A’raf Ayat 157: Ini adalah sambungan tentang sifat-sifat orang yang layak mendapat nikmat yang khusus daripada Allah ﷻ.
الَّذينَ يَتَّبِعونَ الرَّسولَ النَّبِيَّ الأُمِّيَّ الَّذي يَجِدونَهُ مَكتوبًا عِندَهُم فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ يَأمُرُهُم بِالمَعروفِ وَيَنهىٰهُم عَنِ المُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ الخَبٰئِثَ وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَالأَغلٰلَ الَّتي كانَت عَلَيهِم ۚ فَالَّذينَ ءآمَنوا بِهِ وَعَزَّروهُ وَنَصَروهُ وَاتَّبَعُوا النّورَ الَّذي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those who follow the Messenger, the unlettered prophet, whom they find written [i.e., mentioned] in what they have of the Torah and the Gospel, who enjoins upon them what is right and forbids them what is wrong and makes lawful for them the good things and prohibits for them the evil and relieves them of their burden¹ and the shackles which were upon them.² So they who have believed in him, honored him, supported him and followed the light which was sent down with him – it is those who will be the successful.
- Difficulties in religious practice.
- i.e., extreme measures previously required for repentance, and retribution without recourse to compensation.
MALAY
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
الَّذينَ يَتَّبِعونَ الرَّسولَ النَّبِيَّ الأُمِّيَّ
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah Nabi yang Ummi,
Rahmat yang khas itu bukan orang yang mengikut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang akan dapat. Ia juga akan diberikan kepada orang yang mengikut Rasul akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ. Maka, bukan sahaja mesti beriman dengan Allah ﷻ, tetapi mesti juga beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan mesti mengikut ajaran baginda.
Di sini diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Nabi lagi Rasul. Apabila diletakkan bersebelahan sebegini, maka tentu ada bezanya antara ‘Nabi’ dan ‘Rasul’. Ini kita telah pernah terangkan dalam ayat 59 sebelum ini. Allah ﷻ menysebut Rasul dahulu kerana Rasul lebih tinggi kedudukannya. Semua Rasul adalah Nabi, tetapi tidaklah semua Nabi itu adalah Rasul.
Selain itu, diberitahu di sini yang salah satu sifat Nabi ﷺ itu adalah ummiy. Memang banyak tempat sudah sebut tentang sifat ‘ummiy’ Nabi ﷺ ini dan menjadi perbincangan yang panjang lebar. Antaranya di dalam Jumuah: 2
هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka
Lafaz ‘ummi’ selalunya diterjemahkan: ‘tidak pandai menulis dan membaca’. Itu adalah satu pendapat. Namun begitu ada lagi pendapat yang lain berkenaan maksud ummi ini. Selalunya tidak boleh membaca dan menulis itu adalah kualiti yang lemah untuk kita pada waktu sekarang. Akan tetapi ia tidaklah menghina Rasulullah ﷺ. Ini kerana walaupun baginda tidak boleh menulis dan membaca, kita tahu yang kejayaan baginda di dunia ini pun sudah amat hebat.
Pendapat yang masyhur mengatakan Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis sampai ke hujung hayat baginda. Disebabkan baginda tidak tahu membaca dan menulis itulah, maka ini secara automatik telah menolak hujah-hujah manusia yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah menulis sendiri Al-Qur’an di mana baginda kononnya telah mencedok daripada kitab-kitab yang lain. Maka ini menjadi hujah kemukjizatan Al-Qur’an. Ia pasti datang daripada Allah ﷻ kerana Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu menulis sendiri Al-Qur’an itu.
Ada juga pendapat lain yang mengatakan kehidupan Nabi ﷺ terbahagi kepada dua period: ‘sebelum menjadi Nabi’ dan ‘selepas menjadi Nabi’. Memang sebelum menjadi Nabi baginda tidak boleh membaca, tetapi selepas dilantik menjadi Nabi, bagi terus boleh membaca dan menulis dengan kuasa Allah ﷻ.
Dalil hujah tentang perkara ini adalah Ankabut: 48
وَمَا كُنتَ تَتۡلُواْ مِن قَبۡلِهِۦ مِن كِتَٰبٖ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَۖ إِذٗا لَّٱرۡتَابَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ
Dan kamu (Wahai Muhammad) tidak pernah membaca sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu)
Kedua-dua pihak menggunakan ayat yang sama. Pihak pertama menggunakan ayat ini sebagai dalil yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis sampai bila-bila. Akan tetapi bagi mereka yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ boleh membaca dan menulis selepas menjadi Nabi, mereka mengatakan yang ayat ini menyatakan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh membaca dan menulis ‘sebelum’ itu, bukannya sampai bila-bila.
Satu lagi pendapat bagi maksud ‘ummiy’ adalah merujuk kepada ummul qura’ (ibu bandar) iaitu Mekah. Penduduk Mekah adalah penjaga Kaabah maka mereka dengan bangga menggelarkan diri mereka ummiy bermaksud penduduk Mekah yang menjaga Kaabah.
Boleh juga rujuk ayat-ayat lain sebagai hujah iaitu di Ali Imran: 20, Baqarah: 78 dan Ali Imran: 75
الَّذي يَجِدونَهُ مَكتوبًا عِندَهُم فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ
yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka.
Sudah tertulis pun tentang Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi Akhir Zaman ini dalam kitab Taurat dan Injil. Ahli ilmu dalam kalangan Yahudi dan Nasara sudah lama tahu sifat-sifat Nabi Muhammad ﷺ. Ciri-ciri dan sifat baginda telah ditulis secara jelas di dalam kitab-kitab itu sampaikan tidak boleh ditolak lagi. Sebab itu apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, mereka sudah kenal. Ini kita tahu daripada Saff: 6
وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ
dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”
Cuma apabila kebanyakan daripada mereka tolak baginda, ia adalah atas sebab-sebab lain, bukanlah kerana mereka tidak kenal Nabi ﷺ. Mereka dengki kerana bangsa Arab yang menjadi Nabi Akhir Zaman dan bukannya dalam kalangan mereka. Sedangkan sifat-sifat baginda memang ada dalam kitab mereka seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ:
عَنْ أَبِي صَخْرٍ الْعُقَيْلِيِّ، حَدَّثَنِي رَجُلٌ مِنَ الْأَعْرَابِ، قَالَ: جَلَبْتُ جَلُوبَةً إِلَى الْمَدِينَةِ فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنْ بَيْعَتِي قُلْتُ: لَأَلْقِيَنَّ هَذَا الرَّجُلَ فَلْأَسْمَعَنَّ مِنْهُ، قَالَ: فَتَلَقَّانِي بَيْنَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ يَمْشُونَ، فَتَبِعْتُهُمْ فِي أَقْفَائِهِمْ حَتَّى أَتَوْا عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْيَهُودِ نَاشِرًا التَّوْرَاةَ يَقْرَؤُهَا، يُعَزِّي بِهَا نَفْسَهُ عَنِ ابْنٍ لَهُ فِي الْمَوْتِ كَأَحْسَنِ الْفِتْيَانِ وَأَجْمَلِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَنْشُدُكَ بِالَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ، هَلْ تَجِدُ فِي كِتَابِكَ هَذَا صِفَتِي وَمَخْرَجِي؟ ” فَقَالَ بِرَأْسِهِ هَكَذَا، أَيْ: لَا. فَقَالَ ابْنُهُ، إِي: وَالَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ إِنَّا لِنَجِدُ فِي كِتَابِنَا صِفَتَكَ ومَخرجك، وَإِنِّي أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ فَقَالَ: “أَقِيمُوا الْيَهُودِيَّ عَنْ أَخِيكُمْ”. ثُمَّ وَلِيَ كَفَنَهُ (6) وَالصَّلَاةَ عَلَيْهِ
Daripada Abu Sakhr Al-Uqaili, telah menceritakan kepadaku seorang lelaki Badwi yang menceritakan bahawa di masa Rasulullah ﷺ. dia pernah datang ke Madinah membawa sapi perahan. Setelah selesai jual belinya, lelaki Badwi itu berkata, “Aku sungguh akan menemui lelaki ini (maksudnya Nabi ﷺ), dan sungguh aku akan mendengar daripadanya.” Lelaki Badwi itu melanjutkan kisahnya; lalu aku menjumpainya sedang berjalan di antara Abu Bakar dan Umar, maka aku mengikuti mereka berjalan hingga sampailah mereka kepada seorang lelaki Yahudi. Lelaki Yahudi itu sedang membuka kitab Taurat seraya membacanya, sebagai ungkapan rasa duka dan belasungkawanya atas anak lelakinya yang sedang menghadapi kematian; anak laki-lakinya itu adalah seorang pemuda yang paling tampan dan paling gagah. Maka Rasulullah ﷺ bertanya: Aku memohon kepadamu dengan nama Tuhan yang telah menurunkan kitab Taurat, apakah engkau menjumpai dalam kitabmu ini sifat dan tempat hijrahku? Lelaki Yahudi itu menjawab pertanyaan Nabi ﷺ hanya dengan isyarat gelengan kepala yang bererti ‘tidak’. Tetapi anak lelakinya yang sedang menghadapi kematian itu berkata, “Ya, demi Tuhan yang telah menurunkan kitab Taurat, sesungguhnya kami menjumpai di dalam kitab kami sifatmu dan tempat hijrahmu. Dan sesungguhnya aku sekarang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi (pula) bahawa engkau adalah utusan Allah.” (Kemudian anak orang Yahudi itu meninggal dunia). Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Singkirkanlah orang Yahudi ini daripada saudara kalian! Kemudian Nabi ﷺ menguruskan pengkafanan dan menyalati mayat anak lelaki Yahudi itu.
Hadith ini baik lagi kuat dan mempunyai syahid (bukti) yang menguatkannya di dalam kitab Sahih melalui hadith Anas.
Selain itu, Allah ﷻ telah beritahu kita juga di dalam Baqarah: 146 dan juga An’am: 20
الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.
Ini bukti yang jelas bagi kita, tidak perlu kita periksa dalam kitab mereka lagi. Kita kena terima bahawa ia sememangnya telah tertulis dalam kitab mereka. Ini kerana amat mustahil untuk mencari kitab asal mereka kerana ahli agama mereka telah lama mengubah isi kandungan kitab mereka itu.
Kitab Taurat dan Injil telah banyak diubah oleh ahli agama mereka. Akan tetapi ketika zaman Rasulullah ﷺ itu, pasti ia masih ada lagi. Kerana itulah kita tidak dengar lagi hujah daripada Yahudi dan Nasara pada zaman itu, yang mengatakan tidak ada disebut tentang baginda. Mereka senyap sahaja tentang perkara ini kerana ia memang ada seperti yang disebut seperti yang disebut oleh anak lelaki Yahudi itu.
Maka, di sini Allah ﷻ hendak mengingatkan ahli kitab, oleh kerana sudah ada dalam kitab mereka tentang baginda, maka mereka mestilah percaya kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ dan mesti mengikut ajaran itu. Janganlah berdalih lagi.
يَأمُرُهُم بِالمَعروفِ وَيَنهىٰهُم عَنِ المُنكَرِ
Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji;
Allah ﷻ meneruskan ayat ini dengan memberitahu sifat baginda dan tugas baginda. Baginda mengajak manusia kepada perkara yang makruf iaitu perkara yang disuruh oleh syariat: perkara yang dikenali sebagai baik oleh akal kita dan dikuatkan lagi dengan dalil dalam syariat.
Bukan itu sahaja, baginda juga mencegah munkar, iaitu perkara yang memang akal tidak kenal sebagai baik dan dilarang pula di dalam syariat: perkara yang tidak dikenali dalam syariat sebagai baik. Atau, ada terdapat larangan di dalam wahyu.
Oleh itu, amalan bid’ah sebenarnya adalah amalan munkar kerana ia tidak ada dalam syariat. Hanya akal orang jahil sahaja yang mengatakan ia baik. Akan tetapi ia tidak tidak ada disambut oleh wahyu dan amalan itu tidak pernah diiktiraf oleh wahyu. Memang Nabi ﷺ sudah melarang kita melakukan perkara bid’ah. Cuma memang ia perkara yang agak halus untuk difahami dan kerana itu ramai yang tidak dapat membezakan antara Sunnah dan Bid’ah.
Oleh sebab itu tugas Nabi ﷺ adalah mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan. Perkara kebaikan yang paling utama Nabi ﷺ ajak adalah kepada mengenal Allah ﷻ dan mengamalkan tauhid. Manakala perkara munkar yang utama Nabi ﷺ larang adalah syirik. Maka kita sebagai pengikut kepada ajaran baginda pun kenalah meneruskan kerja ini. Mana yang kita tahu dalam hal agama, kita ajak manusia dan menegur kalau mereka melakukan kesalahan. Inilah yang kita kena lakukan dan banyak dijelaskan dalam Al-Qur’an dan Hadith.
Oleh hal yang demikian, amar ma’ruf nahi munkar ini sebenarnya adalah kerja dakwah. Ia bukan hanya mengajak kepada melakukan ibadah seperti salat sahaja akan tetapi ia lebih lagi daripada itu. Kerana itulah ibadah salat hanya diwajibkan setelah sepuluh tahun kenabian. Sedangkan perkara pertama yang Nabi ﷺ ajar kepada para sahabat dan yang Nabi ﷺ ajak dan tegur adalah tentang tauhid dan syirik.
Namun begitu, kita semua sedia maklum sememangnya kerja dakwah ini bukan senang kerana orang yang jahil akan marah apabila kita menegur mereka. Mereka kalau diajak untuk salat sahaja, tidak ada masalah kerana itu mereka mampu buat. Akan tetapi apabila kita tegur mereka yang buat perkara syirik dan bid’ah, ramai yang akan melenting. Ini kerana hati mereka sudah terikat dengan fahaman syirik dan amalan bid’ah. Kita pula yang kena marah apabila tegur mereka, bukan? Mereka kata: “Kalau tak mahu buat, diam sahajalah”. Namun begitu kita tetap kena tegur, kerana Allah ﷻ suruh kita cegah dan tegur. Jika kita tidak tegur, maka kita pula yang salah.
Kalau mereka tidak mahu terima, itu hal mereka, tetapi kita tetap kena tegur dan jalankan tugas kita. Jangan berhenti kalau kena marah sekali dua. Mereka yang melakukan amalan syirik dan bid’ah itu adalah kerana mereka jahil, tidak tahu; maka kalau kita tidak tegur dan ingatkan mereka, siapa lagi? Tidakkah kita kasihan kepada mereka?
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ الخَبٰئِثَ
dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk;
Allah ﷻ hendak beritahu Bani Israel bahawa Nabi Muhammad ﷺ ini mengajak kepada kebaikan sebenarnya, namun kenapa degil sangat untuk mengikutinya? Malah bukan itu sahaja, baginda juga membawa kebaikan kepada mereka di mana baginda menghalalkan semua perkara yang baik yang sebelum ini diharamkan kepada Bani Israel dan Musyrikin. Ini kerana perkara yang mereka haramkan atas diri mereka itu sebenarnya adalah halal. Mereka sahaja yang telah tertipu dengan syaitan dan ahli agama mereka yang telah merosakkan agama.
Oleh itu, Allah ﷻ beritahu yang perkara itu halal dan disampaikan melalui Nabi Muhammad ﷺ. Antara perkara yang mereka haramkan untuk diri mereka sedangkan ia adalah halal, adalah dari segi makanan di mana mereka mengamalkan pantang memantang, yang juga selalu diamalkan oleh masyarakat kita. Ramai yang suka berpantang atas perkara yang halal, dan ini adalah salah dan termasuk perkara syirik kerana mengambil alih tugas Allah ﷻ.
Maksudnya, Nabi Muhammad ﷺ menghalalkan bagi mereka apa yang dahulunya mereka haramkan atas diri mereka sendiri —seperti bahiirah, saaibah, wasilah, ham, dan lain-lainnya yang sejenis, yang dahulu mereka ada-adakan untuk mempersempitkan diri mereka sendiri. Jenis-jenis unta yang mereka haramkan ini ada diterangkan dalam Maidah: 103.
Selain daripada itu, baginda juga menghalalkan makanan yang diharamkan kepada Bani Israel sebagai hukuman terhadap mereka. Contohnya lemak haiwan telah diharamkan kepada mereka. Maka sekarang Rasulullah ﷺ telah ditugaskan untuk memberitahu kepada mereka yang ia telah dihalalkan semula. Rugilah tidak dapat makan lemak selama hari ini, sedap tu!
Baginda juga mengharamkan benda yang memang buruk pun. Ia adalah perkara yang tidak elok sedangkan itu dihalalkan oleh puak sesat. Sebagai contoh, pengharaman arak dan judi kepada manusia. Semua ini ada dalam syariat dan ia dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Ali ibnu Abu Talhah رضي الله عنه telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘segala yang buruk’ ialah seperti daging babi, riba, dan semua barang haram yang dahulunya mereka halalkan, iaitu makanan-makanan yang diharamkan oleh Allah ﷻ.
وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَالأَغلٰلَ الَّتي كانَت عَلَيهِم
dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.
Allah ﷻ hendak beritahu kepada Bani Israel itu yang Nabi Muhammad ﷺ ini adalah kebaikan kepada mereka. Baginda membebaskan mereka daripada belenggu dan meringankan syariat kepada mereka. Maka kenapakah bersikap degil sangat? Kenapa tidak pandai menilai?
Kalimah إصر dari segi bahasa adalah beban yang kalau ditanggung menyebabkan seseorang itu tidak dapat bergerak sebab berat sangat. Kalimah أغلال (jamak bagi غل) pula bermaksud belenggu seperti gari yang mengikat tangan dan tengkuk penjenayah. Kedua-dua perkara ini dikaitkan dengan hukuman kepada penjenayah, bukan? Maknanya ia adalah sesuatu yang berat ke atas mereka dan sekarang baginda melepaskan mereka daripadanya.
Maksudnya antara tugas baginda juga adalah menghilangkan bebanan hukum syariat yang ada ke atas ahli kitab sebelum itu. Syariat yang dibawa oleh baginda tidak seperti syariat sebelum itu. Syariat yang ada pada ahli kitab sebelum itu adalah bebanan dan belenggu seperti yang dikenakan kepada hamba abdi.
Sebagai contoh syariat mereka yang berat adalah:
Pakaian yang terkena najis tidak boleh dibasuh. Ia hendaklah dipotong.
Mereka tidak boleh memakan harta ghanimah
Mereka tidak dibenarkan memburu dan bekerja pada hari Sabtu (hari Sabbath)
Tubuh yang terlibat dengan dosa hendaklah dipotong
Pembunuh mesti dihukum dengan dibunuh, tidak kira sama ada pembunuhan itu sengaja ataupun tidak. Mereka tidak ada hukum bayar diyat.
Ini terjadi kerana agama mereka telah rosak. Apabila agama telah rosak, maka ia menjadi susah kerana ditambah dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Kadangkala, mereka rasa ia adalah baik. Namun selalunya, ia hanyalah menambahkan masalah sahaja. Sama juga dengan umat Islam: asalnya syariat mudah sahaja untuk diamalkan, tetapi lama kelamaan apabila ditokok tambah dengan perkara-perkara baru dalam agama, maka agama menjadi susah. Sebagai contoh, ada yang kata kalau beli makanan di kedai, kena pastikan orang itu menutup aurat atau tidak. Sedangkan ini tidak diberatkan kepada kita.
Maka ahli bid’ah itu sama sahaja perangai dengan Bani Israel yang degil itu. Kita ajak kepada amalan-amalan sunnah yang senang diamalkan. Namun golongan ahli bid’ah itu suka pula membuat perkara-perkara yang mengarut yang tidak ada di dalam syariat. Mereka sangka dapat pahala, namun sebenarnya mereka dapat dosa sahaja. Penat sahaja beramal tetapi dapat dosa.
Nabi ﷺ datang dengan membawa kemudahan dan toleransi, seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan melalui berbagai jalur daripada Rasulullah ﷺ:
بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ”
Aku diutus dengan membawa agama yang hanif lagi penuh toleransi.
(Riwayat Ahmad)
Lihatlah umat Islam sekarang, sudah terlalu banyak pertambahan dalam agama. Kita lihat sahaja majlis perkahwinan, sudah bermacam-macam perkara yang ditambah sampai menyusahkan umat yang hendak menikah dengan halal. Sekarang, hendak berkahwin pun susah sangat, sampaikan mereka yang hendak berkahwin terpaksa menangguhkan niat baik mereka itu kerana terlalu banyak persediaan yang tiada keperluan dan wajib pun untuk disiapkan. Kebiasaannya yang suka mengikut keperluan adat sehingga memakan perbelanjaan yang besar.
Ini tidak sepatutnya terjadi kerana ada di antara mereka yang telah mencapai hukum wajib untuk menikah kerana hormon sudah memuncak. Akibatnya, ada yang melampiaskan kehendak hormon mereka itu dengan cara yang haram. Lihatlah apa yang masyarakat telah lakukan sehingga zina berleluasa. Disebabkan benda halal susah sangat untuk dilakukan, maka mereka carilah benda yang haram dan lebih mudah, bukan?
Itu dalam hal kehidupan. Dalam hal ibadat pun banyak juga. Sebagai contoh, diajar cara melafazkan niat yang susah untuk memulakan ibadat salat dan sebagainya yang sebenarnya tidak diajar pun dalam syarak. Sudahlah diajar lafaz niat, kemudian pula ketika takbir itu, dikehendaki mengingati semula niat itu (susun dalam kepala) yang mustahil dapat dilakukan sehinggakan susah orang hendak memulakan salat. Sampai berkali-kali kena takbir. Akibatnya ramai orang Melayu ada penyakit was-was sebab diajar benda-benda pelik sebegini.
Disebabkan lafaz niat itu susah untuk dilafazkan, tidak menghairankan jika ada orang yang tidak buat ibadat kerana tidak tahu niat: “Kenapa tak solat jamak dan qasar sahaja pakcik?” Ada yang jawab: “Sebab pakcik tak tahu niat….”. Sedangkan lafaz niat dan susunan niat dalam hati itu tidak perlu pun kerana niat adalah ‘lintasan dalam hati’ yang menjadi ‘azam’. Bila kita hendak buat sahaja, terus sudah ada niat sebenarnya. Kenapakah perlu diajar benda pelik yang tidak ada dalam agama?
Contoh lagi, ada yang menyangka sekiranya seseorang itu memeluk Islam, maka dia harus menukar nama. Ini juga menyusahkan, kerana mesti melalui proses yang berliku-liku. Sedangkan tidak perlu pun untuk menukar nama. Apakah nama Saidina Umar, Abu Bakr dan sebagainya sebelum mereka masuk Islam? Nama itulah juga, dan tidaklah mereka menukar nama kepada ‘nama Islam’ pula. Pengecualian diberikan kepada mereka yang bernama asal itu yang ada melambangkan kesyirikan atau nama yang buruk, maka nama-nama yang sebegitu mestilah ditukar.
Oleh sebab itu, ayat ini memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah rahmat kepada mereka yang meringankan beban yang ditanggung oleh Bani Israel. Ayat ini bertepatan dengan firman-Nya dalam surah yang lain:
{رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ}
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. [Al-Baqarah: 286]}
فَالَّذينَ ءآمَنوا بِهِ
Maka orang-orang yang beriman kepadanya,
Maka, ahli kitab sudah mengenali Nabi ﷺ sebenarnya dan mereka mesti beriman kepada baginda dan apa yang baginda bawa. Namun begitu tentulah ini bukan perkara yang mudah kerana mereka terpaksa meninggalkan agama mereka yang lama. Akan tetapi ada kelebihan kepada mereka yang sanggup beriman kepada baginda.
وَعَزَّروهُ
dan memuliakannya,
Selain daripada beriman kepada baginda, mereka juga mesti menghormatinya dan memuliakan baginda. Ini kerana kedudukan baginda tidaklah sama seperti kedudukan manusia biasa. Kita memuliakan baginda bukanlah sama seperti kita memuliakan orang yang ada pangkat dalam kerajaan atau dalam tentera. Akan tetapi kita mesti memuliakan baginda di samping rasa kasih kepada baginda.
Ini kerana kedudukan baginda amatlah tinggi dalam kalangan kita. Bagindalah Nabi, penghulu kita, pemimpin kita, bapa kita. Baginda mempunyai ilmu yang tinggi, bijaksana, mempunyai akhlak yang mulia dan sepatutnya baginda mendapat pujian daripada kita. Baginda telah berkorban terlalu banyak untuk menyampaikan agama Islam ini kepada kita. Maka kita juga amat terhutang budi kepada baginda. Kerana itulah kita diajar untuk Selawat.
Di dalam ayat-ayat lain juga disebut tentang perkara ini seperti di dalam Fath: 9
لِّتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَتُعَزِّروهُ وَتُوَقِّروهُ
supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya menghormatinya, dan membesarkannya
Di dalam Hujurat: 1-2 para sahabat dinasihati lagi:
يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُقَدِّموا بَينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسولِهِ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya
Sahl bin Abdullah رحمه الله mengatakan ayat ini bermaksud umat Islam tidak boleh bercakap sebelum baginda bercakap. Apabila baginda bercakap, semua mesti senyap dan dengar dengan teliti apa yang baginda sedang sampaikan. Di dalam ayat seterusnya,
يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَرفَعوا أَصوٰتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ أَن تَحبَطَ أَعمٰلُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.
Panggilan kepada Nabi ﷺ pun hendaklah menggunakan panggilan yang penuh kehormatan seperti disebut dalam Nur: 63
لّا تَجعَلوا دُعاءَ الرَّسولِ بَينَكُم كَدُعاءِ بَعضِكُم بَعضًا
Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).
Maka para sahabat amatlah menghormati baginda. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang semenjak kecil bersahabat dengan baginda, namun setelah baginda diangkat menjadi Nabi, beliau bercakap dengan suara yang amat perlahan, seolah-olah berbisik. Begitu jugalah dengan Saidina Umar رضي الله عنه yang melakukan perkara yang sama.
Para sahabat juga amat segan dengan baginda. Amru al As رضي الله عنه pernah menceritakan bagaimana beliau amat mengagungkan baginda sampaikan hendak melihat ke wajah baginda pun segan.
وَمَا كَانَ أَحَدٌ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا أَجَلَّ فِي عَيْنِي مِنْهُ وَمَا كُنْتُ أُطِيقُ أَنْ أَمْلَأَ عَيْنَيَّ مِنْهُ إِجْلَالًا لَهُ وَلَوْ سُئِلْتُ أَنْ أَصِفَهُ مَا أَطَقْتُ لِأَنِّي لَمْ أَكُنْ أَمْلَأُ عَيْنَيَّ مِنْهُ
“Dan kemudian tidak ada seorang pun yang lebih kucintai daripada Rasulullah ﷺ, dan tidak ada yang lebih agung di mataku daripada baginda. Tidak akan pernah aku memberanikan diri untuk melihat sekilas wajahnya kerana pengagungan kepadanya. Jika aku diminta untuk menggambarkannya, aku tidak mampu melakukannya, kerana aku belum melihatnya sepenuhnya.“
Urwah ibn Mas’ud رضي الله عنه pernah dihantar untuk melihat keadaan Rasulullah ﷺ sebagai wakil orang Quraisy. Urwah رضي الله عنه lantas menyaksikan betapa setianya para sahabat kepada baginda. Jika Rasulullah ﷺ berwudhu’, mereka segera ikut berwudhu. Ketika Rasulullah ﷺ meludah, mereka segera membersihkannya. Tidak ada sehelai rambut baginda yang jatuh melainkan mereka pasti memungutnya.
Lalu Urwah رضي الله عنه pun kembali kepada kaum Quraish lalu berkata, “Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya aku telah berkunjung kepada Kisra, Parsi, dan an-Najasyi di istana-istana mereka, tapi tak kudapati seorang raja pun yang sayangnya melebihi sayangnya Muhammad terhadap pengikutnya, sehingga pengikutnya menyerahkan apa saja yang diminta olehnya. Buanglah prasangka buruk kalian.”
Lihatlah hebatnya para sahabat menghormati baginda dan teramat sayang kepada baginda. Akan tetapi, dalam mereka sayang baginda itu, tidaklah mereka sambut Maulid Nabi. Orang sekarang sahaja perasan lebih sayang kepada baginda daripada para sahabat. Pelik bin Ajaib kelakuan orang sekarang yang jahil.
وَنَصَروهُ
dan juga menolongnya,
Selain daripada itu, mereka juga hendaklah membantu baginda dalam menjalankan misi baginda. Ini penting kerana baginda memerlukan bantuan daripada manusia juga. Para sahabat dapat membantu baginda secara fizikal. Akan tetapi kita ini boleh juga membantu baginda menyampaikan agama baginda walaupun baginda tiada. Ia adalah seperti membantu baginda juga.
Maka kita hendaklah menegakkan agama sunnah di mukabumi ini dengan membantu baginda melalui menyampaikan ajaran Sunnah kepada masyarakat. Kerana itulah ajaran baginda. Kita hendaklah mempertahankan agama ini daripada dicemari oleh amalan-amalan bid’ah kerana itu semua merosakkan agama yang baginda telah bersusah payah sampaikan kepada umat. Walaupun ramai orang tidak suka dan menghalang kita, kita mestilah tetap melakukannya. Semoga Allah ﷻ membalas segala usaha kita ini dengan kebaikan.
وَاتَّبَعُوا النّورَ الَّذي أُنزِلَ مَعَهُ
serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an),
Mereka hendaklah mengikut ‘cahaya’ yang diberikan kepada baginda. Cahaya yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an kerana sebagaimana cahaya menerangi kegelapan, begitu juga cahaya wahyu Al-Qur’an itu dapat menerangi kegelapan syirik.
Cahaya juga tidak memerlukan bukti luaran kerana kita boleh nampak cahaya itu terang benderang. Tidak perlu untuk diberitahu itu cahaya kerana semua boleh nampak dengan jelas. Maka begitu juga dengan Al-Qur’an yang dengan sendirinya kita boleh faham kehebatannya kalau kita memahaminya. Maknanya kita tidak perlu pun orang luar untuk menyatakan kebenarannya kerana apabila kita membaca sendiri pun kita boleh nampak kelebihannya. Yang tidak faham maksud Al-Qur’an pun, mereka akan terpesona apabila mendengarnya dibacakan. Banyak sudah video bangsa asing yang diperdengarkan dengan Al-Qur’an dan reaksi mereka memang takjub dengannya.
Sebelum ini telah disebut beriman dengan Rasulullah ﷺ dan sekarang disebut tentang Al-Qur’an pula. Memang beginilah ajaran Sunnah yang meletakkan kepentingan kepada Rasulullah dan Al-Qur’an. Kita belajar tafsir Al-Qur’an dan kita kena ikut ajaran Rasulullah ﷺ dengan mempelajari hadith-hadith (yang sahih).
أُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
mereka itulah mereka orang-orang yang berjaya.
Mereka yang dapat:
-
- beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ
- memuliakan baginda
- menolong baginda
- beriman dengan wahyu yang dibawa oleh baginda
Mereka yang boleh melakukan perkara di ataslah yang berjaya dunia dan akhirat. Apabila Allah ﷻ menambah kalimah هم di sini, ia adalah penekanan yang membawa maksud eksklusif. Ini adalah penambahan kerana kalimah أُولٰئِكَ sudah bermaksud ‘mereka’ dan kalimah هم juga bermaksud ‘mereka’. Maka ada dua kali kalimah ‘mereka’ digunakan di sini.
Al-falah adalah kejayaan yang didapati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Maknanya kenalah ada usaha. Kena ada usaha untuk belajar dan kemudian mengamalkan agama ini dan bukanlah dengan bergoyang kaki sahaja. Mereka yang dapat melepasi ujian untuk beriman itu akan berjaya dunia dan akhirat kerana semua perkara yang disebut itu adalah perkara-perkara yang susah untuk dilakukan.
Surah al-A’raf ini walaupun diturunkan di Mekah, tetapi ia sudah mengandungi ayat-ayat yang menyentuh tentang ahli Kitab kerana tidak lama lagi, Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat akan berhijrah ke Yathrib (Madinah) dan mereka akan bertemu dengan banyak Ahli Kitab di sana. Ahli-ahli Kitab itu diingatkan dengan ayat ini supaya beriman dengan Nabi dan hendaklah memuliakan serta membantu baginda. Jangan buat tidak tahu sahaja sedangkan mereka sudahpun diberikan ilmu tentang agama dan tentang Nabi Akhir Zaman itu.
Habis Ruku’ 19 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 11 Mac 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan