Ayat 147: Apa pula doa mereka?
وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا وَإِسرافَنا في أَمرِنا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And their words were not but that they said, “Our Lord, forgive us our sins and the excess [committed] in our affairs and plant firmly our feet and give us victory over the disbelieving people.”
MALAY
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata:
Allah ﷻ ajar kita apakah doa yang mereka lafazkan semasa mereka sedang berjihad. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengajar cara lafaz doa. Doa-doa itulah yang patut kita amalkan (dalam keadaan yang sesuai).
Namun janganlah pula pakai tangkap muat ayat Al-Qur’an dan dijadikan doa. Kena tengok sama ada ayat itu ayat doa ataupun tidak. Orang kita yang jahil dengan wahyu dan konsep doa, suka mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa tetapi ayat itu bukan doa pun dan tidak kena mengena dengan hajat mereka. Ini adalah penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an sebenarnya.
رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا
“Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami
Tutuplah dosa-dosa kami dan apa-apa kesalahan yang telah kami lakukan. Manusia memang tidak lari daripada melakukan dosa selagi mereka hidup.
Mereka minta diampunkan dosa walaupun mereka sedang melakukan jihad fisabilillah. Ini adalah kerana dosa adalah perkara yang akan menyebabkan kesusahan kepada kita. Antaranya, kerana dosalah yang akan memasukkan kita ke dalam neraka. Walaupun kita beriman, tetapi kalau kita ada dosa, maka kena dicuci terlebih dahulu dosa itu di neraka. Setelah sekian lama, barulah dimasukkan ke dalam syurga. Takkan kita tidak takut?
Ini juga adalah adab dalam berdoa. Hendaklah kita memohon ampun atas dosa kita dahulu (sebelum minta perkara yang lain) kerana kita pun tahu, kita ini banyak dosa. Janganlah terus minta pelbagai perkara namun dalam masa yang sama, kita sendiri tahu yang dosa kita banyak.
Dosa juga menyebabkan doa tidak diterima oleh Allah ﷻ. Maka, sebelum meminta apa-apa, mintalah Allah ﷻ mengampunkan dosa kita. Sebanyak mana pun dosa kita, Allah ﷻ masih boleh ampunkan. Kalau kita kurang dosa, maka makin lancarlah doa kita itu.
وَإِسرافَنا في أَمرِنا
dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami,
Tutuplah kesalahan kami yang mana kami telah melampaui batas. Mungkin kita sebagai manusia, ada buat terlebih daripada yang sepatutnya. Mungkin kita sudah buat benda yang baik, tetapi kadang-kadang tanpa kita sedari, kita buat benda yang tidak patut pula.
Dalam konteks peperangan, mungkin ada buat benda yang tidak patut dengan musuh; atau ada cakap benda yang tidak patut. Contohnya, cakap besar, sombong dan sebagainya. Kita minta Allah ﷻ ampun dan tutupkan kes itu semua supaya kita tidak malu di akhirat kelak.
وَثَبِّت أَقدامَنا
dan teguhkanlah tapak pendirian kami
Teguhkanlah kaki-kaki kami dalam peperangan ini. Jangan sampai kami takut sehingga kami lari. Memang peperangan amat menakutkan sesiapa sahaja. namun, kalau seorang itu telah yakin dengan agama dan dengan perjuangan, kaki mereka akan teguh.
Kaki yang lari itu adalah kerana hati mereka sendiri yang tidak teguh. Maka, kita kena kuatkan keyakinan dalam hati dulu dan ini pun memerlukan pertolongan daripada Allah ﷻ untuk menetapkan pendirian kita. Kalau setakat kita hendak kuatkan diri kita, rasanya tidak cukup kuat lagi.
وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
Mereka meminta pertolongan daripada Allah ﷻ untuk mengalahkan musuh (orang kafir). Ini kerana kalau tanpa bantuan Allah ﷻ, tidaklah akan menang. Kalau bukan daripada bantuan Allah ﷻ, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Ini kerana kalau kita ramai, kelengkapan perang pun kuat dan banyak, tetapi kalau Allah ﷻ tidak bantu, adakah akan menang dan berjaya? Tentu tidak! Maka jangan lupa minta pertolongan kepada Allah ﷻ.
Para Mujahid dahulu pun cakap begitu juga. Kita telah dengar doa yang sama dalam Surah Baqarah apabila tentera Talut bertemu dengan tentera Jalut dahulu. Inilah doa yang kita kena ingat.
Ayat 148: Apakah balasan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka?
فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So Allāh gave them the reward of this world and the good reward of the Hereafter. And Allāh loves the doers of good.
MALAY
Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا
Oleh itu, Allah memberikan mereka balasan di dunia
Allah ﷻ beri kelebihan kepada mereka kerana doa mereka itu. Begitulah, senjata yang paling hebat adalah doa. Allah ﷻ beri balasan di dunia lagi dengan kepuasan iman. Mereka tidak kaya raya tetapi mereka rasa puas dengan apa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka dan itulah nikmat yang paling besar.
وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ
dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya
Mereka akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik. Tentulah balasan di akhirat itu jauh tersangat-sangat baik daripada apa yang kita boleh dapat di dunia. Sebab itu kita kena pentingkan akhirat. Dunia jangan dilupakan, cuma kena dilebihkan akhirat.
وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
Allah ﷻ amat suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik. Allah ﷻ suka mereka yang hati ikhlas. Allah ﷻ suka mereka yang memperbaiki diri mereka. Maka kita kena sematkan dalam diri kita untuk sentiasa melakukan kebaikan.
Sekian Ruku’ 15 dari 20 ruku’ surah ini
Ayat 149:
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, if you obey those who disbelieve, they will turn you back on your heels, and you will [then] become losers.
MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Wahai orang-orang yang beriman!
Allah ﷻ berikan nasihat kepada orang-orang yang mengaku beriman. Dengarlah nasihat ini.
إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا
Jika kamu taat kepada orang-orang yang kafir
Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini termasuk juga golongan munafikin. Luaran mereka nampak Islam, tetapi hati mereka kufur. Allah ﷻ mengingatkan supaya jangan mengikut cadangan mereka yang bercanggah dengan akidah.
يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم
nescaya mereka akan membalikkan kamu kembali kepada kekufuran,
Ia adalah amat bahaya sebab boleh menyebabkan murtad. Para sahabat yang mukmin telah beriman dengan sebenarnya, tetapi kalau mereka terikut-ikut dengan kata-kata dan cadangan orang-orang Munafik, boleh menyebabkan mereka kembali kufur.
فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ
lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.
Rugi maksudnya segala usaha kita tidak mendapat bantuan daripada Allah ﷻ. Mereka rugi kerana ada peluang untuk mendapat kebaikan di akhirat tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Mereka akan menyesal dengan penyesalan yang amat tinggi nanti. Waktu itu tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi.
Ayat 150:
بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم ۖ وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But Allāh is your protector, and He is the best of helpers.
MALAY
(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.
بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم
Bahkan Allah Pelindung kamu,
Yang kita harapkan dan dambakan adalah perlindungan daripada Allah ﷻ sahaja. Hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat melindungi kita dengan sebenarnya dan kerana Allah ﷻ sahaja pelindung kita, maka kenalah kita jaga syari’at. Janganlah taat dan ikut kepada golongan munafik itu tetapi ikutlah Allah ﷻ. Jagalah syari’at kerana mereka tidak dapat menolong kamu sedikit pun, tetapi Allah ﷻ sahaja yang menjadi penolong kamu nanti.
وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ
dan Dia lah sebaik-baik Penolong.
Tidak ada sesiapa lagi pun yang boleh membantu sebagaimana Allah ﷻ boleh bantu kita. Kalau ada orang hendak bantu, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan, tidak akan terjadi juga. Namun kalau Allah ﷻ hendak bantu kita, walaupun semua makhluk menghalang daripada bantuan itu sampai, maka ia tidak akan terjadi.
Allah ﷻ boleh membantu kita dengan cara yang paling baik. Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan dan Dia akan beri yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita sangka kita mahukan satu perkara terjadi, tetapi Allah ﷻ lebih tahu, maka Dia boleh jadikan perkara lain yang terjadi, dan ia pasti lebih baik untuk kita.
Sebagai contoh, tentulah para sahabat mahukan kemenangan dalam Perang Uhud itu, tetapi Allah ﷻ telah berikan kekalahan kepada mereka. Tentu ada kebaikan dan kelebihan daripada perbuatan Allah ﷻ itu. Allah ﷻ telah menjelaskan banyak sebab kenapa Dia lakukan perkara itu. Yang kita perlu buat adalah percaya dengan tindakan Allah ﷻ. Belajar redha dengan apa yang Allah ﷻ lakukan.
Ayat 151: Ini adalah contoh bantuan yang Allah ﷻ beri.
سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا ۖ وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ ۚ وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We will cast terror into the hearts of those who disbelieve for what they have associated with Allāh of which He had not sent down [any] authority. And their refuge will be the Fire, and wretched is the residence of the wrongdoers.
MALAY
Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.
سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ
Kami akan campakkan ke dalam hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun,
Allah ﷻ akan campakkan rasa takut yang amat sangat ke dalam hati orang-orang kafir, sampai mereka takut kepada umat Islam walaupun bilangan mereka ramai dan tentera Islam itu sedikit sahaja. Ini boleh terjadi kalau tentera Islam itu mengamalkan apa yang sepatutnya (taat Allah ﷻ, taat pemimpin dan sebagainya). Memang ada kisah orang kafir (kemudian masuk Islam) menceritakan yang dahulu mereka takut sangat dengan tentera Muslim.
بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًاۖ
disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya.
Kenapa Allah ﷻ beri mereka perasaan takut kepada orang Islam? Kerana mereka membuat syirik. Apa yang mereka buat itu tidak ada dalil daripada Allah ﷻ. Bila syirik bertemu tauhid, pengamal syirik akan kalah dan mereka akan berasa takut.
Begitulah juga, puak-puak orang Islam yang mengamalkan syirik di negara ini – amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Allah ﷻ atau Nabi. Sebagai contoh, banyak amalan-amalan puak tarekat tidak ada dalil. Mereka reka dengan amalan yang mereka dapat daripada ilmu khayalan guru-guru mereka yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kalau hendak tahu, tanya sahaja manakah dalil daripada amalan mereka itu.
Malangnya orang-orang kita yang jahil agama (terutama sekali jahil dengan wahyu), mudah terikut kerana nampak seperti mudah sahaja untuk mendapat kedudukan tinggi dalam agama, kononnya dapat maqam itu dan ini. Mereka mencari jalan pintas, tetapi itu semua adalah karut sahaja.
Satu lagi masalah besar adalah golongan silat di negara kita. Banyak sangat amalan-amalan untuk kuasa kuat, laju, dapat perlindungan dan sebagainya. Mereka ada mentera-mentera yang mereka baca, tetapi malangnya itu semua adalah untuk memanggil jin belaka.
وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ
tempat kembali mereka ialah neraka,
Puak-puak yang mengamalkan syirik, akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama ada puak syirik dalam kalangan orang kafir atau dalam kalangan orang yang mengaku Muslim pun. Amatlah menyedihkan sekali. Mereka bertungkus lumus mengamalkan amalan salah mereka, namun akhirnya masuk neraka. Mereka sangka masuk syurga dengan mudah, tetapi mereka akhirnya masuk neraka.
وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.
Orang yang mengamalkan syirik dikatakan orang-orang zalim. Lafaz مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.
Kalimah zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menzalimi Allah ﷻ iaitu tidak diberikan kedudukan yang sepatutnya kepada Allah ﷻ: itulah dosa besar melakukan syirik.
Ayat 152: Allah ﷻ telah beritahu yang Dia akan bantu orang Islam dengan berikan perasaan takut orang kafir kepada tentera Islam. Allah ﷻ telah berjanji akan membantu orang Islam dalam peperangan tetapi Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa kekalahan orang Islam adalah kerana mereka sendiri yang tidak menjaga syari’at.
وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَعَصَيتُم مِّن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم ۖ وَلَقَد عَفا عَنكُم ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh had certainly fulfilled His promise to you when you were killing them [i.e., the enemy] by His permission until [the time] when you lost courage and fell to disputing about the order [given by the Prophet (ṣ)] and disobeyed after He had shown you that which you love.¹ Among you are some who desire this world, and among you are some who desire the Hereafter. Then He turned you back from them [defeated] that He might test you. And He has already forgiven you, and Allāh is the possessor of bounty for the believers.
- i.e., the spoils of war.
MALAY
Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ
Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya,
Allah ﷻ sekarang menceritakan keadaan semasa permulaan Perang Uhud. Allah ﷻ beritahu yang Dia telah menunaikan janji yang umat Islam akan mengalahkan orang kafir. Pada peringakat awal, memang tentera Islam telah dapat membunuh tentera Musyrikin Mekah satu persatu. Umat Islam waktu itu sedang berada di atas. Mudah sahaja untuk mereka membunuh orang-orang kafir itu.
حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم
sehingga ke masa kamu lemah
Allah ﷻ telah membantu mereka sehingga ada antara orang Islam itu yang lemah dalam semangat untuk taat kepada Rasulullah ﷺ dan ketua mereka waktu itu, iaitu Abdullah bin Jabir رضي الله عنه. Abdullah رضي الله عنه adalah ketua yang ditugaskan untuk mengetuai pasukan pemanah yang sedang berjaga di atas satu bukit yang mengawal tempat strategik dalam peperangan itu.
Abdullah bin Jabir رضي الله عنه sudah pun melarang mereka daripada turun dari tempat memanah itu (seperti yang telah diarahkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri). Namun mereka berdegil dan hendak turun juga. Nabi Muhammad ﷺ telah menyusun strategi dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh. Manakala pasukan pemanah seramai 50 orang telah ditempatkan di atas bukit Uhud. Semua tentera pemanah tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing kecuali dengan arahan baginda sama ada kalah atau menang.
وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ
dan kamu berbalah dalam urusan
Dan kerana hendak turun juga dari tempat pemanah, mereka telah berselisih pendapat tentang arahan Rasulullah ﷺ. Ini terjadi antara Abdullah رضي الله عنه dan orang bawahan. Ada yang kata kena duduk tunggu di tempat memanah dan ada yang hendak turun.
Mereka yang hendak turun itu kata, kalau kalah sahaja Rasulullah ﷺ larang tinggalkan tempat itu, tetapi sekarang mereka sudah menang, maka bolehlah mereka turun. Ada yang kata, kalah atau menang, selagi Nabi ﷺ tidak benarkan dan beri arahan untuk turun, jangan turun.
وَعَصَيتُم
serta kamu telah menderhaka
Para sahabat ada yang telah menderhakai arahan. Begitulah mereka yang turun dari tempat memanah itu telah derhaka. Mereka melawan ketua yang dilantik oleh Nabi ﷺ. Mereka dikira telah menderhaka kerana sepatutnya kena taat kepada pemimpin yang dipilih oleh khalifah.
Maka kita kena ingat yang ini adalah ajaran penting dalam agama. Kena ikut arahan kepada pemimpin (selagi dalam perkara yang tidak melanggar syari’at). Ini kita telah diajar dan dilatih dalam ibadah seperti dalam salat, kena ikut imam. Kita telah dilatih dalam salat pun untuk taat kepada pemimpin (dan kalau hendak tegur pun, ada cara untuk tegur dan jangan keluar begitu sahaja). Jadi ini adalah salah satu daripada falsafah salat.
مِن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ
sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai
Mereka jadi goyang daripada taat kerana Allah ﷻ telah menunjukkan kemenangan yang mereka suka. Mereka sangka mereka sudah menang, musuh sudah lari dan harta rampasan perang sudah ada di depan mata.
Apabila tentera musuh telah nampak mereka akan kalah, maka mereka telah bertempeliaran lari meninggalkan medan pertempuran (dan ditinggalkan barang-barang mereka kerana itu akan melambatkan pergerakan mereka). Pasukan pemanah itu pun telah nampak barang-barang yang telah ditinggalkan oleh tentera musuh itu.
Mereka turun itu pun sebab hendak menolong kumpul harta sahaja. Ini kerana bukan boleh ambil lagi pun, tetapi mereka hendak beri khidmat kepada sahabat yang lain. Harta rampasan perang (ghanimah) mesti dikumpulkan dan selepas itu baharu dibahagikan, tidak boleh terus diambil. Jadi kita kena bersangka baik yang mereka sebenarnya hendak tolong berkhidmat kepada orang lain.
Jadi ini bermaksud, mereka hendakkan dunia tetapi untuk tujuan akhirat. Mereka bukanlah berebut-rebut hendakkan harta rampasan itu untuk diri mereka (jangan fikir begitu). Mereka pun nampak tentera Islam tengah menang, musuh pun sedang lari, jadi apa salahnya, (mereka fikir).
Maka, minda dan emosi mereka sedang berlawanan antara suasana dan arahan. Suasana waktu itu mereka sangka membolehkan mereka meninggalkan tempat mereka. Namun arahan daripada Nabi ﷺ sebelum itu, jangan turun. Malangnya, mereka telah kalah dengan suasana. Begitu jugalah kita yang tahu ada arahan dan larangan daripada Allah ﷻ, tetapi kadangkala kalah dengan suasana.
مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ
Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat,
Ada daripada para sahabat yang mahukan dunia dan ada yang mahukan akhirat bersungguh-sungguh. Oleh itu ada yang tetap tunggu di atas bukit walaupun nampak musuh sudah kalah. Mereka taat kepada arahan Nabi ﷺ yang sudah pesan jangan turun. Akan tetapi kerana mereka sudah sedikit, mereka tidak dapat mempertahankan serangan kedua daripada tentera musuh.
ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم
kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji kamu;
Asalnya memang Allah ﷻ telah beri kemenangan kepada tentang Muslim tetapi kemudian Allah ﷻ telah mengalihkan kemenangan yang sedang berada pada pihak Muslimin kepada pihak musuh pula. Tujuannya adalah untuk menguji mereka dan juga ini memberi pengajaran kepada orang Islam supaya lain kali jangan buat begini lagi.
Kesilapan mereka itu memang kesilapan yang besar kerana apabila Khalid al Walid nampak ada pasukan pemanah atas bukit meninggalkan tempat mereka, itu adalah peluang untuk mengambil tempat itu. Ini kerana dia tahu yang tempat itu adalah tempat yang strategik. Dia dan pasukannya telah membunuh sahabat yang masih ada di atas bukit dan mereka pula menyerang tentera Islam dari atas bukit itu.
Sampaikan tentera Islam yang lain pula (yang berada di medan pertempuran) yang kena lari naik ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri. Ini adalah pengajaran yang amat besar. Kekalahan mereka waktu itu adalah kerana tidak taat kepada arahan pemimpin.

وَلَقَد عَفا عَنكُم
dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu,
Dan Allah ﷻ telah memaafkan kesalahan sahabat yang meninggalkan bukit itu. Ini adalah kelebihan sahabat di mana Allah ﷻ telah memaafkan mereka. Dan mereka telah menanggung kesedihan yang amat sangat kerana kesilapan mereka itu. Ini kita kena ingat, yang Allah ﷻ telah maafkan mereka.
Jangan kita kutuk mereka pula. Kesilapan mereka itu menjadi pengajaran bagi kita dan sedikit sebanyak, mereka telah berjasa. Kita kalau dalam kedudukan mereka pun entah apa yang kita buat. Jadi kita boleh sahaja belajar daripada ayat ini tanpa mengutuk para sahabat itu.
وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ
Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.
Allah ﷻ memberi kelebihan khusus kepada mukminin kerana mereka masih tetap dalam akidah mereka. Selagi kita menjaga syari’at dan menjaga apa yang perlu dijaga, maka Allah ﷻ akan beri bantuan kepada kita. Maka kita tidak akan takut kalau kita serahkan diri kita kepada Allah ﷻ. Namun janganlah serahkan kosong sahaja, kenalah ikut tatacara dan syari’at. Kerana itu kena belajar sebanyak mungkin.
Ayat 153: Kesan apabila meninggalkan tanggungjawab ikut arahan ketua.
۞ إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم ۗ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Remember] when you [fled and] climbed [the mountain] without looking aside at anyone while the Messenger was calling you from behind. So Allāh repaid you with distress upon distress so you would not grieve for that which had escaped you [of victory and spoils of war] or [for] that which had befallen you [of injury and death]. And Allāh is [fully] Acquainted with what you do.
MALAY
(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ
(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun,
Ayat ini merujuk ketika tentera Muslim pula diserang dengan ganas, keadaan telah menjadi kacau bilau sehunggakan tentera Muslim pula yang terpaksa lari ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri (Bukit Uhud telah ditawan).
Mereka tidak berpaling memandang ke arah lain pun kerana takut sangat. Sepeeti kita kalau takut sangat, sudah tidak nampak orang lain lagi, tahu hendak lari sahaja. Sampaikan Nabi ﷺ panggil mereka pun mereka tidak pandang. Sepatutnya ketakutan itu pada orang kafir, tetapi mereka pula yang menjadi takut.
وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم
sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu
Sedangkan Nabi ﷺ memanggil mereka untuk kembali meneruskan perjuangan. Rasulullah ﷺ waktu itu masih lagi di medan pertempuran dan tidak melarikan diri tetapi mereka sudah tidak mendengar lagi kerana takut sangat. Jangan kata orang lain panggil, Nabi ﷺ sendiri panggil pun mereka sudah tidak dengar. Walaupun pada waktu itu Nabi ﷺ sedang dikepung oleh musuh. Namun mereka ketika itu hanya teringat untuk selamatkan diri mereka sahaja.
فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ
Oleh sebab itu Allah membalas kamu kesedihan di atas kesedihan
Allah ﷻ telah menimpakan ke atas mereka, kesedihan penyesalan yang bertimpa-timpa. Kesedihan dan penyesalan pertama adalah kerana tidak taat kepada Rasulullah ﷺ dan yang kedua kerana kalah dalam peperangan.
لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم
supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.
Ada jumlah muqaddar (tidak ditulis dalam teks) di sini; iaitu ia tidak tertera dalam ayat, jadi perlu diberitahu dalam tafsir supaya jelas. Perkara sebegini perlu dijelaskan dengan tafsir. Itulah sebabnya penting belajar tafsir, kerana kalau baca daripada terjemahan sahaja, tidak akan jelas.
Maksud potongan ayat ini, Allah ﷻ telah menceritakan kisah tentang kesalahan mereka dan kemudian memberitahu bahawa Dia telah memaafkan mereka supaya mereka tidak berterusan dalam kesedihan atas kekalahan perang itu dan musibah yang menimpa mereka. Kalaulah tidak ada ayat tentang Allah ﷻ memaafkan mereka, tentulah kesedihan akan terus berpanjangan dan mereka menjadi murung pula sampai tidak boleh buat kerja lain.
وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
Allah mengetahui isi hati mereka. Maka kerana itu Allah berikan berita baik ini bagi mereka supaya mereka tidaklah berterusan dalam kesedihan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 April 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan