Tafsir Surah al-Kawthar Ayat 1 (Part 1) (Pemberian yang banyak)

Ayat 1: Surah ini adalah surah yang paling pendek dalam Al-Qur’an. Ia boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia adalah berita gembira kerana mendapat al-Kawthar.

Allah telah memberikan kebaikan yang teramat banyak kepada Rasulullah SAW. Bukan sahaja Nabi dapat kebaikan, malah kita yang menjadi pengikut baginda juga dapat kebaikan. Sebagai contoh, bayangkan kalau kita selawat sekali kepada Nabi Muhammad SAW, Allah berikan balasan 10 kali selawat kepada kita. Syaitan juga tidak boleh ganggu dan khianat orang yang mengikut sunnah Nabi dan mengikut ajaran tauhid.

إِنّا أَعطَيناكَ الكَوثَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kawthar: Literally, “the most abundant good.” Also, a river in Paradise.

Indeed, We have granted you, [O Muḥammad], al-Kawthar.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

 

Apakah dia الكَوثَرَ itu?

1. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’.

2. Satu lagi pendapat mengatakan ianya adalah satu telaga di Syurga, dan juga satu tasek di Mahsyar di mana Nabi Muhammad SAW akan memberi minum kepada umat baginda yang mengamalkan sunnahnya, sebelum mereka masuk ke dalam syurga.

Kenapa seperti ada dua telaga pula (di syurga dan di Mahsyar)? Pendapat mengatakan air di Mahsyar itu datang dari telaga yang di syurga. Allahu a’lam. Pendapat ini didapati dari golongan salaf yang sampai kepada kita dalam bentuk hadith dan atsar.

Mari kita sentuh perkara yang pertama dahulu. Seperti yang disebut, الكَوثَرَ bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’. Dan ini kita boleh lihat dari surah-surah sebelum ini yang kita telah belajar.

1 – Allah tidak meninggalkan Rasulullah SAW dan tidak marah kepada baginda. Ini seperti yang disebut dalam Surah ad-Dhuha:3

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.

2 – Allah memberitahu Nabi yang hujung lebih baik dari asalnya. Ini disebut dalam ayat seterusnya Surah ad-Dhuha:4

وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

3 – Kemudian Allah beritahu yang Dia akan memberi dan memberi lagi kepada baginda sampai hati baginda menjadi puas. Lihat Surah ad-Dhuha:5

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Allah tidak sebut apakah yang akan diberikan kepada baginda. Tapi Allah beritahu yang baginda akan pasti puas hati dengan pemberian itu. Terlalu banyak apa yang akan diberikan kepada baginda sampai tidak boleh hendak letak harga, tidak boleh hendak sebut apakah ia. Cuma Allah sebut dalam Al-Qur’an, sehingga kamu kata cukup, cukup (sebab sudah terlalu banyak).

4 – Allah berikan perlindungan kepada baginda apabila baginda menjadi anak yatim. Ini disebut dalam Surah ad-Dhuha:6

أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?

5 – Semasa Rasulullah SAW mencari-cari kebenaran, Allah tunjukkan kebenaran itu kepada baginda. Lihat Surah ad-Dhuha:7

وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.

Kalimah ضالًّا bukan bermaksud ‘sesat’, tetapi ‘dalam mencari’.

5 – Baginda juga dicukupkan oleh Allah dari segi keperluan keduniaan. Ini disebut dalam Surah ad-Dhuha:8

وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

6 – Allah mengembangkan dada Rasulullah SAW supaya baginda berasa lega walaupun dalam menghadapi masalah dalam dakwah baginda. Ini disebut dalam Surah al-Inshirah:1

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Jadi, maksud Allah ‘lapangkan’ dada baginda juga bermaksud dilapangkan supaya baginda dapat menerima Al-Qur’an ke dalam hati baginda. Ini penting kerana kalau tidak, tubuh baginda akan pecah disebabkan Al-Qur’an itu adalah sesuatu yang amat berat. Ini disebut dalam Surah Hashr:21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَرَأَيتَهُ خاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۚ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah.

Bayangkan, kalau gunung juga boleh pecah jika Al-Qur’an diturunkan kepadanya, bayangkan pula jika ianya diturunkan kepada manusia biasa? Pernah suatu ketika Nabi Muhammad SAW di atas unta baginda dan waktu itu baginda menerima wahyu. Unta baginda terduduk kerana beratnya menanggung beban Rasulullah SAW waktu itu.

Ini tidak mustahil kerana sememangnya Allah telah pernah memberitahu yang Al-Qur’an itu adalah sesuatu yang ‘berat’. Ini disebut dalam Surah Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا

Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.

Walaupun ianya sesuatu yang berat, namun Rasulullah SAW dapat menanggungnya kerana dada baginda telah dilapangkan. Jadi ini adalah salah satu dari nikmat yang diberikan kepada baginda.

7 – Dan Allah telah menghilangkan beban yang berat dari baginda. Lihat  Surah al-Inshirah:2

وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ

dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,

Beban yang baginda tanggung dalam menyampaikan dakwah amatlah berat, tapi Allah telah angkat beban itu daripada baginda.

8 – Dan Allah telah mengangkatkan peringatan atas baginda. Ini disebut dalam Surah al-Inshirah:4

وَرَفَعنا لَكَ ذِكرَكَ

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,

Ini juga terbukti kerana nama baginda disebut sentiasa dengan harumnya. Sebagai contoh, setiap kali azan dilaungkan, nama baginda akan disebut juga. Azan juga dikumandangkan setiap ketika di bumi Allah ini kerana azan sentiasa sahaja dilaungkan.

9 – Mengingati baginda juga adalah satu ibadat dalam agama kita. Kerana Allah menjanjikan pahala kepada mereka yang selawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Jadi, ramailah yang akan cuba mengambil peluang ini. Dengan itu, nama baginda akan terus diingati sampailah ke hari kiamat nanti. Lihat Surah al-Ahzab:56

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا صَلّوا عَلَيهِ وَسَلِّموا تَسليمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

Bukan sahaja Allah menyuruh kita berselawat kepada baginda, namun Allah mulakan ayat ini dengan memberitahu bahawa Dia sendiri berselawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW dan para malaikat juga berselawat ke atas baginda. Ini adalah satu bentuk penghormatan yang teramat tinggi diberikan kepada baginda. Kerana tidak ada lagi ibadat lain yang sebegini hebat.

10 – Allah pernah menggunakan baginda sebagai lafaz sumpah seperti dalam Surah Hijr:72

لَعَمرُكَ إِنَّهُم لَفي سَكرَتِهِم يَعمَهونَ

“Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)”.

Tidak ada manusia lain yang digunakan sebagai lafaz sumpah oleh Allah. Ini adalah penghormatan yang amat tinggi.

11 – Allah memuliakan baginda dengan memberikan pahala yang tidak putus-putus kepada baginda seperti yang disebut dalam Surah al-Qalam:3

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Bukan sahaja baginda mendapat pahala sebegitu, tapi pahala tersebut untuk mereka yang mengikut baginda juga. Ini semua adalah kerana cinta kasih Allah terhadap Rasulullah SAW. Ini disebut dalam Surah al-Fussilat:8

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka mendapat pahala yang tiada putus-putusnya”.

12 – Allah memberi perlindungan kepada baginda dari ancaman musuh baginda. Sedangkan, ada Nabi-nabi lain yang dibunuh. Lihat janji Allah dalam Surah al-Alaq:18

سَنَدعُ الزَّبانِيَةَ

Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,

Maksudnya, kalau ada yang hendak mencederakan baginda, Allah akan menghantar malaikat untuk menjaga baginda.

13 – Allah mendekatkan Rasulullah  SAW denganNya. Lihat Surah al-Alaq:19

وَاسجُد وَاقتَرِب

dan sujudlah dan dekatkanlah

Allah memberi segala nikmat kepada baginda supaya baginda mendekatkan dirinya kepada Allah.

14 – Allah mengaitkan NamaNya dengan nama Rasulullah SAW.

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَراج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id, dari Rasulullah Saw., bahawa beliau Saw. pernah bersabda: Jibril datang kepadaku dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu pernah berfirman, ‘Tahukah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan (nama)mu?’ Jibril menjawab, ‘Allah lebih mengetahui.’ Allah berfirman, Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula namamu bersama-Ku’.”

Kita boleh lihat sendiri bagaimana ini terjadi. Sentiasa sahaja nama Rasulullah SAW disebut bersama dengan nama Allah – dalam Syahadah, dalam Azan, tasyahud dan sebagainya. Ini adalah penghormatan yang amat besar kepada baginda.

Jadi, kita telah senaraikan banyak sekali nikmat-nikmat yang disusun oleh para ulama’. Tentunya ada lagi yang tidak mampu kita masukkan.

Kembali kepada penelitian tentang lughah (bahasa) yang digunakan dalam ayat 1 ini. Kita lihat Allah berfirman menggunakan kalimah أَعطَيناكَ (Kami telah memberikan). Ada beberapa kalimah lain yang boleh digunakan untuk bermaksud ‘memberi’ seperti, kalimah اتي (beri) sebagaimana yang digunakan dalam Ali Imran:26

قُلِ اللَّهُمَّ مالِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki

Kalimah اتي digunakan dalam ayat ‘Ali Imran ini, tapi kalimah اتي bukanlah pemberian yang ‘sempurna’. Maksudnya, Allah boleh beri, tapi Allah juga boleh tarik balik. Sebagai contoh dalam ayat ‘Ali Imran di atas, Allah sebut bagaimana Allah boleh beri kerajaan kepada sesiapa yang Dia mahu dan Allah juga boleh tarik balik kerajaan itu daripada mereka.

Begitu juga, kalimah اتي adalah pemberian yang datang bersama dengannya tanggungjawab. Sebagai contoh, kerajaan yang diberikan kepada manusia dalam ayat ‘Ali Imran di atas datang dengan tanggungjawab untuk memerintah dengan adil dan saksama. Maksudnya, bukannya pemberian begitu sahaja.

Satu lagi contoh adalah dalam Surah al-Baqarah:146

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil)

Allah telah beri kepada Ahli Kitab itu dengan kitab wahyu. Mereka juga mestilah menerima dan mengamalkan serta menyampaikan kepada manusia lain. Bukan terima begitu sahaja.

Selain dari kalimah اتي, kalimah lain yang membawa maksud ‘memberi’ adalah هب iaitu memberi hadiah kepada seseorang. Ini seperti yang digunakan dalam Surah Furqan:74

رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزواجِنا وَذُرِّيّاتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami),

Pasangan hidup dan anak-anak adalah hadiah besar daripada Allah – kerana tidak semua manusia mendapat kelebihan ini.

Jadi, ada kalimah lain yang boleh digunakan untuk membawa maksud ‘beri’, tapi Allah tidak gunakan dalam ayat 1 Surah al-Kawthar ini. Allah menggunakan kalimah أَعطَي dari kata dasar ع ط و yang juga bermaksud ‘beri’. Tapi, tentunya lain dari kalimah اتي dan هب itu.

Dalam Arab klasik, ianya bermaksud adalah pemberian yang tidak dijangka-jangka. Berlainan dengan kalimah عجرٌ (upah). Kerana kalau upah, kita tahu yang kita akan dapat pemberian, bukan? Tapi, kalau kalimah أَعطَي digunakan, ia bermaksud orang yang menerima pemberian itu tidak menyangka yang dia akan dapat pemberian itu. Ini yang pertama.

Yang keduanya, kalimah أَعطَي digunakan untuk pemberian yang besar, bukan yang kecil-kecil.

Yang ketiga, kalimah أَعطَي digunakan untuk pemberian yang tidak ada tanggungjawab bersamanya. Kita telah gunakan contoh dalam Surah ‘Ali Imran:26 dan Surah al-Baqarah:146 di atas bagaimana kalimah اتي digunakan dalam ayat itu kepada pemberian yang ada tanggungjawab bersamanya. Oleh itu, kalau pemberian أَعطَي digunakan, ianya adalah pemberian yang kita terima begitu sahaja – ianya hak kita dan tidak perlu beri semula dan tidak perlu buat apa dengannya (boleh terus gunakan sahaja).

Ianya untuk memberi nikmat kepada kita. Dan begitulah pemberian yang Allah berikan kepada Rasulullah SAW – ianya untuk kenikmatan baginda dan tidak ada tanggungjawab bersamanya yang perlu Nabi penuhi (berbeza dengan pemberian yang lain seperti Al-Qur’an – ini Nabi ada tanggungjawab untuk amal dan sampaikan). Akan tetapi, seperti yang kita telah sebut, pemberian dalam bentuk الكَوثَرَ yang Allah berikan kepada baginda ini, tidak akan ditarik semula daripada baginda.

Kalimah أَعطَيناكَ adalah dalam bentuk past tense (fi’il madhi). Maksudnya, Allah ‘telah’ memberi kepada baginda. Bukan ‘akan’ beri, tapi ‘telah’ diberi kepada baginda. Tapi, baginda tidak dapat melihat keseluruhan nikmat itu semasa hayat baginda, bukan? Jadi, kenapa digunakan ‘past tense’ dalam ayat ini?

Oleh itu, kita hendaklah faham penggunaan ‘past tense’ dalam Al-Qur’an. Ini adalah dari pembelajaran balaghah yang membawa maksud tertentu yang tidak difahami kalau tidak belajar balaghah (kalau belajar bahasa Arab sahaja tidak cukup). Oleh itu, kalau digunakan ‘past tense’ dalam bahasa Arab, ia hendak membawa maksud tertentu:

1 – Perkara yang telah berlaku, kita tahu yang ianya telah pasti, bukan? Kalau esok belum tentu lagi berlaku, tapi kalau yang semalam sudah pasti telah berlaku.

Oleh itu, apabila Allah menggunakan kalimah dalam bentuk past tense untuk perkara yang belum berlaku lagi, ini hendak menunjukkan ‘kepastian’ – ianya pasti akan Allah jalankan, akan terjadi. Sebagai contoh, kalau Hari Kiamat Allah gunakan dalam bentuk ‘past tense’ juga kerana ianya pasti akan berlaku.

Oleh itu, apabila Allah menggunakan kalimah أَعطَيناكَ dalam Surah al-Kawthar ini, walaupun Allah belum beri lagi kesemua nikmat itu kepada baginda, tapi Allah hendak memberitahu kita dengan cara ‘balaghah’, yang ianya pasti akan diberikan kepada baginda, tidak syak lagi. Kerana yang berjanji ini adalah Allah. Kalau kita berjanji hendak lakukan, belum tentu kita boleh lakukan lagi, tapi kalau Allah yang berjanji, sudah pasti ia akan berlaku.

2 – Penggunaan kalimah dalam bentuk past tense juga memberitahu kita yang perkara itu sudah lengkap terjadi. “Saya sudah makan” tentu lain maksudnya dengan “saya akan makan”, atau “saya sedang makan”, bukan?

Oleh itu, kalau kita ambil maksud ini juga boleh – maksudnya Allah hendak memberitahu kita yang Allah juga sudah memberi nikmat yang sangat banyak kepada baginda, walaupun mungkin baginda tidak nampak dengan mata zahir. Juga pemberian itu akan berterusan lagi walaupun baginda sudah wafat.

Mari kita kembali lihat kepada kalimah الكَوثَرَ itu dan kita bincangkan dari segi bahasa pula. Kalimah الكَوثَرَ adalah dalam bentuk mubalaghah مبالغة (bersangatan, extreme). Mubalaghah bukanlah bermaksud berlebih-lebih. Ianya hendak menguatkan sesuatu perkara, tapi ia tetap benar.

Kalau berlebih-lebihan, itu sudah berkata perkara yang tidak betul pula. Orang kita kata: ‘tambah perisa’. Al-Qur’an banyak menggunakan konsep mubalaghah tapi tidak ada mempunyai maksud berlebih-lebihan di dalamnya. Kita hendaklah faham perkara ini kerana ramai yang salah sangka, mereka tidak faham penggunaan mubalaghah.

Oleh itu, الكَوثَرَ bermaksud nikmat yang bukan sahaja banyak, tetapi sangat dan teramat banyak. Ini adalah kerana dalam kalimah الكَوثَرَ itu, ada ditambah dengan huruf و yang memberi isyarat yang ianya dalam bentuk mubalaghah. Kalau kalimah كثير (dengan ditambah ي padanya) sudah bermaksud sangat banyak, tapi kalau ditambah dengan huruf و ianya lebih kuat lagi dari huruf ي.

Oleh itu, secara ringkasnya:
1 – Kathra كثر bermaksud ‘banyak’
2 – Katheer كثير menambah lagi makna ‘banyak’ itu. Jadi ia lebih banyak dari كثر.
3 – KaWthar كوثر pula lebih banyak lagi dari كثير, oleh itu ia bermaksud banyak dan banyak dan banyak lagi.

Begitulah penggunaan bahasa dalam bahasa Arab. Jadi, memang kerana inilah bahasa Arab adalah satu bahasa yang amat indah dan perlu dipelajari.

Dalam penggunaan orang Arab, apabila digunakan kalimah كوثر, ia bermaksud sesuatu yang berharga dan banyak serta mereka akan sangat menjaga supaya tidak dicuri. Oleh itu, kalimah كوثر pasti merujuk kepada sesuatu yang bernilai dan berharga. Kalau كثير sahaja, ia bermaksud ‘banyak’, tapi boleh baik ataupun tidak. Ini menekankan bahawa, apa-apa yang Allah beri kepada Nabi Muhammad SAW itu adalah baik-baik sahaja dan bernilai tinggi.

Ada juga perbincangan tentang ال dalam kalimah الكَوثَرَ itu. Seperti kita tahu, apabila ada ال, ia merujuk kepada sesuatu yang pasti (sebagai contoh, tidak sama antara ‘a car’ dan ‘the car’. Kalau ‘the car’ digunakan, ia merujuk kepada kereta yang spesifik).

Oleh kerana itu, ada yang mengatakan الكَوثَرَ merujuk kepada sesuatu yang spesifik (dalam bahasa Arab dipanggil makrifah – yang dikenali). Dan kalau tidak ada ال, ia boleh merujuk kepada banyak benda. Oleh itu, pendapat ini mengatakan, kalau yang digunakan adalah كَوْثَراً, bolehlah dikatakan ianya merujuk kepada banyak jenis nikmat, tapi yang digunakan adalah الكَوثَرَ dengan tambahan ال.

Oleh kerana itu, pendapat ini mengatakan, الكَوثَرَ merujuk kepada Telaga Kawthar yang berada di syurga dan di Mahsyar itu. Juga, ini ada sandarannya dalam satu hadith:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, dari Al-Mukhtar ibnu Fulful, dari Anas ibnu Malik yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. menundukkan kepalanya sejenak, lalu beliau mengangkat kepalanya seraya tersenyum. Beliau bersabda kepada mereka, atau mereka bertanya kepada beliau SAW, “Mengapa engkau tersenyum?” Maka Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku suatu surat.” Lalu beliau membaca firman-Nya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu Al-Kautsar. (Al-Kautsar: l), hingga akhir surat. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Tahukan kalian, apakah Al-Kautsar itu?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda:

«هُوَ نَهْرٌ أَعْطَانِيهِ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ فِي الْجَنَّةِ عَلَيْهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ، تَرِدُ عَلَيْهِ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ آنِيَتُهُ عَدَدَ الْكَوَاكِبِ يُخْتَلَجُ الْعَبْدُ مِنْهُمْ، فَأَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّهُ مِنْ أُمَّتِي، فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ»

Al-Kautsar adalah sebuah sungai (telaga) yang diberikan kepadaku oleh Tuhanku di dalam syurga, padanya terdapat kebaikan yang banyak, umatku kelak akan mendatanginya di hari kiamat; jumlah wadah-wadah (bejana-bejana)nya sama dengan bilangan bintang-bintang. Diusir darinya seseorang hamba, maka aku berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya dia dari umatku.” Maka dikatakan, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang telah dibuat-buatnya sesudahmu.”

Syarah: yang dihalau itu adalah kerana dia mengamalkan amalan dan fahaman bidaah. Iaitu perkara yang Rasulullah tidak pernah ajar dalam hal agama, tapi ditokok tambah kemudiannya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Memang salah satu pendapat tentang maksud الكَوثَرَ itu adalah ‘haudh’ (telaga) di Mahsyar itu seperti yang disebut di atas. Tapi, dari segi bahasa, apabila adjektif (‘banyak’ adalah satu adjektif) digunakan, tanpa disebut isim (kata nama)nya, maka ia boleh merujuk kepada benda yang banyak, walaupun ال diletakkan padanya.

Jadi, dalam surah ini juga, Allah tidak sebut apakah ‘isim’ yang dimaksudkan. Oleh itu, tidak salah kalau kita ambil pendapat yang mengatakan ia bukan sahaja bermaksud Telaga Kawthar itu, tapi ia juga termasuk perkara-perkara yang lain.

Kalimah إِنّا (Sesungguhnya Kami) digunakan sebagai penekanan. Dari segi nahu bahasa Arab, kalau tidak diletakkan إِنّا juga, terjemahan adalah sama sahaja. Ini adalah kerana maksud ‘Kami’ sudah ada dalam أَعطَيناكَ (Kami memberikan kepada engkau). Tapi sebagai penekanan, Allah tambah juga kalimah إِنّا itu dan dari segi balaghah, ada maksud yang tinggi.

Jadi, apabila kita terjemah penuh Ayat 1 ini begini: “Sesungguhnya Kami, Kami telah memberimu kebaikan yang amat banyak” (perhatikan pengulangan kalimah ‘Kami’ itu – ini menguatkan lagi ayat ini).

Kenapa gunakan kalimah إِنّا dan tidak terus menggunakan kalimah نحن? Kenapa tidak ُنَحن أَعطَيناكَ الكَوثَرَ? Ini adalah kerana إن (digabungkan dengan نحن menjadi إِنّا) adalah kalimah taukid (penekanan). Ianya digunakan untuk menghilangkan keraguan.

Ini adalah kerana ada manusia yang tidak sangka Allah memberikan kebaikan yang banyak kepada Rasulullah SAW. Kerana yang mendengar ayat ini adalah Musyrikin Mekah yang menolak pemberian nikmat kepada Nabi Muhammad SAW itu – mereka menolak kenabian Rasulullah SAW, mereka tidak percaya yang Rasulullah SAW itu seorang Nabi dan Allah telah memilih baginda. Oleh kerana penolakan dan ketidakpercayaan mereka itu, maka Allah gunakan kalimah إِنّا.

Juga kalimah إِنّا ini memberikan keyakinan kepada baginda yang pasti baginda akan diberi dengan segala nikmat yang baginda akan redha. Baginda memerlukan penegasan kerana baginda waktu itu memang terganggu jiwanya disebabkan baginda baru sahaja kehilangan anak dan Musyrikin Mekah menggunakan peluang itu untuk menjatuhkan semangat baginda. Maka, Allah angkat semula semangat baginda dengan diberikan ayat ini dalam bentuk penegasan.

Rasulullah SAW ada dua anak lelaki dari Khadijah r.a. Seorang bernama Qasim yang telah meninggal dunia dan seorang lagi bernama Abdullah. Abdullah juga meninggal pada waktu kecil. Waktu dia meninggal, yang pertama kali tahu tentang perkara ini adalah Abu Lahab (kerana rumah mereka berdekatan).

Kita mesti ingat yang Abu Lahab ini adalah bapa saudara baginda sendiri. Tapi, dialah penentang kuat kepada dakwah Rasulullah SAW. Apabila dia tahu yang Rasulullah SAW baru kehilangan anak lelaki, dia telah gembira dan meraikan kejadian itu. Bayangkan jahatnya Abu Lahab itu – anak saudaranya sendiri kehilangan anak yang kecil dan dia boleh meraikan kematian tersebut?

Dia menjadi gembira kerana Nabi Muhammad SAW tidak ada anak lelaki. Mereka memang selalu mencari peluang untuk menjatuhkan nama dan semangat baginda serta ini adalah peluang baru untuk mereka. Maka , Allah berikan ayat ini dengan penekanan dengan إِنّا. Kerana Allah tahu bagaimana hati baginda dan ini disebut dalam Surah Hijr:97

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

Bayangkan waktu itu baginda mesti beri dakwah kepada mereka, tapi orang yang sama juga menghina dan hendak menjatuhkan semangat baginda. Namun begitu, Allah tetap suruh baginda bersabar dengan mereka. Baginda tidak boleh lawan mereka, malah mesti terus memberi dakwah kepada mereka dan baginda lakukan perkara itu selama 10 tahun baginda di Mekah!

Tidak dapat dibayangkan pada akal fikiran bagaimana perasaan baginda waktu itu. Waktu orang lain menyerang kita dan menjatuhkan semangat serta nama kita, kalau waktu itu ada orang yang datang menasihati kita dan mengatakan hal yang baik tentang diri kita, tentu kita akan berasa sedikit lega, bukan?

Begitulah Allah hendak menenangkan hati Nabi dan memberikan khabar gembira kepada baginda. Kalau mereka berkata yang Nabi tidak ada apa-apa (tidak ada harta, kedudukan dan anak lelaki), Allah memberitahu baginda yang baginda akan dapat banyak lagi kebaikan, malah lebih banyak dari pada mereka, lebih dari yang dapat dibayangkan oleh akal.

Juga apa yang Allah beri, tidak ada sesiapa boleh tarik semula pemberian tersebut melainkan Allah sahaja. Kita  juga telah bincangkan bagaimana kalau digunakan kalimah أعطى, ianya adalah pemberian yang tidak ditarik semula. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada baginda dan tidak diberikan kepada orang lain selain baginda.

Lihatlah bagaimana penggunaan kalimah yang Allah gunakan adalah tepat dan ada makna-makna tersirat yang tidak dapat diketahui kalau tidak belajar bahasa Arab dan belajar tafsir Al-Qur’an. Maka, teruskanlah pembelajaran ini.

Kita berhenti dulu di sini dan akan sambung kemudian di bahagian ke-2. Allahu a’lam.

Kemaskini: 8 Julai 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Kawthar Ayat 1 (Part 1) (Pemberian yang banyak)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s