Tafsir Surah Nuh Ayat 23 – 28 (Golongan Capal)

Ayat 23: Allah sebut kesalahan besar Kaum Nabi Nuh dalam ayat ini. Memang ada banyak lagi kesalahan-kesalahan lain, tapi yang disebut dalam ayat ini adalah kesalahan paling besar dan kerana itu yang Allah sebut. Ini adalah kerana kesalahan ini adalah kesalahan syirik.

وَقالوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُم وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُواعًا وَلا يَغوثَ وَيَعوقَ وَنَسرًا

Sahih International

And said, ‘Never leave your gods and never leave Wadd or Suwa’ or Yaghuth and Ya’uq and Nasr.

Malay

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.

 

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu tinggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu,

Ketua kaum mereka mengajak jangan tinggalkan amalan syirik yang mereka telah lama lakukan. Mereka kata yang bertentangan dengan kata-kata Nabi Nuh a.s. Nabi Nuh suruh kaumnya meninggalkan sembahan kepada berhala-berhala mereka, tapi pemuka-pemuka kaum itu suruh kaumnya jangan tinggalkan pula. Mereka suruh kaum mereka jangan dengar kata-kata Nabi Nuh.

Mereka ajak teruskan dengan amalan yang tok nenek mereka yang telah lama dilakukan. Memang masalah ikut ajaran tok nenek itu dari dulu lagi, dari zaman Nabi Nuh sampailah kepada zaman kita sekarang, dalam masyarakat Melayu kita pun. Ramai yang masih nak mempertahankan amalan tok nenek yang salah.

 

وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

Jangan tinggalkan Wadd, dan jangan tinggalkan Suwaa’, dan jangan tinggalkan Yaghuth, Ya’uuq, serta Nasr.

Dalam ayat ini disebut lima nama berhala yang mereka sembah. Pemuka kaum Nabi Nuh suruh masyarakat mereka terus sembah berhala-berhala itu. Mereka kata jangan ikut cakap Nabi Nuh.

Yang buat kempen itu sebut nama-nama berhala itu kepada kaum mereka. Nama-nama berhala itu tentunya bermakna kepada mereka. Mereka kata:
“Sanggup kamu nak tinggalkan berhala-berhala itu?”
“Setelah apa yang berhala berhala itu berikan kepada kamu?”
“Kamu tak takut apa akan jadi kalau kamu tinggalkan berhala-berhala itu?”

Mereka sembah berhala-berhala itu selain Allah. Apabila mereka semua dihancurkan dalam Banjir Besar, berhala-berhala itu telah jatuh ke tangan orang Arab di Hijaz. Ada kabilah-kabilah yang meneruskan menyembah berhala-berhala itu. Ada kabilah yang sembah Wadd, ada kabilah yang sembah Suwaa’ dan seterusnya.

Mereka telah menjumpai berhala-berhala itu setelah dihasut oleh syaitan dan mereka menyembahnya. Macam mana mereka boleh tahu nama-nama berhala itu? Kerana disebut-sebut oleh orang dahulu. Kerana itu kisah-kisah itu timbul balik. Macam kita zaman sekarang – Nama-nama hantu-hantu dulu disebut-sebut kembali dan diteruskan zaman berzaman.

Nama-nama berhala itu sebenarnya adalah nama orang-orang yang baik-baik dan soleh dari kaum Nabi Nuh. Setelah mereka mati, Syaitan telah ilhamkan kepada mereka yang kemudian, untuk mengingati orang-orang soleh itu dengan buat patung mereka.

Tujuannya supaya apabila lihat gambar/patung orang-orang soleh itu, mereka ada semangat nak buat baik macam orang-orang soleh itu juga. Mereka beri nama ikut nama-nama asal orang-orang soleh itu. Tapi akhirnya rupa patung itu ada jadi dalam bentuk manusia dan dalam bentuk binatang pula.

Mulanya, mereka yang membuat patung itu tak sembah patung-patung itu. Kerana mereka tahu yang patung itu untuk mengingatkan kepada orang-orang soleh itu sahaja. Tapi bila sudah lama, baru disembah oleh keturunan yang datang kemudian. Sebab mereka tengok patung itu ada dan tentunya ianya sesuatu yang mulia, kata mereka. Datang keturunan yang kemudian, mereka sudah sembah sebagai tuhan pula.

Kita pun nampaknya sudah bergerak ke arah itu. Macam kita sekarang, masih pada peringkat letak gambar untuk mengenang orang-orang yang baik dahulu. Memang yang menggantung gambar itu kata, mereka buat begitu untuk kenangan sahaja, tapi lama kelamaan orang yang kemudian akan sembah.

Sebagai contoh, kalau kita lihat di Kedai-kedai makan sekarang, mungkin anda perasan gambar Sultan Kedah di kedai mereka. Beliau adalah bapa kepada Tunku Abdul Rahman. Mereka yang menggantung itu kata mereka diberitahu yang apabila digantung gambar itu, akan laris kedai mereka dan kedai mereka akan selamat. Ini adalah satu perbuatan syirik tapi selamba sahaja dilakukan oleh ramai orang.

Biasa lihat gambar ini di kedai-kedai?

Pengikut pengikut Habib juga dah mula mengatakan sesuatu yang mengarut tentang gambar Habaib mereka.

Kenapa sampai boleh jadi begini?

Inilah yang kita takuti terjadi. Kita takut apakah yang akan diimani oleh anak-anak kita nanti kalau perkara ini dibiarkan sahaja berlaku? Bagaimana iman mereka sampaikan boleh mengatakan yang menggantung gambar manusia (walaupun ulama’) akan mengusir jin dan syaitan?

Ingatlah yang amalan bidaah seperti ini Allah tidak akan jaga. Mereka yang melakukannya akan dapat dosa dan mereka akan terus tersasar dari jalan yang benar. Maka kita kena sedarkan mereka jangan diulit oleh mimpi. Jangan ditipu oleh golongan sesat tapi bawa perawakan alim seperti para Habib itu.


 

Ayat 24: Kempen pemuka-pemuka kaum itu berjaya kerana ramai yang tertipu.

وَقَد أَضَلّوا كَثيرًا ۖ وَلا تَزِدِ الظّٰلِمينَ إِلّا ضَلٰلًا

Sahih International

And already they have misled many. And, [my Lord], do not increase the wrongdoers except in error.”

Malay

“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.

 

وَقَدْ أَضَلُّوا كَثِيرًا

“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan banyak orang

Pemuka-pemuka kaum itu telah menggunakan berhala-berhala itu untuk menyesatkan manusia yang ramai. Sampai sekarang ramai lagi manusia sembah berhala, seperti agama Hindu, Buddha dan sebagainya. Asalnya perbuatan ini dari merekalah.

Mereka percaya ada kelebihan dengan berhala-berhala itu. Itu adalah kepercayaan yang amat salah. Jadi kalau ada orang kita yang pakai gambar yang kononnya Capal Nabi, sama sahaja dengan mereka yang sembah berhala itu. Ini adalah kerana mereka percaya ada kelebihan pada Capal Nabi itu. Sampaikan ada sekolah yang jadikan Lambang Capal itu sebagai logo sekolah mereka – Yayasan Sofa.

Lihatlah bagaimana ada elemen Capal di logo ini

Tiada dalil yang itu adalah capal Nabi. Dan kita kena sedar yang ini bukan dari ajaran islam. Tapi malangnya, ada yang memperkenalkan logo itu seperti ianya ada sesuatu kelebihan. Golongan itu datang ke negara ini dan bawa macam-macam ajaran yang bersalahan dengan ajaran Islam.

Kalau pun ianya benar sekalipun capal yang digunakan oleh Nabi, apa adanya dengan capal itu? Kenapa hendak dimuliakan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan agama? Kenapa nak dijadikan capal itu sebagai satu bentuk ‘berhala’ pula?

Boleh juga dikatakan yang menyesatkan (أَضَلُّوا) itu adalah berhala-berhala itu (bukan orang-orang itu). Kerana dengan adanya berhala-berhala itu, telah banyak menyesatkan manusia. Kerana manusia terpegun dengan berhala-berhala itu dengan rupanya yang besar dan kisah-kisah yang disebut tentang mereka.

 

وَلَا تَزِدِ الظّٰلِمِينَ إِلَّا ضَلٰلًا

dan janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan”.

Kenapakah baginda sampai doakan begitu sekali? Baginda doa begitu kerana kedegilan kaumnya itu. Doa ini sama seperti doa Nabi Musa untuk Firaun. Ini telah disebut dalam Yunus:88.

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Hairan sedikit kenapa baginda berdoa begitu. Mungkin ada yang bertanya: kenapa tak doakan supaya kaumnya itu mendapat hidayah? Bukankah baginda mahukan hidayah untuk kaumnya? Takkan setelah 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka, baginda minta Allah tambahkan kesesatan kepada mereka pula? Persoalan ini dijawab dalam ayat seterusnya yang kata yang mereka itu dimusnahkan kerana dosa mereka.

Dan Nuh doa begini pun selepas Allah memberitahu baginda yang tidak ada lagi dari kaumnya yang akan beriman selepas itu. Ini disebut dalam Hud:36

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

Hendaklah kita faham yang bukanlah kerana doa Nabi Nuh ini yang menyebabkan mereka jadi sesat. Mereka memang sudah sesat dari dulu lagi. Doa baginda pun kalau kita lihat adalah untuk ditambahkan kesesatan kepada mereka yang sudah zalim sahaja.

Atau, ayat ini mungkin boleh diterjemahkan begini: “Berhala-berhala itu tidak menambah kepada orang yang zalim itu melainkan kesesatan sahaja “.


 

Ayat 25: Kaum Nabi Nuh telah dikenakan dengan banjir itu adalah kerana dosa mereka sebenarnya. Bukanlah disebabkan doa Nabi Nuh dalam ayat sebelum ini. Ayat 25 ini adalah Perenggan Makro Keempat dan ia memberitahu apakah azab yang dikenakan kepada Kaum Nuh.

مِمّا خَطيئٰتِهِم أُغرِقوا فَأُدخِلوا نارًا فَلَم يَجِدوا لَهُم مِن دونِ اللَّهِ أَنصارًا

Sahih International

Because of their sins they were drowned and put into the Fire, and they found not for themselves besides Allah [any] helpers.

Malay

Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).

 

مِّمَّا خَطِيئٰتِهِمْ أُغْرِقُوا

Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan

Mereka dimusnahkan kerana mereka derhaka dan menentang Nabi Nuh. Apakah dosa-dosa lain mereka? Kerana perkataan خَطِيئَاتِهِمْ itu dalam bentuk jamak, bermaksud ada banyak dosa-dosa mereka sampai mereka layak dimusnahkan semuanya.

  • Mereka melakukan dosa syirik
  • Derhaka kepada rasul mereka – ini adalah dosa yang berat.
  • Menyesatkan orang lain
  • Melawan rasul mereka. Mereka sakiti dan menyakitkan hati Nabi Nuh.
  • Dan banyak lagi dosa-dosa mereka.

Ada perbincangan tentang Qadr dalam ayat ini. Seperti yang kita tahu, Allah bersifat al-Alim, al-Hakim dan al-Khabir. Allah sudah tahu sama ada kita ini adalah ahli neraka atau ahli syurga. Ini adalah kerana Allah tahu segala-galanya tentang kita. Maka kalau kita faham dan terima ketiga-tiga sifat Allah ini, kita tidak akan bimbang dan gundah gulana. Apa yang terjadi kepada kita pun, kita akan tenang sahaja. Kita serahkan segalanya kepada Allah.

Ini berdasarkan kepada Hadis tentang pertanyaan Ibn Dailami dalam Sunan Ibn Daud. Beliau telah datang berjumpa Ubay bin Kaab kerana dia ada kurang faham dalam hatinya tentang qadr. Ubay adalah antara guru Qur’an semasa Nabi hidup lagi.

٤٠٧٧ – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ عَنْ أَبِي سِنَانٍ عَنْ وَهْبِ بْنِ خَالِدٍ الْحِمْصِيِّ عَنْ ابْنِ الدَّيْلَمِيِّ قَالَ أَتَيْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ فَقُلْتُ لَهُ وَقَعَ فِي نَفْسِي شَيْءٌ مِنْ الْقَدَرِ فَحَدِّثْنِي بِشَيْءٍ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُذْهِبَهُ مِنْ قَلْبِي قَالَ لَوْ أَنَّ اللَّهَ عَذَّبَ أَهْلَ سَمَاوَاتِهِ وَأَهْلَ أَرْضِهِ عَذَّبَهُمْ وَهُوَ غَيْرُ ظَالِمٍ لَهُمْ وَلَوْ رَحِمَهُمْ كَانَتْ رَحْمَتُهُ خَيْرًا لَهُمْ مِنْ أَعْمَالِهِمْ وَلَوْ أَنْفَقْتَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا قَبِلَهُ اللَّهُ مِنْكَ حَتَّى تُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ وَتَعْلَمَ أَنَّ مَا أَصَابَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَكَ وَأَنَّ مَا أَخْطَأَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَكَ وَلَوْ مُتَّ عَلَى غَيْرِ هَذَا لَدَخَلْتَ النَّارَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فَقَالَ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ حُذَيْفَةَ بْنَ الْيَمَانِ فَقَالَ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ فَحَدَّثَنِي عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ
4077. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir berkata, telah mengabarkan kepada kami Sufyan dari Abu Sinan dari Wahb bin Khalid Al Himshi dari Ibnu Ad Dailami dia berkata, “Aku mendatangi Ubay bin Ka’b, lalu aku katakan kepadanya, “Ada sesuatu yang mengganjal dalam hatiku tentang perkara takdir, maka ceritakanlah kepadaku tentang sesuatu semoga Allah menghilangkan keresahan itu dari dalam hatiku.” Dia menjawab, “Jika Allah menyeksa semua makluk yang ada di langit dan di bumi, maka itu bukanlah suatu kezhaliman yang Dia lakukan atas mereka, dan sekiranya Dia memberikan rahmat kepada mereka, sesungguhnya rahmat-Nya adalah lebih baik dari amalan yang telah mereka lakukan. Jika engkau bersedekah dengan emas sebesar gunung uhud di jalan Allah, maka Allah tidak akan menerimanya hingga engkau beriman dengan takdir. Dan engkau mengetahui bahawa apa saja yang ditakdirkan menjadi bahagianmu tidak akan meleset darimu, dan apa yang tidak ditakdirkan untuk menjadi bagianmu tidak akan engkau dapatkan. Jika engkau meninggal bukan di atas keyakinan yang demikian ini, maka engkau akan masuk neraka.” Abu Ad Dailami berkata, “Kemudian aku mendatangi Abdullah bin Mas’ud, lalu dia mengatakan seperti itu pula. Aku lalu mendatangi Hudzaifah Ibnul Yaman, lalu dia mengatakan seperti itu pula. Kemudian aku mendatangi Zaid bin Tsabit, lalu dia menceritakan kepadaku sebuah hadits Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam seperti itu pula.”

Apa-apa sahaja yang Allah kenakan kepada kita, itu bukanlah satu kezaliman. Jadi jangan kita persoalkan apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita. Allah Taala tidak pernah zalim kepada makhlukNya. Mungkin kita sahaja yang rasa zalim kerana kita tidak faham apakah yang Allah telah tetapkan untuk kita.

Sebagai contoh, kita kena tinggal di dunia ini kerana Nabi Adam telah diturunkan ke dunia dari syurga. Kalau kita fikirkan secara logik akal kita, ianya adalah kerana salah Nabi Adam, bukan? Kalau baginda tidak makan Pokok Larangan itu, tentu kita sekarang hidup di syurga, bukan? Tapi bukan itu qadr Allah dan segala apa yang terjadi adalah dalam ketetapan Allah.

 

فَأُدْخِلُوا نَارًا

kemudian mereka dimasukkan ke dalam neraka;

Selepas mereka dikenakan dengan azab dilemaskan dalam banjir, mereka nanti akan dikenakan dengan azab api neraka. Oleh itu, kaum Nabi Nuh ini diseksa dengan dua seksaan azab: air dan api.

Digunakan perkataan-perkataan dalam bentuk past tense bukannya kerana mereka sudah kena azab itu, tapi sebagai maksud mereka ‘pasti’ akan kena. Begitulah penggunaan bahasa dalam Al-Qur’an. Kadang-kadang Al-Qur’an menyebut tentang perkara yang akan terjadi, tapi digunakan dalam bentuk past tense.

Itu adalah sebagai isyarat bahawa ianya pasti akan terjadi. Ini adalah kerana perkara yang telah berlaku, ia PASTI berlaku. Ini tidak sama kalau kita kata kita akan buat itu dan ini, kerana itu belum tentu lagi akan berlaku.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa memang semasa mereka dimasukkan ke dalam laut, memang laut itu terbakar. Ia dinamakan ‘Api Barzakh’. Itulah menguatkan hujah kenapa ayat-ayat itu dalam bentuk past tense, kerana mereka memang sudah kena dengan azab itu. Dan pendapat ini mengatakan dalam laut, memang ada tempat yang terbakar, dan mereka menggunakan dalil firman Allah dalam Tur:6

وَالْبَحْرِ الْمَسْجُورِ

Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan); –

Ada yang kata ayat dalam Surah Tur ini hanya berlaku apabila Kiamat kelak. Tapi hujah lain mengatakan yang lima ayat sebelumnya menyatakan tentang perkara yang memang sudah ada. Jadi, sepatutnya ayat ke 6 ini pun sepatutnya mengikut konsep yang sama, iaitu memang laut itu ada tempat yang panas.

Maka apabila Allah kata laut terbakar, maknanya memang sedang terbakar sekarang. Dan memang dalam kajian laut, apabila kapal selam dapat menyelam ke dasar lautan, boleh nampak bagaimana di kerak bawah laut, memang ada larva yang amat panas. Ianya adalah benda yang sedang ada sekarang.

Oleh itu, ada pendapat ulama yang mengatakan, setelah kaum Nabi Nuh itu ditenggelamkan, mereka ditarik pergi ke tempat yang panas dalam lautan itu dan dibakar di situ. Allahu a’lam.

 

فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَارًا

maka mereka tidak akan beroleh yang lain dari Allah, sebarang penolong

Hanya yang Allah beri belas kasihan sahaja yang akan diselamatkan. Tidak ada selain Allah yang akan dapat membantu sesiapa pun. Kalau orang-orang kufur yang menyembah tuhan-tuhan lain, dan orang Islam yang mengharapkan syafaat dari wali-wali mereka, itu tidak akan ada. Ada golongan Muslim pun, seperti orang tarekat yang sangka yang mereka akan diberi syafaat dan diselamatkan oleh guru-guru dan wali-wali mereka. Itu adalah karut.

Kerana itulah kita diajar untuk berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan kita dari azab kubur dan azab neraka. Minta terus kepada Allah untuk selamatkan kita. Itulah doa yang sentiasa dibaca Nabi dalam solat baginda selepas tasyahud. Kalau Nabi pun minta Allah selamatkan baginda, kita apatah lagi?

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari siksaan kubur, siksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta dari kejahatan fitnah Almasih Dajjal.” (HR al Bukhaariy, Muslim, dll)


 

Ayat 26: Ayat 26 – 28 ini adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Dan ia mengandungi doa-doa Nabi Nuh.

وَقالَ نوحٌ رَّبِّ لا تَذَر عَلَى الأَرضِ مِنَ الكٰفِرينَ دَيّارًا

Sahih International

And Noah said, “My Lord, do not leave upon the earth from among the disbelievers an inhabitant.

Malay

Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

 

وَقَالَ نُوحٌ

Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata:

Ini sambungan doa Nabi Nuh terhadap kaumnya.

 

رَّبِّ لَا تَذَرْ عَلَى الْأَرْضِ مِنَ الْكٰفِرِينَ دَيَّارًا

“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

Perkataan دَيَّارًا dari katadasar دير yang bermaksud ‘rumah’. Oleh itu, perkataan دَيَّارًا bermaksud ‘yang mendiami rumah – dalam konteks ayat ini, ‘rumah’ yang dimaksudkan adalah planet bumi. Jangan tinggalkan langsung tinggal orang kafir yang hidup atas muka bumi. Nabi Nuh berdoa supaya supaya dimatikan semua sekali umat yang tidak beriman.

Memang satu bumi ini banjir. Jangan terpengaruh dengan pendapat yang mengatakan sebahagian sahaja bumi yang tenggelam. Pendapat itu timbul kerana ada yang cuba buat kiraan berdasarkan maklumat yang tidak tepat.

Sampaikan mereka kata hanya beberapa ribu tahun sahaja antara kita dan umat Nabi Nuh. Mereka kata tamadun Mesir dan China telah ada tiga dan empat ribu tahun yang lepas. Dan mereka kata takkan tamadun itu boleh selamat kalau banjir seluruh dunia? Sekurangnya, tentu ada dalam buku-buku sejarah mereka.

Yang buat kiraan jarak antara kita dan Nabi Adam itu pun menggunakan maklumat dari Kitab Injil yang tidak semestinya tepat. Kita sebenarnya tidak tahu dengan tepat dan tidak boleh agak pun. Ada yang kata kononnya Nabi Adam dengan kita hanya 6 ribu tahun dan sudah jumpa tengkorak umur 5 juta tahun. Ini adalah satu perkiraan yang salah.

Sampai mereka kata Nabi Adam bukanlah manusia pertama yang hidup atas bumi ini. Ini semua adalah teori-teori yang tidak perlu dilayan. Akan terbukti nanti manakah kebenaran. Setakat ini, sains tidak dapat menjelaskan lagi keseluruhan yang disebut dalam Al-Qur’an.

Begitulah juga apabila disebut ilmu-ilmu sains zaman dahulu. Hanya sekarang baru dapat dipastikan bahawa apa yang disebut oleh Al-Qur’an itu adalah benar. Oleh itu, jangan pegang pendapat yang lain dari agama. Kerana apa yang disebut oleh Al-Qur’an dan Hadis itu sudah benar, cuma kita sahaja yang belum sampai ke tahap boleh memahaminya.

Inilah doa besar Nabi Nuh. Setiap Nabi ada Doa Besar mereka dan mereka telah gunakan pada hayat mereka, kecuali Nabi Muhammad. Sebab itulah, apabila di Mahsyar kelak, apabila umat manusia minta Nabi mereka untuk mendoakan supaya dipercepatkan Hisab, mereka tidak boleh berdoa kerana mereka telah pakai doa mereka. Macam Nabi Nuh, baginda akan kata yang kerana doanya, seluruh manusia telah mati.

Cuma apabila sampai kepada Nabi Muhammad, barulah baginda mengiyakan kerana baginda tidak pakai doa baginda. Baginda simpan untuk digunakan di Mahsyar nanti.

“Bagi setiap Nabi ada doa yang mustajab untuk dia berdoa dengannya, dan aku menyimpan doaku sebagai syafaat bagi umatku pada Hari Akhirat.” (Bukhari & Muslim)


 

Ayat 27: Kenapa Nabi Nuh berdoa supaya jangan ditinggalkan seorang pun musyrikin?

إِنَّكَ إِن تَذَرهُم يُضِلّوا عِبادَكَ وَلا يَلِدوا إِلّا فاجِرًا كَفّارًا

Sahih International

Indeed, if You leave them, they will mislead Your servants and not beget except [every] wicked one and [confirmed] disbeliever.

Malay

“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

 

إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا عِبَادَكَ

“Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu,

Kalau Allah kekalkan seorang pun mereka akan ajak orang lain jadi musyrik. Kerana mereka akan cuba kempen kepada orang lain juga untuk jadi musyrik seperti mereka. Bukan sahaja mereka yang sesat, tapi mereka akan menyesatkan orang lain juga. Inilah yang ditakuti oleh Nabi Nuh a.s. Maka kerana itu kita kena banteras pemahaman syirik dari akar umbi lagi.

 

وَلَا يَلِدُوا إِلَّا فَاجِرًا كَفَّارًا

dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

Kalau seorang bapa itu musyrik, ada kemungkinan yang dia akan pengaruhi anak-anak dia pun untuk jadi musyrik juga.

Kita kena faham yang baginda rasa akan terjadi itu bukanlah dia tilik-tilik apa yang akan terjadi di masa hadapan – tidaklah Nabi Nuh tahu tentang masa hadapan. Tapi kerisauan dan keyakinan baginda yang itulah yang akan terjadi adalah dari pengalaman baginda bersama mereka selama 950 tahun.

Dia sudah buat semua usaha dalam usaha dakwahnya, tapi tidak berjaya juga melainkan sedikit sahaja yang beriman. Yang selain itu adalah mereka yang memang amat degil dan baginda tidak nampak akan berubah.

Allah telah makbulkan doa Nabi Nuh dan kaumnya dimusnahkan dengan mereka dilemaskan dalam Banjir Besar. Tidak disebutkan apa yang terjadi kepada mereka dalam ayat ini. Tapi kita tahu dari surah-surah yang lain. Ini adalah kerana surah ini hendak menekankan tentang kesabaran Nabi Nuh, bukan hendak menceritakan dengan terperinci apakah yang terjadi.

Seperti kita sudah baca, Nabi Nuh memang seorang yang amat penyabar, kalau tidak takkan baginda sabar berdakwah selama 950 tahun dengan mereka. Tapi lihatlah, baginda yang penyabar pun sudah tahan dengan mereka, sampaikan baginda boleh berdoa sampai begitu sekali. Maknanya, teruk sangat kaumnya itu.

Semasa Nabi Muhammad membaca ayat ini, baginda tahu yang kalau baginda berdoa kepada Allah terhadap Musyrikin Mekah seperti yang dilakukan oleh Nabi Nuh, mereka pun boleh kena azab. Seperti Allah ingatkan Nabi jangan doa begitu kerana ianya akan menyebabkan kehancuran kaumnya. Kerana kalau Nabi Muhammad doa begitu, Allah akan makbulkan sepertimana Dia telah makbulkan doa Nabi Nuh a.s.


 

Ayat 28:

رَبِّ اغفِر لي وَلِوٰلِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيتِيَ مُؤمِنًا وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ وَلا تَزِدِ الظّٰلِمينَ إِلّا تَبارًا

Sahih International

My Lord, forgive me and my parents and whoever enters my house a believer and the believing men and believing women. And do not increase the wrongdoers except in destruction.”

Malay

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”

 

رَّبِّ اغْفِرْ لِي

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku,

Lihatlah bagaimana setelah baginda buat usaha yang amat lama dalam dakwah, baginda masih lagi mohon ampun. Kerana apa? Apa dosa baginda sampaikan baginda pun minta ampun? Baginda mohon ampun kerana baginda takut ada kekurangan dalam usahanya.

Begitulah berhemahnya Nabi Nuh a.s. Begitulah, seorang mukmin akan ada rasa kurang dengan amal mereka. Walaupun mereka telah melakukan tugas, tapi mereka kena ingat, ada lagi kekurangan dalam usaha mereka. Maka, jangan berbangga sangat.

Maka kita jangan bangga sangat dengan amal kita yang banyak kerana itu boleh mengundang ghurur dan ini adalah salah satu dari Talbis Iblis yang amat besar. Kerana kalau kita rasa amalan kita banyak, kita rasa kita bagus, itu adalah amat salah sekali. Maka kerana itu banyak dalam doa yang diajar Nabi, kita disuruh untuk minta ampun selepas buat amal ibadat. Supaya kita dapat sedar yang tentu ada kekurangan dalam amalan kita itu, tidak kira berapa banyaknya.

 

وَلِوٰلِدَيَّ

dan bagi kedua ibu bapaku,

Jangan lupa mendoakan kedua ibu bapa kita. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengajar sebegini.

 

وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا

serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman;

Perkataan بَيْتِيَ dari segi bahasa bermaksud ‘rumahku’ tapi boleh juga diertikan dalam ayat ini bermaksudnya ‘masjidku’ atau ‘bahteraku’ juga.

Lihatlah dalam ayat ini, Nabi Nuh tidak minta ampun untuk ahli keluarganya. Kerana ada dari kalangan keluarga baginda yang tidak beriman iaitu isterinya dan anaknya. Telah disebut tentang hal ini dalam surah yang lain. Nabi Nuh telah dilarang dari berdoa untuk mereka.

 

وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنٰتِ

dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan

Doa sebelum ini bersifat khusus, dan sekarang bersifat lebih umum – kepada semua yang beriman tidak kira zaman mana. Sama ada yang hidup dan yang mati. Bukan sahaja yang beriman bersama baginda tetapi juga mereka yang beriman selepas baginda kerana yang beriman bersamanya telah disebut dalam doa yang pertama tadi.

Jadi, doa baginda ini sampai kepada Hari Kiamat. Maknanya, kita pun termasuk juga didoakan oleh Nabi Nuh dalam doa baginda. Doa seperti ini digalakkan kerana ianya sunnah Nabi Nuh dan ia ada di dalam Al-Qur’an.

Dalam berdoa, kita kena tahu makna doa yang kita baca. Kalau baca Al-Qur’an dan zikir, boleh lagi tak tahu makna, tapi doa tak boleh lalai. Allah mahu hati kita sedar ketika berdoa. Jadi, kalau kita baca sahaja doa dalam bahasa Arab, walaupun ianya dari Al-Qur’an dan Hadis, tapi kita tidak faham, itu tidak bermakna. Mana mungkin kita hendak meminta sesuatu yang kita sendiri tidak tahu apa yang kita minta?

 

وَلَا تَزِدِ الظّٰلِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”

‘Zalim’ dalam ayat ini adalah syirik. Kerana zalim itu boleh jadi banyak makna dan digunakan dalam Al-Qur’an dalam banyak cara. Doa ini adalah doa kehancuran kepada musyrik dari dulu sampai ke Hari Kiamat.

Nabi Nuh berdoa supaya mereka dibinasakan di dunia dan akhirat.

Baik, itulah Tafsir Surah Nuh. Sebelumnya adalah Surah Maarij di mana Nabi Muhammad disuruh bersabar dalam dakwah dan ketika baginda mendapat tentangan dari kaumnya. Maka dalam surah Nuh ini diberikan contoh apa yang dilalui oleh Nabi Nuh dalam dakwahnya dan bagaimana sabarnya Nabi Nuh itu.

Baik, seperti kita tahu, musuh orang Islam adalah syaitan. Syaitan pula ada dari golongan manusia dan ada dari golongan jin. Yang mengajak kepada kesesatan dari golongan manusia juga adalah syaitan. Dan mereka dibantu oleh syaitan dari golongan jin. Maka kita akan belajar tentang jin dalam surah seterusnya. In sha Allah.

Allahu a’lam. Lompat ke surah seterusnya, Surah Jin.

Kemaskini: 11 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Nuh Ayat 11 – 22 (Istighfar boleh jadi kaya)

Keutamaan istighfar taubat
Khabar gembira untuk orang yang mahu bertaubat dan sentiasa beristighfar.

Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka. Ini kita dapat fahami dari ayat-ayat Al-Qur’an dan juga Hadis Nabi s.a.w. bermaksud:

“Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)

Kelebihan Istighfar:

Beristighfar ialah mengucapkan perkataan: Astaghfirullah al Azim. (Aku mohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung) diikuti dengan meminta ampun dengan ucapan dan perbuatan.

Dari segi perbuatan ialah meninggalkan kesalahan yang telah kita lakukan. Allah akan mengampunkan kesalahan kita sebagaimana firman Allah bermaksud, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Nuh: 10)


 

Ayat 11:

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا

Sahih International

He will send [rain from] the sky upon you in [continuing] showers

Malay

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

 

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

Sekiranya manusia melakukan istighfar kepada Allah, Allah akan menurunkan hujan kepada kita dengan banyak. Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah السَّمَاءَ – langit. Tapi diterjemahkan sebagai ‘hujan’. Kerana takkan langit pula yang jatuh ke atas kita. Kalau langit jatuh, itu adalah azab, bukan rahmat.

Jadi yang dimaksudkan adalah hujan yang akan diturunkan kepada manusia. Ini adalah penting kerana hujan amat diperlukan oleh umat manusia. Dengan air hujan yang diturunkan oleh Allah itu, akan menumbuhkan tanam tanaman untuk makanan kita, makanan binatang ternak kita yang akhirnya kita makan dan air itu juga untuk kehidupan yang lain. Bayangkan kalau hujan tidak turun seminggu dua pun, manusia sudah kecoh. Oleh kerana pentingnya hujan kepada manusia, Allah sebut dalam ayat ini.

Kalimah مِدْرَارًا berasal dari katadasar yang bermaksud unta betina yang banyak mengeluarkan susu. Ini adalah sesuatu yang amat disukai oleh orang Arab waktu itu kerana mereka mendapat susu dari unta. Jadi مِّدْرَارًا bermaksud hujan yang lebat. Dan hujan itu turun berterusan. Tapi dalam keadaan baik, bukanlah hujan berterusan sampai banjir pula. Maknanya, ini adalah jenis hujan berkat.

Dari ayat ini, kita boleh tahu yang bukan sahaja Allah akan mengampunkan dosa mereka yang melakukan istighfar, tapi Allah akan memberi rezeki yang mencurah-curah kalau kita istighfar meminta ampun kepadaNya.

Disebut tentang hujan yang lebat kepada kaum Nabi Nuh kerana apabila mereka menolak ajakan dakwah baginda, mereka telah dikenakan dengan azab yang kecil – iaitu mereka telah ditimpa kemarau.

Seperti kebiasaan, jikalau kaum menentang ajakan dakwah, mereka akan diberikan dengan azab yang ringan untuk mengingatkan mereka dan merendahkan ego mereka supaya menerima ajakan agama. Kerana selalunya, mereka yang menentang kebenaran adalah mereka yang ada ego yang tinggi – jadi kalau direndahkan sedikit, barulah mereka boleh menerima ajakan kepada kebenaran.

Macam orang kita juga, kalau dah jatuh terduduk, baru nak dengar nasihat orang lain, bukan? Jadi, Nabi Nuh menasihatkan mereka supaya meminta ampun kepada Allah supaya mereka diberikan dengan hujan lebat yang mereka perlukan.

Kita digalakkan membaca ayat ini dalam solat istisqa‘ (Solat meminta hujan). Ada riwayat yang menyebut Sayidina Umar telah membaca ayat ini ketika meminta hujan semasa beliau di atas mimbar. Sepertimana Nabi pun pernah doa minta hujan di atas mimbar.

Oleh itu, ini mengajar kita yang doa untuk meminta hujan tidak semestinya perlu diiringi dengan solat. Tidak semestinya kena solat, kerana Nabi Muhammad sendiri pun pernah hanya berdoa sahaja dari atas mimbar untuk meminta hujan. Semasa Umar atas mimbar, beliau telah baca istighfar bersama bersama-sama dengan jemaah yang ramai (tanpa solat). Kerana bukan beliau sahaja yang memerlukan hujan tetapi seluruh umat waktu itu. Beliau buat begitu kerana itulah janji Allah kepada kita seperti yang disebut dalam ayat ini.

Ada sedikit ironis dalam ayat ini. Umat Nabi Nuh waktu itu memang memerlukan hujan, tapi akhirnya nanti, hujanlah yang akan menghapuskan mereka.


 

Ayat 12:

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا

Sahih International

And give you increase in wealth and children and provide for you gardens and provide for you rivers.

Malay

“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ

“Dan Dia akan memanjangkan kepada kamu dengan harta kekayaan

Kalau istighfar dan taat kepada Allah, Allah akan beri rezeki yang banyak. Apabila kalimah مدِدْ digunakan, bermaksud Allah akan memanjangkan atau menambah lagi apa yang mereka ada. Mereka yang sudah sedia kaya, Allah boleh tambahkan lagi kekayaan mereka. Mereka yang miskin, Allah akan beri kekayaan kepada mereka.

 

وَبَنِينَ

serta anak-pinak;

Begitu juga, mereka sudah ada anak, Allah akan tambah lagi anak kepada mereka. Atau kalau mereka tidak ada anak, Allah boleh berikan anak kepada mereka. Anak juga adalah harta, terutama anak yang taat.

Anak memang nikmat yang besar kerana entah berapa ramai yang tidak dikurniakan dengan anak. Kalau tidak nampak nikmatnya anak, maka tanyalah kepada mereka yang tidak ada anak. Sedih sangat kehidupan mereka kerana tidak diserikan dengan hilai tawa anak-anak. Maka bagi mereka, apakah yang mereka boleh ambil dari ayat janji Allah ini? Iaitu dengan mengamalkan istighfar dengan banyak.

Ada kisah bagaimana satu pasangan mengadu tidak ada anak kepada seorang ulama setelah sekian lama berkahwin. Ulama itu menasihati mereka untuk melakukan ‘Terapi Istighfar’. Suami isteri banyakkan istighfar sepanjang masa. Dan terbukti mereka telah mendapat anak yang ramai selepas itu. Mereka suami isteri telah melakukan istighfar sepanjang masa dan mereka telah dikurniakan dengan anak seorang demi seorang.

 

وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ

dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman,

Ini adalah nikmat yang amat diperlukan dan dikehendaki oleh manusia. Banyak disebut tentang kebun-kebun dalam Al-Qur’an kerana ianya merujuk kepada keinginan manusia di dunia. Ia juga boleh merujuk kepada rezeki kerana kebun itu mengandungi tanam-tanaman yang boleh dimakan.

 

وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai

Sungai diperlukan untuk mengairi tanam tanaman dan juga dijadikan sebagai metode perjalanan. Kalau zaman dahulu, sungailah laluan perhubungan yang banyak digunakan dan kerana itu banyak penempatan bandar berdekatan dengan sungai.

Ada satu kisah bagaimana ada yang mengadu keadaan yang kemarau kepada Hasan al Basri. Hasan Basri suruh lelaki itu balik rumah dan melakukan istighfar. Kemudian, datang pula lelaki lain yang mengadu kemiskinan yang melanda. Hasan Basri suruh lelaki itu balik rumah dan melakukan istighfar juga. Kemudian ada yang datang mengadu kerana tidak dapat anak. Hasan al Basri memberikan nasihat yang sama. Kemudian ada yang datang mengadu keringnya kebun beliau. Hasan Basri memberi nasihat yang sama juga.

Anak murid yang melihat kejadian itu kehairanan dan bertanya kepada Hasan al Basri kenapa masalah yang berlainan tetapi semuanya dinasihatkan untuk istighfar? Beliau jawab nasihat itu bukan darinya tapi pemahaman dari surah Nuh ayat ini dan beliau membacakan ayat ini.

Begitulah kehebatan istighfar. Banyak faedah padanya kerana ianya janji dari Allah. Janji Allah kepada kaum Nabi Nuh itu masih ada lagi sehingga ke hari ini kepada kita. Setiap Nabi telah mengajak kaum mereka untuk istighfar kepada Allah.

Nabi Muhammad pun banyak melakukan istighfar. Walaupun baginda tidak ada dosa sebenarnya kerana baginda maksum. Dan Nabi banyak mengajak umatnya untuk meminta ampun kepada Allah. Maka, perbanyakkan istighfar kepada Allah.

Tapi ingatlah, doa dan mengharap kepada Allah adalah wajib, tapi sama ada Allah beri atau tidak, itu adalah harus – terpulang kepada Allah. Kerana Allah lebih tahu apakah yang kita perlukan. Tidak semestinya yang kita minta akan dimakbulkan. Allah dengan segala ilmuNya, akan memberikan apa yang kita perlukan. Jadi, jangan patah hati kalau apa yang kita minta dan harapkan, tidak diberi di dunia ini.

Ini adalah contoh ayat targhib – ayat galakan untuk kita melakukan sesuatu. Galakan-galakan itu diberikan sebagai memberi motivasi kepada manusia untuk melakukan sesuatu. Secara ringkasnya, dalam ayat ini dan sebelumnya telah disebut lima kelebihan yang akan diberi kepada kita oleh Allah kalau kita banyak istighfar:

1. Hujan
2. Harta
3. Anak
4. Kebun tanaman
5. Sungai.

Kenapa kita disuruh untuk memohon keampunan dari Allah? Kerana kesusahan yang kita hadapi mungkin disebabkan oleh dosa-dosa kita. Mungkin kerana kesalahan kita, Allah berikan azab yang ringan. Ini disebut dalam Sajdah:21.

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Allah beri kesusahan dan azab yang ringan supaya kita sedar diri dengan kesalahan yang kita lakukan. Kalau ditimpa musibah, kena tengok balik, kenapa kena musibah itu? Mungkin ada kesalahan kita di mana-mana. Maka kita akan hisab diri kita sendiri. Apabila kita sedar kesalahan kita dan meminta ampun, Allah ampunkan dosa kita. Oleh itu, hendaklah kita meminta ampun dari Allah dengan harapan Allah akan mengangkat azab itu dari kita.

Maknanya, kesusahan yang Allah berikan itu adalah rahmat sebenarnya – kerana ianya mengingatkan kita dan supaya dapat menyelamatkan kita dari kesusahan azab yang lebih besar di akhirat kelak.

Oleh itu, kalau ada yang datang kepada kita dan menceritakan masalah mereka, maka nasihatilah mereka untuk pulang dan banyakkan minta ampun kepada Allah. Ini adalah satu nasihat dan jalan penyelesaian kepada banyak perkara. Mudah sahaja untuk mereka lakukan. Buatlah sebanyak mana yang mereka mampu. Tidaklah perlu beritahu berapa istighfar yang kena baca. Cuma bacalah ikut kemampuan kita.

Lihatlah bagaimana 5 kelebihan yang disebut itu adalah kelebihan-kelebihan dunia, bukan? Kenapa begitu? Kenapa disebut kebaikan di dunia pula? Kerana sifat manusia yang mahukan kesenangan dunia dan mereka mahukan pulangan dengan kadar yang segera. Mereka nak lihat hasilnya semasa mereka di dunia lagi. Memang tidak boleh disangsikan lagi, manusia memang begitu. Maka, Allah layan mereka begitu juga. Maka ada perkara keduniaan yang Allah berikan sebagai galakan untuk manusia.

Ayat ini juga memberitahu manusia dengan kelebihan-kelebihan yang mereka boleh dapat kalau mereka mengamalkan Islam. Kerana Islam ini adalah panduan hidup dan cara menjalani kehidupan di dunia juga. Kalau amalkan agama, kelebihan di dunia pun boleh dapat, dan bukan hanya di akhirat sahaja. Islam ini adalah agama untuk dunia dan juga akhirat.


 

Ayat 13: Selepas diberikan dengan berita-berita baik sebagai motivasi kepada manusia, sekarang Allah takutkan pula. Ini adalah jenis ayat-ayat Tarhib.

ما لَكُم لا تَرجونَ لِلَّهِ وَقارًا

Sahih International

What is [the matter] with you that you do not attribute to Allah [due] grandeur

Malay

“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),

 

Perkataan مَّا لَكُمْ bermaksud “Apa tak kena dengan kamu ini?” Kenapa tak agungkan Allah dengan sebenar-benar pengagungan? Kenapa kamu masih cari selain Allah sedangkan Allah sudah cukup untuk kamu?

Ada dua elemen yang ada dalam perkataan تَرْجُونَ yang berasal dari katadasar ر ج و iaitu ‘Harap‘ dan ‘Takut‘. Untuk kita harap kepada sesuatu, hendaklah kita mempercayainya, bukan? Maka kita kena percaya kepada Allah untuk berharap kepada Allah.

Kalau kita tidak percaya yang Allah boleh beri segala keperluan kita, tentu kita tidak dapat untuk meletakkan pengharapan kita kepadaNya, bukan? Dan untuk kita percaya kepada Allah, kita kena belajar sifat-sifatNya. Ini banyak diterangkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan kenal Allah melalui maklumat yang diberikan olehNya sendiri.

Perkataan وَقَارًا dari katadasar و ق ر yang bermaksud ‘hormat’. Nabi Nuh menegur mereka kenapa mereka tidak mengagungkan Allah sebagaimana yang sepatutnya? Kenapa mereka tidak mempercayai sifat Allah sebagaimana yang sepatutnya? Kenapa sampai ada yang merendahkan martabat Allah?

Sebagai contoh, ada yang mengatakan Allah ada anak, sedangkan keperluan kepada anak itu adalah kepada mereka yang lemah, seperti manusia. Kita sebagai manusia memerlukan anak untuk melangsungkan penerusan hidup kita, membantu kita, memberi kegembiraan kepada kita dan sebagainya – tapi Allah tidak bersifat begitu, maka Allah tidak memerlukan anak. Jadi, apabila kita kata Allah memerlukan anak, kita sudah merendahkan martabat Allah.

Seperti yang kita telah sebut tadi, dalam perkataan raja’, ada elemen ‘takut’ di dalamnya. Oleh itu, ayat ini juga mempersoalkan mereka yang tidak takut kepada Allah. Kenapa tak takut dengan Tuhan? Kenapa kamu berani melakukan segala kesalahan-kesalahan yang tidak patut itu? Adakah kamu sangka Allah tidak melihat segala perbuatan kamu itu? Adakah kamu sangka Allah tidak balas perbuatan itu?


 

Ayat 14: Kenapa manusia tidak agungkan Allah sedangkan Allahlah yang telah menjadikan kita?

وَقَد خَلَقَكُم أَطوارًا

Sahih International

While He has created you in stages?

Malay

“Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?

Allah menjadikan manusia dari nutfah, kemudian menjadi darah beku, kemudian menjadi daging dan seterusnya. Ini telah difirmankan oleh Allah dalam Mukminoon:14.

ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Ayat ini adalah salah satu dari ayat yang menunjukkan mukjizat Al-Qur’an. Allah menyebut dengan terperinci kejadian manusia dalam rahim ibunya. Dulu manusia tak tahu yang kita dijadikan berperingkat-peringkat. Ilmu janin ini dulunya manusia tak tahu langsung kerana mereka tidak dapat lihat apa yang berlaku dalam perut ibu. Tapi Al-Qur’an sudah beritahu lama dulu lagi.

Bayangkan berapa lama manusia tidak tahu bagaimana manusia dijadikan. Kalau ikut teori Aristotle, dia kata air mani yang bercampur dengan darah haid yang menghasilkan bayi. Lama sekali manusia pegang pendapat ini dan tidak berani nak lawan kerana tidak ada ilmu lain untuk menolaknya.

Selepas diciptakan mikroskop, baru kita tahu yang manusia tidak dijadikan begitu. Mereka sudah boleh nampak bahawa memang ada sesuatu dalam air mani itu. Tapi mereka sangka dalam air mani itu sudah siap ada manusia kerdil yang akan membesar jadi manusia. Ini adalah kerana mikroskop waktu itu tidaklah cukup kuat untuk melihat dengan lebih terperinci lagi apakah yang ada dalam air mani itu.

Tapi lihatlah bagaimana ayat Al-Qur’an telah lama mengatakan bahawa kejadian manusia itu berperingkat-peringkat. Sekarang kita dapat lihat mukjizat Al-Qur’an itu. Al-Qur’an tidak berlawanan dengan sains. Perkara yang tidak diketahui pada zaman dahulu sudah disebut dalam Al-Qur’an.

Apabila sains semakin maju, kebenaran Al-Qur’an itu semakin terserlah satu persatu. Nanti, kita akan lihat lagi kebenaran ayat Al-Qur’an yang memberitahu tentang Mahsyar, syurga dan neraka. Malangnya, itu hanya boleh dilihat apabila kita sudah mati nanti. Mereka yang tidak percaya, akan mengalami kejutan yang amat sangat.

Perkataan أَطْوَارًا juga bermaksud ‘keadaan’. Ini boleh bermaksud yang Allah telah menjadikan kita dalam berbagai keadaan. Ada yang sihat dan ada yang tidak. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Ada yang pandai dan ada yang bijak. Allah telah menjadikan kita berlainan antara satu sama lain. Kita jangan mengeluh tapi gunakan apa sahaja kelebihan yang Allah telah berikan itu untuk berbuat kebaikan.


 

Ayat 15: Tadi ayat tentang kehebatan dalam penciptaan diri manusia. Sekarang Allah menyebutkan kehebatan dalam penciptaan alam ini pula.

أَلَم تَرَوا كَيفَ خَلَقَ اللَّهُ سَبعَ سَماواتٍ طِباقًا

Sahih International

Do you not consider how Allah has created seven heavens in layers

Malay

“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

 

Langit itu berada atas setiap satu yang di bawahnya. Ini menunjukkan kehebatan Allah SWT dalam penciptaan. Segala ilmu bintang yang sedang dikaji ini, tidak lepas lagi pun langit yang pertama. Sedangkan ada lagi langit-langit lain yang lebih besar dari langit yang pertama.

Kenapa kita tidak mengagungkan Allah yang Maha Agung ini, yang telah menciptakan kita dan alam yang lebih luas ini?


 

Ayat 16: Kita tidak dapat melihat keseluruhan langit, tapi kita boleh melihat matahari dan bulan setiap hari. Allah sebut pula tentang keduanya selepas disebut tentang langit yang tujuh lapis.

وَجَعَلَ القَمَرَ فيهِنَّ نورًا وَجَعَلَ الشَّمسَ سِراجًا

Sahih International

And made the moon therein a [reflected] light and made the sun a burning lamp?

Malay

“Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

 

وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا

“Dan Dia menjadikan padanya bulan yang padanya cahaya

Apabila malam tiba, maka keluarlah bulan menerangi malam dengan cahayanya. Manusia memandang bulan dan mengagumi keindahan cahaya bulan itu. Keluarlah banyak sajak dan lagu tentangnya. Tapi siapakah yang menjadikannya? Allah SWT.

 

وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجًا

serta menjadikan matahari sebagai lampu

Allah bezakan terang cahaya bulan dan terang cahaya matahari. Tidak sama ‘terang’ antara keduanya. Kalau keliling gelap dan ada satu cahaya, cahaya itu dipanggil نُورًا . Ini kerana apabila malam, suasana sekeliling adalah gelap tapi bulan itu sahaja yang bercahaya. Cahaya bulan bukannya datang dari dirinya tapi hanya imbasan dari cahaya matahari sahaja. Kerana itu Allah gunakan kalimah نُورًا untuk bulan.

Perkataan سِرَاجًا pula digunakan apabila punca cahaya itu terbakar seperti pelita. Dulu manusia tidak tahu yang matahari itu terbakar. Tapi semakin sains maju dan boleh meneropong matahari, kita tahu bahawa matahari itu dalam keadaan terbakar yang sampai masanya, akan berhenti dan malap.

Bulan dan matahari dijadikan sebagai tanda kiraan kepada manusia. Dengan dua ciptaan ini, manusia boleh tahu hari siang atau malam, cukup waktu sebulan dan sebagainya. Apabila kita melihat kedua penciptaan ini, maka akan teringatlah kepada ayat ini.


 

Ayat 17:

وَاللَّهُ أَنبَتَكُم مِنَ الأَرضِ نَباتًا

Sahih International

And Allah has caused you to grow from the earth a [progressive] growth.

Malay

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,

 

Kita dikatakan ‘tumbuh’ dari bumi kerana asal manusia dari tanah. Kerana Nabi Adam dijadikan dari tanah dan kita ini adalah anak cucunya.

Dan dikatakan kita ditumbuhkan dari tanah kerana keperluan hidup kita dari tanah juga. Kita membesar dengan memakan makanan yang tumbuh dari tanah. Dan kalau kita makan daging binatang, bukankah binatang itu juga makan hasil dari tanah juga? Jadi, memang kita tidak dapat lari dari memakan hasil dari bumi. Maka memang benar kita dijadikan dari tanah.


 

Ayat 18: Kita asal dari tanah dan akan kembali ke tanah dan akan dikeluarkan dari tanah juga nanti apabila Kiamat.

ثُمَّ يُعيدُكُم فيها وَيُخرِجُكُم إِخراجًا

Sahih International

Then He will return you into it and extract you [another] extraction.

Malay

“Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

 

ثُمَّ يُعِيدُكُمْ فِيهَا

“Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati),

Kita membesar macam tumbuhan dari bumi, tapi nanti akan mati dan masuk ke dalam bumi itu sendiri. Ini mengingatkan kita tentang kematian. Selalu ayat-ayat Al-Qur’an akan mengingatkan yang kita akan mati. Kerana manusia selalu terlupa. Dengan selalu membaca Al-Qur’an, kita akan selalu diingatkan kepada mati. Ingat mati akan menyebabkan kita takut untuk buat dosa.

 

وَيُخْرِجُكُمْ إِخْرَاجًا

dan mengeluarkan kamu daripadanya dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

Apabila Kiamat kelak dan Hari Kebangkitan bermula, kita semua akan dikeluarkan dari kubur kita. Kita semua akan keluar cukup umur dewasa, walaupun ada yang mungkin mati semasa kanak-kanak.

Kita akan dijadikan sebagaimana Nabi Adam dijadikan dahulu – sudah siap-siap dewasa. Tidaklah dahulu Nabi Adam itu dijadikan dari bayi dan membesar tapi terus baginda dalam keadaan dewasa. Kita tidak dibangkitkan dengan tubuh kita yang di dunia tapi kita akan diberikan dengan tubuh baru.


 

Ayat 19:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ بِساطًا

Sahih International

And Allah has made for you the earth an expanse

Malay

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

 

Kita tinggal di atas kerak bumi. Kerak bumi ini seperti hamparan karpet yang dihamparkan. Bukanlah maksudnya bumi ini leper. Al-Qur’an tidak kata yang bumi ini leper seperti yang didakwa oleh golongan yang mencari-cari salah dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an tidak bersalahan dengan ilmu sains. Maka agak pelik apabila masih ada yang sangka bumi ini leper.


 

Ayat 20: Kenapa Allah hamparkan bumi ini untuk kita?

لِتَسلُكوا مِنها سُبُلًا فِجاجًا

Sahih International

That you may follow therein roads of passage.’ “

Malay

“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

 

Allah tetapkan bumi ini luas terhampar supaya kita boleh gerak dengan bebas di bumi ini. فِجَاجًا bermaksud luas dan lapang. Laluan dalam bumi ini adalah luas dan mudah untuk kita melaluinya. Bumi ini tidak sempit kerana kalau sempit, kita tidak selesa.

Allah ingatkan manusia dengan kekuasaanNya dan apa yang Dia telah jadikan untuk kita. Mari kita lihat apa yang Allah telah berikan kepada kita:

  • Allah telah ciptakan kita berperingkat
  • Allah telah berikan cahaya kepada kita. Waktu siang, ada cahaya matahari dan waktu malam, ada cahaya bulan.
  • Allah telah berikan kita punca kehidupan dari bumi ini
  • Dan Allah telah lapangkan jalan-jalan di bumi ini supaya kita dapat berjalan dan bergerak dengan selesa. Kita boleh bergerak ke mana-mana dengan mudah.

Ayat ini memberitahu yang kita boleh bergerak ke merata tempat dengan selesa kerana jalan yang luas. Kerana itu, Nabi Nuh telah bergerak dan mengembara untuk menjalankan kerja dakwah. Begitu juga dengan kita. Maka berjalanlah di muka bumi ini untuk berdakwah kepada Allah.

Lihatlah bagaimana Allah mengenalkan DiriNya kepada kita dalam bahasa yang mudah untuk difahami. Kita akan ingat dan kagum kepada Allah dengan melihat diri kita, melihat matahari dan bulan, melihat makanan kita dan semasa kita berjalan di bumiNya ini. Inilah cara Allah mengingatkan kita kepadaNya.

Ini juga menunjukkan kepada kita yang kita kena memperkenalkan Allah kepada manusia. Supaya manusia lebih kenal Allah dan sedar siapa Allah itu. Bukannya belajar tentang feqah dahulu, atau memperkenalkan Allah dengan ilmu falsafah macam pelajaran Sifat 20 sampaikan tidak kenal Allah.

Kita kena kenalkan Allah dengan cara yang mudah, seperti yang Allah ajar dalam Al-Qur’an. Apabila kita kenal Allah, sedar tentang Allah, maka akan mudah untuk kita menjalankan hukum-hukumNya, melakukan ibadah kepadaNya dan taat kepadaNya.

Masalah yang dihadapi manusia yang tidak taat kepada Allah dan berat untuk melakukan ibadah adalah kerana mereka tidak diperkenalkan kepada Allah – termasuk orang Islam sendiri pun. Walaupun mereka tahu Allah, sudah pun masuk Islam, tapi mereka tidak kenal Allah sebagaimana yang sepatutnya.

Kerana kalau kita kenal Allah dengan sebenar-benar kenal, kita akan mudah untuk taat dan melakukan ibadat kepadaNya. Kerana kita sedar siapa Dia, dan siapa kita.


 

Ayat 21: Setelah diberikan segalanya itu, apakah kaum Nabi Nuh buat? Setelah sekian lama Nabi Nuh a.s. berdakwah kepada mereka dan mengingatkan mereka kepada Allah, apakah sambutan dari kaumnya? Ayat 21 – 24 adalah Perenggan Makro Ketiga menceritakan pengaduan Nabi Nuh kepada Allah.

قالَ نوحٌ رَبِّ إِنَّهُم عَصَوني وَاتَّبَعوا مَن لَم يَزِدهُ مالُهُ وَوَلَدُهُ إِلّا خَسارًا

Sahih International

Noah said, “My Lord, indeed they have disobeyed me and followed him whose wealth and children will not increase him except in loss.

Malay

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

 

قَالَ نُوحٌ رَّبِّ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku!

Nabi Nuh mengadu kepada Allah apa yang telah dilakukan oleh kaumnya itu, padahal Allah sudah tahu pun. Allah lebih mengetahui dari Nabi Nuh lagi. Tapi Nabi Nuh masih juga beritahu dan mengadu kepada Allah. Ini memang perlu dilakukan kerana Allah suka kalau kita mengadu kepadaNya walaupun Dia sudah tahu.

Ada orang kata kita tak perlu beritahu Allah apa-apa pun kerana Allah sudah tahu segala-galanya. Hujah itu nampak macam betul pada awalnya. Tapi tidak begitu berdasarkan dalil yang ada. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh telah menzahirkan pengharapan baginda kepada Allah. Baginda juga mengadu kepada Allah. Inilah kebiasan para Nabi iaitu mengadu kepada Allah. Maka kita jangan malu dan segan nak mengadu kepada Allah.

Ayat-ayat sebelum ini adalah kata-kata Nabi Nuh yang memberitahu Allah apa yang baginda telah sampaikan kepada umatnya. Dan sekarang, baginda memberitahu apakah reaksi kaumnya itu.

Maka, walaupun Allah itu Maha Tahu, tak beritahu pun Dia memang sudah sedia tahu, tapi lihatlah bagaimana Nabi Nuh mengadu juga kepada Allah. Nabi Muhammad pun buat macam itu juga. Oleh itu, ini mengajar kita bahawa kita kena cakap apa yang kita hendak. Beritahu kepada Allah keperluan dan kehendak kita.

Allah hendak kita zahirkan apa yang ada dalam hati kita walaupun Allah sudah tahu apa yang dalam hati kita. Sama macam apa yang Nuh sedang lakukan. Maka jangan malu atau lelah untuk mengadu kepada Allah. Allah suka kalau kita mengadu kepadaNya.

 

إِنَّهُمْ عَصَوْنِي

Sesungguhnya mereka telah menderhakaiku,

Kaumnya tidak mahu mendengar kata-kata baginda. Di awal surah ini lagi kita sudah baca yang baginda sudah suruh mereka mentaatinya, tapi mereka tolak. Mereka degil dan sombong dan derhaka kepada Rasul mereka.

Kita kena ingat bahawa bukan salah Nabi Nuh yang kaum dia tak mahu ikut ajakan baginda. Jangan kata baginda tak pandai dakwah pula. Sedangkan Nabi Muhammad pun ada yang tolak dakwah baginda. Sedangkan Nabi Muhammad itu adalah sebaik-baik manusia dan amat bijak sekali dalam berfikir dan berkata-kata – tapi masih lagi manusia menolak baginda.

Maka kalau para Rasul pun ditolak oleh manusia, apatah lagi kita? Maka bersabarlah kalau ada yang tidak mahu mendengar ajakan dakwah kita. Ini bukanlah perkara yang pelik sebenarnya.

 

وَاتَّبَعُوا مَن لَّمْ يَزِدْهُ مَالُهُ وَوَلَدُهُ إِلَّا خَسَارًا

dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahi melainkan kerugian

Sebaliknya mereka ikut orang-orang yang kaya dan banyak anak pinak. Harta mereka dan anak pinak mereka tidak akan menyelamatkan mereka. Malah harta dan anak pinak itulah nanti yang menjadi punca penyesalan bagi mereka. Bagaimanakah harta dan anak anak mereka itu merugikan mereka?

Allah jadikan kekayaan mereka itu sebagai penyebab kekafiran mereka. Sebab dengan ada harta dan anak yang ramai itu, mereka rasa mereka yang benar, mereka jadi sombong. Banyak yang tak dengar cakap penyebar agama adalah mereka yang kaya dan berkuasa. Kekayaan mereka menjadi istidraj (menjauhkan dari Allah) kepada mereka. Kerana mereka rasa mereka sudah cukup hebat dan tidak memerlukan sesiapa lagi.

Kaum Nabi Nuh menolak hujah Nabi Nuh dengan mengatakan walaupun mereka tak beriman dengan baginda, mereka masih hidup senang juga, anak-anak mereka ramai juga. Manusia yang engkar itu bangga kalau anak-anak mereka ramai kerana mereka anggap itu adalah satu kelebihan yang ada pada mereka. Padahal anak-anak itu adalah pemberian Allah, bukannya usaha mereka pun.

Manusia sebenarnya menjadi ujian kepada manusia lain. Orang ramai terpedaya dengan kedudukan pemuka kaum mereka yang kaya sampaikan mereka tinggalkan penyebar tauhid. Mereka hendak menjadi pengikut orang-orang kaya dan tidak mahu jadi seperti orang-orang miskin yang jadi pengikut Nabi Nuh.

Itulah ujian kepada kita semua. Kerana mereka nampak orang kaya itu berjaya, manusia rasa tentulah mereka yang kaya itu benar. Ini kerana masyarakat memandang tinggi orang yang kaya dan berjaya. Mereka samakan ‘kejayaan’ dan ‘kekayaan’ dengan ‘kebenaran’. Pada mereka, berjaya = benar. Ini adalah salah perkiraan.

Kita sendiri boleh lihat bagaimana ada manusia yang semakin kufur apabila semakin banyak kekayaan mereka. Tetapi kekayaan mereka itu bukanlah tanda mereka itu semestinya benar. Malah kekayaan mereka itu menyebabkan mereka semakin jauh dari Allah.

Inilah masalah besar yang sedang dihadapi oleh masyarakat dunia sekarang. Kita mementingkan kebendaan dan harta. Kita mahukan kehidupan yang senang dan mewah, boleh pakai barang dan baju yang berjenama, dipandang hebat oleh orang lain.

Oleh kerana itulah kita terperangkap dengan dunia sampaikan lupa kepada akhirat. Ramai yang tidak mampu mempunyai segala kemewahan, tapi kerana mereka mahu jadi seperti orang lain, mereka sampai berhutang, mengikat perut dan tidak ada wang langsung lagi berbaki untuk infak pada jalan Allah.

Contohnya, ada tak mampu nak pakai iphone, tapi kerana semua orang pakai iphone, dia sanggup berhutang sebab nak pakai juga iphone. Maka, dia sanggup berhutang – handphone sudah rosak, tapi hutang tak habis bayar lagi. Dia telah menyusahkan dirinya sendiri.

Tidak ada masalah untuk mempunyai harta yang banyak, asalkan tidak melupakan akhirat. Kita boleh buat banyak perkara baik kalau kita ada harta – kita boleh sedekah, kita boleh bina kelas pengajian, meningkatkan pengajaran agama, dakwah dan sebagainya.

Masalahnya hanya apabila wang dan harta itu menjadikan kita sangkut dengan dunia dan lupa kepada akhirat. Masalahnya apabila kita sombong dengan kekayaan kita itu.

Dalam ayat ini, Nabi Nuh mengadu kepada Allah bagaimana harta dan anak pinak kaumnya yang kaya itu bukannya menambah keimanan mereka, malah menjauhkan lagi mereka dari agama.


 

Ayat 22: Apakah yang dilakukan oleh pemuka-pemuka masyarakat yang kaya itu?

وَمَكَروا مَكرًا كُبّارًا

Sahih International

And they conspired an immense conspiracy.

Malay

“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

 

Kalimah مَكْرًا adalah rancangan jahat untuk berbuat kerosakan. Pemuka kaum Nabi Nuh telah membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Nabi Nuh. Tujuan mereka adalah supaya kaum mereka tidak ikut Nabi Nuh.

Mereka nampak Nabi Nuh sebagai satu ancaman kepada cara hidup mereka. Pada mereka, Nabi Nuh tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Bukan sahaja mereka tidak mahu ikut, mereka malah menentang lagi dakwah baginda itu.

Rancangan itu pula adalah كُبَّارًا (amat besar) dalam bentuk isim mubalaghah yang berasal dari katadasar ك ب ر yang bermaksud ‘besar’. Maknanya, rancangan itu amat besar dan amat jahat. Bukan rancangan main-main yang difikirkan semasa minum-minum kopi sahaja tapi rancangan yang besar.

Mereka gunakan harta mereka supaya pengikut mereka terus kufur. Mereka kata kepada pengikut mereka, kalau ikut cara hidup mereka, pengikut mereka itu akan jadi kaya dan berjaya seperti mereka dan sebaliknya kalau ikut Nabi Nuh, mereka akan jadi susah. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk mengelabui mata masyarakat.

Beginilah orang-orang kufur menggunakan harta mereka untuk menyesatkan manusia. Dari dulu sampailah sekarang. Lihatlah bagaimana filem-filem yang memakan belanja yang besar untuk melakukannya, dengan tujuan untuk menggalakkan manusia untuk menjalani kehidupan yang jauh dari agama.

Mereka boleh buat begitu kerana mereka ada banyak harta dan sumber kewangan yang besar. Malangnya, ramai masyarakat kita ramai yang terpengaruh. Mereka nak jadi macam orang-orang dalam filem itu, mereka nak ikut idola-idola mereka yang mereka lihat di media massa.

Perancangan Freemason adalah hendak menaikkan kehidupan yang rosak dalam masyarakat. Mereka akan naikkan seseorang yang boleh dijadikan sebagai model kehidupan pilihan mereka. Mereka akan gunakan cara marketing di media massa yang mereka kuasai, supaya orang-orang yang akalnya pendek akan ikut mereka.

Maka, ramai manusia yang akan ikut kata-kata orang itu, cara pakaian, cara berhibur dan sebagainya. Maknanya, ini adalah rancangan yang terperinci dari mereka. Dari zaman Nabi Nuh lagi telah dibuat cara itu.

Sebagai contoh, kalau di nusantara ini, mereka menaikkan nama Negara Singapura. Lihatlah bagaimana segala barangan kena masuk melalui pelabuhan Singapura dulu. Padahal, tak perlu pun melalui pelabuhan di Singapura itu kerana ada pelabuhan lain pun.

Tujuan dilakukan itu adalah supaya negara itu dikayakan supaya manusia nampak bagaimana kalau dengan cara kehidupan yang tidak ikut agama seperti yang diamalkan oleh Singapura, akan menyebabkan kejayaan di dunia ini. Mereka mahu manusia ikut cara hidup Negara Singapura yang liberal dan sekular itu. Mereka mahu kita kaitkan kehidupan moden dengan cara hidup rakyat Singapura.

Ketahuilah bahawa memang ada perancangan jahat golongan manusia untuk menyesatkan orang lain. Mereka itu adalah syaitan dalam bentuk manusia. Ramai yang sudah dan akan terpedaya. Kerana mereka hanya tahu mengikut sahaja tanpa berfikir dalam-dalam. Dalam Saba:33, Allah menceritakan tentang golongan yang disesatkan itu. Mereka akan marah kepada golongan yang telah menyesatkan mereka dulu di dunia.

وَقَالَ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا بَلْ مَكْرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَا أَن نَّكْفُرَ بِاللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُ أَندَادًا وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ وَجَعَلْنَا الْأَغْلَالَ فِي أَعْنَاقِ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: “Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.

Malangnya, mereka marah itu selepas mereka sudah masuk dalam neraka. Bukan boleh buat apa-apa pun waktu itu. Patutnya mereka marah semasa mereka di dunia, tapi semasa di dunia, mereka ikut rapat mereka yang menyesatkan mereka itu.

Allah sebutkan penyesalan mereka di akhirat nanti. Maka, kita kenalah berhati-hati dan jangan terpedaya dengan orang-orang yang cuba menyesatkan kita. Gunakan akal dan iman kita, kerana walaupun kita disesatkan oleh orang lain, kita masuk neraka juga bersama mereka.

Tidaklah kita selamat walaupun kita ditipu. Yang ditipu dan menipu akan dua-dua masuk neraka. Kita tidak boleh guna alasan kita ditipu kerana Allah telah memberikan kepada kita akal untuk memikirkan manakah yang benar.

Dalam Ahzab:66-68, Allah menceritakan penyesalan manusia lagi kerana mereka telah ikut pembesar-pembesar semasa di dunia dulu.

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا

Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”

Beginilah penyesalan banyak orang nanti. Mereka tahu ikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang-orang besar, ustaz-ustaz dan ulama, ahli politik dan sebagainya tanpa usul periksa. Mereka sambut tahun baru, kita sambut. Mereka sambut Mawlid Nabi, kita ikut. Mereka zikir menari, kita pun tengok sahaja tak tegur.

Maka, jangan kita salahkan orang lain kalau kita buat dosa dan tinggal agama. Jangan salahkan mak dan ayah yang tak ajar kita kerana selepas kita baligh, kita kena bertanggungjawab atas urusan agama kita. Jangan kita salahkan ustaz, ulama’ yang ajar perkara yang salah kerana kita telah diberikan akal untuk mencari kebenaran.

Kita yang bersalah kerana meletakkan perkara yang penting dalam tangan orang lain. Itulah orang yang apabila ditanya kenapa mereka buat perkara bidaah, mereka jawab: “Ustaz itu kata boleh”.

Hadis Nabi juga ada mengatakan yang kita akan mengikuti orang yang sebelum kita sejengkal demi sejengkal sampai kita akan jadi macam mereka. Nabi tidak redha dengan keadaan itu. Ini adalah ujian kepada kita. Untuk melepasi ujian itu, kita kena gunakan akal dan iman kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Nuh Ayat 6 – 10 (Cari jalan untuk dakwah)

Ayat 6: Setelah baginda tekun berdakwah, adakah baginda berjaya?

فَلَم يَزِدهُم دُعائي إِلّا فِرارًا

Sahih International

But my invitation increased them not except in flight.

Malay

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

Semakin banyak baginda dakwah kepada mereka, semakin mereka lari dari baginda. Kerana kaumnya tidak mahu mendengar dakwah baginda. Nampak sahaja kelibat Nabi Nuh, mereka sudah lari jauh-jauh. Mereka tak larat nak layan baginda lagi.

Tentulah ini menyayat hati baginda. Tapi adakah baginda berhenti dari berdakwah? Tidak, baginda terus berdakwah. Kalau ini yang terjadi kepada kita, adakah kita buat perkara yang sama macam Nabi Nuh? Selalunya, kita akan berhenti dari dakwah, kan?

Katakanlah kita dakwah kepada kawan kita, tapi dia sudah tidak mahu jumpa kita, adakah kita akan cari dia lagi? Kemungkinan besar, kita tidak jumpa dia lagi. Kira sudah putus kawan pun boleh jadi juga. Tapi lihatlah apa yang Nabi Nuh buat – baginda tidak putus asa.

Jadi, ayat ini memberi semangat kepada kita supaya jangan berhenti dari berdakwah walaupun kepada mereka yang tidak mahu dengar. Kerana kita tidak mahu mereka terjerumus ke dalam neraka. Bayangkan, adakah kita rela kalau orang yang kita kenal baik, masuk neraka? Kalau kita tak sanggup, maka jangan berhenti berdakwah kepada dia.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Bandingkan ayat ini dengan Ibrahim:40.

Dalam Ibrahim:40, kalimah yang digunakan adalah دُعَاءِ (huruf ي dihazafkan) sedangkan dalam ayat Nuh ini, zikru (disebut) pula ya mutakallim dalam دُعَائِي. Kenapa ada perbezaan?

Apabila ada hazf, itu membawa maksud berterusan dan kalau zikru ya mutakallim dalam دُعَائِي ia membawa maksud tidak berterusan. Ini adalah kerana ajakan dakwah Nabi Nuh itu tidak berterusan. Kalau mereka ikut dan dengar ajakan dakwah baginda dan mereka menjadi mukmin, tidaklah perlu baginda ajak lagi, bukan? Maknanya ajakan Nabi Nuh ada kemungkinan boleh berhenti. Nanti kita ajar belajar Allah beritahu baginda yang tidak ada lagi kaumnya yang akan beriman. Maka waktu itu baginda berdoa kepada Allah untuk musnahkan kaum baginda.


Ayat 7:

وَإِنّي كُلَّما دَعَوتُهُم لِتَغفِرَ لَهُم جَعَلوا أَصابِعَهُم في آذانِهِم وَاستَغشَوا ثِيابَهُم وَأَصَرّوا وَاستَكبَرُوا استِكبارًا

Sahih International

And indeed, every time I invited them that You may forgive them, they put their fingers in their ears, covered themselves with their garments, persisted, and were arrogant with [great] arrogance.

Malay

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, –

Lihatlah tujuan Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya itu – bukan untuk dirinya tapi supaya Allah ampunkan dosa-dosa mereka. Baginda mahu mereka meminta ampun kepada Allah. Nanti akan disebutkan kepentingan meminta ampun dalam ayat seterusnya.

جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ

mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing,

Mereka masukkan jari-jari mereka ke dalam telinga mereka supaya mereka tak dengar dakwah baginda. Bayangkan mereka sampai sanggup buat begitu. Tapi sebenarnya kita boleh tutup telinga kita dengan satu jari sahaja.

Ada mubalaghah dalam ayat ini: tentulah manusia tidak dapat memasukkan semua jari dia dalam telinga. Jadi kalimat: memasukkan semua jari itu adalah dalam bentuk ekstrem: untuk menegaskan dan menekankan yang mereka memang tak suka langsung dengan dakwah dari Nabi Nuh itu. Sampaikan kalau boleh, mereka nak masukkan semua jari dalam telinga mereka.

Tak jauh beza pun dengan orang-orang zaman sekarang. Mungkin mereka tak masukkan jari dalam telinga mereka, tapi apabila kita dakwah kepada mereka, mereka buat tak dengar sahaja. Mereka cari peluang sahaja untuk lari meninggalkan kita. Mereka akan sentiasa lihat jam mereka kerana hendak pergi dari kita. Ini adalah kerana mereka tak pentingkan akhirat. Mereka tidak selesa dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang disampaikan kepada mereka.

Gambar hiasan – kaum Nabi Nuh sumbat telinga tak mahu dengar dakwah baginda

Kaum Nabi Nuh memang benar-benar sumbat telinga mereka dari dengar dakwah baginda. Tentulah ini satu perbuatan yang amat tidak patut kerana buat perkara itu di hadapan Rasul mereka sendiri. Tapi lihatlah bagaimana Nabi Nuh tidak berhenti dari terus berdakwah. Kalau kita ada orang buat begitu, tentu sudah lama bungkus tikar dan pergi dari situ.

وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ

dan berselubung dengan pakaian mereka,

Mereka angkat baju dan tutup muka mereka dengan baju mereka itu. Mereka buat begitu supaya Nabi Nuh tak kenal mereka. Konon mereka nak kata mereka bukan kaum baginda. Kononnya supaya baginda tidak boleh nampak mereka dan tidak tegur mereka. Alangkah kurang ajarnya mereka dengan Nabi mereka.

Kalau mereka di rumah, mereka akan tutup pintu dan tingkap rumah mereka supaya Nabi Nuh tidak datang masuk rumah. Kalau ketuk pintu mereka tidak akan buka pintu untuk baginda. Tapi itu tidak menghalang Nabi Nuh dari terus berdakwah kepada mereka. Baginda sentiasa sahaja mencari peluang untuk berdakwah kepada kaum baginda.

Begitulah semangat Nabi Nuh yang kita perlu ada. Jangan kita putus semangat untuk terus berdakwah kepada manusia walaupun ditentang dan tidak dihiraukan. Maka tidak ada alasan lagi untuk tidak berdakwah, bukan? Maka memang ayat-ayat tentang dakwah Nabi Nuh ini memotong hujah kita yang tidak mahu berdakwah.

وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا

serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

Kaumnya itu berterusan sombong untuk terima dakwah dan ajakan Nabi Nuh. Mereka rasa diri mereka besar. Oleh kerana itu mereka rasa sombong kerana mereka itu dari golongan yang kaya dan kuat. Seperti yang telah disebut dalam Hud:27

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ

Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

Mereka melihat pengikut-pengikut Nabi Nuh waktu itu adalah orang-orang yang lemah dan miskin sahaja. Jadi, mereka rasa mereka terlalu tinggi kedudukan mereka untuk bercampur dengan puak-puak itu.

Begitulah yang terjadi zaman berzaman – dari dulu sampai sekarang – yang menerima dakwah tauhid dan dakwah sunnah adalah mereka yang miskin dan tidak ada kedudukan dalam agama dan masyarakat. Mereka ini sentiasa dipandang hina.

Sama juga yang dialami oleh Nabi Muhammad dengan masyarakat Arab. Pemuka Quraish yang menentang Nabi adalah mereka yang tinggi kedudukan mereka dalam masyarakat dan kaya raya. Sampaikan mereka suruh halau dulu sahabat-sahabat baginda yang miskin dari kalangan baginda dahulu, baru kononnya mereka nak duduk dengan baginda dan dengar apa yang baginda nak sampaikan.

Begitulah kadang-kadang ada orang yang meletakkan syarat untuk beriman. Kalau ada kata begitu, mereka itu tidak boleh dipercayai yang mereka akan beriman. Mereka itu sebenarnya tidak mahu beriman.

Ayat-ayat ini memberitahu kita apakah yang Nabi Nuh lakukan dan apakah sambutan dari kaumnya. Tapi Nabi Nuh memang sentiasa bersabar. Baginda terus berdakwah dan hanya berhenti berdakwah apabila Allah beritahu yang tidak akan ada lagi yang akan beriman dengan baginda.

Ada riwayat yang mengatakan, kaumnya benci dengan dakwah baginda sampaikan mereka akan pukul baginda sampai baginda tidak sedarkan diri. Kemudian mereka akan bungkus baginda dan bawa ke rumah baginda dengan harapan baginda akan mati atau berhenti berdakwah selepas itu. Tapi apabila baginda sedar, baginda kembali terus melakukan kerja dakwah.


Ayat 8: Sekarang disebut Nabi Nuh dakwah dalam majlis umum pula.

ثُمَّ إِنّي دَعَوتُهُم جِهارًا

Sahih International

Then I invited them publicly.

Malay

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

Nabi Nuh tidak berhenti berdakwah. Salah satu cara yang baginda lakukan adalah baginda menyeru dengan suara yang kuat. Baginda akan cakap sekuat-kuat suara baginda. Ini kerana kaum baginda akan menutup telinga mereka maka baginda kena jerit kuat-kuat supaya mereka dengar. Maknanya, baginda berdakwah di khalayak ramai dalam bentuk ceramah umum.

Nabi Muhammad pun pernah buat apabila baginda naik ke bukit dan bercakap kepada semua penduduk Mekah.


Ayat 9: Ini pula dakwah secara perseorangan (one-on-one). Sebab ada kalanya orang tak sangka yang dakwah yang disampaikan adalah kepada mereka. Maka kena terus bercakap dengan mereka sahaja tanpa ada orang lain.

ثُمَّ إِنّي أَعلَنتُ لَهُم وَأَسرَرتُ لَهُم إِسرارًا

Sahih International

Then I announced to them and [also] confided to them secretly

Malay

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنتُ لَهُمْ

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang,

Baginda berdakwah dengan suara yang tinggi dan kepada ramai orang. Ini dakwah di khalayak ramai.

وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا

dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

Mungkin ada yang tak suka dengan suara tinggi. Mungkin ada yang segan nak datang kepada baginda di khalayak ramai. Jadi baginda akan berdakwah secara peribadi kepada mereka. Pergi seorang-seorang (one-on-one).

Maknanya, sudah macam-macam cara Nabi Nuh gunakan dalam usaha dakwah baginda. Ayat ini juga mengajar kita untuk mengubah-ubah cara dakwah kita. Kalau satu cara tidak berjaya, kita cuba cara lain. Kerana mungkin cara dakwah kita tidak kena dengan orang tertentu. Sebelum kita salahkan orang lain yang tak mahu terima, kita cuba pendekatan yang lain.

Ingatlah yang dakwah ada berbagai-bagai cara. Mungkin dengan ceramah, dengan tulisan, dengan bersembang, hantar emel, beri buku untuk manusia baca, beri mesej Whatsapp, Facebook, beri mereka web link untuk mereka baca dan sebagainya.

Kita kena kreatif dalam jalan dakwah kita. Doa kepada Allah untuk beri jalan kepada kita untuk berdakwah kepada manusia. Asalkan tidak melibatkan cara yang berdosa seperti menyanyi dan qasidah – kerana itu adalah cara dakwah yang salah. Yang melakukan begitu adalah kerana mereka itu yang suka menyanyi.


Ayat 10:

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا

Sahih International

And said, ‘Ask forgiveness of your Lord. Indeed, He is ever a Perpetual Forgiver.

Malay

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ

“aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu,

Nabi Nuh akan mengajak mereka untuk memohon ampun kepada Allah – istighfar. Ini adalah cara yang amat baik. Kerana kebanyakan manusia telah banyak melakukan dosa. Maka kita suruh mereka untuk minta ampun kepada Allah. Kerana bila mereka berdosa, mereka akan rasa bersalah.

Maksud istighfar adalah meninggalkan syirik dan jaga iman dengan Allah. Maknanya kena tinggal perkara salah. Dan nak tahu perkara salah yang dilakukan, kenalah belajar.

Dan penting minta ampun kerana dosa akan menyebabkan susah untuk terima kebenaran. Ianya seperti benteng yang akan menutup kebenaran dari masuk ke dalam hati. Oleh itu, kita ajar manusia untuk minta ampun.

Kena minta ampun kepada Allah sendiri. Bukannya suruh orang lain istighfar untuk kita. Bukannya macam agama Kristian yang mengajar umatnya pergi mengadu dosa kepada paderi. Itu bukanlah cara yang betul.

إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

Kita kena ingatkan manusia bahawa Allah itu Maha Pengampun. Allah mampu dan sanggup untuk ampunkan segala dosa manusia. Tidak kira berapa banyak dosa mereka. Agama Islam mengajar manusia bahawa Allah itu Maka Pemaaf. Ini Allah telah sebut dalam Zumar: 53

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat Zumar ini memberi harapan kepada manusia yang walau banyak mana pun dosa mereka, Allah masih boleh ampunkan mereka. Janganlah pula kita takutkan manusia dengan mengatakan yang mereka akan masuk neraka tak keluar-keluar kerana mereka banyak dosa – itu adalah cara dakwah yang salah. Kita kena mulakan dengan menceritakan kelembutan dan rahmat Allah. Maka hendaklah beri harapan kepada manusia.

Kalimah غَفَّارًا bermaksud Allah ‘berkali-kali’ memberi ampun kepada kita. Kerana kita kadang-kadang sesudah minta ampun, masih buat salah lagi. Dan kesalahan itu kesalahan yang sama pula. Jadi perkataan غَفَّارًا bermaksud Allah boleh ampunkan berkali-kali walaupun ianya kesalahan yang sama. Itulah sifat Allah yang kita kena kenal.

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang hendak menyesatkan kita. Syaitan akan bisikkan ke telinga kita: “buat apa kau minta ampun lagi, berapa banyak kali kau nak minta ampun? Tak malu ke? Buat teruslah dosa kau tu, nanti bila kau dah tua, barulah minta ampun sekali gus!”

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan itu. Kerana kalau kita percaya dengan bisikan itu, kita tidak minta ampun dan entah-entah kita akan mati sebelum kita sempat minta ampun bila sudah tua nanti. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengampun dan boleh ampunkan banyak kali segala kesalahan kita. Jangan putus harapan dengan Allah.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli (Yayasan Taalim)

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Nuh Ayat 1 – 5 (Lelah Nabi Nuh berdakwah)

Pengenalan

Surah Nuh ini adalah Surah Makkiah dan ianya adalah satu surah yang pendek. Ia diturunkan sekitar Tahun ke 5 Kenabian. Seperti yang kita sudah agak, ianya adalah tentang Nabi Nuh a.s. Baginda adalah salah seorang Rasul Ulul Azmi. Allah menceritakan tentang Nabi Nuh a.s. dan kerana itu surah ini adalah ayat-ayat Naqli dari Allah kepada kita.

Berdasarkan satu hadis, kita dapat tahu yang baginda adalah Rasul yang pertama. Walaupun sebelum baginda, telah ada Nabi Adam, tapi Nabi Adam tidak dikira sebagai seorang Rasul.

Dikatakan baginda hidup 10 generasi selepas Nabi Adam. Sebelum Nabi Nuh, manusia tidak ada yang melakukan syirik. Hanya zaman baginda baginda sahaja manusia mula buat syirik. Dan perbuatan paling melampau mereka adalah menyembah berhala (patung). Asalnya manusia hendak mengingati orang alim dari kalangan mereka yang telah mati. Mereka mula dengan gambar sahaja. Lama kelamaan mereka buat patung. Dan akhirnya mereka sembah patung itu. Waktu itulah Nabi Nuh diutuskan.

Allah hendak memberitahu yang ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad bukanlah baru, tetapi dari Rasul yang awal pun sudah mengajar perkara ini. Begitu juga kita yang mengingatkan ajaran Tauhid kepada masyarakat: bukanlah ia ajaran baru, tapi ajaran lama. Yang tidak belajar sahaja yang tidak kenal.

Ayat ini juga menceritakan tentang sabar. Dalam Surah Ma’arij sebelum ini, Allah memberitahu kepada Nabi Muhammad supaya mempunyai ‘sabar yang cantik’. Dalam ayat ini, dijelaskan lagi tentang sabar itu dan bagaimana contoh sabar Nabi Nuh a.s yang amat hebat.

Ayat ini juga memberitahu kita tentang cara dakwah Nabi Nuh. Maka Allah mengajar cara-cara dakwah kepada manusia dalam surah ini. Dalam surah ini, kita belajar bagaimana Nabi Nuh bertungkus lumus menjalankan usaha dakwahnya. Tapi seperti yang kita tahu, tidak ramai yang beriman dengan baginda.

Ini mengajar kita bahawa tidak semestinya setelah kita menjalankan usaha untuk dakwah, ramai akan ikut. Sebaliknya kita kena tahu bahawa akan ramai yang menolak. Kita boleh usaha sahaja sampaikan kepada manusia. Oleh itu, ayat ini mengajar kita supaya jangan putus asa dalam dakwah. Maka, bacalah Nabi Nuh ini untuk terus sabar dalam dakwah.

Tabshir duniawi surah nuh 10-12 fadhilat istighfar
Ramai yang suka buat amalan murah rezeki sehingga sanggup beramal dengan hadis palsu seperti membaca al-Waqiah setiap malam. Padahal dalil paling kuat amalan tentang rezeki yang banyak ialah bertaubat dan membanyakkan istighfar.

 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi seruan tauhid dan istighfar.

Ayat 1 ini adalah peringatan kepada manusia yang engkar. Kalau engkar diberi inzar (peringatan ancaman) oleh Allah.

إِنّا أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ أَن أَنذِر قَومَكَ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

Indeed, We sent Noah to his people, [saying], “Warn your people before there comes to them a painful punishment.”

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

 

إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya,

Ini menunjukkan yang Nabi Nuh adalah rasul kepada kaumnya sahaja dan bukan kepada sekalian alam. Lain dengan Nabi Muhammad yang diberikan kepada semua kaum dan bangsa dalam dunia (termasuk kepada jin).

Ada yang mengatakan waktu itu, hanya kaumnya sahaja yang hidup di dunia. Sebab waktu itu, manusia tidak banyak lagi. Kalau begitu, maksud baginda diutus kepada kaumnya sahaja bermaksud baginda diutus kepada manusia sahaja. Berbeza dengan Nabi Muhammad yang diutus kepada golongan jin juga.

 

أَنْ أَنذِرْ قَوْمَكَ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.

Perkataan أَنذِرْ adalah dalam bentuk fi’il amar sebagai penekanan arahan itu. Amaran telah diberitahu awal-awal lagi sebelum mereka dikenakan dengan azab itu. Inilah tujuan baginda diutus untuk memberitahukan kepada kaumnya tentang bahaya syirik.

Azab boleh datang bila-bila masa. Dan mati dalam syirik akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini juga memberitahu tujuan hidup kita adalah berdakwah. Iaitu kita semua kena beri amaran kepada manusia. Bukan para Nabi dan Rasul sahaja yang kena dakwah, tapi kita juga. Maka kita akan belajar cara-cara dakwah Nabi Nuh dan kita cuba praktikkan nanti.


 

Ayat 2: Sekarang Allah memberi pengajaran bagaimana berdakwah kepada manusia. Kena dakwah kepada manusia secara berdepan dan itulah yang terbaik.

Memang Nabi Muhammad ada hantar surat kepada pemimpin negara lain. Tapi ia tidak berkesan. Cuma tanggungjawab menyampaikan dakwah telah dipenuhi, cuma kesannya tidak kuat. Kalau cara berdepan lagi berkesan.

قالَ يا قَومِ إِنّي لَكُم نَذيرٌ مُبينٌ

Sahih International

He said, “O my people, indeed I am to you a clear warner,

Malay

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;

قَالَ يَا قَوْمِ

dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku!

Baginda memulakan dakwah dengan kata yang lembut. Dan baginda telah memanggil mereka dengan panggilan yang mesra (wahai kaumku). Nabi Nuh mengatakan baginda adalah sama sahaja dengan mereka. Baginda ingatkan mereka bahawa mereka itu adalah dari kaum yang sama. Ini menunjukkan sayang antara kaum yang sama.

 

إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata;

Nabi Nuh a.s. membawa mesej yang jelas. Tidak ada keraguan dalam kata-kata dakwah baginda. Tidak ada tersembunyi apa yang perlu disampaikan kepada manusia. Tidaklah macam ajaran tarekat sekarang, ada sahaja ajaran tersembunyi.

Ayat ini mengajar kita yang dalam kita dakwah kita, kita kena beritahu tujuan kita berdakwah itu.

Baginda memperkenalkan diri baginda kepada kaumnya dengan memberitahu mereka yang baginda adalah seorang Rasul. Penting untuk memperkenalkan kedudukan kita kepada masyarakat. Macam kita sekarang nak memulakan dakwah, kena beritahu yang kita bukan reka ajaran baru, tapi kita dakwah dan boleh mengajar kerana kita sendiri sudah belajar.


 

Ayat 3: Ada tiga perkara yang baginda sebut dalam ayat ini. Inilah intipati ajaran dalam Islam. Tiga-tiga perkara ini amat penting.

أَنِ اعبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقوهُ وَأَطيعونِ

Sahih International

[Saying], ‘Worship Allah , fear Him and obey me.

Malay

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;

 

أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ

“Iaitu sembahlah kamu akan Allah

Yang pertama, hanya sembah Allah sahaja, jangan campur sembah Allah dan sembah selain Allah. Ini adalah ajaran Tauhid dan semua Nabi akan ajar perkara yang sama. Maka kita pun kena mulakan dakwah dengan suruh manusia sembah Allah sahaja dan jangan campur sembah yang lain.

Atau dalam kata lain, ayat ini mengingatkan kita untuk menghambakan diri kepada hanya kepada Allah sahaja. Ini lebih luas maksudnya dari ‘sembah’ sahaja. Kerana orang kita, apabila disebut ‘sembah’, mereka sangka itu adalah sujud.

Padahal, sembah bukan sahaja bermakna sujud. Maksud ‘menghambakan diri’ lebih sesuai iaitu kita sedar yang kita ini adalah hamba Allah dan kita kena taat kepadaNya sahaja. Sebagaimana seorang hamba kena taat kepada tuannya. Dan tuan kita dalam hal ini adalah Allah.

Kaum Nabi Nuh itu bukan tidak kenal Allah. Mereka kenal Allah sebagai Tuhan, tapi dalam masa yang sama mereka puja lima wali. Kerana itu mereka jadi musyrik dan sampai sembah berhala. Ini kerana mereka lemah ilmu tauhid dan kerana itu senang ditipu oleh Iblis.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang mengamalkan syirik. Bukannya mereka tidak kenal Allah, tapi dalam masa yang sama mereka puja Nabi, wali dan malaikat. Ini kerana ajaran tauhid sudah lama ditinggalkan oleh kebanyakan dari masyarakat sampai jadi keliru dengan tauhid kepada Allah. Ini kerana ajaran Tafsir Al-Qur’an tidak dipelajari dengan meluas di negara kita ini.

 

وَاتَّقُوهُ

dan bertaqwalah kepadaNya,

Keduanya, kena ajar dan ajak manusia untuk bertaqwa kepada Allah. Kita kena takut kepada Allah. Bahagian pertama tadi telah disuruh kita sembah Allah sahaja. Mereka yang sembah Allah sahaja adalah mereka yang takut kepada hanya kepada Allah.

Makna taqwa yang lebih luas adalah sedar tentang Allah. Iaitu sedar yang Allah sentiasa memerhatikan kita. Kalau kita dapat kesedaran ini, kita tidak akan berani untuk buat dosa. Dalam setiap perbuatan kita, kita akan memikirkan apakah suruhan Allah dalam perkara itu. Kita akan bertanya diri kita: “apakah hukum aku lakukan perkara ini?” Maka orang yang bertaqwa akan jaga hukum dalam segenap kehidupan mereka.

 

وَأَطِيعُونِ

serta taatlah kamu kepadaku;

Yang ketiga ini juga amat penting. Mereka yang taat kepada Allah adalah mereka yang taat kepada Nabi  juga. Tidak ada taat kepada Allah tanpa taat kepada Nabi. Kita kena ajar manusia tentang para Nabi untuk menjadikan mereka sebagai ikutan kita.

Dan kita kena belajar apakah arahan dan ajaran Nabi kepada kita dalam bentuk hadis yang sahih supaya kita dapat tahu apakah kehendak agama. Kerana para Rasul adalah penyampai ajaran dari Allah. Tanpa mereka, bagaimana lagi kita boleh tahu apakah yang dikehendaki oleh Allah?

Malangnya, masyarakat Islam kita amat jauh dari pelajaran hadis. Mereka hanya terima sahaja apa kata ustaz-ustaz tanpa bertanya adakah itu ajaran Nabi atau tidak. Hasilnya, macam-macam perkara baru dalam agama yang timbul. Ramai yang mengamalkan amalan bidaah dalam masyarakat dan sampai tidak boleh ditegur lagi. Kalau kita tegur, kita pula yang kena marah. Ini kerana mereka telah keliru habis tentang maksud bidaah.

Ayat ini mengajar kita apakah tujuan dakwah kita. Mulakan dengan tiga perkara ini. Maka ayat ini mengajar langkah dalam dakwah. Mulakan dengan tiga perkara ini: sembah Allah, taqwa dan ikut ajaran Rasul. Tiga-tiga perkara ini kena ada. Tidak boleh tinggalkan walau satu pun.


 

Ayat 4: Seterusnya Nabi Nuh menceritakan pula kelebihan beriman dan melakukan ketiga-tiga perkara dalam ayat tadi.

يَغفِر لَكُم مِن ذُنوبِكُم وَيُؤَخِّركُم إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ۚ إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ إِذا جاءَ لا يُؤَخَّرُ ۖ لَو كُنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

Allah will forgive you of your sins and delay you for a specified term. Indeed, the time [set by] Allah , when it comes, will not be delayed, if you only knew.’ “

Malay

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)”.

 

يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ

“Supaya Allah mengampunkan bagi kamu dari dosa-dosa kamu,

Kalau kita beriman dan melakukan ketiga-tiga perkara dalam ayat sebelum ini, kita akan mendapat keampunan dari Allah. Kita sebagai manusia amat berdosa dan amat memerlukan pengampunan dari Allah. Inilah perkara yang amat penting sekali.

Ianya lebih penting dari mendapat pahala yang banyak, kerana dengan dosalah kita dimasukkan ke dalam neraka. Kalau pahala banyak, tapi dosa pun banyak juga, akan ada masalah nanti di akhirat kelak.

Dari perkataan مِّن  dalam ayat ini, ada yang kata keseluruhan dosa akan diampunkan. Dalilnya dari kisah Amr ibn Aas.

Amr bin al-Ash mengatakan, “Pada saat Allah menganugerahkan hidayah Islam di hatiku, aku mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Aku mengatakan, ‘hulurkanlah tangan engkau, aku akan membaiat engkau’. Rasulullah pun menjulurkan tangan kanannya kepadaku. Lalu kutahan tanganku –sebentar-.

Rasulullah bertanya, ‘Ada apa wahai Amr?’

Kujawab, ‘Aku ingin engkau memberikan syarat kepadaku’.

Rasulullah mengatakan, ‘Apa syarat yang kau inginkan?’

Aku menjawab, ‘Agar dosa-dosaku diampuni.’

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Tidakkah engkau ketahui, bahawa keislaman menghapuskan dosa-dosa sebelumnya? Demikian juga hijrah menafikan kesalahan-kesalahan yang telah lalu? Dan juga haji menyucikan hilaf dan dosa terdahulu?’ (HR. Muslim).”

Dari hadis ini, kita boleh faham bahawa apabila masuk Islam, segala dosa-dosa yang lalu akan diampunkan.

Tetapi, ada juga mufassir yang mengatakan perkataan مِّن itu bermaksud sebahagian dari dosa yang akan diampunkan. Ini pun boleh diterima maksudnya, kerana dosa-dosa yang dibuat sampai setakat seseorang itu beriman sahaja yang diampunkan. Tetapi tidaklah termasuk dosa-dosa yang dilakukannya selepas itu. Tidaklah seseorang itu boleh buat apa sahaja tanpa dosa.

Tapi, ini tidaklah menidakkan sifat Maha Pengampun Allah. Jikalau kita telah melakukan dosa, kita boleh meminta ampun kepada Allah bila-bila masa.

 

وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

dan memberi kamu hidup hingga ke suatu masa yang tertentu;

Kalau kita beriman, taqwa dan mengikut jejak langkah Rasul, Allah akan tangguhkan ajal kita. Dalam erti kata lain, kalau tak engkar, akan dipanjangkan hidup.

Dalam perkara ini, ada perbincangan ulama sama ada ajal boleh dipanjangkan atau tidak. Ada yang kata tidak, kerana ianya telah ditakdirkan oleh Allah dari dahulu lagi dan ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Tetapi Allah telah sebut dalam Rad:38

لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ

Tiap-tiap satu tempoh dan waktu telah tertulis.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa semua yang terjadi telah ditetapkan, tidak dapat diubah lagi. Tapi Allah sambung dalam ayat seterusnya:

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.

Dari ayat ini, kita boleh berhujah bahawa ada ketetapan yang Allah kekalkan dan ada yang Allah padamkan. Termasuk dalam perkara ini adalah pemanjangan umur. Tentu Allah boleh panjangkan umur manusia lebih dari yang telah ditetapkan pada asalnya. Macam Nabi Adam pernah meminta untuk panjangkan umur Nabi Daud. Dari doa Nabi Adam itu, Allah telah panjangkan umur Nabi Daud a.s.

Pada waktu dikeluarkan daripada keturunannya Nabi Adam diperkenankanNya melihat para nabi-nabi yang lahir setelah kewafatanya.Dilihatnya ada seorang lelaki yang bercahaya. Nabi Adam bertanya pada Allah: “Siapakah orang ini, wahai Tuhan?”
Tuhan : “Ini adalah anakmu Daud.”
Adam berkata: “Ya Tuhan, berapakah umurnya?” Tuhan menjawab: “60 tahun.”
Adam memohon kepada Tuhan: “Ya Tuhan, tambahlah umurnya.”
Tuhan menjawab: “Tidak, kecuali engkau berikan umurmu kepadanya. “Adapun umur Adam 1040 tahun, maka datanglah Malaikat Maut berkata kepadanya:”, telah sampai akhir umurmu.”
Adam berkata:” Bukankah umurku masih berbaki 40 tahun?” Nabi Adam telah lupa mengenai usia yang telah diberikan kepada puteranya, Daud a.s. Maka Allah s.w.t menyempurnakan umur Adam 1000 tahun dan untuk Daud a.s 100 tahun.

Ada juga yang berpendapat, bukanlah Allah akan panjangkan umur tapi Allah tambah keberkatan dalam kehidupan seseorang itu. Umur mungkin tak panjang tapi banyak yang dapat dicapai dalam masa yang singkat itu.

Sebagai contoh, kita semua tentu kenal Imam Nawawi. Beliau meninggal semasa umur beliau dalam 30an. Tapi lihatlah apa yang beliau capai dalam umurnya yang singkat itu. Kita pun tahu yang beliau telah susun Kitab Riyadus Salihin yang terkenal itu dan macam-macam lagi telah beliau capai termasuk kitab yang amat banyak walaupun dalam umur yang singkat kalau dibandingkan dengan kita.

Memang ada hadis tentang melanjutkan umur. Sebagai contoh ada hadis yang menyebut menyambung silaturahim adalah perbuatan yang memanjangkan umur. Ini berdasarkan hadis dari nabi Muhammad:

Al-Imaam Al-Bukhaariy rahimahullah berkata :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي يَعْقُوبَ الْكِرْمَانِيُّ، حَدَّثَنَا حَسَّانُ، حَدَّثَنَا يُونُسُ، قَالَ مُحَمَّدٌ هُوَ الزُّهْرِيُّ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ “

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abi Ya’quub Al-Kirmaaniy: Telah menceritakan kepada kami Hassaan: Telah menceritakan kepada kami Yuunus: Telah berkata Muhammad – dia adalah Az-Zuhriy, dari Anas bin Maalik radliyallaahu ‘anhu, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah dia menyambung silaturahim,” [Shahiih Al-Bukhaariy no. 2067].

Mungkin timbul persoalan, kenapa Allah memanjangkan umur seseorang? Untuk beri peluang orang itu untuk melakukan lebih kebaikan lagi. Dia akan mendapat lebih banyak pahala lagi. Itulah dari rahmat Allah.

Dalam masa yang sama, ada orang yang berdosa pun yang Allah panjangkan umur mereka. Supaya mereka melakukan lebih banyak dosa dan supaya mereka akan dibalas dengan lebih teruk lagi di akhirat nanti.

Jadi, kita kena ingat yang balasan kebaikan yang pasti dapat adalah di akhirat nanti. Balasan kebaikan di dunia belum tentu lagi. Ada yang dapat dan ada yang tidak. Kerana dunia ini adalah tempat ujian. Jadi kena sabar, walaupun kita tidak dapat apa-apa semasa kita di dunia. Kerana kita kena harapkan apa yang menunggu kita di akhirat kelak.

 

إِنَّ أَجَلَ اللَّهِ

sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah,

Allahlah sahaja yang menentukan ajal kita. Kita tidak tahu bilakah ajal kita akan sampai. Malaikat Maut yang mencabut nyawa kita pun tidak tahu bilakah ajal kita akan tamat. Hanya Allah sahaja yang tahu.

 

إِذَا جَاءَ لَا يُؤَخَّرُ لَوْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui”.

Apabila ajal itu sampai, tidak dapat ditangguh-tangguh lagi. Tidak boleh minta supaya ianya dilambatkan. Maka segeralah lakukan taat dan amal ibadat kepada Allah. Kerana apabila Allah sudah tetapkan sesuatu, tidak dapat dihalang lagi. Jangan kita buang masa dalam dunia ini dengan meninggalkan perbuatan amal ibadah. Jangan kita terpesona dengan dunia sampai meninggalkan akhirat.

Beginilah kata-kata Nabi Nuh kepada kaum baginda untuk mengingatkan mereka. Tapi, perkataan لَوْ digunakan untuk perkara yang telah berlalu. Oleh itu, ada juga yang mengatakan yang ayat ini lebih kepada kesesalan dari Nabi Nuh kepada kaumnya. Kalau ‘dulu’ mereka tahu, tidaklah mereka akan menerima azab.

Maksudnya, kata-kata Nabi Nuh ini adalah di hujung-hujung waktu sebelum berlaku kejadian Banjir Besar. Iaitu sudah hampir berlaku azab yang akan diberikan kepada kaumnya itu. Kalaulah mereka dulu tahu, tidaklah mereka akan berada dalam kedudukan itu.


 

Ayat 5: Nabi Nuh mula menceritakan kepada Allah apakah yang telah dilakukannya dalam usaha dakwah baginda. Perhatikan dan cuba kita ikuti. Ayat 5 – 20 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia menceritakan usaha-usaha dakwah Nabi Nuh. 

قالَ رَبِّ إِنّي دَعَوتُ قَومي لَيلًا وَنَهارًا

Sahih International

He said, “My Lord, indeed I invited my people [to truth] night and day.

Malay

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

 

قَالَ رَبِّ

Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku,

Nabi Nuh mengadu kepada Allah dengan apa yang telah dilakukannya dalam menjalankan dakwah kepada kaumnya dan apa yang terjadi selepas baginda dakwah kepada mereka.

Kita kena baca dan hayati kerana apabila seseorang telah bekerja atas jalan Allah, tentu akan menemui kesusahan. Dan waktu itu hendaklah kita mengadu kepada Allah untuk mendapat petunjuk. Lihatlah contoh Nabi Nuh yang mengadu kepada Allah dalam ayat ini. Kerana kalau kita diberi kerja oleh bos kita, dan kalau ada masalah, kita akan tanya bos kita bagaimana nak selesaikan, bukan?

Begitulah juga apabila kita menjalankan kerja Allah, maka tentu Allah sahaja boleh menolong kita. Maka, ini mengajar kita untuk serahkan diri kita kepada Allah dalam kerja dakwah. Dengan bantuan Allahlah, kita boleh mendapatkan kekuatan. Kita kena selalu rujuk kepada Allah.

 

إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا

sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang

Nabi Nuh amat tekun dalam melakukan kerja dakwah siang dan malam. Maknanya setiap masa sampai tiada waktu rehat kepada baginda kerana menjalankan dakwah. Siapakah yang kita kenal yang buat kerja mereka siang dan malam? Tentu tidak ramai. Tapi ada orang yang kadang-kadang kerja siang dan malam kerana mahu mendapatkan wang. Tapi orang yang begitu, tidaklah mereka buat ketekunan yang sama dalam kerja-kerja agama.

Terus baginda berdakwah sebab baginda tidak tahu bilakah masa yang mungkin kaum dia nak terima dakwah. Mungkin apabila pertama kali seseorang itu diberitahu dengan ajakan agama, dia tak terima. Esok mungkin baru boleh terima. Kalau siang tidak terima, entah malam mereka akan terima.

Maka ini mengajar kita untuk memilih masa untuk berdakwah. Nabi Muhammad pun pilih masa yang sesuai. Ini dinamakan konsep Tahayyun. Pilih masa apabila seseorang itu sedang lembut hati dengan kita. Contohnya selepas kita derma kepada dia, selepas kita tolong dia. Waktu itu hatinya lebih senang nak dengar apa yang kita katakan.

Maka Nabi Nuh dakwah tanpa henti. Berapa tahun baginda menjalankan dakwah kepada kaumnya itu? 950 baginda berdakwah kepada kaumnya. Jadi, kalau kita sibuk dengan kerja dakwah, dan kita rasa kita sudah banyak buat kerja, kita fikir balik, adakah kita sama usaha seperti Nabi Nuh?

Selalunya, Al-Qur’an akan menyebut ‘siang’ sebelum ‘malam’. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut siang dahulu. Ianya memberi isyarat bahawa Nabi Nuh tidak tidur malam kerana menjalankan kerja dakwah baginda. Allahu a’lam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli (Yayasan Taalim)

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair