Tafsir Surah Baqarah Ayat 275 – 281 (Riba)

Ayat 275: Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ banyak menyebut tentang infak iaitu suruhan untuk menghimpun harta kita di akhirat, manakala, di dalam ayat ini pula Allah ‎ﷻ menyebut tentang mereka yang menghimpun harta di dunia dengan cara haram.

Sudahlah himpun harta kemudian tidak infak (itu pun sudah tidak molek), tetapi masih boleh lagi. Masalahnya sekarang mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka himpun harta mereka itu dengan cara haram.

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۗ  وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ  فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those who consume interest cannot stand [on the Day of Resurrection] except as one stands who is being beaten by Satan into insanity. That is because they say, “Trade is [just] like interest.” But Allah has permitted trade and has forbidden interest. So whoever has received an admonition from his Lord and desists may have what is past, and his affair rests with Allah . But whoever returns to [dealing in interest or usury] – those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba

‘Makan’ dalam ayat ini maksudnya ambil riba kerana yang memberi hutang berlandaskan riba itu adalah untuk mereka makan sebenarnya, untuk menjaga perut mereka supaya kenyang sentiasa. Mereka sudah tidak kira kesusahan orang lain.

Mereka ambil keuntungan atas kelemahan dan kesusahan manusia dengan cara melanggar syarak. Mereka buat duit menggunakan duit. Mereka beri pinjam kepada manusia dan minta bayaran yang lebih daripada modal yang diberi. Mereka mendapat kekayaan dengan cara yang haram sedangkan banyak lagi cara halal yang lain.

Pada Zaman Jahiliyyah, jikalau orang yang meminjam tidak dapat membayar selepas waktu yang telah dijanjikan, hutang itu akan digandakan. Kalau tidak bayar juga selepas setahun, akan digandakan sekali lagi.

Makanya, hutang yang asalnya sedikit akan menjadi berganda-ganda. Hutang itu sampaikan boleh jadi turun temurun, kena dibayar oleh anak beranak yang meminjam jika mereka mati tidak sempat bayar semua hutang.

 

لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ

tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.

Ini adalah keadaan mereka yang mengambil riba. Keadaan mereka itu macam orang kena rasuk hantu. Memang tidak macam manusia biasa. Rambut kusut masai, jalan huyung hayang. Sudah tidak dapat dinasihatkan lagi kerana mereka tidak dengar nasihat.

Mereka ke sana dan ke sini sebab hendak kutip duit mereka daripada orang yang berhutang dengan mereka. Mereka menjadi bengis sebab hendak kutip hutang daripada orang yang berhutang.

Mereka sentiasa mengira-ngira duit mereka, risau siapa tidak bayar lagi, siapa akan bayar lambat lagi… ada yang sudah mati tidak dapat bayar, ada yang lari, ada yang degil tidak mahu bayar…. kepala mereka asyik pusing memikirkan duit mereka sahaja.

Ayat ini menjadi dalil bahawa memang jin ada merasuk manusia. Memang ia berlaku dan banyak terjadi dalam masyarakat kita. Malangnya ramai menggunakan cara yang salah untuk mengubati pesakit dengan amalan-amalan yang salah. Namun ia adalah perbincangan yang panjang untuk dibincangkan di sini.

Di dunia ini, kalau hendak lihat mereka yang berperangai macam dirasuk syaitan, boleh lihat mereka yang bekerja di Bursa Saham. Kalau tengok masa penutup (“closing time”) bursa, mereka sudah macam orang gila atau seperti monyet yang kepanasan.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”.

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka kata riba itu halal sama macam perniagaan biasa. Ini adalah hujah mereka untuk membenarkan apa yang mereka lakukan.

Ini adalah alasan mereka sahaja. Mereka kata mereka cuma menjalankan perniagaan sahaja kerana wang yang mereka beri pinjam itu, kalau mereka laburkan ke tempat lain, mereka akan dapat pulangan juga (kata mereka). Macam-macam lagi hujah bathil mereka untuk membenarkan amalan riba mereka itu. Teruk sekali fahaman mereka.

Padahal, tidak sama hutang riba dan perniagaan. Perniagaan adalah seorang pembeli memerlukan barang yang dibekalkan oleh penjual. Penjual membekalkan barang yang diperlukan dengan harga modal dicampur dengan untung usahanya menyediakan barang itu. Maka dua-dua pihak akan dapat keperluan masing-masing. Pembeli dapat barang yang diperlukan dan penjual dapat untung.

Mereka berhujah, wang mereka itu kalau mereka niagakan atau dilaburkan, pun akan mendapat duit juga. Jadi mereka kata tidaklah salah kalau mereka beri pinjam dan kemudian dapat pulangan. Ini pun tidak benar kerana kalau niaga, belum tentu dapat untung; dan kalau laburkan, belum tentu dapat pulangan. Sedangkan dalam beri pinjaman riba, pulangan sudah pasti.

Zaman sekarang, macam tidak boleh lagi untuk mengelak daripada terlibat dengan riba. Di mana-mana sahaja ada riba. Untuk beli rumah, beli kereta dan sebagainya. Yang lebih malang, anak-anak kita masuk universiti pun kena buat pinjaman yang ada riba juga. Bila keluar universiti, kerja belum tentu dapat lagi, tetapi sudah mula kena bayar bunga riba.

Maka untuk menjaga daripada terlibat dengan riba ini memerlukan semangat juang yang amat tinggi. Kena sedar yang riba itu memang bahaya dan kalau sedar bahayanya riba, barulah semangat kuat untuk melawan daripada terlibat dengan riba.

 

وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Hujah membenarkan riba dengan akal itu adalah bathil kerana Allah ‎ﷻ dengan jelas telah mengharamkan riba. Ia menyusahkan manusia dan menyebabkan masalah ekonomi dunia. Yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin.

Bayangkan pembelian rumah. Rumah yang boleh dibeli asalnya, menjadi mahal sangat sampai tidak mampu diberi secara tunai. Rumah yang 20 tahun dahulu berharga 20 ribu, mungkin sekarang sudah berharga sejuta kerana telah dimasukkan dengan unsur riba.

Ini adalah kerana pembeli pertama akan pinjam wang daripada bank yang mengenakan riba. Kemudian apabila dia hendak jual, tentu dia akan jual lebih mahal kerana hendak masukkan kos riba yang dia telah bayar, termasuk dengan keuntungan. Yang beli pula kena pinjam bank pakai riba juga. Kemudian dia pun akan jual dengan harga yang  lebih mahal lagi.

Maka rumah yang menjadi keperluan asas manusia menjadi terlalu mahal sangat sampai susah untuk dibeli. Akhirnya mana orang hendak duduk? Oleh kerana terpaksa juga ada rumah, maka ramailah yang hendak tak hendak, pakai juga sistem riba. Itulah keburukan riba sampai merosakkan ekonomi dunia.

Kajian telah banyak dijalankan untuk menunjukkan bagaimana konsep riba itu adalah buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara malah dunia. Kalau dikaji kenapa ada orang yang hidup gelandangan, ekonomi negara runtuh sampai tidak ada pekerjaan dan matawang jadi susut sampai tiada nilai… ia adalah kerana riba.

Kitalah umat Islam yang kena sampaikan ajaran Allah ‎ﷻ tentang keburukan riba ini supaya manusia yang bukan Islam pun boleh tahu. Malah, ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana nampak keburukan riba dan melihat bagaimana agama Islam sahaja agama yang menentang riba.


  

فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan dari Tuhannya lalu dia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya,

Boleh ambil modal/pokok yang telah diberikan dahulu. Ini kerana semasa ayat ini turun, ada sahabat yang mengamalkan riba. Tidaklah terus tinggalkan transaksi itu sampai dia kerugian pula. Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan. Masih boleh ambil balik wang dia.

Namun hanya ambil yang pokok sahaja. Maksudnya, kalau dia beri pinjam seratus riyal dan peminjam kena bayar 150 riyal, dia boleh ambil balik seratus riyal itu sahaja. Bunga dia tidak boleh ambil.

Satu lagi maksud ayat ini, ‘baginya apa yang lepas’. Maksudnya yang sudah itu, sudahlah. Berhenti sahaja daripada berbuat riba, tetapi tidaklah perlu diganti balik kepada penghutang yang sudah banyak kamu makan harta mereka.

 

وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ

dan perkaranya terserahlah kepada Allah. 

Terpulanglah kepada Allah ‎ﷻ sama ada akan mengampunkannya atau tidak. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ semoga Allah ‎ﷻ ampunkan. Asalkan kita mahu berubah dan bertaubat di atas kesalahan yang lama.

Sama juga macam perbuatan syirik sembah berhala yang kamu lakukan dahulu, minta ampun sahaja. Benda yang sudah dibuat jangan dikenang lagi kerana perkara yang dilakukan dahulu adalah kerana jahil. Sekarang Allah ‎ﷻ sudah beri ilmu, maka taat dan ikutlah ia.

 

وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, 

Ini adalah orang yang degil, liat untuk ikut syariat dan hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kalau masih berdegil juga, syariat telah diberikan tetapi masih tidak mahu ikut juga, maka tempat yang layak baginya adalah neraka.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Bukan tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi selama-lamanya, tidak ada harapan untuk diampunkan. Ini adalah amaran yang amat berat sekali. Oleh kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat, maka hukumannya pun berat.

Malangnya, orang kita tidak berapa ambil kisah tentang riba kerana ia sudah diamalkan merata-rata. Ini sama seperti amalan bid’ah yang sudah turun temurun diamalkan dalam masyarakat. Kita rasa ia biasa sahaja kerana ia sudah lama diamalkan dan ramai pula yang terlibat, maka kita anggap ia perkara biasa sahaja.


 

Ayat 276:

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُربِي الصَّدَقٰتِ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah destroys interest and gives increase for charities. And Allah does not like every sinning disbeliever.

MALAY

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

 

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ

Allah musnahkan riba 

Riba mesti dimusnahkan habis-habisan kerana keburukan yang amat sangat. Ia amat menyusahkan manusia dan menyebabkan kemunduran ekonomi.

Ia juga bermaksud yang Allah‎ ﷻ tidak memberi berkat kepada harta yang diperoleh melalui cara riba. Memang kalau lihat, perniagaan berunsurkan riba amat menguntungkan, tetapi ia tidak ada keberkatan. Apabila tidak ada keberkatan, maka ia tidak berguna langsung. Ia tidak memberi kebaikan malah akan menyusahkan kita.

 

وَيُربِي الصَّدَقٰتِ

dan Dia pula mengembangkan sedekah-sedekah

Allah ‎ﷻ menyuburkan sedekah. Ada banyak kebaikan sedekah dan kita telah sebutkan balasan Allah‎ ﷻ kepada mereka yang infak pada jalan Allah ‎ﷻ. Sedekah mendekatkan hubungan antara yang memberi dengan yang diberi; dan yang diberi sedekah itu tentunya mendoakan si pemberi sedekah itu. Balasan dari Allah ‎ﷻ dapat, hubungan dengan manusia pun baik juga.

 

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Allah‎ ﷻ tidak suka kepada mereka yang melanggar hukum yang telah ditetapkan. Riba adalah sesuatu berat dan kalau ada yang tidak mahu ikut cakap, Allah ‎ﷻ amat marah. Kita pun sudah lihat hukuman Allah ‎ﷻ akan mengekalkan pelakunya kekal dalam neraka.


 

Ayat 277: Ini adalah ayat Tabshir (beri berita gembira).

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who believe and do righteous deeds and establish prayer and give zakah will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, 

Beriman itu maksudnya beriman dengan sempurna dan tidak melakukan syirik.

Beramal soleh itu pula adalah melakukan amal ibadah yang ada contoh daripada Nabi ﷺ. Maka ini menolak amal ibadah rekaan seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Amalan yang bukan daripada contoh Nabi ﷺ dan para sahabatnya dinamakan bid’ah.

 

وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ

dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

Allah ‎ﷻ menyebut dua jenis hubungan iaitu hubungan dengan Allah ‎ﷻ (ibadat) dan hubungan dengan makhluk (adat). Salat adalah ibadat terbaik dan zakat adalah contoh terbaik dari adat.

Masyarakat Islam yang mengamalkan salat berjama’ah dan mengeluarkan zakat adalah masyarakat yang tidak mengamalkan riba. Sepatutnya dalam masyarakat Islam, yang kaya menolong yang miskin supaya tidak perlu sangat meminjam.

Yang kaya sepatutnya suka untuk infak dan yang miskin tidak meminta-minta yang tidak perlu kerana mereka tahu yang Islam tidak suka umatnya meminta-minta kecuali kalau terdesak. Maka, mereka akan belajar redha dengan keadaan mereka.

 

لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah ‎ﷻ janjikan pahala kepada mereka yang sebegitu. Allah ‎ﷻ maha pemurah dan sanggup untuk beri balasan yang berganda-ganda asalkan mahu taat kepada-Nya.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak ada ketakutan untuk menghadapi akhirat.

Mereka tidak berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.


 

Ayat 278:

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, fear Allah and give up what remains [due to you] of interest, if you should be believers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Dengarlah wahai orang yang beriman. Allah ‎ﷻ ulang pengajaran tentang riba. Orang yang hendak beriman, kenalah mengikutnya.

 

اتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah

Ikutlah dan jagalah segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Tanda orang bertaqwa adalah mereka akan memikirkan apakah hukum dalam sesuatu perkara itu dan akan taat kepada hukum itu.

 

وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ

dan tinggalkanlah saki baki riba 

Jangan buat langsung riba itu. Kalau dulu ada mengamalkan riba, jangan buat lagi. Tinggalkan 100%. Jangan terlibat langsung.

Ayat-ayat tentang riba ini diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi ﷺ, maka perincian dalam hadith tidak banyak. Maka peganglah nasihat daripada Saidina Umar رضي الله عنه ini:

“Sesungguhnya ayat Al-Qur’an yang akhir sekali turunnya adalah ayat Riba. Dan Rasulullah ﷺ telah wafat, padahal belum seluruhnya baginda terangkan kepada kita. Oleh kerana itu, tinggalkanlah mana yang menimbulkan keraguan di dalam hati kamu dan pilihlah apa-apa yang tidak menimbulkan keraguan.”

 

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Kalau kamu beriman, maka kamu akan ikut. Sudah tidak hanya melihat kepada keuntungan harta sahaja. Kena fikirkan baik buruk di akhirat kelak. Harta kita boleh sahaja cari dengan cara yang halal.


 

Ayat 279:

فَإِن لَّم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you do not, then be informed of a war [against you] from Allah and His Messenger. But if you repent, you may have your principal – [thus] you do no wrong, nor are you wronged.

MALAY

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

 

فَإِن لَّم تَفعَلوا

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan

Kalau sudah tahu hukum haram riba, tetapi masih degil juga…maka dengarlah sekarang ancaman berat dari Allah ‎ﷻ!

 

فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,

Allah ‎ﷻ isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba ini.

 

وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.

Walaupun sudah diharamkan riba, tetapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba sebanyak 100 ringgit di mana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal.

 

لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak daripada yang diberi adalah zalim. Islam tidak membenarkan kita zalim kepada orang.

Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus lupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba.


 

Ayat 280:

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if someone is in hardship, then [let there be] postponement until [a time of] ease. But if you give [from your right as] charity, then it is better for you, if you only knew.

MALAY

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

 

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,

Kalau kita tidak sedekah terus pun, sekurang-kurangnya kita beri pinjaman (tanpa riba). Ini pun dikira bantu juga kerana kalau kita beri sedekah, orang itu mungkin tidak berusaha untuk membalasnya dan dia jadi malas. Mungkin pada sesetengah orang, beri pinjam lebih baik daripada beri sedekah.

Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar. Sama ada diberi pinjam dengan persetujuan riba atau tidak, kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dia sudah usaha hendak bayar, cuma tidak boleh sahaja.

Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah ‎ﷻ akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tidak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia hendak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan  bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu.

 

فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ

maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya 

Kita beri pinjaman adalah untuk bantu kawan dan saudara kita. Maka teruskan bantu dia. Tengoklah keadaan dia mampu bayar atau tidak. Jangan dia tidak mampu bayar, kita paksa pula. Wajib bagi masa hingga dia boleh bayar. Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat begini.

 

وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم

dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu, 

Dengan kita beri pinjam, tanpa ambil riba, kita sudah dapat pahala kerana kita telah membantu orang dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam.

Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata: tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya.

Masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Al-Qur’an dan yakin benar dengan rezeki dari Allah ‎ﷻ. Dia yakin balasan daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang infak.

Orang yang yakin dengan Al-Qur’an sahaja akan sanggup buat begini. Ini kerana nasihat ini diberikan dalam Al-Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Al-Qur’an, bagaimana hendak tahu?

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu mengetahui 

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan melepaskan peluang untuk sedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu. Biarlah tidak dapat pulangan di dunia, tetapi dapat pulangan berganda di akhirat kelak.


 

Ayat 281: Jumhur ulama’ kata ayat ini adalah ayat terakhir turun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And fear a Day when you will be returned to Allah . Then every soul will be compensated for what it earned, and they will not be treated unjustly.

MALAY

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

 

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. 

Allah ‎ﷻ sentiasa menyuruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah ‎ﷻ akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, 

Apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, sama ada baik atau jahat.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak dizalimi. 

Allah ‎ﷻ tidak akan menzalimi hamba-Nya di mana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda daripada amal perbuatan baik kita itu.

Kita tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan tersalah buat keputusan.

Dosa hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah ‎ﷻ berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu.

Habis Ruku’ 38 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir al-Azhar

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

9 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 275 – 281 (Riba)”

  1. Assalamualaikum.
    Saya baru tahu bahawa ayat 281 dalam surah al baqarah ini merupakan ayat terakhir yang turun. Selama ini saya sangkakan, turutan turunnya ayat adalah mengikut susunan seperti dalam quran. Ayat pertama surah iqra. Betul kan ustaz? Cuma soalan saya, bagaimana kaedah penyusunan dalam quran mengikut surah tanpa turutan turunnya ayat? Mohon bantu saya untuk jelaskan, saya sangat ingin tahu.
    Terima kasih ustaz, semoga kita diberkati.

    Like

    1. Nabi yang arahkan kepada para sahabat yang bertugas sebagai penulis untuk susun. Apabila baginda dapat ayat baru, baginda akan beri arahan untuk dimasukkan di antara ayat mana dan mana. Dan setiap Ramadhan baginda akan membacakan keseluruhan Qur’an setakat yang sudah ada dengan Jibril. Dan kandungan kitab itu diletakkan di dalam satu kitab yang dinamakan Kitab Induk. Kerana itulah para sahabat tahu susunan ayat di dalam Qur’an kerana memang sudah ada.

      Like

  2. Assalam tuan. Sy ingin bertanya. Adakah pelaburan trust fund menggunakan cash atau epf acc 1 spt cth : public mutual yg menawarkan faedah tertentu dlm masa tertentu – faedah yg diberi itu adakah ianya termasuk dlm kategori riba ataupun tidak..? Penjelasan tuan sy dahului dgn ucapan terima kasih

    Like

    1. Kalau public mutual fund, kenalah pakai yang ada pelepasan dari penasihat syariah. Islamic Fund. Kalau Islamic Fund, sepatutnya tidak ada faedah tertentu dalam masa tertentu. Kerana untung rugi tidak dapat ditentukan. Mungkin itu bukan Islamic fund. Allahu a’lam. Ini sahaja saya boleh komen kerana tidak tahu apakah fund yang digunakan.

      Like

  3. Assalamualaikum tuan. Bagaimana dengan Perbankan Islam di negara kita ini. Sebab ramai orang menuduh perbankan islam sama sahaja seperti perbankan konvensional.
    Adakah tuan sependapat dengan perbankan islam di Malaysia ini?

    Like

    1. Ya tahu. Pada mereka yang tidak setuju, perbankan Islam adalah ‘backdoor riba’. Tukar nama sahaja.

      Tapi, itu sahaja yang kita ada. Lagi pun ia telah diteliti oleh pakar-pakar muamalat. Bagi yang overzealous tidak terima dan anggap ia sebagai backdoor riba, susahlah sikit kalau nak beli kereta, rumah etc. Kena kumpul duit sikit-sikit.

      Saya ok sahaja dengan perbankan Islam di Malaysia.

      Like

      1. Alhamdulillah. Terima kasih celiktafsir.net
        Alhamdulillah Allah temukan saya dgn website ni. Memudahkan umat utk memahami isi al Quran. Semoga admin yg handle website ni terus diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan. Aaaammmiiinnn.

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s