Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengajar kita untuk ingat Allah dengan mengenali Nama dan Sifat-sifatNya.
اقرَأ بِاسمِ رَبِّكَ الَّذي خَلَقَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-‘Alaq: The Clinging (or Suspended) Substance. The sūrah has also been called Iqra’, meaning “recite” or “read.”
Recite in the name of your Lord who created –
(MALAY)
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,
Ayat ini dimulakan dengan fi’il amar (kata arahan). Ini adalah salah satu surah-surah yang dimulai dengan kata suruhan. Allah arahkan kita ‘baca’ dalam surah. Inilah ayat pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad dan kita telah sentuh tentang bagaimana cara ianya disampaikan kepada Rasulullah.
Perhatikanlah kalimah pertama yang Allah berikan kepada manusia dari dalam Al-Qur’an. Dan kenangkan waktu itu bagaimana keadaannya. Ia diberikan kepada golongan manusia yang waktu kebanyakan dari mereka tidak tahu membaca pun. Mereka digelar golongan ummiy (tidak tahu membaca macam baru keluar dari perut ibu).
Tapi tidak lama selepas itu, dengan menggunakan Al-Qur’an yang disebarluaskan dalam beberapa tahun selepas itu, masyarakat yang tidak tahu membaca itu menjadi masyarakat yang berilmu tinggi – sampaikan tamadun lain terpaksa datang dan belajar dengan mereka.
Orang barat waktu itu pun berpusu-pusu datang ke negara Islam untuk belajar ilmu. Itulah waktu kegemilangan umat Islam. Ini telah dapat dicapai dengan mukjizat Al-Qur’an. Ianya terbukti hebat kerana boleh mengubah masyarakat itu.
Marilah kita kenang bagaimana Islam berjaya mengubah dunia. Dunia Islamlah yang mula-mula membangunkan universiti moden. Sistem pemberian PHD yang banyak sekali kita dengar sekarang ini, asalnya adalah pemberian ijazah dalam sistem pembelajaran Islam.
Semuanya berasal dari Al-Qur’an. Dan sarjana-sarjana ilmu Islam telah mengembangkan ilmu Islam dan mengembangkan ilmu-ilmu lain juga seperti matematik, sains, geografi dan lain-lain lagi. Orang Islam mempunyai dominasi ilmu pengetahuan selama seribu tahun sebelum ianya diambil alih oleh pihak Eropah (kerana Muslim sudah meninggal ajaran Al-Qur’an).
Tidak dapat disangkal lagi bahawa Al-Qur’an itu adalah mukjizat. Ia asalnya dikeluarkan dari mulut Rasulullah sahaja dan dihafal oleh para sahabat dan disampaikan kepada umat yang kemudian. Ianya menjadi kitab rujukan yang paling utama sekali dan dipelajari zaman berzaman. Ianya menjadi topik perbincangan beribu malah mungkin berjuta buku-buku lain. Ianya boleh dirujuk oleh semua orang yang mahukan ilmu pengetahuan.
Bandingkan dengan kitab-kitab wahyu sebelum Islam seperti Taurat dan Injil. Kitab-kitab itu hanya dipegang oleh pemuka agama mereka dan tidak diberikan secara meluas kepada orang awam. Orang awam tidak dapat lihat dan pegang pun kitab-kitab itu.
Dengan cara itu, senanglah mereka hendak menipu pengikut-pengikut mereka. Kerana pengikut terpaksa percaya kepada pemuka agama itu kerana mereka sendiri tidak dapat pastikan sama ada yang diberitahu oleh ulama’ mereka itu benar atau tidak dari wahyu.
Sampaikan kepada satu tahap di mana lahirnya kumpulan yang menamakan diri mereka Protestant yang mahu semua orang boleh baca sendiri Injil itu. Dan banyak dalam agama lain lagi di mana ahli agama mereka yang mendominasi agama dan mereka yang di bawah kena ikut sahaja.
Sebagai contoh, kalau dalam agama Hindu, Sami mereka sahaja yang boleh baca kitab suci (kononnya) dan mereka yang dari kasta bawah tidak boleh baca langsung. Kita tidak ada tradisi ini dalam Islam. Semua orang boleh baca sendiri Al-Qur’an itu. Yang tidak membaca itu kerana malas sahaja.
Oleh kerana itu, kalau difikirkan semasa ayat ini diturunkan, ianya adalah perkara baru bagi masyarakat waktu itu. Kerana agama-agama sebelum itu, masyarakat awam memang tidak dibenarkan baca sendiri kitab suci mereka. Tapi ayat pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad adalah untuk suruh untuk membaca. Maka Islamlah agama yang mula-mula mengajar umatnya untuk membaca sendiri kitab suci mereka. Kita tidak perlukan ‘orang tengah’ untuk bacakan Al-Qur’an ini. Kita boleh kaji sama-sama.
Yang kita perlukan adalah Nabi Muhammad sebagai contoh tauladan kita untuk kita belajar bagaimana cara mengamalkan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Islam bukan agama yang dimonopoli oleh pemuka agama, sampaikan pemuka agama itu boleh menipu dan mengubah agama sesuka hati mereka.
Malangnya, perkara ini telah diubah oleh kebanyakan pemuka agama zaman sekarang. Ramai yang mengajar bagaimana Al-Qur’an itu tidak boleh dipelajari oleh orang awam, ianya hanya layak untuk dipelajari oleh golongan ulama’, ustaz dan sebagainya. Siapa yang kata? Mereka itu memandai sahaja dan hendak terus menjahilkan umat.
Ramai yang mengajar bahawa orang awam hanya belajar baca sahaja, tapi tidak boleh nak faham apa yang dalam Al-Qur’an itu. Akhirnya masyarakat kita kembali kepada cara pengajaran agama zaman sebelum Islam kembali – kitab suci hanya layak untuk golongan atasan sahaja. Kemudian apa yang mereka kata, kena ikut sahaja (mereka akan marah anak murid yang berani bertanya: “kau ustaz ke aku ustaz?!… kalau aku bagi dalil pun kau bukan faham pun….” )
Alangkah malangnya apabila itu yang terjadi sekarang. Islam mengajar kita menjadi pandai, tapi ada ahli agama yang ajar masyarakat untuk terus membodohkan diri mereka. Mereka yang seperti ini tidak patut mengajar agama kerana mereka sendiri tidak faham agama. Mereka sudah jadi macam sami dan paderi agama lain.
Agaknya kalau golongan paderi dan rabbi Yahudi dulu dapat jumpa pemuka agama kita, mereka akan minta autograf. Mereka tentu kagum dengan pemuka agama Islam. Mereka akan kata: “kami dulu nak tipu masyarakat kami, kami kena sorok kitab wahyu… tapi kamu lagi hebat. Kitab wahyu depan mata masyarakat pun kamu masih boleh tipu lagi… hebat… “
Mari kita lihat kalimat بِاسمِ رَبِّكَ (Dengan nama Tuhanmu). Ia membawa beberapa makna:
1 – Bacalah Al-Qur’an itu dengan nama Allah. Begitulah orang kita selalu baca Al-Qur’an dengan lafaz bismillah ar-Rahman ar-Raheem. Maksudnya kita mula membaca Al-Qur’an ini dengan berkat nama Allah.
2 – Bacalah apa yang telah disampaikan oleh Tuhanmu itu, iaitu Al-Qur’an. Dan Nabi Muhammad memenuhi suruhan ini sepanjang hidup baginda selepas dilantik menjadi Rasul. Baginda akan baca Al-Qur’an dan bacakan Al-Qur’an itu kepada umat baginda. Baginda telah sampaikan wahyu yang baginda terima.
3 – Bacalah Al-Qur’an itu dengan bantuan Tuhanmu. Kalau Allah tidak beri bantuan dan keizinan, kita pun tidak dapat faham dan melaksanakan apa sahaja yang kita perlu buat.
4 – Apabila baca Al-Qur’an, pastikan bahawa mereka yang mendengar itu tahu bahawa apa yang dibacakan itu bukanlah dari kata-kata kita, tapi dari kata-kata Allah. Dan setiap kali Nabi baca Al-Quran, baginda mengingatkan mereka yang itu adalah ayat dari Allah, bukan dari kata-kata baginda sendiri. Oleh itu, kalau mereka tolak, mereka sebenarnya bukan menolak baginda, tapi menolak Allah.
Al-Qur’an ini adalah satu mukjizat. Kenangkan kembali proses Al-Qur’an itu sampai kepada kita:
a- Al-Qur’an itu asalnya dalam bentuk Kalam Allah dan ditulis di Lawh al Mahfoodh. Jadi kita boleh katakan yang ianya dalam bentuk kitab waktu ini.
b- Kemudian ia kembali menjadi bentuk kalam iaitu apabila disampaikan oleh Jibril yang menyampaikan Al-Qur’an itu dalam bentuk kalam kepada Nabi Muhammad dan kemudian baginda juga menyampaikan dalam bentuk kalam kepada para sahabat baginda.
c- Qur’an akhirnya kembali menjadi dalam bentuk kitab. Iaitu apabila ia ditulis kembali oleh para sahabat dan dijadikan dalam bentuk mushaf. Allah sudah tahu yang ia akan jadi mushaf. Allah sudah beri isyarat yang wahyu Al-Qur’an akan jadi dalam bentuk kitab/mushaf. Kerana itulah Allah dari awal lagi sudah guna kalimah اقرَأ (bacalah). Kerana kalau disuruh ‘baca’, tentulah ianya dalam bentuk tulisan, bukan?
Jadi ini tidak pelik kerana asalnya pun Al-Qur’an itu memang dalam bentuk kitab (di Lawh al Mahfoodh). Tetapi yang hebatnya, ingat kembali yang semasa ia diturunkan, ianya dalam bentuk kalam, bukan dalam bentuk kitab lagi. Dan bentuk ‘kalam’ dan ‘kitab’, tentu tidak sama. Apabila Allah sampaikan Al-Qur’an itu dalam bentuk kalam, ia adalah satu mukjizat. Apakah bezanya?
Cara seseorang bercakap tidak sama dengan cara dia menulis. Kalau kita bercakap, berkemungkinan besar, akan ada sahaja kesilapan dalam percakapan kita, bukan? Kerana kita bercakap mungkin kita terlupa, atau tersasul atau menggunakan perkataan yang tidak sesuai.
Tapi kalau kita menulis, kemungkinan buat kesilapan itu dikurangkan kerana kita ada peluang untuk lihat apa yang kita tulis dan kita boleh baiki penulisan kita sebelum sampaikan kepada orang lain.
Itulah sebabnya, mereka yang menulis buku, mengambil masa yang lama kerana mereka akan pastikan dan baca berkali-kali apa yang mereka tulis itu. Itu pun kadang-kadang mereka akan keluarkan edisi baru setelah mereka perbaiki penulisan mereka.
Tapi ini tidak mungkin dapat dilakukan kalau penyampaian itu dalam bentuk kalam/perkataan/suara kerana kita tidak boleh nak betulkan kembali kata-kata kita, apabila ianya sudah keluar, orang lain sudah dengar. Oleh itu, kita ada peluang sekali sahaja untuk sampaikan dengan betul.
Dan inilah yang hebat dan membuktikan mukjizat Al-Qur’an itu. Orang Arab yang mendengar Al-Qur’an itu buat pertama kali pun memang terkejut habis. Mereka amat hairan bagaimana baginda boleh bercakap suatu perkataan yang hebat, tidak ada kesalahan langsung dan waktu itu baginda bukannya merujuk kepada tulisan pun? Baginda seolah-olah membaca dari tulisan, tapi sebenarnya tidak. Ini adalah mukjizat.
Ada juga yang menuduh baginda mendapat penulisan dari tempat lain, tapi ini mustahil kerana baginda seorang yang buta huruf, bukan? Dan kalau pun baginda dapat dari mana-mana kitab lain, dari mana baginda dapat kitab itu kerana mereka sentiasa sahaja bersama dengan baginda? Allah tutup tohmahan mereka itu dalam Ankaboot:48
وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتابٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ ۖ إِذًا لَارتابَ المُبطِلونَ
Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).
Dan Allah ingatkan mereka bagaimana sebelum baginda menjadi Rasul, mereka pun tahu yang Nabi Muhammad itu tidak boleh membaca dan menulis. Ini disebut dalam al-A’raf:158
فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِماتِهِ وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ
maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk
Kalimah الأُمِّيِّ dari katadasar أ م م yang bermaksud ‘ibu’. Oleh itu, mereka yang dikatakan sebagai الأُمِّيِّ bermaksud tidak tahu membaca dan menulis, seperti mereka baru keluar dari perut ibu mereka, tidak tahu apa-apa. Begitu jugalah Nabi Muhammad, memang tidak boleh membaca dan menulis kerana masyarakat baginda waktu itu memang kebanyakannya dari mereka tidak boleh membaca dan menulis.
Ini menunjukkan yang memang benar Nabi Muhammad tidaklah mengambil maklumat dari kitab lain, bukan juga baginda bercakap dari fikiran baginda. Ini ditegaskan dalam Najm: 3-4
وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰٱ ❊ إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ
dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
Kalimat الَّذي خَلَقَ: Yang menjadikan (dari tiada kepada ada). Allah nak memberitahu, semua yang ada dalam alam ini, Dialah yang menjadikan. Sifat ini adalah sifat yang dikaitkan secara langsung dengan nama Allah.
Walaupun Musyrikin Mekah itu mengamalkan ajaran syirik, tapi mereka sendiri tahu dan terima bahawa Allah itu adalah Tuhan yang menjadikan segala sesuatu. Ini adalah Tauhid Rububiyyah. Oleh itu, bukanlah Musyrikin Mekah tidak kenal Allah, cuma mereka mensyirikkan Allah. Ini kita telah bincangkan dengan panjang lebar dalam Perbahasan Tauhid.
Oleh kerana Allah yang menjadikan segala-galanya dalam alam ini, maka Allah berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja. Dan kita pun kenalah taat kepada Allah kerana Dia itu Tuhan kita, dan kita bergantung segalanya kepadaNya. Oleh itu, kena bacalah Al-Qur’an dengan faham kerana Allah yang sampaikan kepada kita dan Allah pun sudah suruh kita mempelajari dan mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini.
Jadi Allah menekankan Siapakah Rabb itu kerana waktu Nabi Muhammad menyampaikan ajaran Tauhid kepada umatnya di Mekah, baginda telah dibuli dan ditolak oleh Musyrikin Mekah. Mereka berani buat begitu kerana baginda lemah waktu itu, tidak ada penyokong. Baginda tidak ada apa-apa kelebihan dan kekuasaan kerana baginda adalah anak yatim dan yang menentang baginda pula adalah bapa saudara baginda sendiri (Abu Lahab). Oleh itu, baginda juga tidak mendapat sokongan dari puak baginda kerana bapa saudara baginda sendiri tidak menyokong malah menentang baginda dengan keras sekali.
Oleh kerana kelemahan yang ada pada baginda, maka Allah beri sokongan kepada baginda dengan kata-kata dalam ayat ini – Bacalah Al-Qur’an itu dengan Nama Tuhanmu. Itulah kekuatan kata-kata Nabi itu, iaitu baginda hanya sampaikan Kalam Allah, kerana kalam itu bukan datang dari baginda.
Jadi, ini mengingatkan kaum baginda bahawa apa yang baginda sampaikan itu bukanlah dari baginda, tapi dari Allah sendiri. Jadi kalau mereka menolak, mereka bukan menolak baginda, tapi mereka menolak Allah – jadi kena fikir-fikirkanlah apa kesan kalau menolak Allah. Dan Allah ingatkan mereka yang Dia yang menjadikan mereka, jadi jangan buat main-main.
Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia menjadikan. Tapi tidak disebut menjadikan apa? Tidak ada penjelasan dalam ayat ini. Dan ini adalah satu kehebatan Al-Qur’an. Apabila Allah tidak sebut, ini bermaksud mutlaqan = Allah jadikan semua sekali secara mutlaq, sampai tidak perlu disebut apa yang Allah jadikan. Kerana semua yang ada, Allah yang cipta.
Ayat 2:
خَلَقَ ٱلإِنسَـٰنَ مِن عَلَقٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Created man from a clinging substance.
(MALAY)
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
Dalam ayat sebelum ini, Allah memberitahu yang Dia yang menjadikan, tapi tidak disebut apakah yang Allah jadikan. Maknanya, semua yang ada adalah hasil dari Allah yang cipta. Tapi dalam ayat ini, Allah menjurus pula kepada penciptaan manusia sebagai penghormatan kepada kita. Oleh itu, sekarang lebih spesifik. Allah mengingatkan kita bahawa Dialah yang menjadikan kita. Allah tidak perlu sebut kerana memang semua yang ada dalam alam ini termasuk kita, Dia yang jadikan. Tapi Allah beri penekanan dalam ayat ini.
Dan Allah memberi maklumat tambahan tentang penciptaan manusia, iaitu manusia ini dijadikan dari عَلَقٍ. Apakah عَلَقٍ itu?
Kalimah عَلَقٍ dari katadasar ع ل ق yang bermaksud sesuatu yang melekat dan bergantung. Selalu diterjemahkan dalam kitab terjemahan sebagai ‘segumpal darah’. Apabila sains moden semakin maju dan kajian embriologi dijalankan, kita dapat tahu bagaimana proses persenyawaan manusia itu. Dengan menggunakan mikroskop, kita dapat tahu apabila sperma bercantum dengan telur wanita, percampuran itu akan menjadi zygote dan ia akan melekat di dinding rahim.
Apabila zygote itu telah jadi, itu sebagai tanda yang persenyawaan telah terjadi. Tentu sekali perkara ini tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia pada zaman Nabi Muhammad kerana untuk mengetahui perkara ini, memerlukan melihat ke dalam perut wanita dan menggunakan mikroskop.
Kalimah عَلَقٍ juga digunakan bermaksud ‘lintah’. Dan ini asalnya menghairankan, sehinggalah apabila kita dapat lihat bagaimana rupa zygote itu.

Apabila kita lihat rupanya zygote itu, maka fahamlah kita kenapa Allah menggunakan kalimah عَلَقٍ itu. Ini adalah mukjizat Al-Qur’an dan kita semakin yakin dengan kebenaran Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an tidak berlawanan dengan sains. Dan semakin maju sains, semakin menunjukkan kebenaran Al-Qur’an itu. Allah telah sebut dalam Fussilat:53 –
سَنُريهِم آياتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Qur’an adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?
Semakin sains maju, semakin sains menjelaskan memang Al-Qur’an itu adalah benar. Dan ramai manusia yang masuk ke dalam agama Islam kerana percaya bahawa apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an tidak mungkin datang dari manusia, tapi datang dari Tuhan semesta alam. Ini adalah kerana ia bertepatan dengan sains.
Selalu Allah menyebut asal kejadian manusia dalam Al-Qur’an. Allah menyebut bagaimana manusia itu asalnya dari sperma, dari tanah, dari segumpal darah. Apakah tujuan Allah menceritakan tentang asal kejadian itu? Ianya untuk membuktikan bahawa:
1 – Allah mampu menghidupkan balik manusia. Allah yang boleh menjadikan manusia dari cecair dan dari tanah, boleh sahaja untuk menjadikan manusia kembali. Semuanya tidak susah untuk Allah. Maka kejadian Kiamat dan Hari Kebangkitan tidak perlu kita hairan.
2- Allah hendak menunjukkan bagaimana walaupun asal manusia itu hina (dari air mani, dari tanah dan sebagainya yang tidak ada nilai) tapi boleh menjadi manusia yang hebat. Memang asalnya manusia itu nampak macam tidak ada nilai, tapi Allah juga telah jadikan kita punya kebolehan untuk melakukan sesuatu yang besar.
Maknanya, kita kena berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk buat benda yang besar dan bernilai. Ini adalah kerana kita dijadikan bukan untuk benda-benda yang rendah dan tidak bernilai.
3 – Allah ingatkan manusia dengan kejadian asal kita untuk merendahkan diri manusia. Kenanglah kembali kita dulu dalam bentuk apa. Kalau air mani itu jatuh kepada kain kita, kita rasa ia kotor dan terus basuh dan buang air mani itu kerana ianya dikira sebagai kotor, bukan? Kalau jatuh ke tanah pun, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu.
Maka, kalau kita ingat kejadian asal kita, tidaklah patut kalau kita hendak jadi sombong. Walau bagaimana tinggi pun kedudukan kita, asal kita semua sama sahaja.
Ayat 3:
اقرَأ وَرَبُّكَ الأَكرَمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Recite, and your Lord is the most Generous –
(MALAY)
Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,
Setelah Allah memberi isyarat bagaimana manusia itu asalnya adalah dari bahan yang rendah dan hina, sekarang Allah mengingatkan kita betapa Dia pula adalah Yang Maha Mulia, Yang Maha Pemurah. Sekarang Allah bandingkan antara kita dan Dia. Memang amat jauh sekali kerana kita adalah hamba dan Dia adalah Tuhan kita.
Kalimah الأَكرَمُ adalah dari kalimah ك ر م yang bermaksud ‘yang dihormati kerana kemuliaannya’. Kalau kita yang dijadikan dari air mani tidak layak mendapat kedudukan ini, tapi Allah memang layak sungguh.
Kalimah الأَكرَمُ juga diterjemahkan sebagai ‘Pemurah’. Kenapa Allah dikatakan sebagai ‘pemurah’? Ini adalah kerana Allah memberi dengan tidak diminta. Kita lahir-lahir sahaja, sudah bermacam perkara yang kita dapat dari Allah, walaupun waktu itu kita tidak tahu pun untuk meminta. Bandingkan dengan manusia, kadang-kadang pun memberi juga, tapi selalunya kalau diminta, baru diberi. Oleh itu, inilah maksud الأَكرَمُ, sebelum manusia minta, Allah sudah beri. Segala keperluan hidup kita diberiNya dan itu adalah kerana Allah Amat Pemurah.
Kalau kita jadi mulia pun, itu adalah kerana Allah yang memuliakan kita dengan meninggikan darjat kita. Bukannya kita mulia kerana kedudukan kita sendiri. Oleh itu, kita jangan jadi sombong. Seperti yang Allah sebut dalam Israa’:70–
وَلَقَد كَرَّمنا بَني آدَمَ وَحَمَلناهُم فِي البَرِّ وَالبَحرِ وَرَزَقناهُم مِنَ الطَّيِّباتِ وَفَضَّلناهُم عَلىٰ كَثيرٍ مِمَّن خَلَقنا تَفضيلًا
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.
Maksud ayat ini, Allah yang muliakan kita, bukan kita yang jadi mulia dengan sendiri. Maka kalau pun kita disanjung dan dipuji, ia adalah kerana Allah yang naikkan kedudukan kita. Dan kerana Allah sembunyikan keburukan kita. Kerana kalau orang tahu semua keburukan kita, tidak ada yang akan sanjung kita sedikit pun.
Mari kita lihat kalimah اقرَأ: Ini adalah pengulangan sekali lagi arahan dan suruhan untuk membaca. Allah suruh sekali lagi Nabi Muhammad untuk membaca Al-Qur’an, sebagai kata-kata semangat. Ini adalah kerana Rasulullah akan menerima banyak tentangan dan kata-kata yang mencemuh dan menghina baginda. Maka baginda diingatkan untuk terus membaca Al-Qur’an itu.
Memang tugas yang baginda lakukan itu adalah sukar, tapi dengan terus membaca Al-Qur’an, baginda akan mendapat semangat. Begitu juga dengan kita yang menjalankan kerja dakwah ini, kenalah juga memperbanyakkan bacaan dan tadabbur Al-Qur’an. Kita akan mendapat banyak nasihat dan pujukan yang menenangkan hati kita dengan membaca dan tadabbur Al-Qur’an.
Allah mengingatkan baginda bahawa baginda sedang membaca wahyu dari Allah yang bersifat mulia. Dan apabila Allah telah memilih baginda untuk menyampaikan wahyu itu kepada manusia, itu bermaksud Allah telah memuliakan baginda dengan tugas itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 5 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi