Ayat 58: Kalau ayat sebelum ini tentang menyakiti Nabi ﷺ dan sekarang bagaimana pula jika menyakiti hati orang mukmin yang lain?
وَالَّذينَ يُؤذونَ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ بِغَيرِ مَا اكتَسَبوا فَقَدِ احتَمَلوا بُهتٰنًا وَإِثمًا مُّبينًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who harm believing men and believing women for [something] other than what they have earned [i.e., deserved] have certainly born upon themselves a slander and manifest sin.
(MELAYU)
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
وَالَّذينَ يُؤذونَ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ بِغَيرِ مَا اكتَسَبوا
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat,
Bukan sahaja dilarang menyakiti Allah ﷻ dan juga Rasul tetapi umat Islam juga dilarang untuk menyakiti orang-orang mukmin yang lain. Yakni merupakan suatu dusta yang besar bila menuduh orang-orang mukmin dan mukminat dengan sesuatu hal yang tidak pernah mereka lakukan, yang tujuannya ialah untuk mencela dan menghina mereka.
Namun begitu, ada syarat yang disebut dalam ayat ini: بِغَيرِ مَا اكتَسَبوا (tanpa kesalahan yang mereka perbuat), kerana kalau mereka ada berbuat salah, maka mereka memang boleh disakiti. Contohnya, jikalau mereka telah berzina, maka mereka boleh disebat.
Dalam sebuah hadith Nabi ﷺ menjelaskan hak setiap Muslim atas Muslim yang lainnya yang wajib dipenuhi dan tidak boleh dilanggar, baginda bersabda:
المسلم أخو المسلم، لا يظلمه ولا يخذله ولا يحقره، بحسب امرئ من الشر أن يحقر أخاه المسلم
“Setiap muslim adalah bersaudara satu sama lain, tidak boleh menzaliminya, tidak membiarkannya (dizalimi), dan tidak juga merendahkannya, cukup seseorang berbuat keburukan dengan cara dia merendahkan saudaranya sesama muslim.”
(HR. Muslim).
Maka jangan kita mengambil mudah perkara ini dan hendaklah menjaga mulut kita dari memperkatakan yang tidak elok tentang orang lain. Nabi ﷺ juga bersabda:
سباب المسلم فسوق وقتاله كفر
“Mencela seorang muslim adalah perbuatan fasik dan memeranginya termasuk perbuatan kufur.”
(HR. Bukhari & Muslim)
Amatlah rugi kalau kita melakukan perkara itu. Marilah sejenak merenungi hadith Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه berikut:
“Tahukah kalian siapa orang yang bankrap?’ Para sahabat menjawab: “Orang yang bankrap menurut kami adalah orang yang tidak memiliki wang dan harta.” Nabi ﷺ berkata: “Sesungguhnya orang yang bankrap daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa (pahala) salat, puasa, dan zakat; akan tetapi dia datang (dengan membawa dosa) telah mencaci si ini, menuduh si ini, memakan harta si ini, menumpahkan darah si ini, dan memukul si itu; maka si ini (orang yang dizalimi) akan diberikan (pahala) kebaikannya si ini (pelaku kezaliman), dan si ini (orang yang terzalimi lainnya) akan diberikan kebaikannya si ini (pelaku kezaliman). Jika kebaikannya telah habis sebelum diselesaikan dosanya, maka (dosa) kesalahan mereka diambil lalu dilemparkan kepadanya kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka.”
(HR. Muslim).
Orang-orang yang paling banyak dikenakan dengan ancaman ini adalah orang-orang yang kafir kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya, kemudian kaum Rafidah (Syiah). Kaum Rafidah adalah orang-orang yang merendahkan kedudukan para sahabat dan mencela mereka, padahal Allah ﷻ sendiri telah membersihkan para sahabat dari hal tersebut.
Orang-orang tersebut telah merendahkan kedudukan para sahabat dengan hal-hal yang bertentangan dengan apa yang diberitakan oleh Allah ﷻ tentang mereka. Allah ﷻ telah memberitakan bahawa Dia telah redha kepada kaum Muhajirin dan kaum Ansar serta memuji sikap mereka. Akan tetapi, sebaliknya orang-orang yang jahil lagi bodoh itu mencela para sahabat, merendahkan mereka, serta mengutuk mereka dengan hal-hal yang para sahabat tidak pernah melakukannya.
Pada hakikatnya mereka sendirilah yang terbalik akal mereka kerana mencela orang yang terpuji dan memuji orang yang tercela. Malangnya, masih ada juga kalangan orang Islam di negara ini boleh menjadi sesat dengan mengikut puak-puak Syiah Rafidah itu.
Secara umumnya, kita pun dilarang dari menyakiti orang Muslim yang lain. Jangan kita sakiti fizikal dan juga hati mereka. Itu adalah perbuatan yang buruk. Sepatutnya sesama Muslim (dan sesama makhluk pun), kita hendaklah berkasih sayang dan bukannya benci membenci, sakit menyakiti. Dalam hati mesti ada cinta, bukannya benci.
فَقَدِ احتَمَلوا بُهتٰنًا
maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan
Kalimah بُهتٰنًا bermaksud jenis dosa perkataan yang tidak benar. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ menyempurnakan tuntutan wahyu daripada Allah ﷻ dengan mengahwini Zainab رضي الله عنها tetapi ada puak-puak munafik yang mengatakan perkara yang tidak elok tentang baginda. Mereka telah menghina Nabi ﷺ dan menimbulkan skandal dengan menuduh baginda telah menikah dengan menantunya sendiri. Itu adalah buhtaan.
Ini kita selalu dengar bagaimana ada orang yang senang sahaja menceritakan tentang keburukan orang lain. Mereka suka bergosip dan menyebar maklumat tentang orang lain. Ini amat bahaya sekali dan termasuk dalam ayat ini.
Kadang-kadang cakap-cakap kita itu bukan berdasarkan fakta tetapi hanya dengar kata-kata orang sahaja. Kalau dalam istilah zaman sekarang, dipanggil mem’bawang’. Maka kita telah menyampaikan perkara yang tidak benar. Kita mungkin dengar orang berkata tentang seseorang dan kita pula bawa cerita itu kepada orang lain dan menyebarkannya pula. Padahal maklumat itu mungkin tidak benar.
Sedangkan kalau ia benar pun ia sudah tidak baik, apatah lagi kalau ia adalah tidak benar? Kalau tidak benar, ia sudah dikira tohmah (bukannya fitnah – orang Melayu ramai yang salah pakai terma) dan ia lebih buruk lagi. Ia seumpama seperti memakan daging saudara kita.
Sedangkan, kalau kata-kata itu benar, ia dikira sebagai ‘ghibah’. Dan ghibah ini pun sudah salah. Kerana memperkatakan sesuatu perkara yang orang itu tidak suka kalau dia tahu kita bercakap berkenaannya, walaupun ia benar.
وَإِثمًا مُّبينًا
dan dosa yang nyata.
Orang yang melakukan perkara itu akan menanggung kata-kata mereka itu sebagai dosa di akhirat kelak. Perbuatan yang dilakukan ini dinamakan ghibah.
قَالَ أَبُو دَاوُدَ: حَدَّثَنَا القَعْنَبِيّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ -يَعْنِي: ابْنَ مُحَمَّدٍ -عَنْ الْعَلَاءِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا الْغِيبَةُ؟ قَالَ: “ذكرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ”. قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: “إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّه”.
Abu Daud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Al-Qa’nabi, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muhammad, dari Al-A’la, dari ayahnya, dari Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa pernah ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ, “Apakah ghibah itu, wahai Rasulullah ﷺ? Rasulullah ﷺ menjawab: “Bila kamu menyebut-nyebut saudaramu dengan hal-hal yang tidak disukainya.” Ditanyakan lagi, “Bagaimanakah pendapatmu, jika pada saudaraku itu terdapat apa yang kukatakan?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Jika pada saudaramu itu terdapat apa yang kamu katakan, bererti kamu telah mengumpatnya (ghibah). Dan bila pada saudaramu itu tidak terdapat apa yang kamu katakan, bererti kamu telah melancarkan tuduhan dusta (buhtaah) terhadapnya.”
Dosa mereka itu akan menjadi jelas nyata di akhirat kelak dan mereka kena menanggungnya di belakang tubuh mereka. Memang sekarang tidak nampak dosa itu lagi dan kita sedap sahaja mengata tentang orang lain. Tetapi nanti dosa itu akan menjelma. Ini kerana tidak nampak, maka kita tidak rasa kita sedang memakan daging saudara kita, bukan? Tetapi itu akan terjadi di akhirat kelak.
Maklumat yang mereka sampaikan itu belum tentu betul lagi kerana kebenarannya tidak dapat dipastikan tetapi di akhirat kelak dosa mereka itu akan jadi betul-betul jelas dan nyata. Maka ini adalah sesuatu yang sia-sia maka kenalah kita elakkan.
Memang susah untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi. Ini kerana kalau kita tidak mengata orang pun, akan ada sahaja yang datang kepada kita dan menyampaikan perkara tentang orang lain. Maka apa yang kita kena lakukan? Maka, dengarlah sahaja apa-apa, jangan komen dan senyap sahaja. Jangan kita tambah maklumat lain pula. Kalau kita tahu perkara yang dikatakan itu tidak benar, maka kita kena pertahankan. Kalau kita tahu ia benar, jangan kita sambung mengutuk pula.
Kalau boleh kita pertahankan orang yang dikatakan itu. Dan jangan pula disampaikan kepada orang lain. Sebaiknya kita nasihat kepada orang yang sampaikan itu untuk berhentilah dari sampaikan perkara itu. Tidak ada faedahnya. Sedarlah yang diri sendiri pun belum tentu baik lagi.
Habis Ruku’ 7 dari 9 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 59: Surah ini telah menyebut tentang orang munafik, tentang menyakiti orang lain. Salah satu perkara yang orang munafik zaman Nabi ﷺ lakukan adalah menyakiti para wanita yang keluar rumah untuk melakukan kerja. Ini adalah kerana mereka anggap para wanita itu bukan wanita terhormat kerana pakaian mereka. Maka Allah ﷻ telah mengajar para wanita untuk menjaga pakaian mereka.
Ini adalah kerana pakaian wanita hamba dan wanita bebas tidak sama pada zaman itu. Pakaian wanita hamba di luar rumah adalah sama dengan pakaian wanita dengan mahramnya. Ini adalah kerana para hamba itu banyak melakukan kerja di luar rumah, maka susah untuk mereka menjaga aurat mereka seperti wanita bebas.
Sedangkan bagi wanita merdeka, mereka sepatutnya duduk di dalam rumah sahaja. Dan kalau mereka keluar untuk keperluan, mereka menjaga pakaian mereka dengan memakai jilbab dan selalunya menutup wajah mereka. Maka ayat ini mengajar bagaimanakah cara berpakaian supaya tidak diganggu oleh lelaki jahat.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزوٰجِكَ وَبَناتِكَ وَنِساءِ المُؤمِنينَ يُدنينَ عَلَيهِنَّ مِن جَلٰبيبِهِنَّ ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يُعرَفنَ فَلا يُؤذَينَ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O Prophet, tell your wives and your daughters and the women of the believers to bring down over themselves [part] of their outer garments.¹ That is more suitable that they will be known² and not be abused. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.³
- The jilbāb, which is defined as a cloak covering the head and reaching to the ground, thereby covering the woman’s entire body.
- As chaste believing women.
- Or “and Allāh was Forgiving and Merciful” of what occurred before this injunction or before knowledge of it.
(MELAYU)
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, dengan itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ
Hai Nabi,
Ini arahan kepada kepada Nabi ﷺ lagi. Sekarang Nabi ﷺ kena sampaikan arahan ini kepada semua wanita.
Kalau hendak dikirakan, Allah ﷻ boleh sahaja bercakap kepada semua mukminat. Tetapi Nabi ﷺ diajar kena mulakan kepada keluarga sendiri dahulu. Kelakuan keluarga baginda akan diikuti oleh muslimat yang lain. Sebab itulah telah dikatakan yang para isteri baginda adalah model kepada muslimat sepanjang zaman.
قُل لِّأَزوٰجِكَ وَبَناتِكَ وَنِساءِ المُؤمِنينَ يُدنينَ عَلَيهِنَّ مِن جَلٰبيبِهِنَّ
katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”.
Kalimah يُدنينَ dari kalimah أدنى bermaksud membawa sesuatu menjadi dekat dan rendah. Ia adalah dari katadasar د ن و yang bermaksud dekat dan rendah dan kalimah ‘dunia’ diambil daripada kalimah yang sama. Maka kalimah أدنى seperti dahan buahan di syurga yang didekatkan dan direndahkan kepada ahli syurga untuk memudahkan mereka makan.
Oleh itu, kalimah يُدنينَ dalam ayat ini bermaksud lepaskan baju dari atas dan jatuh ke bawah (jatuh dekat dengan tanah). Maknanya juga ia tidaklah ketat. Ini kerana kalau ketat, tentu ia tidak jatuh ke bawah kerana akan tersangkut di bahagian tubuh yang lain, bukan? Maka dengan menggunakan kalimah يُدنينَ sudah memberikan banyak penerangan kepada mereka yang mahu mengambil tahu.
Juga ia bermaksud satu pakaian sahaja contohnya seperti jubah. Dan jubah itu dipakai dari atas. Jadi ayat ini tentang pakaian kerana tutup kepala ‘khimar’ telah disebut dalam Surah Nur.
Jilbab pula adalah pakaian besar yang tutup dari kepala ke kaki. Maknanya ia menutup keseluruhan badan. Beginilah pakaian wanita yang sepatutnya. Mereka boleh pakai pakaian lain di dalam, tetapi kena ada pakaian penutup seperti jilbab yang disarung untuk menutup keseluruhan tubuh mereka. Inilah pakaian luar mereka.
Ayat ini banyak terjemahan dan banyak jenis tafsirannya. Jadi banyak cara yang diamalkan oleh para wanita. Maka kerana itu kita boleh lihat pelbagai jenis pakaian yang dipakai oleh para wanita.
Dan kalau kita baca ayat ini dengan ayat Nur:31, kita akan mendapat pemahaman yang lebih lagi.
وَقُل لِلمُؤمِناتِ يَغضُضنَ مِن أَبصارِهِنَّ وَيَحفَظنَ فُروجَهُنَّ وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا ما ظَهَرَ مِنها ۖ وَليَضرِبنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلىٰ جُيوبِهِنَّ ۖ وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا لِبُعولَتِهِنَّ أَو آبائِهِنَّ أَو آباءِ بُعولَتِهِنَّ أَو أَبنائِهِنَّ أَو أَبناءِ بُعولَتِهِنَّ أَو إِخوانِهِنَّ أَو بَني إِخوانِهِنَّ أَو بَني أَخَواتِهِنَّ أَو نِسائِهِنَّ أَو ما مَلَكَت أَيمانُهُنَّ أَوِ التّابِعينَ غَيرِ أُولِي الإِربَةِ مِنَ الرِّجالِ أَوِ الطِّفلِ الَّذينَ لَم يَظهَروا عَلىٰ عَوراتِ النِّساءِ ۖ وَلا يَضرِبنَ بِأَرجُلِهِنَّ لِيُعلَمَ ما يُخفينَ مِن زينَتِهِنَّ ۚ وَتوبوا إِلَى اللَّهِ جَميعًا أَيُّهَ المُؤمِنونَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
Dalam ayat Nur ini, kaum wanita disuruh untuk tidak menampakkan perhiasan mereka. Maka ini hanya dapat dicapai kalau mereka memakai pakaian yang biasa dan tidak menarik perhatian. Tetapi kalau pakai juga jubah, namun berwarna merah menyala atau ada bling-bling, maka itu tidak mencapai maksud yang dikehendaki oleh ayat-ayat ini. Tujuan Allah ﷻ mengajar cara berpakaian adalah supaya tidak menarik perhatian lelaki.
Inilah konsep yang mesti difahami oleh kaum wanita. Bukan setakat menutupi kulit, tetapi efek yang dikehendaki adalah ‘tidak menarik’ perhatian lelaki. Maka kalau memakai tudung, tetapi tudung dililit dengan cara yang menarik, adakah mencapai maksud yang dikehendaki? Bukankah kalau pakai tudung yang berwarna cantik dan dililit dengan sebegitu rupa sampai menjadi cantik, maka ia akan lebih menarik perhatian lelaki?
Niqab (tutup muka) juga termasuk di dalam perbincangan ini. Sudah ramai wanita Islam kita yang memakainya. Ia adalah sesuatu yang baik tetapi tidaklah sampai wajib. Walaupun ada juga mazhab yang mengatakan ia adalah wajib.
Nota: apabila ayat ini menggunakan kalimah بَناتِكَ, ia menjadi dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ ada ramai anak. Ini menolak dakwaan puak sesat seperti Syiah yang mengatakan baginda hanya ada seorang sahaja anak perempuan iaitu Fatimah رضي الله عنها. Mereka mengeluarkan hujah bohong iaitu anak-anak isteri baginda yang lain adalah anak-anak tiri sahaja.
Mereka sangat sesat sampaikan mereka tidak kisah pun kalau mereka menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka tidak kisah menipu kerana menipu memang menjadi satu perkara yang digalakkan dalam agama mereka. Malangnya ramai juga orang Melayu kita yang boleh tertipu dengan diayah Syiah ini. Ini kerana kejahilan yang amat sangat di kalangan masyarakat kita. Kalau jahil, memang senang ditipu.
ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يُعرَفنَ
Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,
Pakaian seperti yang disebut di atas adalah lebih baik untuk mereka dikenali iaitu dikenali sebagai seorang muslimah yang merdeka lagi baik. Iaitu mereka yang mahu menjaga kehormatan dan kesucian diri mereka. Mereka itu bukan orang yang boleh untuk ditegur mudah-mudah.
Ia juga boleh bermaksud mereka dimuliakan. Maksudnya dimuliakan oleh Allah ﷻ. Mereka akan dikenali di langit sebagai makhluk yang mulia. Maka ini adalah sesuatu yang patut dikejar oleh para wanita.
فَلا يُؤذَينَ
maka mereka tidak diganggu
Di Madinah pada waktu itu, terdapat orang munafik yang tidak takut untuk mengganggu wanita hamba. Ini kerana mereka tahu yang wanita hamba itu tidak ada kedudukan. Sebenarnya, Islam melarang mengganggu sesiapa pun. Tetapi oleh kerana orang munafik tidak bermoral, maka mereka sewenang-wenangnya mengganggu wanita hamba. Ini kerana mereka takut pula untuk mengganggu wanita dari kalangan mereka sendiri. Jadi untuk selamat dari diganggu puak munafik itu, maka kena jaga pakaian dan bezakan dengan wanita hamba.
Namun begitu, ayat ini bukan hanya untuk zaman dahulu sahaja. Apabila wanita berpakaian seperti yang disebut, mereka juga tidak diganggu oleh lelaki yang jahat. Ini kerana orang tahu yang mereka yang berpakaian sopan dan menutup seperti dalam ayat ini, tidak mahu bersosial dengan lelaki ajnabi. Dan lelaki yang ada akal dan otak akan menjauhkan diri daripada mereka. Mereka akan bercakap dengan lembut dan perkara yang patut sahaja. Mereka akan hormat lebih sedikit.
Lainlah kalau lelaki tidak ada otak akan tetap mengganggu juga. Tetapi selalunya mereka yang berpakaian islamik sebegitu tidak akan diganggu. Sudah ada eksperimen sosial yang dilakukan: seorang wanita berjalan pakai pakaian menutup aurat dan kemudian pakai pakaian yang membuka aurat. Orang yang sama, tetapi mendapat reaksi yang berbeza dari para lelaki. Apabila wanita itu pakai pakaian yang sopan, lelaki tidak kacau pun.
Jadi kita hairan kenapa ada wanita yang pakai pakaian seksi dan mereka marah kalau diganggu oleh lelaki. Kenapa mereka marah sedangkan pakaian mereka sendiri sudah mengundang supaya mereka diganggu? Sepatutnya kalau mereka tidak mahu diganggu, mereka akan pakai pakaian yang sopan.
Inilah yang patut berlaku kerana wanita dan lelaki ajnabi tidak patut bersosial. Tambahan pula agak susah untuk bercakap dengan mereka jikalau mereka menutup muka dan juga segala tubuh badan mereka. Maka lelaki selalunya akan biarkan sahaja mereka itu tanpa diganggu.
Dan jikalau wanita yang sudah berpakaian begitu maka mereka hendaklah menjaga pergaulan mereka sendiri. Kalau sudah berpakaian begitu maka janganlah bercampur gaul dengan lelaki ajnabi di pusat pengajian, di dalam perpustakaan atau di mana-mana sahaja termasuklah semasa ceramah agama. Janganlah pula bergaul mesra dengan lelaki lain.
Ada juga yang mengeluarkan pendapat bahawa sekarang bahaya untuk memakai pakaian-pakaian yang menunjukkan tanda keislaman. Mereka kata kerana Islam sekarang sedang diserang dan jikalau kita pakai tudung atau pakai jilbab, maka wanita itu akan menjadi fokus dan dikacau oleh orang-orang bukan Islam yang jahat. Maka mereka kata kalau duduk di negara yang seperti itu maka sebaiknya tidak pakai jilbab.
Kita katakan bahawa yang akan menjaga mereka adalah Allah ﷻ dan jangan kita takut dengan manusia. Suruhan untuk menutup aurat ini datangnya daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ sendiri yang beritahu mereka yang sebegitu tidak akan disakiti. Allah ﷻ sendiri berfirman yang mereka tidak akan diganggu. Maka kita kena percaya dengan janji Allah ﷻ ini.
وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا
Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah ﷻ maha pengampun kalau dahulu ada berbuat kesalahan dalam berpakaian dan telah bertaubat. Kalau dulu wanita Arab telah melakukan tabarruj pada zaman Jahiliyah, maka Allah ﷻ sanggup mengampunkannya.
Begitu juga, kalau wanita zaman kita sekarang telah berubah dan telah mengubah cara pakaian mereka dari dahulu, maka Allah ﷻ juga sanggup mengampunkan kesalahan mereka dahulu. Ini kerana mereka ada ‘zaman Jahiliyah’ mereka juga.
Allah ﷻ sanggup mengampun mereka kerana Allah ﷻ maha penyayang kepada hamba-Nya. Allah ﷻ suka untuk mengampunkan hamba-Nya yang mahu meminta ampun kepada-Nya.
Ayat 60: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 10 surah ini dari ayat ini sehingga ke ayat 68. Perenggan ini berkenaan ancaman bunuh, azab dan laknat kepada golongan kaafirin dan munafikin.
۞ لَّئِن لَّم يَنتَهِ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالمُرجِفونَ فِي المَدينَةِ لَنُغرِيَنَّكَ بِهِم ثُمَّ لا يُجاوِرونَكَ فيها إِلّا قَليلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If the hypocrites and those in whose hearts is disease¹ and those who spread rumors in al-Madīnah do not cease, We will surely incite you against them; then they will not remain your neighbors therein except for a little,
- Referring here to those who commit adultery or fornication.
(MELAYU)
Sesungguhnya jika tidak berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah (dari menyakitimu), nescaya Kami perintahkan kamu (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu (di Madinah) melainkan dalam waktu yang sebentar,
لَّئِن لَّم يَنتَهِ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالمُرجِفونَ فِي المَدينَةِ
Sesungguhnya jika tidak berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah
Ini adalah arahan kepada tiga golongan agar berhentilah. Berhenti dari apa? Iaitu berhenti dari bergaul dengan wanita-wanita yang hendak menjaga diri mereka. Iaitu mereka yang mengganggu dan mengusik wanita-wanita itu di dalam majlis atau yang mereka jumpa di tepi jalan. Ini kalau dibaca ayat ini dengan melihat kepada makna ayat-ayat sebelumnya.
Namun begitu, ayat ini juga boleh dibaca dalam bentuk umum. Iaitu jangan menyebar khabar bohong di pekan-pekan, malah di mana-mana sahaja.
Jadi ada tiga golongan yang disebut dalam ayat ini:
1. Golongan Munafik.
2. Yang ada penyakit dalam hati.
3. Yang menyebar khabar bohong.
Orang Munafik memang telah banyak disebut tentang mereka. Mereka memang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan Islam dan agama Islam. Maka bagaimana pula dengan mereka yang في قُلوبِهِم مَّرَضٌ (ada penyakit dalam hati mereka)? Mereka itu mungkin namanya Muslim, tetapi dalam hati mereka ada sakit hati terhadap orang lain. Oleh kerana dia ada penyakit hati, maka keburukan telah keluar dan zahir dari perbuatannya.
Kalimah المُرجِفونَ dari ارجف yang bermaksud ‘menjadikan gempa bumi’. Iaitu mencipta kontroversi dan membuat kecoh di dalam masyarakat. Mereka membuat berita yang menggemparkan seperti Madinah akan diserang oleh musuh, orang Islam telah kalah dalam peperangan dan sebagainya. Kalau zaman sekarang, ini ditujukan kepada mereka yang menyampaikan berita tidak baik tentang Islam walaupun berita itu belum pasti lagi.
Mereka juga jenis orang yang suka kepada skandal dan sibuk menyampaikan hal orang lain kepada orang lain. Sibuk menjaga tepi kain orang lain. Asal ayat ini adalah tentang golongan yang menyebarkan berita tentang perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dengan Zainab رضي الله عنها.
Kalau zaman sekarang, mereka ini adalah golongan yang suka membuat gosip di merata-rata tempat. Ini memang banyak bersepah-sepah dalam kampung dan pejabat-pejabat. Mereka itu tidak ada kerja lain tetapi hanya ingin menceritakan tentang hal orang lain sahaja.
Dalam media sosial pula, mereka ini yang laju sahaja forward apa sahaja yang masuk dalam smartphone mereka. Ada berita sensasi sahaja mereka terus forward kepada semua kenalan mereka, tanpa mereka fikirkan: adalah ia benar?; adakah ia penting?; adakah ia perlu?
Maka arahan telah diberikan kepada mereka. Apakah ancaman kalau mereka tidak berhenti juga?
لَنُغرِيَنَّكَ بِهِم
nescaya Kami perintahkan kamu (untuk memerangi) mereka,
Allah ﷻ menggunakan ‘kamu’ dalam ayat ini iaitu merujuk kepada orang-orang Muslim yang akan menangkap mereka seperti binatang pemburu disuruh menangkap binatang buruan.
Kalimah أغري bermaksud menguasai dan mengalahkan orang lain. Allah ﷻ boleh memberikan kekuatan kepada orang mukmin untuk menghancurkan tiga golongan itu. Begitulah kalau mereka tidak berhenti dari melakukan perbuatan buruk mereka. Maka ancaman keras telah diberikan kepada mereka dalam ayat ini. Kemudian ada ancaman lagi:
ثُمَّ لا يُجاوِرونَكَ فيها إِلّا قَليلًا
kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu (di Madinah) melainkan dalam waktu yang sebentar,
Dan mereka akan dihalau kalau mereka tidak berhenti. Iaitu mereka akan dihalau dari Madinah. Mereka tidak menjadi ‘jiran’ lagi. Maknanya mereka akan dibuang daerah atau akan diperangi sampai mereka sendiri akan melarikan diri dari kampung halaman mereka sendiri kerana takut.
Ayat 61:
مَّلعونينَ ۖ أَينَما ثُقِفوا أُخِذوا وَقُتِّلوا تَقتيلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Accursed wherever they are found, [being] seized and massacred completely.
(MELAYU)
dalam keadaan terlaknat. Di mana saja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh dengan sehebat-hebatnya.
مَّلعونينَ
dalam keadaan terlaknat.
Mereka akan dihalau dalam keadaan terlaknat. Maksud laknat adalah jauh dari rahmat Allah ﷻ. Begitulah hinanya mereka nanti kalau mereka tidak berhenti dari memperkatakan perkara-perkara yang buruk tentang Nabi ﷺ dan umat Islam yang lain.
أَينَما ثُقِفوا أُخِذوا وَقُتِّلوا تَقتيلًا
Di mana saja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh dengan sehebat-hebatnya.
Dan kalau Allah ﷻ mahu, mereka akan ditangkap dan dibunuh. Allah ﷻ akan mengeluarkan arahan kepada para sahabat untuk memburu mereka di mana sahaja mereka berada.
Kalau kita baca ayat ini memang keras sekali bahasa yang digunakan oleh Allah ﷻ terhadap mereka dan ini menunjukkan kemarahan Allah ﷻ terhadap mereka yang melakukan perkara itu. Allah ﷻ sudah murka kepada mereka.
Ia tidak terjadi dalam lipatan sejarah umat Islam di Madinah, tetapi ayat ini sudah menjadi ancaman yang berat kepada mereka. Maka hendaklah mereka takut dan berhenti dari melakukannya lagi. Dan supaya kita juga tahu beratnya kesalahan itu, maka jangan kita sesekali melakukannya.
Ayat 62:
سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[This is] the established way of Allāh with those who passed on before; and you will not find in the way of Allāh any change.
(MELAYU)
Sebagai sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum(mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah.
سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ
Sebagai sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum ini
Allah ﷻ memberitahu bahawa dahulu pun perkara ini telah berlaku dan mereka yang melakukannya telah dimusnahkan. Inilah hukum dari Allah ﷻ yang berjalan zaman berzaman. Allah ﷻ tidak membenarkan perkara sebegini berleluasa kerana kalau ia berlaku, maka ia akan merosakkan masyarakat dan negara Islam.
وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا
dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah.
Sunnatullah kepada orang yang membuat kacau di kota Islam akan tetap berjalan dan tidak ada perubahan. Mereka yang terus melakukan perkara itu akan dihancurkan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 29 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani