Tafsir Surah Kawthar Ayat 2 – 3 (Balasan kepada pembenci Nabi)

Latarbelakang:

Kita telah bincangkan sebelum ini bagaimana Rasulullah mendapat layanan yang amat buruk dari Musyrikin Mekah. Sampaikan apabila anak lelaki baginda meninggal dunia semasa kecil, mereka telah bergembira dan meraikan pula kejadian itu sedangkan itu adalah satu kejadian yang amat menyedihkan bagi baginda, bagi sesiapa sahaja pun.

Bayangkan kalau anak kita mati, ada orang suka pula, apakah perasaan kita waktu itu? Maka untuk memujuk hati baginda, Allah mulakan ayat pertama surah ini dengan berita gembira. Dan kita telah senaraikan banyak sekali nikmat yang diberikan kepada baginda.

Oleh itu, surah ini mengingatkan kepada kita sebagai seorang pendakwah agama tauhid ini, walau apa sahaja kesusahan yang kita alami, mungkin kita ditohmah dan dihina oleh masyarakat yang tidak menerima dakwah kita, atau keadaan terlalu menyesakkan kita dalam menjalankan kerja dakwah, hendaklah kita ingat kepada nikmat yang Allah telah berikan kita.

Dan fokuslah fikiran kita pada janji-janji Allah untuk memberi kebaikan yang banyak kepada mereka yang mengembangkan agamaNya. Kerana apabila kita fokus kepada benda yang baik, maka benda yang buruk itu akan kuranglah kesannya.

Kata-kata Musyrikin Mekah apabila anak baginda meninggal dunia itu amatlah menyayat hati baginda. Baginda memang sudah biasa diberi gelaran yang tidak patut – baginda dituduh sebagai orang gila, ahli sihir, penipu dan sebagainya. Tapi kali ini, apabila baginda kehilangan anak lelaki baginda, dan mereka gembira dengan berita itu, ini lebih teruk dari itu.

Asbabun Nuzul ayat ini ada beberapa pendapat dan ini adalah salah satu darinya: Rasulullah ada dua anak lelaki dari isterinya Khadijah – seorang bernama Qasim dan dia telah lama meninggal. Dan seorang lagi bernama Abdullah dan anak lelakinya yang ini juga meninggal dunia. Ada juga yang mengatakan anak lelaki yang dimaksudkan adalah anak baginda yang bukan dari Khadijah, dan anak itu bernama Ibrahim. Allahu a’lam.

Orang pertama yang dengar tentang kematian Abdullah adalah Abu Lahab, kerana beliau duduk bersebelahan dengan rumah Rasulullah dan beliau juga adalah bapa saudara baginda. Beliau amat menentang usaha dakwah Nabi dan selalu mengatakan perkara yang buruk terhadap Nabi. Apabila Abu Lahab tahu tentang kematian anak Nabi itu, dia telah keluar dari rumahnya sambil menari dan meraikan kematian cucu saudaranya itu.

Ini amat teruk sekali kerana kalau musuh tahu lawan dia dapat berita kematian macam itu, selalunya lawan pun tidak ambil peluang itu untuk menyerang. Tambahan pula bayi yang meninggal itu adalah cucu saudaranya sendiri! Tapi Abu Lahab ini memang teruk sangat. Dia kata: “Batara Muhammadun” – “Muhammad telah terputus” – maksudnya keturunan Muhammad telah terputus. Dia suka kerana baginda tidak ada anak lelaki kerana anak lelakilah yang meneruskan nama keluarga, bukan?

Dan ini adalah amatlah menyedihkan bagi baginda untuk mendengar kata-kata itu. Allah tahu perasaan baginda dan kerana itu, apabila Allah menurunkan Surah Kawthar ini, Allah tidak sebut pun tentang kisah itu kerana Allah tahu baginda sensitif dengan perkara itu. Allah cuma terus beri berita gembira untuk memujuk baginda.

Ini menunjukkan tingginya sayang Allah kepada baginda. Akhir sekali, Allah cuma berfirman: إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ (Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.) Mereka yang mengatakan Nabi Muhammad terputus keturunan itulah yang sebenarnya terputus.

Oleh itu, untuk menangani perasaan sedih, pertama kita kena kenangkan balik kebaikan yang kita dapat dan yang kita akan dapat. Dan kemudian, melakukan solat kepada Allah. Oleh itu, di pertengahan ayat ini ada disebut tentang solat. Sebelumnya tentang berita baik dan selepasnya tentang berita sedih (iaitu musuh mengatakan baginda abtar). Maka selepas dapat nikmat dan untuk mengucapkan syukur, hendaklah mengerjakan solat; dan kalau dapat berita buruk atau dalam kesedihan, jangan lupa untuk mendirikan solat – mengadulah kepada Allah.

Jadi, untuk syukur kepada Allah atas segala nikmat – solat; untuk hilangkan kesedihan atas musibah yang menimpa, juga solat… Subhanallah, solatlah yang utama.


 

Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi perintah untuk mengamalkan tauhid.

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So pray to your Lord and sacrifice [to Him alone].

(MALAY)

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.

 

Huruf ف dalam فَصَلِّ ini adalah jenis fa fasihah. Setelah apa yang disebut dalam ayat sebelum ini, setelah diberikan dengan segala nikmat, apa yang perlu dilakukan? Maka Allah memberitahu kepada baginda – فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.

Baginda diingatkan untuk mendirikan solat dan solat itu لِرَبِّكَ (untuk Tuhanmu). Bandingkan dengan solat Quraish Mekah yang hanya hendak menunjuk-nunjuk sahaja solat mereka seperti disebut dalam Surah al-Ma’un. Maka ayat ini ada keterbalikan dari apa yang mereka lakukan. Kena solat kerana Allah – kena ikhlas, bukan kerana hendak menunjuk kepada orang lain.

Selepas kita mendapat nikmat, tentulah sepatutnya kita bersyukur kepada Allah atas nikmat yang telah diberikan. Tapi Allah tidak sebut ‘syukur’ selepas diberitahu tentang nikmat yang diberikan kepada Rasulullah. Sebaliknya Allah sebut ‘solat’.

Ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk menunjukkan syukur kepada Allah adalah dengan mendirikan solat. Kerana itulah, Rasulullah selalu mendirikan solat sunat dua rakaat apabila sesuatu yang baik berlaku kepada umat Islam.

Terdapat perbezaan pendapat tentang solat apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini:

    1. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah solat fardhu.
    2. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah Solat Eid kerana selepas itu disebut tentang ibadat korban yang dilakukan pada Eidul Adha.
    3. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat secara umum. Kerjakanlah solat sama ada yang fardhu atau sunat. Ini adalah pendapat yang jumhur.
    4. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat di Muzdalifah pada ibadat haji.

 

Selepas disebut tentang solat, disebut pula وَانحَر (dan berkorbanlah). Pendapat jumhur mengatakan yang dimaksudkan adalah korban penyembelihan pada ‘Eid al Adha. Ada juga yang mengatakan ianya bermaksud binatang yang diberikan dalam sedekah/zakah.

Musyrikin Mekah juga ada melakukan korban binatang atas nama Allah, tapi mereka ada juga menyembelih binatang untuk berhala-berhala mereka. Maka Allah perbetulkan perbuatan mereka itu dan mengingatkan yang sembelihan mestilah atas nama Allah SWT sahaja.

Dalam Al-Qur’an, ada 4 jenis perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada binatang yang dikorbankan.

    1. Budun بدن – merujuk kepada binatang yang besar dan telah disembelih – darah masih basah lagi. Ini digunakan dalam Hajj:36 وَالبُدنَ جَعَلناها لَكُم مِن شَعائِرِ اللَّهِ (Dan telah Kami jadikan untuk kamu binatang-binatang itu sebahagian dari syi’ar Allah)
    2. Nusuq نسق – merujuk kepada binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ini seperti yang digunakan dalam al-An’am:162 قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.)
    3. Hadi هدي adalah daging binatang yang telah disembelih dan diagih-agihkan berdekatan dengan Baitullah. Ini disebut dalam Maidah:95 يَحكُمُ بِهِ ذَوا عَدلٍ مِنكُم هَديًا (maka dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan buruan yang dibunuhnya,)
    4. Qalaa’id القَلائِدَ pula adalah binatang yang telah ditanda kerana binatang itu akan disembelih sebagai korban dalam ibadat Haji. Ini disebut dalam Maidah:2 يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحِلّوا شَعائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهرَ الحَرامَ وَلَا الهَديَ وَلَا القَلائِدَ (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id)

Jadi itu semua adalah jenis-jenis binatang itu. Dalam keadaan tertentu ia menjadi nama lain – macam kitalah, kalau masa tanam, dinamakan ‘padi’; bila sudah tuai dinamakan ‘beras’; bila sudah dimasak, dinamakan ‘nasi’. Benda yang sama, tapi keadaan yang berlainan.

Tapi, perbuatan menyembelih itu pula ada beberapa jenis:

    1. Dhabaha/Dhibh/Dhabeeha ذبح digunakan apabila menyembelih untuk tujuan agama – bukan untuk tujuan makan. Digunakan dalam agama Islam ataupun tidak (orang musyrik bila sembelih untuk berhala pun pakai kalimah yang sama juga). Sama ada menyembelih binatang atau manusia (apabila Firaun menyembelih anak lelaki Bani Israil يُذَبِّحونَ أَبناءَكُم Baqarah:49 dan apabila Nabi Ibrahim a.s. diperintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail seperti disebut dalam Saffat:102 ا بُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ)
    2. Dhakkah ذكه – (Seperti yang digunakan dalam Maidah:3 إِلّا ما ذَكَّيتُم) – digunakan apabila menyembelih binatang dengan segera. Contohnya terjumpa binatang yang hampir mati  dalam hutan dan kita cepat-cepat sembelih binatang itu, kalau nak makan. Kalau sempat sembelih sebelum binatang itu mati, maka binatang itu halal untuk kita.
    3. Nahr نهر adalah kalimah yang digunakan dalam ayat ini. Maksud literalnya adalah ‘yang di atas dari dada’. Ia digunakan juga untuk mereka yang mereka yang membunuh diri dengan cara menggantung diri mereka atau memotong leher mereka kerana leher itu atas dari dada. Oleh itu, ia bermaksud memotong di bahagian leher seperti yang kita lakukan semasa menyembelih binatang.

Allah menyebut cara ini kerana cara inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad SAW memang mengikuti ajaran Nabi Ibrahim sedangkan Musyrikin Mekah itu mengaku sahaja ikut peninggalan ajaran Nabi Ibrahim, tapi tak ikut pun sebenarnya.

Allah hendak menegur Musyrikin Mekah dan mengingatkan mereka yang mereka itu sebenarnya tidak ikut ajaran Nabi Ibrahim a.s. tapi Rasulullahlah yang sebenarnya menyambung ajaran Nabi Ibrahim itu.


 

Ayat 3: Ayat 3 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi ramalan tentang kegagalan pihak musuh.

إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your enemy is the one cut off.¹

  • From all good in this world and the Hereafter.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.

 

Kalimah إِنَّ diletakkan sebagai penekanan dalam ayat ini dan ianya diletakkan kerana hendak memberi penekanan kepada mereka yang tidak percaya atau ada ragu-ragu. Kerana khitab ayat ini pertama kali diberikan kepada Musyrikin Mekah yang tidak percaya kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. Maka Allah nak beritahu mereka: “janganlah kamu ragu tentang perkara ini.”

Dalam ayat ini, kita boleh lihat yang Allah bercakap dengan Rasulullah SAW. Allah tidak bercakap pun dengan orang kafir itu kerana Allah murka kepada mereka.

Waktu ayat ini diturunkan, kedudukan umat Islam adalah amat lemah. Orang kafir yang lebih ramai dan mereka menggunakan kekerasan untuk menyeksa dan menyusahkan umat Islam yang sedikit bilangannya. Tapi Allah beri semangat dan berita gembira kepada Rasulullah supaya jangan risau, mereka itu pasti akan terputus. Allah nak tenangkan hati Nabi dan para sahabat. Walaupun orang kafir itu nampak kuat waktu itu, tapi mereka akan dikalahkan juga akhirnya.

Kalimah الأَبتَرُ dari katadasar ب ت ر yang bermaksud ‘potong’. Ianya digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk memotong ekor binatang. Juga digunakan untuk musuh yang kalah dalam perang kerana mereka dihinakan seperti binatang yang menjadi hina kerana ekor mereka dipotong.

Dan dalam konteks surah ini kita telah belajar latarbelakang surah ini tentang anak lelaki Rasulullah yang telah meninggal dunia. Kalimah بتر juga digunakan dalam keadaan begitu kerana kalau tidak ada anak lelaki, itu bermakna keturunannya tiada kerana anak lelakilah yang membawa nama keturunan.

Orang Arab malu kalau mereka tidak ada anak lelaki yang akan meneruskan keturunan mereka. Anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan kerana anak perempuan akan berkahwin dan anak perempuan itu hanya bawa nama keluarga suaminya sahaja. Maka mereka akan jadi malu kalau anak lelaki tidak ada seumpama binatang yang dipotong ekornya.

Jadi apabila Nabi Muhammad kematian anak lelakinya, mereka bergembira dengan berkata: بتر محد (Muhammad telah terputus) maksudnya ‘keturunan baginda terputus’.

Dari بتر menjadi الأَبتَرُ yang bermaksud lagi kuat terputus kerana ada ال pada kalimah itu. Dan yang dimaksudkan الأَبتَرُ itu adalah musuh-musuh Nabi Muhammad SAW. Mereka sangka Nabi Muhammad yang terputus, tapi sebenarnya, mereka lagi terputus.

Dan kalimah هُوَ (dia) di dalam ayat ini juga mempunyai kepentingannya. Dengan menyebut هُوَ, ia menidakkan orang lain – maksudnya, dia itulah yang terputus dan ‘bukannya’ Nabi Muhammad seperti yang dia katakan.

Dalam ayat ini ada jumlah muqaddar – iaitu perkataan yang perlu dimasukkan untuk melengkapkan ayat itu. Oleh itu, kalau kita lengkapkan ayat ini, ia berbunyi: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus [bukannya engkau]. Kalimah ‘bukan engkau’ adalah muqaddar. Kerana kalau hanya: ‘orang-orang yang membenci engkau akan terputus’, ia tidak boleh juga bermakna: mereka terputus tapi engkau juga terputus. Dan Allah hendak menidakkan yang Nabi Muhammad terputus, maka Allah tambah kalimah هُوَ dalam ayat ini.

Tapi kenapa Allah tidak terus sahaja letak kalimah لا أنت (bukannya kamu) dalam ayat ini? Ini kerana Allah tidak mahu meletakkan nama Nabi bersama dengan mereka yang terputus itu. Dan Allah tidak mahu bangkitkan lagi kisah tentang kematian anak baginda, kerana Allah hendak menjaga hati Nabi baginda. Kerana kalau Allah bangkitkan, itu telah mengingatkan pula kejadian baginda kehilangan anaknya itu dan itu tentunya akan menyedihkan hati baginda.

Walaupun baginda tidak ada anak lelaki yang lahir dari keturunan baginda, tapi setiap anak orang Islam yang lahir adalah ‘anak’ baginda. Bukankah ayat Al-Qur’an ada mengatakan yang isteri-isteri baginda adalah ‘ibu-ibu’ kita? Apakah maksud yang tersirat?

Maksud tersiratnya adalah, bagindalah bapa kita kepada ummahatul muslimin itu ‘ibu’ kita, maka tentulah suaminya, iaitu Rasulullah adalah ‘bapa’ kita. Kita ini semua adalah ‘keturunan’ baginda. Musyrikin Mekah berbangga dengan anak-anak lelaki mereka, tapi apa yang Nabi Muhammad dapat itu lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat.

Tidak ada yang dapat kelebihan seperti ini. Seorang Muslim itu mungkin dari China, dari Afrika, India atau Arab, tapi mereka semuanya akan mencintai Nabi Muhammad lebih lagi dari mereka mencintai negara mereka sendiri dan bangsa mereka. Kita semua adalah satu ummat yang terkait kerana kita mempunyai Nabi yang sama – Nabi Muhammad SAW. Dan kita semua berbangga untuk mengucap Laa illaaha Illa Allah, Muhammadun Rasool Allah. Keluarga pun tidak ada kasih sayang macam ini, kerana keluarga pun kadang-kadang berkelahi dan berpecah belah juga, bukan?

Mereka yang memusuhi Nabi itulah yang terputus di dunia ini dan bukan sahaja di dunia ini tapi di akhirat juga. Siapakah Abu Lahab itu yang menyakitkan hati Nabi itu? Tidakkah dia tidak disanjung dan kalau orang ingat dia pun, dia diingati bersama dengan laknat dari manusia. Semua umat Islam membenci beliau – dari dulu sampailah ke Hari Kiamat nanti.

Mereka yang menghina dan menyakiti hati Nabi dulu memang layak kena macam itu. Mereka sangka mereka hebat dan akan terkenal sampai bila-bila tapi mereka tidak sedar yang mereka akan diingati dengan cara buruk.

Mereka sangka, bila Nabi Muhammad tiada anak, maka habislah agama yang baginda bawa, tapi tidak, agama Islam ini terus berkembang.

Kalimah شانِئَ bermaksud ‘musuh’. Ia hampir sama dengan العَدُو yang juga bermaksud ‘musuh’. Tapi kenapa Allah gunakan kalimah شانِئَ dalam ayat ini? Dalam bahasa Arab, ada tiga kalimah boleh digunakan untuk menunjukkan permusuhan:

1 – shana’aan شنأ
2 – bughdd بغض
3 – aduw عدو . Ini juga banyak digunakan dalam Al-Qur’an. Oleh itu, tentu ia tidak sama dengan شنأ’, bukan?

Apabila Allah memperkatakan tentang orang kafir yang memusuhi Nabi Muhammad, Allah beritahu yang mereka itu ‘terputus’ – memberikan isyarat kepada kejayaan Nabi ke atas mereka akhirnya. Dan ini telah terbukti nanti dengan Pembukaan Mekah dan ini disebut dalam Surah an-Nasr. Tapi sebelum kejayaan itu, Allah sudah beri isyarat tentang kejayaan Nabi.

Kalimah عدو bermaksud musuh yang mahu mencederakan kita dan mereka sentiasa mencari jalan macam mana nak kalahkan kita. Contohnya, kalau dalam peperangan, pihak lawan kita adalah عدو.

Dan kalau مبغض pula lebih kuat lagi dari عدو. Mereka lebih tinggi lagi kebencian mereka terhadap kita.

Sedangkan kalimah شانِئَ pula adalah orang yang ada sifat بغض dan عدو cuma mereka menyimpan dan menyorok keseluruhan perasaan marah dan benci mereka terhadap kita. Oleh itu, mereka adalah musuh yang paling teruk sekali. Bayangkan, Abu Lahab itu sanggup meraikan kematian anak Nabi Muhammad yang tidak dilakukan pun oleh mereka yang بغض dan عدو.

Mereka seperti itulah yang akan ‘terputus’. Apakah sebenarnya maksud ‘terputus’ itu? Ibn Taymiyyah mengatakan mereka itu terputus dari segala kebaikan langsung. Dalam segala hal. Ini termasuklah dalam hal:

    • harta
    • keluarga
    • kehidupan di dunia dan di akhirat
    • kalau mereka ada apa-apa pun yang boleh dikatakan perkara baik, mereka tidak akan dapat menggunakannya untuk kebaikan.
    • hati mereka terputus dari kebaikan. Maksudnya mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Ini adalah kerana Allah telah meletakkan mereka sebagai musuhNya. Oleh itu mereka tidak akan dapat mengenal Allah dan tidak akan mencintai Rasulullah SAW sampai bila-bila.
    • kalau mereka ada kebaikan dalam diri mereka, ianya tidak akan digunakan untuk memenuhi kehendak Allah.
    • mereka tidak akan mendapat pertolongan, sokongan dan mereka akan terpisah dari sesiapa yang rapat dengan mereka.
    • mereka tidak akan dapat merasa kenikmatan dalam apa-apa perkara pun.

Apa yang ada pada mereka akan hilang sedikit demi sedikit sedangkan apa yang ada pada Nabi akan bertambah kebaikannya. Musyrikin Mekah itu sangka mereka ada banyak nikmat seperti yang disebut dalam Quraish:2 dan Nabi Muhammad tidak ada apa-apa pada pandangan mereka. Tapi Allah hendak menegaskan yang mereka tidak ada apa-apa sebaliknya segala kebaikan akan diberikan kepada Rasulullah. Allah telah menjadikan musuh baginda itu hilang segala kuasa mereka, mereka akan jadi lemah dan akan dimalukan di hadapan semua orang.

Penggunaan format dalam bahasa Arab adalah amat penting kerana membawa maksud yang tersirat. Kita boleh lihat bagaimana kalimah الأَبتَرُ adalah dalam bentuk isim kerana ia membawa maksud mereka akan tetap menjadi orang yang terputus. Sampai bila-bila. Maksudnya mereka akan terus berada dalam keadaan begitu dan mereka tidak akan keluar.

Dan satu lagi, ia bukan merujuk kepada mereka yang membenci dan memusuhi Nabi semasa hayat baginda, tapi kepada mana-mana musuh Nabi Muhammad sepanjang zaman. Sesiapa yang memusuhi Rasulullah SAW pada mana-mana zaman. Tidak kira kalau zaman sekarang atau di masa hadapan, mereka akan terputus juga. Inilah yang kita dapat faham apabila kalimah الأَبتَرُ dalam bentuk isim.

Kalau kalimah يبتر digunakan iaitu dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense), ia membawa maksud mereka akan diputuskan. Tapi apabila ianya dalam bentuk الأَبتَرُ, ia bermaksud mereka telah pun terputus. Apabila mereka membenci baginda sahaja, mereka telah terputus dari kebaikan lagi dari waktu itu, cuma mereka tidak perasan sahaja dan tidak nampak lagi. Tetapi ketahuilah yang ianya telah bermula. Ini macam orang sudah kena barah stage 1 tapi mereka tidak perasan sahaja.

Ibn Taymiyyah ada menceritakan bagaimana tentera Islam berperang dengan tentera Kristian dan mereka telah mengepung golongan Kristian di dalam kubu mereka, tapi tidak dapat masuk. Kadang-kadang mereka telah mengepung sekian lama tapi tidak ada terjadi kerana mereka tidak dapat masuk menyerang. Mereka mungkin sudah mula membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja pertempuran itu kerana sudah lama sangat dan tidak ada harapan nampaknya.

Akan tetapi tiba-tiba golongan Kristian itu telah mula menghina Rasulullah. Apabila orang Kristian itu sudah mula menghina Rasulullah, tentera Islam tahu yang tidak lama lagi golongan Kristian itu akan jatuh kerana apabila mereka mula menghina Nabi Muhammad, Allah akan berikan balasan terus kepada mereka. Jadi tentera Muslim melihat penghinaan golongan musuh itu sebagai berita gembira kerana itu menandakan kejayaan mereka tidak lama lagi.

Dalam Surah Kawthar ini, Allah hanya menyebut ‘musuh’ sahaja, tapi tidak disebut siapakah musuh itu. Ini akan diterangkan dalam surah seterusnya, Surah al-Kaafiroon.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Kaafiroon.

Kemaskini: 29 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Kawthar Ayat 1 (Part 2) (Nikmat kepada Nabi Muhammad)

Ini adalah Bahagian 2 dari Tafsir Ayat 1 Bahagian 1.

Kita telah senaraikan banyak nikmat-nikmat yang ulama tafsir senaraikan sebelum ini dalam bahagian 1. Sekarang ada lagi tambahan dari mufassir yang lain pula:

1. Allah telah menjadikan Nabi Muhammad SAW dengan akhlak yang amat mulia. Ini disebut dalam Qalam:4

وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.

Oleh itu, segala perbuatan Nabi adalah mulia dan dalam akhlak yang terbaik. Jadi kita tidak perlu malu dengan apa yang dilakukan oleh Nabi kita. Ini kita bercakap tentang hujah baginda kahwin banyak dan sebagainya lagi yang dibangkitkan oleh mereka yang benci pada Islam. Semua itu tidak ada masalah kerana apa yang dilakukan oleh baginda adalah yang terbaik. Ini adalah salah satu nikmat dari Allah kepada baginda.

 

2. Allah telah memberikan pangkat Nabuwwah dan Risaalah (pangkat kenabian dan sebagai pembawa Risalah dari Allah) – baginda telah diangkat sebagai pembawa Kitab yang terakhir sehinggalah ke Kiamat kelak. Tidak akan ada lagi Kitab dari Allah selepas Al-Qur’an.

 

3. Baginda dibangkitkan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Allah sebut tentang perkara ini dalam Anbiya:107

وَما أَرسَلناكَ إِلّا رَحمَةً لِلعالَمينَ

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Ramai yang mengutuk agama Islam dengan mengatakan agama Islam adalah agama pembenci dan menggalakkan keganasan. Ini kita tidak terima kerana kita yang faham tentang agama kita sendiri. Kalau tidak faham, kenalah fahami agama sendiri supaya tidak dimomokkan oleh orang lain.

Malangnya ramai yang tidak faham agama sendiri sampaikan apabila dibangkitkan isu-isu tertentu, ramai yang jadi gelabah tak tahu nak jawab apa. Sebagai contoh, satu perkara yang dibangkitkan oleh musuh Islam adalah tentang ayat-ayat dalam Surah Tawbah.

Mereka kata inilah bukti yang agama Islam ini adalah agama ganas yang sukakan peperangan dan agama Islam dikembangkan dengan pedang. Kalau kita sendiri tidak faham Al-Qur’an kita sendiri, maka memang ada masalah. Secara ringkas sekarang disebut bagaimana menjawab tuduhan ini:

Allah telah menghantar begitu banyak Rasul kepada kaum mereka. Dan kita pun tahu bagaimana banyak kisah bagaimana umat Rasul-rasul itu menolak mereka. Dan kita pun telah baca bagaimana kerana kedegilan mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi (contohnya Firaun yang ditenggelamkan). Ini adalah kerana mereka itu menolak Rasul mereka secara ‘berhadapan’. Begitulah yang telah berlaku terhadap umat-umat terdahulu. Orang agama lain seperti Kristian dan Yahudi pun tahu tentang perkara ini.

Lalu bagaimana dengan kisah Nabi Muhammad SAW di dalam dakwah baginda? Tidakkah baginda juga ditolak secara berhadapan juga? Mereka tolak baginda dan macam-macam mereka cuba untuk menyakiti hati baginda (secara fizikal dan mental).

Bayangkanlah bagaimana baginda menghadapi Musyrikin Mekah itu selama 10 tahun di Mekah. Perkara yang mereka lakukan, kalau kaum dulu sudah kena azab, tapi lain dengan kaum Nabi Muhammad. Azab benda alam tidak dikenakan kepada mereka. Tapi adakah mereka layak untuk diazab di dunia lagi? Tentu, kerana kalau kaum sebelum itu layak diazab, begitu jugalah Musyrikin Mekah. Tapi tidak terjadi begitu, bukan?

Kembali kepada Surah Tawbah. Ini adalah selepas Islam telah mendapat kejayaan dan Islam telah dapat menakluk Mekah, tempat baginda dihalau dahulu. Mereka dulu menentang dan menyerang Nabi tapi adakah Rasulullah suruh mereka itu semua dibunuh?

Tidak, malah mereka diberi masa 4 bulan untuk berfikir sama ada untuk masuk Islam, lari menyelamatkan diri atau mereka bersedialah untuk berperang dengan Islam. 4 bulan…. adakah kaum-kaum lain sebelum kaum Nabi Muhammad SAW diberi dengan kesempatan ini? Tidak. Kalau ada pun, hanya beberapa hari sahaja.

Malah mereka diberi peluang untuk lihat dulu apakah agama Islam itu sebenarnya. Ini disebut dalam Tawbah:6

وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَعلَمونَ

Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.

Kalau zaman itu, mereka boleh datang ke Madinah dan mereka boleh lihat sendiri bagaimana Al-Qur’an itu diamalkan oleh para sahabat Nabi. Mereka boleh nilai sendiri sama ada Al-Qur’an itu adalah wahyu Allah atau tidak.

Lihatlah bagaimana lembutnya balasan kepada mereka yang dulunya menentang Nabi Muhammad SAW semasa mereka di Mekah. Inilah kelebihan yang diberikan kepada baginda. Mereka diberi peluang yang luas sekali yang tidak diberikan kepada umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan dengan rahmat yang dibawa oleh baginda (Islam agama rahmat – rahmatan lil aalameen).

Akan tetapi, kalau mereka tetap tidak mahu beriman, mereka diberi masa 4 bulan. Mereka boleh pilih sama ada untuk lari jauh dari negara Islam atau mereka boleh bersedia untuk berperang dengan orang Islam selepas 4 bulan itu habis.

Dalam konteks inilah Surah Tawbah itu digunakan – iaitu kalau mereka tetap hendak berperang dengan orang Islam. Maka kita kena faham kisah ini dan hujah ini, kerana kalau tidak, kita mungkin termasuk mereka yang mengatakan Islam ini adalah agama yang ganas dan suka berperang pula.

Dan ada juga yang bodoh agama dan akalnya, boleh percaya pula kepada tafsiran orang gila yang mengajar untuk membunuh orang. Inilah bahaya kejahilan – senang ditipu oleh orang gila. Orang gila sepatutnya dimasukkan ke pusat rawatan, bukannya diagungkan dan diikut kata-kata mereka.

 

4. Baginda diberikan dengan Al-Qur’an – mukjizat yang terakhir

Nabi-nabi lain pun dapat mukjizat juga bukan? Akan tetapi apa bezanya dengan Al-Qur’an yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW yang berada di tangan kita sekarang? Memang ada bezanya kerana mukjizat para Nabi yang terdahulu itu hanya dapat dilihat pada masa mereka mengeluarkan mukjizat itu sahaja. Ianya tidak kekal seperti Al-Qur’an yang kekal sampai sekarang.

Mukjizat itu pada masa zaman mereka sahaja, dan selepas itu ia hanya tinggal jadi sejarah dan cerita sahaja. Contohnya, kalau ada yang melihat tongkat Nabi Musa jadi ular, mereka yang melihat sahaja yang nampak dan selepas itu mereka boleh sampaikan dalam bentuk cerita sahaja kepada orang lain, tak boleh nak tunjuk.

Akan tetapi untuk umat Nabi Muhammad SAW, Al-Qur’an itu kekal sebagai mukjizat sepanjang zaman dan untuk semua orang. Al-Qur’an itu dari dulu begitu, sekarang pun macam itu juga dan ia akan kekal sampai bila-bila. Kita boleh tunjuk kepada orang lain pada bila-bila masa sahaja kerana amat mudah untuk didapati.

 

5. Baginda diberikan al-Adl dan al-Fath (keadilan dan kejayaan).

Kedua perkara ini bergandingan tangan. Allah lantik Nabi membawa untuk keadilan yang didahagakan oleh setiap manusia. Dengan kekuasaan di tangan umat Islam, ianya adalah kerajaan yang:

    • tiada diktator
    • tidak memaksa orang lain menganut agama Islam
    • rakyat boleh mempersoalkan pemerintah jikalau mereka ada melakukan kesilapan. Banyak sekali kisah yang sampai kepada kita tentang keterbukaan dialog dengan khalifah, terutama sekali Khulafa ur rasyidin. Pernah Saidina Umar dipersoalkan oleh rakyat beliau kerana beliau memakai baju yang cantik. Mereka persoal dari mana beliau dapat baju itu.

Kejayaan yang Allah janjikan kepada Nabi Muhammad SAW tidak dijanjikan kepada semua para Nabi yang lain. Sebagai contoh, Nabi Musa a.s. juga diarahkan untuk berperang bersama umat baginda. Tapi baginda tidak mendapat kejayaan kerana baginda wafat pun di luar Kota BaitulMaqdis semasa umat baginda masih sesat di Padang Tih. Akan tetapi, Nabi Muhammad SAW diberi kejayaan menguasai Kota Mekah tempat asal baginda dan tempat Ka’bah berada.

Dan kejayaan yang diberikan kepada Nabi Muhammad adalah amat menakjubkan sekali. Bayangkan dalam masa sesingkat 23 tahun baginda menjadi Rasul, baginda dapat mengubah geopolitik Arab itu dari pusat syirik sebagai pusat pengembangan tauhid. Ini tidak pernah terjadi dalam sejarah manusia mana-mana pun.

Ini amat hebat sekali kerana penukaran itu memang secara keseluruhan. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Kalau kita lihat pergerakan revolusi di mana-mana pun, ia tidak berlaku dalam masa yang sesingkat 23 tahun. Ianya mengambil masa yang lama.

Sebagai contoh, Revolusi Komunis itu asalnya dibayangkan oleh Karl Marx 60 tahun sebelum ianya terjadi. Dan beliau tidak dapat lihat pun kejayaan revolusi yang dicadangkan olehnya. Tapi Nabi Muhammad dapat melihat kejayaan mengubah masyarakat Arab itu di depan mata baginda. Baginda sama-sama berperang dengan umat baginda untuk membawa kejayaan kepada Islam.

Dan perubahan revolusi hanya dapat kehidupan yang terhad sahaja – bukan secara keseluruhan. Tapi perubahan yang dibawa oleh Nabi Muhammad merangkumi seluruh aspek – kehidupan dan juga agama. Oleh kerana itu, apabila Micheal H. Hart menulis buku ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History‘, beliau sebenarnya tidak ada pilihan lain lagi selain meletakkan nama Nabi Muhammad SAW di tangga pertama kerana tidak ada sesiapa lagi yang layak mengambil tempat itu.

Ini adalah kerana kejayaan Nabi Muhammad mengubah dunia tidak ada tolok bandingnya. Oleh itu, Allah telah memberi kejayaan yang tidak pernah diberikan kepada orang lain dalam dunia ini.

 

6. Perubahan Qiblah dari MasjidilAqsa ke Ka’bah kerana baginda.

Nabi Ibrahim a.s telah mendirikan semula Ka’bah dan baginda berdoa supaya manusia akan datang kepadanya. Tapi semasa Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, qiblah waktu itu adalah BaitulMaqdis (kerana umat Islam sebelum itu adalah Bani Israil dan qiblah mereka adalah BaitulMaqdis).

Nabi Muhammad SAW amat berharap supaya qiblah ditukar ke Ka’bah, tapi baginda tidak sanggup meminta kepada Allah (tidak sampai hati). Akan tetapi, baginda mendongak sahaja kepala baginda ke langit dengan harapan di dalam hati baginda (baginda tidak suarakan). Ini disebut dalam Baqarah:144

قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضاها

Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai.

Dari ayat ini, kita tahu bahawa qiblah itu ditukar kerana Nabi Muhammad SAW. Sudah lama qiblah umat Islam ke arah BaitulMaqdis (dan memang awal Islam, umat Nabi Muhammad pun mengadap ke BaitulMaqdis). Tapi ianya bertukar untuk selama-lamanya kerana Nabi Muhammad SAW.

 

7. Allah akan mengurniakan Maqaama Mahmooda مقام المحمود iaitu kedudukan yang khas kepada baginda. Ini disebut dalam Isra’:79

وَمِنَ اللَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِ نافِلَةً لَكَ عَسىٰ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقامًا مَحمودًا

Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.

Ada perbincangan di kalangan ulama tentang apakah yang dimaksudkan dengan مقام المحمود. Kita lihat beberapa dalil yang ada.

فعَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( يُبْعَثُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَكُونُ أَنَا وَأُمَّتِي عَلَى تَلٍّ ، وَيَكْسُونِي رَبِّي تَبَارَكَ وَتَعَالَى حُلَّةً خَضْرَاءَ ، ثُمَّ يُؤْذَنُ لِي ، فَأَقُولُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ أَقُولَ ، فَذَاكَ الْمَقَامُ الْمَحْمُودُ  (رواه أحمد في المسند  (25/60) طبعة مؤسسة الرسالة)

“Dari Ka’b bin Malik radhillahu’anhu sesungguhnya Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Manusia dibangkitkan pada hari kiamat. Maka aku dan umatku di atas bukit, dan Tuhanku Tabaroka Wata’ala memakaikanku mahkota hijau. Kemudian aku diberi izin. Maka aku mengatakan apa saja yang yang aku katakan. Itu adalah maqam mahmud (tempat yang terpuji).”

HR. Ahmad di Musnad, 25/60. Cetakan Muassasah Ar-Risalah) ‘Sanadnya sahih sesuai persyaratan Muslim, para perawinya terpercaya iaitu para perawi Bukhori Muslim kecuali Yazin bin Abdu Rabbi –beliau adalah Az-Zubaidi Al-Himsy- dari rawi Muslim.

Di antara atsar shahih mauquf (sampai ke sahabat) adalah perkataan Ibnu Umar radhiallahu’anhuma,

إِنَّ النَّاسَ يَصِيرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ جُثًا ، كُلُّ أُمَّةٍ تَتْبَعُ نَبِيَّهَا ، يَقُولُونَ يَا فُلاَنُ اشْفَعْ ، حَتَّى تَنْتَهِي الشَّفَاعَةُ إِلَى النَّبِي صلى الله عليه وسلم ، فَذَلِكَ يَوْمَ يَبْعَثُهُ اللَّهُ الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ (رواه البخاري، رقم 4718)

“Sesungguhnya manusia berjalan  merangkak pada hari kiamat. Setiap umat mengikuti nabinya. Mereka mengatakan, ‘Wahai si fulan berikanlah syafaat. Sampai syafaat selesai di Nabi sallallahu’alaihi wa sallam. Itu adalah hari di mana Allah membangkitkannya pada Maqam mahmud (tempat terpuji).’ (HR. Bukhari, 4718. Dan beliau membuat bab dengan menulis ‘Semoga Tuhanmu membangkitkanmu di tempat terpuji’ pilihan beliau dari penafsiran dari sisi ini.

Secara ringkasnya, kedudukan مقام المحمود adalah baginda akan diberikan penghormatan untuk memberikan syafaat. Ini adalah penghormatan dari Allah untuk baginda, tapi tidaklah ini bermakna baginda boleh menentukan siapa yang dapat syafaat atau tidak.

Maka maksud ‘syafaat’ hendaklah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Salah faham tentang perkara ini telah menyebabkan ramai yang berdoa terus kepada Nabi untuk meminta syafaat sedangkan ia bukanlah keputusan dari Nabi, tapi dari Allah sendiri. Maka, kalau hendak syafaat, kenalah minta dengan Allah.

 

8. Allah memberikan baginda dengan pengikut yang ramai dari kalangan manusia.

Dan pengikut baginda adalah orang yang hebat-hebat. Baginda tidak tinggalkan bangunan yang hebat dan besar, tapi baginda tinggalkan para sahabat yang hebat dan besar. Dengan usaha merekalah agama Islam ini tersebar luas ke serata dunia dan diteruskan sampai ke hari ini.

Dan sampai sekarang umat Islam semakin bertambah dan menambahkan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Kalau umat Nabi-nabi lain sudah tidak ada lagi, tapi umat Nabi Muhammad tetap berkembang dan bertambah sampailah ke hari kiamat. Ini adalah kerana agama Islam adalah agama yang praktikal dan agama yang benar. Yang menolak dan mempertikaikanlah ada orang yang degil sahaja.

 

9. Allah menjanjikan pertolonganNya kepada baginda – walaupun kalau tidak ada manusia yang membantu baginda. Ini disebut dalam Tawba:40

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya

Ini bermakna, kalau tidak ada sahabat pun yang membantu baginda, Allah tetap tolong baginda dan beri kejayaan kepada baginda. Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak tolong baginda pun, Dia tetap akan beri kejayaan kepada baginda. Tapi Allah beri peluang kepada para sahabat untuk berkhidmat kepada baginda dan kepada Islam, supaya mereka mendapat kebaikan. Allah sebenarnya tidak perlukan mereka.

 

10. Umat yang mengikuti baginda mengikut jalan wasatiyyah (jalan pertengahan). Inilah jalan terbaik. Ini disebut dalam Baqarah:143

وَكَذٰلِكَ جَعَلناكُم أُمَّةً وَسَطًا لِتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ وَيَكونَ الرَّسولُ عَلَيكُم شَهيدًا

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan   agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.

Kita ini adalah umat baginda dan kita mendapat kelebihan ini kerana kita adalah umat baginda.

 

11. Baginda akan mendapat pengikut yang paling ramai di Hari Pembalasan kelak.

Diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dari Abdullah bin Abbas ra, Rasulullah saw bersabda “Telah diperlihatkan kepadaku segala umat. Aku menyaksikan seorang Nabi lewat dan diikuti umatnya dan seorang Nabi lewat diikuti sekelompok orang dan seorang Nabi lainnya lagi hanya diikuti sepuluh orang saja. Ada pula seorang Nabi yang hanya diikuti lima orang, bahkan ada seorang Nabi yang berjalan sendirian tanpa umatnya. Tiba-tiba aku menyaksikan sekelompok orang banyak, lalu ada yang berkata, ‘Itulah umatmu!’ Tujuh puluh ribu orang di antara mereka ada di depan. Mereka tidak dihisab ataupun dihukum.’ Aku bertanya, ‘Mengapa ?’ Dia menjawab, ‘Mereka tidak pernah memuji diri sendiri, tidak pernah memakai mantra-mantra, tidak pernah meramal nasib buruk, dan hanya kepada Tuhan mereka berserah diri.’ Mendengar penjelasan itu, Ukasyah bin Muhshin berdiri seraya berujar, ‘Doakanlah kepada Allah agar menjadikan aku termasuk salah seorang dari mereka!’ Nabi lalu berdoa, ‘Ya Allah, jadikanlah Ukasyah termasuk bagian dari mereka!’ Tak lama kemudian berdiri pula lelaki lainnya seraya berkata ‘Doakanlah pula kepada Allah agar menjadikan aku termasuk salah seorang dari mereka!’ Namun Nabi berkata , ‘Kamu sudah didahului oleh Ukasyah.”

Ini pun adalah salah satu dari nikmat yang besar untuk baginda. Tentu baginda amat berbangga sekali.

 

12. Keluarga baginda dimuliakan

Ini jelas kerana dalam selawat kita pun ada diajar oleh Nabi untuk berselawat kepada baginda dan keluarga baginda sekali. Dalam riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.

Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

Tentunya ‘keluarga’ yang dimaksudkan adalah keluarga baginda yang Muslim. Abu Lahab tidak termasuk.

 

13. Baginda akan diberikan dengan kedudukan memberi syafaat di akhirat kelak. Dalil tentang syafa’at ini dapat dilihat dalam hadits Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu yang panjang. Diringkaskan di sini:

إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ مَاجَ النَّاسُ فِي بَعْضٍ فَيَأْتُونَ آدَمَ فَيَقُولُونَ اشْفَعْ لَنَا إِلَى رَبِّكَ فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِإِبْرَاهِيمَ فَإِنَّهُ خَلِيلُ الرَّحْمَنِ فَيَأْتُونَ إِبْرَاهِيمَ فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِمُوسَى فَإِنَّهُ كَلِيمُ اللهِ فَيَأْتُونَ مُوسَى فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِعِيسَى فَإِنَّهُ رُوحُ اللهِ وَكَلِمَتُهُ فَيَأْتُونَ عِيسَى فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَأْتُونِي فَأَقُولُ أَنَا لَهَا فَأَسْتَأْذِنُ عَلَى رَبِّي فَيُؤْذَنُ لِي ….

“Ketika hari kiamat datang, manusia berduyun-duyun mendatangi nabi Adam dan mengatakan, “Berilah syafa’at kepada rabbmu!” Adam menjawab, “Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Ibrahim kerana dia adalah kekasih Allah Azza wa Jalla,” mereka mendatangi Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Musa kerana dia adalah kalimullah (orang yang diajak bicara langsung oleh Allah). mereka mendatangi Nabi Musa, Nabi Musa berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Isa kerana dia adalah ruhullah dan kalimatNya,” Mereka mendatangi Nabi Isa, Nabi Isa berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Muhammad.” Maka mereka mendatangiku, maka aku katakan, “Ya aku punya hak, maka aku minta idzin kepada Rabbku, maka Dia memberiku idzin ….”.

Hadis ini berkenaan keadaan di Mahsyar kelak. Waktu itu semua manusia mencari orang yang boleh mempercepatkan pengadilan kerana sudah tidak tahan begitu lama menunggu di Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang dibenarkan untuk meminta kepada Allah untuk mempercepatkan pengadilan.

Dan kelebihan ini diberikan kepada baginda sahaja dan dalilnya seperti dalam hadis di atas. Dan semua manusia mendapat manfaat dari syafaat itu walaupun mereka orang kafir. Ini adalah kerana pengadilan dipercepatkan bagi semua orang.

 

14. Allah sentiasa memanggil Nabi Muhammad SAW dengan gelaran yang mulia dan mesra. Allah memanggil baginda dengan gelaran ‘Abd’ (hamba), Rasul, Nabi dan sebagainya.

Cara ini tidak digunakan dengan Nabi-nabi lain. Kerana kepada mereka, Allah memanggil mereka dengan nama mereka: Ya Musa, Ya Adam, Ya Dawud, Ya Zakariyyah, Ya Yahya!, Ya ‘Isa dan sebagainya. Nabi lain dipanggil dengan nama mereka, tapi dengan Rasulullah SAW, baginda dipanggil dengan gelaran baginda – dan ada banyak gelaran diberikan kepada baginda. Ini menunjukkan kemuliaan baginda dan bagaimana Allah memuliakan kedudukan baginda.

 

15. Apabila Allah mewajibkan solat kepada Nabi Muhammad SAW, selepas Nabi Muhammad SAW meminta dikurangkan solat dari 50 waktu hingga sampai ke 5 waktu, Allah memberitahu bahawa mereka yang mengerjakan solat 5 waktu itu tetap mendapat pahala seolah-olah mereka mengerjakan solat 50 waktu juga. Ini tersebut dalam Sahih Bukhari.

فَرَضَ خَمْسِينَ صَلَاةً قَالَ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ فَرَاجَعْتُ فَوَضَعَ شَطْرَهَا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى قُلْتُ وَضَعَ شَطْرَهَا فَقَالَ رَاجِعْ رَبَّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ فَرَاجَعْتُ فَوَضَعَ شَطْرَهَا فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ فَرَاجَعْتُهُ فَقَالَ هِيَ خَمْسٌ وَهِيَ خَمْسُونَ لَا يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ رَاجِعْ رَبَّكَ فَقُلْتُ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي ثُمَّ انْطَلَقَ بِي حَتَّى انْتَهَى بِي إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَغَشِيَهَا أَلْوَانٌ لَا أَدْرِي مَا هِيَ ثُمَّ أُدْخِلْتُ الْجَنَّةَ فَإِذَا فِيهَا حَبَايِلُ اللُّؤْلُؤِ وَإِذَا تُرَابُهَا الْمِسْكُ

Ibnu Hazm dan Anas bin Malik menyebutkan, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka Allah ‘azza wajalla mewajibkan kepada ummatku salat sebanyak lima puluh kali. Maka aku pergi membawa perintah itu tetapi bila aku berjumpa dengan Musa, dia bertanya, ‘Apa yang Allah perintahkan buat umatmu? ‘ Aku jawab: ‘Salat lima puluh kali.’ Lalu dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan mampu! ‘Maka aku kembali merayu kepada Tuhan dan Allah mengurangi sebahagiannya. Aku kemudian kembali menemui Musa dan aku katakan bahawa Allah telah mengurangi sebahagian daripadanya. Tapi dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu kerana umatmu tidak akan sanggup.’ Aku lalu kembali merayu menemui Allah dan Allah kemudian mengurangi sebahagian lagi.’ Kemudian aku kembali menemui Musa, dia lalu berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan mampu.’ Maka aku kembali menemui merayu Allah Ta’ala, Allah lalu berfirman: ‘Itulah lima waktu sembahyang dan ia sebenarnya menyamai lima puluh waktu sembahyang. Keputusan ini tidak akan diubah disisiKu! ‘ Maka aku kembali menemui Musa dan dia tetap berkata, ‘Kembalilah kepada Rabb-Mu! ‘ Aku katakan, ‘Aku malu untuk merayu lagi kepada Rabb-ku.’ Jibril lantas membawaku hingga sampai di Sidratul Muntaha yang dikelubungi dengan warna-warni yang aku tidak tahu benda apakah hakikatnya. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga, ternyata di dalamnya banyak kalung-kalung mutiara dan tanahnya pula dari kasturi.”

Nabi-nabi lain juga ada syariat solat tapi tidak sama dengan syariat kita. Kita tidak pasti bagaimanakah cara mereka solat. Mereka pun tidak pasti lagi kerana kitab wahyu mereka telah diubah sampaikan tidak dapat diamalkan lagi.

Tidak perlu tahu pun kerana semua manusia sekarang adalah umat Nabi Muhammad. Semua kena pakai syariat Nabi Muhammad sahaja, walaupun mereka Ahli Kitab. Memang mereka sepatutnya ada kitab wahyu, tapi ia tidak terpakai lagi. Ia hanya menjadi bahan sejarah sahaja.

Ada juga pendapat pelik di kalangan masyarakat kita yang kata Ahli Kitab oleh pakai syariat mereka lagi. Ini tidak benar kerana semua manusia kena pakai syariat Nabi Muhammad. Syariat sebelumnya telah mansukh:

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ. ( مسلم )

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaanNya. tidak ada seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani, yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah), kemudian dia mati sedang dia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutuskan membawanya melainkan menjadilah dia dari ahli neraka”.

(Muslim)

 

16. Allah menjadikan Al-Qur’an iaitu wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah itu, senang untuk diingati – (Tayseer al Qur’an). Allah berfirman dalam Qamar:17 dan tiga ayat lain dalam surah yang sama:

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُدَّكِرٍ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qur’an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Allah memang mudahkan supaya Al-Qur’an ini senang untuk dibaca dan dipelajari dan juga dihafal. Kita boleh tengok di mana-mana sekarang ada orang yang menghafal keseluruhan Al-Qur’an itu. Orang Islam pun, ramai yang walaupun tidak menghafal keseluruhan Al-Qur’an, tapi mereka ada menghafal beberapa surah juga.

Allah menjadikan wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu mudah untuk dihafal. Dan ini menolak dakwaan palsu orang kafir dari kalangan Orientalist yang mengatakan Al-Qur’an itu telah diubah dari yang asal. Mereka kata tidak mungkin satu kumpulan kalimah  yang sama tanpa ada perubahan dapat bertahan selama lebih dari seribu tahun kerana akal mereka tidak dapat menerimanya.

Ini adalah kerana, pada mereka, kalau sesuatu itu disampaikan dari satu generasi ke satu generasi, mestilah melalui dua cara:

    1. Dengan cara ditulis dalam dokumen
    2. Dengan cara hafalan – diberitahu kepada generasi seterusnya dengan cara mulut.

Mengikut logik orang bukan Islam, pada mereka yang lebih selamat adalah dengan cara disampaikan melalui dokumen – ditulis sesuatu kisah itu dan disimpan di dalam arkib. Walaupun begitu, kedua-dua cara itu ada kelemahannya juga. Kalau cara disampaikan melalui mulut, tentu ada maklumat yang tertinggal atau ditambah, bukan? Ini kita pun tahu, bagaimana kisah asal yang berlalu dan apa yang diterima oleh orang yang ke sepuluh/ke seratus tentu jauh bezanya.

Sebagai contoh, kisah asal ‘Abdullah tumbuk Kasim’. Apabila sampai ke orang yang ke 50, mungkin sudah jadi: ‘Abdullah tumbuk dan patahkan kaki dan tangan Kasim dan selepas itu dia bakar pula rumah Kasim’.

Kalau penulisan dalam dokumen pun tidak terjamin. Kerana kalau seorang tulis, dan orang yang menyalinnya (kerana dulu tidak ada printer) tidak betul, ada ejaan yang salah dan sebagainya, boleh jadi sampai mengubah makna. Kemudian dokumen itu pula disampaikan kepada orang, juga mungkin menyalin tersilap lagi – jadi kesilapan mungkin bertambah-tambah. Terutama kalau menggunakan terjemahan bahasa yang menggunakan perkataan yang tidak sesuai.

Orang bukan Islam membanggakan penulisan dokumen dan mereka menganggap Al-Qur’an itu kalau diturunkan melalui penulisan, barulah boleh dikira sebagai sahih. Adakah begitu? Kita pun tahu bagaimana Al-Qur’an itu diturunkan dari Nabi ke sahabat dan sahabat ke tabien dan seterusnya kepada generasi seterusnya adalah dengan cara hafalan.

Di samping itu, ia juga dikuatkan lagi dengan cara penulisan kerana ada Al-Qur’an yang telah ditulis menjadi sebagai Al-Qur’an rujukan yang dinamakan dengan Umm (Al-Qur’an induk). Kepada orang Islam, pengajaran Al-Qur’an terjaga dari semenjak zaman Nabi Muhammad sampailah sekarang dan akan terpelihara sampai ke Hari Kiamat nanti.

Hujah kita amat kuat sekali. Kalau cara penyampaian Al-Qur’an ini ada kesilapan di mana-mana, tentu bacaan Al-Qur’an ini berbeza dari satu tempat ke satu tempat, bukan? Kalau ikut hujah mereka, tentu Al-Qur’an ini ada banyak versi (macam Bible), bukan? Akan tetapi, ini tidak berlaku. Satu dunia ini membaca Al-Qur’an yang sama.

Dan kalau yang baca salah, akan ada sahaja yang akan membetulkannya (kerana ramai yang hafal Al-Qur’an). Dan kalau ada syarikat pencetak Al-Qur’an yang cuba mengubah mana-mana ayat Al-Qur’an walaupun satu huruf (atau mereka tersilap cetak), ianya akan dapat dikesan dengan segera. Dan Al-Qur’an itu akan dihancurkan dan dibakar supaya tidak mengelirukan orang lain. Kita hanya simpan Al-Qur’an yang tepat dan telah disahkan sahaja.

Kita boleh sahaja buat eksperimen. Ambillah 4 orang budak muslim dari 4 benua dalam dunia dan minta mereka baca Al-Qur’an. Mereka mungkin menggunakan bahasa harian mereka berlainan, tapi mereka akan membacakan Al-Qur’an yang sama. Ini adalah sebagai bukti yang kukuh.

Semua ini hanya dapat berlaku kerana Allah telah berjanji untuk memudahkan Al-Qur’an ini untuk dihafal seperti dalam ayat Qamar:17 itu. Tidak ada tulisan lain yang mendapat janji Allah ini walaupun kitab wahyuNya yang sebelum Al-Qur’an. Dalam ayat lain juga, Allah telah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an dan ini ada dalam Hijr:9

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحافِظونَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Lihatlah itu adalah janji Allah sendiri. Dan memang ada cubaan dari mereka yang jahat untuk mengubah penulisan Al-Qur’an, tapi mereka tidak berjaya. Akan ada sahaja umat Islam yang dapat mengesan cubaan itu. Maka, satu-satunya cara untuk menghilangkan Al-Qur’an dari mukabumi ini adalah dengan menghilangkan seluruh umat Islam sampai tidak ada seorang pun. Tapi tentulah ini tidak akan terjadi.

Janji Allah ini tidak ada kepada kitab-kitab yang lain. Kalau Bible pun, orang yang mengaji Bible sampai tahap PHD pun, akhirnya mereka akan kata yang Bible yang ada pada tangan manusia sekarang ini tidak asli. Lalu bagaimana nak amalkan agama mereka lagi, kalau sumber pun sudah tidak benar?

Oleh itu, penjagaan Al-Qur’an ini juga adalah satu lagi nikmat kepada Nabi Muhammad. Semasa baginda mula mendapat wahyu Al-Qur’an, baginda takut baginda tidak dapat menghafal Al-Qur’an itu kerana takut tidak dapat sampaikan Al-Qur’an itu kepada manusia, maka baginda akan terus menghafal wahyu itu semasa Jibril membacakannya kepada baginda. Allah melegakan hati baginda dengan menurunkan ayat Qiyamah:17

إِنَّ عَلَينا جَمعَهُ وَقُرآنَهُ

Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya.

Sekali lagi Allah berjanji yang Dia akan memastikan Al-Qur’an itu dapat diingati oleh baginda dan baginda dapat membaca Al-Qur’an itu dengan molek untuk disampaikan kepada ummat.

Kita telah membaca begitu banyak sekali nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Lalu persoalan sekarang, setelah mendapat segala ini, apakah yang baginda perlu lakukan untuk menunjukkan kesyukuran baginda kepada Allah?

Ini disebut dalam sambungan ayat seterusnya, di mana Allah mengajar baginda untuk mendirikan solat dan mengerjakan ibadat korban (sembelihan). Dan solat dan korban ini juga adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s. juga dan memang Nabi Muhammad SAW meneruskan agama tauhid yang juga dianuti oleh Nabi Ibrahim, maka tidak hairanlah kalau ada persamaan antara kedua-dua Rasul Agung ini.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Kawthar Ayat 1 (Part 1) (Pemberian yang banyak)

Ayat 1: Surah ini adalah surah yang paling pendek dalam Al-Qur’an. Ia boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia adalah berita gembira kerana mendapat al-Kawthar.

Allah telah memberikan kebaikan yang teramat banyak kepada Rasulullah SAW. Bukan sahaja Nabi dapat kebaikan, malah kita yang menjadi pengikut baginda juga dapat kebaikan. Sebagai contoh, bayangkan kalau kita selawat sekali kepada Nabi Muhammad SAW, Allah berikan balasan 10 kali selawat kepada kita. Syaitan juga tidak boleh ganggu dan khianat orang yang mengikut sunnah Nabi dan mengikut ajaran tauhid.

إِنّا أَعطَيناكَ الكَوثَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Kawthar: Literally, “the most abundant good.” Also, a river in Paradise.

Indeed, We have granted you, [O Muḥammad], al-Kawthar.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

 

Apakah dia الكَوثَرَ itu?

1. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’.

2. Satu lagi pendapat mengatakan ianya adalah satu telaga di Syurga, dan juga satu tasek di Mahsyar di mana Nabi Muhammad SAW akan memberi minum kepada umat baginda yang mengamalkan sunnahnya, sebelum mereka masuk ke dalam syurga.

Kenapa seperti ada dua telaga pula (di syurga dan di Mahsyar)? Pendapat mengatakan air di Mahsyar itu datang dari telaga yang di syurga. Allahu a’lam. Pendapat ini didapati dari golongan salaf yang sampai kepada kita dalam bentuk hadith dan atsar.

Mari kita sentuh perkara yang pertama dahulu. Seperti yang disebut, الكَوثَرَ bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’. Dan ini kita boleh lihat dari surah-surah sebelum ini yang kita telah belajar.

1 – Allah tidak meninggalkan Rasulullah SAW dan tidak marah kepada baginda. Ini seperti yang disebut dalam Surah ad-Dhuha:3

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.

2 – Allah memberitahu Nabi yang hujung lebih baik dari asalnya. Ini disebut dalam ayat seterusnya Surah ad-Dhuha:4

وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

3 – Kemudian Allah beritahu yang Dia akan memberi dan memberi lagi kepada baginda sampai hati baginda menjadi puas. Lihat Surah ad-Dhuha:5

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Allah tidak sebut apakah yang akan diberikan kepada baginda. Tapi Allah beritahu yang baginda akan pasti puas hati dengan pemberian itu. Terlalu banyak apa yang akan diberikan kepada baginda sampai tidak boleh hendak letak harga, tidak boleh hendak sebut apakah ia. Cuma Allah sebut dalam Al-Qur’an, sehingga kamu kata cukup, cukup (sebab sudah terlalu banyak).

4 – Allah berikan perlindungan kepada baginda apabila baginda menjadi anak yatim. Ini disebut dalam Surah ad-Dhuha:6

أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?

5 – Semasa Rasulullah SAW mencari-cari kebenaran, Allah tunjukkan kebenaran itu kepada baginda. Lihat Surah ad-Dhuha:7

وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.

Kalimah ضالًّا bukan bermaksud ‘sesat’, tetapi ‘dalam mencari’.

5 – Baginda juga dicukupkan oleh Allah dari segi keperluan keduniaan. Ini disebut dalam Surah ad-Dhuha:8

وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

6 – Allah mengembangkan dada Rasulullah SAW supaya baginda berasa lega walaupun dalam menghadapi masalah dalam dakwah baginda. Ini disebut dalam Surah al-Inshirah:1

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Jadi, maksud Allah ‘lapangkan’ dada baginda juga bermaksud dilapangkan supaya baginda dapat menerima Al-Qur’an ke dalam hati baginda. Ini penting kerana kalau tidak, tubuh baginda akan pecah disebabkan Al-Qur’an itu adalah sesuatu yang amat berat. Ini disebut dalam Surah Hashr:21

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَرَأَيتَهُ خاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۚ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah.

Bayangkan, kalau gunung juga boleh pecah jika Al-Qur’an diturunkan kepadanya, bayangkan pula jika ianya diturunkan kepada manusia biasa? Pernah suatu ketika Nabi Muhammad SAW di atas unta baginda dan waktu itu baginda menerima wahyu. Unta baginda terduduk kerana beratnya menanggung beban Rasulullah SAW waktu itu.

Ini tidak mustahil kerana sememangnya Allah telah pernah memberitahu yang Al-Qur’an itu adalah sesuatu yang ‘berat’. Ini disebut dalam Surah Muzzammil:5

إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا

Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.

Walaupun ianya sesuatu yang berat, namun Rasulullah SAW dapat menanggungnya kerana dada baginda telah dilapangkan. Jadi ini adalah salah satu dari nikmat yang diberikan kepada baginda.

7 – Dan Allah telah menghilangkan beban yang berat dari baginda. Lihat  Surah al-Inshirah:2

وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ

dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,

Beban yang baginda tanggung dalam menyampaikan dakwah amatlah berat, tapi Allah telah angkat beban itu daripada baginda.

8 – Dan Allah telah mengangkatkan peringatan atas baginda. Ini disebut dalam Surah al-Inshirah:4

وَرَفَعنا لَكَ ذِكرَكَ

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,

Ini juga terbukti kerana nama baginda disebut sentiasa dengan harumnya. Sebagai contoh, setiap kali azan dilaungkan, nama baginda akan disebut juga. Azan juga dikumandangkan setiap ketika di bumi Allah ini kerana azan sentiasa sahaja dilaungkan.

9 – Mengingati baginda juga adalah satu ibadat dalam agama kita. Kerana Allah menjanjikan pahala kepada mereka yang selawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Jadi, ramailah yang akan cuba mengambil peluang ini. Dengan itu, nama baginda akan terus diingati sampailah ke hari kiamat nanti. Lihat Surah al-Ahzab:56

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا صَلّوا عَلَيهِ وَسَلِّموا تَسليمًا

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

Bukan sahaja Allah menyuruh kita berselawat kepada baginda, namun Allah mulakan ayat ini dengan memberitahu bahawa Dia sendiri berselawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW dan para malaikat juga berselawat ke atas baginda. Ini adalah satu bentuk penghormatan yang teramat tinggi diberikan kepada baginda. Kerana tidak ada lagi ibadat lain yang sebegini hebat.

10 – Allah pernah menggunakan baginda sebagai lafaz sumpah seperti dalam Surah Hijr:72

لَعَمرُكَ إِنَّهُم لَفي سَكرَتِهِم يَعمَهونَ

“Demi umurmu (Muhammad), sesungguhnya mereka terombang-ambing di dalam kemabukan (kesesatan)”.

Tidak ada manusia lain yang digunakan sebagai lafaz sumpah oleh Allah. Ini adalah penghormatan yang amat tinggi.

11 – Allah memuliakan baginda dengan memberikan pahala yang tidak putus-putus kepada baginda seperti yang disebut dalam Surah al-Qalam:3

وَإِنَّ لَكَ لَأَجرًا غَيرَ مَمنونٍ

Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya.

Bukan sahaja baginda mendapat pahala sebegitu, tapi pahala tersebut untuk mereka yang mengikut baginda juga. Ini semua adalah kerana cinta kasih Allah terhadap Rasulullah SAW. Ini disebut dalam Surah al-Fussilat:8

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ لَهُم أَجرٌ غَيرُ مَمنونٍ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka mendapat pahala yang tiada putus-putusnya”.

12 – Allah memberi perlindungan kepada baginda dari ancaman musuh baginda. Sedangkan, ada Nabi-nabi lain yang dibunuh. Lihat janji Allah dalam Surah al-Alaq:18

سَنَدعُ الزَّبانِيَةَ

Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,

Maksudnya, kalau ada yang hendak mencederakan baginda, Allah akan menghantar malaikat untuk menjaga baginda.

13 – Allah mendekatkan Rasulullah  SAW denganNya. Lihat Surah al-Alaq:19

وَاسجُد وَاقتَرِب

dan sujudlah dan dekatkanlah

Allah memberi segala nikmat kepada baginda supaya baginda mendekatkan dirinya kepada Allah.

14 – Allah mengaitkan NamaNya dengan nama Rasulullah SAW.

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَراج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id, dari Rasulullah Saw., bahawa beliau Saw. pernah bersabda: Jibril datang kepadaku dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu pernah berfirman, ‘Tahukah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan (nama)mu?’ Jibril menjawab, ‘Allah lebih mengetahui.’ Allah berfirman, Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula namamu bersama-Ku’.”

Kita boleh lihat sendiri bagaimana ini terjadi. Sentiasa sahaja nama Rasulullah SAW disebut bersama dengan nama Allah – dalam Syahadah, dalam Azan, tasyahud dan sebagainya. Ini adalah penghormatan yang amat besar kepada baginda.

Jadi, kita telah senaraikan banyak sekali nikmat-nikmat yang disusun oleh para ulama’. Tentunya ada lagi yang tidak mampu kita masukkan.

Kembali kepada penelitian tentang lughah (bahasa) yang digunakan dalam ayat 1 ini. Kita lihat Allah berfirman menggunakan kalimah أَعطَيناكَ (Kami telah memberikan). Ada beberapa kalimah lain yang boleh digunakan untuk bermaksud ‘memberi’ seperti, kalimah اتي (beri) sebagaimana yang digunakan dalam Ali Imran:26

قُلِ اللَّهُمَّ مالِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki

Kalimah اتي digunakan dalam ayat ‘Ali Imran ini, tapi kalimah اتي bukanlah pemberian yang ‘sempurna’. Maksudnya, Allah boleh beri, tapi Allah juga boleh tarik balik. Sebagai contoh dalam ayat ‘Ali Imran di atas, Allah sebut bagaimana Allah boleh beri kerajaan kepada sesiapa yang Dia mahu dan Allah juga boleh tarik balik kerajaan itu daripada mereka.

Begitu juga, kalimah اتي adalah pemberian yang datang bersama dengannya tanggungjawab. Sebagai contoh, kerajaan yang diberikan kepada manusia dalam ayat ‘Ali Imran di atas datang dengan tanggungjawab untuk memerintah dengan adil dan saksama. Maksudnya, bukannya pemberian begitu sahaja.

Satu lagi contoh adalah dalam Surah al-Baqarah:146

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil)

Allah telah beri kepada Ahli Kitab itu dengan kitab wahyu. Mereka juga mestilah menerima dan mengamalkan serta menyampaikan kepada manusia lain. Bukan terima begitu sahaja.

Selain dari kalimah اتي, kalimah lain yang membawa maksud ‘memberi’ adalah هب iaitu memberi hadiah kepada seseorang. Ini seperti yang digunakan dalam Surah Furqan:74

رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزواجِنا وَذُرِّيّاتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami),

Pasangan hidup dan anak-anak adalah hadiah besar daripada Allah – kerana tidak semua manusia mendapat kelebihan ini.

Jadi, ada kalimah lain yang boleh digunakan untuk membawa maksud ‘beri’, tapi Allah tidak gunakan dalam ayat 1 Surah al-Kawthar ini. Allah menggunakan kalimah أَعطَي dari kata dasar ع ط و yang juga bermaksud ‘beri’. Tapi, tentunya lain dari kalimah اتي dan هب itu.

Dalam Arab klasik, ianya bermaksud adalah pemberian yang tidak dijangka-jangka. Berlainan dengan kalimah عجرٌ (upah). Kerana kalau upah, kita tahu yang kita akan dapat pemberian, bukan? Tapi, kalau kalimah أَعطَي digunakan, ia bermaksud orang yang menerima pemberian itu tidak menyangka yang dia akan dapat pemberian itu. Ini yang pertama.

Yang keduanya, kalimah أَعطَي digunakan untuk pemberian yang besar, bukan yang kecil-kecil.

Yang ketiga, kalimah أَعطَي digunakan untuk pemberian yang tidak ada tanggungjawab bersamanya. Kita telah gunakan contoh dalam Surah ‘Ali Imran:26 dan Surah al-Baqarah:146 di atas bagaimana kalimah اتي digunakan dalam ayat itu kepada pemberian yang ada tanggungjawab bersamanya. Oleh itu, kalau pemberian أَعطَي digunakan, ianya adalah pemberian yang kita terima begitu sahaja – ianya hak kita dan tidak perlu beri semula dan tidak perlu buat apa dengannya (boleh terus gunakan sahaja).

Ianya untuk memberi nikmat kepada kita. Dan begitulah pemberian yang Allah berikan kepada Rasulullah SAW – ianya untuk kenikmatan baginda dan tidak ada tanggungjawab bersamanya yang perlu Nabi penuhi (berbeza dengan pemberian yang lain seperti Al-Qur’an – ini Nabi ada tanggungjawab untuk amal dan sampaikan). Akan tetapi, seperti yang kita telah sebut, pemberian dalam bentuk الكَوثَرَ yang Allah berikan kepada baginda ini, tidak akan ditarik semula daripada baginda.

Kalimah أَعطَيناكَ adalah dalam bentuk past tense (fi’il mudhari’). Maksudnya, Allah ‘telah’ memberi kepada baginda. Bukan ‘akan’ beri, tapi ‘telah’ diberi kepada baginda. Tapi, baginda tidak dapat melihat keseluruhan nikmat itu semasa hayat baginda, bukan? Jadi, kenapa digunakan ‘past tense’ dalam ayat ini?

Oleh itu, kita hendaklah faham penggunaan ‘past tense’ dalam Al-Qur’an. Ini adalah dari pembelajaran balaghah yang membawa maksud tertentu yang tidak difahami kalau tidak belajar balaghah (kalau belajar bahasa Arab sahaja tidak cukup). Oleh itu, kalau digunakan ‘past tense’ dalam bahasa Arab, ia hendak membawa maksud tertentu:

1 – Perkara yang telah berlaku, kita tahu yang ianya telah pasti, bukan? Kalau esok belum tentu lagi berlaku, tapi kalau yang semalam sudah pasti telah berlaku.

Oleh itu, apabila Allah menggunakan kalimah dalam bentuk past tense untuk perkara yang belum berlaku lagi, ini hendak menunjukkan ‘kepastian’ – ianya pasti akan Allah jalankan, akan terjadi. Sebagai contoh, kalau Hari Kiamat Allah gunakan dalam bentuk ‘past tense’ juga kerana ianya pasti akan berlaku.

Oleh itu, apabila Allah menggunakan kalimah أَعطَيناكَ dalam Surah al-Kawthar ini, walaupun Allah belum beri lagi kesemua nikmat itu kepada baginda, tapi Allah hendak memberitahu kita dengan cara ‘balaghah’, yang ianya pasti akan diberikan kepada baginda, tidak syak lagi. Kerana yang berjanji ini adalah Allah. Kalau kita berjanji hendak lakukan, belum tentu kita boleh lakukan lagi, tapi kalau Allah yang berjanji, sudah pasti ia akan berlaku.

2 – Penggunaan kalimah dalam bentuk past tense juga memberitahu kita yang perkara itu sudah lengkap terjadi. “Saya sudah makan” tentu lain maksudnya dengan “saya akan makan”, atau “saya sedang makan”, bukan?

Oleh itu, kalau kita ambil maksud ini juga boleh – maksudnya Allah hendak memberitahu kita yang Allah juga sudah memberi nikmat yang sangat banyak kepada baginda, walaupun mungkin baginda tidak nampak dengan mata zahir. Juga pemberian itu akan berterusan lagi walaupun baginda sudah wafat.

Mari kita kembali lihat kepada kalimah الكَوثَرَ itu dan kita bincangkan dari segi bahasa pula. Kalimah الكَوثَرَ adalah dalam bentuk mubalaghah مبالغة (bersangatan, extreme). Mubalaghah bukanlah bermaksud berlebih-lebih. Ianya hendak menguatkan sesuatu perkara, tapi ia tetap benar.

Kalau berlebih-lebihan, itu sudah berkata perkara yang tidak betul pula. Orang kita kata: ‘tambah perisa’. Al-Qur’an banyak menggunakan konsep mubalaghah tapi tidak ada mempunyai maksud berlebih-lebihan di dalamnya. Kita hendaklah faham perkara ini kerana ramai yang salah sangka, mereka tidak faham penggunaan mubalaghah.

Oleh itu, الكَوثَرَ bermaksud nikmat yang bukan sahaja banyak, tetapi sangat dan teramat banyak. Ini adalah kerana dalam kalimah الكَوثَرَ itu, ada ditambah dengan huruf و yang memberi isyarat yang ianya dalam bentuk mubalaghah. Kalau kalimah كثير (dengan ditambah ي padanya) sudah bermaksud sangat banyak, tapi kalau ditambah dengan huruf و ianya lebih kuat lagi dari huruf ي.

Oleh itu, secara ringkasnya:
1 – Kathra كثر bermaksud ‘banyak’
2 – Katheer كثير menambah lagi makna ‘banyak’ itu. Jadi ia lebih banyak dari كثر.
3 – KaWthar كوثر pula lebih banyak lagi dari كثير, oleh itu ia bermaksud banyak dan banyak dan banyak lagi.

Begitulah penggunaan bahasa dalam bahasa Arab. Jadi, memang kerana inilah bahasa Arab adalah satu bahasa yang amat indah dan perlu dipelajari.

Dalam penggunaan orang Arab, apabila digunakan kalimah كوثر, ia bermaksud sesuatu yang berharga dan banyak serta mereka akan sangat menjaga supaya tidak dicuri. Oleh itu, kalimah كوثر pasti merujuk kepada sesuatu yang bernilai dan berharga. Kalau كثير sahaja, ia bermaksud ‘banyak’, tapi boleh baik ataupun tidak. Ini menekankan bahawa, apa-apa yang Allah beri kepada Nabi Muhammad SAW itu adalah baik-baik sahaja dan bernilai tinggi.

Ada juga perbincangan tentang ال dalam kalimah الكَوثَرَ itu. Seperti kita tahu, apabila ada ال, ia merujuk kepada sesuatu yang pasti (sebagai contoh, tidak sama antara ‘a car’ dan ‘the car’. Kalau ‘the car’ digunakan, ia merujuk kepada kereta yang spesifik).

Oleh kerana itu, ada yang mengatakan الكَوثَرَ merujuk kepada sesuatu yang spesifik (dalam bahasa Arab dipanggil makrifah – yang dikenali). Dan kalau tidak ada ال, ia boleh merujuk kepada banyak benda. Oleh itu, pendapat ini mengatakan, kalau yang digunakan adalah كَوْثَراً, bolehlah dikatakan ianya merujuk kepada banyak jenis nikmat, tapi yang digunakan adalah الكَوثَرَ dengan tambahan ال.

Oleh kerana itu, pendapat ini mengatakan, الكَوثَرَ merujuk kepada Telaga Kawthar yang berada di syurga dan di Mahsyar itu. Juga, ini ada sandarannya dalam satu hadith:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, dari Al-Mukhtar ibnu Fulful, dari Anas ibnu Malik yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. menundukkan kepalanya sejenak, lalu beliau mengangkat kepalanya seraya tersenyum. Beliau bersabda kepada mereka, atau mereka bertanya kepada beliau SAW, “Mengapa engkau tersenyum?” Maka Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku suatu surat.” Lalu beliau membaca firman-Nya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu Al-Kautsar. (Al-Kautsar: l), hingga akhir surat. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Tahukan kalian, apakah Al-Kautsar itu?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda:

«هُوَ نَهْرٌ أَعْطَانِيهِ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ فِي الْجَنَّةِ عَلَيْهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ، تَرِدُ عَلَيْهِ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ آنِيَتُهُ عَدَدَ الْكَوَاكِبِ يُخْتَلَجُ الْعَبْدُ مِنْهُمْ، فَأَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّهُ مِنْ أُمَّتِي، فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ»

Al-Kautsar adalah sebuah sungai (telaga) yang diberikan kepadaku oleh Tuhanku di dalam syurga, padanya terdapat kebaikan yang banyak, umatku kelak akan mendatanginya di hari kiamat; jumlah wadah-wadah (bejana-bejana)nya sama dengan bilangan bintang-bintang. Diusir darinya seseorang hamba, maka aku berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya dia dari umatku.” Maka dikatakan, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang telah dibuat-buatnya sesudahmu.”

Syarah: yang dihalau itu adalah kerana dia mengamalkan amalan dan fahaman bidaah. Iaitu perkara yang Rasulullah tidak pernah ajar dalam hal agama, tapi ditokok tambah kemudiannya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Memang salah satu pendapat tentang maksud الكَوثَرَ itu adalah ‘haudh’ (telaga) di Mahsyar itu seperti yang disebut di atas. Tapi, dari segi bahasa, apabila adjektif (‘banyak’ adalah satu adjektif) digunakan, tanpa disebut isim (kata nama)nya, maka ia boleh merujuk kepada benda yang banyak, walaupun ال diletakkan padanya.

Jadi, dalam surah ini juga, Allah tidak sebut apakah ‘isim’ yang dimaksudkan. Oleh itu, tidak salah kalau kita ambil pendapat yang mengatakan ia bukan sahaja bermaksud Telaga Kawthar itu, tapi ia juga termasuk perkara-perkara yang lain.

Kalimah إِنّا (Sesungguhnya Kami) digunakan sebagai penekanan. Dari segi nahu bahasa Arab, kalau tidak diletakkan إِنّا juga, terjemahan adalah sama sahaja. Ini adalah kerana maksud ‘Kami’ sudah ada dalam أَعطَيناكَ (Kami memberikan kepada engkau). Tapi sebagai penekanan, Allah tambah juga kalimah إِنّا itu dan dari segi balaghah, ada maksud yang tinggi.

Jadi, apabila kita terjemah penuh Ayat 1 ini begini: “Sesungguhnya Kami, Kami telah memberimu kebaikan yang amat banyak” (perhatikan pengulangan kalimah ‘Kami’ itu – ini menguatkan lagi ayat ini).

Kenapa gunakan kalimah إِنّا dan tidak terus menggunakan kalimah نحن? Kenapa tidak ُنَحن أَعطَيناكَ الكَوثَرَ? Ini adalah kerana إن (digabungkan dengan نحن menjadi إِنّا) adalah kalimah taukid (penekanan). Ianya digunakan untuk menghilangkan keraguan.

Ini adalah kerana ada manusia yang tidak sangka Allah memberikan kebaikan yang banyak kepada Rasulullah SAW. Kerana yang mendengar ayat ini adalah Musyrikin Mekah yang menolak pemberian nikmat kepada Nabi Muhammad SAW itu – mereka menolak kenabian Rasulullah SAW, mereka tidak percaya yang Rasulullah SAW itu seorang Nabi dan Allah telah memilih baginda. Oleh kerana penolakan dan ketidakpercayaan mereka itu, maka Allah gunakan kalimah إِنّا.

Juga kalimah إِنّا ini memberikan keyakinan kepada baginda yang pasti baginda akan diberi dengan segala nikmat yang baginda akan redha. Baginda memerlukan penegasan kerana baginda waktu itu memang terganggu jiwanya disebabkan baginda baru sahaja kehilangan anak dan Musyrikin Mekah menggunakan peluang itu untuk menjatuhkan semangat baginda. Maka, Allah angkat semula semangat baginda dengan diberikan ayat ini dalam bentuk penegasan.

Rasulullah SAW ada dua anak lelaki dari Khadijah r.a. Seorang bernama Qasim yang telah meninggal dunia dan seorang lagi bernama Abdullah. Abdullah juga meninggal pada waktu kecil. Waktu dia meninggal, yang pertama kali tahu tentang perkara ini adalah Abu Lahab (kerana rumah mereka berdekatan).

Kita mesti ingat yang Abu Lahab ini adalah bapa saudara baginda sendiri. Tapi, dialah penentang kuat kepada dakwah Rasulullah SAW. Apabila dia tahu yang Rasulullah SAW baru kehilangan anak lelaki, dia telah gembira dan meraikan kejadian itu. Bayangkan jahatnya Abu Lahab itu – anak saudaranya sendiri kehilangan anak yang kecil dan dia boleh meraikan kematian tersebut?

Dia menjadi gembira kerana Nabi Muhammad SAW tidak ada anak lelaki. Mereka memang selalu mencari peluang untuk menjatuhkan nama dan semangat baginda serta ini adalah peluang baru untuk mereka. Maka , Allah berikan ayat ini dengan penekanan dengan إِنّا. Kerana Allah tahu bagaimana hati baginda dan ini disebut dalam Surah Hijr:97

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

Bayangkan waktu itu baginda mesti beri dakwah kepada mereka, tapi orang yang sama juga menghina dan hendak menjatuhkan semangat baginda. Namun begitu, Allah tetap suruh baginda bersabar dengan mereka. Baginda tidak boleh lawan mereka, malah mesti terus memberi dakwah kepada mereka dan baginda lakukan perkara itu selama 10 tahun baginda di Mekah!

Tidak dapat dibayangkan pada akal fikiran bagaimana perasaan baginda waktu itu. Waktu orang lain menyerang kita dan menjatuhkan semangat serta nama kita, kalau waktu itu ada orang yang datang menasihati kita dan mengatakan hal yang baik tentang diri kita, tentu kita akan berasa sedikit lega, bukan?

Begitulah Allah hendak menenangkan hati Nabi dan memberikan khabar gembira kepada baginda. Kalau mereka berkata yang Nabi tidak ada apa-apa (tidak ada harta, kedudukan dan anak lelaki), Allah memberitahu baginda yang baginda akan dapat banyak lagi kebaikan, malah lebih banyak dari pada mereka, lebih dari yang dapat dibayangkan oleh akal.

Juga apa yang Allah beri, tidak ada sesiapa boleh tarik semula pemberian tersebut melainkan Allah sahaja. Kita  juga telah bincangkan bagaimana kalau digunakan kalimah أعطى, ianya adalah pemberian yang tidak ditarik semula. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada baginda dan tidak diberikan kepada orang lain selain baginda.

Lihatlah bagaimana penggunaan kalimah yang Allah gunakan adalah tepat dan ada makna-makna tersirat yang tidak dapat diketahui kalau tidak belajar bahasa Arab dan belajar tafsir Al-Qur’an. Maka, teruskanlah pembelajaran ini.

Kita berhenti dulu di sini dan akan sambung kemudian di bahagian ke-2. Allahu a’lam.

Kemaskini: 28 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Kawthar: Pengenalan

Pengenalan: 

Musyrikin Mekah berdoa supaya Nabi Muhammad SAW tidak dapat anak lelaki kerana mereka sangat benci kepada baginda. Mereka juga takut jika baginda ada keturunan, mereka akan susah pula untuk berhadapan dengan anaknya.

Oleh itu, mereka tidak mahu baginda ada keturunan langsung. Ini adalah kerana pada mereka, baginda seorang sudah susah untuk dilayan, lagikan pula kalau ada lagi seorang. Maka, kerana keinginan mereka itu, Allah turunkan surah ini untuk memberitahu orang yang benci kepada baginda. Allah memberitahu dalam surah ini bahawa mereka itulah yang putus keturunan sebenarnya, bukan Nabi Muhammad SAW.

Kerana itu, mereka yang menentang Rasulullah SAW tidak ada keturunan. Jikalau ada sekali pun, keturunan mereka tidak akan mengaku juga. Contohnya, anak cucu Abu Lahab tidak akan mengaku juga yang mereka itu keturunan Abu Lahab atau Abu Jahal kerana sangat malu.

Begitulah kesan kalau orang yang benci Nabi Muhammad SAW, benci sunnah Nabi, mereka memang tidak selamat keturunan mereka. Maka, kita hendaklah berhati-hati dengan perkara ini. Jangan kita termasuk orang yang menghina dan mengutuk sunnah Nabi Muhammad SAW.

Surah-surah yang di akhir juzuk ini adalah tentang Nabi Muhammad SAW. Penting untuk kita mengkajinya supaya kita tahu apakah yang baginda lalui dan apa yang baginda lakukan. Kerana kita hendaklah terus mengambil tugas baginda untuk menyampaikan agama ini kepada manusia. Maka, kita mesti mengambil contoh daripada baginda.

Beginilah cara untuk tunjuk cinta kepada baginda, bukannya menyanyi selawat di majlis-majlis tertentu, mereka-reka selawat yang tidak diajar oleh baginda, menyanyi qasidah di stadium dan dewan besar, sambut mawlid dan sebagainya. Kita semua sayang baginda dan mahu contohi baginda. Tapi, bagaimana cara kita melakukannya yang berbeza – ada yang ikut cara sunnah dan ada yang ikut cara bidaah.

Penting untuk kita tahu perjalanan dakwah Rasulullah SAW kerana ianya menjadi contoh kepada kita. Kita yang dalam menjalankan kerja dakwah ini juga akan melaluinya. Tapi selalunya tidaklah seteruk apa yang baginda lalui. Maka, kita juga tentulah berasa tenang sedikit dan terubat gundah gulana itu; terdetiklah dalam hati kita: “apa yang aku lalui ini tidaklah seteruk apa yang baginda lalui…”

Surah al-Kawthar ini diturunkan di Mekah dan ia adalah surah yang menceritakan tentang nikmat besar yang Allah berikan kepada baginda Rasululullah SAW. Juga betapa sayangnya Allah kepada baginda. Disebut tentang pemberian kepada baginda dalam hal dunia dan di akhirat kelak.

Ayat 1 surah ini menyebut tentang nikmat yang diberikan kepada baginda; Ayat 2 pula memberitahu yang baginda mestilah bersyukur di atas nikmat-nikmat itu; Ayat 3 pula memberitahu bahawa mereka yang memusuhi Nabi akan disumpah laknat. Mereka tidak akan mendapat nikmat dunia dan akhirat (berlawanan dengan apa yang Nabi dapat). Itulah ringkasan surah ini yang kita akan kupas selepas ini satu persatu.

 

Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya: 

Dalam Surah al-Ma’un, Allah telah memberitahu 4 sifat buruk orang kafir (musyrikin atau munafik). Mari kita lihat satu persatu dan kaitannya dengan Surah al-Kawthar ini:

1- Bukhl – bakhil/kedekut dan menolak anak yatim jauh daripada mereka dan tidak menggalakkan memberi makan kepada mereka yang susah. Mereka tidak menolong dan menggalakkan orang lain, kerana mereka takut orang akan tanya semula kepada mereka: kenapa mereka sendiri tidak menolong orang susah?

2 – Lalai tentang solat. Kerana mereka tidak mementingkan solat, mereka tidak kisah tentang solat. Mereka ambil acuh tidak acuh sahaja dan mereka  juga tidak kisah kalau mereka tertinggal solat. Mereka juga akan solat di hujung waktu sahaja kerana ianya tidak penting kepada mereka, jadi mereka melakukan solat seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

3 – Menunjuk-nunjuk di dalam solat.  Kalau mereka solat sekalipun, itu adalah kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain sahaja. Maksudnya, mereka tidak ikhlas di dalam solat mereka. Mereka mahu orang nampak mereka seperti seorang yang warak.

4 – Mereka tidak mahu membantu orang lain, walaupun dengan bantuan yang kecil dan tidak menyusahkan mereka (al-Ma’un). Begitu teruk sekali mereka itu. Sedangkan perkara kecil itu bukan menyusahkan apatah lagi merugikan mereka.

Itulah 4 perkara utama yang disebut dalam Surah al-Ma’un. Bagaimana kesinambungan tentang 4 perkara ini dalam Surah al-Kawthar pula? Kita akan lihat bagaimana 4 perkara ini ada timbal balik dalam Surah al-Kawthar ini:

1 – Bukhl disebut dalam Surah al-Ma’un. Dan dalam Surah al-Kawthar ini disebut tentang banyak nikmat yang diberikan kepada kita. Jadi, apabila diberikan nikmat, maka hendaklah juga memberi kepada orang lain (berlawanan dengan bukhl).

Ini mengingatkan kita supaya jangan jadi bakhil. Sangat banyak perkara yang Allah berikan kepada kita dari pelbagai bentuk rezeki, maka kita hendaklah juga membantu orang lain. Ini seperti yang diingatkan kepada Quraish dalam Surah Quraish di mana Allah mengingatkan nikmat yang banyak diberikan kepada mereka.

2 – Dalam Surah al-Ma’un telah disebut bagaimana mereka tidak menjaga solat mereka. Juga dalam Surah Al-Kawthar ini akan disebut tentang arahan solat dari Allah. Allah menyuruh Rasulullah SAW dan orang Islam untuk menjaga solat serta jangan main-main dengan solat.

3 – Dalam Surah al-Ma’un disebut bagaimana mereka menunjukkan solat mereka (riak). Dalam Surah al-Kawthar ditekankan yang kita solat فَصَلِّ لِرَبِّكَ (solat kerana Allah). Apabila kita solat kerana Allah, maka kita solat dalam ikhlas dan bukannya menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

4 – Surah al-Ma’un menyebut tentang orang kafir yang tidak mahu membantu, walaupun dalam perkara yang kecil. Dalam Surah al-Kawthar ini disebut tentang نحَر (korban) iaitu sembelihan korban.

Dalam berkorban, memerlukan pengeluaran wang. Juga selepas binatang dikorbankan, dagingnya diserahkan kepada orang yang memerlukannya. Dengan mengeluarkan wang dan memberi daging sembelihan kepada orang lain, memerlukan kita untuk membunuh sifat bakhil, tamak dan kedekut serta mengajar kita untuk memberi walaupun dalam kadar yang sedikit.

Jadi, kita sudah nampak bagaimana ada tautan antara dua surah yang berturutan ini. Dengan mengetahuinya, menambahkan rasa kagum kita dengan susunan surah-surah dalam Al-Qur’an. Susunan ini bukanlah susunan yang biasa atau tidak sengaja tapi memang disusun begitu oleh Allah.

Akhir sekali, kita telah belajar sifat mereka yang tidak menerima dakwah Nabi Muhammad SAW dan memusuhi baginda – disebut sifat-sifat mereka dalam Surah al-Ma’un. Juga dalam Surah al-Kawthar ini disebut pula nasib mereka – mereka akan menjadi الأَبتَرُ yang akan diterangkan nanti dalam penerangan ayat satu persatu.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung dengan Ayat 1.

Kemaskini: 28 September 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan