Bagaimana tanda kita betul-betul cinta? Kita akan buat lebih lagi dari yang sepatutnya (minima). Macam anak yang kita sayang, kita bagi macam-macam. Kalau isteri yang kita sayang, kita bukan setakat beri nafkah cukup makan sahaja (makanan, tempat tinggal, pakaian) sahaja, akan tetapi macam-macam segala mak nenek kita akan beri, bukan?
Maka begitulah kalau kita sayang Allah dan kita tunjukkan dengan ikut Sunnah Nabi. Kita tak buat setakat cukup makan sahaja, tapi kita buat yang berlebihan. Kalau solat sunat, kita buat banyak; kalau puasa, kita puasa yang sunat. Kita bukan setakat buat perkara yang wajib sahaja, tapi kita hendak tahu secara terperinci apa yang baginda lakukan setiap hari. Kita ada satu contoh dari Ibn Umar yang ikut segala perkara tentang Nabi Muhammad walaupun ianya tidak termasuk di dalam perkara yang syariat. Contohnya cara baginda berpakaian,
عَنْ عُبَيْدِ بْنِ جُرَيْجٍ، أَنَّهُ قَالَ لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، رَأَيْتُكَ تَصْنَعُ أَرْبَعًا لَمْ أَرَ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِكَ يَصْنَعُهَا؟ قَالَ: وَمَا هِيَ يَا ابْنَ جُرَيْجٍ؟ قَالَ: رَأَيْتُكَ لاَ تَمَسُّ مِنَ الأَرْكَانِ إِلَّا اليَمَانِيَّيْنِ، وَرَأَيْتُكَ تَلْبَسُ النِّعَالَ السِّبْتِيَّةَ، وَرَأَيْتُكَ تَصْبُغُ بِالصُّفْرَةِ، وَرَأَيْتُكَ إِذَا كُنْتَ بِمَكَّةَ أَهَلَّ النَّاسُ إِذَا رَأَوُا الهِلاَلَ وَلَمْ تُهِلَّ أَنْتَ حَتَّى يَكُونَ يَوْمُ التَّرْوِيَةِ؟ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: أَمَّا الأَرْكَانُ فَإِنِّي لَمْ أَرَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمَسُّ إِلَّا اليَمَانِيَّيْنِ، وَأَمَّا النِّعَالُ السِّبْتِيَّةُ فَإِنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَيْسَ فِيهَا شَعَرٌ وَيَتَوَضَّأُ فِيهَا، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَلْبَسَهَا، وَأَمَّا الصُّفْرَةُ فَإِنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْبُغُ بِهَا، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَصْبُغَ بِهَا، وَأَمَّا الإِهْلاَلُ فَإِنِّي لَمْ أَرَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُهِلُّ حَتَّى تَنْبَعِثَ بِهِ رَاحِلَتُهُ
Daripada Ubaid bin Juraij, bahawa beliau berkata kepada Abdullah bin Umar: “Wahai Abu Abdurrahman, aku melihat engkau melakukan empat perkara yang tidak aku lihat seorang pun daripada sahabat-sahabatmu melakukannya.” Ibn Umar bertanya: “Apakah empat perkara itu wahai Ibn Juraij?” Ubaid bin Juraij berkata: “Aku melihat engkau tidak menyentuh rukun-rukun (penjuru Kaabah) melainkan dua rukun Yamani (Hajarul Aswad dan Rukun Yamani) sahaja, aku melihat engkau memakai kasut kulit as-sibtiyyah (kasut kulit yang tidak berbulu), aku melihat engkau mewarnai (janggut dan pakaian) dengan warna kuning, dan aku melihat apabila engkau berada di Mekah, orang ramai sudah bertalbiah (berihram haji) sebaik sahaja melihat anak bulan (Zulhijjah), sedangkan engkau tidak bertalbiah sehinggalah tiba hari Tarwiyah (8 Zulhijjah)?” Maka Abdullah bin Umar menjawab: “Adapun mengenai penjuru Kaabah, sesungguhnya aku tidak melihat Rasulullah SAW menyentuhnya melainkan dua rukun Yamani itu sahaja; adapun mengenai kasut as-sibtiyyah, sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW memakai kasut yang tidak ada bulu padanya dan baginda berwuduk dengan memakainya, maka aku suka untuk memakainya; adapun mengenai warna kuning, sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW mewarnai dengannya, maka aku suka untuk mewarnai dengannya; dan adapun mengenai bertalbiah (berihram), sesungguhnya aku tidak melihat Rasulullah SAW bertalbiah sehinggalah tunggangan baginda mula bergerak (menuju ke Mina pada hari Tarwiyah).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 166 & Muslim, no. 1187)
Ibn Umar ini adalah contoh tertinggi kecintaan terhadap Rasulullah sampaikan bab pakaian pun beliau hendak ikut. Kita tidaklah perlu ikut sampai begitu. Tapi ini mengajar kita yang kita bukan setakat buat ‘cukup makan’ sahaja, tapi selagi kita boleh ikut Nabi, perkara sekecil mana pun kita akan ikut. Sebab cinta akan menyebabkan kita ringan sahaja untuk melakukan perkara yang lebih.
Perhatikan ayat ini menggunakan kalimah فَاتَّبِعُونِي (ikutilah aku) dan bukan أَحِبُّونِي (cintailah aku). Ini satu pengajaran yang sangat mendalam dan mungkin menyinggung ramai orang. Ramai umat Islam hari ini mempunyai cinta yang besar untuk Rasulullah. Itulah mereka kata sebabnya mereka pergi ke Majlis Mawlid, mereka menyanyikan qasidah puji-pujian terhadap baginda, mereka juga menangis apabila disebut nama baginda sampai kalau disebut nama baginda, terus berdiri mereka itu. Tetapi persoalannya adakah mereka mengikuti Sunnah Nabi Muhammad? Adakah mereka mengikuti cara baginda di dalam kehidupan seharian?
Allah tidak suruh kita bercinta sebegini terhadap Rasulullah. Bukan cara ini yang Allah suruh kita buat. Kita boleh ada segala cinta terhadap Rasulullah, akan tetapi jika kita tidak mengikuti Sunnahnya (berdoa sepertimana baginda berdoa, menyantuni keluarga sebagaimana baginda menyantuni keluarga baginda, dan sebagainya) maka di mana cinta itu?
Oleh sebab itu, pengetahuan mengenai Sunnah amat penting. Ilmu pemahaman tentang Sunnah kena dipelajari. Jangan ikut orang yang hanya ada perasaan cinta terhadap baginda tapi tidak ikut cara baginda. Puji baginda meninggi langit, tapi Sunnah baginda diabaikan. Mencintai Nabi Muhammad memerlukan ilmu maka kita kena mempelajari aspek kehidupan baginda, ajarannya, wataknya, dan kita amalkan semampu boleh.
Kalimah فَاتَّبِعوني bukanlah bermaksud ikut yang biasa. Dalam bentuk yang digunakan di dalam ayat ini, ia membawa maksud ‘ikut dengan penuh cinta, rela, dan kesungguhan. Jadi ia bukan sekadar ikut secara pasif atau terpaksa. Ini disokong oleh beberapa hujah daripada sudut bahasa Arab (balaghah dan sarf), konteks ayat, serta huraian para ulama tafsir.
Dalam ilmu sarf (morfologi bahasa Arab), terdapat perbezaan halus antara kata dasar تَبِعَ (tabi’a – mengikuti) dengan bentuk tambahannya اِتَّبَعَ (ittaba’a). Kalimah تَبِعَ (Tabi’a) bermaksud berjalan di belakang sesuatu atau mengikut secara umum (boleh jadi mengikut tanpa sengaja, sekadar mengekori, atau tanpa penghayatan).
Akan tetapi bentuk kalimah اِتَّبَعَ (Ittaba’a) di dalam ayat ini membawa maksud tambahan lagi. Tambahan huruf alif dan ta’ (yang diidghamkan menjadi ta’ bersabdu) dalam kaedah bahasa Arab berfungsi untuk membawa maksud مُبَالَغَة (mubalaghah — kesungguhan/penekanan) dan اِخْتِيَار (ikhtiyar — pilihan dan kehendak sendiri). Ia bermaksud seseorang itu berusaha keras untuk menjejaki langkah orang yang diikuti, memperhatikannya dengan teliti, serta menirunya dengan kerelaan hati. Jadi ini mengajar kita yang kalau kita benar-benar cinta Allah, maka kita akan suka untuk ikut Sunnah Rasulullah. Kita tidak rasa terpaksa. Malah bagi mereka yang benar-benar hendak berpegang dengan Sunnah, hati mereka tenang sahaja. Kerana mereka tahu apa yang mereka amalkan itu adalah sama seperti yang Rasulullah lakukan.
Macam kalau kita sayang ayah kita, tentulah kita dengan senang hati tolong ayah kita, bukan? Takkan kalau ayah kita suruh buat sesuatu, minta tolong dia, kita hendak kata: “ayah…memang saya sayang ayah, tapi saya tak mahu nak tolong ayah…”. Dan dalam kes Rasulullah ini, kita ada kewajipan yang lebih tinggi lagi seperti firman Allah di dalam Nisa’:65,
فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤمِنونَ حَتّىٰ يُحَكِّموكَ فيما شَجَرَ بَينَهُم ثُمَّ لا يَجِدوا في أَنفُسِهِم حَرَجًا مِّمّا قَضَيتَ وَيُسَلِّموا تَسليمًا
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
يُحبِبكُمُ اللَّهُ
nescaya Allah mengasihi kamu
Inilah tawaran pertama dari Allah kalau sanggup ikut jalan Rasulullah, iaitu ikut Sunnah. Memang telah disebut untuk ikut Nabi, kena ada pengorbanan. Tapi sekarang Allah beritahu yang pengorbanan itu berbaloi kerana balasannya adalah Cinta dari-Nya! Sekiranya dapat ikut Nabi ﷺ, maka Allah ﷻ akan cinta kepada para pelakunya. Hebat, bukan? Kerana cinta siapa yang paling utama? Pasangan kita? Keluarga kita? Tentulah yang paling utama adalah Cinta Allah!
Keperluan psikologi manusia adalah cinta. Dalam hati kita mesti ada perasaan cinta. Secara naluri, kita semua ada perasaan cinta terhadap seseorang dan memerlukan cinta dari yang selain kita. Dan sekarang ayat ini menyebut tentang cinta yang paling agung, iaitu Cinta dari Allah. Caranya adalah dengan Sunnah Nabi.
Ayat ini menunjukkan betapa Allah ﷻ sayangkan Nabi ﷺ sampai kalau kita ikut baginda, Dia akan suka dan akan cinta pula kepada kita. Maknanya baginda adalah jambatan antara kita dan Allah. Maka jangan adalah yang perasan dengan kata mereka ada hubungan istimewa dengan Allah, faham Allah, boleh bercakap dengan Allah dan sebagainya, tapi di dalam masa yang sama mereka tidak ikut ajaran Rasulullah.
Apakah kesan kalau Allah mencintai seseorang itu? Ia bukan setakat Allah sahaja mencintainya, akan tetapi seluruh makhluk akan mencintai orang itu. Ini seperti disebut di dalam satu hadis,
إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ فَقَالَ: إِنِّي أُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ: فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي السَّمَاءِ فَيَقُولُ: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، قَالَ: ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril lalu berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Maka Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril menyeru kepada penghuni langit: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Maka penghuni langit pun mencintainya. Kemudian diletakkan baginya penerimaan (kecintaan) di bumi.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3209, 6040, 7485) dan Muslim (no. 2637) daripada Abu Hurairah RA.
Syarah: Frasa الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ (penerimaan di bumi) ditafsirkan oleh ulama sebagai kecenderungan hati makhluk untuk mencintai dan menerima orang itu. Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan bahawa ia merujuk kepada kecintaan hati manusia, terutamanya golongan yang soleh.
Di sini Allah tidak kata: ‘kalau kamu ikut Nabi, maka betullah kamu cinta Allah‘. Sebaliknya Allah terus kalau kamu ikut Nabi, Allah cinta kamu. Kerana mana yang lebih penting? Cinta kita, atau cinta Allah? Tentulah Cinta Allah lebih penting! Kalau Allah yang cinta kita, sudah selamatlah kita. Kerana kalau setakat kita sahaja cinta kepada Allah dan Allah tidak cinta kita balik, tentulah itu cinta bertepuk sebelah tangan…..tapi kalau Allah cinta kita, tentulah secara automatik, kita akan cinta Allah juga, bukan?
Maka begitulah jalan untuk mendapatkan cinta Allah iaitu dengan ikut Nabi dan buat apa yang Nabi buat, beramal ikut cara Nabi. Rasulullah telah menyampaikan satu Hadis Qudsi tentang mendapat cinta Allah di dalam Hadis Arbain #38:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيّاً فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ. وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ. وَمَا يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا. وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيْذَنَّهُ.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘slaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman, ‘Barangsiapa yang menyakiti waliku, maka Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain apa yang Aku wajibkan baginya. Hamba-Ku senantiasa mendekat diri kepada-Ku dengan amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. Apabila aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, dan kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaKu, pasti Aku beri. Jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku lindungi.’”
[Sahih Bukhari, no. 6502]
Cinta ada banyak peringkat, ada yang biasa dan ada yang tinggi. Inilah yang kita cuba tingkatkan dalam diri kita. Tapi yang pasti, cinta akan diuji. Siapa yang kita lebih cinta? Allah atau selainNya? Akhirat atau dunia? Mulut kita mungkin kata Allah dan akhirat, akan tetapi perbuatan kitalah yang membuktikan mana satu yang kita benar-benar cinta. Perhatikan firman Allah di dalam Tawbah:24 sebagai peringatan kepada kita akan hal ini,
قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم
serta Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu.
Ini pula adalah tawaran kedua dari Allah kalau ikut Sunnah Rasulullah. Kelebihan kalau kita melakukan segala perkara yang disebut di atas, Allah ﷻ akan tutup dosa kita. Kita manusia yang banyak dosa dan amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah ﷻ.
Ayat ini ada kaitan dengan ayat sebelum ini (Ayat 32). Dalam ayat sebelum ini telah disebut dosa kita pun akan dihadhirkan di akhirat kelak. Ketika itu kita pun hendak lari dari dosa-dosa kita itu semua. Maka untuk elak dan jauhkan dosa itu dari kita, hendaklah kita ikut cara Rasulullah ﷺ. Kena belajar cara mengamalkan Sunnah dengan betul. Supaya dosa-dosa itu semua diampunkan sebelum Kiamat lagi.
Dan setelah kita belajar apa itu Sunnah, maka kena amalkan dalam kehidupan kita. Kerana takkan kita mengaku kita ikut Nabi, tapi kita tidak belajar dan tidak amalkan. Ada berapa banyak Sunnah Nabi kita sudah amalkan? Terlalu banyak kerana Nabi sudah beri contoh dalam segenap perkara dalam hidup kita. Ada sunnahnya dalam segenap kehidupan kita seharian. Dari mula bangun tidur, makan, solat, bersin, beri salam dan seterusnya sampailah tidur balik, semua ada sunnahnya.
Malang sekali, ada orang yang mengaku cinta Nabi ﷺ sampai menangis kalau sebut nama Nabi ﷺ tetapi tidak ikut cara baginda, tidak ikut sunnah baginda. Amalan ibadat banyak yang mereka tambah. Itu semua dipanggil bid’ah. Ramai yang rasa ringan sahaja buat amalan bid’ah kerana mereka tidak faham ayat ini dan bagaimana pentingnya kena ikut cara Rasulullah (Sunnah). Berbagai alasan mereka bagi untuk membenarkan amalan bid’ah mereka. Akan tetapi semua itu adalah hujah-hujah batil sahaja.
Ada pula yang sudah menjaga amalan ibadat ikut cara Nabi ﷺ tetapi cara Nabi ﷺ berurusan dengan makhluk, tidak pula mereka ikut. Maksudnya, akhlak Nabi ﷺ, mereka tidak ikut. Mereka tidak jaga hubungan dan ada yang zalim kepada orang lain. Dengan makhluk lain pun mereka tidak jaga (dengan binatang dan tanaman).
Lihatlah apakah maksud ‘akhlak’ itu. ‘Akhlak’ daripada kata dasar yang sama dengan ‘makhluk’. Maksudnya akhlak adalah tentang interaksi kita dengan makhluk Allah ﷻ yang lain. Yang terbaik interaksi mereka dengan makhluk lain, mereka itulah yang ada akhlak yang terbaik. Maka akhlak ada satu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Sebagaimana Rasulullah ﷺ jaga akhlak baginda, maka kita pun kenalah ikut juga.
وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah ﷻ mengingatkan kita kepada Sifat-Nya yang Maha Pengampun dan Penyayang. Kalimah غفر maksudnya Allah ﷻ akan menutup kesalahan dosa yang kita telah lakukan sampai tidak diketahui oleh mana-mana makhluk. Hanya Dia sahaja yang tahu. Kerana malu juga kalau orang lain tahu dosa kita, bukan? Dan setelah Allah ampunkan dosa itu, Allah berikan rahmat pula. Oleh itu, Sifat غَفورٌ dan رَحيمٌ ini saling melengkapi:
-
- Ghafur (Maha Pengampun): berkaitan dengan menghapuskan dan menutup dosa, iaitu membersihkan keburukan yang telah lalu.
- Rahim (Maha Penyayang): berkaitan dengan melimpahkan rahmat dan kebaikan, iaitu memberi ganjaran dan kasih sayang selepas dosa diampunkan.
Ulama sering menyebut bahawa maghfirah (pengampunan) itu membersihkan (takhliyah) dan rahmat itu menghiasi dengan kebaikan (tahliyah). Hamba bukan sahaja dibebaskan daripada kesan dosa, malah dikurniakan nikmat dan kasih sayang. Oleh itu maghfirah didahulukan daripada rahmat kerana membersihkan dosa mendahului pemberian nikmat. Ini juga menjadi pola yang kerap dalam Al-Qur’an.
Al-Razi menjelaskan bahawa Ghafur (Maha Pengampun) bermaksud Allah menutupi dosa-dosa hamba-Nya di dunia, manakala Rahim (Maha Penyayang) bermaksud Dia akan mengurniakan rahmat dan ganjaran di akhirat.
Balaghah: Frasa وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ adalah frasa yang kuat kerana menggunakan nama Allah dan bukannya وَهو غَفورٌ رَّحيمٌ memberi isyarat bahwa sifat ketuhanan (uluhiyyah) menuntut adanya ampunan dan rahmat.
Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa kita kerana Allah ﷻ kasih kepada kita. Allah ﷻ amat bersifat kasih kepada makhluk-Nya. Allah ﷻ bukan hendak menyusahkan hamba-Nya. Segala yang Dia lakukan dan arahkan kepada kita, adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.
Pernahkah kita terfikir mengapa dalam Al-Qur’an, Allah sangat kerap menutup ayat-ayat-Nya dengan gandingan dua nama yang mulia: Al-Ghafur (Maha Pengampun) dan Al-Rahim (Maha Mengasihani) seperti di dalam ayat ini? Sekali imbas, kita mungkin melihat kedua-dua nama ini membawa maksud yang hampir sama, iaitu tentang sifat baik dan kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Namun, para ulama tafsir menyingkap satu rahsia yang cukup mendalam di sebalik penghimpunan dua nama ini.
Ia bukan sekadar pengulangan, tetapi satu pakej lengkap yang menghimpunkan dua perkara utama dalam hidup seorang hamba: Al-Wiqayah (Perlindungan) dan Al-‘Inayah (Pemeliharaan).
1. Al-Ghafur: Perlindungan daripada Masa Silam (Al-Wiqayah). Setiap daripada kita pasti pernah tersilap langkah. Dalam usaha kita cuba mengikut sunnah Nabi SAW dan membuktikan cinta kepada Allah, pasti ada kekurangan, kelalaian, dan dosa yang pernah kita lakukan sebelum ini.
Di sinilah nama Al-Ghafur memainkan peranannya. Secara bahasa, maghfirah berasal daripada kata yang bermaksud menutup dan melindungi (seperti topi besi yang melindungi kepala tentera di medan perang). Apabila Allah bersifat Al-Ghafur, Dia bukan sahaja memadamkan catatan dosa kita, malah Dia menutup aib tersebut daripada diketahui makhluk lain dan melindungi kita daripada azab serta akibat buruk dosa tersebut. Ringkasnya, Al-Ghafur adalah perisai yang menyelamatkan kita daripada kesilapan masa lalu.
2. Al-Rahim: Pemeliharaan untuk Masa Hadapan (Al-‘Inayah). Bayangkan seseorang yang telah dilepaskan daripada hukuman penjara, tetapi dibiarkan berjalan sendirian tanpa bekalan, tanpa tempat tinggal, dan tanpa arah tuju. Dia selamat daripada hukuman, tetapi dia belum tentu mampu meneruskan kehidupan dengan baik. Begitulah juga dengan seorang hamba. Keampunan (Al-Ghafur) menyelamatkan kita daripada kebinasaan akibat dosa. Namun, kita masih memerlukan bimbingan dan kekuatan untuk terus istiqamah pada masa hadapan.
Di sinilah hadirnya nama Al-Rahim. Melalui sifat Al-Rahim, Allah melimpahkan ‘inayah (pemeliharaan dan bimbingan) kepada hamba-Nya. Dia mempermudahkan langkah kita menuju jalan-jalan kebaikan, melembutkan hati kita untuk mencintai ibadah, dan menjauhkan kita daripada lorong-lorong kesesatan serta kesulitan.
Balaghah: Perhatikan frasa adalah وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ iaitu dimulakan dengan و dan bukan seperti selalu iaitu إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ. Apabila ia dimulai dengan إِنَّ, ia bermaksud frasa ini berdiri sendiri. Akan tetapi apabila dimulakan dengan و ia memberi isyarat yang Allah akan bersifat غَفورٌ رَّحيمٌ kepada orang yang cinta kepada Allah dan ikut Sunnah Rasulullah.
Lagi satu, jika kita perhatikan frasa وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ, dua sifat itu disebut tanpa meletakkan huruf ال di pangkal kedua-dua kalimah tersebut seperti yang kita boleh lihat di dalam ayat-ayat yang lain. Dalam ilmu tatabahasa dan balaghah, ketiadaan huruf ال ini menyimpan rahsia keindahan yang sangat mendalam. Dalam bahasa Arab, apabila sesuatu sifat disebut tanpa ال (dalam bentuk kata nama umum atau nakirah yang berbaris tanwin), ia berfungsi untuk mengagungkan (ta’zim) dan menggambarkan keluasan yang tidak terhitung (takthir).
Jika diletakkan ال, ia merujuk kepada keampunan dan rahmat yang sudah diketahui batasannya oleh pendengar. Namun, apabila disebut غَفُورٌ رَّحِيمٌ tanpa ال, maknanya meluas menjadi: “Allah memiliki keampunan yang teramat luas hingga tidak terbayang oleh akal manusia, dan rahmat yang melimpah-ruah tanpa sempadan.”
Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebabkan kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.
Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia termasuk salah satu penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil wahyu sahaja. Sepatutnya ayat-ayat Al-Qur’an dijadikan panduan hidup kita, tapi orang kita buat azimat pula.
Bayangkan mereka membaca ayat ini tentang ikut Sunnah Nabi, tapi mereka sendiri tidak ikut. Mereka dengan selamba reka benda yang Nabi tidak pernah suruh, tidak pernah amalkan. Nabi yang lebih faham tentang ayat ini pun tidak ajar kita sebegitu, tapi mereka pula rasa mereka lebih pandai dan lebih dari Rasulullah! Mereka ini sangat jauh dari kebenaran. Hanya tahu membaca sahaja ayat Al-Qur’an yang mulia, tapi mereka tidak berusaha pun untuk mempelajari maknanya.
Ma’ani adalah app yang banyak membantu saya di dalam menambah maklumat tentang tafsir Al-Qur’an. Ia menggunakan rujukan kepada banyak kitab-kitab Tafsir Klasik. Boleh digunakan di dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. https://maani.tech/r/CELIKTAFSIR
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 November 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)


