Ayat 19: Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah menjanjikan syurga kepada mereka yang taat kepada Rasululllah ﷺ. Mereka bukan sahaja mendapat janji syurga dari Allah ﷻ tetapi mereka juga dijanjikan dengan harta dunia. Akhirat dapat dan dunia pun mereka akan dapat juga.
وَمَغانِمَ كَثيرَةً يَأخُذونَها ۗ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And much war booty which they will take. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.
(MELAYU)
Serta harta rampasan yang banyak yang dapat mereka ambil. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
وَمَغانِمَ كَثيرَةً يَأخُذونَها
Serta harta rampasan yang banyak yang dapat mereka ambil.
Telah disebut tentang serangan ke Khaibar dalam ayat-ayat sebelum ini. Pada Perang Khaibar itu mereka akan mendapat banyak harta rampasan dan mereka seperti datang ambil sahaja kerana Allah ﷻ telah mudahkan kemenangan untuk mereka.
Mereka memang dapat banyak harta pada hari itu kerana Khaibar adalah kubu Puak Yahudi dan mereka memang kaya. Mereka telah mengumpul harta mereka beratus tahun dan puak Islam yang menyerang mereka itu hanya datang untuk beberapa hari sahaja.
وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا
Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ Maha Gagah Perkara, maksudnya Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Segalanya terpulang kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendak berikan kejayaan kepada puak Muslim, maka tidak ada sesiapa yang dapat menghalang.
Dan segala apa yang Allah ﷻ lakukan, semuanya di atas kebijaksanaanNya. Maka kena percaya kepada perancangan Allah ﷻ. Tentu ada kelebihan di sebaliknya.
Ayat 20: Kekayaan Khaibar itu dijanjikan hanya kepada mereka yang menyertai Nabi ﷺ dalam rombongan umrah Hudaibiyah. Tetapi Allah ﷻ memberitahu kepada orang lain, bahawa mereka akan ada peluang untuk mendapatkan harta ghanimah itu di waktu yang lain.
وَعَدَكُمُ اللهُ مَغانِمَ كَثيرَةً تَأخُذونَها فَعَجَّلَ لَكُم هٰذِهِ وَكَفَّ أَيدِيَ النّاسِ عَنكُم وَلِتَكونَ ءآيَةً لِّلمُؤمِنينَ وَيَهدِيَكُم صِرٰطًا مُّستَقيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has promised you much booty that you will take [in the future] and has hastened for you this [victory] and withheld the hands of people from you – that it may be a sign for the believers and [that] He may guide you to a straight path.
(MELAYU)
Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang dapat kamu ambil, maka disegerakan-Nya harta rampasan ini untukmu dan Dia menahan tangan manusia dari (membinasakan)mu dan agar hal itu menjadi bukti bagi orang-orang mukmin dan agar Dia menunjuki kamu kepada jalan yang lurus.
وَعَدَكُمُ اللهُ مَغانِمَ كَثيرَةً تَأخُذونَها
Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang dapat kamu ambil,
Kemudian Allah ﷻ menjanjikan banyak lagi harta ghanimah di masa hadapan. Bukan harta ghanimah dari Khaibar sahaja yang akan diambil oleh puak Muslim. Memang ada banyak lagi kejayaan demi kejayaan perang yang akan didapati oleh umat Islam. Sampaikan umat Islam menjadi kaya raya selepas itu.
فَعَجَّلَ لَكُم هٰذِهِ
maka disegerakan-Nya harta rampasan ini untukmu
Ada lagi harta-harta lain, tetapi Allah ﷻ telah mempercepatkan pengambilan harta rampasan dari Khaibar ini. ‘Kamu’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah semua umat Islam. Cuma sahaja, harta Khaibar ini diberikan kepada mereka yang menyertai rombongan umrah itu. Kerana kedudukan mereka yang khas.
وَكَفَّ أَيدِيَ النّاسِ عَنكُم
dan Dia menahan tangan manusia dari (membinasakan)mu
Allah ﷻ berfirman yang Dia menahan tangan-tangan puak lain dari menyerang Islam kerana jikalau mereka berperang dengan Khaibar, tentu Musyrikin Mekah hendak menyerang balik (kerana mereka berbaik dengan Musyrikin Mekah) tetapi Allah ﷻ tahan. Asbabnya adalah Perjanjian Hudaibiyah yang telah dimeterai.
Dan juga Allah ﷻ selamatkan umat Islam supaya selamat dari diserang oleh pihak musuh semasa dalam perjalanan dari Khaibar.
Atau boleh bermaksud Allah ﷻ menahan musuh-musuh yang cuba menyerang mereka dalam perjalanan mereka dari Hudaibiyah ke Madinah. Kerana ada puak jahat yang cuba menyerang umat Islam waktu itu tetapi mereka dapat ditangkap.
Atau ia boleh bermaksud perlindungan yang berbentuk umum. Iaitu Allah ﷻ sentiasa beri perlindungan kepada umat Islam. Allah ﷻ tetap akan bantu umat Islam.
وَلِتَكونَ ءآيَةً لِّلمُؤمِنينَ
dan agar hal itu menjadi bukti bagi orang-orang mukmin
Allah ﷻ menjadikan kejadian ini sebagai tanda kebenaran kepada orang-orang mukmin. Iaitu tanda yang orang taat akan mendapat kelebihan di akhirat dan kelebihan di dunia juga. Allah ﷻ bukan sahaja janjikan kejayaan di akhirat tetapi di dunia pun Allah ﷻ sudah beri.
Juga mereka akan lebih bersyukur kepada Allah ﷻ kerana mereka sedar yang Allah ﷻlah yang telah menyelamatkan mereka dari diserang oleh musuh-musuh Islam.
وَيَهدِيَكُم صِرٰطًا مُّستَقيمًا
dan agar Dia menunjuki kamu kepada jalan yang lurus.
Iaitu jalan tawakal setelah menyempurnakan tuntutan syari’at. Selepas taat dengan Allah ﷻ, maka serah kepada Allah ﷻ sahaja apa yang akan berlaku.
Sebagai contoh, tidak amal riba. Kalau kita pakai akal sahaja, mungkin ada yang kata: “macam mana nak untung kalau tak pakai faedah?” Tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Tahulah Allah ﷻ bagaimana hendak beri rezeki kepada kita. Janji kita taat kepada larangan Allah ﷻ dari mengamalkan riba.
Dan berita-berita dari Al-Qur’an ini boleh menjadi penyebab untuk membawa umat Islam ke jalan yang lurus. Mereka akan dapat lihat sendiri bagaimana berita yang disampaikan di dalamnya adalah benar belaka. Dengan mengikut ajaran dari Al-Qur’an, maka ia akan membawa manusia ke jalan yang lurus.
Umat Islam telah mengepung Kubu Khaibar sampaikan Yahudi Khaibar tidak boleh mendapat makanan. Akhirnya mereka terpaksa keluar untuk menyerah kalah. Apabila ditanya apakah hukuman terhadap mereka, mereka mahu supaya kedudukan mereka ditentukan oleh Abdullah bin Salam رضي الله عنه iaitu bekas pendeta mereka.
Mereka sangka yang mereka akan mendapat hukuman yang ringan kerana Abdullah bin Salam رضي الله عنه adalah bangsa mereka juga. Tetapi Abdullah bin Salam رضي الله عنه telah menggunakan hukum yang ada di dalam Taurat iaitu apabila satu bangsa telah khianat kepada bangsa yang lain, maka orang-orang dewasa di kalangan mereka hendaklah dibunuh, harta mereka dirampas dan kaum wanita dan kanak-kanak mereka dijadikan hamba.
Ayat 21:
وَأُخرىٰ لَم تَقدِروا عَلَيها قَد أَحاطَ اللهُ بِها ۚ وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [He promises] other [victories] that you were [so far] unable to [realize] which Allāh has already encompassed.¹ And ever is Allāh, over all things, competent.
•i.e., prepared for you or decreed.
(MELAYU)
Dan (telah menjanjikan pula kemenangan-kemenangan) yang lain (atas negeri-negeri) yang kamu belum dapat menguasainya yang sungguh Allah telah mengepungnya. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
وَأُخرىٰ لَم تَقدِروا عَلَيها
Dan yang lain, yang kamu belum dapat menguasainya
Dan ada satu tempat lagi yang Allah ﷻ janjikan kemenangan ke atas puak mukmin. Allah ﷻ tidak sebut apakah nama tempat itu tetapi yang dimaksudkan adalah Mekah. Ini adalah kerana tidak lama selepas itu Mekah akan ditawan oleh orang Islam. Allah ﷻ telah beri isyarat dalam ayat ini.
Ada juga yang berpendapat yang ianya merujuk kepada kemenangan ke atas Rom dan Parsi. Itu semua adalah kejayaan yang akan berlaku di masa hadapan. Memang pada waktu sebelum itu tidak dapat disangka yang umat Islam yang masih kecil akan ada kekuatan untuk menakluk tempat lain. Tetapi Allah ﷻ telah janjikan dan pasti akan dipenuhi.
قَد أَحاطَ اللهُ بِها
yang sungguh Allah telah mengepungnya.
Allah ﷻ beritahu yang Dia telah pun mengepung Mekah waktu itu. Ini dilakukan dengan menambahkan penyokong-penyokong negara Islam yang berada di sekeliling Mekah.
Selepas Perjanjian Hudaibiyah, negara Islam Madinah telah mendapat pengiktirafan sebagai satu kerajaan yang layak mengadakan perjanjian dengan Quraish Mekah. Ini boleh rujuk dalam Surah Muhammad sebelum ini. Puak-puak Arab sekitar semenanjung Tanah Arab sudah mula mengadakan perjumpaan dengan Rasulullah ﷺ dan sudah mula mengenal Islam sedikit demi sedikit.
Mereka juga sudah boleh mengadakan perjanjian dengan kerajaan Islam di Madinah. Oleh itu ada yang terus bersama dengan Quraish Mekah dan ada yang mengadakan perjanjian persefahaman dengan Madinah. Ramai yang sudah mula kenal Islam dan mereka telah berpihak kepada Madinah. Maka gagasan pengaruh Quraish sudah mula berkurangan kerana puak Arab sekitar sudah ramai yang berpihak kepada Madinah. Mereka seolah-olah telah dikepung dengan penyokong-penyokong Negara Islam.
Kalau kita pakai pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Rom dan Parsi, bermaksud Allah ﷻ kawal Rom dan Parsi itu supaya tidak terlepas ke tangan orang lain. Oleh itu, harta Rom dan Parsi itu akan diserahkan satu hari nanti kepada umat Islam.
وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرًا
Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dan memang Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.
Atau ayat ini boleh bermaksud: Allah ﷻ sedang menyusun harta-harta ghanimah dari tempat-tempat lain yang sebelum itu puak Islam tidak ada peluang untuk mendapatkannya, tetapi semuanya di dalam rancangan Allah ﷻ.
Ayat 22: Memang orang kafir akan tetap berperang dengan umat Islam tetapi mereka cuma berperang sahaja tetapi kemenangan sebenarnya di tangan umat Islam. Allah ﷻ tetap akan bantu umat Islam di dalam peperangan. Dari awal lagi Allah ﷻ bantu dengan beri perasaan gerun mereka kepada umat Islam. Itu pun sudah sebahagian dari kemenangan.
Tapi kena rujuk kepada ayat-ayat yang lain yang mengajar syarat-syarat untuk mendapat bantuan dari Allah ﷻ itu. Antaranya kenalah taat kepada pemimpin.
وَلَو قٰتَلَكُمُ الَّذينَ كَفَروا لَوَلَّوُا الأَدبٰرَ ثُمَّ لا يَجِدونَ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if those [Makkans] who disbelieve had fought you, they would have turned their backs [in flight]. Then they would not find a protector or a helper.
(MELAYU)
Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah) kemudian mereka tiada memperoleh pelindung dan tidak (pula) penolong.
وَلَو قٰتَلَكُمُ الَّذينَ كَفَروا لَوَلَّوُا الأَدبٰرَ
Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang
Dan kalaulah orang-orang kafir itu cuba untuk menyerang puak Islam, mereka akan berpaling lari. Ini mungkin isyarat kepada Musyrikin Mekah. Ia menandakan umat Islam amat kuat sekali waktu itu, sampaikan Quraish Mekah tidak dapat hendak berbuat apa-apa.
Semasa Pembukaan Mekah nanti, memang ada beberapa orang yang cuba untuk menyerang orang-orang Islam, tetapi mereka telah dikalahkan dengan mudah kerana mereka sedikit sangat.
ثُمَّ لا يَجِدونَ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا
kemudian mereka tiada mendapati pelindung dan tidak (pula) penolong.
Mereka yang cuba menyerang umat Islam memang tidak akan mendapat pertolongan dan perlindungan. Kerana Allah ﷻ telah buat keputusan untuk memenangkan umat Islam.
Tapi asalkan umat Islam memenuhi syarat-syarat dalam peperangan. Perkara ini banyak disebut dalam Surah Tawbah dan juga Surah Baqarah. Selepas musuh lari pun mereka tidak akan mendapat tempat perlindungan.
Ayat 23:
سُنَّةَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت مِن قَبلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[This is] the established way of Allāh which has occurred before. And never will you find in the way of Allāh any change.
(MELAYU)
Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.
سُنَّةَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت مِن قَبلُ
Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu,
Sunnatullah adalah perkara yang biasa berlaku dari dahulu lagi. Allah ﷻ jadikan perkara itu berulang-ulang dari dulu lagi. Beginilah yang Allah ﷻ sentiasa lakukan di mana Allah ﷻ akan musnahkan kaum yang degil.
Begitulah Allah ﷻ bantu umat Islam yang taat kepada Rasulullah ﷺ dan memenuhi syarat-syarat ketaatan kepada Allah ﷻ dan kepada pemimpin perang.
وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا
kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.
Sunnatullah ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Apabila Allah ﷻ telah buat keputusan, tidak akan ada perubahan langsung. Tunggu masa sahaja bila ia akan berlaku.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
One thought on “Tafsir Surah al-Fath Ayat 19 – 23 (Kemenangan di Mekah)”