Quraish Ayat 2: Inilah kebiasaan nikmat yang golongan Quraish itu sentiasa dapat. Rombongan perniagaan mereka tidak diganggu semasa perjalanan perniagaan mereka itu. Ini adalah kerana kemuliaan Ka’bah.
Ayat 3 – 4 adalah Perenggan Makro Kedua. Sepatutnya mereka bersyukur dengan nikmat Allah itu dengan mentauhidkan dan menyembah Allah sahaja. Bukannya menjadikan Kaabah sebagai pusat menyembah berhala.
إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Their accustomed security [in] the caravan of winter and summer¹–
- i.e., the trading caravans that traveled south in winter and north in summer.
(MALAY)
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.
Ada pengulangan kalimah إيلافِ dalam ayat ini – kenapa? Kerana hendak menekankan (taukid) kalimah itu. Begitulah penggunaan ulangan dalam bahasa Arab klasik. Allah hendak menekankan perkara yang Allah telah lakukan untuk melembutkan hati mereka. Apa yang Allah telah lakukan? Antara yang kita tahu:
-
- Allah memusnahkan Tentera Abrahah
- Allah berikan mereka Ka’bah dan mereka diberi kelebihan sebagai penjaganya
- Mereka keturunan Nabi Ibrahim a.s.
- Allah bangkitkan Rasul terakhir Nabi Muhammad SAW dari kalangan mereka.
Kalimah إيلافِ dalam ayat pertama adalah dalam bentuk umum, dan إيلافِ yang kedua dalam ayat ini adalah spesifik. Kalau إيلافِ yang dalam bentuk umum itu tidak melembutkan hati mereka lagi, maka Allah akan sebut إيلافِ yang seterusnya yang sepatutnya pasti melembutkan hati mereka.
Jadi sekarang dalam ayat ini Allah sebut tentang kafilah mereka yang pergi berniaga ke luar kawasan mereka. Itulah رِحلَةَ dan ianya dalam bentuk mansub (tandanya berbaris atas) kerana ianya menjelaskan apakah yang diberikan kepada mereka.
Kenapa Allah gunakan kalimah رِحلَةَ untuk perjalanan mereka? Ada beberapa kalimah lagi yang boleh digunakan seperti:
Safar سفر – untuk perjalanan yang jauh.
Saaha ساحة (i.e. siyahah) – untuk perjalanan jalan-jalan seperti melancong.
Nafara نفر – perjalanan untuk berperang.
Memang ada banyak kalimah lain, tapi Allah menggunakan kalimah yang tepat dalam Al-Qur’an. Kalimah رِحلَةَ bermaksud perjalanan yang membawa barang seperti beg. Oleh kerana mereka pergi untuk berniaga, maka mereka membawa banyak muatan untuk perdagangan mereka. Sebab itu رِحلَةَ amat sesuai digunakan dalam ayat ini kerana hendak memperkatakan perjalanan perdagangan mereka.
Tentunya mereka akan bergerak dengan unta mereka sebagai binatang tunggangan. Dan mereka akan letak barang dagangan mereka di atas unta mereka itu. Unta bukan ada bonet untuk sorok barang itu, maka orang lain boleh nampak dari jauh yang mereka sedang bawa barang. Selalunya waktu itu memang akan kena kacau dan kena rompak oleh perompak jalanan.
Akan tetapi, tidak ada yang berani merompak mereka. Kalau orang lain dari selain Mekah yang bawa begitu, tentu mereka tidak selamat. Tapi Allah hendak mengingatkan mereka, walaupun mereka bawa barang yang boleh dinampak oleh orang, kamu masih selamat lagi. Perampok jalanan boleh kenal yang itu adalah rihlah dari Mekah, maka mereka tidak kacau.
Dan dalam perjalanan mereka itu, mereka boleh berhenti di mana-mana tempat sahaja yang mereka hendak. Mereka boleh berhenti ambil cuti dari berniaga. Orang lain kena terus berniaga kerana mereka akan susah kalau mereka tidak berniaga. Tapi Quraish sudah memang kaya dan tidak memerlukan pun perniagaan itu. Kalau mereka tidak berniaga pun, mereka sudah senang lenang duduk di Mekah, kerana makan dan pakai mereka sudah cukup. Mereka tidak perlu keluar dari Mekah dan mereka boleh berniaga di Mekah sahaja kerana memang penduduk sekitar tanah Arab yang akan datang kepada mereka.
Kebiasaan mereka adalah berdagang ke Syria dan Yaman. Mereka akan tukar pada satu waktu pergi ke Syria dan satu lagi ke Yaman. Mereka amat suka ke dua-dua tempat itu sampaikan mereka buat puisi tentangnya. Dalam musim sejuk, mereka akan pergi ke Yaman kerana Yaman panas pada waktu itu dan pada musim panas, mereka akan ke Syria kerana Syria lebih sejuk waktu itu. Mereka siap boleh pilih-pilih mana tempat mereka hendak pergi – ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali.
Kalimah رِحلَةَ dalam bentuk mufrad (satu) walaupun sebenarnya perjalanan Quraish itu ke dua tempat (satu pada musim sejuk dan satu lagi pada musim panas). Tapi disebut dalam bentuk mufrad sahaja kerana seolah-olah ianya satu perjalanan yang panjang. Mereka akan pergi ke Yaman, kemudian berhenti dan luangkan masa sekejap di Mekah dan kemudian sambung perjalanan ke Syria. Ianya seperti satu perjalanan yang panjang.
Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) sebelum sebut الصَّيفِ (musim panas) dan ini adalah penting. Ini adalah kerana musim sejuk dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana waktu itu tumbuhan tidak berbuah dan masa menuai adalah pada musim panas. Allah sebut tentang musim sejuk yang dikaitkan dengan kekurangan makanan kerana mereka masih tetap dapat makanan pada musim sejuk dan ini adalah hebat dan ianya adalah kerana rahmat dari Allah.
Musim panas pula adalah waktu yang bahaya kerana pada waktu itu perompak jalanan akan menahan dan merompak kafilah yang sedang berdagang. Ini adalah kerana mereka akan tetap di tempat mereka pada musim sejuk dan hanya keluar pada musim panas.
Oleh itu, musim sejuk adalah masalah makanan/ekonomi dan musim panas adalah masalah keselamatan. Allah sebut tentang ekonomi/makanan sebelum masalah keselamatan kerana surah ini berkenaan dengan kelegaan ekonomi yang mereka dapat.
Quraish Ayat 3: Maka kerana kelebihan yang Allah berikan itu, maka hendaklah mereka mentauhidkan Allah.
فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Let them worship the Lord of this House,¹
- i.e., the Ka‘bah.
(MALAY)
Maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).
Nikmat yang Allah berikan tidak boleh dihitung sebenarnya. Kalau mereka tidak nampak kelebihan-kelebihan lain yang banyak Allah telah berikan, maka sekurang-kurangnya, mereka sembahlah Allah sahaja (jangan sembah selainNya) kerana nikmat yang amat jelas ini – nikmat mereka hidup dengan senang.
Nikmat itu amat jelas sekali yang tidak diberikan pada orang lain yang hidup sewaktu dengan mereka. Dan kalau kita nak tambah lagi seperti yang telah disebut dalam Surah Fil, mereka juga hidup dengan aman dan selamat di Mekah itu, dan ini telah dibuktikan dengan pemusnahan Tentera Abrahah yang cuba hendak mengganggu ketenteraman mereka.
Juga ayat ini boleh bermaksud: supaya hati mereka menjadi lembut, maka hendaklah mereka menghambakan diri kepada Tuan kepada rumah ini (Ka’bah).
Kenapa Allah sebut: هٰذَا البَيتِ (Rumah ini)? Ini adalah kerana rumah ibadat itu dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan kerana Ka’bah itulah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di mata masyarakat Arab yang lain. Kerana itulah mereka tidak diserang dalam perjalanan perdagangan mereka. Ini kerana semua orang hormat mereka dan tidak berani serang mereka.
Dan kerana Ka’bah jugalah ekonomi mereka kuat. Ramai yang datang ke Mekah kerana melawat Ka’bah dan mereka dapat sumber kehidupan dari kedatangan orang ke sana. Dan inilah juga rumah yang Allah selamatkan dari serangan Tentera Abrahah; dan rumah inilah yang Allah telah berjanji untuk menjadikannya selamat dan diberi dengan makanan. Jadi Baitullah/Ka’bah ini amat penting dan kerana itu Allah sebut dalam ayat ini.
Maksud رَبَّ هٰذَا البَيتِ adalah Allah kerana Allah adalah Tuan kepada Ka’bah itu. Allah tidak perlu sebut namaNya kerana memang Musyrikin Mekah kenal pun Allah. Mereka tahu Allah itu adalah Tuhan pencipta alam ini. Dan mereka tahu Allah adalah tuan punya Ka’bah itu.
Allah boleh sahaja sebut: “maka bersyukurlah kepada Tuan rumah ini.” Tapi Allah tidak kata begitu, kenapa? Kenapa tidak disuruh mereka bersyukur kepadaNya? Sebaliknya Allah suruh mereka menghambakan diri kepadaNya. Ini memberi makna yang amat mendalam sekali – kalau hendak mensyukuri nikmat Allah yang banyak Allah telah berikan, caranya adalah dengan menghambakan diri kepadaNya – tidak ada cara lain lagi. Maka tidaklah boleh sebut ‘alhamdulillah’ sahaja, tapi kena tunjukkan dalam perbuatan kita.
Dan kita tafsirkan kalimah فَليَعبُدوا dengan bermaksud: maka hendaklah kamu semua ‘menghambakan’ diri – bukannya: maka hendaklah kamu ‘sembah’. Ini adalah kerana maksud ‘hamba’ itu lebih besar dari maksud ‘sembah’ sahaja. Kerana ada orang yang sembah Allah tapi tidak menghambakan diri kepada Allah.
Sebagai contoh, mereka mungkin puja Allah sahaja, buat ibadat seperti solat dan puasa, tapi mereka tidak ‘menghambakan’ diri sepenuhnya, kerana mereka tidak ikut arahan Allah yang lain. Kerana kalau betul-betul jadi hamba, maka segala arahan kena diikuti, bukannya setakat waktu melakukan ibadah sahaja. Maka lebih sesuai kalau kita kata, kena ‘hambakan’ diri kepada Allah dan ini termasuk juga menyembah dan melakukan ibadat kepada Allah sahaja.
Quraish Ayat 4: Allah sudahi surah ini dengan sambung sebut jasaNya lagi.
الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Who has fed them, [saving them] from hunger and made them safe, [saving them] from fear.
(MALAY)
Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.
Ayat ini merujuk kepada puak Quraish yang telah diberikan dengan nikmat makanan dan keamanan dari Allah seperti yang telah disebut oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam doa baginda.
Dari segi bahasa, apabila Allah menggunakan tanwin pada kalimah جوعٍ (lapar), ia bermaksud lapar yang sangat dan kalimah خَوفٍ (takut) bermaksud takut yang sangat. Dan cara Allah jauhkan mereka dari lapar itu adalah Allah benarkan perjalanan perdagangan mereka berdagang – dengan itu mereka dapat cari rezeki dengan banyak dan Allah selamatkan perjalanan kafilah perdagangan mereka dengan tidak diserang oleh orang lain. Allah sebut juga dalam Ankabut:67 tentang perkara ini:
أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالباطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللَّهِ يَكفُرونَ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rampok-merampok. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang bathil dan ingkar kepada nikmat Allah?
Bukan sahaja kafilah mereka selamat, tapi Mekah itu juga selamat. Bukan sahaja dari Tentera Abrahah tapi memang Mekah adalah tempat yang sentiasa aman – tempat lain banyak kejadian tidak baik, ramai yang kena rompak, kena culik dan harta mereka dicuri, tapi kejadian itu tidak berlaku di Mekah. Orang luar tidak kacau Mekah.
Waktu itu, memang itulah kebiasaan di tempat yang lain. Kalau bermusafir, ada kemungkinan besar akan dirompak (dan perompak akan beri mereka bekalan untuk pulang ke tempat asal mereka, supaya mereka boleh terus hidup dan bermusafir supaya mereka boleh dirompak lagi). Puak Quraish tidak mengalami masalah ini sama sekali.
Bayangkan Mekah itu di tengah-tengah padang pasir tanpa pengadang. Senang sahaja kalau orang nak serang. Tapi Allah tetap selamatkan mereka. Mereka sendiri tidak dapat mempertahankan diri mereka, kalau diserang. Sebagai contoh, tengoklah masa Abrahah serang mereka – ramai-ramai lari naik bukit. Ini kerana mereka memang tidak ada kekuatan ketenteraan untuk mempertahankan diri mereka.
Allah sentiasa menggunakan kalimah dan susunan yang tepat dalam Al-Qur’an. Lihatlah dalam Baqarah:155
وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِنَ الأَموالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَراتِ
Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang ‘ketakutan’ sebelum disebut dugaan dalam bentuk ‘kelaparan’. Tapi dalam Surah Quraish ini, Allah sebut tentang kelaparan dulu sebelum ketakutan. Ini adalah kerana ayat Baqarah:155 itu tentang Perang Badr. Dan apabila perang, tentulah yang lebih ditakuti waktu itu adalah ketakutan hilang jiwa, bukannya takut ekonomi musnah.
Tapi dalam Surah Quraish, ianya bukan tentang perang tapi tentang ekonomi yang lebih ditekankan. Maka kerana itu Allah sebut tentang kelaparan dahulu sebelum tentang keselamatan. Begitu hebat sekali susunan ayat-ayat Al-Qur’an yang bertepatan dengan topik yang disentuh.
Dan lihatlah bagaimana Allah sebut الشِّتاءِ (musim sejuk) dahulu kerana ianya dikaitkan dengan kelaparan dan kemudian baru disebut dengan الصَّيف (musim panas) yang berkaitan dengan keselamatan. Hebat!
Tapi kenapa Allah sebut tentang ‘lapar’, bukan tentang ‘miskin’? Kenapa Allah selamatkan mereka dari lapar, bukan dari miskin? Kerana kalau kita berkata tentang ekonomi, tentulah kalimah yang berkenaan adalah kaya dan miskin, bukan? Ini juga adalah tepat kerana ianya bertepatan dengan doa Nabi Ibrahim a.s. Lihat kembali doa Nabi Ibrahim: وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ (dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan). Maka rezeki yang dikaitkan itu adalah dengan makanan (buah-buahan).
Baik, kita telah banyak sebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Quraish. Sepatutnya dengan segala nikmat yang jelas nyata itu, sepatutnya mereka menjadi hamba yang baik, lembut hati terhadap Allah, buat kebaikan di atas muka bumi ini. Tapi adakah mereka begitu? Jawapannya ada dalam surah seterusnya, Surah Ma’un.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ma’un.
Kemaskini: 27 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ini sangat bermanfaat kepada saya sebagai seorang islam. Saya akan belajar menjadi seorang muslim yang solehah,yang taat perintah Allah bermula dari sekarang. Semoga orang yang mencipta aplikasi ini mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Dan Inshaa Allah saya dapat menjadi muslimah yang baik dengan menggunakan aplikasi celik tafsir ini. Amiin,Insya Allah. 😊
LikeLike