Menggunakan Ayat Qur’an Untuk Tujuan-tujuan Tertentu

Sudah lama yang menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk Ruqyah dan hajat-hajat tertentu. Ada yang mengatakan kalau baca ayat ini boleh sembuh penyakit ini, ayat sekian-sekian boleh menyembuhkan penyakit lain pula. Ataupun kalau amalkan membaca ayat ini, boleh dapat sekian, sekian perkara.

Contoh amalan menyimpang menggunakan ayat Quran dan mencipta kaedah amalan sebagai wirid selepas solat fardhu.

Ada juga yang menggunakan potongan ayat tertentu untuk hajat seperti Ayat Pengasih, bagi orang sayang, lembutkan hati terhadap kita dan sebagainya. Malah, ada yang menggunakan untuk melembutkan besi pun. Kalau untuk melembutkan besi, mereka akan baca ayat Saba:10 berulang-ulang atau dalam bilangan tertentu.

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya;

Kita difahamakan yang pengamal akan mengulang-ngulang ayat وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيد.

Ada masalah dengan amalan-amalan sebegini. Berikut adalah hujah-hujah yang kita hendak sampaikan:

1. Tidak ada nas dari Nabi yang mengatakan kelebihan-kelebihan itu. Sepatutnya kita kenalah beri dalil dari Nabi kerana perkara ghaib memerlukan pemberitahuan dari Nabi kerana kita sendiri tidak tahu. Nabi memang ada beritahu kelebihan surah-surah tertentu. Contohnya, sebagai perlindungan diri kita, kita disarankan baca Muawwizatain, supaya syaitan tak masuk rumah baca surah Baqarah dan lain-lain kelebihan surah-surah tertentu. Tetapi, malangnya, kebanyakan amalan sekarang yang disampaikan, tidak datang dari Nabi dan tidak diketahui datang dari mana.

2. Ayat-ayat yang digunakan selalunya tidak menanggung tugas yang dimaksudkan. Sebagai contoh, ayat yang digunakan untuk melembutkan besi itu, menceritakan bagaimana Allah melembutkan besi kepada Nabi Dawud. Di manakah doa untuk melembutkan besi itu?

Kalau memang ada doa, itu tidak mengapa. Memang ada ayat-ayat Qur’an yang jelas menjadi doa. Sebagai contoh, ayat Taha:114

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.

Dalam ayat ini, memang terdapat doa di dalamnya – رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا. Jadi, boleh kita amalkan dan memang elok kalau kita amalkan doa-doa yang ada dalam Quran. Ini adalah kerana Allah sendiri yang ajar kita bagaimana cara berdoa, siap dengan lafaz apa yang perlu disebut. Itulah doa yang baik.

3. Ayat Qur’an adalah sebagai peringatan dan sebagai panduan hidup kepada kita, bukan sebagai ‘azimat’ untuk keperluan-keperluan tertentu. Kalau sebut sekian ayat dapat apa yang dihajati, dah macam cerita Harry Potter, sebut certain words, boleh hilang, boleh terbang dan sebagainya. Adakah ayat-ayat Qur’an begitu?

Dengan menggunakan ayat Qur’an sebagai azimat, ia adalah salah satu dari sihir sebenarnya. Walaupun ia adalah ayat Qur’an, tapi kalau kita membacanya kerana niat tertentu, ianya menjadi sihir.

‘Sihir’ adalah apabila kita mengamalkan sesuatu amalan dengan niat untuk mendapatkan sesuatu – untuk jadi kebal, boleh terbang, boleh gerak laju dan sebagainya.

Contohnya ada yang mengamalkan mentera-mentera tertentu. Macam cerita Pendekar Bujang Lapok – Mambang Kuning Mambang Hijau etc. Itu adalah kata-kata sihir.

Yang penting adalah niat kita. Nabi bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatnya.

Kalau mereka niatkan nak sesuatu, Allah mampu dan boleh untuk berikan. Tapi walaupun Allah beri, bukannya ianya tanda yang Allah redha dengan apa yang mereka lakukan. Kerana sihir adalah perbuatan yang haram.

Bezanya, dalam kes ini, mereka tak guna mentera, tapi guna ayat Qur’an. Mungkin kerana itu ramai yang sangka ianya tidak salah memandangkan ianya adalah ayat Quran. Tapi ianya masih sihir lagi.

4. Sepatutnya kita baca ayat Quran dengan faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah kepada kita. Kita kena baca, faham dan amal apakah yang kita bacakan. Selalunya, yang membaca potongan ayat tertentu, tidak tahu pun apa yang mereka baca. Kalau mereka tahu, mungkin mereka tidak akan buat kerana mereka boleh lihat sendiri yang tidak ada doa pun dalam ayat itu. Ianya hanya Allah memberitahu ajaran-ajaran yang sepatutnya kita ambil panduan dan bukan dibaca berulang-ulang sebagai asbab untuk mendapatkan hajat kepada sesuatu.

5. Ada yang mengatakan amalan mereka ‘menjadi’ – besi boleh jadi lembut, badan jadi sihat, boleh buat itu dan ini. Tapi sesuatu perkara itu ‘menjadi’, bukanlah dalil ianya benar. Sihir pun menjadi juga, dan ianya haram. Sami-sami Hindu pun ‘menjadi’ juga amalan mereka, tapi perbuatan mereka syirik. Jadi, kalau sesuatu itu menjadi, bukanlah ianya tanda yang ianya benar. Kalau kita nak sesat, Allah akan beri jalan untuk kita jadi sesat. Sebab kita dah pilih jalan itu.

6. Memang ada ayat yang mengatakan Qur’an itu sebagai syifa’ – penyembuh.

Ayat ayat syifa
Tiada dalil Nabi kita menggunakan himpunan ayat-ayat di atas sebagai bacaan ruqyah atau doa.

Ini ada disebut dalam Isra’:82

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Tapi ayat itu di dalam bentuk umum. Tidaklah ia menyatakan bagaimana ayat-ayat itu dapat memberi penyembuhan kepada kita. Tambahan pula dalam ayat Yunus:57, memberitahu bahawa ayat Qur’an itu adalah penyembuh kepada ‘penyakit hati’.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Kalau kita masih mahu menerima ayat-ayat Qur’an sebagai penyembuh samada penyakit hati atau penyakit fizikal, tidaklah dinyatakan di mana-mana nas yang sahih yang ayat sekian untuk penyakit jantung, ayat sekian untuk penyakit darah tinggi dan lain-lain lagi seperti yang diwar-warkan sekarang.

Oleh itu, bacalah keseluruhan Qur’an itu tanpa hanya menetapkan ayat-ayat tertentu sahaja. Kerana kita sebagai seorang muslim, hendaklah tahu keseluruhan Qur’an itu, jangan pecah-pecah, jangan pilih-pilih, jangan potong-potong.

Bahkan lebih baik ikut betul-betul amalan yang pernah dilakukan Nabi seperti di bawah ini.

Bacaan pada tubuh yang sakit
Doa yang dibaca ke atas bahagian tubuh yang sakit. Membuat amalan yang sahih daripada Nabi maqbul dan dijamin ada barakahnya.

 

7. Mengulang-ulang menyeru Asma’ Allah dan Cara Tawassul Asma’Allah yang sepatutnya.

Cara salah seru Asma husna
Cara salah dan menyimpang dalam menyeru atau bertawasul dengan asma’ Allaah

Selain dari ayat Qur’an, ada yang mengulang-ngulang asma’ Allah untuk hajat tertentu. Sebagai contoh, ada yang ajar, kalau ada keperluan perlukan pertolongan orang, baca ‘ya Bari’ berkali-kali.

Dari manakah datangnya amalan mengulang-ngulang baca ayat-ayat Qur’an dan asma’ Allah sebagai usaha untuk mendapatkan sesuatu?

Ini berdasarkan kepada kisah semasa Nabi Ibrahim dibakar dalam api. Riwayat ini sebenarnya tidak sahih. Dikatakan dalam kisah itu, semasa Jibrail menawarkan pertolongan kepada baginda, baginda jawap yang Allah lebih tahu apa yang diperlukan olehnya, sampaikan baginda tidak perlu menyatakan apalah keperluannya. Dari kisah ini, ada yang mengeluarkan pendapat yang salah – tidak perlu menyatakan apa keperluan kita, cukuplah sahaja menyebut berkali-kali asma Allah atau ayat-ayat tertentu itu. Kerana Allah sudah tahu apakah dalam hati kita dan apakah yang kita perlukan.

Memang Allah tahu apa yang ada dalam hati kita dan apa yang kita perlukan, tapi pemahaman mereka itu bersalahan dengan amalan para Nabi dalam berdoa, sebagaimana yang diceritakan dalam Quran. Para Nabi seperti Nabi Musa, Nabi Zakariya dan lain-lainnya, menyebut keperluan dan kehendak mereka.

Doa cara Tawassul dengan asma Allah
Cara bertawassul dengan asma’Allah ialah dengan menyeru NamaNya yang sesuai dan diikuti dengan hajat orang yang berdoa.

Seperti Allah ceritakan doa Nabi Zakariya dalam Maryam:3-7. Dalam ayat-ayat itu, jelas Nabi Zakariya mengadu menceritakan keadaan diri baginda dan kemudian baginda berdoa dengan menjelaskan apakah kehendak baginda.

Beberapa lagi contoh amalan salah  menggunakan ayat-ayat Quran dengan mengaitkannya dengan fadhilat tertentu.

Kita tidak boleh mencipta kaedah zikir dan wirid kononnya ada fadhilat tertentu.

 

doa-isteri-sentiasa-dara-suami-mengila-gila
Siapakah yang berani mencipta satu kaifiat zikir dan doa dan mengajarkannya pula kepada orang ramai? Bukankah agama ini milik Allah dan RasulNya?

8. Bukanlah kita tidak langsung boleh menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk menyatakan permintaan kita kepada Allah. Tapi bagaimana? Sebagai contoh, katakanlah kita tidak ada anak. Maka kita bacakan ayat dari Maryam:3-7 dan kemudian pohonlah anak kepada Allah. Doa seperti begini: “Ya Allah ya Tuhanku, sepertimana Kau telah berikan anak kepada Nabi Zakariya, kurniakanlah anak kepadaku.

Itulah cara menggunakan ayat-ayat Quran sebagai tawasul. Iaitu kita berbuat amal ibadat dan kemudian kita berdoa. Membaca ayat Quran adalah satu ibadat dan kita digalakkan berdoa selepas beribadat.

9. Satu masalah yang timbul adalah diganggu jin syaitan. Dan ramai yang menggunakan potongan-potongan ayat untuk menghalau jin dan syaitan itu. Atau mereka akan mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai ‘pendinding’ dari jin syaitan.

Sebelum kita melakukan amalan-amalan menghalau jin dan mendinding dari jin menggunakan sumber-sumber yang tidak sahih, kita kena tanya dahulu, kenapa seseorang itu kena kacau dengan syaitan sampai meracau -racau?

Jin dan syaitan boleh mengganggu anak Adam kerana ada masalah dengan tauhid dalam diri mereka. Untuk mengelak dari diganggu jin, kita perlu mempunyai akidah yang benar, tauhid yang mantap dan tidak melakukan syirik. Untuk mendapatkan semua itu, perlulah dia belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Pertama sekali, seseorang itu perlu diajar syahadah supaya kemas tauhidnya dan faham apakah sunnah. Kerana dalam syahadah itu diajar tentang dua perkara itu: Tauhid dan Sunnah. Tulisan dalam blog ini banyak membincangkan perkara ini dengan ringkas.

Yang selalu kena kacau adalah kerana ada masalah dengan tauhid. Kerana kalau tauhid kita kemas, insya Allah akan dilindungi. Allah berfirman dalam Rad:11

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.

Ayat ini dalil bahawa ada malaikat jaga kita siang dan malam. Kalau kita masalah dengan tauhid, malaikat akan tinggalkan dan itu memberi peluang kepada jin syaitan untuk mengganggu kita. Tambahan pula kalau seseorang itu tidak melakukan amal ibadat yang wajib.

Allahu a’lam. Semoga ini dapat membantu pemahaman saudara saudari sekelian tentang penggunaan ayat-ayat Quran dan semoga ini dapat mengelakkan anda dari terjerumus ke dalam penyalahgunaan ayat-ayat Quran.

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s