Tafsir Surah al-Fath Ayat 12 – 15 (Serangan ke Khaibar)

Ayat 12: Allah ﷻ beritahu lagi apa yang ada di dalam hati mereka.

بَل ظَنَنتُم أَن لَّن يَنقَلِبَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ إِلىٰ أَهليهِم أَبَدًا وَزُيِّنَ ذٰلِكَ في قُلوبِكُم وَظَنَنتُم ظَنَّ السَّوءِ وَكُنتُم قَومًا بورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But you thought that the Messenger and the believers would never return to their families, ever, and that was made pleasing in your hearts. And you assumed an assumption of evil and became a people ruined.”

(MELAYU)

Tetapi kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin tidak sekali-kali akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya dan syaitan telah menjadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu, dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa.

 

بَل ظَنَنتُم أَن لَّن يَنقَلِبَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ إِلىٰ أَهليهِم أَبَدًا

Bahkan kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin tidak sekali-kali akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya

Apabila Rasulullah ﷺ dan para mukmin buat keputusan untuk pergi ke Mekah untuk mengerjakan Umrah, orang-orang munafik itu jadi suka kerana mereka sangka orang-orang mukmin itu akan dibunuh semuanya oleh Musyrikin Mekah. Maka mereka rasa selepas ini tinggal mereka sahajalah kerana orang mukmin sudah tiada.

 

وَزُيِّنَ ذٰلِكَ في قُلوبِكُم

dan dijadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu,

Syaitan yang menjadikan mereka suka dengan sangkaan mereka itu. Syaitan mencantikkan apa yang di dalam fikiran mereka itu. Syaitan membisikkan perkara yang buruk kepada mereka dan mereka terima dengan mudah. Syaitan bagi idea kepada mereka untuk tetap tinggal di Madinah dan tidak ikut rombongan Nabi ﷺ dan para sahabat yang mukmin.

Maka mereka rasa mereka pandai kerana tidak pergi mengerjakan Umrah dengan Rasulullah ﷺ. Orang-orang munafik itu sudah buat rancangan bagaimana mereka akan memerintah Madinah. Mereka rasa mereka akan berkuasa nanti apabila tiada lagi orang mukmin dan Nabi Muhammad ﷺ bukan lagi pemimpin di Madinah.

 

وَظَنَنتُم ظَنَّ السَّوءِ

dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk

Mereka telah membuat sangkaan yang amat buruk. Perkara itu berada di dalam hati dan akal mereka tetapi Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini untuk membuka pekung perasaan mereka. Apakah sangkaan buruk mereka itu? Mereka sangka yang Allah ﷻ tidak jaga dan beri bantuan kepada Rasulullah ﷺ.

Bila Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an, maka ia bermaksud yang ia akan tetap berlaku setiap zaman. Iaitu ada yang bersangka buruk dengan Allah ﷻ. Iaitu mereka yang tidak percaya kepada pertolongan Allah ﷻ. Mereka sangka Allah ﷻ tidak akan tolong orang mukmin.

 

وَكُنتُم قَومًا بورًا

dan kamu menjadi kaum yang binasa.

Allah ﷻ memberitahu bahawa puak-puak munafik itu menuju kehancuran tetapi bukan kehancuran yang serta merta, tetapi sedikit demi sedikit. Inilah maksud yang kita faham apabila digunakan kalimah بورا ini.

Jadi tidak nampak yang mereka terus hancur. Kerana kehancuran mereka sedikit demi sedikit. Semasa mereka sudah ada perasaan itu Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka itu sudah menjadi kaum yang binasa. Tunggu masa sahaja untuk nampak kehancuran yang nyata.


 

Ayat 13: Takhwif Ukhrawi.

وَمَن لَّم يُؤمِن بِاللهِ وَرَسولِهِ فَإِنّا أَعتَدنا لِلكٰفِرينَ سَعيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever has not believed in Allāh and His Messenger – then indeed, We have prepared for the disbelievers a Blaze.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya Kami menyediakan untuk orang-orang yang kafir neraka yang bernyala-nyala.

 

وَمَن لَّم يُؤمِن بِاللهِ وَرَسولِهِ

Dan barangsiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya

Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang golongan munafik dan sekarang terus Allah ﷻ sebut golongan kafir. Ini adalah kerana Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini bahawa orang-orang munafik itu sebenarnya orang-orang kafir kerana mereka tidak beriman sebenarnya.

Allah ﷻ boleh berkata begitu kerana Allah ﷻ tahu apa yang berada di dalam hati mereka tetapi kita tidak bolehlah mengatakan orang-orang lain yang ada sifat munafik sebagai kafir. Jangan kita kata begitu kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka.

Apabila Allah ﷻ gunakan kalimah وَمَن (dan siapa sahaja), bermaksud ia berlaku pada Zaman Nabi ﷺ atau boleh jadi pada waktu lain. Sesiapa yang tidak percaya dengan tauhid dan sunnah, akan menerima azab.

Maksud بِاللهِ: beriman dengan tauhid sempurna

Maksud وَرَسولِهِ: beramal dengan amalan sunnah. Percaya dengan sunnah Rasulullah ﷺ.

Maka kerana itu, iman yang sempurna kena ada dua-dua elemen ini. Percaya kepada Allah ﷻ dan juga percaya kepada Rasulullah ﷺ. Maka tidak boleh tidak, kena ada dua-dua. Maka kita kena tahu tafsir Al-Qur’an dan juga kena tahu syarah hadis Nabi ﷺ untuk memahami agama ini dan mencapai iman yang sempurna.

 

فَإِنّا أَعتَدنا لِلكٰفِرينَ سَعيرًا

maka sesungguhnya Kami telah sediakan untuk orang-orang yang kafir neraka yang bernyala-nyala.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang api menyala-nyala. Maksudnya api itu terus menyala tidak akan padam-padam. Dan dalam ayat yang lain, disebut mereka akan berada di bahagian neraka yang paling bawah sekali. Maknanya, yang paling panas dan paling teruk azabnya.

Ayat ini juga adalah antara dalil yang menunjukkan yang neraka itu sudah ada. Bukan sahaja neraka sudah ada, bahkan syurga juga sudah ada. Kedua-duanya sudah dihuni dan keduanya menunggu sahaja penghuni mereka. Tidak tahulah kita akan masuk ke mana nanti. Semoga kita semua ahli syurga, aameen.


 

Ayat 14: Ini adalah Jumlah ta’liliyah (sebab). Allah ﷻ hendak memberitahu kenapa Allah ﷻ boleh buat apa sahaja.

وَِلِلهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۚ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth. He forgives whom He wills and punishes whom He wills. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia memberikan ampun kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَِلِلهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi.

Allah ﷻ memiliki alam ini. Maka Dia ada hak untuk buat apa sahaja kepada makhlukNya. Kita sebagai hamba kena terima sahaja. Allah ﷻ boleh beri hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah ﷻ boleh beri kesesatan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah ﷻ boleh azab sesiapa yang Dia kehendaki; dan Dia boleh beri syurga kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

 

يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

Dia memberikan ampun kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab siapa yang dikehendaki-Nya.

Oleh kerana itu Allah ﷻ boleh mengampunkan sesiapa yang hendak diampunNya dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Kita kena berharap pengampunan dari Allah ﷻ. Akan tetapi segala keputusan adalah di tanganNya. Maka kenalah kita sentiasa berharap dan jangan berhenti meminta ampun kepada Allah ﷻ.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Namun Allah ﷻ beritahu di akhir ayat ini yang Dia adalah Maha Pengampun. Memang Dia boleh azab sesiapa sahaja, tetapi Dia hendak beritahu bahawa banyak yang Dia ampunkan. Walaupun Allah ﷻ bebas dan boleh buat apa sahaja, tetapi Allah ﷻ suka hamba yang bertaubat dan Dia suka untuk ampunkan.

Kenapa Allah ﷻ ampunkan makhlukNya? Kerana Dia maha penyayang. Dia amat sayang kepada makhlukNya. Maka Dia lebih-lebih lagi sayang kepada hambaNya yang meminta ampun kepadaNya. Dia sentiasa bersedia untuk mengampunkan mereka yang bertaubat.


 

Ayat 15: Dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu kepada para sahabat apa yang akan berlaku. Sebelum ini telah diberitahu perkara yang telah terjadi iaitu Allah ﷻ memberitahu kenapa orang munafik itu tidak mahu menyertai rombongan Rasulullah ﷺ. Sekarang Allah ﷻ turunkan ayat ini kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda dan para sahabat yang lain dalam perjalanan balik ke Madinah dari Mekah.

سَيَقولُ المُخَلَّفونَ إِذَا انطَلَقتُم إِلىٰ مَغانِمَ لِتَأخُذوها ذَرونا نَتَّبِعكُم ۖ يُريدونَ أَن يُبَدِّلوا كَلٰمَ اللهِ ۚ قُل لَّن تَتَّبِعونا كَذٰلِكُم قالَ اللهُ مِن قَبلُ ۖ فَسَيَقولونَ بَل تَحسُدونَنا ۚ بَل كانوا لا يَفقَهونَ إِلّا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who remained behind will say when you set out toward the war booty to take it, “Let us follow you.” They wish to change the words of Allāh. Say, “Never will you follow us. Thus did Allāh say before.” So they will say, “Rather, you envy us.” But [in fact] they were not understanding except a little.¹

•i.e., they only understood the material aspects of life.

(MELAYU)

Orang-orang yang tertinggal itu akan berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan: “Biarkanlah kami mengikuti kamu”; mereka hendak merubah janji Allah. Katakanlah: “Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami; demikian Allah telah menetapkan sebelumnya”; mereka akan mengatakan: “Sebenarnya kamu dengki kepada kami”. Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.

 

سَيَقولُ المُخَلَّفونَ إِذَا انطَلَقتُم إِلىٰ مَغانِمَ لِتَأخُذوها

Orang-orang Badwi yang tertinggal itu akan berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan:

Allah ﷻ memberitahu yang orang-orang munafik itu akan membuka mulut mereka lagi. Allah ﷻ beritahu perkara ini sebelum mereka berkata lagi; kerana ayat ini disampaikan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda dalam perjalanan ke Madinah dari Mekah, maknanya baginda dan para sahabat bersama baginda tidak sampai lagi.

Kalimah انطَلَقتُم dari kalimah ط ل ق yang bermaksud melepaskan (macam talaq dalam pernikahan). Allah ﷻ menggunakan kalimah ini kerana hendak memberi isyarat kepada serangan kepada Kubu Khaibar (salah satu penempatan Yahudi di Madinah).

Allah ﷻ beritahu yang Dia ‘lepaskan’ mereka kerana sebelum itu Rasulullah ﷺ dan orang mukmin tidak dapat menyerang Khaibar. Mereka itu memang telah patut diserang kerana telah belot di dalam perjanjian dengan Rasulullah ﷺ untuk sama-sama mempertahankan Madinah kalau diserang. Tapi sehingga waktu itu golongan Mukmin tidak dapat menyerang mereka lagi.

Dalam Perang Ahzab mereka telah belot dan membantu puak Musyrikin Mekah menyerang Madinah. Walaupun mereka telah belot tetapi Rasulullah ﷺ tidak berupaya untuk menawan mereka lagi sebelum itu. Kerana waktu itu golongan Yahudi rapat dengan Musyrikin Mekah. Kerana kalau puak Muslim serang Khaibar, mereka akan mendapat bantuan dari Mekah.

Akan tetapi selepas perjanjian Hudaibiyah dimeterai, baginda boleh menumpukan perhatian baginda untuk memusnahkan golongan Yahudi di sana. Kerana puak Mekah tidak dapat membantu mereka lagi kerana sudah ada perjanjian damai antara Madinah dan Mekah. Maka sekarang, barulah Allah ﷻ ‘lepaskan’ puak Muslim untuk menyerang Khaibar yang sebelum ini tersekat.

Maka Allah ﷻ telah turunkan wahyu kepada Nabi ﷺ untuk menyerang Khaibar bersama-sama dengan para sahabat yang bersama dengan baginda di Hudaibiyah. Maknanya hanya ahli Hudaibiyah sahaja yang boleh menyertai serangan ke Khaibar. Ini kelebihan yang telah diberikan kepada mereka kerana mereka sanggup ikut Nabi ﷺ mengerjakan Umrah.

Kalimah مَغانِمَ dari  غ ن م yang bermaksud kambing biri-biri, tetapi bukan yang biasa tetapi kambing biri biri yang kita nampak di tepi jalan dan tidak ada tuannya. Kerana tidak ada tuannya, maka senang sahaja untuk kita ambil. Dari kalimah itu ia menjadi kalimah ‘ghanimah’ (harta rampasan perang).

Allah ﷻ hendak memberitahu kepada umat Islam bahawa apabila mereka menuju kepada Khaibar untuk menyerangnya, ia akan menjadi mudah seperti mereka mengambil sesuatu di tepi jalan sahaja. Ia seperti mereka pergi ke sana itu hanya untuk mengambil harta sahaja tanpa perlu berlawan dengan musuh pun. Oleh kerana itu Allah ﷻ tidak sebut pun pasal kena berperang dengan orang Yahudi itu, tetapi Allah ﷻ hanya sebut tentang ‘ambil harta rampasan perang’ sahaja.

Jadi apabila menyerang Khaibar itu seperti mengambil gedung emas sahaja kerana orang orang Yahudi itu bukan kuat berperang. Mereka tidak ada daya juang dan kerana itu mereka akan senang untuk dikalahkan. Harta mereka memang banyak kerana mereka telah mengumpulkan harta mereka selama beratus tahun.

Dan jikalau dapat mengalahkan mereka dalam beberapa hari sahaja, sudah boleh mendapatkan harta mereka yang dikumpul sekian lama. Harta dikumpul beratus tahun tetapi diambil dalam beberapa hari sahaja. Kerana itu untung besar kalau dapat harta ghanimah.

 

ذَرونا نَتَّبِعكُم

“Biarkanlah kami mengikuti kamu”;

Inilah kata-kata puak munafik yang Allah ﷻ beritahu yang mereka akan cakap. Apabila puak-puak munafik itu mendengar rancangan Rasulullah ﷺ untuk menyerang Khaibar, mereka nampak itu adalah peluang untuk mereka buat harta kerana mereka tahu bahawa Khaibar itu senang untuk ditakluki. Kali ini mereka cepat-cepat pergi kepada baginda untuk meminta kebenaran untuk menyertai serangan ke Khaibar.

 

يُريدونَ أَن يُبَدِّلوا كَلٰمَ اللهِ

mereka hendak merubah janji Allah.

Akan tetapi Nabi Muhammad ﷺ memberitahu golongan munafik itu yang mereka tidak boleh menyertai puak mukmin untuk menyerang Khaibar kerana Allah ﷻ telah khususkan Khaibar kepada mereka yang ikut ke Mekah dulu.

Tetapi golongan munafik itu tetap mahu ikut juga seolah-olah mereka hendak mengubah ketentuan Allah ﷻ. Kerana ketentuan Allah ﷻ adalah tidak membenarkan mereka menyertai serangan itu. Kerana Allah ﷻ janjikan hanya kepada sahabat yang sertai Baiah Hudaibiyah itu. Tetapi mereka tetap hendak ubah juga.

Ini kerana golongan munafik tetap tidak puas hati. Mereka mahu supaya keputusan itu ditukar. Allah ﷻ yang telah berjanji untuk memberikan harta ghanimah kepada golongan yang pergi ke Hudaibiyah. Tetapi mereka hendak ubah suai janji Allah ﷻ. Begitulah teruknya mereka tidak taat kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ.

 

قُل لَّن تَتَّبِعونا كَذٰلِكُم قالَ اللهُ مِن قَبلُ

Katakanlah: “Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami; demikian Allah telah menetapkan sebelumnya”;

Allah ﷻ suruh tegaskan kepada mereka yang mereka tidak boleh ikut serta kali ini. Kerana keputusan itu dari Allah ﷻ sendiri.

Kalimah كَذٰلِكُم  bermaksud ‘begitulah’. Begitulah kamu dan perangai kamu yang pilih-pilih manakah pilihan yang kamu rasa baik untuk kamu ikuti. Kalau perbuatan itu ada untung kepada kamu, maka kamu hendak ikut tetapi kalau kamu rasa ia akan membahayakan kamu, kamu tidak mahu taat kepada ajakan Rasulullah ﷺ.

Kamu hanya mahu pergi menyerang Khaibar itu hanyalah kerana mahukan harta ghanimah sahaja. Tetapi semasa Nabi Muhammad ﷺ mengajak kamu pergi mengerjakan Umrah, kamu tidak ikut kerana ianya tidak penting kepada kamu dan kamu rasa siapa yang pergi akan dibunuh semuanya.

Memang Allah ﷻ telah beritahu sifat-sifat mereka itu sebelum ini.

Kenapa Allah ﷻ kata keputusan itu telah disebut sebelum ini? Kerana telah digunakan kalimah المُخَلَّفونَ di dalam ayat-ayat sebelum ini yang bermaksud mereka itu adalah golongan yang ditinggalkan di belakang. Maka arahan Allah ﷻ adalah: yang boleh menyertai serangan ke Khaibar ini adalah mereka yang berada di Hudaibiyah sahaja. Yang tinggal tidak pergi Umrah, tidak boleh ikut.

Atau, ia telah diberikan kepada Rasulullah ﷺ dalam bentuk wahyu ghairu matlu (wahyu yang tidak dibaca macam Al-Qur’an) iaitu ilham yang Allah ﷻ berikan kepada Nabi Muhammad ﷻ. Ia tetap wahyu juga, cuma tidaklah dalam bentuk Al-Qur’an. Maka ia tetap juga arahan dari Allah ﷻ dan tidak boleh diremehkan.

 

فَسَيَقولونَ بَل تَحسُدونَنا

mereka akan mengatakan: “Sebenarnya kamu dengki kepada kami”.

Allah ﷻ beritahu lagi apa yang mereka akan kata: Apabila mereka dilarang menyertai serangan ke Khaibar, mereka akan tuduh Nabi Muhammad  ﷺ dan juga para sahabat ada hasad dengki terhadap mereka sampai tidak mahu mereka memiliki apa-apa pun.

Maksudnya mereka hendak kata yang Nabi Muhammad ﷺ tidak adil di dalam pemerintahan baginda. Berani sungguh mereka berkata begitu. Ini adalah tuduhan yang amat tidak patut dan kurang ajar kepada Rasulullah ﷺ.

 

بَل كانوا لا يَفقَهونَ إِلّا قَليلًا

Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.

Rasulullah ﷺ dan sahabat tidak perlu jawab tuduhan mereka itu, biar Allah ﷻ sahaja yang jawab. Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka itu tidak tahu apa-apa pun dan mereka buat bising itu adalah kerana mereka tidak dapat harta sahaja.

Ini adalah kerana mereka tidak faham tentang agama melainkan sedikit sahaja dan itu pun berkenaan perkara-perkara yang boleh menguntungkan keduniaan mereka sahaja. Begitulah sifat orang munafik – pakai agama kalau ada untung untuk mereka sahaja.

Ini adalah sifat-sifat munafik yang kita lihat banyak juga di kalangan orang kita. Hanya pakai syariat kalau mereka ada kelebihan dan untung. Sebagai contoh, kalau bab harta faraid, cepat sahaja mereka minta hak mereka; tetapi bila bab hendak jaga balu atau anak-anak yatim, tidak pula mereka sibuk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s