Pengenalan:
Surah ini juga dikenali dengan nama: Surah Nun kerana ia dimulai dengan huruf Nun.
Surah al-Qalam ini adalah Surah Makkiyah. Seperti surah-surah Makkiyah yang lain, bacaan surah ini bunyinya sedap dan berirama. Maka ianya sedap dibaca terutama kalau dibaca dalam solat.
Dan begitulah caranya yang sebenar untuk menikmati keindahan Al-Qur’an iaitu dibaca dalam solat. Oleh itu, Al-Qur’an ini bukan sahaja untuk dibaca setakat difahami sahaja tapi kena didengari dan menjadi makanan kepada roh kita. Kalau kita belajar menjiwai dan mengambil kehebatan Al-Qur’an dari segi bacaan ini juga, maka kita tidak perlukan hiburan lagu dan sebagainya lagi kerana kita sudah ada Al-Qur’an sebagai penghibur kita.
Ia antara surah-surah yang awal turun di Mekah. Antara tahun 4 – 5 Kenabian. Tapi dari bahasa dan topik yang dibincangkan, ia diturunkan selepas penentangan kepada dakwah Nabi Muhammad menjadi kuat. Para peringkat awal, Musyrikin Mekah tidak tahu nak buat apa dengan Nabi, ada yang tengok sahaja. Tapi lama kelamaan, mereka mula menentang dan penentangan menjadi semakin kuat dan kuat.
Surah ini mengajar bahawa tidak boleh ada tolak ansur dalam hal Akidah. Ini amat penting untuk difahami kerana dosa akidah tidak ada ampun.
Secara keseluruhan, ada tiga tema penting dalam surah ini:
1. Jawapan kepada penentangan musuh Islam
2. Nasihat kepada Musyrikin Mekah
3. Nasihat dan pujukan kepada Nabi Muhammad supaya bersabar dalam dakwah
Di awal surah ini nanti akan disebut bahawa Nabi Muhammad bukan gila. Ini adalah kerana ada tuduhan dari para penentang yang baginda adalah orang gila. Allah kemudian berhujah yang Al-Qur’an ini hebat, takkan datang dari orang gila pula?
Kemudian disentuh akhlak Nabi Muhammad yang mulia. Sifat dan akhlak baginda telah lama dikenali oleh semua orang. Dan orang pun tahu akhlak para penentang baginda. Jadi bezakanlah antara keduanya, siapa yang kamu lebih percaya?
Kemudian Allah beri perumpamaan kisah para lelaki yang berkongsi satu kebun yang subur. Mereka telah diberikan rahmat dari Allah tapi mereka tidak taat kepada Allah. Mereka tidak mahu menggunakan rahmat yang Allah berikan itu untuk bersedekah. Mereka jadi kedekut walaupun mereka hidup dengan senang. Maka Allah beri peringatan kepada mereka dengan memusnahkan tanaman kebun mereka itu. Barulah mereka menyesal dan memperbaiki keadaan diri mereka.
Maka Allah hendak menegur penduduk Mekah. Mereka telah diberikan dengan seorang Rasul dari kalangan mereka, dan kalau mereka tidak menghargai nikmat itu, maka mereka yang akan rugi.
Kemudian Allah menegur Musyrikin Mekah dengan bawa hujah satu persatu. Banyak sekali teguran yang diberikan kepada mereka kerana mereka ada salah faham yang banyak. Mereka sangka mereka hidup dalam kesenangan, maka mereka sangka mereka akan selamat.
Akhir sekali Allah tutup surah ini dengan menasihat Nabi Muhammad supaya bersabar dalam dakwah dan jangan jadi seperti Nabi Yunus yang tidak sabar dengan kaum baginda.
Qalam Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita tentang akhlak dan peribadi pemimpin yang baik. Kebaikan dan keburukan pasti boleh dibezakan.
ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Qalam: The Pen.
Nūn.¹ By the pen and what they inscribe,
- See footnote to 2:1
(MELAYU)
Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis,
ن
Nun
Surah ini dimulai dengan huruf muqattaah dan ini adalah surah terakhir yang ada huruf muqattaah. Seperti yang kita telah jelaskan dalam surah-surah yang lain sebelum ini, kita tidak tahu maksud huruf ini kerana Allah dan RasulNya tidak pernah menjelaskan maksudnya kepada kita.
Tapi kita dapat merasakan kehebatan surah-surah yang dimulai dengan huruf-huruf muqattaah ini kerana ia amat menarik perhatian.
Menurut suatu pendapat, nun adalah nama seekor ikan yang amat besar berada di atas lautan air yang sangat luas, dialah yang menyangga tujuh lapis bumi. Benarkah? Mari kita lihat hadisnya.
Telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas –radhiyallahu ‘anhuma- bahawa beliau berkata:
أوّل ما خلق الله من شيء القلم ، فجرى بما هو كائن ، ثم رفع بخار الماء ، فخلقت منه السماوات ، ثم خلق ” النون ” – يعني الحوت – فبسطت الأرض على ظهر النون ، فتحرّكت الأرض فمادت ، فأثبت بالجبال ، فإن الجبال لتفخر على الأرض ، قال : وقرأ : (ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ (
“Sesuatu yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah pena, maka ia menulis semua kejadian, kemudian uap air diangkat ke atas, maka darinyalah langit-langit diciptakan, kemudian Dia (Allah) menciptakan Nuun, yaitu; ikan paus, maka dihamparkannya bumi di atas punggung ikan paus tersebut, maka bumi pun bergerak dan berguncang, lalu ditopang oleh gunung-gunung, maka gununglah yang lebih utama dari pada bumi, lalu beliau berkata dan membaca: “Nuun, demi pena dan apa yang mereka tulis”.
(Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq dalam Tafsirnya: 2/307, dan Ibnu Abi Syaibah: 14/101, dan Ibnu Abi Hatim-sebagaimana di dalam Tafsir Ibnu Katsir: 8/210, dan Thabari dalam Jami’ Al Bayan: 23/140, dan Hakim dalam Al Mustadrak: 2/540, dan masih banyak yang lainnya, semua riwayat dari jalur Al A’masy, dari Abi Dzabyan Hushain bin Jundub, dari Ibnu Abbas (yang ini sanadnya shahih). Al Hakim berkata: ini adalah hadis yang shahih sesuai dengan syarat kedua Syeikhan (Bukhari dan Muslim) namun keduanya tidak meriwayatkannya. Adz Dzahabi berkata dalam at Talkhish: Sesuai dengan syarat Bukhari dan Muslim. Sebagaimana yang diriwayatkan dari Mujahid, Muqatil, Sudi dan al Kalbi. Silakan anda baca: (Ad Durrul Mantsur: 8/240, dan Tafsir Ibnu Katsir: 8/185 dalam permulaan tafsir surat al Qalam).
Atsar ini –sebagaimana boleh dilihat- adalah mauquf (terhenti) sampai pada Ibnu Abbas, bukan dari sabda Nabi –shallallahu ‘alaihi wa sallam-, secara umum Ibnu Abbas –radhiyallahu ‘anhuma- mengambil dari Ka’b al Ahbar atau dari buku-buku Bani Isra’il yang mencakup banyak keajaiban, keanehan dan kedustaan.
Sekarang selepas kita tahu ia adalah kisah Israiliyyat, bagaimana sikap kita sepatutnya? Sepatutnya kita tinggalkan sahaja kerana Rasulullah pernah bersabda:
لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا الْآيَةَ (رواه البخاري، رقم (4485
“Janganlah kalian membenarkan ahli kitab dan janganlah mendustakan mereka, akan tetapi katakana: “Kami beriman kepada Allah dan ayat yang diturunkan kepada kami”. (HR. Bukhari: 4485)
Di dalam hadis lain, yang dimaksudkan dengan Nun adalah dakwat/tinta. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Abu Abdullah maula Bani Umayyah, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda:
“إِنَّ أَوَّلَ شَيْءٍ خَلَقَهُ اللَّهُ الْقَلَمُ، ثُمَّ خَلَقَ “النُّونَ” وَهِيَ: الدَّوَاةُ. ثُمَّ قَالَ لَهُ: اكْتُبْ. قَالَ وَمَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبْ مَا يَكُونُ -أَوْ: مَا هُوَ كَائِنٌ-مِنْ عَمَلٍ أَوْ رِزْقٍ أَوْ أَثَرٍ أَوْ أَجَلٍ. فَكَتَبَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ} ثُمَّ خَتَمَ عَلَى الْقَلَمِ فَلَمْ يَتَكَلَّمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ خَلَقَ الْعَقْلَ وَقَالَ: وَعِزَّتِي لَأُكَمِّلَنَّكَ فِيمَنْ أَحْبَبْتُ، وَلَأَنْقُصَنَّكَ مِمَّنْ أَبْغَضْتُ”
Sesungguhnya sesuatu yang mula-mula diciptakan oleh Allah adalah al-qalam, kemudian Allah menciptakan nun iaitu dakwat, lalu Allah berfirman kepada al-qalam, “Tulislah!” Al-qalam bertanya, “Apa yang harus aku tulis?” Allah berfirman, “Tulislah segala sesuatu yang akan terjadi, atau segala sesuatu yang akan ada, dari amal perbuatan, atau rezeki atau jejak atau ajal.” Maka al-qalam menulis semuanya itu sampai hari kiamat. Itulah yang dimaksudkan oleh firman Allah Swt., “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis, (Al-Qalam: 1).” Kemudian al-qalam dikunci, maka ia tidak berbicara sampai hari kiamat. Kemudian Allah menciptakan akal, lalu Allah berfirman, “Demi keagungan-Ku, sungguh Aku benar-benar akan menyempurnakanmu terhadap orang yang Aku sukai, dan sungguh Aku benar-benar akan mengurangimu terhadap orang yang Aku murkai.”
وَالقَلَمِ
demi kalam
Ini adalah Kalimah Qasam (sumpah). Allah bersumpah dengan qalam (pen).
Makna lahiriah menunjukkan jenis qalam (pena) yang dipakai untuk menulis, semakna dengan pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-‘Alaq: 3-5)
وَما يَسطُرونَ
dan apa yang mereka tulis,
Ini adalah qasam kedua. Siapa yang tulis? Siapakah ‘mereka’ dalam ayat ini? Tidak disebut siapa, maknanya Allah sengaja biarkan. Jadi kerana itu ada beberapa pendapat tentang siapakah mereka itu.
As-Saddi mengatakan, yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ adalah para malaikat dan segala sesuatu yang mereka catat tentang amal perbuatan semua hamba.
Ulama lainnya mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan dengan al-qalam dalam ayat ini ialah pena yang diperintahkan oleh Allah untuk mencatat takdir, yakni ketika Allah memerintahkan kepadanya mencatat semua takdir yang telah Dia tetapkan atas semua makhluk-Nya, yang hal ini terjadi sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jarak masa lima puluh ribu tahun.
Atau ia bermaksud para malaikat yang menyalin Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz.
Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan dari Mujahid sehubungan dengan makna firman-Nya, “Al-Qalam, ” bahawa makna yang dimaksudkan ialah pena yang digunakan untuk menulis zikir (peringatan).
Atau ia merujuk kepada para penulis Bani Israil yang salin kitab-kitab rujukan mereka.
Juga sekarang pada zaman sekarang pun masih lagi banyak penulisan dilakukan. Maknanya penulisan sentiasa berterusan sepanjang zaman menggunakan pen dan alat-alat lain.
Qalam Ayat 2:
ما أَنتَ بِنِعمَةِ رَبِّكَ بِمَجنونٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
You are not, [O Muḥammad], by the favor of your Lord, a madman.
(MELAYU)
berkat nikmat Tuhanmu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila.
Salah satu tuduhan yang dilemparkan oleh para penentang Nabi Muhammad adalah baginda adalah orang gila. Bila ramai manusia kata Nabi gila, maka Allah beri tasliah (pujukan) kepada baginda. Allah menekankan bahawa baginda bukanlah seorang yang gila.
Hujah mereka yang mengatakan Nabi Muhammad itu gila pun tidak patut: mereka sudah lama kenal dengan baginda kerana membesar bersama dengannya. Sebelum baginda jadi Nabi, mereka pun sedar dan terima yang Muhammad itu adalah insan terbaik dari kalangan mereka dan mereka gelar baginda al-amin (yang dipercayai). Cuma bila baginda ajar wahyu barulah mereka kata macam-macam terhadap baginda.
Baginda juga kena percaya dengan apa yang disampaikan kepada baginda. Baginda juga sebenarnya ada rasa sangsi pada asalnya dengan wahyu yang disampaikan kepada baginda. Maka Allah tenangkan hati baginda dan meyakinkan baginda bahawa benarlah bahawa apa yang diberikan kepada baginda itu benar-benar wahyu dari Allah.
Ini amat penting kerana baginda kena percaya dahulu sebelum bagi orang beriman. Kalau nak dakwah sesuatu perkara kepada orang lain, pendakwah itu mestilah kena percaya dulu dengan apa yang dia akan sampaikan. Kalau tidak, dia akan dakwah separuh hati sahaja.
Allah tegaskan yang Nabi Muhammad tidak gila apabila baginda kata baginda terima wahyu Al-Qur’an ini. Kerana orang gila tidak akan dapat Al-Qur’an yang mulia dan hebat ini.
Apabila ada qasam dalam ayat pertama, maka ayat kedua ini adalah Jawabul Qasam. Apa yang manusia tulis itu sebagai dalil bahawa Nabi Muhammad bukan gila. Iaitu merujuk kepada penulisan Al-Qur’an.
Lihatlah bagaimana ilmu Al-Qur’an ini sentiasa ditulis dan dikaji zaman berzaman. Manusia tak habis kaji lagi kehebatan Al-Qur’an ini. Dan ini menjadi bukti yang apa yang Nabi bawa itu adalah benar zaman berzaman. Kerana kalau ianya hanya tulisan manusia, ianya tidak dikaji sebegini hebat.
Allah gunakan Al-Qur’an ini sebagai penolakan kepada tuduhan mereka yang kata Nabi gila. Mereka pun boleh nampak hebatnya Al-Qur’an ini dan tidak mungkin ia ditulis oleh manusia.
Qalam Ayat 3:
وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, for you is a reward uninterrupted.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.
Allah memberitahu yang Nabi Muhammad akan dapat pahala tidak berhenti. Biarlah para penentang itu nak kata apa pun: mereka akan rugi sedangkan engkau Muhammad akan dapat kelebihan yang tidak berhenti.
Maknanya Nabi Muhammad mendapat maqam yang amat tinggi. Apa sahaja amalan ibadat yang baginda ajarkan kepada umat, sentiasa sahaja akan mengalir pahala kepada baginda. Ada saham tidak berhenti lagi selama 1,400 dulu sampai kiamat. Pahala sentiasa sahaja mengalir kepada baginda.
Kedudukan baginda bertambah tinggi dan tinggi dari masa ke semasa. Maka kalau ada yang nak ‘sedekah’ atau ‘hadiah’ pahala baca Fatihah kepada baginda seperti yang diamalkan oleh golongan jahil sekarang, memang tak patut langsung. Kerana kalau kita baca Fatihah (tanpa perlu nak sedekah atau hadiah) sahaja Nabi akan dapat pahala kerana bagindalah yang ajar Fatihah itu kepada umat.
Maka amalan sedekah Fatihah itu tidak ada dan ia adalah bidaah munkarah. Tujuan asalnya adalah nak bertawassul dengan baginda dan ‘upah’ yang hendak diberikan kepada baginda adalah Fatihah itulah.
Maka hentikanlah amalan pelik dan bidaah ini. Jangan dengar ajaran dari ustaz-ustaz karut yang ajar amalan bidaah sebegini. Kalau ditanya apakah dalil amalan tentang amalan ini, memang tidak ada. Kalau ditanya kepada mereka, maka akan dengarlah jawapan berbelit-belit dari mereka.
Qalam Ayat 4:
وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, you are of a great moral character.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.
Allah memuji Nabi Muhammad kerana baginda mempunyai akhlak yang baik. Sebelum baginda jadi Nabi lagi pun baginda sudah ada akhlak yang mulia. Baginda tidak gila malah akhlak baginda memang hebat.
Akhlak adalah cara kita berurusan dengan makhluk. Ia ada kena mengena dengan kalimah ‘makhluk’. Maksudnya orang yang ada akhlak baik, itu adalah makhluk yang terbaik. Oleh kerana akhlak baginda yang mulialah yang baginda layak dapat wahyu.
Allah sebut tentang akhlak, tapi malangnya ramai kita Muslim lupa tentang akhlak. Akhlak tidak diterapkan dalam segenap hal. Sampaikan orang kafir pun boleh tahu yang Muslim itu tidak bermoral. Ini amat memalukan. Sedangkan kitalah umat Islam yang kena ada akhlak yang terbaik kerana kita dipandu oleh wahyu Allah.
Kerana akhlak ini adalah perkara yang semua orang tahu, termasuk kalau orang bukan Islam pun tahu tentang moral yang baik. Maka amat memalukan sekali apabila orang Islam tidak ada akhlak yang baik. Kita boleh lihat bagaimana orang kitalah yang tidak jaga kebersihan, tipu orang sana sini, tidak beratur semasa naik bas dan sebagainya. Itu adalah tanda akhlak yang tidak baik.
Allah mengatakan kerana Nabi mempunyai akhlak yang hebatlah yang menyebabkan baginda terus dapat berdakwah kepada manusia. Kerana kalau orang lemah, sudah lama berhenti dari dakwah.
Menurut Atiyyah, disebutkan benar-benar berbudi pekerti yang agung. Ma’mar telah meriwayatkan dari Qatadah, bahawa dia pernah bertanya kepada Aisyah r.a. tentang akhlak Rasulullah Saw. Maka Aisyah menjawab:
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
Akhlak beliau adalah Al-Qur’an.
Yakni sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Nabi Muhammad itu adalah ‘Al-Qur’an bergerak’. Segala yang disebut dalam Al-Qur’an itu dipraktikkan olehnya. Maka, kalau hendak tahu bagaimana hendak mengamalkan ajaran dalam Al-Qur’an, kena belajar hadis dan bagaimana cara baginda menjalani kehidupan baginda.
Makna yang dimaksudkan dari kesemuanya ini menunjukkan bahawa Rasulullah Saw. adalah seorang yang mengamalkan Al-Qur’an; mengamalkan perintahnya dan menjauhi larangannya, yang hal ini telah tertanam dalam diri baginda sebagai watak dan pembawaannya serta sebagai akhlak yang telah terpatri dalam sepak terjang baginda.
Maka apa pun yang diperintahkan oleh Al-Qur’an, baginda pasti mengerjakannya; dan apa pun yang dilarang oleh Al-Qur’an, baginda pasti meninggalkannya. Hal ini di samping watak yang dibekalkan oleh Allah dalam diri baginda berupa akhlak yang besar seperti sifat pemalu, dermawan, berani, pemaaf, penyantun, dan semua akhlak yang terpuji. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, dari Anas yang telah mengatakan:
“Aku menjadi pelayan Rasulullah Saw. selama sepuluh tahun, dan baginda sama sekali belum pernah membentakku dengan kata, “Husy!” Dan belum pernah mengatakan terhadapku tentang sesuatu yang seharusnya tidak kulakukan, “Mengapa engkau melakukannya?” Dan tidak pula terhadap sesuatu yang seharusnya kulakukan, “Mengapa tidak engkau lakukan?” Baginda Saw. adalah seorang yang paling baik akhlaknya, dan aku belum pernah memegang kain sutera, baik yang tebal mahupun yang tipis dan tidak pula sesuatu yang lebih lembut dari telapak tangan Rasulullah Saw. Dan aku belum pernah mencium minyak kesturi dan tidak pula wewangian lainnya yang lebih harum daripada bau keringat Rasulullah Saw.
Dan dalam hadis yang lain:
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Urwah, dari Aisyah yang telah mengatakan: Rasulullah Saw. sama sekali belum pernah memukulkan tangannya kepada seorang pun dari pelayannya, dan belum pernah memukul seorang pun dari isteri (baginda), dan belum pernah memukulkan tangannya kepada sesuatu pun kecuali bila dalam berjihad di jalan Allah. Dan tidak pernah baginda disuruh memilih di antara dua perkara melainkan memilih yang paling disukai dan paling ringan di antara keduanya terkecuali bila (yang ringan itu) berupa dosa. Maka jika hal itu berupa dosa, maka baginda adalah orang yang paling menjauhinya. Dan baginda tidak pernah melakukan suatu pembalasan yang pernah ditimpakan kepada dirinya, melainkan bila batasan-batasan Allah dilanggar, maka baginda baru melakukan pembalasan dan itu hanyalah kerana Allah Swt.
Begitulah beberapa hadis dari banyak hadis-hadis tentang akhlak baginda yang kita patut ikuti. Kerana baginda pernah bersabda:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلان، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيرة قَالَ: قَالَ رسولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّمَا بُعِثتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Mansur, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muhammad, dari Muhammad ibnu Ajlan, dari Al-Qa’qa’ ibnu Hakim, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang baik. Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini secara munfarid.
Akhlak baginda yang hebat ini juga sebagai hujah yang dakwah baginda itu adalah benar. Kerana orang baik tentulah tidak gila. Tengoklah apakah ajaran yang baginda bawa, adakah ianya ajaran gila? Tentu tidak sama sekali.
Zaman sekarang pun masih ada lagi orang kafir yang tuduh macam-macam tentang baginda. Allah suruh lihatlah sirah Nabi dan lihatlah hadis-hadis tentang sifat baginda. Adakah ia menunjukkan baginda seorang yang gila? Tentu tidak, bukan?
Qalam Ayat 5:
فَسَتُبصِرُ وَيُبصِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So you will see and they will see
(MELAYU)
Maka kelak kamu akan melihat dan mereka (orang-orang kafir)pun akan melihat,
Kebenaran pasti akan diperlihatkan kepada semua orang. Sama ada di dunia ini ataupun di akhirat kelak.
Qalam Ayat 6:
بِأَييِكُمُ المَفتونُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Which of you is the afflicted [by a devil].
(MELAYU)
siapa di antara kamu yang gila.
Kalimah ini lebih kurang dengan majnoon (gila) tapi maknanya orang itu jadi gila kerana sesuatu peristiwa. Kadangkala selepas sesuatu perkara yang besar, orang yang terlibat kena trauma.
Musyrikin Mekah dan penentang Rasulullah mengatakan baginda gila, tapi nanti mereka akan nampak sendiri siapakah yang gila sebenarnya. Adakah Rasulullah atau mereka sendiri? Ayat ini semakna dengan firman-Nya:
Qalam Ayat 7:
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, your Lord is most knowing of who has gone astray from His way, and He is most knowing of the [rightly] guided.
(MELAYU)
Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya; dan Dialah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ
Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya;
Tidak perlu nak kata sesiapa itu sesat kerana Allah tahu siapa yang sesat. Mereka kata Nabi Muhammad sesat, tapi sebenarnya merekalah yang sesat.
وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ
dan Dialah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
Allah Maha Mengetahui siapakah yang benar-benar beriman dan berada di atas jalan petunjuk.
Qalam Ayat 8: Ayat 8 – 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu kita akhlak dan peribadi orang fasik/kafir.
فَلا تُطِعِ المُكَذِّبينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then do not obey the deniers.
(MELAYU)
Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).
Jangan jadi jahil dan ikut orang yang menolak ayat-ayat Allah. Maksudnya mereka yang menolak wahyu Al-Qur’an. Mereka yang menolak wahyu Al-Qur’an berada dalam kesesatan dan kalau sesiapa ikut orang-orang sebegitu, maka mereka yang ikut itu nanti yang akan ikut jadi sesat juga.
Qalam Ayat 9: Ini adalah Dakwa Surah ini. Maka kena berikan perhatian.
وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They wish that you would soften [in your position], so they would soften [toward you].
(MELAYU)
Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).
Kalimah تُدهِنُ dari katadasar د ه ن yang bermaksud ‘minyak’. Seperti minyak masak. Apabila sayur dimasukkan dalam minyak, ia akan menjadikan sayur itu lembut. Maka kalimah تُدهِنُ adalah perbuatan untuk untuk melembutkan hati seseorang. Dalam ertikata lain, berkompromi.
Musyrikin Mekah telah cuba bersikap lunak kepada baginda untuk berbaik dengan baginda. Tujuan mereka melakukannya adalah supaya baginda pun tidak keras menegur amalan salah mereka. Kerana mereka sudah tidak boleh nak melawan baginda, maka salah satu langkah yang mereka cuba lakukan adalah percubaan untuk kompromi dengan baginda.
Satu lagi maksud تُدهِنُ adalah bercakap dengan lembut dengan seseorang walaupun sebenarnya dalam hati mereka, mereka benci kepadanya. Musyrikin Mekah benci kepada Rasulullah tapi mereka terpaksa bercakap lembut kepada baginda kerana hendak berkompromi dengan baginda.
Qalam Ayat 10:
وَلا تُطِع كُلَّ حَلّافٍ مَّهينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not obey every worthless habitual swearer
(MELAYU)
Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,
Kalimah حَلّافٍ dari katadasar ح ل ف yang bermaksud ‘sumpah’. Maka kalimah حَلّافٍ dalam bentuk mubalaghah yang bermaksud orang itu rajin bersumpah. Mereka berkali-kali bersumpah. Mereka selalu bersumpah dalam kata-kata mereka kerana mereka pun tahu yang orang lain tidak percaya kata-kata mereka. Kerana itu mereka kena bersumpah apabila bercakap.
Allah beritahu jangan ikut mereka yang sebegitu. Itu jenis orang yang tidak boleh dipercayai.
Ada pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada Walid al Mughirah. Beliau adalah seorang yang terkemuka di Mekah dan kuat menentang Rasulullah. Anaknya bernama Khalid al Walid, panglima perang yang terkenal. Dia asalnya telah nampak kebenaran Al-Qur’an tapi kerana hendak ikut kehendak Abu Jahal, maka akhirnya dia mengatakan yang Al-Qur’an itu tidak benar.
Mereka yang kuat bersumpah kosong itu selalunya memberikan pendapat yang tidak bernilai.
Dan kerana itu mereka itu adalah hina, kecil dan lemah sebenarnya. Maka mereka itu tidak patut diikuti dan diberikan perhatian. Mereka mungkin orang yang terkenal tapi sebenarnya akal mereka lemah. Mereka mungkin besar dalam masyarakat tapi pendapat mereka tidak bernilai.
Qalam Ayat 11:
هَمّازٍ مَّشّاءٍ بِنَميمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[And] scorner, going about with malicious gossip –
(MELAYU)
yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah,
Kalimah هَمّازٍ bermaksud mereka itu selalu menghina, mengumpat dan mencela orang lain. Ianya dalam isim mubalaghah maknanya mereka selalu melakukannya. Mereka berjalan ke merata tempat kerana memfitnah orang. Mereka selalu bercakap sesuatu yang tidak baik tentang orang lain. Tujuannya kerana hendak menjatuhkan orang itu.
Kalimah نَميمٍ dari ن م م yang bermaksud fitnah atau namimah. Menceritakan penipuan tentang keburukan orang lain (orang Melayu selalu tersilap menggunakan kalimah ‘fitnah’ sedangkan sepatutnya namimah atau tohmah). Ia juga dalam bentuk isim mubalaghah. Mereka suka melagakan manusia dengan menceritakan perkara yang tidak benar.
Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Mujahid, dari Tawus, dari Ibnu Abbas yang mengatakan:
مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ: “إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنَ الْبَوْلِ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ” الْحَدِيثَ
bahawa Rasulullah Saw. melewati dua buah kuburan, lalu bersabda: Sesungguhnya penghuni kedua kuburan ini benar-benar sedang diazab, dan keduanya diazab bukanlah kerana mengerjakan dosa besar. Salah seorangnya mempunyai kebiasaan tidak pernah bersuci sehabis buang air kecilnya, sedangkan yang lainnya mempunyai kebiasaan berjalan kian kemari menghambur hasutan (mengadu domba).
Qalam Ayat 12:
مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ مُعتَدٍ أَثيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
A preventer of good, transgressing and sinful,
(MELAYU)
yang banyak menghalangi perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa,
مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ
yang banyak menghalangi perbuatan baik,
Mereka menghalang manusia dari melakukan kebaikan. Kerana mereka tidak suka buat kebaikan. Dan kalau ada orang di sekeliling mereka buat kebaikan, maka nampaklah mereka berperangai buruk. Maka mereka halang orang lain dari buat kebaikan supaya tidaklah nampak mereka sahaja yang tidak buat kebaikan. Kalau semua tak buat baik, maka tidaklah sikap mereka orang nampak.
Paling teruk sekali, mereka menghalang manusia dari masuk agama Islam dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.
مُعتَدٍ أَثيمٍ
yang melampaui batas lagi banyak dosa,
Kalimah أَثيمٍ adalah isim sifah. Maknanya mereka itu selalu sangat sentiasa dalam melakukan dosa. Dosa mereka itu amat buruk dan melampau sangat.
Ia melampau sangat kerana mereka sudah buat onar dan kesan perbuatan dia telah merebak ke merata tempat. Sampaikan bila dia tidur pun keburukan dia berpanjangan. Dia sudah burukkan orang dan perkara itu berjalan kerana orang lain pula yang akan menyampaikan fitnahnya itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 September 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi