Ayat 23: Allah sebut kesalahan besar Kaum Nabi Nuh dalam ayat ini. Memang ada banyak lagi kesalahan-kesalahan lain, tapi yang disebut dalam ayat ini adalah kesalahan paling besar dan kerana itu yang Allah sebut. Ini adalah kerana kesalahan ini adalah kesalahan syirik.
وَقالوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُم وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُواعًا وَلا يَغوثَ وَيَعوقَ وَنَسرًا
And said, ‘Never leave your gods and never leave Wadd or Suwa’ or Yaghuth and Ya’uq and Nasr.
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.
وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu tinggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu,
Ketua kaum mereka mengajak jangan tinggalkan amalan syirik yang mereka telah lama lakukan. Mereka kata yang bertentangan dengan kata-kata Nabi Nuh a.s. Nabi Nuh suruh kaumnya meninggalkan sembahan kepada berhala-berhala mereka, tapi pemuka-pemuka kaum itu suruh kaumnya jangan tinggalkan pula. Mereka suruh kaum mereka jangan dengar kata-kata Nabi Nuh.
Mereka ajak teruskan dengan amalan yang tok nenek mereka yang telah lama dilakukan. Memang masalah ikut ajaran tok nenek itu dari dulu lagi, dari zaman Nabi Nuh sampailah kepada zaman kita sekarang, dalam masyarakat Melayu kita pun. Ramai yang masih nak mempertahankan amalan tok nenek yang salah.
وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
Jangan tinggalkan Wadd, dan jangan tinggalkan Suwaa’, dan jangan tinggalkan Yaghuth, Ya’uuq, serta Nasr.
Dalam ayat ini disebut lima nama berhala yang mereka sembah. Pemuka kaum Nabi Nuh suruh masyarakat mereka terus sembah berhala-berhala itu. Mereka kata jangan ikut cakap Nabi Nuh.
Yang buat kempen itu sebut nama-nama berhala itu kepada kaum mereka. Nama-nama berhala itu tentunya bermakna kepada mereka. Mereka kata:
“Sanggup kamu nak tinggalkan berhala-berhala itu?”
“Setelah apa yang berhala berhala itu berikan kepada kamu?”
“Kamu tak takut apa akan jadi kalau kamu tinggalkan berhala-berhala itu?”
Mereka sembah berhala-berhala itu selain Allah. Apabila mereka semua dihancurkan dalam Banjir Besar, berhala-berhala itu telah jatuh ke tangan orang Arab di Hijaz. Ada kabilah-kabilah yang meneruskan menyembah berhala-berhala itu. Ada kabilah yang sembah Wadd, ada kabilah yang sembah Suwaa’ dan seterusnya.
Mereka telah menjumpai berhala-berhala itu setelah dihasut oleh syaitan dan mereka menyembahnya. Macam mana mereka boleh tahu nama-nama berhala itu? Kerana disebut-sebut oleh orang dahulu. Kerana itu kisah-kisah itu timbul balik. Macam kita zaman sekarang – Nama-nama hantu-hantu dulu disebut-sebut kembali dan diteruskan zaman berzaman.
Nama-nama berhala itu sebenarnya adalah nama orang-orang yang baik-baik dan soleh dari kaum Nabi Nuh. Setelah mereka mati, Syaitan telah ilhamkan kepada mereka yang kemudian, untuk mengingati orang-orang soleh itu dengan buat patung mereka.
Tujuannya supaya apabila lihat gambar/patung orang-orang soleh itu, mereka ada semangat nak buat baik macam orang-orang soleh itu juga. Mereka beri nama ikut nama-nama asal orang-orang soleh itu. Tapi akhirnya rupa patung itu ada jadi dalam bentuk manusia dan dalam bentuk binatang pula.
Mulanya, mereka yang membuat patung itu tak sembah patung-patung itu. Kerana mereka tahu yang patung itu untuk mengingatkan kepada orang-orang soleh itu sahaja. Tapi bila sudah lama, baru disembah oleh keturunan yang datang kemudian. Sebab mereka tengok patung itu ada dan tentunya ianya sesuatu yang mulia, kata mereka. Datang keturunan yang kemudian, mereka sudah sembah sebagai tuhan pula.
Kita pun nampaknya sudah bergerak ke arah itu. Macam kita sekarang, masih pada peringkat letak gambar untuk mengenang orang-orang yang baik dahulu. Memang yang menggantung gambar itu kata, mereka buat begitu untuk kenangan sahaja, tapi lama kelamaan orang yang kemudian akan sembah.
Sebagai contoh, kalau kita lihat di Kedai-kedai makan sekarang, mungkin anda perasan gambar Sultan Kedah di kedai mereka. Beliau adalah bapa kepada Tunku Abdul Rahman. Mereka yang menggantung itu kata mereka diberitahu yang apabila digantung gambar itu, akan laris kedai mereka dan kedai mereka akan selamat. Ini adalah satu perbuatan syirik tapi selamba sahaja dilakukan oleh ramai orang.

Pengikut pengikut Habib juga dah mula mengatakan sesuatu yang mengarut tentang gambar Habaib mereka.

Inilah yang kita takuti terjadi. Kita takut apakah yang akan diimani oleh anak-anak kita nanti kalau perkara ini dibiarkan sahaja berlaku? Bagaimana iman mereka sampaikan boleh mengatakan yang menggantung gambar manusia (walaupun ulama’) akan mengusir jin dan syaitan?
Ingatlah yang amalan bidaah seperti ini Allah tidak akan jaga. Mereka yang melakukannya akan dapat dosa dan mereka akan terus tersasar dari jalan yang benar. Maka kita kena sedarkan mereka jangan diulit oleh mimpi. Jangan ditipu oleh golongan sesat tapi bawa perawakan alim seperti para Habib itu.
Ayat 24: Kempen pemuka-pemuka kaum itu berjaya kerana ramai yang tertipu.
وَقَد أَضَلّوا كَثيرًا ۖ وَلا تَزِدِ الظّٰلِمينَ إِلّا ضَلٰلًا
And already they have misled many. And, [my Lord], do not increase the wrongdoers except in error.”
“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.
وَقَدْ أَضَلُّوا كَثِيرًا
“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan banyak orang
Pemuka-pemuka kaum itu telah menggunakan berhala-berhala itu untuk menyesatkan manusia yang ramai. Sampai sekarang ramai lagi manusia sembah berhala, seperti agama Hindu, Buddha dan sebagainya. Asalnya perbuatan ini dari merekalah.
Mereka percaya ada kelebihan dengan berhala-berhala itu. Itu adalah kepercayaan yang amat salah. Jadi kalau ada orang kita yang pakai gambar yang kononnya Capal Nabi, sama sahaja dengan mereka yang sembah berhala itu. Ini adalah kerana mereka percaya ada kelebihan pada Capal Nabi itu. Sampaikan ada sekolah yang jadikan Lambang Capal itu sebagai logo sekolah mereka – Yayasan Sofa.

Tiada dalil yang itu adalah capal Nabi. Dan kita kena sedar yang ini bukan dari ajaran islam. Tapi malangnya, ada yang memperkenalkan logo itu seperti ianya ada sesuatu kelebihan. Golongan itu datang ke negara ini dan bawa macam-macam ajaran yang bersalahan dengan ajaran Islam.
Kalau pun ianya benar sekalipun capal yang digunakan oleh Nabi, apa adanya dengan capal itu? Kenapa hendak dimuliakan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan agama? Kenapa nak dijadikan capal itu sebagai satu bentuk ‘berhala’ pula?
Boleh juga dikatakan yang menyesatkan (أَضَلُّوا) itu adalah berhala-berhala itu (bukan orang-orang itu). Kerana dengan adanya berhala-berhala itu, telah banyak menyesatkan manusia. Kerana manusia terpegun dengan berhala-berhala itu dengan rupanya yang besar dan kisah-kisah yang disebut tentang mereka.
وَلَا تَزِدِ الظّٰلِمِينَ إِلَّا ضَلٰلًا
dan janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan”.
Kenapakah baginda sampai doakan begitu sekali? Baginda doa begitu kerana kedegilan kaumnya itu. Doa ini sama seperti doa Nabi Musa untuk Firaun. Ini telah disebut dalam Yunus:88.
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
Hairan sedikit kenapa baginda berdoa begitu. Mungkin ada yang bertanya: kenapa tak doakan supaya kaumnya itu mendapat hidayah? Bukankah baginda mahukan hidayah untuk kaumnya? Takkan setelah 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka, baginda minta Allah tambahkan kesesatan kepada mereka pula? Persoalan ini dijawab dalam ayat seterusnya yang kata yang mereka itu dimusnahkan kerana dosa mereka.
Dan Nuh doa begini pun selepas Allah memberitahu baginda yang tidak ada lagi dari kaumnya yang akan beriman selepas itu. Ini disebut dalam Hud:36
وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.
Hendaklah kita faham yang bukanlah kerana doa Nabi Nuh ini yang menyebabkan mereka jadi sesat. Mereka memang sudah sesat dari dulu lagi. Doa baginda pun kalau kita lihat adalah untuk ditambahkan kesesatan kepada mereka yang sudah zalim sahaja.
Atau, ayat ini mungkin boleh diterjemahkan begini: “Berhala-berhala itu tidak menambah kepada orang yang zalim itu melainkan kesesatan sahaja “.
Ayat 25: Kaum Nabi Nuh telah dikenakan dengan banjir itu adalah kerana dosa mereka sebenarnya. Bukanlah disebabkan doa Nabi Nuh dalam ayat sebelum ini. Ayat 25 ini adalah Perenggan Makro Keempat dan ia memberitahu apakah azab yang dikenakan kepada Kaum Nuh.
مِمّا خَطيئٰتِهِم أُغرِقوا فَأُدخِلوا نارًا فَلَم يَجِدوا لَهُم مِن دونِ اللَّهِ أَنصارًا
Because of their sins they were drowned and put into the Fire, and they found not for themselves besides Allah [any] helpers.
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).
مِّمَّا خَطِيئٰتِهِمْ أُغْرِقُوا
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan
Mereka dimusnahkan kerana mereka derhaka dan menentang Nabi Nuh. Apakah dosa-dosa lain mereka? Kerana perkataan خَطِيئَاتِهِمْ itu dalam bentuk jamak, bermaksud ada banyak dosa-dosa mereka sampai mereka layak dimusnahkan semuanya.
- Mereka melakukan dosa syirik
- Derhaka kepada rasul mereka – ini adalah dosa yang berat.
- Menyesatkan orang lain
- Melawan rasul mereka. Mereka sakiti dan menyakitkan hati Nabi Nuh.
- Dan banyak lagi dosa-dosa mereka.
Ada perbincangan tentang Qadr dalam ayat ini. Seperti yang kita tahu, Allah bersifat al-Alim, al-Hakim dan al-Khabir. Allah sudah tahu sama ada kita ini adalah ahli neraka atau ahli syurga. Ini adalah kerana Allah tahu segala-galanya tentang kita. Maka kalau kita faham dan terima ketiga-tiga sifat Allah ini, kita tidak akan bimbang dan gundah gulana. Apa yang terjadi kepada kita pun, kita akan tenang sahaja. Kita serahkan segalanya kepada Allah.
Ini berdasarkan kepada Hadis tentang pertanyaan Ibn Dailami dalam Sunan Ibn Daud. Beliau telah datang berjumpa Ubay bin Kaab kerana dia ada kurang faham dalam hatinya tentang qadr. Ubay adalah antara guru Qur’an semasa Nabi hidup lagi.
٤٠٧٧ – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ عَنْ أَبِي سِنَانٍ عَنْ وَهْبِ بْنِ خَالِدٍ الْحِمْصِيِّ عَنْ ابْنِ الدَّيْلَمِيِّ قَالَ أَتَيْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ فَقُلْتُ لَهُ وَقَعَ فِي نَفْسِي شَيْءٌ مِنْ الْقَدَرِ فَحَدِّثْنِي بِشَيْءٍ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُذْهِبَهُ مِنْ قَلْبِي قَالَ لَوْ أَنَّ اللَّهَ عَذَّبَ أَهْلَ سَمَاوَاتِهِ وَأَهْلَ أَرْضِهِ عَذَّبَهُمْ وَهُوَ غَيْرُ ظَالِمٍ لَهُمْ وَلَوْ رَحِمَهُمْ كَانَتْ رَحْمَتُهُ خَيْرًا لَهُمْ مِنْ أَعْمَالِهِمْ وَلَوْ أَنْفَقْتَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا قَبِلَهُ اللَّهُ مِنْكَ حَتَّى تُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ وَتَعْلَمَ أَنَّ مَا أَصَابَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَكَ وَأَنَّ مَا أَخْطَأَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَكَ وَلَوْ مُتَّ عَلَى غَيْرِ هَذَا لَدَخَلْتَ النَّارَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فَقَالَ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ حُذَيْفَةَ بْنَ الْيَمَانِ فَقَالَ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ فَحَدَّثَنِي عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ
4077. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir berkata, telah mengabarkan kepada kami Sufyan dari Abu Sinan dari Wahb bin Khalid Al Himshi dari Ibnu Ad Dailami dia berkata, “Aku mendatangi Ubay bin Ka’b, lalu aku katakan kepadanya, “Ada sesuatu yang mengganjal dalam hatiku tentang perkara takdir, maka ceritakanlah kepadaku tentang sesuatu semoga Allah menghilangkan keresahan itu dari dalam hatiku.” Dia menjawab, “Jika Allah menyeksa semua makluk yang ada di langit dan di bumi, maka itu bukanlah suatu kezhaliman yang Dia lakukan atas mereka, dan sekiranya Dia memberikan rahmat kepada mereka, sesungguhnya rahmat-Nya adalah lebih baik dari amalan yang telah mereka lakukan. Jika engkau bersedekah dengan emas sebesar gunung uhud di jalan Allah, maka Allah tidak akan menerimanya hingga engkau beriman dengan takdir. Dan engkau mengetahui bahawa apa saja yang ditakdirkan menjadi bahagianmu tidak akan meleset darimu, dan apa yang tidak ditakdirkan untuk menjadi bagianmu tidak akan engkau dapatkan. Jika engkau meninggal bukan di atas keyakinan yang demikian ini, maka engkau akan masuk neraka.” Abu Ad Dailami berkata, “Kemudian aku mendatangi Abdullah bin Mas’ud, lalu dia mengatakan seperti itu pula. Aku lalu mendatangi Hudzaifah Ibnul Yaman, lalu dia mengatakan seperti itu pula. Kemudian aku mendatangi Zaid bin Tsabit, lalu dia menceritakan kepadaku sebuah hadits Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam seperti itu pula.”
Apa-apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita, itu bukanlah satu kezaliman. Jadi jangan kita persoalkan apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita. Allah Taala tidak pernah zalim kepada makhlukNya. Mungkin kita sahaja yang rasa zalim kerana kita tidak faham apakah yang Allah telah tetapkan untuk kita.
Sebagai contoh, kita kena tinggal di dunia ini kerana Nabi Adam telah diturunkan ke dunia dari syurga. Kalau kita fikirkan secara logik akal kita, ianya adalah kerana salah Nabi Adam, bukan? Kalau baginda tidak makan Pokok Larangan itu, tentu kita sekarang hidup di syurga, bukan? Tapi bukan itu qadr Allah dan segala apa yang terjadi adalah dalam ketetapan Allah.
فَأُدْخِلُوا نَارًا
kemudian mereka dimasukkan ke dalam neraka;
Selepas mereka dikenakan dengan azab dilemaskan dalam banjir, mereka nanti akan dikenakan dengan azab api neraka. Oleh itu, kaum Nabi Nuh ini diseksa dengan dua seksaan azab: air dan api.
Digunakan perkataan-perkataan dalam bentuk past tense bukannya kerana mereka sudah kena azab itu, tapi sebagai maksud mereka ‘pasti’ akan kena. Begitulah penggunaan bahasa dalam Al-Qur’an. Kadang-kadang Al-Qur’an menyebut tentang perkara yang akan terjadi, tapi digunakan dalam bentuk past tense.
Itu adalah sebagai isyarat bahawa ianya pasti akan terjadi. Ini adalah kerana perkara yang telah berlaku, ia PASTI berlaku. Ini tidak sama kalau kita kata kita akan buat itu dan ini, kerana itu belum tentu lagi akan berlaku.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa memang semasa mereka dimasukkan ke dalam laut, memang laut itu terbakar. Ia dinamakan ‘Api Barzakh’. Itulah menguatkan hujah kenapa ayat-ayat itu dalam bentuk past tense, kerana mereka memang sudah kena dengan azab itu. Dan pendapat ini mengatakan dalam laut, memang ada tempat yang terbakar, dan mereka menggunakan dalil firman Allah dalam Tur:6
وَالْبَحْرِ الْمَسْجُورِ
Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); –
Ada yang kata ayat dalam Surah Tur ini hanya berlaku apabila Kiamat kelak. Tapi hujah lain mengatakan yang lima ayat sebelumnya menyatakan tentang perkara yang memang sudah ada. Jadi, sepatutnya ayat ke 6 ini pun sepatutnya mengikut konsep yang sama, iaitu memang laut itu ada tempat yang panas.
Maka apabila Allah kata laut terbakar, maknanya memang sedang terbakar sekarang. Dan memang dalam kajian laut, apabila kapal selam dapat menyelam ke dasar lautan, boleh nampak bagaimana di kerak bawah laut, memang ada larva yang amat panas. Ianya adalah benda yang sedang ada sekarang.
Oleh itu, ada pendapat ulama yang mengatakan, setelah kaum Nabi Nuh itu ditenggelamkan, mereka ditarik pergi ke tempat yang panas dalam lautan itu dan dibakar di situ. Allahu a’lam.
فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَارًا
maka mereka tidak akan beroleh yang lain dari Allah, sebarang penolong
Hanya yang Allah beri belas kasihan sahaja yang akan diselamatkan. Tidak ada selain Allah yang akan dapat membantu sesiapa pun. Kalau orang-orang kufur yang menyembah tuhan-tuhan lain, dan orang Islam yang mengharapkan syafaat dari wali-wali mereka, itu tidak akan ada. Ada golongan Muslim pun, seperti orang tarekat yang sangka yang mereka akan diberi syafaat dan diselamatkan oleh guru-guru dan wali-wali mereka. Itu adalah karut.
Kerana itulah kita diajar untuk berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan kita dari azab kubur dan azab neraka. Minta terus kepada Allah untuk selamatkan kita. Itulah doa yang sentiasa dibaca Nabi dalam solat baginda selepas tasyahud. Kalau Nabi pun minta Allah selamatkan baginda, kita apatah lagi?
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ
“Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari siksaan kubur, siksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta dari kejahatan fitnah Almasih Dajjal.” (HR al Bukhaariy, Muslim, dll)
Ayat 26: Ayat 26 – 28 ini adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Dan ia mengandungi doa-doa Nabi Nuh.
وَقالَ نوحٌ رَّبِّ لا تَذَر عَلَى الأَرضِ مِنَ الكٰفِرينَ دَيّارًا
And Noah said, “My Lord, do not leave upon the earth from among the disbelievers an inhabitant.
Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
وَقَالَ نُوحٌ
Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata:
Ini sambungan doa Nabi Nuh terhadap kaumnya.
رَّبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكٰفِرِينَ دَيَّارًا
“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
Perkataan دَيَّارًا dari katadasar دير yang bermaksud ‘rumah’. Oleh itu, perkataan دَيَّارًا bermaksud ‘yang mendiami rumah – dalam konteks ayat ini, ‘rumah’ yang dimaksudkan adalah planet bumi. Jangan tinggalkan langsung tinggal orang kafir yang hidup atas muka bumi. Nabi Nuh berdoa supaya supaya dimatikan semua sekali umat yang tidak beriman.
Memang satu bumi ini banjir. Jangan terpengaruh dengan pendapat yang mengatakan sebahagian sahaja bumi yang tenggelam. Pendapat itu timbul kerana ada yang cuba buat kiraan berdasarkan maklumat yang tidak tepat.
Sampaikan mereka kata hanya beberapa ribu tahun sahaja antara kita dan umat Nabi Nuh. Mereka kata tamadun Mesir dan China telah ada tiga dan empat ribu tahun yang lepas. Dan mereka kata takkan tamadun itu boleh selamat kalau banjir seluruh dunia? Sekurangnya, tentu ada dalam buku-buku sejarah mereka.
Yang buat kiraan jarak antara kita dan Nabi Adam itu pun menggunakan maklumat dari Kitab Injil yang tidak semestinya tepat. Kita sebenarnya tidak tahu dengan tepat dan tidak boleh agak pun. Ada yang kata kononnya Nabi Adam dengan kita hanya 6 ribu tahun dan sudah jumpa tengkorak umur 5 juta tahun. Ini adalah satu perkiraan yang salah.
Sampai mereka kata Nabi Adam bukanlah manusia pertama yang hidup atas bumi ini. Ini semua adalah teori-teori yang tidak perlu dilayan. Akan terbukti nanti manakah kebenaran. Setakat ini, sains tidak dapat menjelaskan lagi keseluruhan yang disebut dalam Al-Qur’an.
Begitulah juga apabila disebut ilmu-ilmu sains zaman dahulu. Hanya sekarang baru dapat dipastikan bahawa apa yang disebut oleh Al-Qur’an itu adalah benar. Oleh itu, jangan pegang pendapat yang lain dari agama. Kerana apa yang disebut oleh Al-Qur’an dan Hadis itu sudah benar, cuma kita sahaja yang belum sampai ke tahap boleh memahaminya.
Inilah doa besar Nabi Nuh. Setiap Nabi ada Doa Besar mereka dan mereka telah gunakan pada hayat mereka, kecuali Nabi Muhammad. Sebab itulah, apabila di Mahsyar kelak, apabila umat manusia minta Nabi mereka untuk mendoakan supaya dipercepatkan Hisab, mereka tidak boleh berdoa kerana mereka telah pakai doa mereka. Macam Nabi Nuh, baginda akan kata yang kerana doanya, seluruh manusia telah mati.
Cuma apabila sampai kepada Nabi Muhammad, barulah baginda mengiyakan kerana baginda tidak pakai doa baginda. Baginda simpan untuk digunakan di Mahsyar nanti.
“Bagi setiap Nabi ada doa yang mustajab untuk dia berdoa dengannya, dan aku menyimpan doaku sebagai syafaat bagi umatku pada Hari Akhirat.” (Bukhari & Muslim)
Ayat 27: Kenapa Nabi Nuh berdoa supaya jangan ditinggalkan seorang pun musyrikin?
إِنَّكَ إِن تَذَرهُم يُضِلّوا عِبادَكَ وَلا يَلِدوا إِلّا فاجِرًا كَفّارًا
Indeed, if You leave them, they will mislead Your servants and not beget except [every] wicked one and [confirmed] disbeliever.
“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.
إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ
“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu,
Kalau Allah kekalkan seorang pun mereka akan ajak orang lain jadi musyrik. Kerana mereka akan cuba kempen kepada orang lain juga untuk jadi musyrik seperti mereka. Bukan sahaja mereka yang sesat, tapi mereka akan menyesatkan orang lain juga. Inilah yang ditakuti oleh Nabi Nuh a.s. Maka kerana itu kita kena banteras pemahaman syirik dari akar umbi lagi.
وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِرًا كَفَّارًا
dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.
Kalau seorang bapa itu musyrik, ada kemungkinan yang dia akan pengaruhi anak-anak dia pun untuk jadi musyrik juga.
Kita kena faham yang baginda rasa akan terjadi itu bukanlah dia tilik-tilik apa yang akan terjadi di masa hadapan – tidaklah Nabi Nuh tahu tentang masa hadapan. Tapi kerisauan dan keyakinan baginda yang itulah yang akan terjadi adalah dari pengalaman baginda bersama mereka selama 950 tahun.
Dia sudah buat semua usaha dalam usaha dakwahnya, tapi tidak berjaya juga melainkan sedikit sahaja yang beriman. Yang selain itu adalah mereka yang memang amat degil dan baginda tidak nampak akan berubah.
Allah telah makbulkan doa Nabi Nuh dan kaumnya dimusnahkan dengan mereka dilemaskan dalam Banjir Besar. Tidak disebutkan apa yang terjadi kepada mereka dalam ayat ini. Tapi kita tahu dari surah-surah yang lain. Ini adalah kerana surah ini hendak menekankan tentang kesabaran Nabi Nuh, bukan hendak menceritakan dengan terperinci apakah yang terjadi.
Seperti kita sudah baca, Nabi Nuh memang seorang yang amat penyabar, kalau tidak takkan baginda sabar berdakwah selama 950 tahun dengan mereka. Tapi lihatlah, baginda yang penyabar pun sudah tahan dengan mereka, sampaikan baginda boleh berdoa sampai begitu sekali. Maknanya, teruk sangat kaumnya itu.
Semasa Nabi Muhammad membaca ayat ini, baginda tahu yang kalau baginda berdoa kepada Allah terhadap Musyrikin Mekah seperti yang dilakukan oleh Nabi Nuh, mereka pun boleh kena azab. Seperti Allah ingatkan Nabi jangan doa begitu kerana ianya akan menyebabkan kehancuran kaumnya. Kerana kalau Nabi Muhammad doa begitu, Allah akan makbulkan sepertimana Dia telah makbulkan doa Nabi Nuh a.s.
Ayat 28:
رَبِّ اغفِر لي وَلِوٰلِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيتِيَ مُؤمِنًا وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ وَلا تَزِدِ الظّٰلِمينَ إِلّا تَبارًا
My Lord, forgive me and my parents and whoever enters my house a believer and the believing men and believing women. And do not increase the wrongdoers except in destruction.”
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”
رَّبِّ اغْفِرْ لِي
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku,
Lihatlah bagaimana setelah baginda buat usaha yang amat lama dalam dakwah, baginda masih lagi mohon ampun. Kerana apa? Apa dosa baginda sampaikan baginda pun minta ampun? Baginda mohon ampun kerana baginda takut ada kekurangan dalam usahanya.
Begitulah berhemahnya Nabi Nuh a.s. Begitulah, seorang mukmin akan ada rasa kurang dengan amal mereka. Walaupun mereka telah melakukan tugas, tapi mereka kena ingat, ada lagi kekurangan dalam usaha mereka. Maka, jangan berbangga sangat.
Maka kita jangan bangga sangat dengan amal kita yang banyak kerana itu boleh mengundang ghurur dan ini adalah salah satu dari Talbis Iblis yang amat besar. Kerana kalau kita rasa amalan kita banyak, kita rasa kita bagus, itu adalah amat salah sekali. Maka kerana itu banyak dalam doa yang diajar Nabi, kita disuruh untuk minta ampun selepas buat amal ibadat. Supaya kita dapat sedar yang tentu ada kekurangan dalam amalan kita itu, tidak kira berapa banyaknya.
وَلِوٰلِدَيَّ
dan bagi kedua ibu bapaku,
Jangan lupa mendoakan kedua ibu bapa kita. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengajar sebegini.
وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا
serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman;
Perkataan بَيْتِيَ dari segi bahasa bermaksud ‘rumahku’ tapi boleh juga diertikan dalam ayat ini bermaksudnya ‘masjidku’ atau ‘bahteraku’ juga.
Lihatlah dalam ayat ini, Nabi Nuh tidak minta ampun untuk ahli keluarganya. Kerana ada dari kalangan keluarga baginda yang tidak beriman iaitu isterinya dan anaknya. Telah disebut tentang hal ini dalam surah yang lain. Nabi Nuh telah dilarang dari berdoa untuk mereka.
وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنٰتِ
dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan
Doa sebelum ini bersifat khusus, dan sekarang bersifat lebih umum – kepada semua yang beriman tidak kira zaman mana. Sama ada yang hidup dan yang mati. Bukan sahaja yang beriman bersama baginda tetapi juga mereka yang beriman selepas baginda kerana yang beriman bersamanya telah disebut dalam doa yang pertama tadi.
Jadi, doa baginda ini sampai kepada Hari Kiamat. Maknanya, kita pun termasuk juga didoakan oleh Nabi Nuh dalam doa baginda. Doa seperti ini digalakkan kerana ianya sunnah Nabi Nuh dan ia ada di dalam Al-Qur’an.
Dalam berdoa, kita kena tahu makna doa yang kita baca. Kalau baca Al-Qur’an dan zikir, boleh lagi tak tahu makna, tapi doa tak boleh lalai. Allah mahu hati kita sedar ketika berdoa. Jadi, kalau kita baca sahaja doa dalam bahasa Arab, walaupun ianya dari Al-Qur’an dan Hadis, tapi kita tidak faham, itu tidak bermakna. Mana mungkin kita hendak meminta sesuatu yang kita sendiri tidak tahu apa yang kita minta?
وَلَا تَزِدِ الظّٰلِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”
‘Zalim’ dalam ayat ini adalah syirik. Kerana zalim itu boleh jadi banyak makna dan digunakan dalam Al-Qur’an dalam banyak cara. Doa ini adalah doa kehancuran kepada musyrik dari dulu sampai ke Hari Kiamat.
Nabi Nuh berdoa supaya mereka dibinasakan di dunia dan akhirat.
Baik, itulah Tafsir Surah Nuh. Sebelumnya adalah Surah Maarij di mana Nabi Muhammad disuruh bersabar dalam dakwah dan ketika baginda mendapat tentangan dari kaumnya. Maka dalam surah Nuh ini diberikan contoh apa yang dilalui oleh Nabi Nuh dalam dakwahnya dan bagaimana sabarnya Nabi Nuh itu.
Baik, seperti kita tahu, musuh orang Islam adalah syaitan. Syaitan pula ada dari golongan manusia dan ada dari golongan jin. Yang mengajak kepada kesesatan dari golongan manusia juga adalah syaitan. Dan mereka dibantu oleh syaitan dari golongan jin. Maka kita akan belajar tentang jin dalam surah seterusnya. In sha Allah.
Allahu a’lam. Lompat ke surah seterusnya, Surah Jin.
Kemaskini: 11 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Ustaz Adli
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair