Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 19 – 24 (Kalau ada banyak ilah)

Ayat 19: Ini adalah dalil aqli kedua. Sebelum ini telah disebut tentang fahaman syirik manusia yang mengatakan para malaikat itu adalah anak-anak Allah, maka sekarang Allah jelaskan siapakah malaikat itu.

وَلَهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَمَن عِندَهُ لا يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتِهِ وَلا يَستَحسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Him belongs whoever is in the heavens and the earth. And those near Him [i.e., the angels] are not prevented by arrogance from His worship, nor do they tire.

(MELAYU)

Dan kepunyaan-Nya-lah segala yang di langit dan di bumi. Dan malaikat-malaikat yang di sisi-Nya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya dan tiada (pula) merasa letih.

 

وَلَهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan-Nya-lah segala yang di langit dan di bumi.

Hanya Allah sahaja yang memiliki alam ini. Allah tidak perlukan anak-anak seperti kita yang memerlukan anak untuk melangsungkan kehidupan kita di dunia ini. Kita mahu kepada anak kerana kita mahu ada sesuatu yang kita tinggalkan di dunia ini setelah kita tiada nanti. Tapi Allah memiliki alam ini, tidak memerlukan anak seperti itu.

Oleh kerana Allah yang memiliki alam ini, maka kepada Allah sahajalah tempat kita menghambakan diri, melakukan ibadah dan seruan dalam doa. Janganlah sembah kepada selain Allah dan bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat.

 

وَمَن عِندَهُ لا يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتِهِ

Dan mereka yang di sisi-Nya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya

Yang ‘rapat dengan Allah’ adalah malaikat-malaikat dan juga manusia-manusia yang bertakwa kepada Allah. Mereka mempunyai darjat yang tinggi kerana iman mereka dan amalan mereka. Mereka itu tidak merasa sombong untuk beribadah dan juga menghambakan diri hanya kepada Allah.

Kita tekankan perkataan ‘menghambakan’ kerana kalimah عبد bukan sahaja bermaksud ‘ibadat’ tetapi ia juga asalnya bermaksud ‘hamba’. Ada orang yang ‘beribadat’ kepada Allah, tapi tidak ‘menghambakan’ diri kepada Allah. Kerana itu mereka solat dan puasa, tapi mereka tidak taat kepada hukum-hukum Allah yang lain.

Allah beritahu yang malaikat dan manusia yang rapat dengan Allah ini tidak rasa rendah diri pun untuk menghambakan diri mereka kepada Allah. Mereka merendahkan diri di hadapan Allah dan juga mengagungkan Allah seagung-agungnya. Mereka tidak rasa sombong pun untuk menjadi hamba kepada Allah. Malangnya ada manusia yang sombong diri padahal mereka itu kerdil sahaja.

 

وَلا يَستَحسِرونَ

dan tiada merasa letih.

Kalimat يَستَحسِرونَ ini bermaksud penat seperti digunakan di dalam surah al-Mulk yang menceritakan kepenatan orang yang mencari keretakan pada langit. Memang takkan jumpa, dan kalau benda yang dicari-cari tidak jumpa, akhirnya kita akan penat sendiri, bukan?

Mereka yang rapat dengan Allah itu tidak rasa lelah dan penat ataupun bosan di dalam melakukan ibadah kepada Allah dan tidaklah mereka seperti kita yang apabila melakukan solat kepada Allah, sentiasa rasa penat sahaja. Kadang-kadang kita bosan sahaja semasa solat dan nak habiskan dengan cepat sahaja, bukan?


 

Ayat 20: Apakah contoh ibadah yang mereka lakukan?

يُسَبِّحونَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ لا يَفتُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They exalt [Him] night and day [and] do not slacken.

(MELAYU)

Mereka selalu bertasbih malam dan siang tiada henti-hentinya.

 

يُسَبِّحونَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

Mereka selalu bertasbih malam dan siang

Mereka bertasbih memuji Allah siang dan malam. Apabila digunakan kalimah ‘siang dan malam’, maksudnya ‘sentiasa’. Mereka sentiasa melakukan ibadah kepada Allah dan sentiasa ingat kepada Allah.

 

لا يَفتُرونَ

tiada henti-hentinya.

Kalimah يَفتُرونَ dari katadasar ف ت ر yang bermaksud bermula dengan laju dan hebat pada awalnya tetapi lama kelamaan menjadi lemah.

Sekarang bayangkan orang-orang yang melakukan solat tarawih yang mulanya laju dan bersemangat tetapi setelah di tengah-tengah Ramadhan sudah jadi lemah. Masa awal Ramadhan ramai berjemaah di masjid tapi bila sudah hujung Ramadhan ramai yang mula sibuk buat kuih dan bikin baju raya. Itulah ف ت ر.

Allah beritahu yang mereka yang rapat dengan Allah ini tidak begitu. Mereka sentiasa bersemangat untuk beribadat kepada Allah. Semoga kita juga mendapat semangat ini.


 

Ayat 21: Zajrun. Sekarang Allah menegur golongan yang berbeza dari golongan sebelum ini.

أَمِ اتَّخَذوا ءآلِهَةً مِّنَ الأَرضِ هُم يُنشِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have they [i.e., men] taken for themselves gods from the earth who resurrect [the dead]?

(MELAYU)

Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan dari bumi, yang dapat menghidupkan (orang-orang mati)?

 

أَمِ اتَّخَذوا ءآلِهَةً مِّنَ الأَرضِ

Apakah mereka mengambil ilah-ilah dari bumi,

Adakah mereka, iaitu orang-orang musyrik itu menjadikan ilah-ilah selain Allah? Dan ilah-ilah itu ada di bumi (sedangkan Allah ada di langit).

 

هُم يُنشِرونَ

yang dapat menghidupkan?

Allah tanya mereka: adakah ilah-ilah yang mereka ambil itu boleh menghidupkan dan mengumpulkan manusia selepas makhluk mati? Adakah ilah-ilah itu ada kuasa untuk menghidupkan makhluk yang telah mati dan mengumpulkan mereka seperti Allah yang akan mengumpulkan semua makhluk di Mahsyar nanti?

Tentu tidak boleh. Maka Allah ejek penyembah ilah selain Allah itu. Kenapakah mereka boleh jadi bodoh sangat sampai sembah makhluk yang tidak ada kuasa?


 

Ayat 22: Allah berikan logik untuk menunjukkan kesalahan mereka itu. Allah suruh mereka fikirkan hujah ini.

لَو كانَ فيهِما ءآلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتا ۚ فَسُبحٰنَ اللهِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had there been within them [i.e., the heavens and earth] gods besides Allāh, they both would have been ruined. So exalted is Allāh, Lord of the Throne, above what they describe.

(MELAYU)

Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai ‘Arsy daripada apa yang mereka sifatkan.

 

لَو كانَ فيهِما ءآلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتا

Sekiranya ada di langit dan di bumi ilah-ilah selain Allah, tentulah keduanya itu telah binasa.

Allah suruh manusia berfikir: yang kalaulah di langit dan di bumi itu ada ilah selain Allah, tentunya langit dan bumi itu akan hancur lama dari dulu lagi kerana tentu akan ada pergaduhan antara ilah-ilah itu. Ayat ini semakna dengan firman-Nya:

{مَا اتَّخَذَ اللَّهُ مِنْ وَلَدٍ وَمَا كَانَ مَعَهُ مِنْ إِلَهٍ إِذًا لَذَهَبَ كُلُّ إِلَهٍ بِمَا خَلَقَ وَلَعَلا بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ}

Allah sekali-kali tidak mempunyai anak dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) berserta-Nya. Kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu. (Al-Mu’minun: 91)

Kerana itu kalau kita lihat agama-agama yang kata ada banyak tuhan, kita boleh lihat bagaimana tuhan-tuhan itu berkelahi dan berperang dan berbunuhan sesama mereka. Kerana kalau mereka itu memang benar ilah, tentu mereka ada kuasa dan tentu tidak boleh ada yang lebih kuasa dari mereka.

Kerana kalau nak jadi ilah, mesti ada kuasa penuh dan mengalahkan semua yang lain. Kerana kalau tidak ada kuasa yang penuh, maka ia bukanlah ilah.

 

فَسُبحٰنَ اللهِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ

Maka Maha Suci Allah yang mempunyai ‘Arsy daripada apa yang mereka sifatkan.

Maha suci Allah dari ada ilah selainNya. Itu semua adalah rekaan manusia sahaja. Allah lebih tinggi daripada sifat-sifat yang disebut tentangNya. Hanya Allah sahaja ilah dan tidak ada ilah lain melainkan itu semua adalah rekaan manusia sahaja.

Hanya ada satu Arasy dan hanya ada satu Tuhan sahaja. Hanya Allah sahaja yang ada Arasy itu. Dan Arasy itu adalah makhluk Allah yang paling besar sekali. Ia adalah makhluk yang paling tinggi sekali dan Allah di atas lagi dari Arasy itu. Maknanya kedudukan Allah itu tertinggi – lalu bagaimana Allah boleh direndahkan dan disamakan dengan makhluk? Ini adalah syirik!

Manusia musyrik dan kafir, apabila mereka menceritakan tuhan-tuhan mereka, mereka akan berikan maklumat yang terperinci tentang tuhan-tuhan itu: siapa namanya, siapa bapanya, siapa isterinya, siapa anaknya, apa kuasa yang dia ada dan sebagainya.

Dan sekarang kita lihat bagaimana kisah-kisah itu dijadikan sebagai filem. Dan kerana itu amat bahaya kalau ditonton kerana apabila manusia melihatnya, sedikit sebanyak ada perasaan yang lain macam di dalam hati mereka.

Tambah bahaya lagi kalau anak-anak kita yang tengok. Maka kita kena jaga apakah yang ditonton oleh anak-anak kita. Takut mereka terpesona dan terkesan pula dengan apa yang mereka lihat.


 

Ayat 23: Allah menceritakan tentang DiriNya.

لا يُسأَلُ عَمّا يَفعَلُ وَهُم يُسئَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is not questioned about what He does, but they will be questioned.

(MELAYU)

Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya dan merekalah yang akan ditanyai.

 

لا يُسأَلُ عَمّا يَفعَلُ

Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya

Allah tidak akan ditanya dan Allah tidak boleh dipersoalkan tentang apa sahaja yang dilakukan olehnya kerana Dia adalah Tuhan. Mana boleh kita nak persoalkan tentang apa sahaja yang Allah lakukan.

Malangnya kadangkala kita dengar kata-kata manusia yang kena musibah kata begini: “ya Allah, kenapa kau matikan suami aku….? Kenapa kau matikan emak aku…..?” Ini adalah kata-kata yang amat bahaya kerana seperti mempersoalkan tindakan Allah pula.

 

وَهُم يُسئَلونَ

dan merekalah yang akan ditanyai.

Akan tetapi makhluk lah yang akan ditanya tentang segala perbuatan mereka semasa di dunia. Semua perbuatan kita ditulis oleh malaikat dan akan dipersoal oleh Allah nanti.

Lalu bagaimana kita nak jawab kalau apa yang kita lakukan itu bertentangan dengan apa yang Allah suruh? Maka kena fikirkan apakah amalan kita semasa di dunia ini. Jangan kita menyesal nanti di akhirat.


 

Ayat 24:

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً ۖ قُل هاتوا بُرهٰنَكُم ۖ هٰذا ذِكرُ مَن مَّعِيَ وَذِكرُ مَن قَبلي ۗ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ الحَقَّ ۖ فَهُم مُّعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have they taken gods besides Him? Say, [O Muḥammad], “Produce your proof. This [Qur’ān] is the message for those with me and the message of those before me.”1 But most of them do not know the truth, so they are turning away.

•All previous prophets called for the worship of Allāh alone.

(MELAYU)

Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan selain-Nya? Katakanlah: “Tunjukkanlah hujjahmu! (Al Quran) ini adalah peringatan bagi orang-orang yang bersamaku, dan peringatan bagi orang-orang yang sebelumku”. Sebenarnya kebanyakan mereka tiada mengetahui yang hak, kerana itu mereka berpaling.

 

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِهِ ءآلِهَةً

Apakah mereka mengambil ilah-ilah selain-Nya?

Allah menunjukkan kehairananNya tentang manusia yang mengambil ilah-ilah selain DiriNya. Kenapakah mereka tidak memikirkan tindakan mereka itu? Kenapa mereka buat perkara yang tidak ada dalil dan jauh dari logik akal?

 

قُل هاتوا بُرهٰنَكُم

Katakanlah: “Unjukkanlah hujjahmu! 

Kalimah هاتوا bermaksud suruh bawa/datang dengan segera. Macam kisah Zulaikha panggil Nabi Yusuf dalam Surah Yusuf.

Kalimah برهان bermaksud bukti yang tidak dapat disangkal.

Ini adalah cabaran yang Allah berikan kepada manusia yang engkar dengan tauhid. Kalau ada dalil dan hujah yang tidak dapat disangkal, bawa keluarlah dan beritahu. Jangan simpan pula. Tapi sudah pasti tidak ada dalil dan tidak ada hujah.

 

هٰذا ذِكرُ مَن مَّعِيَ

ini adalah peringatan bagi orang-orang yang bersamaku, 

Nabi Muhammad disuruh untuk memberitahu bahawa wahyu yang ada pada Baginda iaitu Qur’an adalah untuk mereka yang beriman dengan baginda.

Sebelum ini mereka disuruh bawa dalil tentang fahaman syirik mereka itu. Tapi tentulah tidak ada. Sedangkan wahyu dalam Qur’an ini berlainan sekali dengan apa yang mereka katakan itu. Memang tidak ada dalil lain melainkan Qur’an ini sahaja. Ia menjadi sumber peringatan kepada mereka yang mahu beriman dengan baginda.

 

وَذِكرُ مَن قَبلي

dan peringatan bagi orang-orang yang sebelumku”.

Wahyu yang ada bersama Nabi adalah Qur’an dan wahyu yang sebelum Nabi Muhammad adalah kitab-kitab yang dahulu. Bukan sahaja tidak ada dalil tentang ilah selain Allah dalam Qur’an, dalam wahyu langit sebelum Qur’an juga tidak ada seperti dalam Taurat, Injil dan Zabur.

Allah hendak memberitahu bahawa cerita tentang tauhid ini bukan hanya berada di dalam Qur’an sahaja tetapi berada di dalam kitab kitab wahyu sebelum Qur’an. Sama sahaja maklumat tentang Tauhid, Risalah dan Akhirat.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ الحَقَّ

Sebenarnya kebanyakan mereka tiada mengetahui yang haq,

Kebanyakan manusia tidak tahu tentang kebenaran dan mereka melakukan kesilapan dengan menyangka perkara yang mereka tidak tahu itu tidak penting. Mereka rasa mereka hidup senang sahaja dan selamat sahaja tanpa mengetahui tentang wahyu dan tentang agama.

 

فَهُم مُّعرِضونَ

kerana itu mereka berpaling.

Jadi kerana rasa wahyu tidak penting, maka mereka rasa tak perlu nak ambil tahu. Kerana itu ramai yang tidak kisah pun untuk belajar agama, belajar tafsir Qur’an dan sebagainya. Mereka rasa sudah selamat, mereka rasa sudah cukup dengan ilmu yang mereka ada. Alangkah malangnya mereka kerana berfikiran begitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Anbiya’ Ayat 19 – 24 (Kalau ada banyak ilah)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s