Tafsir Surah al-Fath Ayat 4 – 9 (Sakinah kepada orang mukmin)

Ayat 4:

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمٰنًا مَّعَ إيمٰنِهِم ۗ وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَكانَ اللهُ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent down tranquility into the hearts of the believers that they would increase in faith along with their [present] faith. And to Allāh belong the soldiers of the heavens and the earth, and ever is Allāh Knowing and Wise.

(MELAYU)

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

 

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin

Allah ﷻlah yang memasukkan ‘sakinah’ ke dalam perasaan orang-orang mukmin yang rasa tidak puas hati kerana mereka tidak dapat mengerjakan Umrah pada tahun enam Hijrah itu.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, mereka memang rasa terkilan sangat kerana tidak dapat menunaikan Umrah setelah jauh perjalanan ke Mekah. Tambahan pula mereka nampak terma Perjanjian Hudaibiyah itu berat sebelah, maka itu telah menambah sakit hati mereka. Tetapi Allah ﷻ beri ketenangan ke dalam hati mereka.

Sakinah itu diberikan kepada mereka kerana mereka taat dan patuh kepada Rasulullah ﷺ. Sehingga mereka boleh menerima sahaja apa dugaan dan cubaan. Mereka mungkin tidak dapat terima dalam akal dan hati mereka dengan keputusan yang telah dibuat, tetapi kerana arahan itu dari Rasulullah ﷺ, maka mereka terima juga. Kerana mereka taat itu, maka perasaan tidak puas hati dalam diri mereka itu Allah ﷻ hilangkan dengan Allah ﷻ isikan dengan sakinah dariNya.

Jadi ini adalah berita gembira kepada para sahabat yang lain. Mereka akhirnya mengalah dengan apa yang Nabi ﷺ arahkan walaupun mereka tidak nampak lagi kenapa begitu yang terjadi dalam perjanjian itu.

Sakinah ini juga diberikan kepada manusia yang sanggup ikut syariat dan sunnah. ‘Sakinah’ bukan ketenangan biasa-biasa. Ianya adalah anugerah dari Allah ﷻ kepada hamba yang sanggup ikut syariat. Ketenangan biasa macam kenyang itu, orang kafir pun dapat.

Tetapi sakinah ini lain kerana ianya adalah bentuk ketenangan hasil dari ketaatan. Ia juga adalah alamat orang itu ahli syurga. Mereka itu tenang sahaja dalam kehidupan mereka. Mereka telah mendapat bayangan ahli syurga.

Allah ﷻ memberi isyarat bahawa ketidakpuasan hati mereka itu amat dalam sampaikan Allah ﷻ menggunakan perkataan memasukkan في (ke dalam) di dalam ayat ini sedangkan selalunya digunakan perkataan على (ke atas). Maksudnya, sakinah itu dimasukkan terus ke dalam hati mereka. Tidak sama kalau gunakan kalimah في dan على. Ia memberi kesan yang berbeza. Ini seolah-olah ada penyakit kulit yang boleh di sapu di atas kulit sahaja, tetapi ada ubat yang perlu dicucuk ke dalam tubuh badan kerana ianya sudah teruk sangat.

Tetapi, yang dapat sakinah ini adalah orang mukmin sahaja. Orang munafik tidak dapat. Dan yang pergi dalam Umrah itu adalah mereka yang mukmin sahaja, yang munafik memang tidak ikut. Tetapi dalam kisah peperangan, ada ayat yang menyebut orang mukmin dapat sakinah dan orang munafik tidak dapat.

 

لِيَزدادوا إيمٰنًا مَّعَ إيمٰنِهِم

supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).

Supaya iman mereka ditambah di atas iman mereka yang memang sudah ada. Mereka memang sudah mempunyai iman yang tinggi kerana mereka telah sanggup untuk pergi ke Mekah pada tahun enam Hijrah itu, walaupun mereka tahu yang ianya bahaya. Bayangkan mereka baru sahaja berperang dengan puak Quraisy itu dan pada tahun berikutnya mereka pergi ke tempat musuh itu pula.

Tetapi kerana mereka percaya dengan Nabi Muhammad ﷺ maka mereka dengan rela hati telah pergi juga untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu. Dan kali ini mereka perlu dengar kata Nabi Muhammad ﷺ lagi sekali untuk pulang ke Madinah dengan aman (walaupun tidak dapat mengerjakan Umrah). Jadi kerana mereka percaya sekali lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka Allah ﷻ tambah lagi iman kepada iman mereka yang telah ada.

Kita telah pernah sebutkan bahawa tiga surah yang berangkai ini (Surah Muhammad, Fath dan Hujurat) adalah arahan khusus bagaimana seorang Muslim patut bertindak terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu kepercayaan yang penuh dengan Nabi Muhammad ﷺ dan redha dengan keputusan yang telah diberikan oleh baginda.

Maka Allah ﷻ telah isikan ‘Sakinah’ ke dalam hati mereka kerana berat bagi mereka untuk pulang ke Madinah begitu saja.

Ayat ini dijadikan dalil oleh Imam Bukhari dan para imam lainnya yang menunjukkan bahawa iman itu ada tingkatan-tingkatannya. Tidak sama iman pada mula-mula belajar dengan setelah belajar; tidak sama iman orang yang tidak diuji dengan iman orang yang melepasi ujian. Iman itu turun dan naik dan kalau kita tetap berusaha untuk taat, Allah ﷻ akan tambah iman itu.

 

وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi

Ini adalah Jumlah Mu’taridah. Iaitu ada penambahan dari Allah ﷻ yang tidak berkenaan dengan rentetan ayat. Ini kerana Allah ﷻ hendak beritahu sesuatu: Allah ﷻ boleh gunakan apa sahaja untuk mengalahkan musuh. Senang sahaja bagi Allah ﷻ hendak kalahkan musuh Islam. Oleh itu kita ikut sahaja kehendak Allah ﷻ, akan beres segala urusan kerana Allah ﷻ miliki semua tentera langit dan bumi.

Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang hanya Dia sahaja yang memiliki tentera yang di langit dan di bumi. Tentera yang di langit adalah para malaikat dan tentera di bumi adalah para sahabat dan orang mukmin. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa mereka adalah salah satu dari tentera-tenteraNya dan oleh kerana itu, apabila Allah ﷻ suruh mereka berundur maka mereka kena berundur. Maka para sahabat kena taatlah dengan arahan Rasulullah untuk pulang ke Madinah dengan aman.

 

وَكانَ اللهُ عَليمًا حَكيمًا

dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Semua keputusan yang Allah ﷻ telah tetapkan itu adalah dari kebijaksanaan Allah ﷻ maka ianya bukan untuk dipersoalkan. Sebagai seorang hamba, kena taat kepada perintah Allah ﷻ.

Dan selain dari itu, kita kena yakin bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan, itu adalah untuk kebaikan. Kerana Allah ﷻ Maha Tahu perkara yang kita tidak tahu. Sebagai contoh, para sahabat tidak tahu yang Perjanjian Hudaibiyah itu sebenarnya mempunyai kebaikan yang besar.

Dan kita sebagai hamba kena yakin yang Allah Maha Bijaksana dalam mengatur segala perancanganNya. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Kerana kita tidak sentiasa nampak kebaikan pada rancangan Allah ﷻ itu, sebaliknya kita kena percaya sahaja.

Allah ﷻ boleh beri taufik kepada umat Islam sama ada dengan perang atau tidak. Tidak semestinya kena perang baru dapat kejayaan. Dalam Perjanjian Hudaibiyah, tidak terjadi peperangan, tetapi kejayaan masih diraih.


 

Ayat 5:

لِّيُدخِلَ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَيُكَفِّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم ۚ وَكانَ ذٰلِكَ عِندَ اللهِ فَوزًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] that He may admit the believing men and the believing women to gardens beneath which rivers flow to abide therein eternally and remove from them their misdeeds – and ever is that, in the sight of Allāh, a great attainment –

(MELAYU)

supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah,

 

لِّيُدخِلَ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ جَنّٰتٍ

supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam syurga

Allah ﷻ lakukan semua itu adalah untuk memasukkan orang-orang mukmin ke dalam syurga. Iaitu kepada mereka yang tetap taat dengan arahan Nabi ﷺ dan Allah ﷻ.

Lihat sekali lagi Allah ﷻ masukkan golongan Mukmin wanita di dalam surah yang berkenaan dengan perang, walaupun selalunya perang itu dikaitkan dengan lelaki sahaja. Walaupun wanita selalunya tidak pergi ke medan perang, tetapi tidaklah mereka tidak terlibat langsung dengan peperangan itu. Kerana apabila lelaki terlibat dengan perang, maka kesannya pun ada kepada wanita juga. Kerana yang berperang itu adalah ayah, abang dan anak-anak mereka juga.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Kemudian Allah ﷻ beri motivasi lagi dengan menceritakan tentang syurga itu. Pertama, maksud jannah itu sendiri sudah bermaksud ‘taman’. Kalau taman, tentulah indah, bukan?

Kemudian Allah ﷻ beritahu yang ada sungai pula di bawah taman-taman syurga itu. Ini amat hebat sekali, tambahan pula kepada orang yang jarang dapat air yang banyak seperti bangsa Arab itu. Dan kalau kita yang hidup zaman moden ini pun, kalau tempat tinggal ada air seperti air laut, air kolam, tasik, sungai, air terjun dan sebagainya, itu adalah tempat tinggal yang hebat, bukan?

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya

Ini satu lagi kelebihan dalam syurga. Mereka bukan duduk sekejap sahaja, tetapi akan kekal selama-lamanya di dalam syurga itu. Kerana kalau duduk sekejap sahaja, tentulah kurang nikmatnya.

Sebagai contoh, kalau kita duduk dalam hotel yang paling mahal dalam dunia pun, ia kurang nikmat kerana kita tahu yang kita akan kena tinggalkan hotel itu juga selepas beberapa hari. Tetapi kalau kita tahu yang kita akan kekal dalam kenikmatan selama-lamanya, tentu menambah nikmat itu lagi. Kerana tidak ada kerisauan untuk kita lagi. Kerana kita sudah ada tempat tinggal yang tetap.

Bukankah sifat manusia memang mahukan tempat tinggal yang tetap? Kerana itulah manusia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk beli rumah sendiri – tak cukup kalau menyewa sahaja. Kerana kalau rumah sendiri, ia memberi keselesaan yang mereka akan kekal di situ (padahal bukan kekal pun kerana nanti akan mati juga). Maka Allah ﷻ gunakan sifat manusia yang sukakan kekekalan ini dengan memberitahu yang rumah mereka di dalam syurga itu adalah kekal selama-lamanya.

 

وَيُكَفِّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم

dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka.

Lihat bagaimana Allah ﷻ gunakan kalimah lain untuk kesilapan Rasulullah ﷺ iaitu ذنب dan kalimah yang lain digunakan untuk orang mukmin iaitu سَيِّئَاتِ. Jadi memang ada beza antara ذنب dan سوء. Memang kalau kesilapan yang Nabi ﷺ buat bukanlah dosa, tetapi kalau kesalahan yang dilakukan oleh manusia lain, ianya memang dosa.

Jadi Allah ﷻ jadikan ujian kepada manusia untuk taat kepada Nabi ﷺ itu dan kalau mereka lepasi ujian itu, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan dihapuskan dosa-dosa mereka.

 

وَكانَ ذٰلِكَ عِندَ اللهِ فَوزًا عَظيمًا

Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah,

Itulah kelebihan yang sepatutnya dikejar oleh manusia, bukannya kejayaan di dunia. Oleh itu Allah ﷻ mengingatkan orang mukmin, jangan kamu kejar sangat kejayaan di dunia ini sedangkan fath (kejayaan) sebenarnya yang kamu hendak cari adalah kejayaan di akhirat kelak.

Digunakan kalimah فَوز dalam ayat ini iaitu bermaksud kejayaan dapat melepasi bahaya. Kerana mereka dapat lepas dari dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka semuanya telah diampunkan. Kalau dosa diampunkan, buat apa lagi nak masuk neraka?


 

Ayat 6: Ini pula adalah tentang orang yang Allah ﷻ tidak beri sakinah kepada mereka kerana dalam hati mereka tidak ada kepercayaan kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Mereka ini jenis orang yang tidak mahu taat kepada wahyu.

وَيُعَذِّبَ المُنٰفِقينَ وَالمُنٰفِقٰتِ وَالمُشرِكينَ وَالمُشرِكٰتِ الظّانّينَ بِاللهِ ظَنَّ السَّوءِ ۚ عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ ۖ وَغَضِبَ اللهُ عَلَيهِم وَلَعَنَهُم وَأَعَدَّ لَهُم جَهَنَّمَ ۖ وَساءَت مَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [that] He may punish the hypocrite men and hypocrite women, and the polytheist men and polytheist women – those who assume about Allāh an assumption of evil nature. Upon them is a misfortune of evil nature; and Allāh has become angry with them and has cursed them and prepared for them Hell, and evil it is as a destination.

(MELAYU)

dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam. Dan (neraka Jahannam) itulah sejahat-jahat tempat kembali.

 

وَيُعَذِّبَ المُنٰفِقينَ وَالمُنٰفِقٰتِ وَالمُشرِكينَ وَالمُشرِكٰتِ

dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan

Yang merasa azab dan susah hati dengan Perjanjian Hudaibiyah ini adalah golongan munafik dan golongan musyrikin. Ini adalah kerana apabila perjanjian itu telah ditandatangani dan kesan baiknya mula kelihatan, waktu itu barulah mereka terasa bahawa mereka telah melakukan kesilapan dengan mengadakan perjanjian itu.

Musyrikin Mekah sangka mereka telah berjaya untuk menghalau puak mukmin pada tahun itu dan terma perjanjian itu mereka telah susun supaya berpihak kepada mereka tetapi alangkah terkejutnya mereka nanti apabila umat Islam datang ke Mekah nanti dengan kekuatan yang lebih besar.

Orang Munafik sangka yang apabila puak mukmin pergi mengerjakan Umrah pada tahun itu, mereka akan dibunuh oleh puak Mekah, tetapi tidak. Malahan dengan termeterainya perjanjian itu, kekuatan Islam semakin kuat. Jadi, kedua-dua puak musyrikin dan munafik itu rasa tertekan jiwa mereka kerana Perjanjian Hudaibiyah itu.

Ini adalah azab dunia yang Allah ﷻ berikan kepada mereka sebelum mereka diberikan dengan azab yang berkekalan di akhirat kelak.

Didahulukan sebut golongan munafik dahulu kerana mereka berbohong. Mereka lebih bahaya dari golongan musyrik dan kufur kerana mereka itu seperti api dalam sekam. Kalau yang kafir, memang sudah nampak siapakah mereka dan kita tahu bagaimana hendak berurusan dengan mereka. Maka munafik itu lagi teruk dan kerana mereka ada dua kesalahan – sudahlah mereka kufur, mereka menipu pula.

Lihat bagaimana Allah ﷻ masukkan golongan-golongan wanita (المُنافِقاتِ dan المُشرِكاتِ) juga kerana perkara itu juga dilakukan oleh mereka. Bukan golongan lelaki sahaja yang musyrik dan munafik, tetapi golongan wanita juga ada yang berfikiran begitu.

 

الظّانّينَ بِاللهِ ظَنَّ السَّوءِ

yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah.

Mereka mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah ﷻ. Mereka telah mengatakan perkara-perkara yang tidak patut terhadap Allah ﷻ. Dalam hati mereka ada sangkaan yang salah terhadap Allah ﷻ. Sangkaan yang salah ini boleh jadi salah satu dari dua terjemahan:

    1. Kepercayaan yang Allah ﷻ memerlukan pembantu, ada wakil dan sebagainya. Kerana fahaman beginilah yang menyebabkan golongan musyrikin menggunakan perantara (wasilah) dalam doa dan sembahan mereka.
    2. Mereka sangka yang Allah ﷻ tidak bantu orang-orang mukmin. Kerana itulah puak munafik itu sangka yang apabila orang mukmin itu sampai di Mekah, mereka akan dibunuh semuanya oleh puak Musyrikin Mekah (dan bolehlah mereka bergembira mengambil alih teraju kuasa di Madinah kembali).

 

عَلَيهِم دائِرَةُ السَّوءِ

Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk

Kalimah دائِرَةُ dari kalimah د و ر yang bermaksud pusingan, giliran. Maknanya mereka akan  mendapat giliran yang buruk. Kerana dulu mereka memang berkuasa, akan tetapi ia akan berpusing.

Ia juga boleh digunakan sebagai daerah, ruang. Ruang lingkup mereka akan menjadi kecil dan menjadi berat kepada mereka sedangkan ruang lingkup dan kebebasan kepada orang-orang Islam semakin besar. Kerana nanti semakin ramai puak Arab sekitar akan mengadakan perjanjian dengan umat Islam selepas perjanjian Hudaibiyah itu.

Maka mereka akan melihat daerah kekuasaan mereka akan berkurangan dan daerah kekuasaan puak Islam akan semakin berkembang. Itu akan menyakitkan hati mereka dan menyebabkan hati mereka akan menjadi ketat. Sudahlah kuasa mereka berkurang, hati pun jadi semakin ketat.

 

وَغَضِبَ اللهُ عَلَيهِم وَلَعَنَهُم

dan Allah memurkai atas mereka dan mengutuk mereka

Dan mereka akan mendapat yang lebih teruk lagi, iaitu mereka akan mendapat kemurkaan dari Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ akan laknat mereka. Ini amatlah membahayakan. Kerana yang mendapat laknat dari Allah ﷻ akan dijauhkan dari rahmat. Mereka yang kena laknat tidak dapat rahmat untuk masuk Islam dan masuk syurga.

 

وَأَعَدَّ لَهُم جَهَنَّمَ

serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam.

Dan akhirnya mereka akan mendapat tempat kekal di dalam Neraka. Allah ﷻ telah siap-siap sediakan neraka bagi mereka. Neraka itu menunggu mereka masuk ke dalamnya sahaja.

 

وَساءَت مَصيرًا

dan ia sejahat-jahat tempat kembali.

Dan tentunya neraka itu adalah tempat yang teruk sekali. Cuma mereka akan dikenakan kesesakan minda dan hati semenjak mereka di dunia lagi.

Lihatlah betapa banyaknya azab untuk mereka. Kenapa banyak sangat jenis azab yang akan dikenakan kepada golongan munafik dan musyrikin itu? Kerana Allah ﷻ hendak memberitahu kepada orang mukmin, memang mereka (orang mukmin) dalam keadaan marah waktu itu kepada puak musyrikin itu, tetapi kemarahan mereka tidaklah sama dengan kemarahan Allah ﷻ yang lebih lagi terhadap golongan munafik dan musyrik itu.

Ada elemen psikologi di dalam perkara ini kerana apabila ada orang yang lebih marah dari kita terhadap orang lain, maka kemarahan kita berkurang sedikit. Sebagai contoh, kalau kita sedang marah kepada anak kita dan kemudian isteri kita datang dan dia tunjuk kemarahan yang lebih besar lagi dari kemarahan kita, maka secara tidak langsung kemarahan kita akan berkurang.

Begitulah cara Allah ﷻ mengurangkan kemarahan orang orang mukmin itu dengan menunjukkan kemarahanNya yang lebih besar. Ini menenangkan hati mereka sedikit.


 

Ayat 7: I’adah jumlah mu’taridah sebagai taukid (penekanan).

وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belong the soldiers of the heavens and the earth. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.

(MELAYU)

Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَِللهِ جُنودُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi.

Dan tiba-tiba Allah ﷻ ulang kembali kalimah yang pernah disebutNya sebelum ini dalam ayat 4. Allah ﷻ ulang kerana ada penekanan.

Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia Maha Berkuasa dan kalau Dia sendiri mahu memusnahkan golongan-golongan musyrik dan munafik itu, Dia memang boleh beri kemusnahan yang lebih besar lagi dari yang boleh dilakukan oleh golongan mukminin itu. Kerana golongan mukmin itu manusia biasa sahaja. Kuat macam mana pun mereka, kalau peperangan terjadi, tentulah ada juga kematian di pihak yang kuat pun.

Maka berpeganglah sahaja dengan agama Allah ﷻ. Kamu tidak nampak tentera-tentera Allah ﷻ itu, tetapi mereka memang ada. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ bagaimana untuk menangani mereka.

 

وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ berkuasa untuk menghancurkan mereka sehancur-hancurnya. Allah ﷻ boleh sahaja hukum Musyrikin Mekah itu serta merta, tetapi Allah ﷻ tidak lakukan kerana hikmahNya. Allah ﷻ Maha Bijaksana, maka rancangan yang Allah ﷻ buat ini adalah dari kebijaksanaanNya, maka hendaklah kita percaya dengan apa yang Allah ﷻ lakukan itu. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.


 

Ayat 8: Ayat 8 – 10 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi perintah untuk memuliakan dan setia kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Allah ﷻ beritahu yang Nabi ﷺ diutus untuk mengajar kepada manusia cara-cara untuk taat. Kadang-kadang mungkin Rasulullah ﷺ suruh para sahabat untuk melakukan sesuatu yang nampak seperti bertentangan dengan logik akal, tetapi orang mukmin kena ingat yang jikalau arahan itu dikeluarkan oleh Rasulullah ﷺ maka ia tentunya dari Allah ﷻ.

Maka jikalau Nabi ﷺ telah keluarkan arahan, maka orang mukmin kena ikut dan taat walaupun bertentangan dengan kehendak dan logik akal mereka.

إِنّا أَرسَلنٰكَ شٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent you as a witness and a bringer of good tidings and a warner

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan,

 

إِنّا أَرسَلنٰكَ شٰهِدًا

Sesungguhnya Kami mengutus engkau sebagai saksi,

Syahidan (saksi) dalam ayat ini bermaksud ‘yang memberitahu kebenaran’. Nabi ﷺ telah saksikan kebenaran dan baginda telah ditugaskan oleh Allah ﷻ untuk menyampaikan kebenaran kepada manusia.

Ada beberapa makna lagi bagi kalimah ini, antaranya tiga makna ini:

1. Bersaksi atas tauhid.
2. Bersaksi atas pengikut yang menerima tauhid.
3. Dipilih untuk menyampaikan wahyu tentang tauhid.

Ini adalah kerana baginda juga akan menjadi saksi kepada umat baginda. Baginda menjadi saksi sama ada umatnya mengikut ajaran dan suruhan baginda atau tidak. Jadi segala suruhan dari baginda itu adalah ujian kepada orang mukmin.

 

وَمُبَشِّرًا وَنَذيرًا

dan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi ancaman,

Baginda ada dua tugas yang penting – beri berita gembira dan beri ancaman. Memberi berita gembira kepada mereka yang taat, dan memberi ancaman buruk kepada mereka yang degil dan engkar.

Surah ini adalah Surah Madaniyyah, maka tentulah orang-orang Islam sudah tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang saksi dan pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Tetapi Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka balik yang mereka itu adalah pengikut Rasulullah ﷺ. Mereka adalah golongan manusia yang akan menjadi saksi juga atas manusia-manusia yang lain. Sama ada mereka ikut ajakan dakwah atau tidak.

Dan mereka yang akan mengingatkan kepada manusia berita baik dan memberi ancaman kepada manusia dan itulah misi mereka sebenarnya di dalam kehidupan ini. Kerana merekalah nanti yang akan meneruskan tugas Rasulullah ﷺ untuk menyampaikan wahyu kepada manusia. Dan mereka nanti yang akan menjadi saksi di akhirat kelak tentang siapakah yang menerima atau menolak dakwah tauhid itu.

Begitulah kita sebagai pendakwah ini, akan menjadi saksi atas manusia yang kita telah dakwahkan. Allah ﷻ akan tanya adakah si polan dan si polan itu ikut dakwah atau tidak? Maka kita kena beri jawapan yang benar.


 

Ayat 9:

لِّتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَتُعَزِّروهُ وَتُوَقِّروهُ وَتُسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That you [people] may believe in Allāh and His Messenger and honor him and respect him [i.e., the Prophet ()] and exalt Him [i.e., Allāh] morning and afternoon.

(MELAYU)

supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)Nya, membesarkan-Nya. Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

 

لِّتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ

supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,

Kenapa Allah ﷻ ulang sekali lagi di dalam ayat ini seperti yang sebelumnya? Kerana hendak mengingatkan para sahabat dan kita tentang iman dan menyegarkan kembali iman.

 

وَتُعَزِّروهُ

dan supaya menghormatinya

Ta’zir adalah membantu seorang yang lain kerana hormat kepadanya. Sebagai contoh kalau ada guru yang masuk kelas dengan banyak barang dia bawa, kita akan segera bantu dia kerana kita hormat kepada dia.

Jadi dalam ayat ini kita disuruh hormat kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kalau dhomir ه (dia) dalam ayat ini nisbah kepada Rasulullah ﷺ. Maka mukmin kena membantu baginda di dalam apa keadaan pun. Kerana itu para sahabat berkorban jiwa dan harta mereka untuk membantu baginda.

Maka begitulah sekarang kita selawat kepada baginda dan kita bantu untuk menjalankan dan meneruskan dakwah yang baginda telah mulakan itu kerana kita hormat kepada baginda.

 

وَتُوَقِّروهُ

dan membesarkannya.

Tawqir adalah orang yang kita terpesona kepada mereka kerana personaliti mereka. Kadang-kadang apabila kita hormat kepada seseorang itu sampai kita jaga akhlak kita di hadapan mereka.

Contohnya apabila ada guru yang kita hormat, maka kita tidak cakap kasar dan kita duduk dengan baik sahaja.  Begitu juga kalau atuk kita yang kita hormat ada di rumah, maka kita tidak berkelahi dengan adik beradik kita depan dia, bukan?

Begitulah para sahabat menjaga diri mereka di hadapan Nabi ﷺ. Mereka tidak meninggikan suara dan bercakap dengan hormat kepada baginda. Dan ini nanti akan disentuh dengan lebih panjang lagi di dalam Surah Hujurat.

 

وَتُسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

Sekarang dhomir ه kepada Allah ﷻ pula. Allah ﷻ beritahu jikalau kita melakukan ta’zir dan tawqir itu kepada Rasullullah ﷺ, maka itulah juga tasbih kepada Allah ﷻ.

Walaupun begitu ada juga pendapat yang mengatakan ketiga-tiga dhomir di dalam ayat ini kembali kepada Allah ﷻ. Oleh itu hendaklah kita memperbanyakkan tasbih kepada Allah ﷻ. Juga hendaklah kita melakukan ta’zir dan tawqir kepada Allah ﷻ taala.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s