Ayat 16: Ini pun satu lagi perkara yang Allah ﷻ beritahu akan berlaku di masa hadapan. Ini adalah jawapan kedua kepada golongan munafik yang minta hendak ikut juga ke Khaibar.
Allah ﷻ beritahu yang akan ada lagi perjuangan yang lain, jadi tidak perlu risau. Tak payah nak kecoh tidak dapat pergi kali ini ke Khaibar. Waktu itu apabila telah diajak dan diberi peluang nanti, maka mereka kena buat keputusan untuk ikut.
Allah ﷻ juga ingatkan dalam ayat ini, jangan hendak dapatkan harta sahaja. Perjuangan jihad mesti kerana Allah ﷻ, bukan kerana hendak kumpul harta. Maka jangan lupa tujuan asal berjihad. Jihad adalah kerana hendak menegakkan agama Allah ﷻ. Kalau dapat harta, itu adalah sebagai bonus sahaja, tapi bukanlah tujuan asal.
قُل لِّلمُخَلَّفينَ مِنَ الأَعرابِ سَتُدعَونَ إِلىٰ قَومٍ أُولي بَأسٍ شَديدٍ تُقٰتِلونَهُم أَو يُسلِمونَ ۖ فَإِن تُطيعوا يُؤتِكُمُ اللهُ أَجرًا حَسَنًا ۖ وَإِن تَتَوَلَّوا كَما تَوَلَّيتُم مِّن قَبلُ يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say to those who remained behind of the bedouins, “You will be called to [face] a people of great military might; you may fight them, or they will submit.¹ So if you obey, Allāh will give you a good reward; but if you turn away as you turned away before, He will punish you with a painful punishment.”
•To Allāh in Islām.
(MELAYU)
Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal: “Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar, kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam). Maka jika kamu patuhi (ajakan itu) nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu telah berpaling sebelumnya, nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih”.
قُل لِّلمُخَلَّفينَ مِنَ الأَعرابِ
Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal:
Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ memberitahu kepada golongan munafik itu. Iaitu mereka yang tertinggal dari menyertai rombongan Umrah Nabi Muhammad ﷺ ke Mekah pada tahun Perjanjian Hudaibiyah itu. Kalau hendak perang sangat, memang masih ada peluang lagi.
سَتُدعَونَ إِلىٰ قَومٍ أُولي بَأسٍ شَديدٍ
“Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar,
Ini adalah kejadian di masa hadapan. Mereka akan disuruh untuk menyerang satu kaum dan kali ini tidak disebut pun untuk mengambil harta rampasan perang (seperti di Khaibar itu). Ini adalah kerana mereka kena berperang dengan satu kaum yang kuat. Ianya untuk jihad dakwah dan bukan untuk ambil harta sahaja.
Yang dimaksudkan adalah kaum yang kuat dan pandai berperang dan banyak kelengkapan. Yang dimaksudkan adalah tentera Rom. Dan ini akan berlaku dalam Perang Tabuk.
Dan satu lagi pendapat, ia juga boleh merujuk kepada tentera Parsi. Ini akan terjadi selepas Nabi ﷺ wafat. Kerana selepas kalah Arab Mekah, tidak ada tentera yang kuat lagi selain dari Rom dan Parsi. Maka yang dimaksudkan bukanlah tentera bangsa Arab tapi bangsa a’jam (maksudnya ‘bukan Arab’).
Maknanya perang tetap kena dijalankan untuk tegakkan agama. Jihad tetap berjalan walaupun Nabi ﷺ sudah wafat. Dan umat Islam masih tetap kena berjihad. Termasuklah juga golongan munafik itu.
Mereka tidak dibenarkan untuk menyertai serangan ke Khaibar tetapi mereka akan dijemput untuk menyertai Perang Tabuk nanti. Ini memang tidak disebut dalam ayat ini tetapi ia adalah sebagai syarat kerana selepas perjanjian Hudaibiyah itu, Rasulullah ﷺ sudah mula menghantar surat-surat dakwah ke negara lain kerana baginda sudah boleh fokus kepada mengembangkan agama Islam ke serata tempat selain tanah Arab sahaja.
Ini adalah tugas baginda kerana baginda adalah Rasul kepada seluruh umat manusia, bukan Arab sahaja maka memanglah baginda kena menyampaikan dakwah kepada bangsa-bangsa lain juga. Dan antara mereka yang baginda kena dakwah dan sampaikan Islam adalah kepada Rom dan Parsi.
تُقٰتِلونَهُم أَو يُسلِمونَ
kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam).
Umat Islam diingatkan termasuklah juga kepada golongan munafik itu yang mereka kena terus perangi golongan musuh berterusan, sampailah mereka masuk Islam atau menyerah kalah. Maka arahan dari Allah ﷻ boleh difahami dalam dua maksud:
-
- Perangi mereka sehinggalah mereka masuk Islam
- Atau perangi mereka sehingga mereka tunduk kepada negara Islam.
Dua-dua maksud ini boleh dipakai.
فَإِن تُطيعوا يُؤتِكُمُ اللهُ أَجرًا حَسَنًا
Maka jika kamu patuhi (ajakan itu) nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik
Waktu itu kalau golongan munafik itu sanggup untuk ikut arahan berperang, maka mereka akan mendapat pahala yang besar. Maka mereka tidak dihalang dari berpeluang untuk berjihad sebenarnya. Hanya ke Khaibar sahaja mereka tidak boleh.
Maka tidaklah perlu mereka sibuk mengejar kelebihan harta di Khaibar itu, kerana mereka ada lagi peluang lain untuk mendapatkan pahala (dan juga harta) semasa berperang dengan Rom (atau Parsi). Kerana ada juga pendapat yang mengatakan kerajaan yang akan diperangi adalah Kerajaan Parsi, tetapi bukanlah di zaman Rasulullah ﷺ kerana ia akan berlaku semasa zaman Khalifah Umar dan seterusnya.
Di sini juga Allah ﷻ memberi janji kepada umat Islam bahawa empayar itu akan kalah kepada umat Islam ataupun mereka akan masuk ke dalam Islam. Janji perangi sahaja mereka itu.
وَإِن تَتَوَلَّوا كَما تَوَلَّيتُم مِّن قَبلُ يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا
dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu telah berpaling sebelumnya, nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih”.
Kalau mereka ikut arahan ini dan taat, maka mereka akan mendapat pahala dan harta yang banyak; tetapi Allah ﷻ memberi ancaman: jikalau mereka berpaling lagi seperti yang mereka telah lakukan pada Badar, Uhud dan semasa Perang Ahzab dan juga tidak menyertai rombongan Umrah Rasulullah ﷺ, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk.
Kalau mereka buat perangai lama mereka, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk. Ancaman sudah diberikan berkali-kali. Maka kenalah mereka tinggalkan perangai lama mereka. Maknanya, mereka masih ada peluang lagi untuk memperbetulkan kesilapan mereka yang dahulu. Maka jangan lepaskan peluang ini.
Ayat 17: Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa panggilan untuk berjihad ini tidak dikenakan kepada mereka yang memang ada uzur syar’ie.
لَّيسَ عَلَى الأَعمىٰ حَرَجٌ وَلا عَلَى الأَعرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى المَريضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ يُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبهُ عَذابًا أَليمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
There is not upon the blind any guilt or upon the lame any guilt or upon the ill any guilt [for remaining behind]. And whoever obeys Allāh and His Messenger – He will admit him to gardens beneath which rivers flow; but whoever turns away – He will punish him with a painful punishment.
(MELAYU)
Tiada dosa atas orang-orang yang buta dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang). Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan barang siapa yang berpaling nescaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.
لَّيسَ عَلَى الأَعمىٰ حَرَجٌ
Tiada dosa atas orang-orang yang buta
Apabila para sahabat yang mukmin mendengar ayat yang memberi isyarat bahawa mereka perlu berperang, maka sahabat yang mukmin sudah mula bersedia.
Malah ada sahabat yang buta pun mula berfikir yang mereka itu juga perlu untuk menyertai peperangan. Sampaikan mereka mula rasa yang mereka kena berlatih untuk berperang. Begitu bersemangat mereka untuk ikut arahan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ beritahu bahawa mereka yang buta tidak perlu berperang. Tidak ada dosa kalau mereka tidak berperang. Mereka tidak dipersalahkan dan mereka dimaafkan kalau tidak berjihad.
وَلا عَلَى الأَعرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى المَريضِ حَرَجٌ
dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit
Termasuk juga mereka yang tidak dipersalahkan adalah mereka yang pincang (cacat) dan sakit. Mereka itu tidak perlu berperang kerana mereka diberikan pelepasan. Orang yang sihat yang kena bersedia untuk berperang. Jadi jangan cari alasan untuk tidak berperang (seperti yang dilakukan oleh golongan munafik itu).
Walaupun mereka tidak boleh menyertai peperangan dengan cara fizikal, tetapi mereka kena juga ada hasrat (niat dalam hati). Dalam masa yang sama, mereka masih tetap kena bantu dengan beri semangat, infak dan doa.
Maka begitu juga dengan kita yang tidak diwajibkan dengan perang jihad sekarang kerana tidak cukup syarat. Kita juga kena ada niat setelah kita belajar tentang ayat-ayat jihad ini. Niat kena ada dulu. Entah bila masa kita diperlukan untuk berperang, maka kita terus kena bersedia dari sekarang (secara mental).
وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ يُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai
Allah ﷻ mengingatkan bahawa sesiapa yang taat kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan sihat ataupun sakit, maka mereka akan mendapat balasan syurga. Mereka yang taat kepada Rasulullah ﷺ untuk berperang di jalan Allah ﷻ, mereka akan dibalas dengan syurga. Dan Allah ﷻ terangkan sifat syurga itu yang hebat, siap ada sungai yang mengalir di bawah rumah dan mahligai mereka.
وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبهُ عَذابًا أَليمًا
dan barang siapa yang berpaling nescaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.
Tetapi bagaimana pula kalau mereka menolak untuk taat? Allah ﷻ beri ancaman yang kalau mereka berpaling dari taat kepada Rasulullah ﷺ, mereka akan mendapat azab seksa yang teruk. Paling teruk sekali, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat 18: Ayat 18 – 26 adalah Perenggan Makro Keempat di mana Allah ﷻ memberitahu yang Dia redha dengan para sahabat. Ini berkenaan mereka yang taat kepada Rasulullah ﷺ, iaitu orang-orang mukmin yang ikut serta bersama Nabi Muhammad ﷺ bermusafir untuk mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah itu.
Walaupun mereka tidak dapat mengerjakan Umrah pada tahun itu, tetapi Allah ﷻ beri mereka pahala yang lebih lagi daripada mengerjakan Umrah. Kerana mereka mendapat pahala taat kepada Rasulullah ﷺ tanpa berbelah bagi.
Maka Allah ﷻ beritahu di dalam ayat ini yang Allah ﷻ redha kepada mereka dan redha Allah ﷻ itu membawa ke syurga kerana semua mereka yang bai’ah dengan Rasulullah ﷺ pada hari itu telah dijaminkan syurga. Ini adalah salah satu dari nikmat juga, iaitu nikmat redha dari Allah ﷻ.
۞ لَّقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ ما في قُلوبِهِم فَأَنزَلَ السَّكينَةَ عَلَيهِم وَأَثٰبَهُم فَتحًا قَريبًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Certainly was Allāh pleased with the believers when they pledged allegiance to you, [O Muḥammad], under the tree, and He knew what was in their hearts, so He sent down tranquility upon them and rewarded them with an imminent conquest¹
•That of Khaybar, which preceded the conquest of Makkah.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).
لَّقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ
Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon,
Allah ﷻ redha dengan golongan mukminin itu. Inilah nikmat redha Allah ﷻ. Kalau ibubapa kita redha dengan kita pun kita sudah suka, tambahan pula kalau Allah ﷻ yang redha!
Kerana redha itulah bai’ah yang mereka lakukan dengan Nabi ﷺ itu juga dikenali sebagai baiaturidwaan (bai’ah yang diredhai). Iaitu ketika mereka melakukan perjanjian dengan Nabi ﷺ di bawah sepohon pokok. Pokok itu adalah Pohon Samurah di Hudaibiyah.
Ini adalah satu-satunya sebatang pokok yang disebut di dalam Al-Qur’an secara khusus. Jadi ia mempunyai sejarah yang amat tinggi, bukan? Akan tetapi apabila ada umat Islam yang mencari-cari pokok ini untuk mengambil berkat darinya dengan melakukan solat padanya, Saidina Umar رضي الله عنه telah mengarahkan untuk ia dipotong.
Ini sewaktu beliau menjadi Khalifah. Ini kerana beliau takut ada manusia yang akan melakukan syirik kepada pokok itu. Maka beliau telah memotong pokok itu. Kerana bukanlah kesan sejarah yang perlu dijaga sangat, tetapi akidah manusia yang lebih perlu dijaga.
Begitulah, ramai orang yang memarahi pemerintahan Kerajaan Arab Saudi yang telah menghancurkan tempat-tempat bersejarah. Mereka tidak faham bahawa tempat-tempat itu telah dijadikan sebagai tempat pemujaan, tempat solat, tempat ambil berkat dari orang-orang yang jahil tentang akidah. Maka tidak ada salahnya mereka memusnahkannya kerana itu tidak penting.
Maka di manakah asal kedudukan pohon itu pun tidak diketahui sampai sekarang. Kerana para sahabat yang mengadakan bai’ah di situ pun tidak ingat sebenarnya. Ini adalah kerana lama sangat kejadian itu dan mereka tidak ingat mana satu pokok itu.
Dan memang pokok itu tidak penting pun dan tidak ada kelebihan pun. Para sahabat رضي الله عنهم yang pergi dan berada dalam majlis baiah itu sendiri pun tidak ingat kedudukan pokok itu. Kalaulah ia penting, tentulah mereka akan buat tanda pokok itu.
Ia tidaklah penting, akan tetapi pada zaman tabein sudah ada mula buat masjid di kawasan sekitar itu kerana mereka kata ada keberkatan di tempat itu. Kalau zaman tabein pun sudah ada yang salah faham tentang hal berkat, apatah lagi kalau zaman sekarang?
Allah ﷻ memberitahu tentang pokok itu kerana hendak memberitahu bahawa majlis bai’ah itu bukanlah di dalam majlis yang hebat dan besar, tetapi di dalam suasana yang sederhana sahaja. Tetapi walaupun ia berbentuk ala kadar sahaja, ia tetap sampai boleh membawa mereka yang berbai’ah di bawahnya ke syurga. Kerana Allah ﷻ lihat kepada hati, bukan tempat kejadian itu. Begitulah kita, bukannya kita lihat pada perawakan seseorang, tetapi kita lihat kepada kebaikan hati seseorang itu.
Dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an yang Dia redha kepada para sahabat yang berbai’ah itu. Ini adalah salah satu ayat untuk menangkis fahaman ‘agama Syiah’ yang mengutuk para sahabat Nabi ﷺ. Mereka kata semua sahabat Nabi ﷺ itu semua jadi syirik setelah kewafatan Rasulullah ﷺ kecuali beberapa orang sahaja.
Ini tidak mungkin kerana Allah ﷻ redha dengan mereka. Kerana ayat ini ditujukan kepada 1,400 sahabat yang bersama dengan baginda untuk menunaikan Umrah itu – amat ramai. Syiah pula kata beberapa orang sahaja yang tidak murtad (dalam tiga empat orang sahaja).
Mereka memang mempunyai fahaman yang sesat dan kalau tidak diberitahu kepada masyarakat kita, ramai yang akan jadi kafir macam Syiah itu juga. Maka kita yang tahu kesesatan Syiah ini kena sampaikan kepada orang ramai. Jangan dibiarkan mereka terus berleluasa menipu masyarakat kita yang jahil. Memang orang jahil akan senang tertipu dengan diayah sesat puak Syiah itu.
فَعَلِمَ ما في قُلوبِهِم
maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka
Kalimah ما (apa) dalam ayat ini adalah ‘ma mubham’ iaitu sesuatu yang tidak jelas. Jadi tidak pasti apakah yang dimaksudkan melainkan pendapat dari ulama’-ulama’ tafsir sahaja.
Ulama’ mengatakan yang ia bermaksud janji mereka kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang di dalam hati mereka. Allah ﷻ tahu hati mereka ikhlas dalam janji mereka itu dan mereka itu memang sanggup mati kerana agama. Kerana itu mereka mendapat berbagai-bagai kelebihan.
Ini juga sekali lagi menolak fahaman sesat Syiah yang mengatakan para sahabat semasa dengan Nabi ﷺ semuanya munafik. Bagaimana mereka itu munafik sedangkan Allah ﷻ tahu hati mereka yang ikhlas? Dan Allah ﷻ sebut sendiri dalam ayat ini. Adakah Syiah hendak kata yang Allah ﷻ tidak tahu hati para sahabat itu? Bukankah Allah ﷻ tahu segala yang dalam hati manusia?
Kalaulah mereka munafik, tentu Allah ﷻ tahu, bukan? Maka memanglah Syiah ini adalah golongan kufur yang sesat. Semoga anak-anak Islam kita diselamatkan dari fahaman Syiah ini. Semoga mereka mendapat ilmu yang benar sebelum diayah Syiah sampai kepada mereka. Kerana Syiah berjaya menipu golongan yang jahil agama sahaja.
فَأَنزَلَ السَّكينَةَ عَلَيهِم
lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka
Kerana hati mereka ikhlas, maka Allah ﷻ curahkan ketenangan ke atas mereka. Dengan ketenangan itu, mereka dapat redha dengan apa yang terjadi, walaupun pada asalnya, mereka marah dengan apa yang telah berlaku. Mereka juga tidak bersetuju dengan Perjanjian Hudaibiyah itu pada mulanya kerana mereka lihat terma di dalam perjanjian itu memang nampak berat sebelah.
Ini kerana mereka tidak faham dan tidak dapat lihat di masa hadapan bagaimana perjanjian itu akan memenangkan agama Islam. Tentulah mereka tidak puas hati pada waktu itu. Tetapi kerana mereka taat juga dengan arahan Rasulullah, maka Allah ﷻ curah sakinah ke dalam hati mereka. Oleh kerana itu walaupun mereka tidak faham, tetapi kerana Allah ﷻ telah turunkan ketenangan ke dalam hati mereka, mereka dapat terima apa yang berlaku.
Sakinah di dalam hati mereka itu juga boleh bermaksud sifat berani yang Allah ﷻ tanamkan dalam hati mereka. Mereka sanggup dan bersedia untuk berperang menentang Musyrikin Mekah untuk membalas dendam terhadap perbuatan mereka terhadap Uthman رضي الله عنه.
Bayangkan, walaupun waktu itu mereka tidak bersenjata, bilangan yang sedikit, jauh dari tempat tinggal dan tidak bersedia sebenarnya untuk berperang (kerana mereka datang pun untuk mengerjakan Umrah). Memang kalau fikir logik, mereka tidak sanggup hendak berperang dalam keadaan begitu. Tetapi Allah ﷻ tanamkan sifat berani dalam diri mereka, mereka sanggup buat apa-apa sahaja.
وَأَثٰبَهُم فَتحًا قَريبًا
dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat
Allah ﷻ balas pengorbanan mereka itu dan iman mereka itu dengan kejayaan yang dekat. Yang dimaksudkan adalah harta ghanimah Khaibar, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Kerana apabila mereka balik sahaja ke Madinah mereka akan terus pergi ke Khaibar.
Tempat itu dekat sahaja dengan tempat mereka dari segi kedudukan dan tidak lama perkara itu berlaku setelah mereka kembali ke Madinah. Dan mudah sahaja untuk mereka mengalahkan Khaibar itu, maka itu dikira ‘dekat’ juga. Jadi dekat dari segi tempat dan dekat dari segi mudahnya bagi mereka untuk melakukannya.
Juga boleh bermaksud kejayaan dalam Perjanjian Hudaibiyah itu juga, kerana itu pun sudah dikira sebagai kejayaan. Walaupun mereka tidak nampak lagi, tapi ia adalah kejayaan sebenarnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
One thought on “Tafsir Surah al-Fath Ayat 16 – 18 (Pokok Bai’ah Ridwan ditebang)”