Ayat 77: Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini.
أَوَلا يَعلَمونَ أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ
But do they not know that Allah knows what they conceal and what they declare?
(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
أَوَلَا يَعْلَمُونَ
Tidakkah mereka mengetahui
Ayat ini menunjukkan kebodohan ulama Yahudi. Ada jumlah (ayat) yang kena taqdir (tambah) di sini: patutkah ulama-ulama Yahudi itu memberi arahan sedemikian kepada orang bawahan mereka? Apakah arahan yang dimaksudkan? Iaitu arahan melarang pengikut mereka membocorkan rahsia kebenaran Islam.
أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ
Sesungguhnya Allah tahu apa yang mereka rahsiakan
Lihatlah betapa bodohnya mereka – mereka suruh orang bawahan mereka untuk sorokkan maklumat yang benar kepada sahabat yang beriman. Takkan mereka tak tahu yang Allah tahu apa yang mereka lakukan?
Sebenarnya mereka tahu, tapi lama-lama mereka mengharap Allah tak tahu apa yang mereka telah buat. Allah tegaskan dalam ayat ini yang Dia tahu walaupun apa yang mereka cakap dalam hati mereka.
وَمَا يُعْلِنُونَ
dan apa yang mereka nyatakan;
Patutkah mereka buat begitu sedangkan Allah Maha Mengetahui? Dalam ayat sebelum ini, mereka berkata-kata sesama mereka dalam perjumpaan rahsia mereka. Allah tahu sama ada apa yang mereka zahirkan dengan mulut mereka itu datang dari hati mereka atau tidak.
Mereka tahu Allah tahu, tapi mereka buat juga. Mereka jadi begitu kerana sifat غَافِلٍ (lalai) mereka yang telah disebutkan sebelum ini. Mereka tahu dengan akal, tapi tidak dengan hati mereka. Mereka ini macam baghal yang bawa kitab yang banyak atas belakangnya, tapi tak faham sikit pun apa yang diceritakan dalam kitab itu.
Golongan agama zaman sekarang pun ada yang sebegitu juga. Iaitu ulama’ yang mendapat upah. Mereka rahsiakan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Jangan sangka ayat-ayat dalam Surah Al-Baqarah ini tentang orang Yahudi sahaja. Allah kisahkan tentang perbuatan mereka supaya kita tak jadi macam mereka.
Ada orang Islam yang takut nak ceritakan tentang semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Mereka simpan ayat-ayat yang mereka rasa ‘kontroversi’. Mereka takut orang ramai akan pandang serong kepada mereka. Padahal itu hanya perasaan mereka sahaja. Tidak ada ayat Al-Qur’an yang sepatutnya disembunyikan.
Seluruh ayat Al-Qur’an yang Allah turunkan adalah untuk kebaikan semua manusia di dunia – bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada semua orang – tidak kira Muslim atau kafir. Jangan jadi takut dengan apa yang ada dalam ajaran Islam. Islam adalah agama yang benar dan boleh diterima oleh masyarakat dunia. Ia bukan agama yang pelik dan tidak dapat diterima oleh akal.
Yang jadi takut nak sampaikan itu adalah kerana tak belajar sahaja dan tidak yakin dengan agama Islam. Mereka tak belajar sampaikan mereka tak faham tentang keindahan Al-Qur’an dan Islam, dan akhirnya mereka sendiri sangsi dengan agama mereka sendiri sampaikan mereka tidak yakin untuk sampaikan kepada manusia.
Sebenarnya, banyak orang bukan Islam yang hendak tahu tentang Islam. Jadi kita kena pandai jawab. Kalau tak, mereka takkan faham dan mereka akan jadi salah faham tentang Islam. Memang ada orang yang ada perasaan jahat dalam hati mereka, dan mereka tanya bukan hendak tahu tapi hendak mencari salah.
Tapi walau pun begitu, kita masih juga kena jawab. Kerana kita tak boleh simpan kebenaran. Berusahalah belajar supaya kita faham dan kita dapat menyebarkan Islam dengan benar, dengan yakin dan tidak sangsi dengan agama sendiri.
Ayat 78: Ini pula tentang orang awam Yahudi yang kebanyakannya jahil dengan agama mereka sendiri. Begitu juga, sama sahaja dengan orang awam dari kalangan kita.
وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
(Saheeh International)
And among them are unlettered ones who do not know the Scripture except [indulgement in] wishful thinking, but they are only assuming.
Malay
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ
Dan diantara mereka itu adalah mereka yang buta huruf;
Ummiy itu asalnya adalah dari kalimah yang bermakna ‘ibu’. Apabila dikatakan seseorang itu ‘ummiy‘, ia bermaksud orang itu tidak tahu apa-apa, sama seperti dia baru keluar dari perut ibunya. Oleh itu, ia juga digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta huruf tidak tahu membaca. Sebab apabila kita keluar dari perut ibu kita, kita pun tidak tahu membaca.
Maksudnya mereka yang tidak tahu apa-apa tentang isi kandungan Kitab Taurat mereka. Mereka itu adalah orang-orang dari kalangan puak Yahudi. Mereka itu buta huruf dan tidak belajar Kitab Taurat. Atau seperti telah diberitahu, mereka tidak dibenarkan untuk membawa Kitab Taurat.
‘Ummiyyun’ juga digunakan kepada sahabat Nabi. Tapi para sahabat cuma tak tahu menulis dan membaca sahaja, tapi mereka belajar agama dan faham Al-Qur’an. Tapi puak Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah jenis yang tidak belajar kitab. Tidak tahu isi kitab Taurat mereka sendiri.
لَا يَعْلَمُونَ ٱلكِتَـٰبَ
mereka tidak mengetahui tentang kitab;
Mereka tidak tahu tafsir Kitab Taurat. Jadi mereka tidak mengambil ajaran dari Kitab Taurat. Kerana itu mereka senang ditipu oleh agamawan mereka.
Dan kebanyakan orang Islam pun begitu juga, tidak tahu tafsir Al-Qur’an. Majoriti masyarakat Islam hari ini tidak mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Mereka sangka mereka sudah Muslim sebab mereka solat, puasa, pakai tudung tutup aurat, ‘baca’ Al-Qur’an dan sebagainya. Tapi sebenarnya mereka tidak faham agama pun.
إِلَّا أَمَانِيَّ
melainkan cerita-cerita dongeng yang tiada bukti;
Melainkan mereka hanya tahu khayalan-khayalan tahyul yang disampaikan oleh ulama mereka sahaja. Kerana mereka bodoh dan tidak belajar, senang sahaja mereka kena tipu oleh ulama mereka.
Itulah bahawa kalau jahil agama dan terus menjadi orang awam. Kerana ulama mengatakan العوام كالأنعام (orang awam seperti binatang ternak). Maksudnya orang awam ikut sahaja apa kata orang atasan. Bahayalah adalah kalau orang atasan itu salah, jadi dia telah mengikut orang yang salah. Dan ini bukan bahaya di dunia sahaja tetapi membawa ke akhirat.
Sama juga macam orang kita yang jahil wahyu. Mereka hanya terima sahaja kata-kata manusia yang mereka anggap sebagai orang yang pandai agama. Kerana itu ramai dari masyarakat kita yang ikut tarekat sebab nak cepat naik ‘maqam’ dalam agama kononnya. Mereka ada guru-guru mereka tapi yang mereka tidak tahu adalah, apa yang disampaikan oleh guru mereka itu adalah ilmu khayalan sahaja. Tahyul sahaja apa yang disampaikan oleh guru mereka itu.
Dalam Al-Qur’an ianya dipanggil ‘angan-angan kosong nak dapat syurga’. Belajar agama dan tafsir Al-Qur’an tak mahu, tapi berangan nak masuk syurga. Mereka sangka mereka boleh dapat kedudukan tinggi dalam syurga hanya berbekalkan zikir-zikir wirid karut mereka itu.
Ibn Abbas mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan maksudnya: Bani Israil itu hanya membaca dan menghafal sahaja kitab Taurat itu tanpa memahaminya. Mereka memang baca terutama dalam majlis-majlis keramaian mereka.
Ini samalah dengan masyarakat Islam kita hari ini. Ada yang hari-hari boleh baca Al-Qur’an tapi mereka tak faham ajaran di dalamnya. Ada yang belajar bertahun-tahun hafal Al-Qur’an, tapi tak tahu apakah makna Al-Qur’an yang hendak Allah sampaikan. Kalau bab ilmu tajwid, mereka memang hebat. Mereka itu tidak ubah macam burung Kakak Tua, hanya tahu cakap sahaja, tapi tidak tahu apa yang dicakapkan.
Jadi, kalau kita pun begitu juga, kita sudah jadi macam orang Yahudi yang jahil itu. Maknanya, sejarah berulang. Kalau orang yang ada agama dahulu begitu, orang Islam kita pun begitu juga. Al-Qur’an hanya menjadi bacaan sahaja, dibaca di keraian, di majlis-majlis tertentu. Dan kalau walaupun selalu dibaca di rumah, tapi tidak difahami oleh mereka yang membacanya.
وَإِنْ هُمْ
Dan sesungguhnya mereka;
Iaitu orang-orang Yahudi yang buta huruf dan jahil itu tadi, tidak kira sama ada dia orang Islam atau tidak.
إِلَّا يَظُنُّونَ
tidak lain dan tidak bukan, mereka hanya agak-agak sahaja;
Mereka yang jahil tidak belajar tafsir (Taurat atau Al-Qur’an) itu hanya boleh baca terjemahan sahaja. Dan kemudian mereka agak-agak maksudnya. Ini amat bahaya.
Kita tidak boleh agak-agak apakah yang Allah suka dan tak suka kita lakukan. Kita hendaklah melihat apakah dalil dan nas yang ada dalam sumber-sumber agama kita – nas itu adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Tapi yang menyedihkan, banyak dari kalangan orang Islam kita tiada membawakan bukti apabila mereka mengatakan sesuatu tentang agama.
Hujah-hujah mereka kebanyakannya adalah selain dari wahyu. Dan kalau mereka menyampaikan hujah dari Al-Qur’an dan Hadith, ianya amat berlainan dari pemahaman yang sebenar (pemahaman golongan salaf). Ini kerana mereka tidak belajar faham Al-Qur’an dan Hadith seperti yang difahami oleh para sahabat dan golongan salaf.
Sama sahaja apa yang dikatakan tentang puak Yahudi dalam ayat ini dengan umat Islam zaman sekarang. Mereka agak-agak sahaja tentang hal agama. Contohnya, mereka akan kata: “takkan Allah tak beri pahala kalau kita buat ibadat ini kalau kita ikhlas, walaupun Nabi tak pernah buat pun?” Ini adalah kerana mereka tidak tahu agama dengan jelas. Mereka jahil tentang agama, oleh kerana itu mereka agak-agak sahaja.
Yang jadi masalahnya adalah mereka sangka mereka tahu. Padahal mereka tak tahu agama. Masalah yang paling besar adalah apabila orang bodoh tidak tahu yang mereka bodoh. Ini dipanggil ‘jahil murakkab’ (bodoh kuasa dua – tidak tahu yang dia tidak tahu). Kalau mereka tahu mereka bodoh, kita boleh ajar mereka lagi dan mereka akan terima kerana mereka tahu mereka tak tahu.
Tapi kalau mereka sangka mereka sudah tahu, bila kita nak ajar, mereka tak mahu terima. Tapi kalau dia sangka dia sudah pandai, bagaimana lagi kita hendak ajar dia? Kerana dia tidak terima apa yang kita sampaikan? Inilah yang dipanggil Jahil Murakkab – orang yang bodoh tapi tak tahu mereka bodoh!
Ayat 79: Ayat ini adalah berkenaan dengan Pendeta Yahudi yang mempersendakan ugamanya sendiri.
فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ
So woe to those who write the “scripture” with their own hands, then say, “This is from Allah ,” in order to exchange it for a small price. Woe to them for what their hands have written and woe to them for what they earn.
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.
فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ
Dan celaka besarlah bagi orang-orang;
Iaitu pendeta-pendeta Yahudi itu dan mereka yang bersifat seperti mereka. Kalimah ‘celaka’ itu bermaksud kebinasaan dan kehancuran. Dan ini datang dari Allah sendiri, maka ia amat besar. Ia juga bermaksud azab yang keras dan kerugian yang amat besar.
يَكْتُبُونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيْدِيهِمْ
yang menulis kitab dengan tangan mereka sendiri;
Iaitu mereka mengubah isi dalam Kitab Taurat. Atau menulis tafsir Kitab Taurat (yang lari dari maksud asal). Atau mereka menulis kitab-kitab agama (yang juga lari dari maksud asal agama). Allah mencela dan mencelakan mereka kerana perbuatan mereka ini.
Orang agama kita pun ada yang buat macam ini. Menulis tentang cerita-cerita dari ayat-ayat Al-Qur’an atau kitab-kitab tentang agama. Iaitu mereka menulis maklumat yang salah dari akidah dan kefahaman Islam.
Ulama’ Yahudi telah menukar kitab mereka. Memang mereka tukar betul dari teks yang ada. Mereka boleh buat kerana Taurat bukan macam Al-Qur’an. Ia tidak ada pada tangan seluruh umat Yahudi pada waktu itu. Dan Allah tidak pernah jaminan yang Taurat tidak boleh ditukar. Dan orang awam mereka memang tidak dapat melihat keseluruhan Kitab Taurat kerana ianya disimpan oleh pendeta mereka.
Pendeta mereka hanya akan tunjukkan sebahagian sahaja. Ini supaya senang mereka nak dakwa: “ya ini memang ada dalam Taurat”. Dan kerana orang awam mereka tidak dapat tengok kitab Taurat yang asli, mereka senang ditipu.
Tapi Allah telah jamin Al-Qur’an tak boleh ditukar. Tapi walaupun orang kita tak tukar perkataan yang dalam Al-Qur’an, tapi ada orang yang menukar maksud hukum-hukum dalam Al-Qur’an. Mereka telah terjemah hukum-hukum dalam Al-Qur’an ikut agenda mereka.
Mereka ubah hukum yang Allah telah jelaskan dalam Al-Qur’an dengan hukum yang lain. Sebab mereka kata hukum dalam Al-Qur’an itu ketat sangat. Mereka ini jenis orang yang ikut hawa nafsu mereka.
ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ
Kemudian mereka berkata, “Ini adalah dari Allah”;
Mereka kata bahawa apa yang mereka buat itu adalah dari Allah. Atau mereka kata itu adalah sebahagian dari agama, padahal ianya tidak berpandukan nas yang sahih.
Sebagai contoh, ada kitab yang mengajar amalan-amalan wirid. Macam-macam jenis wirid yang mereka reka dan mereka kata ianya dari Allah atau mereka kata ianya adalah baik. Mereka kata kalau amalkan begitu begini akan dapat pahala begitu begini. Mereka tidak membawa dalil pun sebagai hujah mereka.
Banyak buku-buku amalan itu boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang bersepah. Sesiapa sahaja boleh beli dan mereka memang sangka ianya adalah amalan yang baik. Padahal, ianya adalah amalan yang salah. Ada dari amalan-amalan itu yang mensyirikkan Allah pun ada.
Mereka yang buat buku-buku itu adalah kerana nak mendapatkan duit dan pengaruh. Padahal sebenarnya kalau mereka menceritakan tentang amalan-amalan ibadat, mereka kena bawa dalil hadis, sumber dari mana datangnya amalan itu. Kena beritahu juga nama kitab hadith yang mana dia ambil. Supaya senang kita nak periksa benar atau tidak. Sebab ada sekarang yang senang-senang sahaja kata ianya dari kitab Bukhari dan sebagainya, tapi bila diperiksa, tidak ada pun.
Dan kalau nak ambil dari kitab, kena ambil dari kitab yang muktabar. Tapi yang mereka bawa sumber adalah dari kitab yang bukan dari kitab yang muktabar yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Ketahuilah bukan semua kitab karangan manusia boleh dipercayai. Memang kita kena berhati-hati dalam perkara ini.
Hadith-hadith yang di dalam kitab-kitab hadith tidaklah sama antara mereka. Ada yang sahih dan ada yang tidak. Mana-mana hadith yang sahih telah dimasukkan di dalam dua Kitab Hadis yang utama (Bukhari dan Muslim). Yang selain dari itu, kena diperiksa sama ada hadis itu adalah betul ataupun tidak.
Banyak sekali hadith yang dhaif dan palsu disampaikan dalam masyarakat. Antara hadith yang palsu adalah hadith tentang ‘Nur Muhammad’. Fahaman ini banyak di kalangan masyarakat kita, terutama golongan tarekat, iaitu mereka percaya bahawa segala kejadian alam ini adalah dari Nur Muhammad (dijadikan dari Nur Muhammad). Sumber mereka adalah hadith palsu. Tapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar hadith.
Inilah juga yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an ini, iaitu mereka memalsukan hadith dan mengatakan ianya adalah dari Allah.
Maka, berhati-hatilah dengan amalan-amalan yang tidak diambil dari amalan yang sahih dari Nabi Muhammad. Ada amalan yang mengandungi elemen syirik. Sia-sia sahaja kita amalkan. Bukan memberi pahala kepada kita, tapi memasukkan kita ke dalam neraka pula.
Contohnya, amalan Selawat Syifa’. Amalan itu bukan dari Nabi. Dan dari lafaz Selawat Syifa’ itu, meletakkan kuasa menyembuh pada Nabi dan ini tentunya syirik dengan jelas.
Padahal cara selawat telah diajar dalam kitab-kitab hadith. Bukan itu sahaja, sebenarnya dalam selawat-selawat yang diajar Nabi itu, tidak ada perkataan ‘Sayyidina’ sebelum nama Nabi Muhammad. Tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith yang muktabar yang menggunakan lafaz ‘sayyidina’ sedemikian.
Perkataan ‘Sayyidina’ itu maknanya adalah ‘penghulu’. Panggilan itu tidak sesuai digunakan kepada Nabi Muhammad. Bayangkan kalau sultan melawat rumah kita, kita panggil dia dengan gelaran ‘penghulu’. Itu pun sudah tidak sesuai. Tapi ramai dari kalangan kita yang meletakkan gelaran yang tidak sesuai itu kepada Nabi kita sendiri. Padahal gelaran yang diberi Allah di dalam Al-Qur’an kepada Nabi adalah ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ sahaja.
Kenapa mereka menulis kitab yang tidak benar dan mengatakan pula ianya adalah dari Allah?
لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا
Supaya mereka dapat tukar yang mereka tulis itu dengan upah yang sedikit;
Mereka jual benda yang salah itu untuk mendapat upah dan habuan keduniaan. Juga kerana mereka mahukan pengaruh dan jadi tersohor dalam masyarakat dan disebut-sebut sebagai hebat. Dan ini adalah mudah kerana pengikut-pengikut yang jahil memang nakkan perkara yang mudah sahaja.
Pendeta Yahudi dulu memang tukar Taurat untuk ubah fatwa agama mereka. Supaya mereka mendapat bayaran. Kalau ada yang datang kepada mereka dengan meminta hukum, mereka akan beri hukum ikut kehendak orang yang bertanya. Dan kemudian mereka diberi upah.
فَوَيْلٌ لَّهُمْ مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ
Maka celaka besarlah bagi mereka daripada apa yang mereka tulis dengan tangan-tangan mereka;
Ini adalah celaka yang kedua. Maka ini adalah penekanan dari Allah kerana teruk sangat apa yang mereka telah lakukan itu.
وَوَيْلٌ لَّهُمْ مِّمَّا يَكْسِبُونَ
Dan celakalah bagi mereka dari hasil yang mereka dapat;
Iaitu mereka menggunakan apa yang mereka tulis itu untuk dapat upah. Dan kemudian mereka mengajar pula untuk mendapat rezeki. Dan rezeki yang mereka dapat itu adalah haram. Ianya lebih haram lagi daripada riba. Dalam Al-Qur’an, ianya dipanggil ‘suhtun‘.
Ada golongan ustaz yang tak berani nak cakap perkara yang benar semasa mengajar. Mereka tidak berani tegur kesalahan yang dilakukan oleh anak murid mereka. Ini kerana takut nanti mereka tidak dipanggil mengajar lagi di masjid/surau itu. Kerana takut mereka tidak dapat bayaran mengajar lagi. Maka mereka sembunyikan kebenaran. Ini adalah kerana mereka takut periuk nasi mereka terganggu. Ini juga adalah salah.
Ayat 80: Ayat 80 – 89 adalah celaan ke atas Bani Israil kerana berbangga dan fanatik kepada bangsa keturunan. Allah menyebut janji-janji yang telah didustai kaum Yahudi:
1. Sembah Allah sahaja.
2. Berbuat baik kepada ibubapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, dirikan solat, zakat.
3. Jangan membunuh, mengusir orang dari kampungnya.
Ayat 80 ini adalah kata-kata anak-anak orang Pendeta, ulama atau pembesar golongan Yahudi.
Kita kena tahu yang banyak para Nabi adalah dari kalangan bani Israil. Selain dari Nabi, tentulah ramai tok guru dari kalangan mereka. Maknanya, mereka adalah keturunan Nabi dan orang alim yang banyak. Ini adalah suasana biasa dalam masyarakat mereka.
Kerana mereka banyak Rasul, Nabi dan ulama’, mereka rasa mereka manusia terpilih. Ini adalah tentang anak-anak mereka dan mereka sendiri yang ada sangkut paut dengan golongan ulama mereka. Mereka berbangga dengan keadaan itu. Mereka rasa mereka akan selamat.
وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
And they say, “Never will the Fire touch us, except for a few days.” Say, “Have you taken a covenant with Allah ? For Allah will never break His covenant. Or do you say about Allah that which you do not know?”
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”
وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ
Mereka berkata: “Kami tidak akan sekali-kali disentuh oleh api neraka”;
Mereka sangka kerana mereka dari golongan orang yang baik-baik, maka mereka akan terselamat dari api neraka. Mereka perasan sahaja. Mereka sangka mereka ‘umat pilihan’, ‘kekasih Allah’, sampaikan mereka tidak akan diazab dalam neraka.
Orang Islam pun sudah rasa macam ini. Mereka sangka kalau mereka anak ustaz, anak tok imam, anak guru tarekat, mereka sudah selamat. Mereka juga sangka yang apabila mereka sudah solat, sudah puasa, baca Al-Qur’an, tak minum arak dan makan babi, mereka sudah selamat dari neraka.
Mereka sangka begitu sebab mereka ada sedekah sedikit duit kepada masjid atau kepada orang miskin, mereka sudah selamat. Ini adalah kerana mereka tak belajar isi kandungan Al-Qur’an, maka mereka tak tahu berapa banyak lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini semua hasil dari tidak belajar kandungan Al-Qur’an dan agama dengan benar.
إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً
“melainkan hanya beberapa hari sahaja”;
Iaitu mereka kata mereka kalau mereka kena masuk neraka pun, ianya sekejap sahaja, dan ada yang kata selama 40 hari sahaja, iaitu selama Nabi Musa naik ke Bukit Thursina.
Di kalangan kita pun ada juga yang berfikiran macam ini. Ada yang berbangga dan merasa selamat kerana mereka keturunan yang baik-baik dari kalangan ahli agama. Mereka rasa mereka tidak akan masuk neraka. Masyarakat kita sekarang sudah jadi seperti masyarakat Yahudi yang diceritakan dalam ayat ini. Mereka merasa selamat dari api neraka hanya kerana mereka ada sangkut paut dengan ahli agama.
Orang Islam pun ada yang kata, “kalau masuk neraka pun, akhirnya kita akan masuk syurga juga”. Mereka macam tak kenal neraka. Mereka sangka senang sahaja kalau masuk neraka sekejap. Padahal, neraka itu tidak dapat dibayangkan azab di dalamnya. Kalau tak masuk tapi kena angin neraka sahaja sudah tak tahan. Sila rujuk Anbiya:46.
Adakah mereka rasa mereka kuat untuk menahan azab neraka walaupun hanya sesaat sahaja di dalamnya? Ini semua adalah kerana mereka tak belajar apakah yang Allah telah sebut tentang neraka di dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis. Mereka memang baca Al-Qur’an, tapi mereka baca sahaja, tapi tidak memahami azab neraka (sama seperti orang Yahudi awam).
قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدًا
Kata kepada mereka: “Adakah kamu ambil perjanjian yang kukuh dengan Allah?”
Allah suruh tanya: “Ada tak kamu buat perjanjian dengan Allah yang kamu takkan masuk neraka, atau kamu hanya masuk neraka sekejap sahaja? Kalau ada, kena berikan bukti dan dalil.”
Sebenarnya kita tak akan tahu adakah kita akan masuk syurga atau neraka. Kita takkan tahu adakah kita akan duduk lama atau tidak dalam neraka kalau kita masuk neraka. Semoga Allah selamatkan kita dari neraka.
Allah suruh Nabi yang cakap (قُلْ) dengan mereka yang berpandangan salah ini kerana Allah marah sangat dengan mereka. Allah tak nak bercakap dengan mereka terus. Allah wakilkan Nabi sahaja untuk cakapkan. Allah juga ajar baginda bagaimana untuk berhujah dengan mereka itu.
فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ
Allah tidak akan mungkin mungkir dengan janjiNya;
Tidak sekali-kali Allah akan mungkir janjiNya. “Kalau kamu memang ada surat perjanjian dengan Allah, Allah takkan mungkir janji itu.” Tapi malangnya, tidak ada perjanjian sebegini antara manusia dan Allah.
Tidak ada orang yang Allah kata Dia akan selamatkan orang itu hanya kerana dia keturunan orang yang baik-baik. Kepada Fatimah sendiri Nabi kata baginda tak dapat tolong kalau anaknya itu ada buat salah. Kalau anak sendiri Nabi tidak dapat tolong, apatah lagi kita.
أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Atau kamu mengatakan terhadap Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu?
“Atau kamu memandai sahaja? Kamu memandai-mandai sahaja kata begini dan begitu tanpa sandaran dalil?”
Ini adalah satu contoh sangkaan-sangkaan yang manusia buat seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Apabila tak faham agama, mereka akan buat sangkaan-sangkaan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 21 Disember 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain