Tafsir Surah an-Nur Ayat 62 – 64 (Jangan lari dari majlis)

Ayat 62: Ayat ini sehingga ke hujung surah adalah Perenggan Makro Kelapan. Ia berkenaan hukum jamaah.

Kena tengok sirah dan situasi zaman Nabi Muhammad ﷺ untuk memahami ayat ini. Dikatakan bahawa ayat ini diturunkan ketika Peristiwa Perang Ahzab apabila Madinah diserang dan akhirnya parit dibina untuk menghalang musuh. Sebelum keputusan itu dibuat, Nabi Muhammad ﷺ telah mengadakan perbincangan dengan para sahabat.

Nabi Muhammad ﷺ sendiri bersama-sama para sahabat yang lain membanting tulang mengorek parit itu, tetapi golongan munafik ada yang datang tunjuk muka sahaja dan kemudian senyap-senyap melarikan diri. Kerana itulah ayat ini diturunkan.

Kita kena sedar yang Rasulullah ﷺ mempunyai banyak tugas. Ini termasuk tugas baginda sebagai bapa, sebagai pemimpin, suami dan sebagainya. Semua kedudukan itu ada Sunnahnya yang kita kena ikut. Ada sahaja perkara yang kita boleh belajar apabila belajar tentang kehidupan baginda. Ayat ini mengajar kita berkenaan kedudukan baginda sebagai pemimpin masyarakat.

Ini juga merupakan etika yang diajarkan oleh Allah  ‎ﷻ kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Sebagaimana Allah ‎ﷻ telah memerintahkan mereka untuk meminta izin bila hendak masuk ke rumah orang lain, begitulah  juga Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka meminta izin apabila hendak pergi meninggalkannya.

Maknanya untuk masuk kena minta izin, hendak keluar pun kena minta izin juga. Ini adalah untuk menguatkan disiplin umat Islam pada waktu itu yang sedang berkembang. Banyak kerja untuk mengembangkan Islam diperlukan dan kalau disiplin kurang, maka akan mengganggu perjalanan dakwah.

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believers are only those who believe in Allāh and His Messenger and, when they are [meeting] with him for a matter of common interest, do not depart until they have asked his permission. Indeed, those who ask your permission, [O Muḥammad] – those are the ones who believe in Allāh and His Messenger. So when they ask your permission for something of their affairs, then give permission to whom you will among them and ask forgiveness for them of Allāh. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ

Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,

Allah ‎ﷻ mulakan dengan memberitahu sifat-sifat yang kena ada pada seorang mukmin. Yang paling utama kenalah beriman sempurna, iaitu tidak mengamalkan syirik. Inilah maksud beriman dengan Allah.

Dan maksud beriman dengan Rasul adalah: hendaklah melakukan ibadah seperti yang dikehendaki dalam Islam. Dan amalan itu mestilah amalan soleh iaitu amalan sunnah yang ada contoh dari Nabi ﷺ dan sahabat. Jangan amal amalan bidaah.

 

وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ

dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya.

Allah ‎ﷻ memuji sifat sahabat dalam ayat ini. Sahabat semua ikut misi Rasulullah ﷺ untuk menegakkan agama Islam dan menjalankan dakwah. Mereka sedar yang mereka kena bantu baginda untuk sebarkan agama Islam. Maknanya, mereka bukan sahaja amalkan syariat seperti yang dikehendaki oleh wahyu, tetapi mereka menolong Nabi ‎ﷻ sebarkan kepada manusia.

Dan untuk menjayakan misi dakwah itu, para sahabat mesti berdisiplin. Ini penting kerana kalau tiada disiplin, maka usaha dakwah tidak dapat dijalankan. Oleh kerana itu, apabila mereka bersama dengan baginda, mereka tidak akan keluar barisan atau dari majlis perbincangan tanpa meminta izin dari baginda.

Kalau zaman sekarang ini, sama juga begitu di mana disiplin sangatlah diperlukan terutama dalam tentera. Kerana itu tentera ada latihan perbarisan, latihan tembak dan sebagainya di mana mereka dilatih untuk mendengar arahan supaya mereka terus sahaja ikut arahan tanpa soal. Kalau dalam tentera ada latihan sebegitu, dalam agama Islam juga ada latihan iaitu lima kali sehari iaitu solat lima waktu berjemaah.

Dalam solat berjemaah itu kita diajar bagaimana untuk hormat kepada pemimpin (imam). Kita tidak boleh mendahului pergerakan imam. Sampaikan jika imam buat salah pun kita diajar untuk menegur tetapi menegur dengan cara yang baik iaitu dengan menyebut subhanallah. Tetapi tetap tidak boleh mufaraqah (keluar) dari jemaah.

Jadi kena meminta izin sebelum meninggalkan majlis Rasulullah ﷺ, terlebih lagi bila mereka sedang berada dalam pertemuan dengan Rasulullah ﷺ, seperti dalam Solat Jumaat, atau Solat Hari Raya, atau solat berjemaah atau pertemuan membicarakan masalah penting, dan lain sebagainya.

Dan walaupun asalnya ayat ini berkenaan majlis Rasulullah ﷺ, tapi ia terpakai kepada para pemimpin umat Islam selepas baginda. Ini kerana pemimpin umat Islam meneruskan tugas baginda dan perlu dijaga juga disiplin dengan pemimpin. Kalau tidak dijaga, maka umat Islam akan menjadi lemah.

Mungkin timbul persoalan: terdapat juga riwayat di mana ada kalangan sahabat yang meninggalkan majlis baginda tanpa minta kebenaran pun. Jadi bagaimana dengan ayat ini? Kita kena bezakan perjumpaan biasa dan perjumpaan yang penting. Ayat yang kita sedang baca ini menggunakan kalimat أَمرٍ جامِعٍ (urusan berjemaah) yang menunjukkan ianya adalah majlis rasmi yang memang dipanggil oleh Rasulullah ﷺ.

 

إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, 

Jadi para sahabat menjaga disiplin mereka di mana apabila mereka bersama dengan Nabi Muhammad  ﷺ mereka tidak akan meninggalkan baginda tanpa memberitahu baginda dan meminta izin untuk meninggalkan majlis. Tidaklah mereka berkata kepada diri mereka: “Ramai orang lain lagi ni, aku boleh pergi dari sini.”

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa para sahabat yang meminta izin sebelum pergi itu, adalah mereka yang benar-benar beriman.

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَل ومُسَدَّد، قَالَا حَدَّثَنَا بِشَرٌ -هُوَ ابْنُ الْمُفَضَّلِ -عَنْ عَجْلان عَنْ سَعِيدٍ المَقْبُرِيّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِذَا انْتَهَى أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَجْلِسِ فليسلِّم، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ فليسلِّم، فَلَيْسَتِ الْأُولَى بِأَحَقَّ مِنَ الْآخِرَةِ”.

Abu Daud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Hambal dan Musaddad. Keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnul Mufaddal, dari Ajian, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Apabila seseorang di antara kalian sampai di majlis (nya), hendaklah memberi salam; dan apabila hendak bangkit meninggalkannya, hendaklah memberi salam (pula), kerana salam yang pertama tidaklah lebih utama daripada salam yang terakhir.

 

فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم

maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka,

Kalimah شأن bermaksud ‘tugas penting’. Ada beza kalau digunakan kalimah أَمرٍ yang bermaksud tugas biasa sahaja. Semua tugas adalah أَمرٍ. Tetapi kalau شأن digunakan, orang itu sahaja yang boleh buat kerana dia yang ada kepakaran.

Maka susahlah kalau dia tidak ada. Maka pemimpin kena membuat keputusan untuk memberikan izin ataupun tidak. Kerana ada orang yang penting sangat tidak boleh pergi. Kalau dia pergi juga, tidak jadi kerja yang hendak dijalankan.

Tetapi, di dalam Surah Tawbah ada juga disebut tentang izin dan sepatutnya Nabi ﷺ tidak boleh memberi izin pula kepada yang meminta untuk meninggalkan. Sampaikan baginda ditegur di dalam ayat itu kerana membenarkan mereka meninggalkan majlis.

Bezanya, mereka dalam Surah Tawbah itu adalah jenis tidak beriman. Dan Allah ‎ﷻ ingin menjadikan panggilan perang itu sebagai tanda penentu siapakah yang munafik dan siapakah yang beriman. Dan dalam ayat Surah Nur ini, yang meminta izin itu adalah mereka yang beriman. Kalau yang tidak beriman, mereka akan pergi begitu sahaja tanpa minta izin.

Manakala di dalam Surah Tawbah, yang meminta izin adalah golongan munafik. Mereka meminta izin dengan memberi bermacam-macam alasan. Memang mereka jenis tak guna dan tidak menambah kekuatan puak Islam pun kalau mereka ada. Kerana itu Nabi ﷺ benarkan mereka tidak menyertai peperangan itu.

Maka tidaklah salah Nabi ﷺ membenarkan mereka tidak menyertai peperangan itu. Tapi Allah ‎ﷻ tetap menegur Nabi ﷺ untuk memberi izin kerana apabila baginda ﷺ memberi izin, sudah tidak nampak siapakah golongan munafik di mata para mukmin. Allah ‎ﷻ ingin jadikan itu sebagai tanda golongan munafik kerana Allah ‎ﷻ mahu tunjukkan kepada golongan mukmin siapakah yang munafik di kalangan mereka.

Apabila izin tidak diberikan dan mereka tetap tidak menyertai peperangan, waktu itu barulah nampak mereka itu munafik sebenarnya. Kerana mereka memang tidak akan menyertai peperangan itu, sama ada mendapat izin ataupun tidak. Tetapi apabila baginda memberikan izin, mereka sudah mempunyai alasan pula: “Eh Nabi dah bagi kebenaran lah….”

Maka pemimpin kena membuat keputusan sama ada untuk memberikan izin ataupun tidak. Untuk lebih jelas lagi, katakanlah kita ada beberapa pekerja. Ada yang boleh dipercayai dan ada yang tidak. Kalau keadaan memerlukan, contohnya waktu benar-benar sibuk, maka kalau pekerja yang tidak dipercayai itu yang minta cuti, maka kita boleh benarkan.

Tetapi kalau pekerja yang baik dan boleh diharap, susah pula untuk kita berikan cuti kerana kita sudah tahu yang kalau dia tidak ada, memang akan payah perjalanan kerja nanti. Dalam kes ini, tidak mendapat izin untuk cuti itu adalah tanda dia berguna dan diperlukan.

Dalam keadaan biasa, yang meminta izin adalah orang baik. Orang teruk tidak akan meminta izin pun. Jadi kalau yang baik meminta izin maka berikanlah izin kepada mereka. Cuma kena nilai semula sama ada boleh beri ataupun  tidak. Pemimpin kena pandai menilai keadaan. Kalau sudah menjadi pemimpin, kenalah pandai mentadbir dan menilai keadaan.

Maka ini menjadi dalil bahawa tidak boleh meninggalkan majlis yang penting melainkan kalau ada hal yang penting. Jangan suka-suka hendak keluar dari majlis itu.

Ayat ini juga memberitahu yang pemimpin Islam boleh menolak untuk memberi izin itu kalau dia rasa yang keperluan umat Islam lebih tinggi dari keperluan peribadi orang itu walaupun ia penting bagi orang itu. Dan seorang mukmin kena menerima perkara ini dengan lapang dada. Kalau pemimpin tidak berikan izin, maka kena duduk juga dalam majlis itu.

 

وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ

dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah.

Dan apabila keizinan telah diberikan, masih kena istighfar bagi pihak mereka. Kerana mungkin Allah ‎ﷻ tidak izinkan. Kita memang izinkan, tetapi bagaimana dengan Allah ‎ﷻ? Kerana mungkin apabila meminta izin itu, orang itu telah melebihkan kepentingan peribadinya lebih dari kepentingan agama.

Juga istighfar untuk mereka kerana mereka telah tinggalkan majlis yang penting untuk pergi ke hal yang tidak penting (hal peribadi mereka).

Ini adalah doa rahsia. Bukannya dibaca kuat-kuat pula.

Beri izin adalah mulia kerana selalunya kalau ada di kalangan kita yang hendak pergi, kita tidak suka. Padahal mereka itu datang dengan sukarela sahaja. Maka kenalah berlembut dengan mereka dan tidak paksa mereka, takut nanti lain kali mereka tidak mahu datang pula. Bila mereka tidak datang terus, tentu kita yang susah, bukan?

Tetapi memang kena berhati-hati kerana orang lain tentu sahaja tidak suka kalau nampak. Nanti mereka kata: “Eh kenapa dia boleh pergi pula?” Takut nanti ada yang hilang semangat kerana mereka kena kerja lebih pula kerana orang sudah kurang. Padahal kerja yang hendak dilakukan adalah kerja besar dan memerlukan semangat dan daya juang yang tinggi.

 

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ Maha Ghafir. Maknanya Allah ‎ﷻ akan beri pengampunan kalau diminta. Maka mintalah ampun dari Allah ‎ﷻ kerana terpaksa meninggalkan majlis yang memerlukan penglibatan kita.


 

Ayat 63:

لّا تَجعَلوا دُعاءَ الرَّسولِ بَينَكُم كَدُعاءِ بَعضِكُم بَعضًا ۚ قَد يَعلَمُ اللهُ الَّذينَ يَتَسَلَّلونَ مِنكُم لِواذًا ۚ فَليَحذَرِ الَّذينَ يُخالِفونَ عَن أَمرِهِ أَن تُصيبَهُم فِتنَةٌ أَو يُصيبَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not make [your] calling of the Messenger among yourselves as the call of one of you to another. Already Allāh knows those of you who slip away, concealed by others. So let those beware who dissent from his [i.e., the Prophet’s] order,¹ lest fitnah² strike them or a painful punishment.

  • Meaning also his way or his sunnah.
  • Trials, affliction, dissension, strife, etc.

(MELAYU)

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.

 

لّا تَجعَلوا دُعاءَ الرَّسولِ بَينَكُم كَدُعاءِ بَعضِكُم بَعضًا

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). 

Ada tiga tafsir panggilan apakah yang dimaksudkan:

1. Jangan rasa panggilan Nabi ﷺ untuk mengikut misi dakwah itu sama dengan panggilan dari orang lain. Kerana panggilan Nabi ﷺ lebih penting. Panggilan Nabi ﷺ adalah jemputan Nabi ﷺ untuk mengikut misi baginda menyebarkan agama dan ini adalah kerja besar. Tidak sama dengan ajakan orang lain.

Jadi apabila Rasulullah ﷺ yang panggil, maka tidak ada pilihan untuk datang ataupun tidak kerana memang sudah wajib datang; dan bila berada di dalam majlis baginda, kalau hendak keluar kena meminta izin seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

Melihat dari konteks ayat sebelum ini, tafsir inilah yang lebih kuat.

2. Juga boleh bermaksud, jangan panggil baginda sama seperti panggilan kepada orang lain. Kedudukan Rasulullah ﷺ itu tidak sama dengan kedudukan orang lain. Maka kena hormati baginda lebih dari hormat kepada orang lain. Perkara ini juga ada disebut dalam Hujurat:2 dan Hujurat:4

Maka mesti gunakan panggilan yang penuh hormat kepada baginda sesuai dengan kedudukan baginda ﷺ.

Ad-Dahhak telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa dahulu mereka mengatakan, “Hai Muhammad ﷺ, hai Abul Qasim!” Kemudian Allah ‎ﷻ melarang mereka melakukan hal tersebut sebagai penghormatan kepada Nabi ﷺ-Nya. Nabi ﷺ bersabda, “Ucapkanlah oleh kalian, “Hai Nabi Allah, hai Rasulullah ﷺ.” Hal yang sama telah dikatakan oleh Mujahid dan Sa’id ibnu Jubair.

Ini juga menjadi pengajaran dan nasihat bagi kita untuk menghormati orang lain, terutama sekali orang yang tua di kalangan kita. Kenalah panggil mereka dengan panggilan yang hormat kepada mereka. Kita umat Islam adalah umat yang beradab.

3. Menurut pendapat yang lain tentang makna ayat ini, firman-Nya: Janganlah kalian jadikan panggilan Rasul ﷺ di antara kalian seperti panggilan sebahagian kalian kepada sebahagian (yang lain), (An-Nur: 63) Iaitu janganlah kalian mengira bahawa doa Nabi ﷺ kepada orang lain sama dengan doa orang lain kepada sesamanya, kerana sesungguhnya doa Nabi ﷺ itu dikabulkan.

Ini merujuk kepada doa pengampunan baginda ﷺ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Kerana itu, hati-hatilah kalian, jangan sampai Nabi ﷺ mendoakan untuk kemudaratan kalian yang akhirnya kalian pasti akan binasa. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim melalui Ibnu Abbas, Al-Hasan Al-Basri, dan Atiyyah Al-Aufi.

 

قَد يَعلَمُ اللهُ الَّذينَ يَتَسَلَّلونَ مِنكُم لِواذًا

Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung

Allah ‎ﷻ sudah mengetahui ada yang melakukan tasallul. Asalnya dari س ل ل yang bermaksud cabut pedang dari sarung supaya tidak keluar bunyi. Itulah salla.

Oleh itu, kalimah يَتَسَلَّلونَ bermaksud perlahan-lahan keluar supaya orang tidak nampak. Ini adalah sifat golongan munafik. Mereka menyorok di belakang orang lain yang keluar sekali. Mereka mahu meninggalkan majlis itu kerana mereka merasakan Nabi ﷺ akan keluarkan arahan dan mereka tidak mahu terlibat. Ini adalah kerana mereka tidak mementingkan misi dakwah Islam.

Kalimah لِواذًا pula bermaksud menyorok. Bila keluar sama dengan orang ramai, mereka lakukan sambil menyorok. Allah ‎ﷻ kata Dia tahu tentang apa yang mereka lakukan itu.

Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah tentang golongan munafik merasa enggan dan keberatan mengikuti pembicaraan di hari Jumaat, yang dimaksudkan ialah Khutbah Jumaat. Maka mereka pergi secara beransur-ansur (surut) dengan berlindung kepada sebahagian sahabat Nabi ﷺ hingga keluar dari masjid (lalu hilang begitu sahaja).

Padahal tidaklah patut bagi seseorang keluar dari masjid melainkan setelah mendapat izin dari Nabi ‎ﷺ pada hari Jumaat sesudah Nabi ﷺ memulai khutbahnya. Dan bilamana seseorang dari kaum Muslim hendak keluar, dia hendaklah berisyarat dengan tangannya kepada Nabi ﷺ, maka baginda memberikan izin kepadanya.

Semuanya itu dilakukan hanya dengan isyarat, tanpa bicara; kerana bila dia berbicara, sedangkan Nabi ﷺ dalam khutbah, maka batallah khutbah Jumaatnya.

 

فَليَحذَرِ الَّذينَ يُخالِفونَ عَن أَمرِهِ أَن تُصيبَهُم فِتنَةٌ

maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan

Mereka yang sebegitu telah menolak arahan Nabi ﷺ. Mereka adalah ancaman kepada organisasi Islam. Boleh rosak organisasi kalau mereka ada di dalamnya kerana mereka tidak akan menjalankan kerja dan menjatuhkan orang lain.

Dalam rangka kerja dakwah, tidak boleh ada orang yang bersifat begitu, kerana kita semua kenalah ada disiplin. Mereka yang sebegitu telah menggugat misi dakwah agama Islam.

Mereka yang sebegini akan diuji dengan fitnah (dugaan) kerana tidak lama lagi akan diturunkan Surah Taubah (dari segi susunan turunan surah). Waktu itu akan dibongkarkan siapakah diri mereka yang sebenarnya. Waktu itu mereka akan diuji lagi siapakah yang akan pergi berperang dan tidak; siapa yang munafik dan siapa yang mukmin. Dugaan bagi mereka adalah nanti mereka akan dikenali sebagai munafik.

Maka menolak arahan Rasulullah ﷺ adalah berdosa. Maka kena ikut sungguh-sungguh apa yang disampaikan oleh baginda.

Cubaan lain yang boleh juga termasuk dalam keadaan ini adalah: perpecahan, perang saudara sesama Muslim, tidak senang sesama Muslim, rasa sangsi sesama sendiri dan macam-macam lagi.

Satu lagi tafsir, taat kepada Rasul ﷺ adalah dengan mengamalkan ajaran baginda, iaitu Sunnah. Maka kalau amalkan amalan selain dari amalan Sunnah, maka mereka akan dikenakan dengan cubaan.

Begitu ramai yang mengamalkan amalan bidaah, tetapi mereka tidak takut kerana mereka sangka amalan itu baik. Ini adalah kerana kejahilan tentang manakah amalan sunnah dan manakah amalan bidaah. Sedangkan baginda telah mengatakan tidak boleh buat bidaah. Lihatlah hadis yang terkenal ini:

“مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدّ”

Barang siapa yang mengerjakan suatu amal perbuatan yang bukan termasuk urusan kami, maka hal itu ditolak.

Cubaan yang dimaksudkan boleh jadi dimasukkan ke dalam hati mereka sifat kekafiran, kemunafikan, atau sayang kepada amalan bid’ah. Atau apa-apa sahaja dugaan yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada mereka.

 

أَو يُصيبَهُم عَذابٌ أَليمٌ

atau ditimpa azab yang pedih.

Atau, mereka boleh sahaja terus ditimpa azab kerana kesalahan mereka meninggalkan barisan misi dakwah. Ia boleh jadi dalam bentuk azab di dunia, seperti dihukum mati, atau dihukum had, atau dipenjara, dan lain sebagainya.


 

Ayat 64: Penutup surah.

أَلا إِنَّ ِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ قَد يَعلَمُ ما أَنتُم عَلَيهِ وَيَومَ يُرجَعونَ إِلَيهِ فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۗ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Unquestionably, to Allāh belongs whatever is in the heavens and earth. Already He knows that upon which you [stand]¹ and [knows] the Day² when they will be returned to Him and He will inform them of what they have done. And Allāh is Knowing of all things.

  • i.e., your position – the basis for your actions (whether sincere faith or hypocrisy) and the condition of your souls.
  • The meaning can also be rendered “…and [let them beware of] the Day…”

(MELAYU)

Ketahuilah sesungguhnya kepunyaan Allahlah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada di dalamnya (sekarang). Dan (mengetahui pula) hari (manusia) dikembalikan kepada-Nya, lalu diterangkan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

 

أَلا إِنَّ ِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Ketahuilah sesungguhnya kepunyaan Allahlah apa yang di langit dan di bumi. 

Allah ‎ﷻ memiliki langit dan juga bumi dan kerana itu Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita pun dalam menegakkan agama-Nya. Dan kerana itu jikalau kita lari daripada melakukan tugas dakwah itu, maka itu tidak mengganggu Allah ‎ﷻ pun. Kita yang rugi, bukan Allah ‎ﷻ. Dakwah tetap sahaja akan berjalan dan akan ada sahaja manusia yang masuk Islam.

Sebenarnya, kitalah yang diberi peluang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Jangan kita rasa yang Allah  ‎ﷻ memerlukan khidmat kita pula. Kita ini tidak ada apa-apa kekuatan pun. Kalau kita tidak ada, agama Islam dan dakwah akan tetap berjalan. Cuma Allah beri peluang kepada kita untuk berdakwah untuk mendapat pahala dakwah.

 

قَد يَعلَمُ ما أَنتُم عَلَيهِ

Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada di dalamnya

Allah ‎ﷻ tahu keadaan diri kita luar dan dalam, dan Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita fikirkan. Tidak perlu untuk sembunyikan dari Allah ‎ﷻ. Kalau dengan manusia, bolehlah kalau hendak mengelak, hendak tipu dan sembunyikan diri. Firman Allah ‎ﷻ dalam ayat yang lain:

{وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِنْ قُرْآنٍ وَلا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ وَمَا يَعْزُبُ عَنْ رَبِّكَ مِنْ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الأرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ وَلا أَصْغَرَ مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْبَرَ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ}

Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan kamu tidak membaca suatu ayat dari Qur’an dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atas kalian di waktu kalian melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah (atom) di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu, melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz). (Yunus: 61)

 

وَيَومَ يُرجَعونَ إِلَيهِ

Dan (mengetahui pula) hari (manusia) dikembalikan kepada-Nya,

Allah ‎ﷻ menggunakan kata ganti ketiga apabila mengatakan mereka akan dikembalikan kerana Allah  ‎ﷻ sudah murka dengan mereka. Dalam potongan sebelum ini, Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan mereka (ما أَنتُم عَلَيهِ). Tapi sekarang Allah ‎ﷻ sudah menukar kata ganti mereka kepada pihak ketiga (يُرجَعونَ إِلَيهِ).

Apabila Allah ‎ﷻ bercakap tentang mereka dalam kata ganti ketiga, itu menunjukkan yang Allah ‎ﷻ sudah murka, sampai tidak bercakap terus dengan mereka.

 

فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا

lalu diterangkan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

Dan apabila mereka dikembalikan kepada-Nya, Allah  ‎ﷻ akan beritahu balik segala apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia dahulu. Bukan sengaja untuk beritahu sahaja, tetapi beritahu itu kerana hendak membalas mereka dengan azab yang sepatutnya mereka dapat.

 

وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang mereka lakukan, maka tidak dapat untuk larikan diri langsung.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah an-Nur ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Furqan.

Kemaskini: 31 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 62 – 64 (Jangan lari dari majlis)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s