Tafsir Surah Saff Ayat 10 – 14 (Jadilah seperti hawariyyun)

Ayat 10: Dalam ayat sebelum ini Allah telah memberitahu yang Dia akan menegakkan agamaNya di bumi. Oleh itu, untuk menegakkan agama Islam di seluruh dunia untuk mengatasi agama agama yang lain, maka kerana itulah jihad perlu dijalankan dan Allah sekarang Allah menceritakan kelebihan jihad. 

Sekarang ini memang tidak ada jihad qital (jihad perang) tapi bagi kita, masih ada lagi jihad iaitu jihad lisan iaitu dakwah. Iaitu jihad di dalam menyebarkan Qur’an supaya Qur’an ini menjadi resam di seluruh dunia. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, shall I guide you to a transaction that will save you from a painful punishment?

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Kalau kamu rasa kamu beriman, maka hendaklah kamu menjalankan jihad seperti yang disebut dalam ayat ini.

هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ تِجٰرَةٍ

sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan 

Allah menarik perhatian manusia terutama pembaca Qur’an dengan menceritakan tentang ‘perniagaan’ yang amat besar dan amat menguntungkan. Manusia memang suka perniagaan samada orang yang berniaga kerana mereka dapat hasil keuntungan dan juga orang yang membeli kerana mereka dapat barang yang mereka perlukan.

Allah sebut perniagaan dalam ayat ini kerana perniagaan adalah sumber rezeki paling banyak. Tambah-tambah lagi perniagaan yang Allah tawarkan ini adalah perniagaan yang hebat kerana ada untung sahaja dan tiada rugi.

تُنجيكُم مِن عَذابٍ أَليمٍ

yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?

Perniagaan yang Allah tawarkan ini adalah amat besar kerana ianya dapat menyelamatkan manusia itu. Dan selamat itu adalah selamat dari api neraka.  

Maka, mana lagi manfaat yang kita perlukan kalau dibandingkan dengan selamat dari azab neraka? Tentu tidak ada kerana itu adalah keselamatan dan kejayaan yang paling besar dan paling kita perlukan.


Ayat 11: Sekarang Allah beri pula penjelasan bagi ‘perniagaan’ yang disebut di dalam ayat sebelum ini. 

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is that] you believe in Allāh and His Messenger and strive in the cause of Allāh with your wealth and your lives. That is best for you, if you should know.

(MELAYU)

(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَرَسولِهِ

(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya

Ini adalah ‘jumlah khabari’ di mana Allah memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘perniagaan’ itu. Tapi walaupun ia ayat memberitahu, tapi maknanya adalah arahan. Kena beriman kepada Allah dan Rasul dan ini kena sentiasa ada.

Kenapa tidak digunakan fi’il amar (kata arahan) sahaja? Hebatnya arahan dalam jumlah khabari ini adalah kerana kalau dalam fiil amar, boleh jadi tidak sentiasa kena dilakukan. Sebagai contoh, kita suruh seseorang untuk duduk. Memang itu adalah arahan, tapi tidaklah arahan itu untuk terus duduk sahaja sepanjang masa. Padahal beriman kena sentiasa ada. Tidak boleh sekali pun tidak beriman dengan Allah dan Rasul. 

وَتُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللَّهِ

dan berjihad di jalan Allah 

Bukan sahaja kena beriman dengan Allah dan Rasul, tapi kena juga berjihad. Dan kalau sedang tidak ada jihad, maka hendaklah ada niat untuk berjihad.

Inilah mentaliti yang kita kena ada iaitu apabila sampai masanya yang kita kena berjihad dan menyabung nyawa kita untuk menegakkan agama Islam, maka kita kena serahkan diri kita. Kena simpan niat ini dalam diri kita.

بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم

dengan harta dan jiwamu.

Untuk berjihad itu memerlukan modal seperti juga perniagaan memerlukan modal, bukan? Maka modal jihad ini adalah dengan harta dan diri. 

Harta: kena jalankan infak untuk beri peralatan perang dan bekal perjalanan. Ini adalah kerana perperangan waktu itu bukanlah tentera kerajaan tapi semua mujahideen kepada bawa peralatan dan bekalan perjalanan sendiri. Ianya tidak disediakan oleh kerajaan Islam.

Diri: kena sanggup menghadirkan diri untuk berjuang. Jangan bagi duit sahaja, tapi duduk menyorok di rumah.

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Perperangan adalah sesuatu yang dipandang sebagai buruk oleh kebanyakan dari kita. Tapi sebenarnya ia ada kebaikan di dalamnya, kita sahaja yang tidak tahu dan tidak perasan. Kalaulah kita tahu apakah kebaikan itu, maka tentu kita tidak akan teragak-agak untuk berjihad di jalan Allah. Ini telah banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain maka tidaklah perlu diulangi lagi di sini.

Maka jihad perang ini tidak pernah dikeluarkan daripada kerangka agama Islam. Jangan ada fahaman yang mengatakan ianya telah dimansukhkan. Ini penting difahami kerana ada golongan Islam yang takut Islam dipandang serong, maka mereka kata Jihad sebenarnya sudah dimansukhkan.

Jihad tetap ada sampai bila-bila cuma perlu difahami dengan benar sahaja iaitu dengan mempelajari tafsir Qur’an. Ini juga penting kerana kalau tidak, ada sahaja yang berfahaman ekstrem sampai berfahaman kena terus bunuh orang kafir tanpa dakwah kepada mereka dahulu. Inilah terjadi kepada orang bodoh seperti ISIS dan sebagainya.


Ayat 12: Setelah disebut tentang kepentingan jihad dan sekarang Allah sebut natijah jikalau orang mukmin menjalankan kewajipan jihad. Ada kelebihan akhirat dan duniawi dan dalam ayat ini Allah sebut kelebihan akhirat dahulu kerana ia yang paling penting.

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم وَيُدخِلكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will forgive for you your sins and admit you to gardens beneath which rivers flow and pleasant dwellings in gardens of perpetual residence. That is the great attainment.

(MELAYU)

Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

يَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu

Kalau sanggup beriman dan kemudian menjalankan jihad, natijahnya akan diampunkan segala dosa. Ini adalah amat penting kerana perkara yang paling kita takuti ada dosa-dosa kita. Kerana apabila kita ada dosa, maka itulah yang menyebabkan kita masuk ke dalam neraka. 

Termasuk masuk neraka adalah mereka yang berfahaman tauhid dan tidak pernah buat syirik. Tapi kerana ada dosa-dosa yang dilakukan, maka ia menyebabkan orang itu masuk neraka dahulu untuk mencuci dosanya.

Maka kalau semua dosa telah dihapuskan, maka ini akan menyebabkan tidak perlu untuk masuk ke dalam neraka. Boleh terus masuk ke dalam syurga dan ini adalah nikmat yang amat besar kerana kita tidak mahu nak lihat, dengar dan cium pun bau neraka itu.

وَيُدخِلكُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; 

Apabila telah diampunkan segala dosa, maka para mujaheed itu tidak dimasukkan ke dalam neraka. Dan kalau tidak masuk neraka, maka tentulah mujaheed itu akan masuk syurga.

Dan Allah sebut kelebihan syurga itu untuk menarik minat manusia. Di syurga itu nanti akan ada sungai yang mengalir di bawahnya. Ini adalah tempat tinggal yang amat hebat sekali. Begitulah manusia memang suka kalau dapat tiggal di kawasan perumahan yang ada air seperti tasik, laut, sungai dan sebagainya. Kalau tidak dapat kawasan itu pun, ada yang pasang kolam di rumahnya kerana air kolam itu akan menambah kehebatan rumah itu.

وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ

dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. 

Dan Allah beri penerangan tambahan yang taman syurga yang disebut itu namanya adalah Syurga Adn. Inilah yang dinamakan ‘Eden’ oleh agama Kristian. Mereka ambil dari sumber Islam kerana mereka sendiri tidak ada maklumat ini kerana kitab wahyu mereka telah diubah-ubah dan tidak ada yang tepat. 

Apabila kalimah جَنّٰتِ digunakan dan ia dalam bentuk jamak (plural), ini memberi isyarat yang seorang ahli mujaheed itu bukan sahaja mendapat satu taman dan satu rumah tapi ada banyak taman dan rumah. Allah boleh bagi berapa banyak pun yang Dia mahu. 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang besar.

Apabila dosa telah dihapuskan dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa masuk ke dalam neraka dahulu, maka ini adalah keberuntungan yang amat besar. Kalimah الفَوزُ dari katadasar ف و ز yang bermaksud selamat dari sesuatu yang buruk.

Ini adalah kejayaan yang amat bermakna sekali kerana semua manusia akan ditunjukkan dengan neraka dan ahli syurga sedar yang mereka telah selamat dari neraka. Jadi kejayaan selamat dari keburukan adalah lebih hebat lagi. Tidak sama kalau kita berjaya dapat no. 1 dalam peperiksaan dengan selamat dari dilanggar bas. Kerana selamat dari dilanggar bas bermaksud selamat dari bahaya yang amat besar.


Ayat 13: Selepas disebut tentang balasan baik di akhirat, sekarang disebut pula natijah di dunia kepada para pejuang jihad. 

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها ۖ نَصرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتحٌ قَريبٌ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [you will obtain] another [favor] that you love – victory from Allāh and an imminent conquest; and give good tidings to the believers.

(MELAYU)

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

وَأُخرىٰ تُحِبّونَها

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai

Nikmat yang kedua ini adalah sekunder sahaja kalau ianya dibandingkan dengan syurga yang paling baik yang disebut dalam ayat sebelum ini tadi. Itu pun sudah hebat tetapi Allah tahu yang kita juga suka dengan kejayaan di dunia ini maka Allah janjikan juga balasan di dunia. Ini kerana balasan di dunia ini boleh terus dilihat dan akan memberi semangat kepada umat Islam.

Allah kata umat Islam suka kepada kurniaan ini kerana mereka boleh nampak dengan mata kepala mereka dan dapat menikmatinya. Kalau dikatakan mereka dapat syurga, ia tidak nampak lagi. Sebelum dapat kemenangan yang lebih besar, tentu kita juga memerlukan kemenangan yang kecil-kecilan untuk beri semangat kepada kita, bukan?

نَصرٌ مِّنَ اللَّهِ

(yaitu) pertolongan dari Allah 

Allah akan berikan balasan berbentuk duniawiah. Iaitu bantuan terus dari Allah yang menyebabkan kemenangan. Pertolongan ini adalah daripada Allah untuk mengalahkan musuh.

Ayat ini boleh dibaca secara umum merujuk kepada mana-mana peperangan dengan musuh Islam. Tapi kalau lebih spesifik, kemenangan yang telah diberikan kepada para sahabat dan golongan awal Islam adalah dapat mengatasi Kerajaan Parsi dan Rom. Kedua-duanya adalah kerajaan besar waktu itu (seperti Russia dan Amerika sekarang) tapi kerajaan Islam berjaya mengalahkan mereka.

Maka ayat ini adalah janji Allah dan Allah telah buktikan. Bayangkan Allah telah tundukkan dua empayar yang sangat besar waktu itu. Kejayaan ini tidak berapa lama sahaja dari permulaan Islam. Kita kena ingat yang Islam ini lahirnya di Mekah yang tidak dipandang pun asalnya oleh Parsi dan Rom. Tapi tidak berapa lama selepas Islam bergerak di Madinah, dua empayar besar waktu itu dapat dikalahkan. 

وَفَتحٌ قَريبٌ

dan kemenangan yang dekat

Seperti telah disebut, sebelum kejayaan besar-besaran, manusia memerlukan kejayaan yang kecil-kecil dahulu untuk memberi semangat kepada usaha yang sedang dijalankan. Maka ‘kemenangan yang dekat’ yang dimaksudkan adalah Pembukaan Mekah di mana ramai manusia masuk ke dalam Islam berbondong-bondong.

Ia adalah motivasi yang amat besar kerana ramai dari umat Islam waktu itu asalnya dari Mekah dan mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka beberapa tahun dahulu kerana mereka telah ditindas dengan teruk sekali. Dan sepanjang masa itu mereka amat rindu untuk dapat pulang ke kampung halaman mereka. Dan sekarang ia telah dimasukkan ke dalam wilayah Islam.

Dan kepada penduduk yang tidak berasal dari Mekah pun, mereka tentu mendapat motivasi yang besar juga kerana Mekah ini adalah tempat yang terkenal dan dipandang tinggi kerana Kaabah ada di situ. Mereka semasa zaman jahiliyah pun biasa datang ke Mekah untuk tawaf Kaabah. Maka apabila mereka dapat menguasai Mekah, maka ini memberi semangat yang tidak dapat dibayangkan oleh kita yang tidak melaluinya. Kita cuma dapat bayangkan sahaja.

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Yang telah disebut di atas adalah berita gembira dari Allah sebagai motivasi untuk manusia. Tapi janji ini bukan untuk semua tapi kepada yang betul-betul beriman. Kerana apabila mereka beriman, mereka sanggup untuk melakukan sesuatu yang nampak macam menyusahkan diri sendiri, tapi mereka nampak kebaikan yang ada padanya. 

Maka asal untuk mendapat kejayaan yang telah disebut di atas adalah bermula dengan iman. Dan kita telah sentuh sebelum ini yang iman yang dimaksudkan adalah tauhid. Segala usaha jihad yang dilakukan adalah untuk menegakkan agama tauhid.

Maka kalau tauhid pun tidak faham lagi dan sudah mahu berjihad, maka amat malang sekali kerana ditakuti mati dalam syirik. Maka sekarang kita tidak ada jihad perang, maka teruskan jalan jihad lisan dimana kita sampaikan dakwah kepada manusia.


Ayat 14: Ini adalah ayat tawaran untuk berkhidmat menegakkan agama Allah. Kalau sudah bersedia, maka orang mukmin itu akan dapat jawatan. Mahu atau tidak mahu? 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا أَنصارَ اللَّهِ كَما قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ لِلحَوارِيّينَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ ۖ فَئآمَنَت طّائِفَةٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ وَكَفَرَت طّائِفَةٌ ۖ فَأَيَّدنَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلىٰ عَدُوِّهِم فَأَصبَحوا ظٰهِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, be supporters of Allāh, as when Jesus, the son of Mary, said to the disciples, “Who are my supporters for Allāh?” The disciples said, “We are supporters of Allāh.” And a faction of the Children of Israel believed and a faction disbelieved. So We supported those who believed against their enemy, and they became dominant.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا أَنصارَ اللَّهِ

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah

Allah tidak memerlukan bantuan dan pertolongan kita jadi ayat ini bermaksud membantu ‘agama Allah’ dan menegakkan agama Allah dengan menjalankan dakwah.

كَما قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ لِلحَوارِيّينَ

sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia:

Disebut dalam ayat ini tentang para sahabat Nabi Isa a.s. Mereka itu dinamakan Hawariyyun dan mereka itu adalah sahabat setia Nabi Isa a.s. Merekalah yang membantu baginda dalam dakwahnya.

Ini mengingatkan kepada para sahabat Rasulullah. Kalau sahabat Nabi Isa tidak banyak, tapi sahabat Rasulullah sangat banyak. 

مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ

“Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?”

Kepada umat Nabi Isa, ditawarkan kedudukan ini kepada golongan yang rapat sahaja. Tetapi kepada kita umat Nabi Muhammad, tawaran ini ditawarkan kepada semua umat baginda. 

Sekarang sudah dua kali Nabi Isa disebut sedangkan selalunya dikatakan yang perjuangan Nabi Muhammad lebih rapat dengan perjuangan Nabi Musa kerana mereka juga diarahkan berperang. Tetapi ayat ini mengajar kita bahawa peperangan itu bukan sahaja di medan perang tetapi juga menentang ideologi yang salah seperti yang dilakukan oleh Nabi Isa. Oleh itu, walaupun baginda tidak ada perang pedang, baginda ada jihad lisan (dakwah).

Nabi Isa diarahkan oleh Allah untuk berdakwah dan sekarang baginda menawarkan siapakah yang mahu membantu baginda?

Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah Saw. di musim-musim haji di Mekah:

“مَنْ رَجُلٌ يُؤويني حَتَّى أُبَلِّغَ رِسَالَةَ رَبِّي، فَإِنَّ قُرَيْشًا قَدْ مَنَعُونِي أَنْ أُبَلِّغَ رِسَالَةَ رَبِّي”

Siapakah orangnya yang mau memberiku tempat hingga aku dapat menyampaikan risalah Tuhanku, kerana sesungguhnya orang-orang Quraisy telah mencegahku untuk dapat menyampaikan risalah Tuhanku.

Hingga pada akhirnya Allah Swt. menetapkan baginya orang-orang Aus dan orang-orang Khazraj dari kalangan penduduk Madinah. Maka mereka membaiatnya, menolongnya, dan mengikat janji setia dengannya, bahawa mereka bersedia membelanya dari gangguan orang-orang berkulit hitam dan orang-orang berkulit merah jika dia berhijrah kepada mereka.

Dan ketika baginda Saw. berhijrah kepada mereka dengan para sahabatnya, mereka memenuhi apa yang telah mereka janjikan kepada Allah Swt. melalui Rasul-Nya. Kerana itulah maka Allah dan Rasul-Nya menamai mereka dengan sebutan kaum Ansar, dan akhirnya nama tersebut menjadi gelar bagi mereka, semoga Allah melimpahkan redha-Nya bagi mereka dan membuat mereka puas.

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”,

Pengikut setia Nabi Isa menerima ajakan itu. Nabi Isa dan umat baginda tidak ada dalam sejarah disebut mereka berperang, tetapi dalam ayat ini disebut yang mereka sudah bersedia untuk berperang jika mereka diarahkan. Selagi belum berperang, maka mereka menjalankan jihad lisan sahaja. 

Jadi disebut sahabat Nabi Isa menyahut seruan baginda. Maka ini memberi isyarat kepada kita: Takkan kita tak sahut? 

Jadi janganlah kita lihat jihad itu sebagai jihad perang dan bunuh orang kafir sahaja. Jihad itu dari segi bahasa adalah berusaha untuk menegakkan agama Islam, jadi ianya boleh dilakukan dengan berbagai-bagai cara. Kita kena pilih dan lakukan cara yang sesuai untuk kita.

فَئآمَنَت طّائِفَةٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ

lalu segolongan dari Bani Israil beriman 

Ada dari kalangan Bani Israil itu yang beriman. Bukanlah semua mereka itu teruk. Golongan ini kalau mereka beriman, memang mereka jadi orang yang hebat. Kerana Allah kurniakan akal yang hebat kepada mereka.

وَكَفَرَت طّائِفَةٌ

dan segolongan lain kafir; 

Tapi kita pun tahu yang sebahagian besar dari Bani Israil itu tidak beriman dan malah mereka menentang sendiri Nabi-nabi mereka. Yang tidak beriman dengan Nabi Isa adalah golongan Yahudi. Malah mereka telah menindas dan membunuh golongan Kristian.

Ada pula segolongan dari para umat baginda yang berpendapat ekstrem hingga mereka meninggikannya lebih dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya, yaitu kenabian; dan mereka menjadi berpecah belah terdiri dari berbagai macam aliran dan golongan.

Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa Isa adalah ‘anak Allah’, ada yang mengatakan bahawa dia adalah ‘salah satu dari yang tiga’, yaitu tuhan ayah, tuhan anak, dan Ruhul Qudus. Ada pula yang mengatakan bahwa Isa itu sendiri adalah tuhan.

فَأَيَّدنَا الَّذينَ ءآمَنوا عَلىٰ عَدُوِّهِم

maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, 

Allah akan bantu untuk mengalahkan musuh yang kufur. 

Ada dari kalangan Bani Israel itu yang beriman dan ada yang tidak. Maka Allah bantu beri kejayaan kepada Bani Israil yang beriman melawan mereka yang tidak beriman. Oleh kerana ada yang tidak beriman dari kalangan mereka, maka Allah sebut tentang peperangan di kalangan mereka sendiri.

Walaupun kita lihat dari segi sejarahnya Nabi Isa dan pengikutnya tidak berjaya, tetapi Allah hendak memberitahu bahawa di zaman hadapan mereka yang mengikut Nabi Isa juga berjaya seperti pemuda Kahfi dan lain-lain lagi.

Jadi kejayaan itu bukan semestinya berlaku pada satu zaman itu sahaja tetapi ia mungkin berlaku di masa hadapan. Jadi kita ada kepercayaan yang kejayaan akan jadi milik kita akhirnya. Mungkin kita sendiri tidak dapat melihat kejayaan itu tetapi anak cucu kita nanti akan berjaya. Maka kita kena corakkan mereka dan beri ilmu dan semangat kepada mereka dari sekarang.

Jadi ayat ini dibacakan pertama kalinya kepada para sahabat Nabi Muhammad Supaya mereka tahu bahawa bukan mereka yang mula-mula berusaha untuk menegakkan agama tetapi umat-umat yang terdahulu seperti pengikut Nabi Musa dan juga Nabi Isa juga telah melakukan jihad mereka. Dan dari kalangan umat mereka itu memang ada yang tidak beriman. Yang tidak beriman itu akan diperangi. Maka kita kena berhati-hati supaya kita menjadi orang yang beriman.

فَأَصبَحوا ظٰهِرينَ

lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

Mereka akan menjadi golongan yang benar dan menang dalam peperangan. Dan jikalau jihad yang dimaksudkan adalah ‘jihad mulut’ maka kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan dari segi hujah.

Maka ini adalah janji dari Allah – sebagaimana kemenangan diberikan kepada umat Nabi Isa, maka begitulah juga akan diberikan kepada umat Nabi Muhammad.

Surah ini memberitahu misi Nabi Muhammad dan umat Islam iaitu menegakkan agama Allah di atas muka bumi dan surah selepas ini iaitu Surah Jumaah akan mengajar kita bagaimanakah cara untuk kita dapat mencapainya.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Saff. Sambung surah seterusnya, Surah Jumuah.

Tarikh: 20 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s