Tafsir Surah al-Ma’un Ayat 4 – 7 (Celaka orang Solat?)

Ma’un Ayat 4: Ayat 4 – 7 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir. Allah memberitahu yang ibadat yang tidak ikhlas bukan merupakan sikap seorang hamba.

Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang sifat buruk manusia dengan manusia yang lain. Sekarang Allah sebut tentang sifat mereka dengan Allah pula, iaitu dalam solat.

فَوَيلٌ لِلمُصَلّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So woe to those who pray

(MALAY)

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,

 

Ramai yang hafal ayat ini rasanya. Kerana selalu digunakan sebagai hujah. Mari kita lihat apakah maksudnya. Apabila Allah gunakan huruf ف dalam ayat ini, ianya adalah kesinambungan dari ayat yang sebelumnya. Maka ini adalah sambungan cerita dari awal surah, bukan cerita yang baru.

Allah sedang mencelakakan mereka yang solat. Ini agak pelik, maka kita kena berhati-hati dengan ayat ini. Kena faham dengan kemas, kalau tidak, boleh salah faham dan jadi sesat.

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an di mana Allah menyebut tentang kecelakaan. Sebagai contoh, dalam Tur:11

فَوَيلٌ يَومَئِذٍ لِلمُكَذِّبينَ

Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,

Apabila Allah sudah kata ‘celaka’, maka malanglah nasib mereka yang dicelakakan itu. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut يَومَئِذٍ (hari itu) yang bermaksud hari akhirat. Tapi kecelakaan yang disebut dalam Surah Ma’un ini tidak disebut يَومَئِذٍ, tapi dalam bentuk umum sahaja. Maknanya, yang dimaksudkan bukanlah di akhirat sahaja, tapi sekarang juga! Mereka akan musnah dan tidak perlu tunggu akhirat pun.

Tapi kecelakaan yang dimaksudkan adalah untuk ‘mereka yang solat’. Kenapa Allah marah kepada mereka yang solat? Bukankah solat itu perbuatan yang baik?

Jadi, ayat ini menarik perhatian dan menyebabkan orang-orang yang solat terkejut. Tapi ini akan dijelaskan dalam ayat seterusnya. Allah boleh sahaja nak sambung dengan ayat selepas ini (jadikan dalam satu ayat), tapi Allah tidak buat begitu. Ini kerana Allah hendak menarik perhatian semua orang. Begitulah, Allah pecahkan ayatNya satu persatu supaya kita tadabbur setiap satu ayat.

Kalimah ‘solah’ sudah digunakan sebelum Al-Qur’an diturunkan pun oleh masyarakat Arab Jahiliyah. Kepada masyarakat Arab waktu itu, ia sudah bermaksud ‘sembahyang’ dan ‘doa’. Jadi ayat ini menarik perhatian Musyrikin Mekah dan juga orang Islam sendiri. Kedua-duanya terkesan dengan ayat ini. Ia memberi ‘dramatic effect’.

Dan kita pun terkesan juga dengan ayat ini, kerana kita pun solat juga, bukan? Maka berikan perhatian sekarang. Kerana yang datang selepas ini amat penting untuk diberi perhatian.

Kalimah مُصَلّينَ bukan sahaja bermaksud ‘orang yang solat’, tapi ia bermaksud ‘orang yang selalu solat’. Kerana ianya dalam isim fa’il (pembuat). Jadi, ini menyebabkan semua mereka yang solat akan takut dan tertanya-tanya: “aku pun solat juga, adakah aku termasuk dalam ayat ini? Apa Allah nak cakap selepas ini?”

Ayat ini memang tidak boleh dibaca setakat ini sahaja – kalau kita baca dalam solat, jangan baca setakat ayat ini sahaja. Takkan orang yang selalu solat pula dicelakakan dalam ayat ini? Oleh itu, memang kita kena baca dengan ayat seterusnya juga.

Allah boleh sahaja kata Dia mengutuk orang ‘munafik’, (kerana orang munafik pun ada masalah dengan solat mereka) tapi tidak begitu, Allah beritahu kita yang Dia sedang mengutuk ‘orang yang solat’. Jadi kita kena takut yang kita termasuk dalam golongan orang yang munafik juga kerana sifat orang munafik itu mereka tidak menjaga solat. Allah Swt. telah berfirman:

إِنَّ الْمُنافِقِينَ يُخادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُمْ وَإِذا قامُوا إِلَى الصَّلاةِ قامُوا كُسالى يُراؤُنَ النَّاسَ وَلا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (An-Nisa: 142)

Apa kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Kita dapat tahu, kalau sudah ada masalah dengan menzalimi manusia, selalunya orang itu juga akan ada masalah dengan kewajipan dengan Allah. Itulah yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi ianya tentang orang yang sama sahaja. Mereka itu solat pun tidak bagus, sampaikan solat mereka itu tidak pun mengubah dirinya. Kita pun tahu yang sepatutnya solat mengubah diri kita menjadi baik. tapi tidak pada orang itu. Kerana mereka tidak menjaga solat mereka seperti yang sepatutnya mereka lakukan.


 

Ma’un Ayat 5: Solat itu adalah waktu khusus untuk ingat kepada Allah. Tapi ramai yang tidak jaga solat mereka. Dan memang syaitan akan serang hamba untuk menghalang mereka dari mengerjakan solat dengan benar. Kita sebagai seorang Muslim kenalah jaga supaya dalam solat ini kita tawajuh (fokus) hanya kepada Allah.

Memang akan celakalah kalau dalam solat yang sepatutnya kita ingat kepada Allah, tapi lalai tidak ingat kepada Allah. Bayangkan, kalau orang duduk depan kita, takkan kita nak main telefon sambil bercakap dengan dia? Apa perasaan kita kalau kita jumpa orang, tapi orang itu tengok telefon dia sahaja dan tidak dengar apa yang kita kata. Tentu kita pun marah kalau begitu, bukan?

Allah nak kita hadap Dia dan tumpu perhatian kepada Dia. Sudahlah waktu lain kita tidak ingat kepada Allah, takkan dalam solat pun kita tidak ingat kepada Allah? Tapi memang ramai ada masalah ini, bukan? Maka ayat ini semoga dapat memberi kejutan membina kepada kita.

الَّذينَ هُم عَن صَلاتِهِم ساهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[But] who are heedless of their prayer¹ –

  • i.e., the hypocrites who are unconcerned if they miss prayers when no one sees them.

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang lalai tentang solatnya,

 

Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelumnya. Seperti kita telah sebutkan, Allah boleh sahaja sambung terus ayat ini dengan ayat sebelumnya (letak dalam satu ayat). Tapi Allah tidak lakukan begitu. Ini adalah supaya kita beri perhatian kepada setiap ayat. Kesannya adalah, kalimah ‘solat’ disebut dua kali dalam kedua-dua ayat ini – ini memberi kesan penekanan kerana dua kali ianya disebut.

Mereka yang lalai di dalam solat, tidak mendapat kebaikan dari solat itu. Allah telah sebut dalam Ankabut:45

إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Kalau solat itu sudah mencegah orang yang mengerjakannya dari perbuatan keji, kenapa pula mereka itu sanggup menindas dan menidakkan hak orang lain? Ini yang kita nak jelaskan.

Dalam ayat 1, disebut أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, menyebut tentang ‘seorang’ yang menipu tentang agama. Begitu juga, dalam ayat 2 dan 3, memperkatakan tentang orang yang sama. Tapi dalam ayat 4 dan ayat 5 ini, digunakan kalimah لِلمُصَلّينَ dan الَّذينَ yang jelas dalam bentuk jamak pula. Kenapa pula ada perubahan dalam bentuk bilangan?

Ini adalah kerana mereka ini bukan solat bersendirian, tapi mereka solat di tempat awam dan berjemaah. Kenapa mereka buat begitu? Akan dijelaskan dalam ayat 6 nanti.

Tuan-tuan, Allah telah menyumpah ramai golongan dalam Al-Qur’an. Antaranya dalam Humazah:1

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

Dalam ayat ini, Allah menyumpah mereka yang mencela dan mengumpat orang lain. Ini adalah jenayah terhadap manusia. (Celaka dalam Surah Ma’un ini adalah tentang solat – jenayah terhadap Allah). Allah juga ada menyumpah dalam Mutaffifin:1

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan)

Ayat ini juga tentang jenayah dengan manusia – menipu dalam timbangan dan perniagaan. Allah juga ada menyumpah mereka yang melakukan jenayah yang amat berat, iaitu mengubah kitab Allah dan ini disebut dalam Baqarah:79

فَوَيلٌ لِلَّذينَ يَكتُبونَ الكِتابَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ

Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; “Ini dari Allah”,

Jadi, kita boleh lihat bagaimana kesalahan-kesalahan yang telah disebut sampai Allah mencelakakan mereka itu adalah kesalahan-kesalahan yang besar. Dan sekarang Allah memasukkan sumpahNya kepada mereka yang lalai dari solat mereka. Jadi bayangkan beratnya kesalahan yang disebut dalam ayat ini. Allah samakan dengan mereka yang tipu orang lain, tulis kitab tiruan dan sebagainya. Maka lalai dalam solat bukan perkara main-main.

Apakah maksud ‘solat’ dalam ayat ini? Ada dua pendapat yang diberikan oleh ulama:

1 – Ada yang mengatakan yang dimaksudkan adalah solat orang munafik. Mereka itu solat kerana hendak menunjuk sahaja kepada orang lain. Mereka solat berjemaah bersama dengan para sahabat yang lain kerana mereka mahu dilihat sebagai orang Islam juga. Ini adalah bagi mereka yang berpendapat ayat ini diturunkan di Madinah (kerana kisah munafik selalunya terjadi di Madinah).

2 – Ada juga yang mengatakan ayat ini tentang solat pemimpin Quraish. Mereka juga ada mengamalkan solat. Kita jangan lupa bahawa mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim a.s. yang mula-mula membuka Mekah semula. Dan Nabi Ibrahim juga mengamalkan solat seperti yang disebut dalam Ibrahim:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat,

Jadi kita tahu yang Nabi Ibrahim mengerjakan solat dan Nabi Ismail juga mengerjakan solat. Ini disebut dalam Maryam:55

وَكانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلاةِ

Dan dia menyuruh ahlinya untuk bersembahyang

Jadi keturunan awal Quraish Mekah itu memang mengerjakan solat. Dan amalan solat itu diturunkan turun temurun kepada keturunan mereka. Jadi tentu Quraish Mekah itu tahu tentang amalan solat kerana mereka juga dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Tapi Allah menegur amalan solat mereka. Ini kerana solat Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu adalah solat yang ikhlas, tapi golongan Musyrikin telah mengubah cara solat itu dengan menambah perkara-perkara yang baru (bidaah) dan mereka tidak mengerjakannya dengan ikhlas. Mereka solat hanya untuk menunjuk kepada orang ramai sahaja. Walaupun solat mereka sudah lain, tapi mereka masih lagi panggil ianya ‘solat’.

Mereka juga ساهونَ dalam solat mereka. Maksud ساهونَ diambil dari katadasar س ه و yang bermaksud kita terlupa sesuatu kerana lalai disebabkan ada benda yang lebih penting dalam fikiran kita. Kalimah ساهونَ pula adalah dalam format fa’il (pembuat), iaitu mereka yang melakukan kelalaian dan kelupaan itu.

Kalimah س ه و ini sebenarnya kita semua sudah tahu kerana kita selalu juga buat ‘Sujud Sahwi’, bukan? Iaitu apabila kita terlupa rakaat, terlupa nak buat Tahiyat Awal dalam solat, maka kita disyariatkan untuk melakukan Sujud Sahwi sebelum atau selepas salam. Kenapa kita terlupa rakaat dalam solat? Kerana kita waktu itu sedang terfikirkan perkara lain, sampai terlupa rakaat ke berapa dalam solat.

Kalimah س ه و juga boleh bermaksud, kita tidak kisah kalau kita solat atau tidak. Kadang-kadang kita pandang ringan sahaja solat itu, sampaikan kalau kita terlepas, kita tidaklah kisah sangat. Ramai orang begini. Kalau mereka dalam keadaan senang untuk melakukan solat, mereka akan kerjakan; tapi kalau mereka di luar, susah nak cari masjid/surau, mereka tidak kisah pun kalau mereka tidak solat.

Atau kalau mereka terlupa nak solat, mereka tidaklah kelam kabut (beza dengan kalau lupa makan). Begitulah kadang-kadang kita sibuk kerja, sibuk tengok pertandingan bolasepak dan sebagainya, kita tidak kisah kalau terlepas solat. Jadi mereka-mereka yang sebegini, dikira sebagai ساهونَ.

Kebanyakan dari kita rasa solat itu macam ringan sahaja, tapi lihatlah bagaimana Allah sumpah dan mencelakan (وَيلٌ) mereka yang bersifat seperti ini. Ianya adalah kebinasaan yang amat teruk. Kenapa sampai begitu sekali? Ini adalah kerana solat itu adalah amat penting sekali. Banyak sekali dalil-dalil tentang perkara ini:

1 – Lihatlah bagaimana pertama kali Allah memperkenalkan DiriNya kepada Nabi Musa a.s. dalam Taha:14

إِنَّني أَنَا اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدني وَأَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكري

Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada ilah selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.

Lihatlah, pertama kali Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s., Allah menyebut tentang solat. Ini menunjukkan begitu penting sekali solat itu.

Dan Allah beritahu dalam ayat ini, salah satu tujuan solat adalah untuk mengingatiNya. Allah beritahu perkara ini kepada Nabi Musa sedangkan waktu itu Nabi Musa sudah bercakap dengan Allah, dan pastinya baginda tidak akan lupa dengan Allah lagi, bukan? Akan tetapi Allah beritahu juga kerana percakapan itu tidak cukup lagi, baginda kena solat juga lagi.

2 – Solat lebih penting dari kehidupan dan kematian. Allah berfirman dalam An’am:162

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Lihatlah bagaimana solat disebut dahulu sebelum kehidupan dan kematian. Memang hidup dan mati itu sudah besar, tapi Allah sebut solat juga dulu. Ini menunjukkan kepentingannya.

3 – Solat disamakan dengan ‘iman’. Lihat firman Allah dalam Baqarah:143

وَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم

Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu.

Ayat ini adalah berkenaan penukaran kiblat dari mengadap ke BaitulMaqdis ke Ka’bah. Waktu itu puak Yahudi mengejek mengatakan yang solat-solat orang Islam sebelum ditukar ke Ka’bah itu sia-sia sahaja, kerana kononnya itu bukan kiblat yang sebenar.

Allah menolak kata-kata mereka itu dengan mengatakan solat orang Islam ke BaitulMaqdis itu tidak sia-sia. Kerana mereka melakukannya atas arahan Allah juga pada waktu itu. Yang menariknya, kita lihat bagaimana dalam ayat ini, Allah tidak sebut ‘solat’ tapi Allah sebut ‘iman’ mereka. Ini menunjukkan bahawa Allah menggunakan kalimah ‘iman’ untuk ‘solat’.

Ini mengajar kita kepentingan solat itu sampai disamakan dengan iman. Iman itu duduknya di dalam hati dan begitu juga solat itu sendiri. Ianya bukan amalan badan sahaja, tapi kena ada amalan hati juga. Ada orang yang solat secara fizikal, tapi mereka tidak ada ruh solat dalam hati mereka. Mereka tidak kisah pun tentang solat pun sebenarnya tapi hendak menunjuk-nunjuk sahaja.

Ini juga menunjukkan kepada kita yang iman itu bukan di hati dan akal sahaja, tapi kena ditunjukkan dengan perbuatan solat. Oleh itu, kalau orang yang tidak solat, maknanya ada masalah dengan hati dan iman mereka. Janganlah mengaku beriman dan hati itu baik kalau solat pun tidak dikerjakan dan diambil perhatian.

Imam ash-Shawkani mengatakan Allah menegur mereka yang tidak menjaga solat mereka:

– Ada yang kadang solat dan kadang tidak. Ikut suka mereka sahaja. 
– Ada yang tidak menjaga syarat-syarat dan kewajipan dalam mengerjakan solat. Tiada ilmu cara solat Rasulullah.
– Ada pula yang solat seperti ayam mematuk makanan di tanah. Mereka solat tapi solat dengan laju dan tidak menjaga tumakninah.
– Ada yang melengahkan solat dan hanya melakukannya di hujung-hujung waktu. Ini adalah kerana mereka tidak mementingkan solat sangat. Mereka solat itu seolah-olah mereka terpaksa melakukannya. Mereka tidak merasa kemanisan solat itu.

Begitu banyak sekali kesalahan-kesalahan yang disebut dalam pendapat ini. Kalau melakukan salah satu darinya, pun sudah dikira sebagai ساهونَ.

Ini amat menakutkan sekali. Kerana kita pun melakukan solat juga, bukan? Tapi bagaimana sikap kita terhadap solat? Kita selalunya tidak menjaga waktu solat kita. Sedangkan Allah telah berfirman dalam Nisa’:103

إِنَّ الصَّلاةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتابًا مَوقوتًا

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.

Jadi kita sepatutnya jaga waktu solat. Kena solat dalam waktunya dan kena cari waktu yang afdhal. Kalau kita buat di akhir waktu, ditakuti kita akan tergesa-gesa dalam solat itu sampaikan tidak sempurna solat kita. Ini selalu terjadi kerana kita lebih mementingkan perkara lain dari solat kita.

Selalunya, kita sanggup buat kerja lain dulu, sampai waktu solat pula yang tergadai. Sepatutnya sebagai seorang Muslim, kenalah jaga waktu solat kita. Perkara-perkara lain yang kena diubah supaya bersesuaian dengan waktu solat. Bukannya solat yang kena ubah kerana nak sesuaikan dengan perkara-perkara keduniaan yang lain.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah عَن صَلاتِهِم (berkenaan/tentang solat mereka). Maknanya yang dikutuk adalah lalai berkenaan solat. Alhamdulillah, Allah tidak sebut في صَلاتِهِم (‘dalam’ solat). Ini adalah rahmat dari Allah. Kerana kalau yang dikutuk adalah mereka yang lalai ‘dalam’ solat, kita semua akan ada masalah!

Kerana kita semua tentunya kadang-kadang ada masalah dengan solat kita – selalunya kita tidak khusyuk. Kadang-kadang kita terlupa berapa rakaat, berapa sajdah kita sudah buat, kita terfikir tentang kerja, tentang makan dan macam-macam lagi.

Alhamdulillah, yang Allah kutuk adalah mereka yang lalai عَن صَلاتِهِم berkenaan solat mereka. Iaitu perkara-perkara yang di luar solat. Antaranya seperti yang kita sebut, tidak menjaga kepentingan solat. Ada yang tidak kisah sama ada mereka solat atau tidak – orang jenis begini yang dikutuk. Mereka lebih pentingkan perkara lain seperti yang Allah sebut dalam Jumu’a:11

وَإِذا رَأَوا تِجارَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها وَتَرَكوكَ قائِمًا

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri

Inilah dua perkara yang selalu menyebabkan kita lalai dari solat kita: perniagaan dan permainan (hiburan). Maka kita kena berhati-hati dengan keduanya. Jangan sampai kerja kita di pejabat, hiburan di TV dan permainan dengan anak-anak melalaikan kita dalam mengerjakan solat.

Jadi kita sudah faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘lalai’ tentang solat itu – bukanlah kerana tidak khusyuk. Tapi ini tidaklah mengatakan tidak penting khusyuk itu. Kita tetap kena jaga khusyuk dalam solat kerana ini adalah tuntutan. Kita kena cuba untuk mendapatkan khusyuk, tapi kita pun tahu yang kita tidak dapat menjaganya sentiasa.

Oleh itu, kalau tidak khusyuk, tidaklah sampai Allah mencelakakan kita. Memang pahala berkurangan, tapi tidaklah sampai kena cela oleh Allah.


 

Ma’un Ayat 6: Mereka melakukan ibadat itu bukan kerana nak ingat sebenar kepada Allah, tapi kerana hendak menunjuk-nunjuk sahaja.

الَّذينَ هُم يُراءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who make show [of their deeds]

(MALAY)

orang-orang yang berbuat riya,

 

Mereka melakukan amal ibadat itu kerana hendak beri orang nampak sahaja. Allah amat marah kepada mereka sampaikan ada tiga penekanan dalam ayat ini. Di manakah penekanan itu?

1. الَّذينَ (mereka yang) – ini sudah dalam bentuk jamak

2. هُم (mereka) – ini ditambah sebagai penekanan. Kalau nak dikira, kalimah الَّذينَ sudah membawa maksud ‘mereka’.

3. يُراءونَ (mereka hendak menunjuk-nunjuk) – sebenarnya kalau digunakan kalimah ini pun sudah cukup sebenarnya, kerana ia sudah membawa maksud ‘mereka’, tapi Allah tetap tambah dengan kalimah الَّذينَ dan هُم.

Dari segi balaghah, Allah memberi penekanan itu kerana hendak menunjukkan murkaNya. Kerana banyak sekali kesalahan dan dosa mereka. Sampaikan Allah berkata: mereka, mereka, mereka itu.

Solat mereka itu untuk ditunjukkan kepada orang sahaja. Mereka tidak ikhlas dalam solat mereka. Kalau orang lain nampak mereka solat, solat mereka molek waktu itu – kemas sahaja, baca surah pun khusyuk sahaja, sujud dan rukuk pun lama sahaja.

Kalau tidak ada orang, mereka akan solat dengan cincai sahaja. Begitulah kalau kita nak tahu kalau kita ini ikhlas dalam solat atau tidak – tengok cara kita solat depan orang dan kalau orang tidak lihat kita solat – kalau ada beza, maka ada masalah dengan keikhlasan kita.

Semua ini kerana mereka tidak kisah dengan solat mereka – mereka lalai, tidak kisah kalau mereka solat atau tidak, selalu melewat-lewatkan solat. Kerana hati mereka begitu, maka mereka hanya solat, atau solat dengan baik hanya kalau orang nampak mereka sedang solat.

Orang yang tidak jaga solat mereka akan susah untuk solat, terutama sekali Solat Subuh. Kerana susah untuk bangun dari tidur yang memang sedap. Dan untuk bangun solat waktu itu memerlukan kekuatan dan kekuatan itu hanya ada kalau dia sedar kepentingan solat. Setiap kali kita nak bangun, kita akan timbang, mana yang lebih kita hargai: solat kita atau tidur kita? Kalau kita tidak pandang tinggi solat itu, maka tidurlah yang akan menang (dan syaitan juga yang menang). Oleh itu, kena sedar kepentingan solat.

Dan kedua, pastikan jangan tidur lewat. Jangan buang masa waktu malam dengan main game, membaca, tengok filem tengok tv dan bersembang tidak tentu pasal. Kalau tidak ada hal penting, selepas Isyak dalam pukul 10 sahaja, teruslah tidur. Dan ketahuilah kepentingan Solat Subuh itu. Allah telah berfirman dalam Isra’:78

إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا

Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan

Allah beritahu yang Solat Subuh itu disaksikan. Maksudnya disaksikan oleh malaikat dan juga Allah. Maka ada nilai tambahan pada Solat Subuh itu, maka janganlah kita ambil ringan tentangnya. Semoga Allah menyelamatkan kita dari jadi orang yang ساهونَ dalam solat, ameen.

Kalimah يُراءونَ dari katadasar ر ء و yang bermaksud ‘melihat’. Kalau يُراءونَ pula di dalam wazan مفاعل iaitu menunjukkan ada usaha di dalamnya. Maka, kalimah يُراءونَ bermaksud mereka itu berusaha supaya orang melihat solat mereka. Mereka hendak menunjuk kononnya mereka itu orang yang beriman dan kuat beramal, sedangkan mereka itu tidak.

Allah sedang membuka pekung Quraish Mekah itu. Mereka solat itu hanya untuk dilihat oleh puak Arab yang lain supaya mereka dihormati sebagai penjaga Ka’bah. Kerana mereka itu penjaga Ka’bah, takkan tak solat pula? Begitulah dalam hati mereka dan Allah buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini.

Tapi bukan sahaja Quraish Mekah yang dikutuk dalam ayat ini, tapi termasuk juga sesiapa yang menunjuk-nunjuk dalam solat mereka. Antara yang termasuk adalah golongan munafik, dari dulu sampailah sekarang. Ini disebut dalam Nisa:142

إِنَّ المُنافِقينَ يُخادِعونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُم وَإِذا قاموا إِلَى الصَّلاةِ قاموا كُسالىٰ يُراءونَ النّاسَ وَلا يَذكُرونَ اللَّهَ إِلّا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

Maka kita kena jaga hati kita dari ada perasaan riak menunjuk-nunjuk amalan ibadat kita kepada orang lain. Sebagai nasihat, kalau kita solat, janganlah menunjuk kecuali kalau terpaksa kerana solat jemaah. Jadi solat sunat kita buatlah supaya orang lain tidak nampak. Kerana itulah sunnah solat sunat selepas solat fardhu itu sebenarnya dilakukan di rumah sahaja, bukan di masjid.

Perasaan riak adalah amat bahaya sekali. Ini adalah salah satu dari penyakit hati (sifat mazmumah). Ini termasuk dalam shirk khafi (syirik tersembunyi) kerana kita mengharapkan orang nampak amalan ibadat kita. Sepatutnya kita mahu Allah sahaja nampak amalan kita, bukan nak menunjuk depan orang. Kita mahu pujian dari Allah, bukan pujian dari manusia.


 

Ma’un Ayat 7: Akhir sekali disebut satu lagi sifat buruk mereka: mereka menegah benda yang tidak patut ditegah. Ini adalah kerana mereka kedekut sangat.

وَيَمنَعونَ الماعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And withhold [simple] assistance.

(MALAY)

dan enggan (menolong dengan) barang berguna.

 

Ayat ini berkait dengan ayat 3 dari segi konteksnya. Asal surah ini berkenaan kesalahan terhadap manusia, kemudian disebut tentang kesalahan dengan Allah (tentang solat) dan sekarang kembali kepada kesalahan terhadap manusia pula. Begitulah terkaitnya antara kesalahan terhadap manusia dan terhadap Allah.

Manusia ada yang membezakan antara dua perkara ini tapi ingatlah yang ianya berkait rapat. Itulah sebabnya Allah susun begitu dalam surah ini sebagai isyarat yang ianya rapat antara satu sama lain. Kerana keliru perkara ini, ada orang kata mereka baik, suka memberi dan menolong kepada orang lain, tapi mereka tidak solat dan jaga ibadat lain; ada pula yang jaga solat, tapi tidak baik kepada orang lain, menindas, menzalimi dan sebagainya; ini adalah pembahagian yang salah, maka Allah ingatkan dengan kaitkan kedua-dua perkara ini dalam surah ini.

Ingatlah yang kita kena berbuat baik kepada manusia dan juga kepada Allah – tidak boleh tinggalkan salah satu darinya. Kena ada keseimbangan antara hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah. Itulah habluminallah (tali dengan Allah) dan habluminannas (tali dengan manusia).

Jadi, mereka menghalang الماعونَ. Apakah ia? Ia adalah sesuatu yang kecil tidak bernilai besar, yang kalau hilang atau diberikan pun, ia tidak akan menyusahkan kita. Kerana itu ada para sahabat dan ulama yang mengatakan yang ianya merujuk kepada Zakat (kerana ia hanya 2.5% dari harta kita pada tahun itu). Ianya tidak banyak kalau dibandingkan dengan harta kita yang lain.

Ianya juga boleh merujuk kepada benda yang kecil seperti timba, pen dan sebagainya yang kalau kita hilang benda itu pun tidaklah kita susah hati sangat. Ia adalah perkara yang kita tidak patut kedekut pun – contohnya air, kalau ada orang minta, kita patutnya senang sahaja untuk beri. Kerana ianya sangat murah dan tidak menyusahkan kita. Takkan dengan air pun kita kedekut, bukan?

Tapi mereka yang berperangai buruk itu amat kedekut sampaikan benda macam itu pun mereka nak kedekut. Mereka tidak menghargai senyuman mereka yang dapat benda-benda itu kalau diberikan kepada mereka. Otak mereka yang teruk itu fikir, “kenapa aku perlu bagi kepada orang itu, itu barang aku!”.

Ini adalah sifat yang datang dari hati yang buruk dan keras sekali. Fikiran mereka amat rendah (low class). Janganlah kita jadi begini. Hendaklah kita bermurah hati dan menolong orang lain dan cari peluang untuk membantu orang lain dengan apa cara yang kita boleh berikan, tidak kira berapa kecil pun pemberian itu. Sepatutnya bangun-bangun tidur dan sedang gosok gigi, terus simpan niat nak bantu orang hari itu.

Orang yang teruk adalah mereka yang keras hati mereka dari menolong orang lain. Tapi bagaimana hendak mendapat hati yang lembut? Kita kena biasakan untuk:

    • solat (menjaga hubungan dengan Allah)
    • biasakan memberi kepada orang lain (menjaga hubungan dengan manusia)

Kita kena timbangkan iman kita dengan dua perkara ini. Kalau ada kekurangan di dalam salah satunya (terutama sekali solat), maka kita kena ubah diri kita. Contohnya kalau kita ada masalah dengan solat, kita kena usaha untuk memperbaiki solat kita. Kalau kita ada masalah dengan hubungan kita dengan anak  yatim, kita juga kena perbaiki diri kita dalam hal itu. Kita kena cari anak yatim untuk membantu mereka.

Banyak lagi perkara dalam agama yang kita kena buat. Tetapi yang disebut dalam surah ini adalah perkara-perkara kecil sahaja dulu. Kena usaha supaya kita selesai perkara itu kerana amat besar masalah kalau benda kecil macam ini pun tidak boleh buat.

 

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Kawthar.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Ma’un Ayat 4 – 7 (Celaka orang Solat?)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s