Tafsir Surah Baqarah Ayat 144 – 145 (Kenapa kita menghadap arah Kaabah?)

Ayat 144: Ini adalah Ayat Tasliah, ayat untuk memujuk Nabi ﷺ. Nabi ﷺ telah menghadap ke Kaabah apabila mula kenal salat semasa di Mekah (ada pendapat lain yang mengatakan Nabi semasa di Mekah pun terus kena menghadap ke BaitulMaqdis). Tetapi apabila baginda dan para sahabat sudah berhijrah ke Madinah, mereka kena menghadap ke BaitulMaqdis.

Maka baginda taat, akan tetapi dalam hatinya baginda hendak sangat kembali menghadap ke Kaabah kerana itulah kiblat Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh itu baginda selalu menunggu-nunggu turunnya wahyu memberi arahan untuk menghadap ke Kaabah.

قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضَٮٰهَا‌ ۚ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ لَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا يَعمَلونَ

Sahih International

We have certainly seen the turning of your face, [O Muhammad], toward the heaven, and We will surely turn you to a qiblah with which you will be pleased. So turn your face toward al-Masjid al-Haram. And wherever you [believers] are, turn your faces toward it [in prayer]. Indeed, those who have been given the Scripture well know that it is the truth from their Lord. And Allah is not unaware of what they do.

Malay

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

 

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ

Sesungguhnya Kami selalu melihat muka kamu mendongak ke langit;

Dalam masa 16 atau 17 bulan yang orang Islam disuruh untuk menghadap BaitulMaqdis di dalam salat semasa di Madinah, Nabi ﷺ selalu mengangkat muka baginda menghadap ke langit. Tetapi baginda tidak bercakap apa-apa pun. Baginda mendongak ke langit itu sebenarnya dalam keadaan mengharap supaya Allah ‎ﷻ mengubah kiblat ke Baitullah.

Namun baginda tidak berani meminta kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak tergamak kerana kiblat waktu itu telah disyariatkan oleh Allah ‎ﷻ. Jadi baginda tidak mahu mendesak Allah ﷻ untuk mengubahnya. Tetapi baginda sangat sayangkan Baitullah kerana ia adalah kiblat dari zaman Nabi Ibrahim عليه السلام lagi. Maka baginda hanya memandang ke langit sahaja dengan penuh pengharapan.

Semasa baginda di Mekah, memang sudah kena menghadap ke BaitulMaqdis dalam salat. Tetapi semasa di sana, boleh lagi baginda menghadap ke arah Kaabah dan BaitulMaqdis dalam masa yang sama kerana baginda boleh duduk dalam posisi mengadap kedua-duanya. Tetapi apabila berada di Madinah tidak boleh lagi berbuat begitu, maka baginda amat terasa perbezaan itu. Di Madinah, baginda terpaksa membelakangkan Kaabah dalam salat baginda.

Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat antara Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ. Macam emak kita, tengok muka kita pun sudah tahu kita ada masalah. Tentu Allah ﷻ lebih kenal baginda lagi. Nabi ﷺ tidak perlu bercakap apa-apa pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah memberikan apa yang baginda hendak.

Kalau dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام, ia diberikan selepas Nabi Musa عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi dalam kes Nabi Muhammad ﷺ tentang kiblat ini, Nabi ﷺ tidak memohon dengan lafaz pun, tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri.

 

فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرضَٮٰهَا‌ۚ

Maka Kami pindahkan kamu arah kiblat ke arah yang engkau redhai;

Allah ‎ﷻ sempurnakan hajat Nabi Muhammad ﷺ. Dan selepas Allah ‎ﷻ sempurnakan hajat baginda, maka turunlah ayat perlaksanaan pula, iaitu ayat ini. Ayat ini turun semasa salat Asar di Masjid Qiblatain (Masjid dengan dua kiblat).

Memang masjid itu adalah antara tempat elok untuk diziarahi. Dipanggil Qiblatain kerana ada dua qiblat pada masjid itu. Ada hadith berkenaan penukaran kiblat ini. Maka kalau ke Madinah, kena cari peluang untuk selalu solat di sana kerana ada kelebihan tertentu.

Semasa diberikan arahan tukar kiblat itu, sahabat telah berpusing dalam salat untuk mengubah arah kiblat. Kerana penukaran kiblat itu terjadi semasa mereka sedang salat. Bila turun sahaja ayat mengarahkan untuk menukar kiblat, Nabi ﷺ terus berpusing dan sahabat terus ikut. Nabi ﷺ yang ada di hadapan sebagai imam terus jadi berdiri di belakang setelah terjadi pemusingan itu.

Manakala sahabat yang sudah salat itu, pergi ke masjid lain dan laungkan kepada orang lain yang sedang salat bahawa qiblat telah berpindah. Maka, yang dalam masjid dan sedang salat itu pun berpusing juga.

Selepas berpusing itu, mereka kena bergerak dalam kadar yang jauh untuk memperbetulkan kembali saf. Ini menjadi dalil bahawa tidak salah kalau bergerak banyak dalam solat jikalau ada keperluan. Tidak terhad kepada tiga pergerakan seperti yang difahami oleh orang kita.

Dalam perkataan فَلَنُوَلِّيَنَّكَ itu, menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mengubah kiblat itu kerana Nabi ﷺ. Ini kerana amat kasihnya Allah ‎ﷻ kepada baginda.

 

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Maka hadapkanlah wajah kamu (dalam solat) ke arah Masjidilharam;

Ini adalah ayat perintah. Agama lain kata kita menyembah batu. Jangan kita mengiyakan kata-kata mereka kerana kerana kalau kita buat begitu, kita jadi kufur sebab kita iktikad sembah batu. Padahal kita menghadap ke arah Masjidil Haram itu adalah kerana kita diperintah oleh Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke arah itu.

Dalam hukum Feqah, menghadap kiblat adalah syarat sah salat sahaja, bukan rukun salat. Sebab itu ada waktu salat tidak hadap ke kiblat pun, macam salat waktu perang (Solat Khauf). Atau dalam musafir – kita duduk atas sampan, dan mungkin sampan itu berpusing dan kita tidak mengadap kiblat lagi – ini dibenarkan. Tetapi dalam Al-Qur’an banyak disebut tentang kiblat. Kenapa?

Kerana hal kiblat ini perlu diperjelaskan kerana kalau ada yang salah faham, sudah nampak macam sembah selain Allah ‎ﷻ – sembah batu, sembah dinding, sembang tongkat, sembah tiang dan sebagainya. Dan memang ada orang kafir kata kita sembah dinding dan sembah batu Kaabah. Lalu apa beza kita dengan mereka?

Mereka kata mereka hanya sembah patung kecil sahaja, sedangkan kita sembah bangunan yang lebih besar – 30 kaki tingginya Kaabah itu. Ini adalah hujah dari mereka dan kalau tidak belajar, tidak boleh hendak jawab tuduhan mereka.

Jadi kena beri dua jawapan kepada isu ini. Pertama, kita menghadap kiblat ini adalah kerana arahan dari Allah ‎ﷻ Tuhan kita. Ia ada dalam Al-Qur’an sepertimana ayat yang kita sedang baca ini dan ayat-ayat lain. Kalau Allah ‎ﷻ suruh kita menghadap ke arah yang lain pun kita akan ikut juga kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ.

Dan kita bukannya pernah menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun tidak ada di Kaabah. Ia diambil oleh Puak Qaramitah (salah satu dari mazhab Syiah Ismailiah) pada tahun 317H. Walaupun Hajarul Aswad tidak ada di situ, umat Islam tetap salat mengadap ke arah Kaabah juga.

Dan tidaklah kita juga menyembah Kaabah. Kalaulah Kaabah itu tidak ada (mungkin kena runtuh, kena bom), kita tetap menghadap ke arah itu juga. Kerana kita kena ada arah yang satu. Kalau tidak, dalam salat jemaah kita hendak menghadap ke mana?

Salah satu hikmah Allah ‎ﷻ suruh kita menghadap Mekah kerana ia adalah pusat dunia. Memang kalau buka peta dunia sekarang pun dan tunjuk kedudukan Mekah, ia berada di tengah-tengah peta. Allah ‎ﷻ yang menjadikan bumi dan Dia telah jadikan Mekah sebagai pusat dan Dia telah menentukannya sebagai kiblat kita.

Kedua, kita tidak ada rasa apa-apa dengan Kaabah itu sepertimana penyembah berhala rasa terhadap berhala dan patung mereka. Mereka semasa seru roh, wali dan dewa mereka, mereka jadikan roh itu dalam bentuk patung sebagai kiblat tawajjuh (tempat menghadap), tetapi kita orang Islam tidak buat begitu.

Semasa mereka menghadap kepada patung itu, mereka sembah roh yang mereka iktikad ada dalam patung itu. Mereka pun hanya memandai sahaja, padahal sebenarnya dalam kitab asal mereka pun tidak suruh mereka berbuat begitu.

Sedangkan kita menghadap ke arah Kaabah kerana memang Allah ‎ﷻ yang suruh. Kalau kita rasa yang Kaabah itu boleh selesaikan masalah, boleh buat itu dan ini, maka itu pun Syirik juga. Tetapi iktikad kita, Kaabah dan Hajarul Aswad itu tidak mempunyai kuasa apa-apa. Seperti kata Umar رضي الله عنه kepada Hajarul Aswad semasa beliau menciumnya.

عَنْ عَابِسِ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ رَأَيْتُ عُمَرَ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَأَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُقَبِّلُكَ لَمْ أُقَبِّلْكَ

“Dari ‘Abis bin Robi’ah, dia berkata, “Aku pernah melihat ‘Umar (bin Al Khottob) mencium Hajar Aswad. Lantas ‘Umar berkata, “Sesungguhnya aku menciummu dan aku tahu bahawa engkau hanyalah batu. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah ﷺ menciummu, maka tentu aku tidak akan menciummu.” (HR. Bukhari no. 1597, 1605 dan Muslim no. 1270).

Alhamdulillah, dengan kata-kata Umar رضي الله عنه ini, kita dapat faham kedudukan Kaabah itu.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah dalam bentuk kebenaran yang diberikan kepada Nabi ﷺ untuk menghadap ke MasjidilHaram sebab Nabi ﷺ hendak begitu. Walaupun Nabi ﷺ tidak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ tahu isi hati baginda.

 

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya;

Ayat ini pula ditujukan kepada semua umat Islam. Ia adalah dalam bentuk arahan. Maknanya, bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang kena menghadap ke MasjidilHaram. Sama ada kita dalam dalam musafir, atau kita berada di mana-mana, kena menghadap ke arah Masjidil Haram.

“Di mana sahaja kamu berada” – bermakna, bukan di Masjid Nabi sahaja kena mengadap ke MasjidilHaram. Kalau di mana-mana tempat di dunia ini pun, kena menghadap ke MasjidilHaram.

 

وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلكِتَـٰبَ

Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberi Kitab;

Iaitu golongan ulama’ dari Bani Israil.

 

لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّهِمْ

mereka sesungguhnya sudah tahu bahawasanya kiblat itu adalah benar dari Tuhan mereka;

Mereka amat tahu tentang Kaabah kerana dalam Taurat telah tertulis bahawa Nabi akhir zaman itu akan menghadap ke arah BaitulMaqdis seketika dan kemudian akan menghadap ke Masjidilharam.

 

وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang mereka lakukan;

Iaitu Allah ‎ﷻ tidak lalai tentang keengkaran mereka berkenaan arah kiblat ini. Mereka telah menutup kisah tentang kiblat ini yang ada dalam kitab mereka. Mereka menyorok ilmu sampaikan umat mereka tidak tahu dan menyalahkan apa yang Nabi ﷺ lakukan.

Padahal, kalau umat Bani Israil itu diberitahu bahawa ia memang ada dalam kitab mereka, tentu mereka pun akan nampak kebenaran Nabi Muhammad ﷺ dan agama Islam.

Makna Allah ‎ﷻ ‘tidak lalai’ itu bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ bukan buat tidak tahu sahaja. Allah ‎ﷻ tulis dan rekod apa yang mereka lakukan.


 

Ayat 145: Ini adalah ayat Zajrun. Allah ‎ﷻ memberi ancaman kepada orang Islam.

وَلَئِن أَتَيتَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءآيَةٍ مّا تَبِعوا قِبلَتَكَ ۚ وَما أَنتَ بِتابِعٍ قِبلَتَهُم ۚ وَما بَعضُهُم بِتابِعٍ قِبلَةَ بَعضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم مِّن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

And if you brought to those who were given the Scripture every sign, they would not follow your qiblah. Nor will you be a follower of their qiblah. Nor would they be followers of one another’s qiblah. So if you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, indeed, you would then be among the wrongdoers.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

 

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلكِتَـٰبَ

Sekiranya kamu mendatangkan kepada orang yang telah diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu

Allah ‎ﷻ beritahu kedegilan Ahli Kitab itu. Walaupun kita berikan dalil, mereka tidak akan terima kebenaran tentang kiblat itu.

 

بِكُلِّ ءآيَةٍ

dengan semua dalil-dalil bukti

Kalau bagi macam-macam bukti pun mereka tidak akan mengikut kiblat orang Islam. Walaupun kita bagi mereka bermacam-macam hujjah. Mereka hanya hendak berdebat sahaja sebenarnya.

Jangan kita sangka hujjah kita tidak kuat dan sebab itulah mereka tidak ikut. Sebenarnya, mereka tidak akan ikut walaupun apa kita kata. Ini kerana niat hati mereka bukan hendakkan kebenaran, tetapi hendak berhujjah dan berdebat sahaja.

Begitu jugalah kalau kita berdebat dengan orang-orang Islam yang tidak mahu mengikut jalan sunnah. Walau bagaimana hebat pun hujjah yang kita berikan, hati mereka tidak mahu terima.

 

مَّا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ

mereka sekali-kali tidak akan mengikuti kiblat kamu;

Mereka tidak mahu ikut kiblat itu hanya kerana kedegilan sahaja. Kalau mereka tidak mahu ikut itu sebab mereka jahil, kita masih boleh jelaskan lagi. Tetapi kalau degil, tidak ada ubat. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka kerana kedegilan mereka itu dan Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka tidak akan berubah kerana degil.

Dalam Taurat telah disebutkan bahawa apabila datang mana-mana Nabi, mereka kena taat. Namun mereka tidak taat kepada Nabi Isa عليه السلام. Dan mereka tidak mahu taat kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Kalau manusia sudah biasa mengamalkan sesuatu amalan dalam agama, mereka susah hendak ubah walaupun mereka diberikan dengan berbagai-bagai dalil. Ini jikalau mereka tidak ada pemikiran terbuka. Tambahan pula kalau mereka itu kononnya orang yang tahu tentang agama. Atau jikalau mereka itu pemimpin dalam masyarakat jadi mereka besar kepala.

Mereka yang ada kedudukan memang lagi degil hendak berubah ke arah kebenaran. Mereka masih lagi hendak pegang amalan-amalan mereka yang mereka sudah biasa buat itu. Ini kerana mereka takut status mereka akan jatuh. Mereka takut mereka akan dikatakan mengamalkan amalan yang salah sebelum itu.

 

وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ

Dan tidaklah kamu Muhammad akan mengikuti kiblat mereka;

Kiblat Yahudi adalah BaitulMaqdis. Kiblat Kristian juga sepatutnya berada di situ tetapi mereka telah mengubah kiblat mereka ke tempat lahirnya Nabi Isa عليه السلام, Bettlehem. Sepatutnya, sekarang apabila diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk berpindah kiblat ke Mekah, mereka kena ikut.

Kita dulu menghadap ke BaitulMaqdis. Tetapi sekarang mereka mengatakan yang kita hendakkan kepada Kubah tempat batu terapung tu. Padahal, bukan itu kiblat kita. Ramailah pula yang membuat syirik di situ. Dengan melawat tempat itu dan minta macam-macam. Itu bukan tempat salat, tetapi mereka ramai yang salat di situ kerana kononnya hendak ambil berkat. Begitulah kalau manusia yang jahil.

rock_quds
Batu yang dikatakan batu terapung di Palestin di Dome of the Rock. Tidak ada apa-apa dengan batu ini.

Kita sampai bila-bila pun tidak akan menghadap kepada kiblat mereka. Allah ‎ﷻ beri larangan kepada Nabi ﷺ tidak boleh mengikut kiblat mereka untuk mengambil hati mereka. Ini kerana agama bukan untuk mengambil hati orang tetapi mesti mengikut perintah Tuhan.

Macam sekaranglah juga, tidaklah boleh pergi juga ke Majlis Tahlil bidaah itu kerana hendak mengambil hati orang ramai atau kerana ahli keluarga kita yang buat. Bukan kerja kita untuk mengambil hati orang dan dalam masa yang sama menolak kehendak Allah ﷻ.

 

وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ

Dan sebahagian mereka tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain

Yahudi dan Nasara kiblat berlainan dan mereka tidak akan mengikut yang lain daripada kiblat mereka. Yahudi tidak akan mengikut kiblat Nasara dan Nasara pun tidak akan mengikut kiblat Yahudi.

Terdapat empat kumpulan yang disentuh dalam ayat ini: Yahudi, Kristian, Islam dan Musyrikin Mekah. Semuanya tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Musyrikin Mekah sebelum itu pun menghadap ke Kaabah juga. Tetapi daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa mereka tidak akan lama menghadap ke Kaabah. Mereka pun tidak akan ikut kiblat orang Islam.

Tidak akan dapat persetujuan oleh empat kumpulan ini dalam hal kiblat dan hal agama.

 

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika kamu ikuti hawa nafsu mereka itu

Ini adalah larangan dari Allah ‎ﷻ. Yang dimaksudkan di sini adalah mengikut mereka yang menggunakan dalil hawa nafsu mereka sahaja. Bukan menggunakan dalil yang sah dari Al-Qur’an dan hadith Nabi ﷺ.

 

مِّنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

sesudah datang kepada kamu dalil bukti dari Allah,

Kalau sudah dapat ilmu, maka tidak boleh ikut golongan yang sesat. Kerana itu adalah amat salah.

Maka begitulah kita setelah belajar, tidak mungkin kita hendak takutkan lagi dengan orang yang jahil? Kenapa kita pula kena ikut mereka buat perkara bidaah kerana takut mereka kutuk kita, pandang sinis kepada kita? Amat menghairankan apabila orang yang sudah belajar pula yang takut kepada orang yang tidak belajar?

 

إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

jika buat begitu, maka kamu termasuk dari golongan yang syirik kepada Allah.

Allah memberi peringatan kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini. Kalau baginda ikut mereka, baginda juga termasuk dalam golongan mereka juga. Walaupun Allah sayang kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi kalau Nabi ﷺ melakukan kesalahan, baginda juga akan dihukum.

Ayat ini juga sebagai dalil bahawa bukan Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Al-Qur’an. Memang ayat Al-Qur’an ini dari Allah ‎ﷻ. Bayangkan: Ayat ini adalah satu peringatan kepada baginda. Kalau baginda yang menulis Al-Qur’an sendiri, tidak mungkin baginda akan menulis ayat-ayat teguran kepada baginda seperti ayat ini? Banyak lagi ayat-ayat lain yang menegur perbuatan Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ yang tulis Al-Qur’an, tidak akan ada ayat-ayat sebegitu.

Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah hamba Allah ‎ﷻ juga. Kalau baginda buat salah, baginda juga akan dihukum. Supaya kita jangan jadi macam penganut Kristian yang terlalu menyanjung tinggi Nabi Isa عليه السلام sampaikan menaikkan taraf baginda sebagai tuhan.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya jangan mengikut hawa nafsu orang-orang yang bukan Islam. Kalau kita ikut mereka, kita pun akan termasuk dalam golongan mereka. Mereka tolak Al-Qur’an itu kerana ikut hawa nafsu mereka maka jangan kita ikut mereka. Kalau kita ikut juga mereka setelah sampai ilmu wahyu yang jelas, maka kita akan termasuk golongan yang betul-betul zalim. Sebab kita sudah tidak pakai wahyu dan ikut wahyu mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s