Tafsir Surah al-Kawthar: Pengenalan

Pengenalan: 

Musyrikin Mekah berdoa supaya Nabi Muhammad SAW tidak dapat anak lelaki kerana mereka sangat benci kepada baginda. Mereka juga takut jika baginda ada keturunan, mereka akan susah pula untuk berhadapan dengan anaknya.

Oleh itu, mereka tidak mahu baginda ada keturunan langsung. Ini adalah kerana pada mereka, baginda seorang sudah susah untuk dilayan, lagikan pula kalau ada lagi seorang. Maka, kerana keinginan mereka itu, Allah turunkan surah ini untuk memberitahu orang yang benci kepada baginda. Allah memberitahu dalam surah ini bahawa mereka itulah yang putus keturunan sebenarnya, bukan Nabi Muhammad SAW.

Kerana itu, mereka yang menentang Rasulullah SAW tidak ada keturunan. Jikalau ada sekali pun, keturunan mereka tidak akan mengaku juga. Contohnya, anak cucu Abu Lahab tidak akan mengaku juga yang mereka itu keturunan Abu Lahab atau Abu Jahal kerana sangat malu.

Begitulah kesan kalau orang yang benci Nabi Muhammad SAW, benci sunnah Nabi, mereka memang tidak selamat keturunan mereka. Maka, kita hendaklah berhati-hati dengan perkara ini. Jangan kita termasuk orang yang menghina dan mengutuk sunnah Nabi Muhammad SAW.

Surah-surah yang di akhir juzuk ini adalah tentang Nabi Muhammad SAW. Penting untuk kita mengkajinya supaya kita tahu apakah yang baginda lalui dan apa yang baginda lakukan. Kerana kita hendaklah terus mengambil tugas baginda untuk menyampaikan agama ini kepada manusia. Maka, kita mesti mengambil contoh daripada baginda.

Beginilah cara untuk tunjuk cinta kepada baginda, bukannya menyanyi selawat di majlis-majlis tertentu, mereka-reka selawat yang tidak diajar oleh baginda, menyanyi qasidah di stadium dan dewan besar, sambut mawlid dan sebagainya. Kita semua sayang baginda dan mahu contohi baginda. Tapi, bagaimana cara kita melakukannya yang berbeza – ada yang ikut cara sunnah dan ada yang ikut cara bidaah.

Penting untuk kita tahu perjalanan dakwah Rasulullah SAW kerana ianya menjadi contoh kepada kita. Kita yang dalam menjalankan kerja dakwah ini juga akan melaluinya. Tapi selalunya tidaklah seteruk apa yang baginda lalui. Maka, kita juga tentulah berasa tenang sedikit dan terubat gundah gulana itu; terdetiklah dalam hati kita: “apa yang aku lalui ini tidaklah seteruk apa yang baginda lalui…”

Surah al-Kawthar ini diturunkan di Mekah dan ia adalah surah yang menceritakan tentang nikmat besar yang Allah berikan kepada baginda Rasululullah SAW. Juga betapa sayangnya Allah kepada baginda. Disebut tentang pemberian kepada baginda dalam hal dunia dan di akhirat kelak.

Ayat 1 surah ini menyebut tentang nikmat yang diberikan kepada baginda; Ayat 2 pula memberitahu yang baginda mestilah bersyukur di atas nikmat-nikmat itu; Ayat 3 pula memberitahu bahawa mereka yang memusuhi Nabi akan disumpah laknat. Mereka tidak akan mendapat nikmat dunia dan akhirat (berlawanan dengan apa yang Nabi dapat). Itulah ringkasan surah ini yang kita akan kupas selepas ini satu persatu.

 

Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya: 

Dalam Surah al-Ma’un, Allah telah memberitahu 4 sifat buruk orang kafir (musyrikin atau munafik). Mari kita lihat satu persatu dan kaitannya dengan Surah al-Kawthar ini:

1- Bukhl – bakhil/kedekut dan menolak anak yatim jauh daripada mereka dan tidak menggalakkan memberi makan kepada mereka yang susah. Mereka tidak menolong dan menggalakkan orang lain, kerana mereka takut orang akan tanya semula kepada mereka: kenapa mereka sendiri tidak menolong orang susah?

2 – Lalai tentang solat. Kerana mereka tidak mementingkan solat, mereka tidak kisah tentang solat. Mereka ambil acuh tidak acuh sahaja dan mereka  juga tidak kisah kalau mereka tertinggal solat. Mereka juga akan solat di hujung waktu sahaja kerana ianya tidak penting kepada mereka, jadi mereka melakukan solat seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

3 – Menunjuk-nunjuk di dalam solat.  Kalau mereka solat sekalipun, itu adalah kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain sahaja. Maksudnya, mereka tidak ikhlas di dalam solat mereka. Mereka mahu orang nampak mereka seperti seorang yang warak.

4 – Mereka tidak mahu membantu orang lain, walaupun dengan bantuan yang kecil dan tidak menyusahkan mereka (al-Ma’un). Begitu teruk sekali mereka itu. Sedangkan perkara kecil itu bukan menyusahkan apatah lagi merugikan mereka.

Itulah 4 perkara utama yang disebut dalam Surah al-Ma’un. Bagaimana kesinambungan tentang 4 perkara ini dalam Surah al-Kawthar pula? Kita akan lihat bagaimana 4 perkara ini ada timbal balik dalam Surah al-Kawthar ini:

1 – Bukhl disebut dalam Surah al-Ma’un. Dan dalam Surah al-Kawthar ini disebut tentang banyak nikmat yang diberikan kepada kita. Jadi, apabila diberikan nikmat, maka hendaklah juga memberi kepada orang lain (berlawanan dengan bukhl).

Ini mengingatkan kita supaya jangan jadi bakhil. Sangat banyak perkara yang Allah berikan kepada kita dari pelbagai bentuk rezeki, maka kita hendaklah juga membantu orang lain. Ini seperti yang diingatkan kepada Quraish dalam Surah Quraish di mana Allah mengingatkan nikmat yang banyak diberikan kepada mereka.

2 – Dalam Surah al-Ma’un telah disebut bagaimana mereka tidak menjaga solat mereka. Juga dalam Surah Al-Kawthar ini akan disebut tentang arahan solat dari Allah. Allah menyuruh Rasulullah SAW dan orang Islam untuk menjaga solat serta jangan main-main dengan solat.

3 – Dalam Surah al-Ma’un disebut bagaimana mereka menunjukkan solat mereka (riak). Dalam Surah al-Kawthar ditekankan yang kita solat فَصَلِّ لِرَبِّكَ (solat kerana Allah). Apabila kita solat kerana Allah, maka kita solat dalam ikhlas dan bukannya menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

4 – Surah al-Ma’un menyebut tentang orang kafir yang tidak mahu membantu, walaupun dalam perkara yang kecil. Dalam Surah al-Kawthar ini disebut tentang نحَر (korban) iaitu sembelihan korban.

Dalam berkorban, memerlukan pengeluaran wang. Juga selepas binatang dikorbankan, dagingnya diserahkan kepada orang yang memerlukannya. Dengan mengeluarkan wang dan memberi daging sembelihan kepada orang lain, memerlukan kita untuk membunuh sifat bakhil, tamak dan kedekut serta mengajar kita untuk memberi walaupun dalam kadar yang sedikit.

Jadi, kita sudah nampak bagaimana ada tautan antara dua surah yang berturutan ini. Dengan mengetahuinya, menambahkan rasa kagum kita dengan susunan surah-surah dalam Al-Qur’an. Susunan ini bukanlah susunan yang biasa atau tidak sengaja tapi memang disusun begitu oleh Allah.

Akhir sekali, kita telah belajar sifat mereka yang tidak menerima dakwah Nabi Muhammad SAW dan memusuhi baginda – disebut sifat-sifat mereka dalam Surah al-Ma’un. Juga dalam Surah al-Kawthar ini disebut pula nasib mereka – mereka akan menjadi الأَبتَرُ yang akan diterangkan nanti dalam penerangan ayat satu persatu.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung dengan Ayat 1.

Kemaskini: 28 September 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s