Tafsir Surah an-Nisa Ayat 48 – 51 (Tiada ampun untuk dosa syirik)

Ayat 48: Dosa yang paling besar dan paling bahaya adalah dosa syirik kerana tiada maaf dari Allah untuk dosa syirik itu. Salah satu perbuatan syirik adalah menyamakan hukum buatan manusia dengan hukum Ilahi.

إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh does not forgive association with Him, but He forgives what is less than that for whom He wills. And he who associates others with Allāh has certainly fabricated a tremendous sin.

MALAY

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

 

إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya

Dosa syirik itu sangatlah besar sampaikan Allah yang bersifat ar-Rahman dan ar-Raheem pun tidak akan mengampunkan dosa mereka yang melakukannya. Ini adalah kerana ianya adalah dosa menduakan DiriNya.

Kalau kita beri perumpamaan seorang suami dan isterinya: kalaulah isteri itu tidak cantik, tidak pandai masak, tidak pandai bergaya, tidak pandai bercakap atau apa-apa sahaja kekurangan dia, seorang suami yang baik masih lagi boleh memaafkan isterinya itu. Tapi katakanlah isterinya itu sampai bawa lelaki lain naik katil, tentulah suami itu tidak dapat nak maafkan isterinya itu kerana telah menduakannya.

Sebelum ini telah disebut tentang kesesatan Yahudi. Sekarang ayat ini hendak menolak kata-kata Orang Yahudi yang dosa syirik mereka akan diampunkan. Mereka sangka mereka itu bangsa pilihan dan segala dosa mereka akan diampunkan Allah. Allah nak beritahu yang dosa syirik mereka itu tidak akan diampunkan.

Allah hendak menolak pemahaman mereka. Mereka sangka mereka itu golongan terpilih dan mereka ada kitab wahyu. Jadi mereka sangka mereka tentulah tidak berbuat syirik. Tapi Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah melakukan syirik dan dosa syirik mereka itu tidak akan diampunkan.

Jangan sangka ini masalah Ahli Kitab sahaja kerana begitulah juga dengan kebanyakan orang Islam kita. Mereka sangka mereka telah menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul; dan mereka telah mengucap dua kalimah syahadah dan mereka juga telah beramal ibadat. Oleh kerana itu mereka tak sangka yang mereka sedang melakukan syirik.

Tapi kalau tidak belajar wahyu dengan benar, orang Islam pun tidak tahu mana Tauhid dan mana Syirik. Dan ramai yang melakukan kesalahan syirik tanpa mereka sedari. Pengenalan syirik dan jenis-jenis syirik kita telah banyak tulis di tempat yang lain. Kena belajar tafsir keseluruhan Qur’an baru akan nampak kesemuanya.

 

وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ

dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya

Allah berfirman yang Dia boleh ampun dosa manusia, asalkan dosa itu selain dari dosa syirik. Tapi kita kenalah ingat bahawa ‘tidak wajib’ bagi Allah untuk mengampunkan, ianya adalah ‘harus’ sahaja bagi Allah. Sebab itulah Allah berfirman yang Dia ampunkan kepada sesiapa yang ‘dikehendakiNya’.

Oleh itu, pilihan itu pada Allah. Dan kerana itu, kita kena sedar yang tiada jaminan yang semua dosa kita akan diampunkan. Maka hendaklah kita mengelak dari melakukan dosa dari mula-mula lagi. Jangan berharap buat dosa dan kemudian nak minta ampun kemudiannya. Kerana kita takut kalau kita minta ampun tapi Allah tidak sudi nak ampunkan.

Jangan pandang ringan perkara ini kerana ada yang sangka kalau minta ampun sahaja, terus Allah akan ampunkan. Tidak begitu kerana ianya terpulang kepada Allah.

 

وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا

Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

Ini adalah ayat Jumlah Ta’liliyah. Allah memberitahu kenapa Dia tidak akan mengampunkan dosa mereka yang melakukan syirik. Ini adalah kerana syirik adalah dosa yang sangat besar sampai tidak ada kasihan belas dari Allah kepada mereka yang melakukannya.

Jadi ayat ini jangan pula disalah erti pula. Jangan ada yang sangka, dosa syirik sahaja besar tapi dosa selain syirik ada harapan ataupun ringan sahaja. Ini adalah fahaman yang salah. Ayat ini hendak memberitahu besarnya dosa syirik itu sampaikan Allah tidak akan ampunkan. Tapi dosa-dosa lain pun besar juga dan kalau ada, Allah akan masukkan pelakunya dalam neraka untuk mencucinya.

Dosa syirik amat besar sekali. Tidak faham tentang perkara inilah yang menyebabkan orang kita pun banyak yang ambil ringan tentang syirik. Bab feqah mereka jaga sangat, tapi bab Tauhid dan akidah mereka ambil mudah sahaja. Kerana itulah kita selalu dengar mereka jaga sangat amal ibadat kena ikut Mazhab Syafie (seolah-olah mazhab lain tidak benar), tapi bab pergi jumpa bomoh, percaya khurafat dan bertawasul, selamba sahaja mereka lakukan.

Inilah terbaliknya fikiran orang kita. Sepatutnya bab feqah diluaskan, bab akidah yang kena sempit, kena jaga betul-betul. Tapi orang kita terbalik pula. Bab feqah pula mereka sempitkan dan bab akidah pula mereka ambil ringan. Ini salah faham yang boleh menjeruskan manusia ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.


 

Ayat 49: Ayat zajrun (teguran) bagi Ahli Kitab. Ahli Kitab sangka dan perasan mereka itu hebat. Mereka kata mereka adalah ‘anak-anak Allah’ dan kerana itu kedudukan mereka istimewa.

Atau mereka sangka bahawa merekalah yang paling dikasihi oleh Allah dan kerana itu Allah tidak akan mengazab mereka. Seolah-olah seorang ayah yang tidak menghukum anaknya kerana sayang sangat kepada anaknya.

Mereka menjadi umat yang rosak kerana fahaman itu. Malangnya, ramai manusia yang ada perasaan itu termasuklah orang Islam pun. Maka Allah beri pengajaran penting dalam ayat ini dengan menegur tentang sikap mereka dalam ayat ini. Maka orang Islam pun kena tawajuh (fokus) perkara ini. Bandingkan dengan akidah dan fahaman kita juga.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يُزَكّونَ أَنفُسَهُم ۚ بَلِ اللهُ يُزَكّي مَن يَشاءُ وَلا يُظلَمونَ فَتيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not seen those who claim themselves to be pure? Rather, Allāh purifies whom He wills, and injustice is not done to them, [even] as much as a thread [inside a date seed].

MALAY

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يُزَكّونَ أَنفُسَهُم

Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri?

Ini adalah tentang golongan Yahudi yang menyucikan diri mereka. Iaitu kata diri mereka itu suci. Mereka yang angkat darjat mereka sendiri. Itu dinamakan ‘perasan’.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Mu’tamir, dari ayahnya, dari Na’im ibnu Abu Hindun yang mengatakan bahawa Umar ibnul Khattab pernah berkata, “Barang siapa yang mengatakan, ‘Aku orang mukmin,” maka dia adalah orang kafir. Barang siapa yang mengatakan bahawa dirinya adalah orang alim, maka dia adalah orang yang jahil (bodoh). Barang siapa yang mengatakan bahawa dirinya masuk syurga, maka dia masuk neraka.”

Al-Hasan dan Qatadah mengatakan bahawa firman-Nya berikut ini: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang menganggap dirinya bersih. (An-Nisa: 49) diturunkan berkenaan dengan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani ketika mereka mengatakan, “Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya.” Juga sehubungan dengan ucapan mereka yang disebutkan oleh firman-Nya: Sekali-kali tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang (yang beragama) Yahudi atau Nasrani. (Al-Baqarah: 111)

Dalam ayat Baqarah:111, mereka kata yang akan masuk syurga adalah Yahudi dan Nasara sahaja. Itu adalah penipuan sahaja kerana tidak pernah ada dalil yang Allah mengatakan mereka itu suci dan pasti akan masuk syurga. Dan mereka sangka mereka kalau masuk neraka pun sekejap sahaja kerana mereka itu kekasih-kekasih Allah seperti yang disebut dalam Baqarah:80.

Orang Islam pun ada yang buat macam ini juga. Ada yang mengaku diri mereka suci. Ini jenis orang yang ‘angkat bakul’. Ini adalah perasan dan bangga dan ini jenis yang dilarang. Kita tidak tahu keadaan diri kita, jadi kita tidak boleh perasan kita ini bebas dari dosa.

Atau anak murid mereka yang kata guru mereka suci. Ini disebut-sebut kerana kalau nak doa kena minta guru mereka doakan. Inilah yang dinamakan tawasul. Kerana mereka menggunakan guru mereka yang kononnya suci itu untuk memakbulkan doa mereka. Mereka rasa kalau mereka doa sendiri, Allah tak dengar doa mereka, tapi bila guru mereka itu doakan, Allah akan makbulkan kerana guru mereka itu ‘suci’. Kemudian mereka akan beri upah kepada guru mereka itu.

Dan apabila guru mereka itu sudah mati, mereka jadikan kubur guru mereka jadi tempat ibadat. Macam-macam benda pelik buat di situ. Mereka akan terus meminta guru mereka itu mendoakan untuk mereka dan mereka akan meminta berkat dari guru mereka itu.

Kerana itu menurut pendapat yang lain, ayat ini diturunkan berkenaan dengan celaan terhadap perbuatan memuji dan menyanjung. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Al-Miqdad ibnul Aswad yang menceritakan hadis berikut:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَحْثُوَ فِي وُجُوهِ الْمَدَّاحِينَ التُّرَابَ

Rasulullah Saw. telah memerintahkan kepada kita agar menaburkan pasir ke wajah orang-orang yang tukang memuji.

Pendapat lain pula menyebut ini berkenaan ahli kitab yang berharap kepada anak-anak mereka yang mati kecil.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Musaffa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Himyar, dari Ibnu Luhai’ah, dari Bisyr ibnu Abu Amrah, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa dahulu orang-orang Yahudi menempatkan anak-anak mereka sebagai imam dalam sembahyangnya, juga menyerahkan korban mereka kepada anak-anak tersebut. Mereka berbuat demikian dengan alasan bahawa anak-anak mereka masih belum berdosa dan tidak mempunyai kesalahan. Mereka berdusta, dan Allah menjawab mereka, “Sesungguhnya Aku tidak akan membersihkan orang yang berdosa karena orang lain yang tidak berdosa.” Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang menganggap dirinya bersih. (An-Nisa: 49)

Maka tidak boleh membersihkan dosa kerana orang lain yang tidak berdosa. Ini kita kena tengok balik kenapa ibubapa ada yang hantar anak-anak mereka ke sekolah agama dan tahfiz. Mereka berharap anak-anak mereka itu jadi baik dan akan beri syafaat kepada mereka nanti. Allah beritahu dalam ayat ini, kalau orang lain bersih suci, tidak semestinya kita juga suci. Maka ibubapa itu kenalah menyucikan diri mereka sendiri. Jangan hendak berharap kepada anak pula.

 

بَلِ اللهُ يُزَكّي مَن يَشاءُ

bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya

Ini adalah jawapan kepada mereka: Allah sahaja yang menyucikan sesiapa yang dikehendakiNya. Itu pun diberikan kepada mereka yang ada akidah betul. Allah sahajalah yang tahu siapakah yang suci atau tidak, dan tidak ada manusia yang boleh mendakwa yang mereka itu sudah suci.

 

وَلا يُظلَمونَ فَتيلًا

dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.

Mereka tidak akan dizalimi walaupun satu فَتيلًا. فَتيلًا adalah satu benang yang ada pada biji kurma. Ianya macam urat dan tentunya ia amat kecil. Ianya adalah perumpamaan kecil sangat sebab bangsa Arab faham apakah فَتيلًا itu. Maksudnya, sedikit pun tidak akan dizalimi.

Maknanya, kalau seseorang itu layak dapat pahala, Allah tetap akan beri sekecil mana pun. Kerana kalau Allah tidak beri, itu adalah satu kezaliman.


 

Ayat 50:

انظُر كَيفَ يَفتَرونَ عَلَى اللهِ الكَذِبَ ۖ وَكَفىٰ بِهِ إِثمًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Look how they invent about Allāh untruth, and sufficient is that as a manifest sin.

MALAY

Lihatlah (wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.

 

انظُر كَيفَ يَفتَرونَ عَلَى اللهِ الكَذِبَ

Lihatlah bagaimana mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah

Mereka tanpa segan silu lagi telah menggunakan nama Allah untuk berdusta. Mereka kata Allah lah yang beritahu yang mereka itu suci.

Ramai yang menggunakan nama Allah dalam penipuan. Contohnya ada yang kata mereka jumpa Allah, jumpa Nabi dan sebagainya. Selalunya mereka kata mereka jumpa dalam mimpilah macam yang dilakukan oleh puak Habib itu. Mereka menipu dengan menggunakan nama-nama sebegitu supaya manusia percaya kepada mereka.

Ada yang mengatakan tok nenek mereka orang alim lagi baik, maka mereka akan selamat. Padahal Allah telah menentukan bahawa amal perbuatan nenek moyang tidak dapat menjamin anak keturunannya barang sedikit pun. Seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

تِلْكَ أُمَةٌ قَدْ خَلَتْ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ

Itu adalah umat yang lalu; baginya apa yang telah diusahakannya, dan bagi kalian apa yang sudah kalian usahakan. (Al-Baqarah: 134), hingga akhir ayat.

Maka kalau ada yang perasan selamat kerana mereka anak cucu Tok Kenali, contohnya, itu adalah adalah perasan terlebih namanya. Ini kita beritahu kerana keturunan alim ulamak seperti Tok Kenali ini sangka mereka orang hebat. Sampaikan ada orang jahil yang minta anak cucu itu doakan mereka, buat air penawar, air itu dan ini untuk mereka.

 

وَكَفىٰ بِهِ إِثمًا مُّبينًا

Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.

Cukuplah diayah mereka itu sebagai tanda yang ia adalah dosa yang amat jelas. Sudah jelas mereka buat dosa kerana mereka memperkatakan sesuatu tanpa memberikan dalil. Macam dakwah pakai mimpi, macam nak periksa benar atau tidak?

Habis Ruku’ ke 7 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 51: Ini adalah ayat teguran lagi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُؤمِنونَ بِالجِبتِ وَالطّٰغوتِ وَيَقولونَ لِلَّذينَ كَفَروا هٰؤُلاءِ أَهدىٰ مِنَ الَّذينَ ءآمَنوا سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not seen those who were given a portion of the Scripture, who believe in jibt [superstition] and ṭāghūt [false objects of worship] and say about the disbelievers, “These are better guided than the believers as to the way”?

MALAY

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w).

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ

Tidakkah engkau perhatikan kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab?

Yang dimaksudkan adalah Kitab Taurat atau Kitab Injil. Jadi yang dimaksudkan adalah golongan ilmuan dari Ahli Kitab. Mereka itu adalah golongan agama mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Mereka yang sepatutnya tahu tentang agama kerana mereka mempelajari kitab wahyu. Apakah teguran kepada mereka?

Di dalam Kitab Ruh al-Ma’ani disebut riwayat dari Ibn Abbas tentang ayat ini. Ada dua ketua Yahudi dari Madinah, Huyayy ibn Akhtab dan Ka’ab ibn Ashraf yang pergi ke Mekah selepas Perang Uhud untuk berjumpa dengan pemuka Quraish. Puak Quraish waktu itu masih lagi sedang meraikan kejayaan mereka di Perang Uhud.

Dua ketua Yahudi itu datang dengan 70 orang Yahudi Madinah. Ka’ab telah berjumpa dengan Abu Sufyan dan berjanji untuk bersekongkol dengan Quraish dalam menentang Rasulullah SAW. Puak Yahudi itu hendak memutuskan perjanjian mereka dengan umat Islam kerana mereka rasa puak Muslim telah lemah dan sekarang mereka hendak bersatu dengan Quraish Mekah. Ka’ab tinggal di rumah Abu Sufyan dalam lawatan itu.

Pada mulanya, puak Quraish tidak berapa percaya kepada puak Yahudi itu. Kerana pada Quraish, Yahudi itu sama sahaja dengan Nabi Muhammad – dua-dua mengaku ada kitab wahyu sedangkan Quraish tidak ada kitab. Mereka rasa tentu Yahudi lebih rapat lagi dengan Nabi Muhammad.

Oleh itu, Quraish telah mencabar puak Yahudi untuk tunduk sembah dua berhala mereka (Jibt dan Taghoot) dan mereka telah melakukannya. Selepas itu Ka’ab telah mencadangkan 30 orang dari puak Yahudi dan 30 orang dari puak Quraish menyentuh Ka’bah dan mengisytiharkan atas nama Tuhan Ka’bah itu untuk berjanji bersekutu dalam menentang Nabi Muhammad. Puak Quraish suka dengan cadangan itu dan mereka telah melakukannya – maka termeterailah perjanjian antara mereka.

Selepas itu, Abu Sufyan bertanya kepada Ka’ab apa pandangannya tentang agama mereka (Musyrikin Mekah) dibandingkan dengan agama Nabi Muhammad itu. Abu Sufyan mahu tahu dari Ka’ab, siapakah yang dia rasa lebih benar? Maka Ka’ab meminta Abu Sufyan menerangkan apakah agama mereka. Abu Sufyan menjawap yang mereka menyembelih unta untuk Haji, mereka memberikan susu kepada pelawat Ka’bah dan mereka meraikan tetamu mereka.

Mereka juga menjaga hubungan kekeluargaan. Mereka tawaf di Ka’bah dan mengerjakan Umrah. Mereka juga membayar tebusan untuk tawanan dan sebagainya. Dia membandingkan dengan agama Nabi Muhammad yang meninggalkan agama nenek moyangnya, memutuskan perhubungan kekeluargaan dan mencipta agama baru.

Mendengar hujah dari Abu Sufyan itu, maka Ka’ab pun berkata: “Aku bersumpah dengan nama Tuhan, kamu lebih terpimpin dari Muhammad. Dia itu telah sesat.” Selepas berita ini sampai ke Madinah, maka diturunkan ayat ini. Allah pecahkan rahsia orang Yahudi itu.

 

يُؤمِنونَ بِالجِبتِ وَالطّٰغوتِ

Mereka percaya kepada Jibti dan kepada Taghut,

Mereka telah diberikan dengan kitab tapi mereka masih beriman dengan jibti. Jibti itu adalah apa sahaja yang dipuja selain Allah. Boleh jadi dalam bentuk batu atau benda apa-apa sahaja. Inilah yang digunakan dalam ilmu sihir kepada mereka yang mengamalkannya. Termasuk dalam perkara ini adalah jenis seperti magik, Horoscope dan voodoo.

Kalimah الجِبتِ asalnya adalah nama satu berhala di Mekah. Kemudiannya digunakan untuk apa sahaja ‘ilah palsu’. Ia juga digunakan untuk merujuk kepada penggunaan sihir.

Umar r.a mengatakan bahawa jibt bermaksud sihir dan taghut adalah syaitan.
Imam Malik ibn Anas mengatakan bahawa apa sahaja yang disembah selain Allah adalah taghut.

Ibn Abbas, Ibn Jubayr, and Abu al-Aliyah r.a. mengatakan bahawa kalimah jibt datang dari bahasa Habashah. Ia merujuk kepada ahli sihir sedangkan taghut pula merujuk kepada tukang ramal.

Orang yang baca Qur’an tanpa memahaminya pun buat begitu juga kerana mereka hanya baca Qur’an sahaja tanpa faham apakah yang mereka baca. Ini selalu terjadi dalam masyarakat kita. Mereka mengamalkan benda-benda yang mereka percaya ada kuasa dan kelebihan tertentu seperti tangkal, wifak dan macam-macam lagi.

Begitu juga ada orang kita yang percaya kepada batu, besi dan macam-macam benda yang mereka lihat pelik. Sebab itu ada yang pakai cincin hikmat dan simpan barang-barang ajaib di dalam rumah mereka. Itu semua adalah kepercayaan yang tiada asas dan syirik. Itu semua dipanggil jibti.

Taghut adalah jenis syaitan yang membisikkan penipuan kepada mereka. Taghut adalah apa sahaja yang mengajak manusia jauh dari Allah. Secara bahasa, kata thagut diambil dari kata (طَغَى) yang ertinya ‘melampaui batas’.

Secara istilah syar’i pula, ianya sebagaimana disampaikan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah: thagut adalah segala sesuatu yang menyebabkan seorang hamba melebihi batasannya, baik itu sesuatu yang diibadahi, diikuti, atau ditaati.

Syaikh Muhammad At Tamimi rahimahullah menjelaskan bahwa thagut ada banyak. Thagut yang paling besar ada lima:

a. iblis –semoga Allah melaknatnya-,

b. siapa saja yang dijadikan sembahan dan dia redha; samada dia masih hidup atau dia telah mati; mungkin dia tidak suruh manusia menyembahnya, tapi dia tahu yang manusia menyembahnya dan dia redha dengan perkara itu; kalau ada yang disembah tapi dia tidak redha, ini tidak termasuk taghut.

Sebagai contoh, Nasara yang menyembah Nabi Isa a.s. itu menyembah taghut, tapi Nabi Isa tidaklah menjadi taghut kerana baginda tidak pernah suruh dan tidak pernah redha dengan perlakuan itu.

c. barangsiapa yang mengajak manusia untuk menyembah dirinya; ini lebih teruk dari jenis yang ke 2 kerana dia sendiri yang menyuruh manusia menyembahnya – contohnya Firaun yang menyuruh rakyatnya menyembahnya; termasuk juga dalam hal ini adalah para ulama sufi yang menyuruh pengikutnya menyembahnya.

d. barangsiapa yang mengaku mengetahui ilmu ghaib; iaitu mereka mengaku mereka mengetahui perkara ghaib secara mutlak – ini tidak patut kerana hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib secara mutlak.

Maka termasuk thagut jenis ini adalah para dukun, paranormal, dan tukang sihir yang mengaku mengetahui ilmu ghaib. Mereka ramal apa yang akan terjadi esok dan yang biasa terjadi, mereka cari barang hilang.

e. barangsiapa yang berhukum dengan hukum selain yang Allah turunkan.

Terdapat perincian permasalahan tentang berhukum dengan hukum selain Allah. Syaikh ‘Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah berkata, “Orang yang berhukum dengan hukum selain yang Allah turunkan ada  empat keadaan:

  1. Orang yang mengatakan, “Saya berhukum dengannya kerana lebih baik daripada syari’at Islam”, maka hukumnya kufur akbar.
  2. Orang yang mengatakan, “Saya berhukum dengannya kerana hukum tersebut sama/setara dengan syari’at Islam, maka berhukum dengannya boleh dan berhukum dengan syari’at (Islam) juga boleh”, maka hukumnya juga kufur akbar.
  3. Orang yang mengatakan, “Saya berhukum dengannya sedangkan berhukum dengan syari’at Islam lebih afdhal, akan tetapi boleh berhukum dengan selain apa yang Allah turunkan”, maka hukumnya juga kufur akbar.
  4. Orang yang mengatakan, “Saya berhukum dengannya”. Namun dia meyakini bahawa tidak boleh berhukum dengan selain apa yang Allah turunkan, dan dia menyatakan bahawa berhukum dengan syari’at Islam lebih afdhal serta tidak boleh berhukum dengan selainnya, akan tetapi dia bermudah-mudah dan meremehkan (dalam melakukan maksiat) atau dia melakukannya kerana perintah dari pemerintahnya.  Yang demikian ini hukumnya kufur asghar yang tidak mengeluarkannya dari Islam namun termasuk perbuatan dosa besar yang paling besar”

Sumber: http://muslim.or.id/11364-siapakah-thaghut.html

Semua itu datangnya dari syaitan kerana kalau bukan dari wahyu, ianya mesti dari syaitan.

وَيَقولونَ لِلَّذينَ كَفَروا هٰؤُلاءِ أَهدىٰ مِنَ الَّذينَ ءآمَنوا سَبيلًا

dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman

Teruknya Yahudi itu, mereka sanggup kata musyrikin Mekah itu lebih baik dari Muslim Madinah. Sedangkan Musyrikin Mekah tu sembah berhala dan sudah jelas teruknya agama mereka. Tapi kerana marahkan agama Islam dan kebenaran yang dibawa, mereka sudah tidak kira lagi.

Macam Kristian ada juga yang kata yang mereka lebih suka orang Hindu dari Muslim. Mereka kata agama Hindu lebih baik dari Islam. Padahal, kalau hendak dikirakan, agama mereka lebih rapat dengan agama kita kerana ada banyak persamaan, sedangkan tidak ada persamaan langsung dengan agama Hindu.

Macam juga orang kita sekarang ada yang kata Syiah lagi baik dari Wahabi. Ini adalah kata-kata yang amat bodoh sekali kerana pertamanya, tidak ada ajaran ‘Wahabi’. Tapi kerana mereka marah sangat kepada mereka yang hendak mengamalkan sunnah, mereka telah menggunakan gelaran tersebut untuk menghina mereka yang hendak mengamalkan sunnah.

Keduanya, mereka macam langsung tidak kisah dengan kesesatan yang diamalkan oleh Syiah itu apabila hendak mengutuk orang-orang yang hendak mengamalkan sunnah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s