A’raf Ayat 59: Sekarang kita masuk kepada Makro kedua surah ini iaitu kisah Nabi Nuh عليه السلام pula. Sebelum ini kita telah dengar kisah Nabi Adam عليه السلام. Allah ﷻ menyusun kisah para Rasul dalam surah ini berturutan. Pelajaran agama yang menyentuh tentang Tauhid, Risalah dan Akhirat (3 perkara utama) telah disebut dengan panjang lebar sebelum ini. Sekarang Allah ﷻ beri contoh apa yang berlaku dalam kalangan para Nabi terdahulu dan masyarakat mereka. Kita dalam belajar memang memerlukan contoh.
Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111 لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal).
Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ﷻ sebut di dalam Hud: 120 وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ (Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu).
Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ (dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman)
لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We had certainly sent Noah to his people, and he said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Indeed, I fear for you the punishment of a tremendous Day.”
MALAY
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”
لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya,
Kisah Nabi Nuh عليه السلام ini adalah kisah pertama daripada enam kisah (selain kisah Nabi Adamعليه السلام di awal surah). Kisah pertama sampai yang ke tiga (Nabi Nuh, Hud dan Saleh عليهم السلام) hendak menghuraikan Dakwa Ketiga: hanya Allah ﷻ sahaja yang layak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang memiliki sifat yang sempurna.
Nabi Nuh عليه السلام telah diutuskan hanya kepada kaumnya sahaja. Tempat mereka adalah di Iraq sekarang. Selepas Nabi Adam عليه السلام, Rasul yang mula-mula sekali diangkat menjadi Rasul adalah Nabi Nuh عليه السلام (Nabi Adam عليه السلام bukan Rasul tetapi hanya sebagai Nabi sahaja). Baginda adalah keturunan ke 8 Nabi Adam عليه السلام. Ada pendapat yang mengatakan jarak antara Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام adalah 10 kurun (satu kurun seratus tahun). Baginda diangkat menjadi Rasul pada umur 40 tahun. Selepas Banjir Besar, baginda terus hidup selama 60 tahun. Maka umur baginda tidaklah 950 tahun sahaja. Itu adalah jangkamasa baginda berdakwah sahaja.
Gelaran baginda adalah Abul Basyar Thaani (Bapa Manusia Kedua) kerana kita ini semua adalah anak keturunan baginda (selain daripada Nabi Adam عليه السلام). Ini kerana orang lain yang bersama baginda di dalam bahtera itu tidak ada zuriat melainkan baginda sahaja seperti disebut dalam [ Saffaat: 77 ]. Namun bukankah isteri baginda pun mati kerana kufur? Jawapannya baginda pun ada lagi isteri lain.
Baginda adalah Nabi lagi Rasul. Mungkin ada yang kehairanan apa pula beza antara Nabi dan Rasul? Banyak sekali persoalan ini dalam kalangan masyarakat maka kita jelaskan di sini. Ini menjadi perbincangan dalam kalangan ulama’.
1. Ulama’ bersepakat ada beza antara Nabi dan Rasul. Semua Rasul adalah Nabi, tetapi bukan semua Nabi adalah Rasul. Maka pangkat Rasul adalah lebih tinggi lagi.
Memang ada yang kata sama sahaja Rasul dan Nabi (boleh digunakan secara “interchangeable”). Namun pendapat ini lemah kerana ada dalil-dalil dalam Al-Qur’an dan Hadith yang memberi maksud tidak sama sebenarnya Rasul dan Nabi. Maka boleh lupakan pendapat yang mengatakan Nabi dan Rasul sama sahaja. Yang kata begini antaranya adalah golongan Muktazilah.
Di antara dalil yang menunjukkan adanya perbezaan antara nabi dan rasul adalah firman Allah ﷻ,
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi.”
Nota: Lihat bagaimana Allah ﷻ sebut Rasul dan kemudian sebut Nabi. Kalau sama sahaja, kenapa perlu disebut secara berasingan?
2. Apakah beza antara keduanya? Tidak ada ketetapan di kalangan ulama’ tentang hal ini. Saya cuba ringkaskan di sini beberapa pendapat:
a. Rasul dan Nabi diberikan wahyu dan syariat tetapi Rasul wajib menyampaikan, manakala Nabi tidak wajib sampaikan. Akan tetapi pandangan ini dikritik kerana sesiapa yang dapat wahyu, kena sampaikan. Lihat [ Ali Imran: 187 ]
b. Rasul mendapat wahyu melalui perantaraan Jibril عليه السلام, sedangkan Nabi hanya dapat melalui cara ilham atau mimpi sahaja.
c. Rasul mendapat syariat baru, Nabi hanya meneruskan syariat yang sudah ada. Namun begitu pandangan ini juga dikritik kerana Nabi Nuh عليه السلام adalah Rasul pertama. Kalau begitu, Nabi Adam عليه السلام menggunakan syariat apa pula? Takkan tidak ada syariat?
Begitu juga Nabi Daud عليه السلام dan Nabi Sulaiman عليه السلام adalah Rasul, tetapi mereka menggunakan syariat daripada Taurat sahaja, tidak membawa syariat baru.
d. Rasul mendapat kitab dan syariat baru; Nabi pula tidak mendapat kitab dan mengikut syariat sebelumnya sahaja. Ini dibantah sama dengan item c.
e. Rasul diutuskan kepada kaum yang ingkar, sedangkan Nabi diutuskan kepada kaum yang sudah beriman. Maka tugas Rasul adalah lebih berat, sedangkan tugas Nabi hanya terus mengajarkan perkara yang sudah diterima. Ini adalah pandangan Ibnu Taimiyah رحمه الله dan kita ambil ini sebagai pandangan yang lebih kuat.
Contohnya Nabi Adam عليه السلام hanya seorang Nabi kerana umat baginda sedikit sahaja dan semuanya beriman tetapi Nabi Nuh عليه السلام adalah Rasul kerana ketika zaman baginda, umatnya sudah ingkar syirik dan perlu diperbetulkan. Dalilnya:
Rasulullah ﷺ bersabda,
فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ: يَا نُوحُ، إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ
“Mereka pun mendatangi Nuh, dan berkata, ‘Wahai Nuh, sesungguhnya Engkau adalah rasul pertama bagi manusia.’”
(Bukhari No. 4712)
Itulah antara pendapat yang ada tentang perbezaan antara Nabi dan Rasul.
فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ
lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah,
Ini adalah perkara paling penting yang diingatkan oleh Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya: Nabi Nuh عليه السلام telah menyuruh kaumnya itu sembah Allah ﷻ sahaja. Jangan pula sembah Allah ﷻ dan dalam masa yang sama sembah pula selain Allah ﷻ. Ini dinamakan syirik.
Ini adalah kerana mereka telah menyembah patung-patung berhala yang asalnya dijadikan untuk mengingatkan manusia kepada orang-orang yang soleh dalam kalangan mereka. Maknanya yang perlu diajar dan ditegur adalah tentang akidah umat. Kena ajar ajaran tauhid kepada mereka.
Lihatlah cara dakwah Nabi Nuh عليه السلام di dalam ayat ini. Baginda memanggil mereka dengan panggil baik يٰقَومِ (wahai kaumku). Inilah cara dakwah yang bagus. Kena gunakan bahasa yang baik dengan mad’u (orang yang hendak didakwah). Jangan digunakan panggilan kasar seperti “hoi setan”, “woi bodoh” dan sebagainya.
ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ
tidak ada ilah lain bagi kamu selain daripada-Nya.
Kena sembah Allah ﷻ sahaja kerana tidak ada ilah lain yang boleh selesaikan masalah selain Allah ﷻ. Ilah hanyalah Allah ﷻ sahaja dan itulah maksud la ilaaha illallah. Malangnya perkara tauhid sebegini jarang diajar dan dipelajari oleh umat manusia termasuk umat Islam pun. Ramai pandai sebut tetapi tidak faham apa yang disebut.
Maka ramai yang keliru dengan tauhid kerana mereka tidak belajar sekali dengan syirik. Mereka tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan syirik dan contoh-contohnya sampaikan mereka melakukan syirik tanpa mereka sedari. Lihatlah sekarang, meminta dengan pokok pun ada yang kata tidak salah! Memang ke laut dalam sungguh fahaman mereka ini.
Begitulah yang terjadi kepada Kaum Nabi Nuh عليه السلام. Pada mulanya berhala-berhala disembah ialah kerana pada masa lalu ada suatu kaum yang soleh telah meninggal dunia. Kemudian kaum mereka membangunkan masjid-masjid di atas kuburan mereka dan membuat gambar-gambar mereka di dalamnya untuk mengingatkan orang-orang akan tingkah laku dan ibadah mereka, dengan tujuan agar kaum mereka meniru jejak mereka.
Akan tetapi setelah zaman berlalu cukup lama, mereka (kaumnya) membuat patung-patung dalam bentuk gambar-gambar orang soleh tersebut. Setelah berlalunya masa yang cukup lama lagi, maka mereka mulai menyembah patung-patung tersebut dan menamakannya dengan nama orang-orang soleh itu, seperti Wad, Suwa’, Yagus, Ya’uq, dan Nasr. Ini disebut dalam [ Nuh: 23 ].
Inilah bahayanya apabila mengagungkan orang-orang yang sebelum kita berlebihan. Mula-mula dengan gambar, kemudian mula hendak bertawasul dengan mereka, kemudian membuat patung, kemudian memuja. Akhirnya dijadikan sebagai tuhan. Sebab itu kena berhati-hati meninggalkan segala perkara yang boleh membawa ke arah syirik. Kerana itulah kita menegur perbuatan berlebihan golongan sesat seperti Habib yang memuja orang-orang yang mati dalam kalangan mereka.
Kalau tidak berhati-hati, syaitan akan meracuni fikiran orang yang leka. Itulah yang terjadi dengan kaum Nabi Nuh عليه السلام. Setelah hal tersebut kian parah, Allah ﷻ mengutuskan Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Nuh عليه السلام telah memerintahkan mereka agar menyembah Allah ﷻ semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.
إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar
Ini adalah balasan yang Nabi Nuh عليه السلام takut akan dikenakan kepada kaumnya itu kalau mereka tidak sembah Allah ﷻ sahaja sebagai ilah. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan menerima azab yang amat besar. Azab yang dikenakan kepada mereka yang melakukan syirik adalah kekal dalam neraka, tidak keluar sampai bila-bila.
Sepatutnya mereka yang membuat kesalahan, merekalah yang patut takut, bukan? Namun Allah ﷻ kata Nabi Nuh عليه السلام pula yang takut. Ini kerana baginda sayangkan mereka dan takut mereka mendapat azab. Ini mengajar kita sebagai pendakwah untuk sayang dan memandang masyarakat dengan pandangan rahmah. Kita dakwah dan tegur kesalahan mereka bukannya kerana hendakkan kelebihan ke atas mereka, atau kerana kita hendakkan kebaikan seperti upah daripada mereka. Kita takut mereka akan menyesal nanti di kemudian hari.
Hari itu pasti akan datang iaitu ‘hari yang besar’. Maknanya tidak kisahlah hari apa di dunia ini, hari jadi kah, hari kemerdekaan kah… semua itu tidak dapat menandingi hari Kiamat nanti. Hari yang paling agung dan menakutkan semua orang. Hari yang akan diberi balasan yang baik kepada yang taat dan balasan buruk kepada yang degil. Maka Nabi Nuh عليه السلام telah memberikan amaran kepada mereka kerana manusia memerlukan amaran, terutama sekali mereka yang degil.
Oleh sebab itu, ringkasan ayat pertama ini begini: ada 3 mesej utama Nabi Nuh عليه السلام iaitu sembahlah Allah ﷻ – jangan buat syirik – kalau buat syirik ada azab.
A’raf Ayat 60: Apakah hujah penolakan daripada kaum Nabi Nuh عليه السلام itu?
قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Said the eminent among his people, “Indeed, we see you in clear error.”
MALAY
Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.
قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ
Ketua-ketua daripada kaumnya berkata:
Al-Mulu’ adalah orang-orang terkemuka, mulia, pembesar dan pemimpin daripada suatu kaum atau masyarakat yang memiliki “kepedulian” dalam menentukan atau mempengaruhi kebijakan dalam masyarakat. Mereka mempunyai kemampuan berunding atau bermusyawarah untuk memutuskan sebuah persoalan yang berkembang dalam masyarakat.
Mereka ini adalah tentang golongan pembesar kaum Nabi Nuh عليه السلام. Merekalah selalu yang menimbulkan masalah semenjak dari dulu sampai sekarang adalah golongan yang kaya dan yang ada kuasa. Mereka itu sudah besar dan sombong diri dan berasakan diri mereka sahaja yang betul dan pandai. Maka merekalah yang selalunya yang menentang kebenaran daripada sampai kepada masyarakat.
Selalunya mereka akan menentang kebenaran yang dibawa kerana kebenaran itu akan menyusahkan mereka, akan menyebabkan pengaruh mereka berkurangan atau hilang terus, atau akan menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah lagi. Memang masalah kalau masyarakat pandai dan berilmu – sebab susah untuk menipu mereka lagi.
إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
“Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.
Mereka kata Nabi Nuh عليه السلام itu sesat kerana baginda membawa ajaran lain daripada orang lain. Mereka telah lama menyembah patung-patung berhala itu sampaikan mereka sangka yang mereka itulah yang berada atas agama yang benar. Mereka yang sesat, tetapi mereka kata Nabi Nuh عليه السلام pula yang sesat.
Mereka kata Nabi Nuh عليه السلام sesat dan bukan sesat biasa, tetapi sesat yang مبين iaitu yang jelas betul. Kenapa sampai begitu? Kerana mereka yakin sangat yang mereka itu benar. Mereka sangka amalan syirik mereka itulah yang benar. Pelik sungguh mereka pula mahu mendakwah Nabi Nuh عليه السلام yang mengatakan kena sembah Allah ﷻ sahaja, akan ada kebangkitan semula dan lain-lain lagi. Mereka rasa Nabi Nuh عليه السلام sudah sesat bangat.
Beginilah masalah yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai kuasa dan sombong untuk menerima kebenaran. Mereka ada kekuatan pengaruh dan kekuatan kewangan sampai membolehkan mereka menolak Nabi Nuh عليه السلام di khalayak ramai. Mereka buat begitu supaya mereka boleh mengawal masyarakat kerana mereka mahu orang ramai yang tidak menggunakan akal sendiri, rasa dalam diri mereka: “Kalau pemimpin aku yang kaya raya dan pandai ini pun tidak terima dia ni, bagaimana pula dengan aku? Takkan aku nak terima dia pula?”
Begitulah, zaman sekarang pun ramai yang berkuasa yang menentang dan menghalang dakwah golongan yang Sunnah. Mereka melontarkan berbagai-bagai cemuhan dan dalil yang bathil untuk menghalang gerakan sunnah. Mereka kata gerakan sunnah ini yang sesat, yang memecah belahkan masyarakat, yang suka mengkafirkan orang dan sebagainya. Itu semua tohmahan sahaja yang tiada asasnya.
Yang sesat sekarang sangka merekalah yang benar. Lihatlah golongan yang hendak mempertahankan Tarekat Naqsyabandiah yang sesat bangat itu. Berbelit-belit hujah mereka hendak mempertahankan tarekat sesat ini. Walaupun telah diberi berbagai hujah kesesatan dan kartunnya kumpulan ini, namun masih ada lagi golongan yang hendak mempertahankannya. Mungkin kerana ada orang besar yang memberi arahan supaya dihalalkan kembali ajaran sesat ini.
Maka kita berhati-hatilah dengan apa yang diperkatakan oleh orang-orang yang dipandang besar dalam kalangan kita. Janganlah kita terus menerima apa yang mereka katakan. Allah ﷻ telah memberikan kita akal dan kebolehan untuk mendapatkan ilmu supaya kita boleh menggunakan akal yang waras untuk melihat yang manakah kebenaran.
Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang sesalan yang akan dihadapi oleh mereka yang ikut membuta sahaja apa yang dikatakan oleh para pemimpin mereka. Jangan kita menyesal seperti mereka nanti.
A’raf Ayat 61: Penolakan daripada pemuka kaumnya tadi amatlah keras, siap kata Nabi Nuh عليه السلام sesat. Sekarang mari kita lihat pula bagaimana cara jawapan Nabi Nuh عليه السلام. Jawapannya ini menjadi contoh kepada para pendakwah. Tidaklah dibalas keras dengan keras akan tetapi kena ada kelembutan di dalam dakwah.
قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي ضَلٰلَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Noah] said, “O my people, there is not error in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.
MALAY
Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.
قالَ يٰقَومِ لَيسَ بي ضَلٰلَةٌ
Nabi Nuh menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan,
Ini adalah jawapan daripada Nabi Nuh عليه السلام. Baginda kata yang baginda tidak sesat sedikit pun. Lihatlah bahawa lafaz baginda ini disampaikan terus kepada kaumnya, bukan kepada ketua-ketua itu kerana para pemimpin itu berhujah kepada rakyat dan masyarakat, maka baginda menjelaskan kedudukan baginda terus kepada masyarakat juga.
Juga lihatlah bahasa lembut yang digunakan oleh baginda. Baginda tidaklah marah mereka semula: “Oh kau kata aku sesat?! Korang tu sepuluh kali sesat tau dak?!!” Bahasa kasar dan kesat bukan bahasa pendakwah. Pendakwah kenalah belajar tenang, belajar buat muka manis dan tidak terkesan dengan kata-kata buruk daripada mad’u (orang yang didakwah) dan para penentang. Ingatlah yang mereka itu orang yang masih lagi tidak tahu, maka kita beri peluang kepada mereka.
Memang kena banyak bersabar kerana para penentang memang banyak yang akan menggunakan kata-kata kesat. Itu adalah kerana kelemahan akal dan ilmu mereka. Janganlah kita terasa sangat. Mereka tidak tahu hendak cakap apa sebenarnya, kerana mereka tidak ada dalil, maka mereka hanya ada makian dan cacian sahaja.
Kalau kita yang hendak berdakwah dan hendak sampaikan sunnah ini pun ikut kasar seperti mereka, memang tidak kenalah cara begitu. Buat apa kita hendak gunakan kata kasar sedangkan dalil ada di tangan kita?
وَلٰكِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ
tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.
Baginda menegaskan bahawa baginda adalah rasul yang diutus oleh Allah ﷻ, Tuhan sekalian alam. Baginda memperkenalkan diri baginda dan kedudukan yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Maka mereka mestilah mengikut ajaran dan dakwah baginda, tidak ada pilihan lain lagi sekiranya mahu selamat.
A’raf Ayat 62: Apakah tugas Nabi Nuh عليه السلام? Nabi Nuh عليه السلام sambung menjelaskan.
أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَأَنصَحُ لَكُم وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
I convey to you the messages of my Lord and advise you; and I know from Allāh what you do not know.
MALAY
“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
أُبَلِّغُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي
“Aku menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku,
Kemudian baginda memberitahu tugas baginda, iaitu menyampaikan wahyu Tuhan. Semua yang baginda sampaikan itu bukan daripada dirinya sendiri, tetapi daripada Allah ﷻ. Inilah tugas utama para Rasul, iaitu menyampaikan risalah Allah ﷻ.
Maka tugas Rasul dan para pendakwah hanyalah menyampaikan risalah daripada Allah ﷻ. Menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang sahih. leh itu, kenalah mahir dua perkara ini. Bukannya menyampaikan mimpi tok guru, pendapat tok guru, angan-angan tok guru, pendapat akal sendiri, kisah orang itu dan ini. Itu semua bukan yang kena disampaikan.
وَأَنصَحُ لَكُم
serta aku ikhlas kepada kamu,
Baginda memberitahu yang baginda hanya memberi nasihat yang ikhlas, dan baginda tidak memaksa. Ia adalah nasihat yang patut dan ikhlas sekali. Baginda beri nasihat itu kerana arahan daripada Allah ﷻ dan kerana baginda risaukan kaum baginda. Bukannya kerana baginda hendakkan kedudukan, hendak merendahkan mereka atau kerana hendakkan imbuhan upah daripada mereka.
Kalimah أَنصَحُ berasal daripada kata dasar ن ص ح. Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naashih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Daripada kalimah نصح jadilah kalimah seperti النصيحة (an-nashiihah).
Ia bukanlah bermaksud ‘nasihat’ seperti dalam Bahasa Melayu kita. Inilah masalahnya apabila Bahasa Arab diMelayukan tetapi ia telah membawa maksud yang tidak sama dengan maksud asal. Selain nasihat, kalimah-kalimah lain yang membawa maksud lain di dalam Bahasa Melayu adalah seperti fitnah, khalwat dan maksiat.
Kalimah أَنصَحُ di dalam ayat ini bermaksud ‘ikhlas’. Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Kita juga pernah mendengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (selalu diterjemahkan sebagai: agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam).
Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ﷻ dan Rasul pula? Tentulah tidak kena kalau kita terjemah sebagai nasihat yang difahami dalam Bahasa Melayu. Kerana itulah makna asal ‘nasihah’ adalah ‘ikhlas’. Iaitu kita ikhlas beribadat kepada Allah ﷻ; kita ikhlas ikut ajaran Rasulullah, kita ikhlas taat dan bila perlu menegur pemimpin dengan ikhlas, kita ikhlas sayang kepada orang awam di sekeliling kita. Maka hendaklah dirujuk balik kepada maksud asal baru boleh difahami.
وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
sedang aku mengetahui (melalui wahyu) daripada Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Baginda layak untuk memberi nasihat kepada mereka kerana baginda mengetahui daripada Allah ﷻ perkara yang kaumnya tidak tahu kerana mereka tidak mendapat wahyu. Baginda mendapat ilmu itu daripada wahyu Ilahi dan kerana itulah baginda sampaikan kepada kaum baginda. Maka dengarlah sahaja dan taatlah sahaja. Jangan pula melawan.
Seperti juga kita yang telah belajar wahyu, maka bolehlah kita menyampaikan kepada manusia perkara yang orang lain tidak tahu lagi. Memang kita kena sampaikan kerana kalau tidak sampaikan, maka umat akan jauh daripada wahyu dan jauh daripada agama. Penolakan manusia kepada perkara yang haq adalah kerana mereka tidak menerima kebenaran wahyu.
A’raf Ayat 63: Sambungan daripada kata-kata Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya yang menolak dakwah baginda.
أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم لِيُنذِرَكُم وَلِتَتَّقوا وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you and that you may fear Allāh so you might receive mercy?”
MALAY
“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”.
أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِّن رَّبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِّنكُم
“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu melalui seorang lelaki daripada golongan kamu,
Nabi Nuh عليه السلام sambung lagi dakwah baginda: adakah kamu rasa hairan datang peringatan dalam bentuk wahyu daripada Tuhan kamu melalui lelaki yang sifatnya manusia dalam kalangan kamu? Ini adalah dalam bentuk soalan (istifham) tetapi bukanlah soalan sebenar (istifham haqiqi) tetapi istifham majazi sahaja. Ia hendak menyatakan kehairanan atau takjub sahaja.
Baginda berkata begini kerana umat baginda tidak percayakan baginda kerana baginda manusia sama seperti mereka juga. Pada mereka: “Engkau manusia, kami pun manusia juga, jadi kenapa kami kena dengar cakap engkau?” Seperti juga orang kita apabila kita sampaikan ajaran daripada Sunnah, mereka akan lihat kedudukan kita pula. Sedangkan dakwah tidak semestinya datang daripada orang yang berkedudukan lebih tinggi daripada kita. Dakwah itu adalah kebenaran yang tidak mengenal status.
Beginilah alasan yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Ini seperti yang disebut di dalam banyak ayat lain antaranya [ Mukminoon: 24 ]
فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah ﷻ menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat.
Adakah mereka mahukan malaikat turun baru mereka hendak dengar? Tentulah tidak menghairankan kalau pembawa utusan itu dalam kalangan manusia kerana kaum yang akan didakwahkan itu adalah dalam kalangan manusia juga. Untuk manusia, kenalah manusia juga yang ajar kepada mereka. Kalaulah malaikat yang diturunkan, tentu susah hendak diikuti kerana malaikat berbeza dengan manusia.
Manusia memerlukan contoh daripada manusia juga iaitu contoh bagaimana sebagai manusia yang ada nafsu, ada keperluan, ada perasaan, ada kelemahan, akan tetapi mereka tetap dapat menjadi insan yang taat kepada Allah ﷻ. Berbeza dengan malaikat yang tiada nafsu, tidak makan dan tidak minum.
Tambahan pula Rasul adalah daripada منكم (dalam kalangan kamu) iaitu daripada masyarakat mereka. Maka mereka kenal Nabi Nuh عليه السلام itu. Mereka tahu yang Nabi Nuh عليه السلام itu orang yang baik, ada akhlak yang baik. Begitulah para Rasul adalah orang yang memiliki akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat dan dihormati.
Lagi satu, keputusan untuk melantik siapa yang menjadi Rasul adalah hak Allah ﷻ dan ia tidak patut dipersoalkan. Ia bukan hak manusia untuk mempersoalkan mana-mana keputusan Allah ﷻ.
Nabi Nuh عليه السلام kata peringatan itu daripada ‘Tuhan kamu’. Baginda tidak kata dari pada ‘Tuhan aku’ kerana baginda hendak mengingatkan mereka yang Tuhan mereka dan Tuhan baginda itu sama sahaja, walaupun mereka tidak mengaku. Seperti kita juga ketika dakwah kepada orang ‘belum Muslim’ pun kenalah sebut begini. Jangan kata ‘Tuhan kita’ sebab kalau begitu, mereka tidak terasa pun. Sebab pada mereka: “Lantaklah.. itu tuhan engkau, tuhan aku cakap lain.”
Apa yang disampaikan itu adalah ‘peringatan’. Jika kita ingatkan orang, adakah dia kena faham apa yang diingatkan? Tentulah kena faham. Kalau tidak, buang masa sahaja kita ingatkan dia. Maka kalau kita sampaikan Al-Qur’an, kenalah bagi manusia faham apa yang disebut dalam Al-Qur’an. Kalau setakat baca sahaja dan sibuk jaga tajwid, tidak ke mana.
لِيُنذِرَكُم
untuk memberi peringatan kepada kamu,
Tujuan pemberi dakwah itu adalah untuk memberi peringatan dan ancaman. Apakah ancaman itu? Iaitu kalau tidak taat dan tidak sembah kepada Allah ﷻ sahaja, akan dimasukkan ke dalam neraka.
Apakah maksud ‘peringatan’? Adakah suruh orang buat sesuatu seperti ‘pergi ke sana’ sahaja? Itu bukan peringatan kerana manusia tidak takut. Yang menjadikan ia peringatan adalah kalau ada ancaman di dalamnya. Contohnya kita kata: “Pergi ke sana kalau tidak kau kena denda!” Memang manusia yang degil memerlukan ancaman baru mereka akan buat sesuatu.
وَلِتَتَّقوا
dan supaya kamu bertaqwa
Penyebar tauhid itu datang untuk mengingatkan umatnya untuk bertaqwa. Taqwa itu adalah dengan menjaga hukum yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Jika kita sedar Allah ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita akan jaga hukum. Kita akan tanya diri sendiri: “Allah mahu aku buat macam mana dalam hal ini? Apakah hukum perbuatan ini?”
وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ
dan juga supaya kamu beroleh rahmat”
Tujuan dakwah itu disampaikan adalah supaya manusia mendapat rahmat daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ akan memberi rahmat kepada mereka yang bertaqwa dan menjaga hukum dalam kehidupan mereka. Mereka yang mendapat rahmat daripada Allah ﷻ akan mendapat kehidupan yang baik di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Ini penting kerana untuk memasuki syurga memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ. Tanpa rahmat, kita pasti tidak dapat masuk ke dalam syurga. Amalan kita tidak akan cukup timbangan untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kita amat-amat memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 29 September 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir