. Ada yang tidak kena dengan akal mereka kalau begitu.
Ayat 79: Tasliah.
مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللهِ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَىٰ بِاللهِ شَهِيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
What comes to you of good is from Allāh, but what comes to you of evil, [O man], is from yourself.¹ And We have sent you, [O Muḥammad], to the people as a messenger, and sufficient is Allāh as Witness.
- As a result of your mistakes or sins.
MALAY
Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).
مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللهِ
Apa jua kebaikan yang engkau dapati, ia adalah dari Allah;
Apa sahaja kebaikan yang kita dapat dalam dunia ini, sebenarnya ia dari Allah. Allah yang beri kepada kita kerana sifat RahmanNya. Sebenarnya kita tak layak dapat apa-apa pun sebab kita ini hamba, kita ini papa. Kita ini hamba yang hina, yang boleh mengharap sahaja, dan kalau kita tidak dapat apa-apa, kita tidak boleh nak marah kepada Allah.
Jangan juga kita kata yang kita dapat segala nikmat itu kerana amal ibadat kita dan kita layak dapat segalanya itu. Pertama, kita buat ibadat itu pun kerana taufik dari Allah juga, bukan dari kita.
Dan kedua, mana mungkin segala nikmat itu disamakan dengan ibadat kita. Betapa banyak ibadat pun yang kita lakukan, tidak mungkin dapat menyamai segala nikmat yang kita dapat itu. Walaupun kita beribadat sepanjang hidup kita, kita tidak akan dapat hendak membalas nikmat satu mata yang Allah berikan kepada kita, apatah lagi segala nikmat-nikmat lain yang tidak dapat dikira langsung itu.
Begitu juga, jangan kita sangka yang kita akan dapat masuk syurga kerana amal kita. Kerana amal kita tidak cukup untuk membalas segala nikmat syurga itu. Ini seperti satu hadis yang Nabi sampaikan:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.” Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarublah dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.” (Sahih Bukhari, no. 5241)
وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ
dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.
Musibah yang menimpa diri kita dari jenis segala kesusahan adalah dari kesilapan kita sendiri. Allah nak beri ujian dan pengajaran kepada umat manusia dengan memberikan kesusahan itu.
Tapi kalau kita sabar dan menerima kesusahan dan musibah itu, kita akan dibersihkan dari dosa kita. Lihatlah sabda Nabi tentang perkara ini:
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. (HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).
وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا
Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul
Allah telah pilih Nabi sebagai rasul kepada seluruh dunia. Ini adalah dalil yang Nabi Muhammad adalah Rasul untuk sekelian manusia ini. Dari mula baginda menjadi Nabi sampailah ke Hari Kiamat nanti.
وَكَفَىٰ بِاللهِ شَهِيدًا
Dan cukuplah Allah menjadi saksi
Cukuplah Allah sebagai saksi bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi dan Rasul untuk sekelian manusia. Walaupun ramai yang tidak terima, itu tidak kisah kerana Allah telah menjadi saksi atas perkara itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 Mei 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an