Tafsir Surah Ahzab Ayat 55 – 57 (Selawat untuk Rasulullah)

Ayat 55: Sebelum ini telah disebut ayat hijab secara umum. Sekarang adalah senarai golongan-golongan yang wanita yang tidak perlu hijab dengan mereka. Iaitu yang dinamakan golongan mahram (lawan kepada ajnabi).

Maksud ‘mahram’ adalah ‘haram dinikahi’. Nota: kalimah yang benar adalah ‘mahram’, bukannya ‘muhrim’. Muhrim adalah orang yang di dalam pakaian ihram semasa Umrah atau Haji.

Bukanlah wanita sentiasa dikenakan menutup aurat sepanjang masa pula. Maka ini adalah pengecualian kepada ayat sebelum ini.

لّا جُناحَ عَلَيهِنَّ في ءآبائِهِنَّ وَلا أَبنائِهِنَّ وَلا إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ أَخَوٰتِهِنَّ وَلا نِسائِهِنَّ وَلا ما مَلَكَت أَيمٰنُهُنَّ ۗ وَاتَّقينَ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is no blame upon them [i.e., women] concerning their fathers or their sons or their brothers or their brothers’ sons or their sisters’ sons or their women or those their right hands possess [i.e., slaves].¹ And fear Allāh. Indeed Allāh is ever, over all things, Witness.

  • It is permissible for a woman to appear before these people without complete covering and to be alone with them. The brothers of both parents (uncles) are included as “fathers” or “parents,” according to ḥadīth.

(MELAYU)

Tidak ada dosa atas perempuan-perempuan (untuk berjumpa tanpa tabir) dengan bapa-bapa mereka, anak-anak laki-laki mereka, saudara laki-laki mereka, anak laki-laki dari saudara laki-laki mereka, anak laki-laki dari saudara mereka yang perempuan yang beriman dan hamba sahaya yang mereka miliki, dan bertakwalah kamu (hai isteri-isteri Nabi) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

 

لّا جُناحَ عَلَيهِنَّ في ءآبائِهِنَّ وَلا أَبنائِهِنَّ وَلا إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ أَخَوٰتِهِنَّ وَلا نِسائِهِنَّ وَلا ما مَلَكَت أَيمٰنُهُنَّ

Tidak ada dosa atas perempuan-perempuan (untuk berjumpa tanpa tabir) dengan bapa-bapa mereka, anak-anak laki-laki mereka, saudara laki-laki mereka, anak laki-laki dari saudara laki-laki mereka, anak laki-laki dari saudara mereka yang perempuan yang beriman dan hamba sahaya yang mereka miliki, 

Sebelum ini telah disebut bahawa para isteri Nabi ﷺ itu mesti berkomunikasi dengan orang luar di sebalik tabir. Atau, kalau keluar kenalah menutup aurat mereka. Ini adalah pengecualian daripada undang-undang itu di mana ada orang yang tidak perlu dibuat begitu dengan mereka.

Mereka adalah:

1. Bapa dan ke atas termasuk datuk.

2. Anak-anak lelaki termasuk cucu.

3. Adik beradik mereka.

4. Anak adik lelaki atau abang.

5. Anak adik perempuan atau kakak.

6. Perempuan yang beriman. Kalau perempuan bukan Muslim, masih kena menutup aurat.

7. Hamba sahaya. Yakni budak-budak perempuan dan budak-budak lelaki yang mereka miliki. Tetapi menurut Sa’id ibnul Musayyab رضي الله عنه, makna yang dimaksudkan oleh hadith mengenai hal ini hanyalah bererti budak-budak perempuan saja. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim رحمه الله.

Ini sebagaimana pengecualian yang disebutkan di dalam surah An-Nur melalui firman-Nya:

{وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ}

dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki-yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. (An-Nur: 31)

Dalam ayat Surah Nur itu terdapat penambahan lain lagi dan boleh rujuk kepada tafsir ayat surah itu.

Sebahagian ulama Salaf membincangkan mengapa bapa saudara dari pihak ayah dan pihak ibu tidak disebutkan dalam kedua ayat di atas? Maka Ikrimah dan Asy-Sya’bi رضي الله عنهما menjawab, “Keduanya tidak disebutkan kerana barangkali keduanya nanti akan menceritakan kecantikannya kepada anak-anak lelaki masing-masing.”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnul Musanna, telah menceritakan kepada kami Hajjaj ibnu Minhal, telah menceritakan kepada kami Hammad, telah menceritakan kepada kami Daud, dari Asy-Sya’bi dan Ikrimah رضي الله عنهما sehubungan dengan makna firman-Nya: Tidak ada dosa atas isteri-isteri Nabi (untuk berjumpa tanpa hijab) dengan bapa-bapa mereka. (Al-Ahzab:55), hingga akhir ayat.

Daud bertanya, “Mengapa bapa saudara dari pihak ayah dan ibu tidak disebutkan dalam ayat ini?” Ikrimah menjawab, “Kerana keduanya pasti menceritakan kecantikannya kepada anak lelakinya masing-masing. Dan menanggalkan kain kerudung di hadapan bapa saudara dari pihak ayah dan dari pihak ibu hukumnya makruh.”

 

وَاتَّقينَ اللهَ

dan bertakwalah kamu (hai isteri-isteri Nabi) kepada Allah. 

Bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ itu bermaksud hendaklah menjaga adab-adab dengan orang lain termasuklah dengan keluarga sendiri. Ini kerana walaupun tidak perlu ada hijab di antara mereka tetapi kenalah juga menjaga penampilan dengan mereka. Dalam segenap hal dalam kehidupan, kena difikirkan apakah kesannya.

 

إِنَّ اللهَ كانَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدًا

Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Jagalah aurat dengan orang lain kerana Allah ‎ﷻ memerhatikan sama ada kita menutup aurat ataupun tidak.


 

Ayat 56: Ayat ini adalah tentang selawat iaitu ucapan tahniah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana asal maksud selawat adalah pujian Allah ‎ﷻ kepada seseorang.

Ayat ini selalu dibaca terutama sekali pada hari Jumaat di masjid. Maka kenalah faham apakah maksudnya.

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang hukum hakam yang khusus untuk Nabi ﷺ dan berkenaan baginda dan para isteri baginda. Maka sekarang disebut tentang selawat untuk baginda. Tujuannya hendak mengingatkan kita tentang kedudukan baginda.

إِنَّ اللهَ وَمَلٰئِكَتَهُ يُصَلّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا صَلّوا عَلَيهِ وَسَلِّموا تَسليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh confers blessing upon the Prophet, and His angels [ask Him to do so]. O you who have believed, ask [Allāh to confer] blessing upon him and ask [Allāh to grant him] peace.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

 

إِنَّ اللهَ وَمَلٰئِكَتَهُ يُصَلّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat ke atas Nabi.

Ayat ini berkenaan selawat kepada Rasulullah ﷺ. Perkataan ‘selawat’ berasal dari bahasa Arab: الصلوات, diambil dari perkataan solat (الصلاة‎) yang bererti rahmah, doa dan pujian.

Apabila Allah ‎ﷻ selawat kepada Nabi ﷺ maksudnya Allah ‎ﷻ memberikan rahmah kepada Nabi Muhammad ﷺ dan juga Allah ‎ﷻ telah memuji baginda di kalangan malaikat kerana baginda telah menjalankan tugas menegakkan agama. Ia adalah sebagai ucapan tahniah dan syabas. Allah ‎ﷻ telah menaikkan nama baginda dan memberi rahmat yang amat banyak kepada baginda.

Dan apabila para malaikat juga selawat kepada Nabi ﷺ, ia bermaksud mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk merahmati Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memohon tambahan gandaan pahala bagi Rasulullah ﷺ.

Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah ‎ﷻ melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Nabi kita Muhammad ﷺ. Juga apabila kita selawat, kita pun sedang memuji baginda.

Ayat ini diturunkan ketika ada manusia yang berhati busuk hendak menjatuhkan nama baik Rasulullah ﷺ dan mereka berniat hendak menjatuhkan Islam. Maka Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa itu tidak akan terjadi kerana Allah ‎ﷻ berselawat kepada baginda dan menjaga baginda. Kedudukan baginda mulia di dunia dan juga di langit. Bagaimana mereka berusaha untuk menjatuhkan baginda, tidak akan berjaya.

Dan bukan itu sahaja, para malaikat yang ditugaskan oleh Allah ‎ﷻ untuk mengurus alam dengan arahan-Nya turut berselawat dan memuji baginda. Mereka mendoakan baginda sentiasa. Maka usaha puak munafik dan musyrik tidak akan berjaya.

Ayat ini sebenarnya adalah arahan untuk kita selawat kepada Nabi ﷺ. Tetapi sebelum itu Allah ‎ﷻ beritahu yang arahan kepada kita ini sebenarnya telah dilakukan oleh Allah ‎ﷻ sendiri dan para malaikat pun. Maka hebat sungguh kedudukan baginda kalau kita boleh fikirkan dari ayat ini.

Ia juga menunjukkan kehebatan selawat ini kerana Allah ‎ﷻ dan para malaikat pun melakukannya. Maka jangan kita pandang ringan amalan selawat ini. Nampak mudah dan pendek sahaja, namun ia amat bermakna.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا صَلّوا عَلَيهِ

Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi 

Maka manusia pun kenalah juga selawat juga untuk Nabi  ﷺ. Ini adalah syariat dalam agama. Ini adalah arahan dari Allah ‎ﷻ maka kita kenalah memperbanyakkan selawat untuk Rasulullah ﷺ.

Kita disuruh selawat kerana baginda telah memberi ajaran agama yang lengkap. Dahulunya kamu tidak tahu agama dan hampir masuk ke dalam neraka tetapi dengan usahanya kamu telah menjadi bangsa yang mulia.

Maka kamu kena muliakan baginda dengan mengucapkan selawat kepada baginda. Tunjukkan sayang dan hormat kepada baginda dengan melakukan selawat.

Maksud ‘selawat’ adalah memohon rahmat untuk Nabi ﷺ. Semoga Allah ‎ﷻ memberikan rahmat dan kesejahteraan kepada baginda. Kita meminta Allah ‎ﷻ yang berikan ‘selawat’ yang layak bagi baginda, kerana kita tidak mampu untuk melakukannya. Kita tidak boleh meninggikan kedudukan baginda, Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh melakukannya; kita tidak boleh hendak membalas jasa baginda yang amat banyak itu, maka kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk melakukannya.

Jadi Allah ‎ﷻ suruh kita selawat, tetapi dalam lafaz selawat itu, kita minta balik kepada Allah ‎ﷻ untuk selawat kepada baginda. Nampak bukan? Ini kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana hendak selawat untuk baginda, maka kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Maka untuk menunjukkan kita sayang kepada Nabi  ﷺ maka kita telah diajar oleh Allah ‎ﷻ untuk selawat. Maka tidaklah perlu untuk qasidah pula. Tidaklah pula kita disuruh puja Nabi ﷺ secara berlebihan pula sepertimana yang diajar oleh golongan Habib dari Yaman itu. Maka pakailah sahaja cara yang Allah ‎ﷻ sudah ajar ini iaitu selawat sahaja untuk baginda.

 

وَسَلِّموا تَسليمًا

dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

Kalimah salam pula bermaksud ‘dalam keadaan aman tenteram’. Kita mendoakan keamanan kepada baginda. Ini selalu kita lakukan di dalam Tasyahhud kita: السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُ Mudah-mudahan kesejahteraan dilimpahkan kepadamu wahai Nabi ﷺ berserta rahmat Allah ‎ﷻ dan barakah-Nya.

Sebab itu selalu kita lihat gabungan selawat dan salam diberikan sekali seperti  والصلاة والسلام على رسول الله atau وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم dan yang seumpamanya. Selalu sahaja kita tambah dengan وسلم.

Kalimah salam juga bermaksud menyerahkan diri kepada baginda dengan taat kepada arahan baginda. Iaitu mengikut sunnah-sunnah baginda. Ini amat menarik kerana ayat ini mengajar kita bahawa tidaklah kita hanya berselawat kepada Nabi ﷺ tetapi hendaklah kita mengikut ajaran daripada baginda.

Maka kalau setakat sentiasa sahaja berselawat kepada baginda tetapi tidak mengikut ajarannya maka selawat itu tidak sempurna. Maka ayat ini kita tidak jalankan kalau begitu. Tidak mungkin pula kita ambil sebahagian sahaja dari ayat ini dan meninggalkan sebahagian yang lain?

Maka kena belajar apakah sunnah baginda dan menerapkan dalam kehidupan kita seharian. Malangnya ramai yang tidak tahu pun sunnah baginda kerana tidak belajar hadith. Sebaliknya ramai yang mengamalkan amalan yang bukan dari baginda dan mereka label ia sebagai ‘agama’ padahal tidak.

Ada perbincangan sama ada selawat ini  boleh diberikan kepada selain untuk Rasulullah ﷺ. Ini kerana terdapat juga Nabi ﷺ selawat untuk orang lain seperti hadith Rasulullah ﷺ pernah mendoakan isteri Jabir yang telah meminta kepada baginda agar baginda mendoakan buat dirinya dan suaminya, iaitu:

“صَلَّى اللهُ عَلَيْكَ، وَعَلَى زَوْجِكَ

Semoga Allah ‎ﷻ melimpahkan berkah dan rahmat kepadamu, juga kepada suamimu.

Walaupun ada hadith sebegitu, pendapat yang rajih adalah ia adalah eksklusif untuk baginda sahaja. Kalau ada yang selawat kepada selain baginda, maka ia hanya boleh dilakukan oleh baginda sahaja. Maka kita hanya selawat kepada Rasulullah ﷺ sahaja.

Mengenai cara bersalawat untuk Nabi ﷺ, telah diajar caranya dalam hadith-hadith yang sahih. Antaranya:

قَالَ الْبُخَارِيُّ -عِنْدَ تَفْسِيرِ هَذِهِ الْآيَةِ -: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا أَبِي، عَنْ مِسْعَر، عَنِ الْحَكَمِ، عَنِ ابْنِ أَبِي لَيْلَى، عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمَّا السَّلَامُ عَلَيْكَ فَقد عَرَفْنَاهُ، فَكَيْفَ الصَّلَاةُ؟ فَقَالَ: “قُولُوا: اللَّهُمَّ، صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، [كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. اللَّهُمَّ، بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ] كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ”

Imam Bukhari di dalam tafsir ayat ini mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Yahya ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami ayahku, dari Mis’ar, dari Al-Hakam, dari Ibnu Abu Laila, dari Ka’b ibnu Ujrah yang menceritakan bahawa pernah ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ, “Wahai Rasulullah ﷺ, adapun cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu kami sudah mengetahuinya. Maka bagaimanakah cara berselawat untukmu?” Rasulullah ﷺ menjawab: Ucapkanlah, Ya Allah ‎ﷻ, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mahaagung. Ya Allah, limpahkanlah berkah kepada Muhammad ﷺ dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung (Mulia).

Selawat ini dinamakan sebagai Selawat Ibrahimiyah dan ini adalah cara selawat yang paling baik kerana ia diajar oleh Nabi ﷺ sendiri. Maka ikutlah cara selawat ini dan tidak perlu direka cara-cara selawat yang lain. Kenapa hendak reka lafaz selawat baru sedangkan ia telah diajar oleh baginda sendiri? Apa tidak cukupkah apa yang baginda ajar?

Para sahabat sendiri telah bertanya bagaimana cara Selawat kepada baginda kerana mereka telah tahu cara beri salam kepada baginda seperti dalam Tasyahhud. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana cara Selawat dengan lafaz yang tepat, jadi kerana itulah mereka bertanya. Mereka tidak mahu reka sendiri dan kerana itu mereka hendak tahu bagaimana cara lafaz Selawat dari baginda.

Begitulah sikap kita yang sepatutnya, kena dapatkan lafaz yang benar. Jangan direka-reka seperti yang banyak dilakukan oleh manusia. Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah dari hadith: [An-Nasae’i: 1292, sahih]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Dan kalau kita perhatikan dalam hadith ini serta hadith-hadith yang sahih lain tentang selawat, tidak ada lafaz sayyidina dalam hadith-hadith itu. Maka kalimah ‘sayyidina’ adalah lafaz tambahan yang tidak sunnah. Sedangkan sudah ada hadith larangan dari baginda sendiri untuk menggelar baginda dengan Sayyid.

Abdullah bin al-Syikhir رضي الله عنه berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah ﷺ. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah ﷺ terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.”

Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!” 

Rasulullah ﷺ menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Sahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Dan dalam hadith yang lain:

Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad ﷺ! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”

Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Aku Muhammad bin Abdillah, hamba Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Demi Allah ‎ﷻ! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah ‎ﷻ berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Namun mungkin timbul persoalan pula: kenapa pada sahabat Nabi ﷺ boleh pula menggunakan kalimah sayyidina tetapi pada baginda tidak boleh pula?

Al-Jawab: kerana ‘sayyid’ adalah satu satu dari sifat Rabb. Maka tidak boleh digunakan kepada Rasulullah ﷺ kerana ada bahaya kedudukan baginda diangkat ke tahap ‘rabb. Namun untuk para sahabat, tidak ada kemungkinan itu berlaku, maka boleh digunakan untuk sahabat dan dilarang untuk Rasulullah ﷺ.

Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:

1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahhud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahhud kedua/tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad ﷺ, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda ﷺ. Kerana itulah dalam penulisan kita ini, setiap kali kita sebut baginda, kita akan berikan sekali dengan selawat kepada baginda. Inilah adab kita. Walaupun ada pendapat yang mengatakan, dalam satu majlis cukup sekali sahaja selawat disebut.

Ada yang hanya beri ringkasan sahaja (SAW) tetapi ini tidak bagus sebaliknya kenalah disebut dengan penuh.

Kelebihan Selawat:

Dari Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»

Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah ‎ﷻ akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Hadith yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi ﷺ dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut. Sabda Nabi ﷺ:

(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)

Maksudnya: “Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut namaku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. Sahih].

Banyak berselawat kepada Rasulullah ﷺ merupakan tanda cinta seorang Muslim kepada Baginda ﷺ, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Maka perbanyakkanlah selawat. Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:

·        Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi ﷺ.

·        Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan (bukannya sebelum azan).

·        Selesai berwudhu’, sebelum membaca doa.

·        Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.

·        Di dalam solat jenazah.

·        Ketika masuk dan keluar dari masjid.

·        Setiap waktu pagi dan petang.

·        Hari Khamis malam Jumaat.

·        Sepanjang hari Jumaat.

·        Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.


 

Ayat 57: Dan sekarang kalau sebaliknya pula. Ia adalah keterbalikan kepada selawat dan ikut sunnah. Sepatutnya Nabi dipuji dan dimuliakan, bukannya disakiti.

إِنَّ الَّذينَ يُؤذونَ اللهَ وَرَسولَهُ لَعَنَهُمُ اللهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُم عَذابًا مُّهينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who abuse Allāh and His Messenger – Allāh has cursed them in this world and the Hereafter and prepared for them a humiliating punishment.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan.

 

إِنَّ الَّذينَ يُؤذونَ اللهَ وَرَسولَهُ لَعَنَهُمُ اللهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat,

Ayat ini adalah tentang larangan menyakiti Allah ‎ﷻ dan juga Rasul ﷺ. Mereka yang melakukan demikian akan diberikan laknat di dunia dan juga di akhirat.

Kita tidak boleh sakiti Allah ‎ﷻ, bukan? Jadi menyakiti Allah ‎ﷻ adalah tidak mengikut syariat. Menyakiti adalah adalah dengan tidak ikut perintah-Nya dan tidak meninggalkan larangan-Nya. Juga ada beberapa perkara yang Nabi ﷺ telah beritahu kita yang kita menyakiti Allah ‎ﷻ seperti kita menghina ‘masa’. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ:

لا تسبوا الدهر، فإن الله هو الدهر

“Jangan kamu mencela ad-Dahr (masa), kerana Allah ‎ﷻ adalah ad-Dahr (masa).” (Hadis Riwayat Ahmad, 15/70, no. 9137. Muslim, 11/313, no. 4169)

Juga ada pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan dalam ayat ini sebenarnya adalah jangan sakiti hati Nabi ﷺ kerana menyakiti hati baginda adalah menyakiti Allah ‎ﷻ sebenarnya. Ini seperti yang disebut dalam satu hadith:

اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي لَا تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَنْ آذَى اللَّهَ فَيُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ

”Takutlah pada Allah ‎ﷻ tentang sahabatku. Takutlah pada Allah ‎ﷻ tentang sahabatku. Jangan kalian jadikan mereka habuan selepasku. Sesiapa yang mencintai mereka maka aku akan mengasihi orang yang mengasihi mereka. Sesiapa yang membenci mereka maka aku akan membenci orang yang membenci mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka seakan-akan dia telah menyakitiku. Dan sesiapa yang menyakitiku maka dengan telah menyakiti Allah ‎ﷻ. Sesiapa yang menyakiti Allah ‎ﷻ maka hampir-hampir Dia mengambilnya.”

Riwayat Imam Ahmad (20578) di dalam Musnad dan Ibnu Hibban (7256)

Nota: menyakiti dan mengutuk sahabat adalah juga menyakiti Nabi ﷺ dan juga Allah ‎ﷻ. Maka bagaimanakah agaknya kedudukan golongan Syiah yang tidak habis-habis mengutuk malah mengkafir para sahabat?

Menyakiti Nabi ﷺ adalah dengan menghinanya dan merendahkan martabatnya. Kita tidak boleh sakiti fizikal dan perasaan Nabi ﷺ sekarang kerana Nabi ﷺ tidak hidup lagi. Namun begitu perbuatan menghina kedudukan Nabi ﷺ dan menghinanya masih dilakukan oleh manusia yang menentang agama Islam. Ini termasuklah mereka yang melukis kartun menghina Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun Nabi telah tiada, perbuatan itu masih tetap haram.

Bagaimana pula dengan orang Islam? Adakah kita menghormati Nabi ﷺ sebagaimana yang sepatutnya? Untuk menjawabnya, kita kena sedar yang kita kenalah mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Kalau tidak ikut, bagaimana?

Maka makna menyakiti Nabi ﷺ adalah dengan tidak mengikut sunnah baginda. Ini termasuk mereka yang menghina sunnah baginda seperti menghina orang yang simpan janggut (kata rupa macam kambing dan seumpamanya). Juga termasuk mereka yang tidak ambil kisah untuk tahu sunnah baginda. Juga termasuk mereka yang melakukan amalan bidaah dalam kehidupan mereka.

Maka ancaman Allah ‎ﷻ kepada mereka yang melakukannya adalah mereka akan mendapat laknat dari Allah ‎ﷻ. Maksud ‘laknat’ adalah dijauhkan dari rahmat. Tidak ada peluang untuk memasuki syurga.

 

وَأَعَدَّ لَهُم عَذابًا مُّهينًا

dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan.

Bila tidak dapat memasuki syurga, maka nerakalah tempat mereka. Mereka akan mendapat seksa yang perit.

Maka ancaman yang besar telah diberikan kepada umat Islam. Tetapi bayangkan nanti selepas ayat ini diturunkan ada juga manusia yang mengaku sebagai mukmin tetapi mereka tetap juga menyakiti hati Nabi ﷺ.‎

Termasuk di dalam perkara ini adalah kisah bagaimana A’isyah رضي الله عنها dituduh sebagai penzina. Kata-kata itu dan tuduhan itu amat menyakitkan Rasulullah ﷺ dan ia termasuk di dalam ancaman ayat ini. Maknanya ayat ini tidak memberi kesan kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 30 Jun 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Ahzab Ayat 55 – 57 (Selawat untuk Rasulullah)”

  1. Soalan: Tidaklah nak puja Nabi berlebihan pula? Maka tidaklah perlu nak qasidah pula?

    Jawapan:Datang lah sahabat memuji Nabi. Nabi diam dan hanya tersenyum, dalil ulama sahih riwayat Trimidzi. Qasidah memuji pada Nabi SAW adalah salah satu daripada pernyataan kasihnya seseorang kepada Nabi SAW. Ia mengingatkan kita bagaimana penyair pada zaman Nabi SAW seperti Hasan bin Thabit R.A memuji Baginda SAW dan mempertahankannya dari musuh-musuh Islam dengan kekuatan syairnya.Hassan bin Thabit R.A lahir di Madinah pada 563 M. Beliau dari suku Khazraj. Nama lengkapnya Hassan bin Tsabit bin al-Mundzir al-Khazraji al-Ansari, dan biasanya dipanggil Abu al-Walid. Setelah masuk Islam, orang menggelarkannya sebagai “Sya’ir Rasulullah” (Penyair Rasulullah SAW)

    Like

    1. Hasan bin tsabit ada tugas dia: menjawap syair golongan penentang.
      dan pujian yang diberikan kepada Nabi (yang benar sahaja kerana ada Nabi tegur pujian tak benar) kepada Nabi semasa baginda hidup.
      Sekarang baginda tidak hidup lagi dan pujian itu berlebihan. Seolah-olah sudah jadi agama pula bagi sesetengah orang seperti golongan Habib. adakah para sahabat berqasidah? mereka lebih sayang baginda dari kita, bukan?

      Like

  2. Kerana qasidah itu sifat nya melunak kan hati dan mengundang rahmatNya Allah. Hadis itu kita tengok lah pula hujung nya. Yang dimaksudkan dengan nabi jangan puji dia lebih lebih itu ada dalam hadis Baginda, jangan kalian puji aku seperti nasrani memuji al masih. Yang dimana al masih itu dianggap anak tuhan. Tidak ada org islam yg mengatakan bahawa nabi muhammad itu anak Allah sebagaimana orang yahudi mengatakan huzair anak Allah, nasrani mengatakan al masih anak allah. Tidak ada dimana mana syair yang pernah mengatakan nabi itu anak Allah sampai hari ini, melainkan hanya mengatakan Muhammad ibni Abdillah ibni Abdil Mutalib. Mohon di perbetulkan

    Like

    1. Hakikatnya, sekarang sudah berlebihan pujian diberikan kepada baginda. Sampai kata baginda bulan, bintang, matahari, nur dan sebagainya. Maka itulah yang berlebihan.
      Sebelum sampai tahap menuhankan Nabi seperti Nasrani buat, tugas kita mengingatkan manusia tentang hal ini kerana syaitan akan bisikkan perkara yang salah. dan memang sudah ada pun yang kata Nabi Muhammad itu Tuhan (mereka kata baginda bersemayam di Arash sebagai Allah dan turun ke bumi sebagai Muhammad). Mari kita tunjukkan sayang kita dengan buat amalan yang baginda ajar. tak perlu nak puji dan puja berlebihan. agama kita ini bukannya agama nyanyian seperti agama lain.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s