Tafsir Surah Tahreem Ayat 10 – 12 (Isteri ustaz belum tentu selamat)

Ayat 10: Allah jadikan bandingan antara isteri yang jahat dan isteri yang baik. Tidak semestinya seorang isteri kepada Nabi itu sudah selamat. Maka isteri kepada wali dan kepada ustaz pun belum tentu selamat lagi. Semua kena ada usaha.

Ini mengajar kita yang walaupun duduk sekali di dunia tapi di akhirat belum tentu duduk bersama-sama lagi. Maka kena ajak mereka ke arah iman. Kena ajar anak isteri tentang agama supaya mereka pun selamat juga.

Ayat ini mengajar kita yang isteri Nabi pun ada yang munafik juga. Mereka duduk bersama dengan Nabi dan tidak diceraikan kerana tidak ada nusyuz yang jelas. Tapi tidaklah bermakna mereka itu otomatik selamat lagi. Allah tidak kira siapa pasangan hidup seseorang tapi melihat kepada orang itu sendiri. 

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ كَفَرُوا امرَأَتَ نوحٍ وَامرَأَتَ لوطٍ ۖ كانَتا تَحتَ عَبدَينِ مِن عِبادِنا صٰلِحَينِ فَخانَتاهُما فَلَم يُغنِيا عَنهُما مِنَ اللَّهِ شَيئًا وَقيلَ ادخُلَا النّارَ مَعَ الدّٰخِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh presents an example of those who disbelieved: the wife of Noah and the wife of Lot. They were under two of Our righteous servants but betrayed them,¹ so they [i.e., those prophets] did not avail them from Allāh at all, and it was said, “Enter the Fire with those who enter.”

  • In the matter of religion.

(MELAYU)

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

 

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ كَفَرُوا امرَأَتَ نوحٍ وَامرَأَتَ لوطٍ

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir.

Allah memberi contoh bandingan bagi para isteri. Kita kena sedar yang isteri para Nabi pun ada yang kafir iaitu mereka itu termasuk dalam golongan munafik. 

Maka ini adalah pukulan kepada orang kafir dan orang munafik. Walaupun mereka itu duduk bersama dengan orang Islam, mereka tidak akan selamat. Kerana ada isteri para Nabi pun tidak selamat.

 

كانَتا تَحتَ عَبدَينِ مِن عِبادِنا صٰلِحَينِ

Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami;

Mereka hidup di bawah jagaan hamba Allah yang soleh dan soleh peringkat tinggi iaitu Nabi lagi Rasul. Mereka makan sekali, tidur sekali, berkeluarga dan bersosial sekali. Kiranya itu sudah hebat dah. Tapi itu pun belum tentu mereka selamat lagi. Pasangan bukan penentu keselamatan kita di akhirat kelak. 

Syiah mengatakan isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth telah berzina tetapi sebenarnya tidaklah begitu kerana mereka itu sebenarnya tidak menyokong perjuangan suami-suami mereka. Dan mereka telah membocorkan rahsia kepada orang-orang kafir yang lain. Kalaulah mereka itu telah berzina dengan orang lain, maka tentu mereka telah diceraikan oleh para Nabi itu. 

 

فَخانَتاهُما

lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing),

Mereka mengkhianati suami mereka dari segi akidah. Dalam hal lain, mereka tidak menentang dengan cara zahir. Mereka juga tidak curang. Kerana itulah mereka terus menjadi isteri dua Nabi itu dan tidak diceraikan. Inilah pegangan ahli sunnah. Maknanya, mereka itu khianat dari segi agama. 

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan dari Musa ibnu Abu Aisyah, dari Sulaiman ibnu Qarm, bahawa dia pernah mendengar Ibnu Abbas mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya. (At-Tahrim: 10) Bahawa keduanya tidak berbuat serong (zina). Adapun pengkhianatan yang dilakukan oleh isteri Nuh ialah kerana dia memberitahukan (kepada kaumnya) bahawa Nuh gila. Sedangkan pengkhianatan yang dilakukan oleh isteri Luth ialah kerana dia memberi tahu kaumnya akan tamu-tamu lelaki suaminya.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang telah mengatakan bahawa pengkhianatan yang dilakukan oleh kedua isteri tersebut kerana keduanya tidak seagama dengan suaminya masing-masing. Isterinya Nuh selalu mengintip rahsia Nuh; apabila ada seseorang dari kaumnya yang beriman, maka isterinya memberitahukan hal itu kepada orang-orang yang bertindak sewenang-wenang dari kalangan kaumnya. Dan isterinya Luth, apabila Luth kedatangan seorang tamu lelaki, maka dia memberitahukan kepada penduduk kota yang senang dengan perbuatan keji (liwat).

Ad-Dahhak telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa tiada seorang wanita pun dari isteri seorang Nabi yang berbuat serong (zina), melainkan pengkhianatan yang dilakukannya hanyalah dalam masalah agama. Hal yang sama dikatakan oleh Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Ad-Dahhak, dan lain-lainnya. Ini kerana Allah menjaga nama baik suami-suami mereka.

 

فَلَم يُغنِيا عَنهُما مِنَ اللَّهِ شَيئًا

maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari Allah; 

Kedudukan mereka sebagai isteri kepada para Nabi tidaklah dapat menyelamatkan mereka dari seksaan Allah di akhirat kelak. Para suami mereka pun tidak dapat menyelamatkan mereka nanti.

Mereka tidak memberi bantuan kepada suami mereka. Dan mereka telah salah anggap dengan menyangka dengan kedudukan mereka itu mereka akan menyelamatkan mereka.  

 

وَقيلَ ادخُلَا النّارَ مَعَ الدّٰخِلينَ

dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)”.

Akhirnya nanti mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 11: Bandingan kedua tentang isteri yang beriman. Kalau tadi isteri yang jahat, sekarang diberikan dua contoh isteri yang baik pula. 

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ وَنَجِّني مِن فِرعَونَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh presents an example of those who believed: the wife of Pharaoh, when she said, “My Lord, build for me near You a house in Paradise and save me from Pharaoh and his deeds and save me from the wrongdoing people.”

(MELAYU)

Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.

 

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ

Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, 

Allah memberi perumpamaan isteri kepada orang-orang beriman pula. Allah ceritakan supaya dia menjadi contoh kepada para isteri dan memberi semangat kepada mereka untuk mengikut jejak langkah yang baik ini.

Ini merupakan perumpamaan yang dibuat oleh Allah untuk kaum mukmin bahawa tiada membahayakan mereka pergaulan mereka dengan orang-orang kafir, jika mereka mempunyai keperluan dengan orang-orang kafir, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

{لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً}

Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. (Ali Imran: 28)

Namanya isteri Firaun itu adalah Asiah binti Muzahim r.a. dan dia adalah isteri kepada seorang pemerintah yang besar di dunia pada waktu itu. Hebat sekali Mesir itu sampaikan sekarang pun negeri Mesir itu masih ada lagi peninggalannya. Waktu itu ia menjadi contoh dab diikuti oleh negara-negara yang lain. Kerana Mesir waktu itu hebat sekali. Anak raja kerajaan yang lain menghantar anak-anak mereka belajar di Mesir.

Sampai sekarang pun negara Amerika meletakkan gambar piramid di dalam wang kertas dan logo-logo mereka kerana mereka hendak mencontohi kejayaan yang ada pada pemerintahan Firaun pada zaman itu. 

Oleh itu Asiah ini adalah permaisuri kepada kerajaan itu. Jadi kalau dia mahu hidup mewah, memang dia boleh dapat. Dia boleh lakukan apa-apa saja dan dia boleh menikmati kesenangan hidup di dunia. Tapi tidaklah kedudukannya itu menjadikannya sebagai seorang yang kafir. Dia seorang yang mukminah. 

 

إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ

ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, 

Asiah hidup di istana yang hebat, dalam kerajaan yang besar, tetapi dia tidak memandang kepada kesenangan dunia itu. Dia tahu itu semua adalah benda dunia sahaja dan tidak ada nilainya. Kerana itu dia meminta supaya Allah memasukkan dia ke dalam syurga dan diberikan rumah di dalam syurga. Kerana itulah yang dia mahu dan damba-dambakan. 

Abu Ja’far Ar-Razi telah meriwayatkan dari Ar-Rabi’ ibnu Anas, dari Abul Aliyah yang mengatakan bahawa imannya isteri Fir’aun melalui iman isteri bendahara Fir’aun. Kisahnya bermula ketika isteri bendahara duduk menyisiri rambut anak perempuan Fir’aun, lalu sisir yang digunakannya itu terjatuh, dan dia berkata, “Celakalah orang yang kafir kepada Allah.”

Maka anak perempuan Fir’aun bertanya kepadanya, “Apakah engkau punya Tuhan selain ayahku?” Isteri bendahara menjawab, “Tuhanku, Tuhan ayahmu dan Tuhan segala sesuatu adalah Allah.” Maka anak perempuan Fir’aun menamparnya dan memukulnya, lalu dia melaporkan hal itu kepada ayahnya.

Fir’aun memerintahkan agar isteri bendahara ditangkap, lalu dia menanyainya, “Apakah engkau menyembah Tuhan lain selain aku?” Isteri bendahara menjawab, “Ya. Tuhanku, Tuhanmu, dan Tuhan segala sesuatu adalah Allah, dan hanya kepada-Nya aku menyembah.”

Lalu Fir’aun menyeksanya dengan mengikat kedua tangan dan kedua kakinya pada pasak-pasak dan melepaskan ular-ular berbisa untuk mengerumuninya. Isteri bendahara dalam keadaan demikian hingga pada suatu hari Fir’aun datang dan berkata, “Apakah kamu mahu menghentikan keyakinanmu itu?” Tetapi isteri bendahara itu terus menjawab, “Tuhanku, Tuhanmu, dan Tuhan segala sesuatu adalah Allah.”

Fir’aun berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku akan menyembelih anak laki-lakimu yang terbesar di hadapanmu jika kamu tidak mahu melakukan apa yang kuperintahkan.” Dia menjawab, “Laksanakanlah apa yang ingin engkau putuskan.” Akhirnya Fir’aun menyembelih anak laki-lakinya di hadapannya; dan sesungguhnya roh anak laki-lakinya menyampaikan berita gembira kepadanya dan mengatakan, “Hai Ibu, bergembiralah, sesungguhnya bagimu di sisi Allah ada pahala anu dan anu.” Akhirnya dia tetap bersabar dan teguh dalam menghadapi siksaan itu.

Di hari yang lain Fir’aun datang, lalu mengatakan hal yang sama seperti sebelumnya, maka dia menjawabnya dengan kata-kata yang sama. Kemudian Fir’aun menyembelih lagi puteranya yang lain di hadapannya. Dan roh puteranya itu menyampaikan berita gembira pula kepada ibunya seraya berkata, “Hai Ibu, bersabarlah, kerana sesungguhnya bagimu di sisi Allah ada pahala yang besar sekali.”

Ternyata isteri Fir’aun mendengar pembicaraan roh kedua putera isteri bendahara itu, akhirnya dia beriman. Lalu Allah mencabut nyawa isteri bendahara Fir’aun itu dan menampakkan pahala dan kedudukannya serta kemuliaannya di sisi Allah di mata isterinya Fir’aun, sehingga keimanan isteri Fir’aun bertambah kuat dan begitu pula keyakinannya.

Lalu Allah menampakkan keimanan isteri Fir’aun kepada suaminya, maka Fir’aun berkata kepada para pemimpin kaumnya, “Bagaimanakah pengetahuan kalian tentang Asiah binti Muzahim?” Ternyata mereka memujinya. Maka Fir’aun berkata kepada mereka, “Sesungguhnya dia sekarang menyembah selainku.” Mereka berkata kepada Fir’aun, “Kalau begitu, bunuh saja dia.” Maka dibuatkanlah untuknya empat buah pasak, kemudian kedua tangan dan kaki Asiah diikatkan pada masing-masing pasak, lalu Asiah berdoa kepada Allah yang disitir oleh firman-Nya: Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam surga. (At-Tahrim: 11)

Fir’aun datang menyaksikan ucapannya itu, lalu Asiah tertawa ketika menyaksikan rumahnya di syurga. Maka Fir’aun berkata, “Tidakkah kalian hairan dengan kegilaannya ini. Sesungguhnya kita menyeksanya, sedangkan dia tertawa.” Maka Allah mencabut nyawa Asiah dan menempatkannya di dalam syurga, semoga Allah melimpahkan redha-Nya kepadanya.

 

وَنَجِّني مِن فِرعَونَ وَعَمَلِهِ

dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, 

Asiah sedar yang apa yang dilakukan Firaun dalam pemerintahan dan kehidupannya adalah kesalahan besar. Oleh itu Asiah berdosa supaya dia diselamatkan dari Firaun dan kesan dari perbuatan Firaun. Asiah berlepas diri dari segala perbuatan Firaun yang berdosa dan kejam.

Kerana dia tahu yang Firaun akan mendapat kesan yang buruk dari perbuatannya itu dan Asiah tidak mahu kena mengena dengan dia. Asiah minta diselamatkan dari akibat buruk itu.

 

وَنَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.

Dan kaum Qibti yang menjadi pengikut Firaun juga adalah zalim. Oleh kerana itu jugalah Asiah berdoa supaya diselamatkan dari mereka.

Doa yang disebut oleh Asiah ini pernah juga disebut oleh Nabi Musa semasa baginda melarikan diri daripada negeri Mesir apabila bagina terbunuh seorang lelaki Qibti. Dan waktu itu bagina belum mendapat wahyu lagi. bukan? Jadi ini bermakna yang doa itu sebenarnya diajar oleh Asiah ibu tirinya yang memang seorang wanita yang hebat. 

Allah telah terima doa Asiah ini. Jadi dia memang menjadi isteri kepada Firaun sampai dia mati (dibunuh oleh Firaun sendiri) tapi Allah selamatkan akidahnya. 

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Hafs Al-Aili, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ja’far, dari Sulaiman At-Taimi, dari Abu Usman An-Nahdi, dari Salman yang menceritakan bahawa isteri Fir’aun diseksa di bawah terik matahari; apabila Fir’aun beranjak meninggalkannya, maka para malaikat menaunginya dengan sayap mereka, dan tersebutlah bahawa dalam seksaan yang dialaminya itu dia dapat melihat rumahnya di dalam syurga.
Kemudian Ibnu Jarir meriwayatkannya dari Ubaid ibnu Muhammad Al-Muharibi, dari Asbat ibnu Muhammad, dari Sulaiman At-Taimi dengan sanad yang sama.

 

Ayat 12: Contoh isteri beriman yang kedua.

وَمَريَمَ ابنَتَ عِمرٰنَ الَّتي أَحصَنَت فَرجَها فَنَفَخنا فيهِ مِن رّوحِنا وَصَدَّقَت بِكَلِمٰتِ رَبِّها وَكُتُبِهِ وَكانَت مِنَ القٰنِتينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [the example of] Mary, the daughter of ‘Imrān, who guarded her chastity, so We blew into [her garment] through Our angel [i.e., Gabriel], and she believed in the words of her Lord and His scriptures and was of the devoutly obedient.

(MELAYU)

dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.

 

وَمَريَمَ ابنَتَ عِمرانَ

dan Maryam binti Imran

Beliau adalah ibu kepada Nabi Isa a.s. Beliau adalah keturunan orang yang baik-baik. Imran adalah orang yang baik yang kisahnya adalah surah Ali Imran itu.

 

الَّتي أَحصَنَت فَرجَها

yang memelihara kehormatannya,

Maryam seorang yang menjaga maruah dan kehormatan dirinya. Allah memuliakan diri Maryam ini dengan mengatakan yang beliau adalah seorang yang suci, bukan penzina. Maryam juga tidak berkahwin dengan sesiapa sampai bila-bila.

Ini menolak tuduhan Yahudi yang mengatakan Nabi Isa lahir dari penzinaan ibunya.

 

فَنَفَخنا فيهِ مِن رّوحِنا

maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian dari ruh (ciptaan) Kami, 

Allah telah memasukkan roh Nabi Isa ke dalam rahimnya. Oleh itu, walaupun dia seorang anak dara, tapi dia telah mengandung.

Roh itu ditiup melalui Malaikat Jibril, dimana Allah mengutus Jibril kepadanya dalam rupa seorang manusia yang sempurna, dan memerintahkan kepada Jibril agar meniupkan ke dalam baju kurungnya sekali tiup dengan mulutnya. Maka tiupan itu turun ke bawah dan memasuki farjinya, lalu terjadilah kehamilan Maryam dengan izin Allah.

 

وَصَدَّقَت بِكَلِمٰتِ رَبِّها وَكُتُبِهِ

dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya, 

Maryam telah membenarkan dan menerima takdir Allah ke atas dirinya apabila diberitahu yang dia akan melahirkan anak tanpa bapa. Dan kemudian apabila anaknya Nabi Isa itu menyampaikan ajaran agama, dia teah percaya kepada apa yang disampaikan oleh anaknya itu.

Maryam beriman dengan takdir Allah taala (kitab – penetapan dari Allah).

 

وَكانَت مِنَ القٰنِتينَ

dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat. 

Dia beriman dengan ajaran Allah dan Rasulnya. Dia seorang yang mempunyai sifat yang taat. 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يُونُسُ، حَدَّثَنَا دَاوُدُ بْنُ أَبِي الْفُرَاتِ، عَنْ عِلْباء، عَنْ عِكْرِمة، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: خَطّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْأَرْضِ أَرْبَعَةَ خُطُوطٍ، وَقَالَ: “أَتُدْرُونَ مَا هَذَا؟ ” قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ: خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus, telah menceritakan kepada kami Daud ibnu Abul Furat, dari Alba, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. membuat suatu garis di tanah sebanyak empat garis, lalu bertanya, “Tahukah kalian apakah ini?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda: (ini menggambarkan) wanita-wanita ahli syurga yang paling utama. (yaitu) Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim bekas istri Fir’aun.

Maka kita telah belajar tentang empat orang wanita dalam surah ini. Ada empat jenis wanita semua sekali:

1. Ada yang teruk dan kufur tapi suami mereka baik.
2. Ada yang ditakdirkan berkahwin dengan suami yang teruk tapi dia seorang yang baik dan beriman dengan sebenar-benarnya.
3. Ada wanita baik dalam suasana yang baik. Contoh mereka itu para isteri Nabi Muhammad. Suami mereka baik dan mereka pun baik juga.
4. Ada isteri yang teruk dan suami mereka pun jahat juga. Ini ada dalam Surah Masad berkenaan isteri Abu Jahal.

Dalam keluarga yang sihat dan harmoni, ketua keluarga adalah suami dan juga bapa dimana dia yang buat keputusan. Dia yang kena mengurus keluarga itu dengan baik supaya keluarga kecil itu dapat hidup dalam menegakkan agama Islam. 

Seorang suami dan bapa mestilah menjaga keluarganya dengan baik, bukannya dengan kuku besi dan tidak memaksa. Tetapi Allah mengajar di awal surah ini bagaimana jikalau isteri itu mengambil peluang daripada kebaikan suaminya itu maka Allah tidak suka. 

Bakal pasangan isteri dan suami hendaklah menghormati sesama sendiri dan juga jangan ambil peluang daripada sifat baik dan mulia suami ataupun isteri itu. Sebaliknya kenalah hidup dengan harmoni. 

Dan keharmonian di antara suami dan isteri dapat dikecapi dan diamalkan jika ada mesyuarat di antara kedua-duanya dan tidak ada pemerintahan kuku besi. Begitulah manusia tidak suka apabila diberi arahan untuk melakukan perkara yang mereka tidak suka maka apabila kita mengajak kepada kebaikan, maka hendaklah kita bermesyuarat dan menjelaskan kenapa isteri kita ataupun suami kita kena buat begini dan begitu. Yang kita pentingkan supaya masing-masing masuk syurga. 

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Tahreem ini dan Juz 28. Sambung ke surah seterusnya, Surah Mulk.

Tarikh: 26 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s