Tafsir Surah al-Fath Ayat 10 – 11 (Bai’at Ridwan)

Ayat 10: Apabila Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat berita yang mengatakan Saidina Uthman رضي الله عنه telah dibunuh maka baginda mengambil bai’ah daripada mukmin yang berada di Mekah waktu itu untuk membalas dendam di atas kematian Saidina Uthman.

Dan sekarang Allah ﷻ memberitahu di dalam ayat ini Allah ﷻ amat suka dengan perbuatan mereka itu walaupun peperangan itu akhirnya tidak terjadi tetapi Allah ﷻ tetap puji juga mereka.

إِنَّ الَّذينَ يُبايِعونَكَ إِنَّما يُبايِعونَ اللهَ يَدُ اللهِ فَوقَ أَيديهِم ۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّما يَنكُثُ عَلىٰ نَفسِهِ ۖ وَمَن أَوفىٰ بِما عٰهَدَ عَلَيهُ اللهَ فَسَيُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who pledge allegiance to you, [O Muḥammad] – they are actually pledging allegiance to Allāh. The hand of Allāh is over their hands.¹ So he who breaks his word only breaks it to the detriment of himself. And he who fulfills that which he has promised Allāh – He will give him a great reward.

•Meaning that He (subḥānahu wa ta‘ālā) accepted their pledge.

(MELAYU)

Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat dia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar.

 

إِنَّ الَّذينَ يُبايِعونَكَ إِنَّما يُبايِعونَ اللهَ

Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah.

Ini adalah berkenaan para sahabat yang bai’ah dengan Rasulullah ﷺ untuk membalas dendam terhadap kematian Saidina Uthman رضي الله عنه. Ini kerana mereka telah mendengar berita angin yang Saidina Uthman sudah dibunuh oleh puak Musyrikin Mekah. Bai’ah atau janji setia ini adalah Baiatul Ridwan, yang dilakukan di bawah pohon Samurah di Hudaibiyah.

Dan para sahabat yang berbaiah kepada Rasulullah ﷺ ketika itu jumlahnya sekitar seribu orang, menurut suatu pendapat. Menurut pendapat yang lain seribu empat ratus orang, dan menurut pendapat yang lainnya lagi, seribu lima ratus orang, tetapi pendapat yang pertengahanlah yang paling benar.

Allah ﷻ beritahu mereka sebenarnya bai’ah mereka itu sebenarnya dengan Allah ﷻ. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ}

Barang siapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya dia telah menaati Allah. (An-Nisa: 80)

Bai’ah asalnya dari kalimah  ب ي ع yang bermaksud ‘menjual’ dan digunakan dalam erti kata mereka sanggup ‘menjual’ diri mereka kepada baginda. Iaitu jual diri mereka dan sanggup mengorbankan nyawa mereka.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يُونُسُ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ. عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ، عَنْ جَابِرٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “لَا يَدْخُلُ النَّارَ أَحَدٌ مِمَّنْ بَايَعَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus, telah menceritakan kepada kami Al-Lais, dari Abuz Zubair, dari Jabir, dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda: Tidak akan masuk neraka orang yang telah mengucapkan janji setia di bawah pohon itu. [HR. Ahmad no. 1425, dinilai hasan sahih oleh al-Hafiz Imam Ibnu Kasir; at-Tirmizi no. 3860, dinilai hasan sahih oleh Imam Abu Isa dan sahih oleh al-Albani; Abu-Daud no. 4653, dinilai sahih oleh al-Albani]

 

يَدُ اللهِ فَوقَ أَيديهِم

Tangan Allah di atas tangan mereka,

Apabila mereka bai’ah dengan Nabi ﷺ mereka meletakkan tangan mereka di atas tangan baginda dan kerana itu Allah ﷻ mengatakan yang tangan Allah ﷻ di atas tangan mereka. Ini adalah kerana apabila ada bai’ah antara dua pihak, selalunya ada pihak ketiga yang meletakkan tangannya atas tangan dua pihak itu, untuk merasmikannya.

Ini adalah resam orang Arab dalam berbai’ah. Dan Allah ﷻ kata tangan ketiga itu adalah tanganNya. Ini adalah isyarat yang baiah itu direstui Allah ﷻ.

Allah ﷻ sebut tentang ‘tangan’Nya dalam ayat ini. Ini juga menjadi polemik di kalangan orang kita. Ingatlah yang Para Sahabat tidak bertanya pasal tangan itu kerana mereka sudah faham resam itu. Orang kita sahaja yang tanya apa maksud ‘tangan’ itu. Kerana mereka sibuk tentang perkara-perkara yang tidak penting. Benda ini tidak penting kerana tidak perlu bayangkan bagaimana rupa tangan Allah ﷻ itu.

Maka kena tahu perihal Arab zaman jahiliyah dalam belajar tafsir, supaya tidak keliru dan tidak pelik dan bertanya yang bukan-bukan. Kalau kita tahu yang ini hanyalah resam mereka sahaja, kita tahulah yang ini adalah perumpamaan sahaja. Bukanlah ada tangan ghaib pula datang dan sentuh tangan para sahabat itu.

Allah ﷻ juga memberi isyarat dalam ayat ini yang Dia selalu hadir bersama mereka, mendengar perkataan mereka, melihat tempat mereka, mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati mereka dan juga apa yang mereka nyatakan dan lakukan.

Sebenarnya Dialah yang dibai’ah, sedangkan Rasulullah ﷺ hanyalah sebagai perantara-Nya. Hal ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ}

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) dari Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (At-Taubah: 111)

 

فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّما يَنكُثُ عَلىٰ نَفسِهِ

maka barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat dia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri

Sesiapa yang memutuskan bai’ah itu bermaksud mereka memutuskan untuk membahayakan diri mereka sendiri. Tetapi kita tahu bahawa bai’ah itu tidak diteruskan pun kerana Saidina Uthman رضي الله عنه tidak dibunuh pun. Jadi perang tidak terjadi. Tetapi Allah ﷻ tetap balas baiah mereka itu kerana keikhlasan mereka dalam melakukannya.

Tetapi Allah ﷻ tetap menyebut ancaman kalau memutuskan bai’ah itu kerana bai’ah itu bukan sahaja untuk membalas dendam terhadap kematian Uthman رضي الله عنه tetapi ianya adalah perjanjian untuk taat setia kepada Rasulullah ﷺ juga. Oleh kerana perjanjian ini adalah perjanjian dengan Allah ﷻ sebenarnya, maka kesan memutuskan perjanjian itu amatlah berat dan disebut di dalam ayat 72 hingga ke-75 Surah Taubah.

Ini mengajar kita kepentingan istiqamah dalam agama. Kita mungkin tidak ada baiah dengan sesiapa tetapi kita sudah janji hendak taat kepada Allah ﷻ dan RasulNya. Maka istiqamah dalam janji kita ini.

Sebagai contoh, hendak mengaji agama kena istiqamah. Hendak tegakkan agama juga kena istiqamah walau susah macam mana pun dalam nak menegakkannya. Hendak dakwah pun kena juga istiqamah. Kesusahan memang akan ada dan ianya pasti. Ini biasalah kerana bukan mudah untuk masuk syurga.

 

وَمَن أَوفىٰ بِما عٰهَدَ عَلَيهُ اللهَ فَسَيُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا

dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.

Dari segi balaghah, Allah ﷻ menunjukkan beratnya perjanjian itu dalam ayat ini dan kerana itu Allah ﷻ menggunakan kalimah عَلَيهُ dan bukan ِإلَيه. Ini kerana dalam norma Bahasa Arab, kalimah ِإلَيه yang selalunya digunakan. Tapi Allah gunakan kalimah على (atas). Maksudnya, ada tanggungjawab yang kena dipenuhi apabila telah melakukan bai’ah itu.

Dari ayat ini juga kita dapat tahu bahawa bai’ah adalah salah satu daripada perbuatan yang terpuji di dalam agama. Iaitu bai’ah untuk melakukan perkara yang baik. Jadi tidak ada masalah kalau berbai’ah dengan pemimpin dan guru.


 

Ayat 11: Sekarang disebut perihal golongan munafik. Badan mereka memang berada bersama dengan orang mukmin tetapi hati mereka tidak. Ayat 11 – 17 adalah Perenggan Makro Ketiga sebagai seruan kepada golongan Munafik untuk buang sifat nifaq mereka.

سَيَقولُ لَكَ المُخَلَّفونَ مِنَ الأَعرابِ شَغَلَتنا أَموٰلُنا وَأَهلونا فَاستَغفِر لَنا ۚ يَقولونَ بِأَلسِنَتِهِم مّا لَيسَ في قُلوبِهِم ۚ قُل فَمَن يَملِكُ لَكُم مِّنَ اللهِ شَيئًا إِن أَرادَ بِكُم ضَرًّا أَو أَرادَ بِكُم نَفعًا ۚ بَل كانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who remained behind of the bedouins will say to you, “Our properties and our families occupied us, so ask forgiveness for us.” They say with their tongues what is not within their hearts. Say, “Then who could prevent Allāh at all if He intended for you harm or intended for you benefit? Rather, ever is Allāh, with what you do, Acquainted.

(MELAYU)

Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan mengatakan: “Harta dan keluarga kami telah merintangi kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami”; mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah: “Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu. Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

سَيَقولُ لَكَ المُخَلَّفونَ مِنَ الأَعرابِ شَغَلَتنا أَموٰلُنا وَأَهلونا

Orang-orang Badwi yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan mengatakan: “Harta dan keluarga kami telah merintangi kami,

Ada dari golongan munafik yang tidak mahu menyertai rombongan Rasulullah ﷺ ke Mekah kerana mereka tidak rasa ianya penting. Rasulullah ﷺ memanglah tidak mewajibkan penyertaan semua orang untuk mengerjakan umrah tahun itu, tetapi orang mukmin tahu yang jikalau baginda mengajak sesuatu perkara dan walaupun tidak mewajibkannya, ia sebenarnya adalah satu ujian terhadap iman mereka. Kerana itu mereka yang mukmin itu telah pergi. Dan golongan munafik tidak pergi.

Maka apabila baginda pulang, golongan munafik yang tidak menyertai rombongan itu terpanggil untuk memberi alasan kenapa mereka tidak menyertai baginda mengerjakan umrah itu. Tambahan pula kerana baginda dan orang-orang mukminin lain pulang ke Madinah dengan membawa kejayaan. Mereka rasa tidak boleh biarkan begitu sahaja. Mereka rasa kena ambil hati Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang mukmin itu kerana mereka pun nak juga bahagian dari kejayaan itu.

Kalimah المُخَلَّفونَ adalah dalam bentuk isim maf’ul (yang kena buat) yang bermaksud mereka itu ‘ditahan’ dari menyertai. Digunakan format ini kerana walaupun mereka sendiri memang tidak mahu menyertai rombongan itu, tetapi pada hakikatnya Allah ﷻlah yang sebenarnya menghalang mereka dari menyertai rombongan itu kerana mereka memang tidak layak. Ini seperti orang orang munafik yang ditahan oleh Allah ﷻ dari menyertai perang Tabuk.

Mereka terpaksa beri alasan, bukan? Maka mereka beri alasan yang harta mereka dan ahli keluarga mereka telah menyebabkan mereka tidak boleh menyertai rombongan itu. Iaitu mereka hendak mengatakan yang mereka sibuk. Mereka kata mereka nak kena jaga keluarga mereka, perniagaan mereka, tanaman mereka dan sebagainya.

Itu alasan sahaja, sebenarnya dalam hati mereka memang tidak mahu menyertai orang mukmin yang lain pergi ke Mekah itu kerana pada mereka, pergi ke sana itu adalah seperti membunuh diri sahaja. Ini kerana mereka akan masuk ke kawasan musuh yang akan mengelilingi mereka. Pada mereka, itu macam serah tengkuk untuk kena sembelih oleh pihak musuh.

Tambahan pula mereka baru sahaja berperang dengan puak Mekah itu iaitu di dalam perang Ahzab tidak berapa lama sebelum itu. Nanti masuk ke dalam kubu musuh tanpa senjata, memang dari logik akal, akan mati kataklah. Mereka fikir begitu kerana mereka tidak ada iman; atau iman mereka lemah.

 

فَاستَغفِر لَنا

maka mohonkanlah ampunan untuk kami”;

Mungkin mereka ada juga rasa bersalah dan tidak senang duduk. Dan apabila mereka rasa bersalah, mereka minta Nabi ﷺ untuk memohon doa pengampunan untuk mereka. Tetapi persoalannya kenapa mereka kisah pula kali ini?

Kerana mereka hendak Nabi ﷺ istighfar bagi pihak mereka di khalayak umum. Supaya nama mereka boleh dibersihkan. Mereka hendak kata, kononnya yang mereka itu Muslim yang sebenar. Mereka pergi kepada baginda supaya baginda melakukan istighfar untuk mereka di khalayak ramai dan supaya orang lain melihat mereka sebenarnya disayangi oleh Nabi ﷺ atau mereka tidak bersalah kerana Nabi ﷺ sendiri minta ampun bagi pihak mereka.

Dan yang menariknya, ayat ini diturunkan sebelum baginda sampai ke Madinah lagi dan apabila baginda sampai ke Madinah, memang begitulah yang dilakukan oleh puak-puak munafik itu. Maka ini termasuk ayat-ayat yang memberitahu tentang masa hadapan. Ia membuktikan lagi kebenaran Al-Qur’an. Para sahabat yang dengar ayat ini dan kemudian lihat ianya benar-benar terjadi, tentu bertambah iman mereka kepada Al-Qur’an.

Dalam ayat ini Allah ﷻ tidak memanggil mereka sebagai orang Islam pun, tetapi mereka dikatakan sebagai orang Arab Badwi sahaja. Iaitu orang yang tidak ada tamadun. Ini adalah sebagai penghinaan kepada mereka. Kalau dalam bahasa kita, mereka ini ‘orang darat’.

 

يَقولونَ بِأَلسِنَتِهِم مّا لَيسَ في قُلوبِهِم

mereka mengucapkan dengan lidah mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka.

Maksudnya, mereka tidak ikhlas di dalam percakapan mereka itu. Ia hanyalah sebagai alasan dan diplomasi sahaja. Kerana mereka hendak menyelamatkan diri mereka. Allah ﷺ boleh beritahu hal ini kerana Allah ﷺ tahu isi hati mereka.

Dalam ayat ini Allah ﷻ mengatakan mereka memusing-musing ‘lidah’ mereka sedangkan di dalam Surah Ali Imran Allah ﷻ mengatakan mereka bercakap dengan ‘mulut’ mereka. Perbezaan penggunaan kalimah ini adalah kerana dalam konteks ayat Surah al-Fath ini percakapan mereka tidak banyak sangat seperti apa yang mereka katakan di dalam konteks surah Ali Imran.

 

قُل فَمَن يَملِكُ لَكُم مِّنَ اللهِ شَيئًا إِن أَرادَ بِكُم ضَرًّا أَو أَرادَ بِكُم نَفعًا

Katakanlah: “Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu.

Allah ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ, sama ada baginda istighfar untuk mereka atau tidak, mereka tidak ada harapan lagi. Mereka itu memang sudah ada masalah.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalang bahaya dari menimpa golongan munafik itu jikalau Allah ﷻ telah kehendaki bahaya untuk mereka. Mereka tidak mahu ikut serta dalam rombongan Nabi ﷺ ke Mekah kerana takut mati, tetapi mereka lupa atau tidak tahu bahawa itu semua adalah di dalam takdir Allah ﷻ.

Allah ﷻ sebut mudharat dahulu dalam ayat ini kerana mudharat itulah yang akan dikenakan kepada mereka.

 

بَل كانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu bahawa apa yang mereka ucapkan dengan lidah itu tidak sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka dan sekarang Allah ﷻ beritahu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh tahu isi hati manusia termasuklah di kalangan baginda sendiri.

Ia juga peringatan bagi kita untuk mengingatkan kita bahawa Allah ﷻ isi hati kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Fath Ayat 10 – 11 (Bai’at Ridwan)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s