Pengenalan:
Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, Musyrikin Mekah digelar dengan ‘kafir’. Itu sudah menjadi perisytiharaan permusuhan dengan mereka, dan memberi isyarat akan ada peperangan. Surah an-Nashr ini juga menjanjikan kejayaan bagi pihak Islam.
Surah ini adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad SAW dan Allah hendak memberitahu: umat Islam akan mendapat kemenangan apabila putuskan hubungan dengan orang kafir. Iaitu apabila mereka tidak mahu ikut kita, kita tinggalkan mereka. Begitulah yang terjadi pada umat Islam di zaman Rasulullah. Ia mengajar kita untuk tegas dengan akidah kita. Jangan ada kompromi dengan akidah syirik mereka. Maka, begitulah juga kita dengan akidah syirik masyarakat kita juga. Hendaklah tegas dan tolak.
Allah telah menjanjikan nikmat yang Nabi akan redha dengannya. Salah satu dari nikmat itu adalah menghilangkan kesedihan baginda. Salah satu kesedihan baginda adalah umat tidak menerima dakwah baginda walaupun baginda telah berhempas pulas berdakwah. Baginda amat sayangkan dan risaukan umat baginda dan kerana itu baginda bersedih kalau mereka tidak menerima dakwah baginda kerana baginda tahu apakah nasib mereka kalau mereka tidak beriman.
Lagi satu, baginda ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia hingga akhir zaman, tidak ada Nabi lain selepas baginda. Maka, tentu baginda lebih risau lagi. Ini berbeza dengan Rasul lain yang hanya ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada umat mereka sahaja. Jadi, kalau ada yang lakukan syirik, akan datang Rasul lain untuk memperbetulkan akidah yang salah. Tapi, Nabi Muhammad SAW tahu yang tidak ada Rasul lain lagi selepas baginda.
Maka, tanggungjawab ini menakutkan baginda sampai baginda rasa hendak mati. Untuk menghilangkan kerisauan baginda adalah dengan baginda dapat melihat ramai manusia masuk Islam semasa hayat baginda lagi. Nabi Muhammad SAW akan melihat dengan ‘mata’ baginda sendiri bagaimana ramai yang akan masuk Islam secara berbondong-bondong.
Oleh itu, baginda wafat dengan puas hati kerana umat baginda ramai. Nabi lain tidak dapat nikmat ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ya’kub a.s. risaukan anak-anak baginda dan Nabi Ibrahim a.s. juga risau. Nabi Musa a.s. wafat sedangkan umat baginda sesat di Padang Tih. Baginda tidak dapat melihat kejayaan umat baginda. Tapi Nabi Muhammad SAW diberi nikmat melihat kejayaan dakwah baginda.
Selepas mendapat kejayaan hebat itu, maka tugas Nabi Muhammad SAW sebenarnya sudah selesai. Kerana itulah yang datang kemudian adalah kewafatan baginda. Ada sebuah riwayat dari Ibnu ‘Abbas r.a, dia berkata,
“Umar Pernah mengajakku dalam sebuah majlis orang dewasa, sehingga sebahagian sahabat bertanya “Mengapa si anak kecil ini kau ikut sertakan, kami juga punya anak-anak kecil seperti dia?” Umar menjawab, “Seperti itulah yang kalian tahu.”
Suatu hari Umar mengundang mereka dan mengajakku bersama mereka. Seingatku, Umar tidak mengajakku saat itu selain untuk mempertontonkan kepada mereka kualiti keilmuanku. Lantas Umar bertanya, “Bagaimana komentar kalian tentang ayat (yang ertinya), “Seandainya pertolongan Allah dan kemenangan datang (1) dan kau lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong (2) –hingga ahkir surat. (QS. An Nashr: 1-3). Sebahagian sahabat berkomentar (menafsirkan ayat tersebut), “Tentang ayat ini, setahu kami, kita diperintahkan agar memuji Allah dan meminta ampunan kepada-Nya, ketika kita diberi pertolongan dan diberi kemenangan.” Sebahagian lagi berkomentar, “Kalau kami tidak tahu.” Atau bahkan tidak ada yang berkomentar sama sekali.
Lantas Umar bertanya kepadaku, “Wahai Ibnu Abbas, beginikah kamu mentafsirkan ayat tadi? “Tidak”, jawabku. “Lalu bagaimana tafsiranmu?”, tanya Umar. Ibnu Abbas menjawab, “Surah tersebut adalah pertanda wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sudah dekat. Allah memberitahunya dengan ayatNya: “Jika telah datang pertolongan Allah dan kemenangan’, itu bererti penaklukan Makkah dan itulah tanda ajalmu (Muhammad), kerananya “Bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampunan, sesungguhnya Dia Maha Menerima taubat.” Kata Umar, “Aku tidak tahu pentafsiran ayat tersebut selain seperti yang kamu (Ibnu Abbas) ketahui.”” (HR. Bukhari no. 4294)
Jadi, surah an-Nasr ini adalah tanda yang tugas Nabi Muhammad SAW sudah hampir tamat dan kerana itu tidak lama lagi hayat baginda akan berakhir. Maka, kerana itulah apabila surah ini diturunkan, Abu Bakr menangis kerana dia faham apakah maksud surah ini. Aisyah r.a. juga memberitahu bahawa selepas baginda dapat surah ini, baginda banyak beristighfar. Sememangnya surah ini menyuruh baginda beristighfar.
Tidak syak lagi yang surah ini ada memberi kesan kepada kehidupan Rasulullah SAW. Bahagian pertama surah ini tentang perkara luar (kejayaan memenangi Mekah); dan bahagian akhir pula berkenaan dengan amalan Nabi (kesan dalaman). Kenapa pula kejayaan yang di luar menyebabkan perubahan dalam amalan Nabi? Nanti kita akan terangkan.
Ada yang berkata surah ini adalah Surah Madaniyyah tapi ada juga yang berkata ianya adalah Surah Makkiah. Kalau ianya diturunkan di Mekah, bagaimana pula dengan jawapan Ibn Abbas yang telah disebut sebelum ini? Bukankah ianya sebagai petanda yang mereka akan dapat menakluk Mekah (oleh itu sepatutnya diturunkan di Madinah). Ini yang agak musykil, bukan?
Kepada mereka yang melihat ia diturunkan di Makkah, ia bermaksud bila perkara itu sudah terjadi (ramai sudah masuk Islam) maka itu adalah tanda yang tugas baginda sudah selesai. Pendapat yang menguatkan bahawa ianya diturunkan di Mekah adalah kerana ada kalimah إِذا (apabila) di ayat 1 surah ini.
Kalimah إِذا dan إِذ kedua-duanya bermaksud ‘apabila’. Tapi, kalimah إِذ digunakan untuk masa yang telah lepas, sedangkan kalimah إِذا adalah untuk sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan. Iaitu pemberitahuan Allah yang ia pasti akan berlaku. Oleh kerana itu ada pendapat yang mengatakan ayat ini adalah Makkiah, kerana Allah memberi janji yang Islam akan mendapat kejayaan. Ia belum berlaku lagi, tapi ia adalah janji sahaja.
Kalimah الفَتحُ dalam ayat ini merujuk kepada kejayaan Pembukaan Mekah. Ianya adalah tahun kejayaan kepada Islam kerana ramai wakil dari kawasan luar yang datang berjumpa Nabi Muhammad SAW dan mereka membawa agama Islam kepada masyarakat mereka. Sejak itu ramai yang masuk Islam secara berbondong-bondong.
Bandingkan keadaan ini dengan baginda 10 tahun lepas yang cuba membawa agama Islam kepada orang luar, tapi mereka tidak terima. Namun sekarang, ramai yang datang berjumpa baginda pula – amat berbeza sekali.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu yang penaklukan Mekah adalah hasil pertolongan Allah (nasrullah).
إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
An-Naṣr: Victory.
When the victory of Allāh has come and the conquest,¹
- The conquest of Makkah.
(MALAY)
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,
إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Seperti yang kita telah sebut di atas, kalimah إِذا bermaksud ‘apabila’ dan ia merujuk kepada perkara yang akan berlaku di masa hadapan.
Kalimah جاءَ bermaksud ‘datang’. Selain dari جاءَ, ada lagi kalimah lain yang membawa maksud ‘datang’ juga seperti اتي tapi tidak digunakan dalam ayat ini. Kenapa? Ini adalah kerana kalimah جاءَ lebih kuat dan lebih berat dari kalimah اتي. Sebagai contoh, digunakan dalam Abasa:33
فَإِذَا جَاءتِ الصَّاخَّةُ
Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua),
Kalimah جاءَ dalam ayat ini digunakan untuk merujuk kepada kedatangan suara sangkakala. Jadi ini bukanlah perkara yang kecil, bukan? Lihat juga ayat Naaziat:34
فَإِذَا جَاءتِ الطَّامَّةُ الْكُبْرَى
Maka apabila malapetaka yang sangat besar (hari kiamat) telah datang.
Lihatlah bagaimana kalimah جاءَ digunakan pula untuk kedatangan Hari Kiamat. Maksudnya itu adalah perkara yang amat besar. Oleh itu, kalimah إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ bukanlah kedatangan perkara yang kecil, tapi ianya adalah perkara yang amat besar.
Ianya adalah peristiwa amat bersejarah dan ianya tidak datang dengan mudah, bukan? Ianya berlaku selepas banyak usaha, masa yang lama untuk berdakwah, peperangan demi peperangan, perit jerih, tangisan dan darah yang melimpah. Selepas itu, barulah Allah memberikan kejayaan yang besar ini.
Perkataan نَصرُ اللَّهِ (pertolongan Allah) juga menunjukkan kehebatan peristiwa ini. Kalimah نصرُ bermaksud ‘pertolongan’/’bantuan’. Dari segi bahasa, ia bermaksud pertolongan yang banyak. Ini kerana, ada lagi perkataan lain yang boleh digunakan untuk ‘pertolongan’ seperti ista’ana, ayyada, az’ara, madda, azazza, rafadda, dhaahara, ista’in. Tapi, semua perkataan itu tidak digunakan dan yang digunakan adalah نصرُ.
Semua kalimat yang telah disebut itu bermaksud ‘pertolongan’ tapi jenis dan tingkatan yang berbeza-beza. Jadi, apakah kelebihan نصرُ?
Apabila kita diserang oleh musuh, kita memerlukan نصرُ. Ia juga bermakna pertolongan yang diperlukan dari penindas. Ia bermaksud pertolongan yang diperlukan untuk kita mengalahkan orang lain, menguasai orang lain. Jadi, ini adalah pertolongan yang besar, bukan?
Bukan sahaja kalimah نصرُ itu sudah besar, ditambah lagi kebesarannya kerana ia dinisbahkan kepada Allah – نَصرُ اللَّهِ (Pertolongan Allah), bukan pertolongan makhluk, tapi pertolongan daripada Allah. Oleh itu, ianya adalah pertolongan yang amat hebat. Memang kalau dikaitkan dengan Allah, ia bermaksud ia sesuatu yang besar, seperti ‘Baitullah’ dan juga ‘Unta Allah’ seperti Allah sebut dalam surah Hud:64 tentang unta sebagai mukjizat Nabi Saleh:
وَيَا قَوْمِ هَـذِهِ نَاقَةُ اللّهِ لَكُمْ آيَةً
Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu,
Oleh itu, unta itu bukanlah unta biasa, tapi unta mukjizat. Oleh itu, apabila digunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ, ianya bukanlah pertolongan yang biasa. Ianya tidak dapat dibandingkan dengan pertolongan makhluk.
Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana puak Musyrikin telah menawarkan kompromi kepada baginda untuk mereka bertukar-tukar agama – setahun amal tauhid dan setahun amal syirik. Mereka menyangka bahawa, baginda tentu akan terima kerana nampak baginda dalam kedudukan yang lemah dan baginda amat berharap supaya mereka beriman bersama baginda.
Tapi, Allah mengarahkan baginda untuk tidak berkompromi langsung di dalam perkara agama. Baginda juga tidak perlu takut menolak cadangan Musyrikin itu kerana Allah akan bantu baginda dengan نَصرُ اللَّهِ. Kalau Allah sudah tolong baginda, siapa lagi yang boleh mencederakan baginda? Tentu tidak ada.
Ini penting kerana apabila baginda menolak cadangan mereka dan memanggil pula mereka dengan panggilan ‘kafir’, tentu ini akan menyebabkan mereka marah kepada baginda dan perhubungan yang tidak baik dulu juga akan bertukar menjadi lebih buruk lagi. Tapi, Allah berikan ketenangan kepada baginda – jangan takut kerana Allah akan memberi bantuanNya.
‘Pembantu’ dalam Al-Qur’an selalu disebut sebagai ‘wali’ dan ‘mawlaa’. Allah sebut dalam surah Baqarah:257 bahawa orang beriman ada wali dan orang kafir juga ada wali.
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُماتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ يُخرِجونَهُم مِنَ النّورِ إِلَى الظُّلُماتِ ۗ
Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran).
‘Wali’ adalah kawan baik dengan kita yang mahu membantu kita. Ianya adalah tempat kita meminta pertolongan dan perlindungan. Kerana itulah wali bagi perempuan yang hendak berkahwin adalah bapa, datuk atau abang dia, iaitu seseorang yang rapat dengannya dan mahu membantu dan menjaganya. Dan wali itu adalah lebih kuat daripada kita yang kita berharap pertolongan mereka.
Dari ayat 2:257 itu, ada dua jenis golongan yang disebut:
1. Orang mukmin dan wali mereka adalah Allah. اللَّهُ وَلِيُّ الَّذينَ آمَنوا.
2. Orang kafir dan awaliya’ (jamak bagi wali) adalah taghut. وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّاغوتُ.
Dari segi susunan juga ada maksud: untuk orang beriman, nama Allah disebut dahulu (takdim) dan dalam ayat tentang taghut, taghut disebut ‘selepas’ orang kafir itu (ta’khir) – ini adalah tanda pertama yang mereka dihinakan. Kerana tidak akan sama perwalian Allah dan perwalian dari taghut itu.
Keduanya, walaupun kita baca yang orang mukmin ada wali dan orang kafir juga ada wali, tapi tidaklah sama. Lihat Muhammad:11
ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ مَولَى الَّذينَ آمَنوا وَأَنَّ الكافِرينَ لا مَولىٰ لَهُم
Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah mawla orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai mawla.
Untuk faham ayat ini, kita hendaklah tahu apakah beza antara ‘wali’ dan ‘mawla’. Mawla itu lebih tinggi lagi daripada wali. Mawla adalah seseorang yang ‘boleh’ memberi perlindungan dan pertolongan. Mereka memang memberi pertolongan dan perlindungan itu; sedangkan wali adalah seseorang yang ‘mahu’ memberi pertolongan tapi belum tentu dia akan tolong atau dia mampu untuk menolong.
Oleh itu, kita telah beritahu, orang mukmin dan orang kafir kedua-duanya ada wali, tapi mawla hanya ada pada orang mukmin sahaja dan orang kafir tidak ada mawla sebagaimana yang disebut dalam surah Muhammad:11. Oleh itu, apabila Allah gunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ, ianya juga adalah dalam bentuk مَولَى juga.
Tapi adakah pertolongan itu didapati dengan mudah sahaja? Lihatlah bagaimana Allah memberi janji pertolongan kepada Nabi Musa a.s. dalam ash-Shu’ara:15
قالَ كَلّا ۖ فَاذهَبا بِآياتِنا ۖ إِنّا مَعَكُم مُستَمِعونَ
Allah berfirman: “Jangan takut, maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan),
Dalam ayat ini, Allah memberi janji yang Dia akan memberi perlindungan kepada Nabi Musa a.s. Dan baginda memang memerlukan kata-kata ini daripada Allah kerana baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun. Baginda sendiri sudah pernah lari dari Mesir setelah terbunuh lelaki berbangsa Qibti dan kemudian baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun.
Itulah Firaun yang sama mengaku tuhan dan zalimnya tidak cukup pena kita hendak tulis. Tapi, sekarang baginda mestilah memberitahu Firaun yang akidah Firaun itu salah. Memang amat menakutkan. Akan tetapi, Allah menjanjikan perlindunganNya; Namun begitu, perlindungan itu tidak datang dengan mudah. Kejayaan hanya didapati oleh Nabi Musa a.s. setelah baginda melalui segala dugaan dan halangan.
Begitulah juga kejayaan yang dijanjikan kepada Rasulullah SAW dalam Surah Al-Nasr ini – ia pasti datang, tapi selepas melalui berbagai-bagai peringkat usaha dan cabaran yang tidak kecil. Walaupun dijamin kejayaan telah diberi, tapi baginda hendaklah banyak bersabar dan banyak berusaha. Dugaan ini juga disebut dalam surah Baqarah:214
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
Ayat surah al-Baqarah:214 mengandungi kalimah نَصرُ اللَّهِ, apabila mereka bertanya bilakah datangnya نَصرُ اللَّهِ itu? Maka, jawapannya ada dalam an-Nasr ini إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ. Ianya pasti datang.
Kalimah نصر ini boleh digunakan dalam bentuk kata-kerja dan juga kata-nama. Ini juga ada bezanya dari segi balaghah dalam Al-Qur’an. Contoh نصر dalam bentuk kata-kerja adalah dalam ayat surah Ali Imran:123
وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ
Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah.
Dalam ayat ini, kalimah نصر adalah dalam bentuk kata-kerja (verb). Dan bentuk kata-kerja adalah kurang, lemah dan tidak kekal kalau dibandingkan dengan kata-nama (noun). Oleh itu, walaupun Allah telah memberi pertolongan kepada tentera mukmin semasa di Badr, kemenangan itu tidak kekal. Memang mereka mengalahkan Quraish waktu itu, tapi masih ada lagi peperangan selepas itu dengan Quraish.
Sedangkan penggunaan kalimah نصر dalam surah An-Nasr adalah dalam bentuk kata-nama – jadi ianya adalah kemenangan yang sempurna. Ia merujuk kepada Pembukaan Mekah dan selepas kemenangan itu, tidak ada lagi peperangan dengan Quraish. Ia juga bermakna, pertolongan Allah dalam Pembukaan Mekah itu lebih hebat lagi.
Apabila Allah menyebut tentang pertolongan dari-Nya itu, Allah tidak memuji Rasulullah dan para sahabat. Ini hendak menekankan bahawa pertolongan itu datang DARI DIA (Allah). Jadi, kalau kita berjaya dalam sesuatu apa jua, ingatlah yang kejayaan itu datang daripada Allah. Hendaklah sedar dan jangan bangga sangat.
Oleh kerana kejayaan itu daripada Dia, maka kesyukuran juga mestilah ditujukan untuk Dia. Kerana itulah, di hujung surah ini nanti, Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW (dan kita juga) untuk tasbih, tahmid dan istighfar kepada-Nya.
Bagaimanakah cara untuk mendapatkan نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ? Allah sebut dalam Saff:10-13
يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجارَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ
تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجاهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموالِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ
يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم وَيُدخِلكُم جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ وَمَساكِنَ طَيِّبَةً في جَنّاتِ عَدنٍ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ
وَأُخرىٰ تُحِبّونَها ۖ نَصرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتحٌ قَريبٌ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ
Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.
Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Inilah perniagaan yang amat menguntungkan – beriman dan berjihad. Allah akan memberikan syurga dan pengampunan-Nya. Bukan itu sahaja, Allah akan memberikan pertolongan dan kejayaan yang dekat!
Maksudnya, Allah bukan sahaja memberi kejayaan di akhirat kelak, tapi Allah boleh juga memberi kejayaan di dunia ini lagi. Lihatlah bagaimana Allah menggunakan kalimah نَصرُ اللَّهِ dan وَالفَتحُ sama seperti yang digunakan dalam Surah an-Nasr ini. Tidakkah kita mahu melihat sendiri kejayaan itu semasa kita hidup lagi?
Akan tetapi, kalau dilihat di dalam Surah Saff itu, kalimah yang digunakan adalah نَصرٌ مِنَ اللَّهِ (pertolongan ‘dari’ Allah) sedangkan kalimah yang digunakan dalam an-Nasr adalah نَصرُ اللَّهِ (Pertolongan Allah). Ini berbeza sedikit kerana apabila ada kalimah مِنَ, ia memberi erti ‘sebahagian’ dan kalau terus نَصرُ اللَّهِ, ia bermaksud lebih sempurna lagi.
وَالفَتحُ
dan kemenangan,
Sekarang kita lihat maksud kalimah الفَتحُ pula. Ia berasal dari katadasar ف ت ح yang bermaksud ‘pembukaan’. Apabila umat Islam telah menguasai Mekah, maka ia telah dibuka menjadi Negara Islam. Kerana sesuatu tempat itu ikut penduduknya, kalau penduduknya Muslim dan mengamalkan cara Islam, maka tempat itu adalah tempat Islam.
Maksud الفَتحُ juga adalah kemenangan yang jelas, di mana kita tahu siapakah yang menang dan siapakah yang kalah. Kemenangan boleh juga menggunakan kalimah lain seperti ظفر seperti yang digunakan dalam surah Fath:24
وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم
Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah Kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka
Kalimah ظفر walaupun bermaksud ‘kemenangan’, tapi ianya bukanlah kemenangan yang jelas. Kadang-kadang tidak jelas siapa menang dan kalah, bukan? Lihatlah pertandingan dalam pilihanraya, tidak jelas siapa menang kerana ada pengiraan semula dan sebagainya (ada yang mendapat undi lebih banyak secara keseluruhan tapi kalah juga dari segi kiraan tempat undian. Oleh kerana itu, mereka dikira kalah juga).
Begitu juga kalau ada debat ilmu, kita tidak tahu dengan jelas siapa yang akan menang. Ini tidak terjadi kalau kalimah فتح yang digunakan. Lihat penggunaan kalimah ini dalam Fath:1
إِنّا فَتَحنا لَكَ فَتحًا مُبينًا
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,
Ayat ini adalah tentang Perjanjian Hudaybiah. Kita juga tahu kisah sedikit sebanyak tentang perjanjian ini, bukan? Allah mengatakan bahawa kemenangan itu مُبينًا (jelas). Tapi ada banyak perkara yang menyebabkan ada yang musykil apabila perjanjian ini diadakan dahulu, kerana ia nampak seperti berat sebelah:
– Muslim tidak dibenarkan untuk mengerjakan Haji pada tahun itu. Mereka ditolak apabila mereka telah sampai ke Mekah. Bayangkan, mereka tidak dapat mengerjakan Haji walaupun mereka telah jauh perjalanan untuk sampai (bukan naik kapal terbang).
– Jikalau ada yang masuk Islam semasa dia di Mekah dan berhijrah ke Madinah, dia hendaklah dipulangkan ke Mekah. Sedangkan kalau orang Madinah yang murtad dan lari ke Mekah, mereka tidak akan dikembalikan.
Oleh kerana dari zahirnya nampak seperti berat sebelah, maka ramai para sahabat (termasuklah Saidina Umar Al-Khattab) terkejut dan menjadi marah waktu itu. Dia tidak boleh terima kerana padanya, kenapa mereka harus tunduk kepada Musyrikin Mekah sedangkan mereka di pihak yang benar? Rasulullah cuba menenangkan mereka sehinggalah Allah menurunkan ayat surah Fath:4
هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمانًا مَعَ إيمانِهِم
Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka
Hanya selepas Allah memberikan ‘sakinah’ ke dalam hati mereka, barulah mereka boleh menerima keputusan tentang Perjanjian Hudaybiah itu.
Tapi, lihatlah bagaimana Allah menggunakan kalimah فتح untuk menerangkan tentang Perjanjian Hudaybiah itu. Ianya bukan sahaja kemenangan kecil, tapi ianya adalah فَتحًا مُبينًا kemenangan yang jelas nyata. Walaupun para sahabat tidak nampak lagi waktu itu, tapi mereka akan menyaksikan bagaimana memang ianya adalah kemenangan yang jelas. Kisah Perjanjian Hudaibiyah dan bagaimana ia memang kejayaan yang jelas telah diterangkan dalam surah al-Fath.
Mari kita kaji lagi: ada dua jenis فتح yang kita telah tahu:
– Fat-h Hudaybia [Perjanjian Hudaybiah]
– Fat-h al Makkah. [Pembukaan Mekah]
Untuk memahami dua kemenangan ini, kita kena telusuri perjalanan kenabian dan usaha Nabi Muhammad SAW:
Rasulullah mengajak Arab Mekah untuk beriman tauhid kepada Allah. Hanya segelintir sahaja daripada kalangan mereka yang beriman dan tidak lama kemudian mereka dilihat sebagai ‘orang pelik’ kerana mengamalkan perkara yang berlainan dengan kebiasaan waktu itu (amalan syirik).
Masyarakat Arab Jahiliah waktu itu melihat Islam sebagai ajaran sesat yang menyebabkan perpecahan di kalangan keluarga dan umat manusia. Mereka bukan sahaja melihat para sahabat sebagai pelik, tapi mereka juga menindas, menghina dan menyakiti para sahabat.
Walaupun begitu, para sahabat terus berdakwah dan lama-kelamaan kumpulan Muslim membesar. Musyrikin Mekah terus memikirkan cara bagaimana untuk menghalang penyebaran tauhid ini berterusan. Kalau dulu mereka sikit, sekarang sudah semakin banyak hingga menyebabkan kerisauan di kalangan pemimpin masyarakat Arab Jahiliyah.
Mereka mula bertindak semakin kasar dan ganas terhadap puak Muslim. Mereka akan menangkap, mencederakan, menuduh kumpulan Muslim itu sebagai pengganas dan sebagainya. Tujuannya supaya orang luar tidak mendekati Islam dan menjadi benci serta was-was terhadap agama tauhid ini. Kumpulan Muslim itu dilihat sebagai pemberontak dan anasir yang perlu dihapuskan.
Maka, sudah tentulah tidak ada perhubungan diplomasi antara pemimpin Arab Jahiliyah dan umat Islam waktu itu. Kerana mereka adalah kerajaan waktu itu dan umat Islam adalah ‘pengganas’. Arab Jahiliyah tidak mengiktiraf kumpulan Islam itu.
Tapi, itu berubah semasa Perjanjian Hudaybiah. Bayangkan waktu itu terjadinya ‘perjanjian rasmi’ antara dua golongan ini. Setelah sekian lama (13 tahun di Mekah dan 6 tahun di Madinah), pihak Quraish tidak ada pilihan lain lagi selain daripada mengiktiraf kumpulan umat Islam itu. Ini terjadi apabila ada perjanjian antara mereka.
Bayangkan juga, kumpulan umat Islam waktu itu bukannya datang dengan bersenjata dan perisai, tapi mereka telah mendapat kedudukan yang cukup membuatkan pihak Quraish terpaksa mengadakan perjanjian dengan mereka. Pihak Quraish sudah habis ikhtiar untuk memusnahkan terus agama Islam setelah sekian lama mereka mencuba.
Apabila berita perjanjian itu tersebar ke tempat-tempat lain, puak Arab yang lain telah membuka mata mereka terhadap Islam. Mereka sedar, apabila pihak Quraish terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan pihak Islam, ini bermakna pihak Islam sudah mencapai status yang tinggi yang mungkin hampir sama dengan pihak Quraish.
Ini terjadi setelah Perjanjian Hudaybiah itu ditandatangani – ini adalah titik tolak kepada kejayaan penuh nanti di masa hadapan. Mulanya, ia telah membuka mata masyarakat Arab yang lain. Waktu itulah juga Rasulullah telah mengadakan perjanjian persefahaman dengan puak-puak Arab yang lain. Ada yang berpihak kepada pasukan Islam dan ada yang duduk di atas pagar (sekurang-kurangnya mereka berjanji tidak menyerang umat Islam).
Pengaruh Rasulullah semakin kuat dan dalam masa yang sama, pengaruh Quraish semakin berkurang. Dan ini dicapai tanpa pertumpahan darah. Tanpa pihak Quraish sedari, mereka telah memulakan kejatuhan mereka secara keseluruhan.
Tahun selepas Perjanjian Hudaybiah itu, umat Islam dapat masuk dengan aman untuk mengerjakan Haji dan pihak Quraish tidak dapat melakukan apa-apa. Kerana itulah Allah mengatakan yang Perjanjian Hudaybiah itu sebagai فَتحًا مُبينًا kemenangan yang jelas nyata.
Tapi, Perjanjian Hudaybiah itu juga tidak sehebat Pembukaan Mekah. Kerana kalimah yang digunakan adalah فَتحًا (dengan tanwin) sedangkan Surah an-Nasr kalimah yang digunakan adalah الفَتحُ (dengan ال) yang lebih kuat lagi. Kalimah الفَتحُ bermaksud kemenangan yang mutlaq.
Allah berfirman dalam surah ini: نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ. Huruf و yang digunakan dalam وَالفَتحُ itu tidak semestinya bermaksud ‘dan’. Ia juga boleh bermaksud ‘yakni’. Iaitu pertolongan Allah itu dalam bentuk kemenangan.
Sedikit sejarah tentang Pembukaan Mekah:
1 – Kehebatan Pembukaan Mekah: ianya adalah satu-satunya penaklukan yang tidak melibatkan pertumpahan darah. Dalam mana-mana sejarah penaklukan lain, apabila satu kuasa mengambil kuasa atau tempat lain, mesti akan ada pertumpahan darah. Tapi secara umumnya, penaklukan Mekah adalah aman. Memang ada sedikit pertelingkahan tapi tidak ada pertumpahan darah.
2 – Ianya adalah satu-satunya penaklukan di mana tentera yang menang tidak mengambil peluang terhadap penduduk yang ditakluk. Mereka dilayan dengan baik. Tidak ada pembunuhan, tidak ada perogolan, tidak ada pengambilan harta langsung.
Bandingkan dengan penaklukan mana-mana tentera lain. Dari dulu sampai sekarang, kalau ada yang menakluk, mereka akan di rompak, di rampas dan di rogol. Tapi, apabila Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mengambil alih Mekah, ianya aman sekali. Yang ada hanyalah لا تَثريبَ عَلَيكُمُ اليَومَ (Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu) seperti yang difirmankan dalam surah Yusuf:92.
3 – Tidak ada perarakan, tarian atau kenaikan bendera seperti yang selalu terjadi dalam penaklukan lain. Yang ada adalah penyembahan kepada Allah. Nabi Muhammad SAW sendiri masuk ke Kota Mekah dengan menundukkan diri baginda. Baginda waktu itu sedang menaiki kuda dan kepala baginda rapat dengan tengkuk kuda itu sebagai isyarat kepada sujud.
Baginda meraikan kemenangan itu dengan sujud kepada Allah. Subhanallah! Kerana baginda tahu yang kemenangan bermaksud harus bersyukur kepada Allah. Kerana kemenangan itu juga kerana pertolongan Allah (nasrullah).
4. Setelah itu, baginda membersihkan Ka’bah dari berhala dan gambar-gambar yang ada di dalam Ka’bah. Jadi, ini adalah satu kemenangan unik yang tidak berlaku dalam sejarah manusia, dulu sehingga kini.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 30 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan