I. Iltifat (الإلتفات)
Ini adalah salah satu teknik yang paling mencabar namun paling indah dalam Ilmu Balaghah (khususnya di bawah Ilmu Ma’ani). Ia sering digelar sebagai “Seni Peralihan Gaya Bahasa”. Ia memang sudah ada di dalam ilmu bahasa Arab dari zaman dahulu lagi di mana para penyair amat berbangga jikalau mereka dapat berjaya menghasilkan pemalingan yang indah-indah. Akan tetapi apabila datang Al-Qur’an, pemalingan yang digunakan amat halus dan jauh lebih hebat dan mengalahkan terus mereka.
Secara istilah, Iltifat bermaksud: Peralihan gaya bahasa daripada satu sudut pandang (dhomir/kata ganti nama) kepada sudut pandang yang lain, sedangkan rujukan orangnya adalah sama.
Dalam Ilmu Balaghah, ia merujuk kepada pemalingan tuju kata daripada satu kata ganti nama diri kepada satu kata ganti nama diri yang lain berdasarkan sesuatu tujuan tetapi masih merujuk kepada topik yang sama. Iltifat (pemalingan) ini berlaku dalam banyak jenis akan tetapi kita tumpukan kepada Iltifat dari segi bahasa iaitu khusus tentang pemalingan kata ganti nama sahaja.
Kata ganti nama pertama: Aku & kami
Kata ganti kedua: Engkau, kalian, awak dan sebagainya
Kata ganti ketiga: Mereka, dia dan sebagainya.
Kadangkala ayat itu sedang bercakap tentang diri sendiri tapi tiba-tiba bertukar bercakap tentang pihak ketiga pula contohnya. Pertukaran dan pemalingan inilah yang dipanggil Iltifat. Tujuannya adalah untuk menghilangkan kebosanan pendengar dan menarik perhatian mereka secara mengejut terhadap perubahan nada ayat tersebut.
Pemalingan juga ada digunakan di dalam bahasa kita. Contoh penggunaan iltifat di dalam suasana biasa kita bayangkan kata-kata seorang guru. Lihat bagaimana kata ganti nama bertukar-tukar:
“Sebagai seorang guru saya merasa amat kecewa dengan sikap kamu. Engkorang patut fikir sebelum buat sesuatu perkara. Jaga nama baik sekolah kita. Ada di antara pelajar kelas ni, dia menipu dalam ujian. (Sambil memandang seorang pelajar) Aiman!.. apa kau dah buat tadi? Mana aku nak letak muka sebagai guru kelas ni? (diam sejenak) Awak akan dikenakan tindakan. Dan yang lain (kamu), Ustaz harap jangan ada yang nak tiru budak ni (dia)”
Keterangan: Terdapat pelbagai bentuk perpindahan kata ganti nama diri di dalam ucapan seorang guru di dalam ayat di atas yang berubah daripada satu mood kepada mood yang lain. Jadi ada elemen perubahan emosi berlaku apabila menggunakan teknik Iltifat ini. Seninya adalah ada unsur suspens di dalam kata-kata itu yang kita tidak akan rasa kalau ayat itu linear sahaja.
Contoh di dalam Al-Qur’an adalah Kauthar:1-2
إِنَّآ أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ (١) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ (٢)
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). (1) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (2)
Penjelasan: Perhatikan peralihan dari kalimah ‘Kami’ (إِنَّآ) di mana Allah bercakap tentang DiriNya dan tiba-tiba di dalam ayat 2, berubah kepada pihak ketiga pula لِرَبِّكَ (Tuhanmu). Sepatutnya kalau terus ikut susunan kata ganti itu, sepatutnya disebut: فَصَلِّ لنا (Sembahlah kepada Kami).
Pakar Balaghah mengibaratkan Iltifat seperti:
-
- Peralihan Warna: Mata akan lebih segar jika melihat pelbagai warna berbanding satu warna sahaja. Begitu juga telinga dan minda dengan perubahan gaya bahasa. Tidaklah bosan kerana percakapan atau pembacaan yang monotonous sahaja.
- Menghidupkan Suasana: Ia menjadikan sesuatu penceritaan terasa lebih dinamik, seolah-olah kamera bertukar sudut (angle) untuk menunjukkan sisi emosi yang berbeza.
Perhatian. Apabila membincangkan dan cuba memahami Iltifat, mungkin ada yang terkeliru dengan i‘tiradh (sisipan) yang selalu digunakan di dalam Jumlah Mu’taridah. Iltifat bukan menyisipkan ucapan tambahan di tengah-tengah kalam, tetapi menukar bentuk kata ganti nama kepada kata ganti nama yang lain.
Mu’taridah ini ada juga di dalam bahasa kita. Contoh ayat yang biasa adalah: “makanan sini sedap lah”. Tapi kalau kita kata: “makanan di sini walaupun mahal sikit, sedaplah”. Jadi kalimah ‘walaupun mahal sikit’, itu adalah sisipan yang dinamakan i‘tiradh. Selalunya kalau di dalam tulisan, kita adalah tambah tanda sebegini: makanan di sini – walaupun mahal sikit-, sedaplah. Contoh jumlah mu’taridah adalah ayat Yusuf:103
وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.
Frasa وَلَو حَرَصتَ adalah i’tiradh.
Ada 5 gaya iltifat di dalam Al-Qur’an:
1. Daripada ganti nama diri pertama kepada ganti nama diri kedua. Contohnya ayat Yaasin:22
وَما لِىَ لا أَعبُدُ الَّذى فَطَرَنى وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan?
Keterangan: Perhatikan iltifat dari ‘aku’ kepada ‘kamu’. Kalau tidak di’iltifat’kan, kalimah yang sepatutnya adalah وإليهِ أُرجَعُ.
2. Daripada kata ganti nama diri pertama kepada ganti nama ketiga. Contohnya kita boleh lihat di dalam Baqarah:23
وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِّمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِّن مِّثلِهِ وَادعوا شُهَدآءَكُم مِّن دونِ اللهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah yang sepatutnya adalah مِن دوني.
3. Daripada ganti nama diri kedua kepada ganti nama diri ketiga. Contohnya kita boleh lihat pada Baqarah:187
تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah itu sepatutnya لَعَلَّكم تَتَّقونَ.
4. Daripada ganti nama diri ketiga kepada kata ganti nama diri pertama. Contohnya kita boleh lihat dalam Baqarah:252
تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ
Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang Kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang daripada Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.
Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah itu sepatutnya يَتلوها.
5. Daripada kata ganti nama diri ketiga kepada kata ganti nama diri kedua. Contohnya kita boleh lihat dalam Fatihah:4-5
مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)
Pemilik hari Pembalasan. (4) Hanya kepada Engkau sahaja kami sembah dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5)
Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah itu sepatutnya إِيَّاهُ نَعۡبُدُ وَإِيَّاهُ نَسۡتَعِينُ.
Tujuan dan Faedah Iltifat
Mengelakkan kebosanan daripada penggunaan kata ganti nama yang sama secara berterusan. Namun dalam al-Qur’an, tujuan-tujuan iltifat lebih mendalam. Contoh Tujuan Iltifat (daripada ghaib kepada khitab) dalam al-Qur’an:
1. Ancaman dan menakut-nakutkan. Contoh kita boleh lihat dalam Tawbah:3
وَأَذٰنٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ إِلَى النّاسِ يَومَ الحَجِّ الأَكبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَريءٌ مِّنَ المُشرِكينَ ۙ وَرَسولُهُ ۚ فَإِن تُبتُم فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ الَّذينَ كَفَروا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat maka yang demikian adalah baik bagi kamu dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
Keterangan: Perhatikan iltifat dari pihak ketiga (النّاسِ) kepada pihak kedua (تُبتُم) dan (لَّكُم). Kalau kita teruskan gaya bahasa yang ikut kalimah النّاسِ di awal ayat, maka bukanlah فَإِن تُبتُم فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم tapi فَإِن تابوا فَهُوَ خَيرٌ لَّهم. Jadi digunakan iltifat ini kerana pada permulaan, digunakan kata ganti pihak ketiga, tapi apabila digunakan iltifat terus bercakap kepada pendengar (تُبتُم dan لَّكُم), ia menambah kesan ayat itu yang menjadi ancaman. Macam contoh kata-kata guru yang mulanya hanya menyebut kesalahan pihak ketiga, sebelum tiba-tiba menyebut nama pelaku (Aiman). Namun ada juga yang memahami iltifat ini sebagai dorongan kepada taubat.
Adapun iltifat kedua iaitu dari تَوَلَّيتُم dan أَنَّكُم kepada كَفَروا, ia lebih sesuai sebagai ancaman. Dalam ilmu Balaghah, perpindahan daripada berbicara terus (تَوَلَّيتُم dan أَنَّكُم) kepada berbicara tentang mereka sebagai pihak ketiga (الَّذينَ كَفَروا) membawa implikasi ancaman yang sangat berat melalui beberapa sudut. Apabila Allah berbicara menggunakan perkataan “Kamu” di awal ayat, ia menunjukkan bahawa mereka masih “dilayan” untuk berbicara. Namun, sebaik sahaja Allah menukar gaya bahasa kepada “Khabarkan kepada orang-orang kafir itu”, Allah seolah-olah sedang berpaling daripada mereka kerana teramat murka.
Ibarat seorang raja yang sedang memarahi pembangkang di depannya: “Jika kamu berdegil, kamu tidak akan menang!” Lalu tiba-tiba raja itu memalingkan mukanya kepada pengawal dan berkata: “Humban orang-orang derhaka ini ke dalam penjara!” Tindakan “memalingkan muka” (Iltifat) ini adalah penghinaan dan ancaman bahawa peluang mereka untuk berdialog atau bertaubat telah ditutup sekiranya mereka berpaling.
Yang keduanya, di awal ayat, Allah menyebut “Jika kamu berpaling”. Allah tidak terus melabel mereka sebagai kafir. Tetapi di hujung ayat, Allah menggunakan Iltifat dengan menukar perkataan “kamu” kepada الَّذِينَ كَفَرُوا (orang-orang yang kafir). Ini adalah ancaman bahawa jika mereka berpaling daripada perjanjian, status mereka di sisi Allah secara rasmi dan kekal berubah menjadi “Kafir yang berhak menerima azab”.
2. Teguran dan kecaman. Contoh kita boleh lihat di dalam Nahl:56
وَيَجعَلونَ لِما لا يَعلَمونَ نَصيبًا مِّمّا رَزَقنٰهُم ۗ تَاللهِ لَتُسئَلُنَّ عَمّا كُنتُم تَفتَرونَ
Dan mereka menjadikan bagi sesuatu yang mereka tidak mengetahui, sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Demi Allah, kamu pasti akan ditanya tentang apa yang kamu ada-adakan.
Keterangan: menghadapkan secara langsung teguran dan kecaman. Mulanya bercakap tentang pihak ketiga dan tiba-tiba bertukar kepada bercakap terus.
Contoh lain kita boleh lihat dalam Yusuf:109
وَلَدَارُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَواْۗ أَفَلَا تَعقِلُونَ
“Dan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka apakah kamu tidak berakal?”
Keterangan: teguran lebih kuat kesannya bila ditujukan secara langsung.
Contoh lain adalah di dalam Maryam:88-89
وَقَالُواْ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وَلَدًا (٨٨) لَّقَدۡ جِئۡتُمۡ شَيۡـًٔا إِدًّا (٨٩)
“Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil anak. ’Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu yang sangat mungkar. ”
Keterangan: Teguran secara khitab lebih keras.
3. Menekankan permintaan. Contoh Ahzab:55
لّا جُناحَ عَلَيهِنَّ في ءآبائِهِنَّ وَلا أَبنائِهِنَّ وَلا إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ أَخَوٰتِهِنَّ وَلا نِسائِهِنَّ وَلا ما مَلَكَت أَيمٰنُهُنَّ ۗ وَاتَّقينَ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدًا
“Tidak ada dosa atas mereka (wanita) berkenaan bapa-bapa mereka, anak-anak lelaki mereka, saudara-saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki saudara mereka, anak-anak lelaki saudara perempuan mereka, wanita-wanita mereka, dan hamba-hamba yang dimiliki mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu
Keterangan: penekanan yang lebih kuat dalam menuntut ketaqwaan mereka.
4. Meringankan beban perintah. Contoh Baqarah:184
أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذينَ يُطيقونَهُ فِديَةٌ طَعامُ مِسكينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَهُوَ خَيرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ
“Beberapa hari yang tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan, maka (wajiblah menggantinya) dengan bilangan hari yang lain. Dan bagi orang- orang yang mampu berpuasa tetapi dengan kesukaran, wajiblah membayar fidyah memberi makan seorang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela melakukan kebajikan, itu adalah lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Keterangan: pengurangan beban puasa dengan gaya bahasa yang khitab/langsung.
5. ‘Itab عتاب (teguran lembut). Contoh Tahreem:3
وَإِذۡ أَسَرَّ ٱلنَّبِىُّ إِلَىٰ بَعۡضِ أَزۡوٰجِهِۦ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتۡ بِهِۦ وَأَظۡهَرَهُ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ عَرَّفَ بَعۡضَهُ ۥ وَأَعۡرَضَ عَنۢ بَعۡضٍ۬ۖ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِۦ قَالَتۡ مَنۡ أَنۢبَأَكَ هَـٰذَاۖ قَالَ نَبَّأَنِىَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡخَبِيرُ (٣) إِن تَتُوبَآ إِلَى ٱللَّهِ فَقَدۡ صَغَتۡ قُلُوبُكُمَاۖ وَإِن تَظَـٰهَرَا عَلَيۡهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ مَوۡلَٮٰهُ وَجِبۡرِيلُ وَصَـٰلِحُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ بَعۡدَ ذٰلِكَ ظَهِيرٌ (٤)
“Dan (ingatlah) ketika Nabi membisikkan suatu rahsia kepada sebahagian isterinya; maka tatkala dia (isteri itu) memberitahukannya dan Allah memperlihatkannya kepada Nabi, lalu Nabi memberitahu sebahagian daripadanya dan menyembunyikan sebahagian yang lain. Maka tatkala Nabi memberitahunya, dia berkata: Siapakah yang memberitahu engkau tentang ini? Nabi menjawab: Telah memberitahu aku Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengetahui segala rahsia.’ Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada kesalahan itu). Dan jika kamu berdua saling bantu-membantu menentangnya, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya, dan (demikian juga) Jibril, orang-orang mukmin yang soleh, serta malaikat selepas itu menjadi penolongnya.
Keterangan: maksud teguran (‘itab).
Contoh lain:
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلۡأَعۡمَىٰ (٢) وَمَا يُدۡرِيكَ لَعَلَّهُ ۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣)
“Dia (Nabi) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang kepadanya seorang buta. Dan tahukah engkau, barangkali dia mahu membersihkan dirinya (dengan beriman dan beramal”
Keterangan: maksud teguran.
6. Menguatkan hujah. Contoh: ِA’raf:190-193
فَلَمَّآ ءَاتَٮٰهُمَا صَـٰلِحًا جَعَلَا لَهُ ۥ شُرَكَآءَ فِيمَآ ءَاتَٮٰهُمَاۚ فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ عَمَّا يُشۡرِكُونَ (١٩٠) أَيُشۡرِكُونَ مَا لَا يَخۡلُقُ شَيۡـًٔا وَهُمۡ يُخۡلَقُونَ (١٩١) وَلَا يَسۡتَطِيعُونَ لَهُمۡ نَصۡرًا وَلَآ أَنفُسَہُمۡ يَنصُرُونَ (١٩٢) وَإِن تَدۡعُوهُمۡ إِلَى ٱلۡهُدَىٰ لَا يَتَّبِعُوڪُمۡۚ سَوَآءٌ عَلَيۡكُمۡ أَدَعَوۡتُمُوهُمۡ أَمۡ أَنتُمۡ صَـٰمِتُونَ (١٩٣)
Maka tatkala Allah mengurniakan kepada keduanya seorang anak yang baik, mereka menjadikan bagi-Nya sekutu-sekutu terhadap apa yang telah dikurniakan kepada mereka. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka sekutukan. Apakah mereka menyekutukan sesuatu yang tidak dapat mencipta apa-apa, sedangkan mereka sendiri diciptakan? Dan mereka tidak mampu menolong mereka, bahkan tidak mampu menolong diri mereka sendiri. Dan jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk, mereka tidak akan mengikuti kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyeru mereka atau kamu berdiam diri.
Keterangan: penegakan hujah.
7. Peringatan dan menakutkan Contoh: Mu’minun:14-15
ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤) ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذٰلِكَ لَمَيِّتُونَ (١٥)
“Kemudian Kami menjadikannya sebagai satu ciptaan yang lain, maka Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta. Kemudian sesungguhnya kamu selepas itu pasti akan mati”.
Keterangan: ancaman dan peringatan lebih sesuai disampaikan dengan bentuk khitab.
8. Penghormatan. Contoh: Nur:62
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka bersama Rasul pada suatu urusan yang penting, mereka tidak meninggalkannya sehingga meminta izin daripadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu, mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul- Nya. Maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana suatu urusan mereka, berilah izin kepada sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mohonlah ampun untuk mereka kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Keterangan: suatu bentuk penghormatan kepada baginda.
Contoh lain: Tawbah:111
۞ إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan balasan syurga. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu)janji yang benar daripada-Nya dalam Taurat, Injil dan al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain Allah? Maka bergembiralah kamu dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”.
Keterangan: penghormatan kepada mereka.
Contoh lain: Sad:52-53
وَعِندَهُمۡ قَـٰصِرٰتُ ٱلطَّرۡفِ أَتۡرَابٌ (٥٢) هَـٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِيَوۡمِ ٱلۡحِسَابِ (٥٣)
“Dan di sisi mereka ada bidadari yang menundukkan pandangan, sebaya umurnya. *Inilah yang dijanjikan kepada kamu untuk hari hisab”.
Keterangan: ucapan langsung ini memuliakan orang-orang bertakwa.
9. Anugerah dan nikmat. Contoh: Sajdah:9
ثُمَّ سَوّٰهُ وَنَفَخَ فيهِ مِن رّوحِهِ ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۚ قَليلًا مّا تَشكُرونَ
Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalamnya daripada roh-Nya, serta Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; sedikit sekali kamu bersyukur.
Keterangan: menekankan nikmat.
Contoh lain: Nur:9-10
وَٱلۡخَـٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَيۡہَآ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ (٩) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ حَڪِيمٌ (١٠)
“Dan sumpah yang kelima bahawa kemurkaan Allah atasnya jika dia termasuk orang yang benar. Dan sekiranya bukan kerana kurnia Allah atas kamu dan rahmat-Nya, serta sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Bijaksana” .
Keterangan: menekankan nikmat dalam pensyariatan hukum-hukum.
10. Khusus dan layak. Contohnya kita boleh lihat dalam Fatihah:4-5
مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)
Pemilik hari Pembalasan. (4) Hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5)
11. Dorongan kuat. Contoh: A’raf:145
وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوعِظَةً وَتَفصيلًا لِّكُلِّ شَيءٍ فَخُذها بِقُوَّةٍ وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها ۚ سَأُريكُم دارَ الفٰسِقينَ
“Dan Kami tuliskan untuknya di dalam alwah (papan) segala sesuatu sebagai nasihat dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu. Maka ambillah ia dengan penuh kekuatan, dan perintahkanlah kaummu supaya mengambil yang terbaik daripadanya. Kelak Aku akan perlihatkan kepada kamu negeri orang-orang fasik” .
Keterangan: mendorong dengan lebih kuat agar mereka berpegang teguh.
12. Penegasan. Contoh: Maryam:70-71
ثُمَّ لَنَحۡنُ أَعۡلَمُ بِٱلَّذِينَ هُمۡ أَوۡلَىٰ بِہَا صِلِيًّا (٧٠) وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَاۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتۡمً۬ا مَّقۡضِيًّا (٧١)
“Kemudian sesungguhnya Kami lebih mengetahui orang-orang yang lebih layak untuk masuk ke dalamnya (neraka). Dan tidak ada seorang pun di antara kamu melainkan akan mendatanginya; hal itu adalah ketetapan yang pasti daripada Tuhanmu”.
Keterangan: penegasan yang kuat.
13. Kehairanan dan penolakan. Contoh: Qalam:34-36
إِنَّ لِلۡمُتَّقِينَ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ (٣٤) أَفَنَجۡعَلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ كَٱلۡمُجۡرِمِينَ (٣٥) مَا لَكُمۡ كَيۡفَ تَحۡكُمُونَ (٣٦)
“Sesungguhnya bagi orang-orang bertakwa di sisi Tuhan mereka ada syurga kenikmatan. Apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam seperti orang-orang yang berdosa? Mengapa dengan kamu? Bagaimana kamu membuat keputusan?”.
Keterangan: menimbulkan kehairanan dan menolak anggapan yang batil.
Sambung ke Bahagian seterusnya
Kemaskini: 16 Mei 2026
