Tafsir Surah Tahreem Ayat 6 – 8 (Jihad dengan golongan munafik)

Tahreem Ayat 6: Sekarang ayat ini ditujukan untuk semua orang pula. Ini adalah ayat yang berat dalam Al-Qur’an. Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ﷻ mengajar kita untuk mengambil perhatian kepada urusan ahli keluarga sebagaimana dia menjaga dirinya sendiri.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, protect yourselves and your families from a Fire whose fuel is people and stones, over which are [appointed] angels, harsh and severe; they do not disobey Allāh in what He commands them but do what they are commanded.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman, 

Dengarlah semua wahai orang-orang yang mengaku beriman. Dengar dan amalkanlah.

 

قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا

peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka 

Allah ﷻ mengajar dalam ayat ini yang setiap orang ada tanggungjawab kepada orang lain. Sebelum ini kita telah belajar kisah rumahtangga Rasulullah; tapi kita pun ada juga rumahtangga, bukan? Kita bukanlah hanya bertanggungjawab ke atas diri kita sahaja, tapi ada tanggungjawab ke atas orang lain, iaitu keluarga yang berada dalam jagaan kita. Jadi arahan ini terutama kepada para suami dan bapa. Kita kena selamatkan mereka dari api neraka dengan sedaya upaya kita.

Qatadah mengatakan bahawa engkau perintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan engkau cegah mereka dari perbuatan durhaka terhadap­Nya. Dan hendaklah engkau tegakkan terhadap mereka perintah Allah dan engkau anjurkan mereka untuk mengerjakannya serta engkau bantu mereka untuk mengamalkannya.

Dan apabila engkau melihat di kalangan mereka terdapat suatu perbuatan maksiat terhadap Allah, maka engkau harus cegah mereka darinya dan engkau larang mereka melakukannya.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Ad-Dahhak dan Muqatil, bahawa sudah merupakan suatu kewajipan bagi seorang Muslim mengajarkan kepada keluarganya—baik dari kalangan kerabatnya ataupun budak-budaknya — hal-hal yang difardukan oleh Allah dan mengajarkan kepada mereka hal-hal yang dilarang oleh Allah yang harus mereka jauhi.

Semakna dengan ayat ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Turmuzi melalui hadis Abdul Malik ibnur Rabi’ ibnu Sabrah, dari ayahnya, dari datuknya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلَاةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ، فَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا”

Perintahkanlah kepada anak untuk mengerjakan solat bila usianya mencapai tujuh tahun; dan apabila usianya mencapai sepuluh tahun, maka pukullah dia kerana meninggalkannya.

Api neraka itu amat menakutkan. Maka lakukanlah semampu kamu untuk menyelamatkan dirimu dan bukan sahaja nak selamat diri sendiri sahaja, tapi cubalah selamatkan ahli keluarga juga. Kita kena ada usaha.

Selalunya apabila disuruh kita menyelamatkan diri daripada sesuatu, ia menunjukkan yang kita ada kemungkinan dikenakan dengan perkara itu. Akan tetapi ayat ini ditujukan kepada orang Islam dan bukannya kepada orang-orang kafir, bukan? Kenapa ada nasihat tentang neraka pula?

Maka ini memberi isyarat kepada kita bahawa orang-orang Islam belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Jangan kita berangan yang apabila kita ini orang Islam, kita pasti selamat dari neraka. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang pasti selamat lagi. Maka kenalah ada usaha untuk menyelamatkan diri kita.

Ini meletakkan kita pada tempatnya (sedar diri sikit) iaitu kita kena sedar bahawa kita dan ahli keluarga kita belum tentu selamat lagi daripada api neraka. Oleh itu kita kena berusaha untuk menyelamatkan diri kita kerana jikalau kita tidak buat apa-apa, maka kita akan masuk ke dalam neraka.

Dan Allah ﷻ menyuruh kita menyelamatkan diri kita dahulu kerana jikalau kita tidak menyelamatkan diri kita maka tentu kita tidak boleh menyelamatkan ahli keluarga kita. Ini macam dalam pesawat di mana pramugari akan ajar kalau oksigen tidak cukup, maka kena pakai oksigen untuk diri sendiri dahulu sebelum tolong orang lain. Kerana kalau kita terus beri oksigen kepada anak kita kerana kita sayang dia tapi kerana kita tidak ada oksigen dan pengsan, bagaimana nak selamatkan anak kita pula?

Malangnya kadang-kadang kita tahu ada ibu bapa yang hantar anaknya ke Sekolah Agama supaya anaknya boleh jadi baik dan kenal agama sedikit. Memang itu elok tetapi dia sendiri tidak tahu apa-apa pun tentang agama. Ada yang hantar anak dan tunggu sahaja di luar. Bukan nak dengar apa yang diajar di dalam pun.

Maka di dalam hal ini kita kena pentingkan diri sendiri juga di mana kita kena pastikan yang kita selamat dulu dan jangan sibuk tentang hal orang lain dulu. Kerana kalau hal kita sendiri pun tidak selesai maka bagaimana kita nak sibuk nak bagi nasihat kepada orang lain?

Para sahabat telah bertanya dengan Nabi ﷺ bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada api neraka dan baginda menjawab dengan mengajar agama. Maka kita kena ajar agama kepada keluarga kita. Maka kita sendiri kenalah belajar agama dulu. Jadi menyelamatkan diri itu pertamanya dengan belajar agama dengan faham wahyu.

Ibu bapa kena tahu tentang agama dan mahir sampaikan mereka boleh bercakap kepada anak-anaknya tentang agama dan memberi nasihat kepada mereka. Dan ini dimulai dengan seorang suami mengajar kepada isterinya. Dan perkara ini bukannya dibuat di dalam bentuk ceramah kepada anak isteri tetapi hendaklah disebut dalam keadaan biasa-biasa sahaja seperti ketika sedang makan ataupun tengah berjalan-jalan atau pun tengah bersembang-sembang. Selitkan pelajaran agama dalam kehidupan kita. 

Maka ibu bapa kena jaga akhlak dan juga agama mereka kerana anak-anak bukannya tidak nampak apa yang mereka lakukan. Jikalau kita hanya memberi nasihat sahaja tetapi kita tidak amalkan sendiri, maka ia akan menjadi sesuatu yang tidak bermakna kepada anak-anak itu dan mereka pun tidak mahu ikut. Maka, kalau nak anak suka baca Al-Qur’an, maka kenalah kita sendiri selalu baca Al-Qur’an di hadapan mereka, bukan?

Nota: ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk melakukan Majlis Tahlil. Kononnya majlis sedekah pahala itu boleh menyelamatkan simati dari neraka. Dalil yang sebenar memang tidak ada, jadi mereka terpaksa cedok mana-mana ayat Al-Qur’an yang boleh dipusing jadi dalil untuk buat perkara bid’ah. Tapi kita yang belajar wahyu ini tahu yang tidak ada dalil langsung untuk buat Majlis Tahlil yang bid’ah itu.

Sebenarnya bagaimana hendak menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita dari neraka? Ringkasnya adalah dengan ikut arahan Allah dan tinggalkan larangan Allah semua sekali. Dan asasnya adalah ilmu. Maka kena belajar agama berlandaskan wahyu dan ajarkan wahyu kepada keluarga.

 

وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ

yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; 

Sekarang Allah takutkan kita dengan neraka pula. Allah memberitahu kita serba sedikit gambaran neraka supaya kita boleh bayangkan sedikit.

Kita mahu supaya ahli keluarga kita selamat daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu. Dan apabila Allah ﷻ sebut manusia dahulu sebelum disebut ‘batu’, maksudnya lebih banyak manusia daripada batu yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Maka ini amat menakutkan sekali.

Maka manusia dibakar dalam neraka seperti kita membakar sampah yang tidak ada harga dan nilai. Oleh kerana manusia juga menjadi bahan bakar dalam neraka, maka semakin ramai ahli dalam neraka, semakin panas keadaan dalam neraka. Kerana itu ahli neraka tidak suka apabila ahli neraka baru. Kerana lagi ramai, lagi panas.

Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan ‘batu’ adalah berhala-berhala yang dahulunya dijadikan sembahan, kerana ada firman Allah ﷻ yang mengatakan:

{إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ}

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam. (Al-Anbiya: 98)

Dan apabila diberitahu yang batu itu menjadi bahan bakar, maka kita dapat tahu yang api itu sangatlah panas sampaikan batu pun boleh terbakar. Maka kita kena ada usaha untuk menyelamatkan anak isteri kita kerana kita tentu tidak mahu ahli keluarga kita dibakar dalam api neraka, bukan?

 

عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ

penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, 

Allah ﷻ takutkan kita lagi dengan memberitahu sifat malaikat-malaikat penjaga Neraka itu. Neraka itu dijaga oleh para malaikat yang garang dan mereka tidak ada perasaan belas kasihan kepada ahli neraka. Maka mereka tidak kisah untuk menyeksa ahli neraka itu dan mereka tidak ada belas kasihan dan kalau ahli neraka merayu apa saja pun mereka tidak akan dengar.

Ini adalah kerana mereka lebih taat kepada Allah ﷻ. Mereka tidak boleh ada belas kasihan lagi kerana di dalam neraka itu adalah tempat azab. Dan tugas mereka adalah untuk mengazab ahli neraka maka takkan mereka akan tinggalkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah ﷻ itu.

 

لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم

dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka

Dan para malaikat itu taat kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ telah beri arahan kepada mereka untuk menyeksa ahli neraka, maka mereka pasti akan melakukannya tanpa lengah dan tanpa belas kasihan kepada ahli neraka. Mereka tidak akan engkar dengan arahan yang telah diberikan kepada mereka. Maka jangan harap ada sesiapa lagi yang akan kasihan kepada kita.

Kalau ada penjara di dunia, mungkin ada warden penjara yang agak-agak kasihan kepada banduan dalam penjara. Tapi jangan ada pengharapan ini di dalam neraka kerana kalau ada, maka akan jadi sia-sia sahaja. Maka untuk selamatkan diri kita adalah semasa di dunia lagi, bukannya nak mencuba nasib di akhirat kelak. 

 

وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ

dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Malaikat itu akan tetap menyeksa ahli neraka. Kalau seganas-ganas tentera yang paling ganas di dunia seperti Tentera Israel pun, masih ada yang tidak boleh terus menyeksa para tawanan kerana mereka masih ada sifat kemanusiaan lagi. Kerana itu kita selalu dengar ada tentera Israel yang membocorkan rahsia perbuatan kejam rejim Zionis.

Tetapi jangan harap ada para malaikat itu ada sifat kemanusiaan kerana mereka bukan manusia pun. Mereka akan tetap jalankan tugas mereka menyeksa ahli neraka. 


 

Tahreem Ayat 7: Ayat Takhwif Ukhrawi

يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا لا تَعتَذِرُوا اليَومَ ۖ إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have disbelieved, make no excuses that Day. You will only be recompensed for what you used to do.

(MELAYU)

Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ كَفَروا

Hai orang-orang kafir,

Ini adalah satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah ﷻ bercakap terus kepada orang-orang kafir. Kalau  di dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang lain apabila bercakap kepada orang kafir, Allah ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang cakapkan.

Ini nampak macam iltifad (perubahan orang yang dihadap bercakap) kerana ayat sebelumnya Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman dan ayat selepasnya Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman kembali dan tiba-tiba pada ayat ini ada penukaran dimana Allah ﷻ bercakap dengan orang kafir pula. Tetapi sebenarnya Allah ﷻ bercakap kepada orang yang sama sahaja. Cuma sekarang Allah ﷻ bercakap dengan keras kerana terus panggil mereka sebagai ‘orang kafir’ sahaja. 

Jadi mereka ini sebenarnya adalah orang Islam yang tidak berjaya melepaskan diri mereka daripada api neraka ataupun setelah diberikan nasihat mereka tetap juga tidak mengambil pengajaran. Maka mereka sekarang berada di dalam neraka dan waktu itu Allah ﷻ bercakap dengan mereka dengan gelaran ‘orang kafir’ terus. Kerana kalau sudah masuk di dalam neraka takkan hendak digelar orang beriman lagi?

Apa Allah ﷻ kata kepada mereka?

 

لا تَعتَذِرُوا اليَومَ

janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. 

Jadi ayat ini dikatakan kepada orang-orang Islam yang dimasukkan ke dalam neraka dan waktu itu mereka supaya tidak dibenarkan untuk beri alasan lagi. Mereka akan cuba hendak menyelamatkan diri mereka dengan beri berbagai-bagai alasan dan hujah, tapi Allah ﷻ nak beritahu yang waktu itu hujah dan alasan mereka tidak laku langsung.

Allah ﷻ nak tolak percubaan untuk menyelamatkan diri dengan beri alasan. Allah ﷻ nak kata: jangan buang masa nak beri alasan. 

 

إِنَّما تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

Antara alasan yang cuba diberikan nanti adalah mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu salah. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ hendak memberitahu yang alasan itu tidak boleh dipakai kerana Allah ﷻ telah memberi nasihat di dalam Al-Qur’an dan telah diajar dalam sunnah.

Semua itu telah ada dan kalau ada manusia yang tidak mengamalkannya, itu adalah salah mereka kerana tidak belajar dan ambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Maka ini adalah ancaman keras kepada manusia yang mengaku Muslim tapi tidak mengamalkan amalan Islam seperti yang sepatutnya.  

Dan di sini ditekankan yang kita hanya dikenakan balasan atas amalan yang kita buat sendiri, bukan atas amalan orang lain.

Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.


 

Tahreem Ayat 8:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا توبوا إِلَى اللَّهِ تَوبَةً نَّصوحًا عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُكَفِّرَ عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيُدخِلَكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ يَومَ لا يُخزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ ۖ نورُهُم يَسعىٰ بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم يَقولونَ رَبَّنا أَتمِم لَنا نورَنا وَاغفِر لَنا ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, repent to Allāh with sincere repentance. Perhaps¹ your Lord will remove from you your misdeeds and admit you into gardens beneath which rivers flow [on] the Day when Allāh will not disgrace the Prophet and those who believed with him. Their light will proceed before them and on their right; they will say, “Our Lord, perfect for us our light and forgive us. Indeed, You are over all things competent.”

  • i.e., it is expected or promised.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Di dalam ayat sebelum ini adalah ayat yang mengejutkan kerana orang-orang Islam yang tidak aktif menyelamatkan diri mereka daripada api neraka akan dimasukkan ke dalam neraka; dan mereka akan dipanggil dengan panggilan “orang-orang kafir!”.

Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar kepada mereka yang terkejut supaya bertaubat kepada-Nya dan hendaklah mengubah cara hidup. Jangan terus berada dalam kegelapan kejahilan dan ditipu oleh kehidupan dunia sahaja. Bukankah kamu mengaku yang kamu sekarang orang beriman? Maka beramallah seperti orang beriman. Kena lihat apa yang perlu dilakukan kalau kamu betul orang beriman.

 

توبوا إِلَى اللَّهِ تَوبَةً نَّصوحًا

bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya).

Maka hendaklah selalu bertaubat kepada Allah. Iaitu dengan mengubah diri kita. Kalau dulu buat dosa, tinggalkan dosa. Kalau dulu tidak belajar, maka hendaklah mula belajar.

Kita selalu dengar kalimat ‘Taubat Nasuha’ dan sekarang kita sudah jumpa ayat tentangnya. ‘Taubat Nasuha’ itu ringkasnya adalah ‘taubat yang ikhlas’. Kerana bukan semua taubat itu ikhlas, bukan? Ada yang dilakukan sambil lewa sahaja.

Dari segi bahasa, kalimah نصح (na-sha-kha) ertinya sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naashikh), jika sesuatu tersebut tidak bercampur atau tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Di antara turunan kata نصح adalah  النصيحة (an-nashiihah). (Lihat Lisaanul ‘Arab, 2/615-617).

Ada tiga syarat untuk mendapat Taubat Nasuha ini:

1. Betul-betul menyesal kerana telah melakukan kesalahan dosa sebelum itu. Kena menyesali perbuatan itu kerana telah ingkar dengan Allah ﷻ. (bukan kerana perbuatan itu membuang masa dan membuang duit). 

2. Berazam takkan buat sampai bila-bila lagi dosa-dosa itu. Kerana kalau ada lagi keinginan hendak buat lagi, maka itu taubat yang main-main sahaja. 

3. Dari segi perbuatan, hendaklah terus berhenti serta-merta dari buat dosa-dosa itu lagi. Jangan lengahkan lagi. Jangan nak tunggu masa yang ‘sesuai’ kononnya. 

Selain dari tiga syarat ini, ditambah satu lagi syarat: jikalau dosa itu ada hubungan kesalahan dengan hamba yang lain, maka mesti minta maaf dengan orang itu. Dan kalau ada barang mereka yang telah diambil atau curi, maka kena pulangkan balik. Dan kalau barang itu telah hilang atau telah dipakai/dimakan, maka kena ganti. 

Kalau mengikut Saidina Ali pula, beliau senaraikan 6 perkara:

1. menyesal dengan perbuatan dosa yang dahulu
2. kembali taat dalam ibadah yang ditinggalkan
3. memperbetulkan hak yang telah diambil
4. meminta maaf kepada orang yang telah dizalimi
5. berazam untuk meninggalkan dosa itu
6. terus berada dalam taat kepada suruhan Allah

Satu lagi sifat Taubat Nasuha ialah ia adalah satu perbuatan taubat yang mengubah diri seseorang. Kerana maksud ‘nasuha’ itu ada elemen ‘ikhlas’ di dalamnya. Kerana itulah maksud ‘nasihat’ sebenarnya adalah ‘ikhlas’. Maka Taubat Nasuha adalah taubat yang serius, bukan main-main. Oleh kerana itu satu lagi maksud ‘Taubat Nasuha’ adalah selepas kita bertaubat, kita membaiki diri kita jadi baik, sampaikan menjadi ‘nasihat’ kepada orang lain. Orang lain tengok kita pun mereka teringin nak ikut jadi baik.

Kita kena selalu bertaubat kepada Allah ﷻ kerana kita sebagai manusia memang akan ada buat salah. Ini biasa sahaja tetapi pelaku kesilapan yang baik adalah mereka yang bertaubat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

“Seluruh anak Adam berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat” (HR Ibnu Majah no 4241, dihasankan oleh Syaikh Al-Albani)

 

عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُكَفِّرَ عَنكُم سَيِّئَاتِكُم

Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu

Selalulah bertaubat, mudah-mudahan Allah ﷻ akan maafkan semua dosa kita. Dikatakan ‘mudah-mudahan’ kerana mungkin kita belum bertaubat lagi dan mungkin kita telah bertaubat tapi taubat itu taubat yang tidak ikhlas dan main-main sahaja (maka tidak diterima lagi oleh Allah ﷻ). Allah tidak wajib terima taubat kita, ia terpulang kepadaNya untuk terima atau tidak.

Atau mungkin ada orang yang walaupun telah bertaubat tapi kemudian dia buat balik dosa yang sama, maka dia kembali buat dosa. (Dia memang berniat dan ikhlas bertaubat, tapi dia gagal di kemudian hari). Maka kerana itu Allah ﷻ tidak berikan janji yang dosa itu akan pasti diampunkan. Kerana tidak semestinya semua taubat akan diterima. Ada yang masih lagi melakukan dosa yang sama (kerana kita ini memang manusia yang lemah).

Tapi jangan putus asa dalam bertaubat. Walaupun masih melakukan dosa yang sama, jangan putus asa bertaubat. Jangan tertipu dengan syaitan dalam hal ini seperti ramai orang yang tertipu. Syaitan akan hasut kita (“kamu asyik buat dosa yang sama sahaja, baik jangan bertaubat! Kau ingat Tuhan nak terima ke taubat kau yang banyak kali ni?”) Jangan termakan dengan hasutan syaitan ini, kerana syaitan memang tidak suka kita bertaubat.

Maka tidaklah wajib Allah ﷻ ampunkan dosa kita. Ianya adalah hak Allah ﷻ. Jadi jangan buat dosa dan dalam hati kita berkata: “alaah… nanti aku taubat lah”. Ini bahaya kerana tidak pasti Allah ﷻ akan ampunkan.

Salah faham dalam sesetengah orang yang kata: kalau bertaubat, Allah ﷻ pasti terima. Ini tidak benar kerana kita tidak pasti sama ada taubat kita diterima atau tidak. Maka kita kenalah selalu bertaubat dan selalu berharap Allah ﷻ terima taubat kita itu. Kena berharap betul-betul dan takut kalau-kalau Allah tidak terima taubat kita. Jadi kita berharap dalam keadaan takut.

Jangan tinggalkan taubat walaupun kita melakukan dosa yang sama setiap kali. Jangan putus asa dengan rahmat Allah ﷻ. Jangan kita ragu-ragu dengan Allah ﷻ sampai kita tidak taubat pula.

Yang penting, kita teruskan bertaubat. Kalau bertaubat, mungkin Allah ﷻ terima dan mungkin tidak. Tapi kalau tidak bertaubat langsung, memang langsung lah Allah ﷻ tidak terima, bukan?

 

وَيُدخِلَكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

dan memasukkanmu ke dalam taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, 

Mudah-mudahan Allah ﷻ terima taubat kita dan kerana kita tidak ada dosa lagi, maka itu menyebabkan Allah ﷻ masukkan kita ke dalam syurga. Inilah motivasi bagi kita untuk bertaubat. Sebab kita kena takut sangat dengan neraka itu dan hendak sangat masuk syurga.

Dan sebagai motivasi lagi, Allah ﷻ beri perumpamaan syurga itu. Akan ada sungai di bawah istana syurga. Dan ini adalah motivasi yang hebat dan selalu disebut dalam Al-Qur’an kerana manusia memang suka tinggal di kawasan ada air. Sebab itu ada yang suka duduk di kawasan pantai, di tasik; dan ramai yang suka pergi berkelah di sungai dan air terjun.

Tambah hebat lagi kalau rumah itu ada air di dalamnya (atau rumah di atas air). Maka Allah ﷻ beritahu yang rumah di syurga amat hebat sampaikan ada ‘sungai’ di dalamnya. Dan sungai-sungai itu berjenis-jenis pula sebagaimana disebut dalam ayat yang lain.

 

يَومَ لا يُخزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ

pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersamanya;

Allah ﷻ cerita lagi kelebihan di akhirat kelak bagi orang yang mukmin. Allah ﷻ beritahu yang di Mahsyar nanti Allah ﷻ tidak malukan Nabi ﷺ dan mereka yang bersama dengan baginda ﷺ. Dan yang ‘bersama’ dengan baginda ﷺ adalah mereka yang meneruskan tugas Nabi ﷺ iaitu menjalankan kerja dakwah

Kalimah مع  (bersama) digunakan di dalam ayat ini kerana ada orang yang mengaku beriman dengan agama Allah ﷻ dan beriman dengan Rasul, tetapi mereka tidak berterusan mengamalkan ajaran Rasulullah ﷺ maka mereka tidak termasuk dalam golongan ini. Mereka tidaklah ‘bersama’ dengan Rasulullah ﷺ. Kalau nak bersama dengan Rasulullah ﷺ, maka hendaklah ada usaha untuk berdakwah dan menegakkan agama ini di atas muka bumi. Iaitu tentunya dengan menjalankan kerja dakwah.

Apabila Rasul dan pengikutnya tidak dihinakan, maka ini mengajar kita yang ada orang yang akan dihinakan. Iaitu golongan kafir dan golongan munafik. Tapi apakah maksud dihinakan? Dihinakan itu adalah dengan dimasukkan ke dalam neraka dan diberi azab. Kita lihat sebelum ini disebut mereka dibakar seperti sampah sahaja dalam neraka. Dimasukkan ke dalam neraka adalah satu penghinaan seperti disebut dalam Ali Imran:192

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya

 

نورُهُم يَسعىٰ بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم

cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, 

Allah ﷻ terus menceritakan keadaan di Titian Sirat nanti. Ia adalah satu tempat ujian yang amat hebat dan kita amat memerlukan bantuan semasa di Sirat itu.

Semasa berjalan di atas Sirat itu, waktu itu keadaan sangat gelap dan mereka yang ada cahaya sahaja boleh melintas. Macam kalau dalam kegelapan malam, tentu kita susah nak berjalan kerana kita tidak nampak jalan dan tidak nampak halangan. Di akhirat, tentu keadaan lebih gelap lagi. Maka tentu akan memerlukan ‘lampu suluh’.

Inilah yang diberikan kepada orang mukmin. Dan cahaya mereka itu bergantung kepada amal-amal mereka semasa di dunia. Semakin banyak amal, maka semakin bercahaya dan besar cahaya mereka itu. Kerana itu disebut ada cahaya di sebelah kanan, kerana ia memberi isyarat kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Ada juga pendapat yang mengatakan cahaya di kanan itu merujuk kepada pahala infaq.

Jadi, orang Islam akan diberi cahaya tapi orang munafik akan ditarik cahaya dari mereka dan mereka akan berada dalam kegelapan. Tapi mereka adalah usaha hendak dapatkan cahaya itu. Seperti disebut dalam Hadid:13, mereka mengejar-ngejar orang mukmin untuk kongsi cahaya orang mukmin itu, tapi mereka akan ditinggalkan juga.

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ لَّهُ بابٌ باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.

Jadi, apabila orang mukmin nampak cahaya orang-orang munafik ditarik dari mereka, maka mereka terus berdoa kepada Allah ﷻ:

 

يَقولونَ رَبَّنا أَتمِم لَنا نورَنا

sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami

Ini adalah doa orang mukmin yang sudah ada cahaya. Mereka telah ada cahaya tetapi mereka tetap berdoa kepada Allah ﷻ supaya cahaya itu diteruskan kepada mereka sampai mereka tiba ke syurga. Ini kerana mereka takut cahaya mereka ditarik seperti telah ditarik cahaya orang-orang munafik.

Atau, cahaya mereka itu sedikit sahaja. Kerana amal mereka tidak banyak semasa di dunia. Ya memang ada cahaya, tapi sedikit sahaja. Sebagai contoh, hanya ada di kaki sahaja, jadi tidak nampak jalan di hadapan sangat.

 

وَاغفِر لَنا

dan ampunilah kami;

Dan mereka juga berdoa kepada Allah ﷻ semoga dosa-dosa mereka diampunkan kerana cahaya itu boleh dihilangkan kerana dosa yang mereka pernah lakukan. Dan jikalau Allah ﷻ ampunkan maka cahaya itu akan berterusan.

 

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Jadi kita kena iktiraf kekuasaan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ nak buat apa-apa sahaja, kita tidak dapat nak halang. Maka kita berharap kepada ehsan Allah ﷻ sahaja. Sentiasalah berdoa dan berharap kepada Allah ﷻ di dunia dan juga di akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 3 Ogos 2022

Ringkasan Surah Tahreem


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s