Ayat 63:
يَسأَلُكَ النّاسُ عَنِ السّاعَةِ ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللهِ ۚ وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ تَكونُ قَريبًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
People ask you concerning the Hour. Say, “Knowledge of it is only with Allāh. And what may make you perceive? Perhaps the Hour is near.”
(MELAYU)
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah”. Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.
يَسأَلُكَ النّاسُ عَنِ السّاعَةِ
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit.
Sebelum ini telah diceritakan dan diberi hukum bagaimana untuk menjaga diri dan kehormatan kita dan sekarang tiba-tiba perbincangan masuk ke dalam kisah hari kiamat pula. Ini kerana hari kiamat itu penting dan mereka yang sanggup untuk menjaga diri dan kehormatan itu adalah mereka yang ingat kepada hari Kiamat dan yang takutkan hari Kiamat.
Telah banyak disebut tentang pakaian wanita di dalam menjaga aurat dan pada hari kiamat nanti semua manusia lelaki dan wanita akan berdiri di dalam keadaan telanjang. Kalau kita mahu mendapat pakaian pada mahsyar nanti dan juga mendapat perlindungan daripada kepanasan Mahsyar, maka hendaklah kita menjaga diri kita daripada sekarang lagi.
Maka Allah ﷻ mengingatkan tentang Hari Kiamat dalam banyak ayat Al-Qur’an. Jadi ramai yang tertanya-tanya dengan Rasulullah ﷺ bilakah akan datangnya hari Kiamat yang dijanjikan itu? Memang begitulah manusia, apabila diberitahu tentang sesuatu kejadian, mereka akan tanya: Bila?
Soalan ini juga selalu ditanya oleh puak musyrik dan munafik kerana mereka tidak percaya. Mereka bertanya bukannya untuk tahu dan mempersiapkan diri mereka tetapi mereka untuk menghina dan mengejek. Mereka hendak berkata: “Kami sudah tolak ajaran engkau ni, tak jadi apa-apa pun? Bilanya Hari Kiamat yang kau janjikan itu?”
قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللهِ
Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah”.
Maka Allah ﷻ mengajar Nabi dan kita bagaimana cara menjawab soalan tersebut. Cuma katakan yang kita sebagai manusia tidak ada maklumat tentang bila hari kiamat itu akan terjadi. Hanya Allah sahaja yang tahu dan tidak ada selain Allah ﷻ yang tahu.
Yang pasti ia akan terjadi dan tidak ada syak lagi padanya. Maka kena bersedialah sahaja.
وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ تَكونُ قَريبًا
Dan apakah yang akan memberitahu engkau, boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.
Kamu tertanya-tanya bilakah hari kiamat itu tetapi tidakkah kamu terfikir yang mungkin hari kiamat itu tidak lama lagi? Adakah kamu sangka ia lambat lagi? Mana kamu tahu ia lambat lagi?
Maka kita kena sematkan dalam akal kita yang Kiamat itu akan berlaku bila-bila masa sahaja. Entah tahun depan, entah esok. Ini kerana memang tarikh Hari Kiamat adalah dalam rahsia Allah ﷻ dan kalau begitu, Allah ﷻ boleh buat bila-bila masa sahaja, termasuklah esok. Sama halnya dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَر}
Telah dekat (datangnya) saat itu dan telah terbelah bulan. (Al-Qamar: 1)
Jangan kita agak-agak yang ia akan berlaku lama lagi. Ini kerana ada sahaja yang sangka ia lama lagi kerana banyak lagi tanda-tanda Kiamat belum berlaku lagi. Tetapi kalau Allah ﷻ hendak jadikan kiamat esok, siapa yang dapat melarang Allah ﷻ? Siapa yang dapat menegur Allah ﷻ kenapa awalkan Kiamat sedangkan belum dikeluarkan semua tanda-tanda Kiamat lagi?
Maka Kiamat itu boleh terjadi bila-bila masa sahaja dan Allah ﷻ hendak berikan isyarat kepada kita jangan kita tangguh untuk beramal dan jangan tangguh untuk taat kepada Allah ﷻ. Jangan kita buat dosa dengan fikiran: “nanti aku taubatlah….” Kita tidak tahu kita ada masa ataupun tidak.
Ayat 64:
إِنَّ اللهَ لَعَنَ الكٰفِرينَ وَأَعَدَّ لَهُم سَعيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Allāh has cursed the disbelievers and prepared for them a Blaze.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala (neraka),
إِنَّ اللهَ لَعَنَ الكٰفِرينَ
Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir
Laknat Allah ﷻ bermaksud Allah ﷻ menjauhkan mereka yang dilaknat itu daripada rahmat-Nya. Tiada peluang untuk memasuki syurga Allah ﷻ kerana untuk masuk syurga-Nya memerlukan rahmat Allah ﷻ, bukan?
وَأَعَدَّ لَهُم سَعيرًا
dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala (neraka),
Maka mereka yang dilaknat itu akan dimasukkan ke dalam neraka dan azabnya amat pedih sekali. Api neraka tidak akan padam-padam dan akan dikenakan kepada ahli neraka itu berterusan.
Jangan kita sangka orang kafir itu hanya orang bukan beragama Islam sahaja. Kalau kita pun engkar dengan arahan-Nya entah-entah kita pun boleh termasuk dalam golongan dilaknat itu.
Ayat 65:
خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۖ لّا يَجِدونَ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Abiding therein forever, they will not find a protector or a helper.
(MELAYU)
Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperoleh seorang pelindung pun dan tidak (pula) seorang penolong.
خٰلِدينَ فيها أَبَدًا
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya;
Mereka yang dilaknat itu akan kekal di dalam neraka kerana mereka berfahaman syirik dan tidak beriman sempurna. Kalau hanya berdosa sahaja, ada peluang untuk masuk syurga juga akhirnya. Tetapi kalau syirik yang dilakukan, maka akan kekal dalam neraka.
لّا يَجِدونَ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا
mereka tidak memperoleh seorang pelindung pun dan tidak (pula) seorang penolong.
Di dalam neraka itu tidak ada harapan untuk mendapat pertolongan. Kalau di dunia ada sahaja orang yang boleh tolong dan selamatkan kita. Tetapi tidak ada langsung di akhirat.
Pelindung: mereka yang menghalang dari memasuki dalam neraka.
Penolong: mereka yang mengeluarkan dari neraka setelah memasuki neraka.
Ahli neraka tidak ada pelindung mahu pun penolong nanti. Untuk halang dari masuk tidak, nak keluarkan kemudian pun tidak ada. Kalau tidak ada yang menghalang dari masuk pun, kalau sekurangnya ada yang keluarkan kemudian, pun boleh dikira juga. Tapi langsung tidak ada.
Ayat 66:
ْيَومَ تُقَلَّبُ وُجوهُهُم فِي النّارِ يَقولونَ يٰلَيتَنا أَطَعنَا اللهَ وَأَطَعنَا الرَّسولا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The Day their faces will be turned about in the Fire, they will say, “How we wish we had obeyed Allāh and obeyed the Messenger.”
(MELAYU)
Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata: “Alangkah baiknya, andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul”.
يَومَ تُقَلَّبُ وُجوهُهُم فِي النّارِ
Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka,
Pada hari itu orang-orang yang berdosa itu akan dipanggang wajah mereka di dalam neraka. Akan dipusingkan tubuh mereka seperti manusia memanggang daging supaya seluruh tubuh penghuni neraka itu dibakar dengan api. Cuba bayangkan penjual burger membolak-balikkan “patty burger” nya.
يَقولونَ يٰلَيتَنا
mereka berkata: “Alangkah baiknya,
Waktu itu mereka akan menyesal sungguh-sungguh. Sampaikan mulut mereka akan mengeluarkan kata-kata penyesalan. Kenapa mereka menyesal?
Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Allah ﷻ keadaan mereka sewaktu berada di Padang Mahsyar, melalui firman-Nya:
{وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلا. يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلانًا خَلِيلا * لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنْسَانِ خَذُولا}
Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata, “Aduhai, kiranya (dahulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul.” Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dahulu) tidak menjadikan si Fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur’an ketika Al-Qur’an telah datang kepadaku. Dan syaitan itu tidak mahu menolong manusia. (Al-Furqan: 27-29)
ْأَطَعنَا اللهَ وَأَطَعنَا الرَّسولا
andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul”.
Mereka akan merasa amat menyesal kerana dahulu mereka tidak taat kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Kalaulah mereka taat kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, tentu mereka akan selamat.
Taat kepada Allah ﷻ: belajar tafsir Al-Qur’an dan mengamalkannya.
Taat kepada Rasul ﷺ: belajar hadith Nabi ﷺ yang sahih dan mengamalkan Sunnah baginda.
Lihat bagaimana ditambah alif pada kalimah الرَّسولا itu seolah-olah mengenangkan bagaimana keluhan mereka semasa dipanggang di dalam neraka. Ini kerana kalau dari segi bahasa, kalau digunakan kalimah الرسول pun sudah memadai. Tetapi Allah ﷻ menambah efek dalam ayat ini. Menunjukkan keluhan mereka yang panjang. Semoga kita diselamatkan. Amat mengerikan sekali.
Ayat 67: Sekarang ahli neraka memberi alasan pula.
ْوَقالوا رَبَّنا إِنّا أَطَعنا سادَتَنا وَكُبَراءَنا فَأَضَلّونَا السَّبيلا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they will say, “Our Lord, indeed we obeyed our masters and our dignitaries,¹ and they led us astray from the [right] way.
- Also interpreted to mean “our noble ones and our elders [i.e., distinguished scholars].”
(MELAYU)
Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).
وَقالوا رَبَّنا إِنّا أَطَعنا سادَتَنا وَكُبَراءَنا
Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami,
Ini adalah sambungan tentang sesalan dan keluhan mereka. Dijelaskan kenapa mereka itu buat amalan salah dan akhirnya dimasukkan ke dalam neraka. Mereka dahulu semasa di dunia mengikut ‘pembesar’ yang mengajar kekufuran dan bidaah.
Ada guru-guru yang mengajar ajaran salah. Ini termasuk ustaz-ustaz dan guru yang terkenal dan mengajar amalan salah. Sama ada dari segi amalan syirik atau bidaah. Dahulu semasa di dunia mereka percaya sangat apa yang dikatakan oleh ustaz-ustaz itu. Mereka tidak periksa lagi dengan dalil yang sahih tetapi terus terima sahaja.
ْفَأَضَلّونَا السَّبيلا
lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).
Oleh kerana mereka mengikut tanpa usul periksa maka mereka telah disesatkan. Maka ini mengajar kita supaya jangan ikut sahaja manusia. Kenalah belajar Al-Qur’an dan Sunnah dengan benar. Bukan payah pun hendak belajar. Kenalah tingkatkan ilmu agama supaya tidak senang tertipu.
Kenalah buka minda dan ini berlaku apabila kita terus mendalami agama. Kalau kita sudah tahu ilmu wahyu, maka ia menjadi kayu ukur bagi kita untuk menilai sama ada sesuatu ajaran itu benar atau tidak.
Sekali lagi kita lihat ditambah huruf alif pada kalimah السَّبيلا. Memberi isyarat kepada laungan mereka di dalam neraka. Boleh bayangkan betapa menyesalnya mereka?
Ayat 68:
رَبَّنا ءآتِهِم ضِعفَينِ مِنَ العَذابِ وَالعَنهُم لَعنًا كَبيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Our Lord, give them double the punishment and curse them with a great curse.”
(MELAYU)
Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar”.
رَبَّنا ءآتِهِم ضِعفَينِ مِنَ العَذابِ
Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat
Oleh kerana marah sangat kepada orang besar atau guru yang telah menyesatkan mereka, mereka meminta supaya Allah ﷻ menggandakan azab kepada orang-orang besar yang menyesatkan mereka. Ini kerana geram sangat kepada orang yang telah menyesatkan mereka.
Ini memang bahaya kerana orang yang ada kedudukan selalunya menjadi ikutan. Tetapi ia adalah ikutan yang salah. Mereka itu seperti juga isteri-isteri Nabi Muhammad ﷺ yang menjadi ikutan. Telah disebut bagaimana para isteri itu kalau membuat salah, mereka dikenakan azab berganda kerana mereka menjadi ikutan.
Maka kalau kita dijadikan sebagai model untuk orang lain, maka kenalah berhati-hati. Kalau kita yang menyebabkan orang lain menjadi sesat, maka kita menanggung dosa kita dan dosa orang yang disesatkan itu juga.
وَالعَنهُم لَعنًا كَبيرًا
dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar”.
Dan marahnya mereka yang mengikuti orang besar di kalangan mereka sampaikan mereka meminta supaya golongan yang diikuti itu dikutuk dan dilaknat.
Maka ini mengajar bahayanya jikalau kita mengikut sahaja amalan yang diajar. Dan bukan itu sahaja, ia juga mengajar kita bahayanya kalau kita menjadi ikutan yang salah kepada orang lain! Kita kenalah takut kalau orang menjadikan kita sebagai contoh yang salah. Dosa mereka pun kita kena tanggung juga.
Maka kena ingat yang kita juga menjadi ikutan dan contoh kepada agama Islam. Kita menjadi ‘model’ kepada orang bukan Islam. Mereka tidak tahu ajaran agama Islam yang sebenar, maka mereka menjadikan Muslim sebagai model. Pada mereka, tentulah Muslim mengamalkan ajaran Islam, bukan?
Namun bagaimana kalau kita sendiri tidak mengamalkan ajaran dan akhlak Islam seperti yang sepatutnya? Sedangkan non-Muslim melihat kita sebagai contoh seorang Muslim! Maka ini amat memalukan kalau kita tidak menunjukkan akhlak yang baik. Jikalau kita buat perangai yang teruk maka yang dikutuk bukannya kita tetapi agama kita.
Dan kerana itulah ramai yang tidak teringin masuk Islam kerana melihat perangai Muslim yang teruk! Pada mereka, kalau Muslim teruk, tentulah agamanya tidak betul.
Habis Ruku’ 8 dari 9 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 69: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 11 surah ini. Dari ayat ini sehingga ke ayat 71, Allah ﷻ menceritakan tentang ucapan yang benar dan tawaran bersyarat dari Allah ﷻ.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ ءآذَوا موسىٰ فَبَرَّأَهُ اللهُ مِمّا قالوا ۚ وَكانَ عِندَ اللهِ وَجيهًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, be not like those who abused Moses; then Allāh cleared him of what they said. And he, in the sight of Allāh, was distinguished.
(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Sekarang khitab kepada orang mukmin kerana ada perkara baru yang hendak disampaikan.
Apabila Allah ﷻ menggunakan kalimat seruan seperti ini, maka ia ditujukan kepada orang Muslim secara keseluruhan termasuklah golongan mukmin serta golongan munafik dan yang lemah iman. Ini kerana ia adalah arahan berbentuk umum. Maka semua Muslim yang mengaku beriman kenalah dengar.
لا تَكونوا كَالَّذينَ ءآذَوا موسىٰ
janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa;
Umat Islam diingatkan supaya jangan menjadi seperti Bani Israil pada zaman Nabi Musa عليه السلا. Kalau buat juga, balasan yang telah diberikan kepada Bani Israil itu akan dikenakan kepada kamu juga.
Yang dimaksudkan dengan menyakiti Nabi Musa عليه السلام adalah dengan tidak mengikut arahan baginda dan memberikan pelbagai alasan serta main-main sahaja apabila diarahkan oleh baginda.
Contohnya apabila disuruh untuk sembelih lembu, maka mereka banyak bertanya (boleh rujuk Surah Baqarah). Sepatutnya apabila arahan diberikan maka ikut dan taatlah sahaja. Jangan banyak soal dan banyak helah pula.
Ini hanya satu contoh sahaja, sedangkan banyak lagi kisah bagaimana mereka menyakiti Nabi dan Rasul mereka sendiri. Ada yang disebut dalam sejarah kita dan ada juga di dalam kitab mereka sendiri.
Nabi Musa عليه السلام boleh dikatakan Nabi paling utama dalam Bani Israil. Ini adalah kerana bagindalah yang terlibat dalam mengeluarkan mereka dari cengkaman perhambaan Firaun di Mesir. Tetapi bayangkan betapa teruknya mereka, dengan Rasul yang selamatkan mereka pun mereka tidak hormat malah menyakitinya pula.
Imam Bukhari رحمه الله telah meriwayatkannya pula dalam kisah-kisah para nabi dengan sanad yang sama dari Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِنَّ مُوسَى، عَلَيْهِ السَّلَامُ، كَانَ رَجُلًا حَيِيا سِتِّيرا، لَا يُرَى مِنْ جِلْدِهِ شَيء اسْتِحْيَاءً مِنْهُ، فَآذَاهُ مَنْ آذَاهُ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَقَالُوا: مَا يَتَسَتَّرُ هَذَا التَّسَتُّرَ إِلَّا مِنْ عَيْبٍ بِجِلْدِهِ، إِمَّا بَرَصٌ وَإِمَّا أدْرَة وَإِمَّا آفَةٌ، وَإِنَّ اللَّهَ، عَزَّ وَجَلَّ، أَرَادَ أَنْ يُبرئَه مِمَّا قَالُوا لِمُوسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَخَلَا يَوْمًا وَحْدَهُ، فَخَلَعَ ثِيَابَهُ عَلَى حَجَرٍ، ثُمَّ اغْتَسَلَ، فلمَّا فَرَغَ أَقْبَلَ إِلَى ثِيَابِهِ لِيَأْخُذَهَا، وَإِنَّ الْحَجَرَ عَدَا بِثَوْبِهِ، فَأَخَذَ مُوسَى عَصَاهُ وَطَلَبَ الْحَجَرَ، فَجَعَلَ يَقُولُ: ثُوبِي حَجَر، ثُوبِي حَجَر، حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَلَأٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَرَأَوْهُ عُريانا أَحْسَنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ، وَأَبْرَأَهُ مِمَّا يَقُولُونَ، وَقَامَ الْحَجَرُ، فَأَخَذَ ثوبَه فَلَبِسَهُ، وطَفقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا بِعَصَاهُ، فَوَاللَّهِ إِنَّ بِالْحَجَرِ لَنَدبًا مِنْ أَثَرِ ضَرْبِهِ ثَلَاثًا أَوْ أَرْبَعًا أَوْ خَمْسًا -قَالَ: فَذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا}
Sesungguhnya Musa عليه السلام adalah seorang lelaki yang pemalu lagi selalu berpakaian tertutup sehingga tiada suatu bahagian pun dari kulitnya yang kelihatan kerana malu kepada Allah ﷻ. Lalu ada sebahagian dari kaum Bani Israil yang menyakitinya, mereka mengatakan bahawa tidak sekali-kali Musa عليه السلام memakai pakaian yang rapat hingga menutupi seluruh tubuhnya melainkan kerana mempunyai penyakit pada kulitnya, barangkali sopak, atau burut (hernia), atau penyakit kulit lainnya. Dan sesungguhnya Allah ﷻ hendak membersihkannya dari apa yang dituduhkan oleh mereka terhadap dirinya. Maka pada suatu hari Musa عليه السلام sendirian, lalu melepaskan semua pakaiannya di atas sebuah batu, kemudian baginda mandi. Setelah selesai mandi, Musa عليه السلام menuju ke arah batu itu untuk mengambil pakaiannya. Tetapi batu itu berlari membawa pakaiannya, maka Musa عليه السلام mengambil tongkatnya dan mengejar batu itu seraya berkata, “Hai batu, kembalikan pakaianku- Hai batu, kembalikan pakaianku.” Hingga sampailah Musa عليه السلام di hadapan sekumpulan orang Bani Israil, dan mereka melihat Musa عليه السلام dalam keadaan telanjang bulat sebagai seorang yang bertubuh sempurna tiada cacat atau penyakitnya. Allah ﷻ telah membersihkannya dari apa yang dikatakan oleh mereka. Dan batu itu diam, lalu Musa عليه السلام mengambil pakaiannya dan mengenakannya, setelah itu Musa عليه السلام memukul batu itu dengan tongkatnya. Demi Allah ﷻ, sesungguhnya pada batu itu benar-benar terdapat tiga atau empat atau lima tapak akibat bekas pukulan tersebut. Kemudian Abu Hurairah رضي الله عنه berkata bahawa itulah yang dimaksud dengan firman Allah ﷻ: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa عليه السلام; maka Allah ﷻ membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah ﷻ. (Al-Ahzab: 69)
Ini adalah satu contoh lagi bagaimana puak Yahudi itu mengutuk dan menghina Nabi sendiri. Sedap sahaja mulut mereka mengata Nabi Musa عليه السلام ada penyakit tubuh. Sampai Allah ﷻ kena bersihkan nama baginda dengan mengadakan kejadian batu itu.
فَبَرَّأَهُ اللهُ مِمّا قالوا
maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan.
Kedudukan Nabi Musa عليه السلام dibersihkan. Allah ﷻ sentiasa menjaga para Nabi-Nya. Ini kerana kalau kedudukan mereka rosak di mata masyarakat, maka dakwah mereka akan terganggu. Oleh sebab itulah para Nabi semuanya maksum dan akhlak terpelihara untuk mengelakkan daripada hujah mereka ditolak.
Sebagai contoh, ada disebut berkenaan dengan perbuatan Qarun yang mengupah seorang wanita untuk mengaku berzina dengan Nabi Musa عليه السلام sampai dapat anak. Sedang Nabi Musa عليه السلام berceramah mengajar agama, Qarun datang dan tanya kepada Nabi Musa عليه السلام yang jikalau Nabi Musa عليه السلام sendiri berzina adakah Allah ﷻ akan menghukum baginda?
Maka Nabi Musa عليه السلام menjawab pasti Allah ﷻ akan menghukum baginda walaupun baginda sendiri yang berzina. Maka Qarun mengeluarkan wanita yang diupah itu untuk mengaku yang dia telah berzina dengan Nabi Musa عليه السلام. Dipendekkan kisah, akhirnya wanita itu sendiri mengaku yang tidaklah Nabi Musa عليه السلام berzina dengannya tetapi dia telah diupah oleh Qarun.
Nabi Muhammad ﷺ juga pernah disakiti hatinya.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ شَقيق، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: قَسَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ قَسْمًا، فَقَالَ رَجُلٌ مَنَّ الْأَنْصَارِ: إِنَّ هَذِهِ الْقِسْمَةَ مَا أُرِيدَ بِهَا وَجْهَ اللَّهِ. قَالَ: فَقُلْتُ: يَا عَدُوَّ اللَّهِ، أَمَا لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا قُلْتَ. قَالَ: فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فاحمرَّ وَجْهُهُ، ثُمَّ قَالَ: “رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى مُوسَى، فَقَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرِ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Syaqiq, dari Abdullah yang menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah ﷺ melakukan pembahagian (harta ghanimah), maka ada seorang lelaki dari kalangan Ansar yang mengatakan, “Sesungguhnya pembahagian ini bukan berlatar belakang kerana Allah ﷻ.” Maka Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, “Hai musuh Allah ﷻ, camkanlah, sesungguhnya aku benar-benar akan menceritakan apa yang kamu katakan itu kepada Rasulullah ﷺ.” Lalu Ibnu Mas’ud رضي الله عنه menceritakan hal itu kepada Nabi ﷺ. Maka wajah baginda ﷺ berubah menjadi merah (kerana marah), kemudian baginda bersabda: Semoga rahmat Allah ﷻ untuk Musa عليه السلام, sesungguhnya baginda pernah disakiti lebih dari ini, tetapi baginda bersabar.
Diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih masing-masing melalui hadith Sulaiman ibnu Mahran Al-A’masy dengan sanad yang sama.
Tetapi, kalau kita mengambil maksud yang umum, menyakiti Rasul ﷺ adalah dengan tidak mengikut arahannya. Jadi kalau tidak mengikut arahan Rasul ﷺ itu maka sebenarnya kita sedang menyakiti hati Rasulullah ﷺ. Maka apakah arahan yang telah disebut di dalam surah ini?
Kita telah belajar bagaimana untuk menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan dan juga pemakaian kita yang menutup aurat dan menahan pandangan mata orang. Maka menjaga pergaulan dan juga menjaga penampilan diri kita ini bukanlah perkara yang kecil tetapi ia adalah perkara yang amat berat. Kita kena taat kepada ajaran baginda.
Ada yang berkata tidak ada larangan di dalam Al-Qur’an ataupun hadith kepada percampuran lelaki dan wanita dalam majlis. Ini termasuk tentang bercouple pasangan lelaki dan perempuan. Memang kalau dia cari tidak berjumpa larangan seperti itu secara khusus, tetapi janganlah kita baca ayat-ayat Allah ﷻ ini dengan akal yang jahil.
Ini kerana banyak ayat-ayat yang menyuruh kita untuk menjaga penampilan dan menjaga pakaian kita. Dan kalau kita pergi ke tempat-tempat perkumpulan lelaki dan wanita maka itulah yang akan berlaku di mana kita akan melihat wanita dan lelaki bergaul dan ada ramai yang tabarruj.
Atau kalau bercinta dan dating antara pasangan. Maka jangan kata tidak ada larangan secara khusus. Ini kerana walaupun tidak disebut secara khusus, ia ada diisyaratkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an dan sunnah Rasul.
وَكانَ عِندَ اللهِ وَجيهًا
Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.
Allah ﷻ membersihkan nama Nabi Musa عليه السلام sebagaimana Allah ﷻ juga membersihkan nama Nabi Muhammad ﷺ dalam surah ini.
Kalimah وجيه bermaksud seseorang yang mempunyai kedudukan yang terpuji. Ia dari kalimah و ج ه yang bermaksud ‘wajah’. Bermaksud wajahnya dimuliakan.
Dan kalimah عِندَ اللهِ (di Sisi Allah ﷻ) bermaksud doa Nabi Musa عليه السلام dimakbulkan oleh Allah ﷻ kerana baginda mempunyai kedudukan yang tinggi di Sisi Allah ﷻ. Kita boleh baca banyak doa-doa baginda yang Allah ﷻ makbulkan. Yang paling hebat sekali adalah doa baginda supaya abangnya Nabi Harun عليه السلام juga diangkat menjadi Nabi. Itu pun Allah ﷻ telah makbulkan. Selalunya Allah ﷻ yang pilih para Nabi, namun kali ini Allah ﷻ menaikkan seseorang menjadi Nabi kerana doa orang lain.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 30 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani