Tafsir Surah al-A’raf Ayat 158 – 159 (Nabi Muhammad, Rasul seluruh ummat)

Ayat 158:

قُل يا أَيُّهَا النّاسُ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم جَميعًا الَّذي لَهُ مُلكُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ يُحيي وَيُميتُ ۖ فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِماتِهِ وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “O mankind, indeed I am the Messenger of Allāh to you all, [from Him] to whom belongs the dominion of the heavens and the earth. There is no deity except Him; He gives life and causes death.” So believe in Allāh and His Messenger, the unlettered prophet, who believes in Allāh and His words, and follow him that you may be guided.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.

قُل يا أَيُّهَا النّاسُ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم جَميعًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, 

Sekarang Nabi Muhammad diarahkan oleh Allah untuk berkata dan mengumumkan kepada seluruh manusia, bukan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada penduduk tanah Arab sahaja, tapi seluruh dunia.

Baginda disuruh mengumumkan bahawa baginda adalah Rasul kepada seluruh insan (dan jin) sehingga Hari Kiamat. Hal ini merupakan kemuliaan dan keutamaan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad Saw., iaitu baginda adalah penutup para Nabi dan diutus oleh Allah kepada seluruh umat dunia.

الَّذي لَهُ مُلكُ السَّماواتِ وَالأَرضِ

yang menguasai langit dan bumi,

Nabi menjadi Rasul yang membawa utusan dari Allah. Dan siapakah Allah itu? Allah lah yang memiliki, menguasai dan mentadbir alam ini, langit dan bumi.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut. Maka kena baca: jamee anillazi….

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ يُحيي وَيُميتُ

tiada ilah melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. 

Dan baginda menyebutkan sifat-sifat Allah yang penting. Hanya Dia sahaja yang boleh menghidupkan dan mematikan. Tidak ada entiti lain yang boleh buat perkara yang sama.

فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ

Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi 

Maka, hendaklah insan semua beriman kepada Allah dan RasulNya sekali. Tidak mungkin boleh beriman kepada Allah tanpa beriman kepada Rasul sekali. Jadi, bagaimana kita nak terima ajaran seperti ajaran Anti-Hadith yang menolak kedudukan Nabi Muhammad? Mereka itu patutnya ditolak habis-habisan dan kesesatan mereka perlu dijelaskan kepada semua orang.

Dan disebut sifat Nabi Muhammad itu, baginda seorang yang ummiy. Kita telah sentuh tentang sifat ummiy ini dalam perbincangan sebelum ini.

Lihatlah dalam ayat ini, lafaz ‘Rasul’ dan lafaz ‘Nabi’ dua-dua disebut dan diletakkan bersama. Ini bermakna, ada perbezaan antara keduanya, tidaklah sama satu dengan yang lagi satu. Maknanya, ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ tidaklah sama. Tapi ianya adalah perbincangan yang panjang, jadi tidak dibincangkan di sini, cuma disentuh sebagai satu perkara yang menarik.

الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِماتِهِ

yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya

Nabi Muhammad itu sendiri beriman dengan Allah. Sebelum orang lain beriman, baginda sendiri sudah beriman.

Dan baginda sendiri beriman dengan kalimah-kalimahNya. Yang dimaksudkan adalah kitab-kitabNya. Nabi itu sendiri beriman dengan kitab-kitab Allah.

وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.

Setelah kita tahu semua perkara itu, maka ikutlah Nabi itu dengan sebenarnya. Jangan kita buat tidak kisah dengan apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Nabi Muhammad. Maka kerana itulah, kita diingatkan selalu untuk berpegang kepada Qur’an dan Sunnah.

Oleh itu, Yahudi dan Nasara tidak ada pilihan lain selain dari beriman kepada Nabi Muhammad. Di dalam kitab Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يَسْمَعُ بِي رَجُلٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ: يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ، ثُمَّ لَا يؤمن بي إلا دخل النار”

Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tiada seorang lelaki pun dari kalangan umat ini yang mendengar perihal diriku, baik seorang Yahudi ataupun seorang Nasrani, kemudian dia tidak beriman kepadaku, melainkan masuk neraka.


Ayat 159:

وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ وَبِهِ يَعدِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among the people of Moses is a community¹ which guides by truth and by it establishes justice.

  • Those of them who accepted and followed the final prophet, Muḥammad ().

MALAY

Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

وَمِن قَومِ موسىٰ أُمَّةٌ يَهدونَ بِالحَقِّ

Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk dengan perkara-perkara yang hak,

Ada juga golongan Ahli Kitab yang beriman, bukan semua tidak beriman. Kerana ada seruan Nabi Muhammad ini yang disambut juga oleh segolongan Ahli Kitab. Boleh dikatakan ramai juga, tapi yang majoritinya, tidak beriman. Mereka yang beriman ini telah memberi petunjuk kepada manusia lain dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah dan Rasul.

وَبِهِ يَعدِلونَ

dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

Mereka menggunakan wahyu dari Allah itu untuk menegakkan keadilan.

Ada tafsiran yang pelik bagi ayat ini yang dicedok dari kisah Israiliyyat. Ia tidak boleh dijadikan sebagai sandaran. Mari kita lihat beberapa tafsiran lemah tentang hal ini.

Ibnu Jarir berkata: “Aku telah diberitahu bahawa apabila Bani Israil telah membunuh para nabi mereka dan telah menjadi kafir serta pada ketika itu mereka ada 12 puak, satu puak dari kalangan mereka telah terlepas daripada apa yang telah mereka lakukan. Satu puak ini telah meminta kepada Allah SWT supaya memisahkan mereka dengan puak-puak yang lain. Maka Allah SWT membuka satu lubang di atas muka bumi, lalu mereka berjalan hingga mereka keluar di sebelah Negara China. Di sana, mereka menjadi Muslim yang bersih dan mengadap ke kiblat kita.”

Al-Baghawi berkata di dalam tafsirnya: “Al-Kilabi, Dhahak dan Rabi’ berkata: Mereka itu adalah kaum yang tinggal di sebelah Negara China; di timur jauh di sebatang sungai laluan air yang dinamakan dengan Sungai Ardaf. Tidak seorang pun dari kalangan mereka yang mempunyai harta. Mereka menerima hujan di waktu malam dan mereka hidup sihat serta bertani pada siang hari. Tidak ada seorang pun dari kalangan kita yang mengetahui mengenai mereka. Mereka berpegang dengan agama kebenaran. ” Diceritakan bahawa pada malam isra’, Jibril bersama Nabi SAW telah pergi menemui mereka, Jibril berkata: “Ini adalah Muhammad, seorang nabi yang tidak tahu membaca dan menulis.” Maka mereka beriman dengannya dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW. Sesungguhnya Musa a.s. berpesan kepada kami bahawa sesiapa yang bertemu dengan Ahmad maka sampaikan salam aku kepadanya.” Maka Nabi SAW menjawab salam kepada Musa a.s. Kemudian baginda membacakan sepuluh surah al-Quran yang diturunkan di Mekah, menyuruh mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan memerintahkan mereka tinggal di tempat mereka berada. Mereka memuliakan hari sabtu sebagaimana yang dilakukan oleh Orang Yahudi, lalu baginda menyuruh mereka memuliakan hari Jumaat dan meninggalkan perbuatan memuliakan hari sabtu. Dikatakan mereka adalah Orang-orang Yahudi yang memeluk Islam pada zaman Nabi SAW. Pendapat pertama adalah yang lebih sahih.

Tidak syak lagi kisah ini adalah datangnya daripada khurafat Bani Israil. Tindakan yang menghairankan oleh al-Baghawi ialah dia menjadikan cerita dusta ini lebih sahih berbanding pendapat lain yang merupakan pendapat yang lebih layak diterima dan lebih utama dikatakan sahih. Kami tidak ragu lagi bahawa Ibnu Uraij dan orang lain yang meriwayatkan kisah ini telah mengambilnya daripada Ahli Kitab yang telah memeluk Islam dan sekali-kali tidak mungkin ia diterima daripada Nabi SAW yang maksum.

Imam al-Alusi berkata setelah menyebut kisah yang telah kami sebutkan tadi: “Kisah ini telah dikatakan dhaif oleh Ibnu Khazin.

Tafsir yang rajih ialah maksud kaum itu ialah segolongan manusia dari kalangan Kaum Nabi Musa a.s. yang mengambil kebenaran sebagai petunjuk dan mengajak manusia kepadanya serta berlaku adil dengan menggunakan kebenaran dalam menyelesaikan hukum-hakam dan isu-isu yang dikemukakan kepada mereka.

Golongan tersebut itu terdapat pada zaman Nabi Musa a.s. dan zaman selepasnya. Malah begitu juga, pada zaman Nabi SAW seperti Kaab bin Salam dan orang yang seumpama dengannya. Allah SWT telah menjelaskan perkara ini dengan mengatakan bahawa sekalipun sebahagian besar dari kalangan orang Yahudi itu ingkar dan menolak kebenaran, melanggar hukum-hakam, membunuh para nabi, membunuh beberapa orang nabi, mendustakan sesetengah yang lain, malah di kalangan mereka ramai yang mempunyai akhlak dan tabiat yang buruk, akan tetapi di sana ramai juga dari kalangan mereka yang menggunakan kebenaran sebagai petunjuk dan menggunakannya sebagai asas melaksanakan keadilan.

Mereka tidak menolak kebenaran. Dalam ayat ini terkandung persaksian dan pembersihan bagi golongan itu dan mereka menolak kebanyakan dari golongan Yahudi yang bukan seperti mereka yang ingkarkan kenabian Nabi Muhammad SAW serta memusuhinya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s