Tafsir Surah Fussilat Ayat 50 – 54 (Allah jelaskan mukjizat dalam alam)

Ayat 50: Ini sambungan sikap mereka dari ayat sebelum ini:

وَلَئِن أَذَقنٰهُ رَحمَةً مِّنّا مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ هٰذا لي وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّجِعتُ إِلىٰ رَبّي إِنَّ لي عِندَهُ لَلحُسنىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذينَ كَفَروا بِما عَمِلوا وَلَنُذيقَنَّهُم مِّن عَذابٍ غَليظٍ

Sahih International

And if We let him taste mercy from Us after an adversity which has touched him, he will surely say, “This is [due] to me, and I do not think the Hour will occur; and [even] if I should be returned to my Lord, indeed, for me there will be with Him the best.” But We will surely inform those who disbelieved about what they did, and We will surely make them taste a massive punishment.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah dia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah dia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

 

وَلَئِنْ أَذَقْنٰهُ رَحْمَةً مِّنَّا

Dan sekiranya Kami beri dia suatu rahmat dari Kami

Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat am, iaitu rahmat yang semua orang boleh dapat (rahmat khas hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja). Tidak kira sama ada mereka itu beriman atau tidak. Allah ingatkan kita dalam ayat ini bahawa nikmat itu sebenarnya dari Allah.

Tidaklah lama Allah berikan kesusahan kepada manusia. Sekejap sahaja sebenarnya, yang diberikan sebagai ujian. Maka kita hanya perlu bersabar dan berusaha sahaja. Selepas sekian lama, Allah akan berikan kebaikan kepadanya balik.

 

مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

selepas kesusahan dirasakan kepadanya

Selepas mereka ditimpa malang, Allah akan beri mereka keluar dari masalah itu. Perniagaan mereka yang jatuh, dapat naik balik. Kesihatan mereka dulu teruk, mereka sekarang sudah sihat balik, dan sebagainya.

 

لَيَقُولَنَّ هَٰذَا لِي

maka sikufur itu akan berkata: ini adalah hak aku;

Orang kufur itu tidak bersyukur kepada Allah, padahal sebelum itu dia yang berdoa kepada Tuhan, tapi bila sudah dapat, dia kata hasil usaha dia pula. Dia lupa yang masalahnya itu telah diselesaikan oleh Allah.

Dia anggap memang dia layak dapat kebaikan itu, jadi dia tidak bersyukur kepada Allah yang sebenarnya telah memberi kepadanya nikmat itu. Ramai orang yang lupa bahawa segala kebaikan yang mereka dapat itu sebenarnya kurniaan dari Allah. Bukan Allah kena beri, tapi Allah hendak beri kerana kemurahanNya.

Begitulah masalah dengan manusia. Bila waktu susah, senang nak ingat Allah, tapi kadang-kadang bila dapat kesenangan, amat susah nak ingat kepada Allah. Mereka tidak bersyukur kerana mereka sangka mereka memang patut dapat. Ini lain dengan orang yang tidak sangka dia akan dapat sesuatu. Maka bila dia dapat sahaja, sungguh bersyukur dan berterima kasih dia. Kerana dia dapat sesuatu yang tidak disangka-sangka. Tapi orang yang ada sifat kufur dalam diri mereka, selamba sahaja kerana mereka sangka mereka memang patut dapat pun.

 

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan aku tidak yakin hari kiamat itu akan berlaku.

Mereka sangka mereka akan hidup berterusan. Mereka sangka mereka tidak akan ditimpa malang lagi. Mereka sangka mereka tidak akan mati. Mereka lupa yang mereka tunggu masa sahaja nak mati.

Bukanlah mereka rasa mereka akan hidup selamanya. Semua orang tahu yang mereka akan mati. Tapi kerana sibuk dengan kesenangan keduniaan, mereka lupa tentang kematian, tentang Kiamat dan tentang akhirat. Maka mereka tidak buat persediaan kepada akhirat. Ini kerana mereka sibuk menikmati segala kesenangan yang mereka ada. Ini memang ada masalah dengan psikologi mereka.

 

وَلَئِن رُّجِعتُ إِلىٰ رَبّي

Dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku,

Mereka tidak yakin Hari Kiamat itu akan berlaku. Tapi mereka kata, “kalau-kalaulah memang hari kiamat itu akan terjadi…. kalau-kalau…..”

 

إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَىٰ

maka tentu aku akan dapat yang terbaik dari sisi Tuhan.

Kerana dia dapat kebaikan di dunia, dia rasa dia adalah ‘orang yang terpilih’. Mereka yang ada sifat sebegini sangka, kalau terpilih di dunia, tentunya mereka pun terpilih di akhirat kelak. Padahal, tidak begitu sebenarnya. Kerana kejayaan dan kedudukan di dunia, bukanlah tanda kejayaan di akhirat.

Bukanlah kesenangan dan kejayaan di dunia itu sebagai tanda yang Allah sayang kepada kita. Ramai yang salah faham tentang perkara ini, termasuklah orang Islam sekali pun.

Ramai juga yang sedap hati, sangka mereka akan dapat kebaikan di akhirat kelak. Antara sebab mereka fikir begitu adalah sebab dulu dia banyak derma. Tapi dia derma itu bukan kerana Allah. Dia tidak akan derma kalau tak dapat projek. Ada kepentingan yang dia mahukan dengan derma itu.

Semasa derma pun panggil orang media ramai-ramai datang untuk rakam pemberiannya itu. Supaya dia boleh berbangga dan menunjuk kepada orang lain – ini adalah riak. Sebenarnya, telah batal ibadat derma itu kerana dia buat bukan kerana Allah tapi kerana nak tunjuk kepada manusia lain. Bukan ibadat derma sahaja, tapi ibadat-ibadat lain pun kalau kita buat tidak ikhlas, tapi mengharapkan pujian dari orang lain, maka akan terbatal ibadat itu.

 

فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا  بِمَا عَمِلُوا

Maka Kami akan cerita balik kepada orang kafir terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Begitulah sifat mereka yang kufur engkar kepada Allah dan mereka yang ada fahaman yang salah tentang dunia. Allah ceritakan dalam ayat ini sebagai peringatan kepada pembaca Al-Qur’an, supaya jangan jadi begitu.

Allah juga ingatkan berkali-kali dalam Al-Qur’an yang manusia akan dimatikan dan akan dibawa mengadap Allah taala. Dan apabila sampai padaNya, segala perbuatan kita semasa di dunia dulu akan diceritakan balik. Iaitu dengan dibuka Kitab Amalan mereka. Tujuan Allah cerita balik itu bukan sebab nak buat wayang, tapi kerana nak balas balik perbuatan mereka itu.

 

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan Kami akan beri mereka azab yang berat.

Orang yang ada sifat kufur nikmat itu akan dikenakan dengan azab yang berat. Itulah balasan kepada mereka kerana kelalaian mereka dengan kehidupan dunia.

Maka kita kena sedar tentang nikmat-nikmat dunia yang kita sedang dapat ini. Ingatlah yang itu semua adalah pemberian dari Allah. Masalah dengan orang yang selalu dapat benda yang bagus, mereka sudah tak boleh nak susah sikit pun. Kalau susah sikit pun, mereka rasa rimas dan mula nak memberontak, nak komen sana sini. Biasalah, orang besar memang selalu begitu.

Tapi, nanti di akhirat, mereka akan diberikan dengan azab yang berat. Bayangkan mereka itu kalau susah sedikit di dunia pun sudah tidak boleh terima, bayangkan mereka akan dapat azab yang teruk sekali di akhirat nanti. Agaknya, mereka boleh tahankah? Tentu tidak boleh. Tapi mereka akan rasa sendiri nanti.


 

Ayat 51: Ayat Zajrun (teguran). Allah menceritakan tentang sifat manusia yang tidak beriman. Apabila mereka mendapat nikmat, mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah; tapi apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berdoa panjang kepada Allah. Semoga kita tidak mempunyai sifat yang sebegini.

وَإِذا أَنعَمنا عَلَى الإِنسٰنِ أَعرَضَ وَنَئا بِجانِبِهِ وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذو دُعاءٍ عَريضٍ

Sahih International

And when We bestow favor upon man, he turns away and distances himself; but when evil touches him, then he is full of extensive supplication.

Malay

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia berdoa merayu dengan panjang lanjut.

 

وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنْسٰنِ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada insan,

Apabila digunakan kalimah عَلَى, bermaksud apabila Allah memberikan nikmat yang mencurah-curah kepada manusia. Kita boleh bayangkan bagaimana air terjun yang mencurah jatuh ke atas manusia yang berada di bawahnya.

Allah ingatkan kepada kita dalam ayat ini, Dia yang beri nikmat itu. Cuma Allah beri dengan perantaraan asbab. Tidaklah nikmat itu jatuh tergolek, tapi ada cara yang Allah jadikan untuk tolong kita.

Sebagai contoh, perniagaan kita jatuh, kita bankrap. Allah boleh hantar seseorang yang beri idea baru untuk perniagaan, sampai perniagaan itu maju balik. Memang ada orang yang tolong, tapi dia datang itu kerana dihantar oleh Allah, dari perancangan Dia juga. Ini yang manusia susah nak nampak.

 

أَعْرَضَ

dia berpaling 

1. Mereka berpaling dari apa? Mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah, kerana mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah dalam membantu mereka, menghilangkan masalah mereka itu.

Mereka nampak yang tolong mereka itu adalah manusia, diri mereka, kepandaian mereka, nasib mereka, apa sahaja, cuma bukan Allah. Mereka tidak buka pintu hati mereka untuk melihat bahawa Allahlah yang menguruskan semuanya.

2. Apakah maksud ‘berpaling dari bersyukur’ itu? Kalau kita bersyukur dengan Allah, tentulah kita akan taat kepada Allah. Tapi kalau kita tidak bersyukur, maknanya kita tidak buat seperti apa yang Allah hendak kita lakukan.

3. Mereka juga berpaling daripada Al-Qur’an dan ugama. Kerana kebanyakan manusia, apabila mereka dapat banyak kebaikan dan nikmat di dunia, mereka akan berpaling dari agama. Sudah tidak hiraukan agama kerana sibuk dengan kelebihan dunia yang mereka dapat.

Mereka akan hidup berpoya-poya. Bukanlah semua orang, tapi kebanyakan dari manusia. Ini realiti kehidupan yang kita tidak dapat tolak kerana kita boleh lihat di mana-mana ia berlaku. Kadang kita tengok orang yang tidak seberapa, baik sahaja, tapi apabila sudah diberi kekayaan dan kuasa oleh Allah, mereka sudah jadi lain macam.

Mereka tidak memikirkan tentang dari mana datangnya nikmat itu. Mereka tidak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Malah, dia jadi sombong dengan segala nikmat yang dia dapat itu. Dia rasa segala kelebihan yang dia dapat itu adalah dari kelebihan yang ada padanya.

Sedangkan, Allah beritahu dalam ayat ini, Allah yang beri nikmat itu kepada mereka. Oleh kerana itu, kalau kita dapat nikmat, ingatlah bahawa nikmat itu dari Allah, maka bersyukurlah kepada Allah. Sepatutnya segala nikmat yang kita dapat, akan merapatkan lagi kita dengan Allah, bukan menjauhkan kita dari Allah.

Kerana kalau seseorang beri sesuatu kepada kita, selalu tolong kita, tentulah kita akan rapat dengan dia, bukan? Dan siapakah yang paling banyak memberikan kepada kita? Tentunya Allah.

 

وَنَئا بِجَانِبِهِ

dan menjauhkan diri dari tepinya

Ini bermakna, setelah menjauhkan diri, dia lebih menjauhkan lagi dari agama. Dia jadi sombong dan berlagak.

Janganlah jadi seperti orang kufur ini. Sifat orang mukmin, akan bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila mendapat kesusahan. Seperti sabda Nabi:

“Menakjubkan orang yang beriman itu. Tiap-tiap peristiwanya baik belaka. Dan tidak ada yang begitu seorang pun kecuali orang mukmin. Bila dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka menjadi baik buat dia. Dan jika ditimpa kesusahan, dia bersabar. Itu pun menjadikan baik buat dia.”

 

وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila ditimpa kesusahan kepada dia,

Apabila ‘disentuh’ dengan kesusahan. Lihatkan penggunaan kata مَسَّ, yang bermakna ‘sentuh’ – ini bermaksud kesusahan itu sedikit sahaja, bukan banyak pun. Setakat ‘rasa’ sahaja pun.

 

فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ

maka dia akan doa yang panjang-panjang; 

Bila kesusahan kena kepadanya, dia akan doa sudah macam tok wali pun ada. Doa sampai jatuh tangan dia sebab lenguh. Datang pula guru yang salah, mengajar macam-macam perkara yang salah untuk mendapatkan sesuatu. Baca zikir itu, buat solat hajat begini, pergi jumpa Tok Wali itu dan ini, pergi ke maqam Habib Noh, habib lain, kubur keramat itu dan ini dan sebagainya.

Syirik doa minta hajat di makam kubur wali
Kenapa minta hajat di kubur? Bahkan ada yang bercakap-cakap dengan roh wali mengadukan hajat minta dipenuhi. Syirik dalam berdoa!

Perkataan عَرِيضٍ bermaksud kata-kata yang panjang berjela tapi sedikit maknanya. Mereka baca doa panjang-panjang tapi perkataan yang disebut tidak bermakna. Ia adalah kata-kata kosong sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak tahu cara berdoa. Berdoa panjang, tapi hanya meminta macam-macam perkara. Tapi dosa kesalahan mereka tak sebut pun, tidak mengaku pun bahawa selama ini mereka telah buat banyak kesalahan.

Sepatutnya dalam kita berdoa, hendaklah kita mengaku kesalahan kita, mengaku depan Allah bahawa kita banyak dosa dan kita menyesal dan minta ampun atas dosa kita itu. Kerana dalam banyak-banyak masalah kita, dosa inilah masalah dan bahaya yang paling besar. Kerana kalau ada dosa, kena masuk neraka, bukan?

Begitulah masyarakat kita. Kalau sudah kena masalah, baru nak berdoa kepada Allah. Kalau ada yang berubah perangai jadi baik pun, masyarakat pun sudah dapat agak dia itu mesti sedang ditimpa musibah. Tapi, orang itu apabila dia dapat kelebihan, dia akan berpoya-poya balik seperti asal dia, macam tidak pernah ada masalah sebelum itu.

Jangan pula ayat ini digunakan sebagai hujah untuk menolak orang yang berdoa panjang-panjang. Berdoa sama ada panjang atau pendek, secara dasarnya, memang elok. Cuma jangan buat begitu kalau ada masalah sahaja.

Hendaklah kita ingat Allah di kala senang, supaya Allah ingat kepada kita di kala kita susah. Seperti juga kalau kita minta tolong dengan manusia. Kalau kita cuma jumpa dia pada masa susah sahaja, tentulah dia tidak suka. Tapi kalau waktu senang kita datang jumpa dia, lawat dia, tentulah dia senang hati nak tolong kita kalau kita ditimpa malang.

Begitulah dengan Allah, kalau waktu senang kita ingat Dia, Dia akan ingat kita pada waktu kita susah. Jangan waktu susah sahaja nak berdoa kepada Dia, buat ibadat kepada Dia. Itu bukan sifat orang Mukmin.


 

Ayat 52: Ini adalah rumusan penutup kepada rungutan dari Allah. Berkali-kali Allah suruh manusia beriman dengan Al-Qur’an dan ajaran yang ada di dalamnya, tapi kalau mereka menolak juga, inilah yang Allah suruh kita tanya kepada mereka, supaya mereka dapat memikirkan.

Ini juga adalah dalil wahyi kerana Allah yang suruh Nabi berkata begitu.

قُل أَرَأَيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ ثُمَّ كَفَرتُم بِهِ مَن أَضَلُّ مِمَّن هُوَ في شِقاقٍ بَعيدٍ

Sahih International

Say, “Have you considered: if the Qur’an is from Allah and you disbelieved in it, who would be more astray than one who is in extreme dissension?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sudahkah nampak baiknya keadaan kamu jika Al-Qur’an ini (yang datangnya) dari Allah kemudian kamu mengingkarinya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang tetap berada dalam perbalahan dan pertentangan, yang menyimpang jauh dari kebenaran?”

 

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كَانَ مِنْ عِنْدِ اللهِ

Katakan kepada mereka: Tidakkah engkau lihat?: Sekiranya Al-Qur’an ini betul-betul dari Allah,

Tentulah Al-Qur’an itu dari Allah. Tapi Allah hendak beri satu perumpamaan. Allah suruh orang kafir itu berfikir: Kalau betullah Al-Qur’an itu dari Allah, apa akan jadi kepada kamu kalau kamu tak beriman kepadanya?

 

ثُمَّ كَفَرْتُمْ بِهِ

kemudian kamu kufur kepadanya;

Kufur itu boleh jadi macam-macam – sama ada tak mahu belajar atau tak mahu ikut isi kandungnya, apabila dibacakan kepadanya, dia tolak, apabila diajak belajar, tak mahu; itu semua termasuk dalam rangka ‘kufur’ kepada Al-Qur’an.

Ada jumlah muqaddar di sini: Cubalah kamu fikir, kalau betul segala ayat dalam Al-Qur’an itu benar, apakah akan jadi kepada kamu. Tidakkah kamu takut? Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu memikirkan?

Memanglah Al-Qur’an itu dari Allah – orang yang beriman memang sudah terima. Tapi kepada mereka yang tidak beriman, suruh mereka fikirkan: kalau betul-betul Al-Qur’an ini betul dari Allah, bagaimana? Sekarang kamu buat tidak tahu sahaja dengan Al-Qur’an ini. Lalu bagaimana nanti nasib kamu kalau begitu?

 

مَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ هُوَ فِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

Siapakah yang lebih sesat dari seorang yang duduk dalam persimpangan yang jauh sekali? 

Allah tambah lagi soalan untuk mereka memikirkan lagi: Sesiapa yang ada persimpangan dan konflik dengan Al-Qur’an bermakna dia ada konflik dengan Allah. Kalau dibacakan ayat Al-Qur’an dan mereka tolak, mereka bukan tolak kita, tapi sebenarnya mereka menolak Allah, Tuhan sekalian alam. Adakah mereka hendak lawan Allah? Mereka tidak akan menang kalau mereka lawan dengan Allah.

Ini adalah seperti satu jalan terakhir dalam kita berdakwah kepada mereka. Apabila kita baca, mereka tolak juga tidak terima walaupun setelah berkali-kali kita berikan ayat-ayat Al-Qur’an yang jelas, maka kita kena buat macam ini. Berikan mereka berfikir: Kalau betul ayat Al-Qur’an itu dari Tuhan, apa kamu nak buat untuk menyelamatkan diri kamu nanti?


 

Ayat 53: Dalil Aqli Afaqi dan Anfusi.

سَنُريهِم آيٰتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Sahih International

We will show them Our signs in the horizons and within themselves until it becomes clear to them that it is the truth. But is it not sufficient concerning your Lord that He is, over all things, a Witness?

Malay

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Qur’an adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

 

سَنُرِيهِمْ آيٰتِنَا فِي الْآفَاقِ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segala penjuru;

Lihatlah alam ini dengan mata hati: kalau pergi tepi pantai atau di kaki bukit, atau di mana-mana sahaja, boleh nampak kebesaran Allah Taala. Kita akan dapat lihat betapa indahnya alam ini. Sepatutnya apabila kita melihat kepada ufuk, kita akan melihat betapa hebatnya kuasa Allah.

Kalau alam yang begini cantik pun kita lihat hebat, apatah lagi Allah yang menjadikannya? Adakah sembahan-sembahan mereka selain Allah dari Nabi, wali dan malaikat itu ada buat apa-apa?

Perkataan سَنُرِيهِمْ bermaksud ‘akan ditunjukkan’. Manusia pada zaman dahulu tidak nampak kebenaran-kebenaran itu. Tapi semakin lama masa berlalu, semakin kemajuan sains bertambah, semakin terbuka kebenaran-kebenaran itu. Semakin ditunjukkan kepada kita kebenaran-kebenaran yang disebut dalam Al-Qur’an itu. Ayat-ayat Al-Qur’an bersesuaian dengan sains.

 

وَفِي أَنْفُسِهِمْ

dan juga pada diri mereka sendiri;

Kajilah kehebatan kejadian kita – sekali jantung berdenyut, perjalanannya sejauh jarak mengelilingi dunia. Tidak berhenti lagi ianya mengalir dari semenjak kita dalam perut ibu kita sampailah kita mati nanti.

Dan banyak lagi kehebatan-kehebatan pada diri kita sendiri. Semakin sains meneroka kehebatan diri kita, semakin kita rasa hebatnya Allah yang telah menjadikan diri kita ini.

Segala alam ini dijadikan kepada kita untuk dilihat untuk kita fikirkan. Allah gunakan dua jenis tempat: satu adalah tempat yang jauh – (ufuk) dan satu lagi tempat yang dekat – (diri kita sendiri) sebagai contoh. Bermakna, ada banyak lagi perkara antara dua perkara itu yang boleh menjadi tanda kekuasaan dan kehebatan Allah.

 

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ

Sehingga nyata jelas bagi mereka bahawasanya ayat-ayat Al-Qur’an adalah benar;

Kebenaran apa yang hendak dibawakan dalam Al-Qur’an? Itulah kebenaran bahawa Allah yang menciptakan segala sesuatu ini, maka kepadaNya sahajalah kita minta. Jangan minta kepada yang lain, sebab yang selain dari Allah, tidaklah berupaya mencipta apa-apa pun.

Dan minta terus kepada Allah, tanpa melalui perantaraan. Itulah tauhid dalam berdoa. Tidak boleh guna perantaraan kerana itulah tawasul dan tawasul itu haram dalam agama Islam.

Allah beritahu yang Dia akan tunjukkan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an. Lihatlah sekarang, bagaimana kadang-kadang sains baru dapat jumpa kebenaran yang telah lama disebut dalam Al-Qur’an. Zaman sekarang baru manusia dapat faham dengan lebih dalam lagi.

Sebagai contoh, Al-Qur’an menyebut ‘alaq’ untuk zigot bayi. Dari segi bahasa, ‘alaq’ bermaksud ‘lintah’. Sekarang, apabila manusia sudah boleh lihat dalam perut ibu, boleh besarkan penglihatan kita dengan menggunakan mikroskop, barulah jelas nampak bahawa memang zigot bayi itu rupanya macam lintah.

Al-Qur’an juga menyebut bahawa besi itu ‘diturunkan’. Kalau diturunkan, bermakna besi itu bukan berasal dari dunia tapi jatuh dari tempat lain. Sekarang, barulah saintis dapat tahu bahawa memang besi itu adalah jatuhan meteor dari langit.

Ayat-ayat seperti itu sepatutnya menambahkan iman kita. Islam tidak lari dari sains. Semakin sains semakin maju, semakin jelas nampak kebenaran Al-Qur’an. Ayat-ayat sebegitu adalah salah satu dari mukjizat Qur’an. Ini akan lebih banyak dipelajari jikalau kita mempelajari satu bidang ilmu yang dikenali sebagai i’jazul Qur’an.

 

أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ

Apakah tidak cukup bagi kamu dengan Tuhan kamu sahaja?

Ini adalah dalil aqli. Nampak dari segi luaran, Nabi Muhammad tidak ada apa-apa untuk mempertahankan diri baginda dari serangan penentang mereka. Allah hendak memberitahu, tidak cukupkah kalau baginda berharap dan bergantung kepada Allah sahaja? Tentu cukup.

Dan hendak memberitahu kita tentang tauhid dalam berdoa: Tidak cukupkah Allah sebagai tempat untuk kita berharap? Pohon dan ibadat hanya kepada Allah sahaja. Harap hanya kepada Allah sahaja. Tidak perlu berharap kepada yang lain. Tidak perlu berharap kepada makhluk. Kalau kita berharap kepada makhluk, kita akan kecewa. Kerana makhluk tidak punya apa-apa.

Maka, berdoalah terus kepada Allah. Allah tidak perlu perantaraan dalam doa. Allah tidak memerlukan ‘broker’ untuk menyampaikan hasrat kita. Allah tahu apa yang kita hendak.

 

أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Sesungguhnya Dia itu atas segala sesuatu itu sedang menyaksi.

Allah melihat segalanya apa yang kita lakukan. Allah tahu apa yang kita perlukan. Tidak perlu cakap pun Allah sudah tahu apa yang kita hendak. Tapi Allah hendak mendengar kita meminta kepadaNya. Maka kalau Allah tahu apa yang kita perlukan, maka tidakkah patut kita minta kepada Allah?


 

Ayat 54: Takhwif Duniawi

أَلا إِنَّهُم في مِريَةٍ مِّن لِّقاءِ رَبِّهِم ۗ أَلا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ مُّحيطٌ

Sahih International

Unquestionably, they are in doubt about the meeting with their Lord. Unquestionably He is, of all things, encompassing.

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak – ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.

 

أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ

Ketahuilah semua, sesungguhnya mereka duduk dalam keraguan

Perkataan مِرْيَةٍ digunakan apabila seseorang ragu dengan sesuatu yang jelas nyata. Ayat-ayat Al-Qur’an itu sudah jelas nyata, tapi mereka masih lagi tak percaya. Kalau ayat-ayat tentang Tauhid yang ada dalam Al-Qur’an, memang sudah cukup untuk digunakan oleh manusia faham apakah maksud tauhid itu – berkali-kali diulang-ulang.

Tapi mereka yang degil masih lagi beri hujah dan alasan yang macam-macam untuk tolak kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an ini. Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah. Masyarakat kita hanya pandai membaca Al-Qur’an sahaja, tapi mereka tak faham makna dalam Al-Qur’an. Alangkah sedihnya, alangkah ruginya.

 

مِّنْ لِّقَاءِ رَبِّهِمْ

terhadap perjumpaan dengan Tuhan mereka;

Mereka tak yakin dengan pertemuan dengan Allah. Kalau kita tanya, memang mereka akan jawab yang mereka akan berjumpa dengan Tuhan. Tapi, kalau kita lihat bagaimana mereka menjalankan kehidupan mereka, macam mereka tak percaya.

Keyakinan iman untuk berjumpa dengan Allah tidak kelihatan dalam diri mereka. Mereka seperti tidak takut untuk bertemu dengan Allah dan terpaksa menjelaskan kenapa mereka menolak tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

Kalau di dunia, mereka boleh beri berbagai-bagai hujah mereka, tapi nanti di hadapan Allah, mereka sangka mereka boleh berhujah dengan Allah?

 

أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطٌ

Ketahuilah! Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu meliputi. 

KerajaanNya dan ilmuNya meliputi alam semesta. Tidak ada harapan untuk mereka keluar dari liputan Allah. Maka Allah cabar mereka yang engkar: buatlah apa kamu nak buat, kamu tidak akan terlepas.

Penutup:

Surah ini dimulakan berkenaan Al-Qur’an. Bagaimana Al-Qur’an itu dijelaskan – fussilat – dengan sejelas-jelasnya. Tidak ada keraguan pada Al-Qur’an itu. Dan di hujung surah, ditunjukkan bagaimana ada kebenaran-kebenaran yang boleh dijelaskan dengan sains. Ini menambah keyakinan kita kepada Al-Qur’an.

Selain dari memperkatakan tentang Tauhid dalam Doa, surah ini juga tentang dakwah. Kita diingatkan dalam surah ini yang dakwah itu mesti menggunakan Al-Qur’an. Kita boleh lihat sendiri bagaimana surah ini bermula dengan penjelasan tentang Al-Qur’an dan akhirnya disebut tentang Al-Qur’an semula.

Ini mengajar kita supaya dakwah itu dimulakan dengan Al-Qur’an dan diakhiri dengan Al-Qur’an juga. Itulah sunah dakwah Nabi kita. Kalau kita tidak pakai Al-Qur’an dalam dakwah kita, ada masalah dalam dakwah kita.

Allahu a’lam. Alhamdulillah. Sekian tafsir surah Fussilat. Semoga mendapat manfaat dan semoga Allah beri kefahaman kepada kita untuk memahaminya. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Ash-Shura

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s