Tafsir Surah Qalam Ayat 1 – 16 (Jangan kompromi dengan musyrik)

Pengenalan: 

Surah ini juga dikenali dengan nama: Surah Nun kerana ia dimulai dengan huruf Nun.

Surah al-Qalam ini adalah Surah Makkiyah. Seperti surah-surah Makkiyah yang lain, bacaan surah ini bunyinya sedap dan berirama. Maka ianya sedap dibaca terutama kalau dibaca dalam solat.

Dan begitulah caranya yang sebenar untuk menikmati keindahan Qur’an iaitu dibaca dalam solat. Oleh itu, Qur’an ini bukan sahaja untuk dibaca setakat difahami sahaja tapi kena didengari dan menjadi makanan kepada roh kita. Kalau kita belajar menjiwai dan mengambil kehebatan Qur’an dari segi bacaan ini juga, maka kita tidak perlukan hiburan lagu dan sebagainya lagi kerana kita sudah ada Qur’an sebagai penghibur kita. 

Ia antara surah-surah yang awal turun di Mekah. Tapi dari bahasa dan topik yang dibincangkan, ia diturunkan selepas penentangan kepada dakwah Nabi Muhammad menjadi kuat. Para peringkat awal, musyrikin Mekah tidak tahu nak buat apa dengan Nabi, ada yang tengok sahaja. Tapi lama kelamaan, mereka mula menentang dan penentangan menjadi semakin kuat dan kuat.

Surah ini mengajar bahawa tidak boleh ada tolak ansur dalam hal Akidah. Ini amat penting untuk difahami kerana dosa akidah tidak ada ampun. 

Ada tiga tema penting dalam surah ini:

1. Jawapan kepada penentangan musuh Islam
2. Nasihat kepada musyrikin Mekah
3. Nasihat dan pujukan kepada Nabi Muhammad supaya bersabar dalam dakwah

Di awal surah ini nanti akan disebut bahawa Nabi Muhammad bukan gila. Ini adalah kerana ada tuduhan dari para penentang yang baginda adalah orang gila. Allah kemudian berhujah yang Qur’an ini hebat, takkan datang dari orang gila pula?

Kemudian disentuh akhlak Nabi Muhammad yang mulia. Sifat dan akhlak baginda telah lama dikenali oleh semua orang. Dan orang pun tahu akhlak para penentang baginda. Jadi bezakanlah antara keduanya, siapa yang kamu lebih percaya?

Kemudian Allah beri perumpamaan kisah para lelaki yang berkongsi satu kebun yang subur. Mereka telah diberikan rahmat dari Allah tapi mereka tidak taat. Mereka tidak mahu menggunakan rahmat yang Allah berikan itu untuk bersedekah. Mereka jadi kedekut. Maka Allah beri peringatan kepada mereka dengan memusnahkan tanaman kebun mereka itu. Barulah mereka menyesal.

Maka Allah hendak menegur penduduk Mekah. Mereka telah diberikan dengan seorang Rasul dari kalangan mereka, dan kalau mereka tidak menghargai nikmat itu, maka mereka yang akan rugi.

Kemudian Allah menegur Musyrikin Mekah dengan bawa hujah satu persatu. Banyak sekali teguran yang diberikan kepada mereka kerana mereka ada salah faham yang banyak. Mereka sangka mereka hidup dalam kesenangan, maka mereka sangka mereka akan selamat.

Akhir sekali Allah tutup surah ini dengan menasihat Nabi Muhammad supaya bersabar dalam dakwah dan jangan jadi seperti Nabi Yunus yang tidak sabar dengan kaum baginda.


 

Ayat 1:

ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qalam: The Pen.

Nūn.¹ By the pen and what they inscribe,

  • See footnote to 2:1

(MELAYU)

Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis,

 

ن

Nun

Surah ini dimulai dengan huruf muqattaah dan ini adalah surah terakhir yang ada huruf muqattaah. 

Seperti yang kita telah jelaskan dalam surah-surah yang lain sebelum ini, kita tidak tahu maksud huruf ini kerana Allah dan RasulNya tidak pernah menjelaskan maksudnya kepada kita.

Tapi kita dapat merasakan kehebatan surah-surah yang dimulai dengan huruf-huruf muqattaah ini kerana ia amat menarik perhatian.

Menurut suatu pendapat, nun adalah nama seekor ikan yang amat besar berada di atas lautan air yang sangat luas, dialah yang menyangga tujuh lapis bumi, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Ja’far ibnu Jarir yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Yahya, telah menceritakan kepada kami Sufyan As-Sauri, telah menceritakan kepada kami Sulaiman alias Al-A’masy, dari Abu Zabyan, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa yang mula-mula diciptakan oleh Allah adalah Al-Qalam. Allah berfirman, “Tulislah!” Qalam bertanya, “Apakah yang harus aku tulis?” Allah Swt. berfirman, “Tulislah takdir.” Maka Qalam mencatat semua yang akan terjadi sejak hari itu sampai hari kiamat..Kemudian Allah menciptakan nun dan menaikkan wap air; maka terciptalah darinya langit, dan terhamparlah bumi di atas nun. Lalu nun bergetar, maka bumi pun terhampar dengan luasnya, lalu dikukuhkan dengan gunung-gunung. Sesungguhnya nun itu benar-benar merasa bangga terhadap bumi.

Hadis lain diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Abu Abdullah maula Bani Umayyah, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah, bahwa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda:

“إِنَّ أَوَّلَ شَيْءٍ خَلَقَهُ اللَّهُ الْقَلَمُ، ثُمَّ خَلَقَ “النُّونَ” وَهِيَ: الدَّوَاةُ. ثُمَّ قَالَ لَهُ: اكْتُبْ. قَالَ وَمَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبْ مَا يَكُونُ -أَوْ: مَا هُوَ كَائِنٌ-مِنْ عَمَلٍ أَوْ رِزْقٍ أَوْ أَثَرٍ أَوْ أَجَلٍ. فَكَتَبَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ} ثُمَّ خَتَمَ عَلَى الْقَلَمِ فَلَمْ يَتَكَلَّمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ خَلَقَ الْعَقْلَ وَقَالَ: وَعِزَّتِي لَأُكَمِّلَنَّكَ فِيمَنْ أَحْبَبْتُ، وَلَأَنْقُصَنَّكَ مِمَّنْ أَبْغَضْتُ”

Sesungguhnya sesuatu yang mula-mula diciptakan oleh Allah adalah al-qalam, kemudian Allah menciptakan nun yaitu tinta, lalu Allah berfirman kepada al-qalam, “Tulislah!” Al-qalam bertanya, “Apa yang harus aku tulis?” Allah berfirman, “Tulislah segala sesuatu yang akan terjadi, atau segala sesuatu yang akan ada, dari amal perbuatan, atau rezeki atau jejak atau ajal.” Maka al-qalam menulis semuanya itu sampai hari kiamat. Itulah yang dimaksud oleh firman Allah Swt., “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis, (Al-Qalam: 1).” Kemudian al-qalam dikunci, maka ia tidak berbicara sampai hari kiamat. Kemudian Allah menciptakan akal, lalu Allah berfirman, “Demi keagungan-Ku, sungguh Aku benar-benar akan menyempurnakanmu terhadap orang yang Aku sukai, dan sungguh Aku benar-benar akan mengurangimu terhadap orang yang Aku murkai.”

 

وَالقَلَمِ

demi kalam

Ini adalah Kalimah Qasam (sumpah). Allah bersumpah dengan qalam (pen). 

Makna lahiriah menunjukkan jenis qalam (pena) yang dipakai untuk menulis, semakna dengan pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-‘Alaq: 3-5)

Ini merupakan sumpah dari Allah Swt. dengan menyebut qalam, untuk mengingatkan makhluk-Nya akan nikmat yang telah Dia berikan kepada mereka, yaitu Dia telah mengajarkan kepada mereka menulis yang dengan melaluinya ilmu pengetahuan dapat diraih. Kerana itulah maka disebutkan dalam firman berikutnya:

 

وَما يَسطُرونَ

dan apa yang mereka tulis,

Ini adalah qasam kedua.

Siapa yang tulis? Siapakah ‘mereka’ dalam ayat ini? Tidak disebut sebelum, maknanya Allah sengaja biarkan. Jadi kerana itu ada beberapa pendapat tentang siapakah mereka itu. 

As-Saddi mengatakan, yang dimaksud dengan ‘mereka’ adalah para malaikat dan segala sesuatu yang mereka catat tentang amal perbuatan semua hamba.

Ulama lainnya mengatakan bahawa makna yang dimaksud dengan al-qalam dalam ayat ini ialah pena yang diperintahkan oleh Allah untuk mencatat takdir, yakni ketika Allah memerintahkan kepadanya mencatat semua takdir yang telah Dia tetapkan atas semua makhluk-Nya, yang hal ini terjadi sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jarak masa lima puluh ribu tahun.

Atau ia bermaksud para malaikat yang menyalin Qur’an dari Lauh Mahfuz.

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan dari Mujahid sehubungan dengan makna firman-Nya, “Al-Qalam, ” bahawa makna yang dimaksud ialah pena yang digunakan untuk menulis zikir (peringatan).

Atau ia merujuk kepada para penulis Bani Israil yang salin kitab-kitab rujukan mereka. 

Juga sekarang pada zaman sekarang pun masih lagi banyak penulisan dilakukan. Maknanya penulisan sentiasa berterusan sepanjang zaman menggunakan pen dan alat-alat lain. 


 

Ayat 2:

ما أَنتَ بِنِعمَةِ رَبِّكَ بِمَجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are not, [O Muḥammad], by the favor of your Lord, a madman.

(MELAYU)

berkat nikmat Tuhanmu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila.

 

Salah satu tuduhan yang dilemparkan oleh para penentang Nabi Muhammad adalah baginda adalah orang gila. Bila ramai manusia kata Nabi gila, maka Allah beri tasliah (pujukan) kepada baginda. Allah menekankan bahawa baginda bukanlah seorang yang gila.

Hujah mereka yang mengatakan Nabi Muhammad itu gila pun tidak patut: mereka sudah lama kenal dengan baginda kerana membesar bersama dengannya. Sebelum baginda jadi Nabi, mereka pun sedar dan terima yang Muhammad itu adalah insan terbaik dan mereka gelar al-amin (yang dipercayai). Cuma bila baginda ajar wahyu barulah mereka kata macam-macam terhadap baginda.

Baginda juga kena percaya dengan apa yang disampaikan kepada baginda. Baginda juga sebenarnya ada rasa sangsi pada asalnya dengan wahyu yang disampaikan kepada baginda. Maka Allah tenangkan hati baginda dan meyakinkan baginda bahawa benarlah bahawa apa yang diberikan kepada baginda itu benar-benar wahyu dari Allah.

Ini amat penting kerana baginda kena percaya dahulu sebelum bagi orang beriman. Kalau nak dakwah sesuatu perkara kepada orang lain, pendakwah itu mestilah kena percaya dulu dengan apa yang dia akan sampaikan. Kalau tidak, dia akan dakwah separuh hati sahaja. 

Allah tegaskan yang Nabi Muhammad tidak gila apabila baginda kata baginda terima wahyu Qur’an ini. Kerana orang gila tidak akan dapat Qur’an yang mulia ini. 

Apabila ada qasam dalam ayat pertama, maka ayat kedua ini adalah Jawabul Qasam. Apa yang manusia tulis itu sebagai dalil bahawa Nabi Muhammad bukan gila. Iaitu penulisan Qur’an. 

Ilmu Qur’an ini sentiasa ditulis dan dikaji zaman berzaman. Manusia tak habis kaji lagi kehebatan Qur’an ini. Dan ini menjadi bukti yang apa yang Nabi bawa itu adalah benar zaman berzaman. Kerana kalau ianya hanya tulisan manusia, ianya tidak dikaji sebegini hebat. 

Allah gunakan Qur’an ini sebagai penolakan kepada tuduhan mereka yang kata Nabi gila. Mereka pun boleh nampak hebatnya Qur’an ini dan tidak mungkin ia ditulis oleh manusia.


 

Ayat 3:

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for you is a reward uninterrupted.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

 

Allah memberitahu yang Nabi Muhammad akan dapat pahala tidak berhenti. Biarlah para penentang itu nak kata apa pun: mereka akan rugi sedangkan engkau akan dapat kelebihan yang tidak berhenti.

Maknanya Nabi Muhammad mendapat maqam yang amat tinggi. Apa sahaja amalan ibadat yang baginda ajarkan, sentiasa sahaja akan mengalir pahala kepada baginda. Ada saham tidak berhenti lagi selama 1,400 dulu sampai kiamat. Pahala sentiasa sahaja mengalir kepada baginda. 

Kedudukan baginda bertambah tinggi dan tinggi dari masa ke semasa. Maka kalau ada yang nak ‘sedekah’ atau ‘hadiah’ pahala baca Fatihah kod baginda seperti yang diamalkan oleh golongan jahil sekarang, memang tak patut langsung. Kerana kita baca Fatihah sahaja Nabi akan dapat pahala kerana bagindalah yang ajar Fatihah itu kod umat. 

Maka amalan sedekah Fatihah itu tidak ada dan ia adalah bidaah munkarah. Tujuan asalnya adalah nak bertawassul dengan baginda dan ‘upah’ yang hendak diberikan kepada baginda adalah Fatihah itulah.

Maka hentikanlah amalan pelik dan bidaah ini. Jangan dengar ajaran dari ustaz-ustaz yang ajar amalan bidaah sebegini. Kalau ditanya apakah dalil amalan tmmg tidak ada. Kalau ditanya kepada mereka, maka akan dengarlah jawapan berbelit-belit dari mereka.


 

Ayat 4:

وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, you are of a great moral character.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.

 

Allah memuji Nabi Muhammad kerana baginda mempunyai akhlak yang baik. Sebelum baginda jadi Nabi lagi pun baginda sudah ada akhlak yang mulia. Baginda tidak gila malah akhlak baginda memang hebat. 

Akhlak adalah cara kita berurusan dengan makhluk. Oleh kerana akhlak baginda yang mulialah yang baginda layak dapat wahyu. 

Allah sebut tentang akhlak, tapi malangnya ramai kita Muslim lupa tentang akhlak. Akhlak tidak diterapkan dalam segenap hal. Sampaikan orang kafir pun boleh tahu yang Muslim itu tidak bermoral. Ini amat memalukan.

Kerana akhlak ini adalah perkara yang semua orang tahu, termasuk kalau orang bukan Islam pun tahu tentang moral yang baik. Maka amat memalukan sekali apabila orang Islam tidak ada akhlak yang baik. Kita boleh lihat bagaimana orang kitalah yang tidak jaga kebersihan, tipu orang sana sini, tidak beratur semasa naik bas dan sebagainya. Itu adalah tanda akhlak yang tidak baik.

Allah mengatakan kerana Nabi mempunyai akhlak yang hebatlah yang menyebabkan baginda terus dapat berdakwah kepada manusia. Kerana kalau orang lemah, sudah lama berhenti dari dakwah.

Menurut Atiyyah, disebutkan benar-benar berbudi pekerti yang agung. Ma’mar telah meriwayatkan dari Qatadah, bahawa dia pernah bertanya kepada Aisyah r.a. tentang akhlak Rasulullah Saw. Maka Aisyah menjawab:

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ

Akhlak beliau adalah Al-Qur’an.

Yakni sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Nabi Muhammad itu adalah ‘Qur’an bergerak’. Segala yang disebut dalam Qur’an itu dipraktikkan olehnya.

Makna yang dimaksud dari kesemuanya ini menunjukkan bahawa Rasulullah Saw. adalah seorang yang mengamalkan Al-Qur’an; mengamalkan perintahnya dan menjauhi larangannya, yang hal ini telah tertanam dalam diri baginda sebagai watak dan pembawaannya serta sebagai akhlak yang telah terpatri dalam sepak terjang baginda.

Maka apa pun yang diperintahkan oleh Al-Qur’an, baginda pasti mengerjakannya; dan apa pun yang dilarang oleh Al-Qur’an, baginda pasti meninggalkannya. Hal ini di samping watak yang dibekalkan oleh Allah dalam diri baginda berupa akhlak yang besar seperti sifat pemalu, dermawan, berani, pemaaf, penyantun, dan semua akhlak yang terpuji. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, dari Anas yang telah mengatakan:

“Aku menjadi pelayan Rasulullah Saw. selama sepuluh tahun, dan baginda sama sekali belum pernah membentakku dengan kata, “Husy!” Dan belum pernah mengatakan terhadapku tentang sesuatu yang seharusnya tidak kulakukan, “Mengapa engkau melakukannya?” Dan tidak pula terhadap sesuatu yang seharusnya kulakukan, “Mengapa tidak engkau lakukan?” Baginda Saw. adalah seorang yang paling baik akhlaknya, dan aku belum pernah memegang kain sutera, baik yang tebal maupun yang tipis dan tidak pula sesuatu yang lebih lembut dari telapak tangan Rasulullah Saw. Dan aku belum pernah mencium minyak kesturi dan tidak pula wewangian lainnya yang lebih harum daripada bau keringat Rasulullah Saw.

 

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Urwah, dari Aisyah yang telah mengatakan: Rasulullah Saw. sama sekali belum pernah memukulkan tangannya kepada seorang pun dari pelayannya, dan belum pernah memukul seorang pun dari isteri (baginda), dan belum pernah memukulkan tangannya kepada sesuatu pun kecuali bila dalam berjihad di jalan Allah. Dan tidak pernah baginda disuruh memilih di antara dua perkara melainkan memilih yang paling disukai dan paling ringan di antara keduanya terkecuali bila (yang ringan itu) berupa dosa. Maka jika hal itu berupa dosa, maka baginda adalah orang yang paling menjauhinya. Dan baginda tidak pernah melakukan suatu pembalasan yang pernah ditimpakan kepada dirinya, melainkan bila batasan-batasan Allah dilanggar, maka baginda baru melakukan pembalasan dan itu hanyalah kerana Allah Swt.

Begitulah beberapa hadis dari banyak hadis-hadis tentang akhlak baginda yang kita patut ikuti. Kerana baginda pernah bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلان، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي هُرَيرة قَالَ: قَالَ رسولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّمَا بُعِثتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Mansur, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Muhammad, dari Muhammad ibnu Ajlan, dari Al-Qa’qa’ ibnu Hakim, dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang baik. Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini secara munfarid.

Akhlak baginda yang hebat ini juga sebagai hujah yang dakwah baginda itu adalah benar. Kerana orang baik tentulah tidak gila. Tengoklah apakah ajaran yang baginda bawa, adakah ianya ajaran gila? Tentu tidak sama sekali.

Zaman sekarang pun masih ada lagi orang kafir yang tuduh macam-macam tentang baginda. Allah suruh lihatlah sirah Nabi dan lihatlah hadis-hadis tentang sifat baginda. Adakah ia menunjukkan baginda seorang yang gila? Tentu tidak, bukan?


 

Ayat 5:

فَسَتُبصِرُ وَيُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So you will see and they will see

(MELAYU)

Maka kelak kamu akan melihat dan mereka (orang-orang kafir)pun akan melihat,

 

Kebenaran pasti akan diperlihatkan kepada semua orang. Samada di dunia ini ataupun di akhirat kelak.


 

Ayat 6:

بِأَييِكُمُ المَفتونُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which of you is the afflicted [by a devil].

(MELAYU)

siapa di antara kamu yang gila.

 

Kalimah ini lebih kurang dengan majnoon (gila) tapi maknanya orang itu jadi gila kerana sesuatu peristiwa. Kadangkala selepas sesuatu perkara yang besar, orang yang terlibat kena trauma. 

Musyrikin Mekah dan penentang Rasulullah mengatakan baginda gila, tapi nanti mereka akan nampak sendiri siapakah yang gila sebenarnya. Adakah Rasulullah atau mereka sendiri? Ayat ini semakna dengan firman-Nya:

سَيَعْلَمُونَ غَداً مَنِ الْكَذَّابُ الْأَشِرُ
Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya amat pendusta lagi sombong. (Al-Qamar: 26)

 

Ayat 7:

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is most knowing of who has gone astray from His way, and He is most knowing of the [rightly] guided.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya; dan Dialah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبيلِهِ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya; 

Tidak perlu nak kata sesiapa itu sesat kerana Allah tahu siapa yang sesat. Mereka kata Nabi Muhammad sesat, tapi sebenarnya merekalah yang sesat.

 

وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

dan Dialah Yang Paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Allah Maha Mengetahui siapakah yang benar-benar beriman dan berada di atas jalan petunjuk.


 

Ayat 8:

فَلا تُطِعِ المُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do not obey the deniers.

(MELAYU)

Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).

 

Jangan jadi jahil dan berpegang dan ikut orang yang menolak ayat-ayat Allah. Maksudnya mereka yang menolak wahyu Qur’an. Mereka yang menolak wahyu Qur’an berada dalam kesasatan dan kalau sesiapa ikut orang-orang sebegitu, maka mereka yang ikut itu nanti yang akan ikut jadi sesat.


 

Ayat 9: Ini adalah Dakwa Surah ini. Maka kena berikan perhatian. 

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They wish that you would soften [in your position], so they would soften [toward you].

(MELAYU)

Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).

 

Kalimah تُدهِنُ  dari katadasar د ه ن yang bermaksud ‘minyak’. Seperti minyak masak.  Apabila sayur dimasukkan dalam minyak, ia akan menjadi sayur itu lembut. Maka kalimah تُدهِنُ adalah perbuatan untuk untuk melembutkan hati seseorang. Dalam ertikata lain, berkompromi. 

Musyrikin Mekah telah cuba bersikap lunak kepada baginda untuk berbaik dengan baginda. Tujuan mereka melakukannya adalah supaya baginda pun tidak keras menegur amalan salah mereka. Kerana mereka sudah tidak boleh nak melawan baginda, maka salah satu langkah yang mereka cuba lakukan adalah percubaan untuk kompromi dengan baginda. 

Satu lagi maksud تُدهِنُ adalah bercakap dengan lembut dengan seseorang walaupun sebenarnya dalam hati mereka, mereka benci kepadanya. Musyrikin Mekah benci kepada Rasulullah tapi mereka terpaksa bercakap lembut kepada baginda kerana hendak berkompromi dengan baginda. 


 

Ayat 10:

وَلا تُطِع كُلَّ حَلّافٍ مَّهينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not obey every worthless habitual swearer

(MELAYU)

Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina,

 

Kalimah حَلّافٍ dari katadasar ح ل ف yang bermaksud ‘sumpah’. Maka kalimah حَلّافٍ  dalam bentuk mubalaghah yang bermaksud orang itu rajin bersumpah. Mereka berkali-kali bersumpah. Mereka selalu bersumpah dalam kata-kata mereka kerana mereka pun tahu yang orang lain tidak percaya kata-kata mereka. Kerana itu mereka kena bersumpah apabila bercakap.

Allah beritahu jangan ikut mereka yang sebegitu. Itu jenis orang yang tidak boleh dipercayai. 

Ada pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada Walid al Mughirah. Beliau adalah seorang yang terkemuka di Mekah dan kuat menentang Rasulullah. Anaknya bernama Khalid al Walid, panglima perang yang terkenal. 

Mereka yang kuat bersumpah kosong itu selalunya memberikan pendapat yang tidak bernilai. 

Dan kerana itu mereka itu adalah hina, kecil dan lemah sebenarnya. Maka mereka itu tidak patut diikuti dan diberikan perhatian. Mereka mungkin orang yang terkenal tapi sebenarnya akal mereka lemah. Mereka mungkin besar dalam masyarakat tapi pendapat mereka tidak bernilai. 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna al-muhin ialah al-kazib iaitu pendusta.
Menurut Mujahid, ertinya lemah hatinya.
Menurut Al-Hasan, makna ayat ialah setiap orang yang banyak mengucapkan sumpah sombong lagi lemah keyakinannya.

 

Ayat 11:

هَمّازٍ مَّشّاءٍ بِنَميمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] scorner, going about with malicious gossip –

(MELAYU)

yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah,

 

Kalimah هَمّازٍ bermaksud mereka itu selalu menghina, mengumpat dan mencela orang lain. Ianya dalam isim mubalaghah maknanya mereka selalu melakukannya. 

Mereka berjalan ke merata tempat kerana memfitnah orang. Mereka selalu bercakap sesuatu yang tidak baik tentang orang lain. Tujuannya kerana hendak menjatuhkan orang itu.

Kalimah نَميمٍ dari ن م م yang bermaksud fitnah atau namimah. Menceritakan penipuan tentang keburukan orang lain. Ia juga dalam bentuk isim mubalaghah. Mereka suka melagakan manusia dengan menceritakan perkara yang tidak benar. 

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Mujahid, dari Tawus, dari Ibnu Abbas yang mengatakan:

مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ فَقَالَ: “إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنَ الْبَوْلِ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ” الْحَدِيثَ

bahawa Rasulullah Saw. melewati dua buah kuburan, lalu bersabda: Sesungguhnya penghuni kedua kuburan ini benar-benar sedang diazab, dan keduanya diazab bukanlah kerana mengerjakan dosa besar. Salah seorangnya mempunyai kebiasaan tidak pernah bersuci sehabis buang air kecilnya, sedangkan yang lainnya mempunyai kebiasaan berjalan kian kemari menghambur hasutan (mengadu domba).


 

Ayat 12:

مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ مُعتَدٍ أَثيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A preventer of good, transgressing and sinful,

(MELAYU)

yang banyak menghalangi perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa,

 

مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ

yang banyak menghalangi perbuatan baik,

Mereka menghalang manusia dari melakukan kebaikan. Kerana mereka tidak suka buat kebaikan. Dan kalau ada orang di sekeliling mereka buat kebaikan, maka nampaklah mereka berperangai buruk. Maka mereka halang orang lain dari buat kebaikan supaya tidaklah nampak mereka tidak buat kebaikan. Kalau semua tak buat baik, maka tidaklah sikap mereka orang nampak.

Paling teruk sekali, mereka menghalang manusia dari masuk agama Islam dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

 

مُعتَدٍ أَثيمٍ

yang melampaui batas lagi banyak dosa,

Kalimah أَثيمٍ adalah isim sifah. Maknanya mereka itu selalu sangat sentiasa dalam melakukan dosa. Dosa mereka itu amat buruk dan melampau sangat.

Ia melampau sangat kerana mereka dah buat onar dan kesan perbuatan dia telah merebak ke merata tempat. Sampaikan bila dia tidur pun keburukan dia berpanjangan. Dia dah burukkan orang dan perkara itu berjalan kerana orang lain pula yang akan menyampaikan fitnahnya itu. 


 

Ayat 13:

عُتُلٍّ بَعدَ ذٰلِكَ زَنيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Cruel, moreover, and an illegitimate pretender.¹

  • i.e., claiming a particular lineage falsely. The description given in these verses is of al-Waleed bin al-Mugheerah (see also 74:1125) or possibly, as asserted by Ibn Katheer, al-Akhnas bin Shurayq.

(MELAYU)

yang kaku kasar, selain dari itu, yang terkenal kejahatannya,

 

Mereka itu jenis yang kasar dan kita pun malas nak berkawan dan bercakap dengan mereka. Perbuatan mereka itu sentiasa menyakitkan hati. Mereka terkenal sebagai orang jahat. 

Kalimah عُتُلٍّ juga digunakan untuk menyebut tentang orang yang tamak dalam makan dan berperangai buruk.

Juga digunakan apabila warden penjara yang tarik banduan dengan kasar bawa ke jel. Maka ia digunakan untuk orang yang tidak tahu nak buat baik dengan orang. Tak kisah apa orang kata terhadap keburukan mereka. Maknanya teruk sangat kerana orang biasa malu kalau orang kata buruk tentang mereka. 

Kalimah زَنيمٍ asalnya digunakan untuk unta yang telinganya telah dibelah sebagai tanda yang unta itu akan dikorbankan di Kaabah. Maka ia asalnya adalah kalimah pemuliaan kepada unta itu. Tetapi apabila digunakan dalam ayat ini, ia hendak perli tentang orang yang sangka mereka mulia sampaikan tidak boleh ditegur. 

Abu Ishaq alias Sa’id ibnu Jubair telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa zanim adalah orang yang terkenal dengan kejahatannya.

Mujahid mengatakan bahawa zanim adalah orang yang dikenal dengan ciri khas ini, sebagaimana yang dikenal pada kambing.

Abu Razin mengatakan bahawa zanim adalah alamat kekafiran.

Ikrimah mengatakan, zanim ialah orang yang terkenal tercela sebagaimana seekor kambing terkenal dengan tanda khususnya.

Pendapat mengenai makna zanim ini cukup banyak, tetapi pada garis besarnya kembali kepada pendapat yang zanim adalah seorang yang terkenal dengan kejahatannya di antara orang ramai. Semua orang kenal perangai buruk dia.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْحَمِيدِ، عَنْ شَهْر بْنِ حَوْشب، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ غَنْم، قَالَ: سُئل رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ العُتلِّ الزَّنِيمِ، فَقَالَ: “هُوَ الشَّدِيدُ الخَلْق الْمُصَحَّحُ، الْأَكُولُ الشَّرُوبُ، الْوَاجِدُ لِلطَّعَامِ وَالشَّرَابِ، الظَّلُومُ لِلنَّاسِ، رَحِيبُ الْجَوْفِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid, dari Syahr ibnu Hausyab, dari Abdur Rahman ibnu Ganam yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah ditanya tentang makna al-utuluz zanim. Maka beliau bersabda: Orang yang kaku perangainya, kasar, banyak makan dan minumnya, lagi rakus dalam makan dan minum, dan banyak berbuat aniaya terhadap orang lain, serta berperut besar.

 

Ayat 14: Kenapa mereka sangka mereka mulia dan hebat?

أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because he is a possessor of wealth and children,

(MELAYU)

kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak.

 

Mereka berlagak sebab mereka kaya dengan harta dan banyak anak. ‘Anak’ itu juga boleh menjadi isyarat bagi ‘pengikut’. Maknanya mereka ada kehebatan dunia. Mereka berbangga dengan apa yang mereka ada dan mereka rasa mereka kuat.

Begitulah selalunya orang kaya yang menghalang Nabi Muhammad. Selalunya mana-mana zaman pun, penentang kebenaran adalah orang yang kaya dan banyak pengikut mereka. 


 

Ayat 15:

إِذا تُتلىٰ عَلَيهِ ءآيٰتُنا قالَ أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When Our verses are recited to him, he says, “Legends of the former peoples.”

(MELAYU)

Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata: “(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala”.

 

Mereka tak percaya kepada kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Wahyu pun mereka tidak mahu terima. Mereka tolak dengan menuduh Qur’an itu adalah dongeng kisah-kisah orang dahulukala sahaja. Macam kisah dongeng dalam masyarakat kita: selalu disebut-sebut orang tapi nak percaya susah kerana entah benar, entahkan tidak.  


 

Ayat 16:

سَنَسِمُهُ عَلَى الخُرطومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will brand him upon the snout.¹

  • Literally, “trunk,” meaning the nose of an elephant or pig.

(MELAYU)

Kelak akan Kami beri tanda dia di belalai(nya).

 

Kalimah الخُرطومِ digunakan untuk orang yang ‘panjang hidung’. Ini selalu digunakan untuk hidung gajah atau babi yang hidungnya panjang kalau dibandingkan dengan binatang-binatang lain.

Dalam bahasa kita, kita kata orang yang ‘hidung tinggi’. Mereka itu jenis orang yang sombong atas dunia. الخُرطومِ adalah orang paling sombong dalam sesuatu kampung itu.

Allah kata Dia akan beri tanda pada hidung mereka. Iaitu tanda chop sebagai ahli neraka. Bukan sahaja di neraka tapi di dunia lagi mereka akan dihinakan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Jun 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s