TAAT KEPADA ALLAH DAN RASUL
ِAli Imran Ayat 31: Ayat sebelum ini tentang sifat رَءوفٌ terhadap العِبادِ. Lalu apakah yang perlu dilakukan kalau hendak menjadi العِبادِ? Sekarang kita akan belajar tentang syarat-syaratnya.
Ayat ini datang setelah ayat-ayat sebelumnya yang melarang orang-orang beriman daripada menjadikan orang kafir sebagai teman rapat atau pelindung. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Biqa’i dan al-Sabuni, adalah tidak masuk akal untuk seseorang mendakwa mencintai Allah tetapi pada masa yang sama bersekutu dengan musuh-musuh-Nya. Oleh itu, ayat ini menyediakan satu tanda yang jelas (alamat) untuk membezakan dakwaan cinta yang benar daripada yang palsu. Cinta kepada Allah bukanlah sekadar pengakuan lisan, tetapi ia terbukti melalui ketaatan kepada perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, sebagaimana yang disampaikan melalui Rasul-Nya.
Ayat ini adalah Ayat Tabshir (Ayat gembira). Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia bersifat رَءوفٌ. Maka selepas kita tahu sifat Allah ﷻ begitu, maka timbullah rasa cinta kita kepada Allah ﷻ.
Cinta memerlukan dua belah pihak saling mencintai, barulah lengkap. Kalau kita kasih kepada Allah ﷻ, tetapi Allah ﷻ murka, tidak ada gunanya. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu cara bagaimana hendak mendapatkan kasih-Nya. Kalau hendak balas kepada Allah, tentu kita tidak mampu kerana segala apa yang kita ada pun dariNya juga, bukan?
Cara untuk kasih kepada Allah ﷻ adalah dengan mengikut cara yang Allah ﷻ suruh. Iaitu kita taat kepada kehendakNya. Sebagaimana kita sayang kekasih kita di dunia, tentulah kita akan ikut kehendak dia seboleh mungkin, bukan?
Dalam Tafsir Jalalain, ada disebut bahawa ayat ini tentang segolongan ahli syirik yang kata mereka seru para wali yang mereka seru dengan harapan Allah ﷻ mencintai mereka. Mereka kata yang mereka seru itu bukan makhluk biasa tetapi yang mulia, yang disayangi Allah ﷻ. Jadi mereka sebut-sebut dan puja wali itu supaya yang dipuja itu sebut pula nama mereka di hadapan Allah ﷻ, supaya kemudian Allah ﷻ pula cinta mereka.
Itu adalah cara beragama yang salah. Maka Allah ﷻ memperbetulkan pemahaman syirik ini. Fahaman salah ini juga banyak dalam masyarakat kita seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah, tarekat dan golongan Habib.
Ayat ini sangat terkenal di kalangan masyarakat Islam kita. Ayat ini sampai ada panggilan khas iaitu Ayatul Imtihan (آيَةُ الامْتِحَان) yang bermaksud “Ayat Ujian” atau “Ayat Penguji”. Selain itu, ada juga yang menggelarnya sebagai آيَةُ المِحْنَة, dinamakan demikian kerana ia menguji dakwaan cinta. Pada zaman Nabi Muhammad, terdapat golongan (termasuk kaum Yahudi, Nasrani, dan musyrikin) yang mendakwa bahawa mereka sangat mencintai Allah. Allah menurunkan ayat ini sebagai batu ujian untuk membezakan antara cinta yang tulen dengan dakwaan kosong.
Sebagai contoh, puak Musyrikin Mekah dakwa mereka menyembah berhala dan minta tolong kepada berhala itu adalah kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah seperti disebut di dalam Zumar:3
وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah pelindung dan penolong: “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”
Adakah itu caranya untuk mendekatkan diri dengan Allah dan menzahirkan cinta kepada Allah? Itu karut sekali. Maka sekarang Allah memberi ujian yang zahir bagaimana cara membuktikan cinta kepada Allah. Bukannya ikut kepala sendiri sahaja.
Cinta adalah sesuatu yang tersembunyi di dalam hati, sukar diukur atau diketahui kebenarannya. Mufti Shafi’ menjelaskan bahawa cinta meninggalkan jejak dan tanda-tanda yang dapat membantu mengenalinya. Oleh itu, ayat ini menyediakan “batu ujian” bagi sesiapa yang mendakwa mencintai Allah. Ujian itu adalah ittiba’ (mengikuti atau menuruti) Nabi Muhammad ﷺ.
Ayat ini menetapkan bahawa bukti sebenar seseorang itu mencintai Allah bukanlah sekadar pengakuan lisan atau ibadah mengikut cara sendiri, tetapi melalui ketaatan dan mengikuti sunnah Rasulullah. Sesiapa yang menepati syarat ini lulus ujian tersebut, manakala yang menyelisihinya dianggap gagal dalam dakwaan cintanya.
Ia juga ada digelar sebagai آيَةُ المَحَبَّة (Ayat Cinta / Kasih Sayang ) kerana ia menghimpunkan dua jenis cinta: cinta seorang hamba kepada Allah sebagai syarat, dan cinta Allah kepada hamba sebagai balasan (“nescaya Allah mengasihi kamu”).
Ia juga ada digelar sebagai المِيزَان (Neraca / Timbangan) kerana ayat ini menjadi neraca penimbang bagi menilai kesahihan amal dan pengakuan beragama seseorang.
قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
Say, [O Muhammad], “If you should love Allah , then follow me, [so] Allah will love you and forgive you your sins. And Allah is Forgiving and Merciful.”
MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,
Penggunaan kalimah قُل menunjukkan kepentingan perkara dan maklumat yang akan disampaikan. Semua ayat Nabi kena sampaikan kepada umat. Tapi apabila Allah suruh beritahu secara khusus, ia memberi isyarat yang maklumat itu sangat penting. Ini menekankan bahawa mesej yang disampaikan adalah daripada Allah, bukan daripada Nabi sendiri, dan ia adalah satu pengisytiharan penting yang perlu didengari oleh semua.
Cinta adalah perasaan dalam hati dan kita tidak dapat baca isi hati manusia. Kita boleh buktikan dengan perlakuan kita sahaja. Ramai orang kata mereka cintakan Allah, tapi bagaimanakah cara untuk membuktikannya? Maka di sini Allah berikan tandanya yang kita boleh lihat dan bandingkan. Iaitu kita kena ikut cara Nabi Muhammad! Kita kena ikut ajaran Nabi dan amalan baginda. Allah telah berfirman di dalam Nisa’:80
مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).
Dan Rasulullah juga telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.,
مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ
“Sesiapa yang mentaatiku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah; dan sesiapa yang menderhakaiku, sesungguhnya dia telah menderhakai Allah.”
(Sahih Bukhari, no. 7137; Sahih Muslim, no. 1835)
Kalau benar kasih kepada Allah ﷻ, jangan buat fahaman agama ikut cara sendiri. Jangan pakai cara yang tidak tahu dari mana datangnya (tanpa dalil). Kalau buat cara sendiri, itu adalah kasih ‘sebelah pihak’ sahaja, sedangkan Allah ﷻ murka kepada mereka. Itu maknanya perasan seorang diri sahaja. Cara Nabi ﷺlah yang Allah ﷻ suka. Maka ikutlah cara yang Nabi ﷺ ajar.
Nabi ﷺ suruh kita ittiba‘ kepada baginda. Maksud ittiba’ itu adalah ikut dengan rapat. Macam kalau kita nampak tapak kaki di pantai, kita letak kaki kita letak betul-betul atas bekas tapak kaki itu menyelusuri pantai itu.
Ia berbeza sedikit dengan itaa’ah. Itaa’ah adalah taat atau ikut arahan iaitu, setelah disuruh buat sesuatu, kita lakukan seperti yang disuruh. Paling kurang yang kita lakukan adalah itaa’ah. Ini kita akan bincangkan di dalam ayat 32 selepas ini.
Akan tetapi ittiba‘ lebih tinggi lagi daripada itu. Kalau mahu Allah ﷻ cinta kita, kena ittiba‘ kepada Nabi ﷺ seperti yang diberitahu dalam ayat ini. Ia berlaku apabila kita tanya bagaimana hendak buat sesuatu (itaa’ah sudah diberi arahan baru buat). Maknanya orang yang ittiba‘ itu orang yang ada inisiatif untuk tahu dan ikut. Allah telah berfirman di dalam Hashr:7 yang menjadi arahan kepada kita semua,
وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا
Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.
Keinginan hendak ikut itu adalah kerana ada rasa cinta dan sayang kepada Nabi ﷺ. Maka dia hendak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh, selalu apabila seseorang itu sudah mula terima tauhid dengan cara yang betul, sudah belajar tentang kepentingan sunnah, mereka akan cari maklumat bagaimana Nabi ﷺ salat, cara baginda berpakaian, cara baginda makan dan sebagainya. Itulah yang dikatakan ittiba’. Semoga kita ada perasaan ini dalam hati kita.
Dan ini paling bagus bagi kita. Kita dalam hidup ini mesti ada orang yang kita hendak ikut dan jadikan contoh. Siapa pula contoh terbaik bagi kita? Takkan hendak ikut artis, ahli politik, selebriti pula? Maka sekarang kita telah diberitahu yang kita telah ada contoh terbaik, iaitu Rasulullah. Allah telah berfirman di dalam Ahzab:21
لَّقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كانَ يَرجُو اللهَ وَاليَومَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثيرًا
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
Jadi cinta kepada Nabi Muhammad adalah dengan ikut cara baginda. Bukannya puja dan puji baginda melambung-lambung, dalam majlis bid’ah, dengan cara yang bid’ah. Bukannya dengan buat Majlis Mawlid, contohnya dan apa-apa sahaja cara bid’ah yang direka-reka. Zaman sekarang yang banyak mendakwa mereka cinta Nabi tapi buat dengan cara yang salah adalah golongan Habib. Sekarang mereka terkenal di negara kita (asal mereka dari Yaman) dan ramai dari kalangan orang kita tertipu dengan mereka.
Perhatikan Nabi ayat ini tidak cakap ikut baginda dan para ulama’; atau ikut baginda dan para sahabat. Tidak. Kerana yang utama adalah ikut cara Rasulullah. Dan kalau ulama’ dan sahabat itu kita ikut kerana mereka pun ikut Nabi. Kalau mereka tidak ikut, kita pun tak hingin hendak ikut. Jadi kalau ulama’ setakat beri pendapat dia sahaja, maka kita tidak ikut. Dan kalau para sahabat seorang diri sahaja pun kita tidak ikut kerana ia mungkin pandangan peribadi dia sahaja.
Bagaimana cara kita membuktikan kita ikut Nabi? Seorang ulama besar salaf pada kurun ke-3 Hijrah bernama Sahl bin Abdullah al-Tustari (سَهْل بْن عَبْدِ اللهِ التُّسْتَرِيّ, wafat 283H) telah menukilkan satu ungkapan ringkas tetapi padat ketika menafsirkan frasa “فَاتَّبِعُونِي” (“maka ikutilah aku”) dalam ayat ini iaitu:
فَاتَّبِعُونِي أَيْ: بِالسُّنَّةِ وَالْقُرْآنِ
(“Ikutilah aku” iaitu dengan berpegang kepada Al-Sunnah dan Al-Qur’an)
Jadi menurut Sahl al-Tustari, tanda seseorang itu mencintai Allah ialah dia mencintai Al-Qur’an; dan tanda dia mencintai Al-Qur’an ialah dia mencintai Nabi; manakala tanda dia mencintai Nabi ialah dia mencintai dan mengamalkan Sunnah baginda.
Ini sangat benar kerana mengikuti Rasulullah tidak boleh dipisahkan daripada Al-Qur’an, kerana baginda sendiri ialah pelaksana dan penjelas kepada isi kandungan Al-Qur’an. Sebagaimana kata Saidatina Aisyah di dalam hadis yang diriwayatkan secara panjang lebar oleh Imam Muslim. Berikut ialah petikan bahagian utama dialog antara Sa’d bin Hisham dengan Saidatina Aisyah RA:
عَنْ سَعْدِ بْنِ هِشَامِ بْنِ عَامِرٍ قَالَ: … فَقُلْتُ: يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، أَنْبِئِينِي عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ. قَالَتْ: أَلَسْتَ تَقْرَأُ الْقُرْآنَ؟ قُلْتُ: بَلَى. قَالَتْ: فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ ﷺ كَانَ الْقُرْآنَ
Daripada Sa’d bin Hisham bin Amir, beliau berkata: “…Lalu aku bertanya: ‘Wahai Ummul Mukminin, khabarkanlah kepadaku tentang akhlak Rasulullah ﷺ.’ Beliau (Aisyah) menjawab: ‘Bukankah engkau membaca Al-Qur’an?’ Aku menjawab: ‘Ya (aku membacanya).’ Beliau berkata: ‘Sesungguhnya akhlak Nabi Allah SAW itu adalah Al-Qur’an.'”
(Sahih Muslim, no. 746)
Jadi Nabi Muhammad adalah Al-Qur’an yang bergerak. Kalau Al-Qur’an ini adalah teori, praktikalnya adalah dengan kita lihat cara hidup Nabi Muhammad. Maka kita kena belajar Sunnah Nabi. Jangan ingat kita boleh mendakwa kita ikut Nabi kalau kita tidak belajar apa yang perlu dipelajari. Sekarang persoalannya adakah kita ikut cara ini?
Kita boleh lihat para sahabat bagaimana tekunnya mereka belajar. Antaranya kita boleh lihat kisah Saidina Umar belajar. Dia bukannya sentiasa bersama dengan Nabi kerana dia juga pergi bekerja. Jadi apa beliau buat?
عَنْ عُمَرَ قَالَ: كُنْتُ أَنَا وَجَارٌ لِي مِنَ الْأَنْصَارِ فِي بَنِي أُمَيَّةَ بْنِ زَيْدٍ ـ وَهِيَ مِنْ عَوَالِي الْمَدِينَةِ ـ وَكُنَّا نَتَنَاوَبُ النُّزُولَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، يَنْزِلُ يَوْمًا وَأَنْزِلُ يَوْمًا، فَإِذَا نَزَلْتُ جِئْتُهُ بِخَبَرِ ذَلِكَ الْيَوْمِ مِنَ الْوَحْيِ وَغَيْرِهِ، وَإِذَا نَزَلَ فَعَلَ مِثْلَ ذَلِكَ
Daripada Umar, beliau berkata: “Aku dan seorang jiranku daripada kalangan Ansar tinggal di perkampungan Bani Umayyah bin Zaid, iaitu di kawasan tanah tinggi Madinah (al-‘Awali). Kami bergilir-gilir turun (ke Masjid Nabawi) untuk menghadiri majlis Rasulullah ﷺ; dia turun pada suatu hari, dan aku pula turun pada hari yang lain. Apabila aku yang turun, aku akan membawa pulang kepadanya berita pada hari tersebut daripada wahyu (yang turun) dan selainnya (sabda serta hukum-hakam Nabi). Dan apabila dia yang turun, dia juga akan melakukan perkara yang sama kepadaku.”
Sahih al-Bukhari (Kitab al-Ilm, no. 89).
(Nota: Nama sahabat Ansar yang menjadi jiran Saidina Umar ini ialah ‘Itban bin Malik atau menurut sebahagian riwayat lain, Aws bin Khawli).
Kemudian ada satu kisah masyhur tentang pengembaraan luar biasa seorang sahabat Nabi, Jabir bin Abdullah dari Madinah ke Mesir (atau dalam sebahagian riwayat ke Syam) yang mengambil masa sebulan pergi dan sebulan balik (dua bulan perjalanan pergi-balik) semata-mata untuk mendengar satu hadith secara langsung daripada sahabat Nabi yang lain iaitu Abdullah bin Unais. Kisah ini direkodkan oleh Imam al-Bukhari secara mu’allaq dalam Sahih al-Bukhari (Kitab al-Ilm, Bab al-Khuruj fi Talab al-Ilm) dan diriwayatkan dengan sanad yang bersambung dalam al-Adab al-Mufrad (no. 970) serta Musnad Ahmad (no. 16042).
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: بَلَغَنِي حَدِيثٌ عَنْ رَجُلٍ سَمِعَهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، فَاشْتَرَيْتُ بَعِيرًا، ثُمَّ شَدَدْتُ عَلَيْهِ رَحْلِي، فَسِرْتُ إِلَيْهِ شَهْرًا، حَتَّى قَدِمْتُ عَلَيْهِ الشَّامَ (أَوْ مِصْرَ)، فَإِذَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُنَيْسٍ
Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata: “Telah sampai kepadaku berita mengenai satu hadith daripada seorang lelaki yang mendengarnya sendiri daripada Rasulullah SAW. Maka aku pun membeli seekor unta, kemudian aku mengikat pelanaku di atasnya, lalu aku bermusafir menemuinya selama sebulan sehinggalah aku tiba kepadanya di Syam (dalam riwayat al-Adab al-Mufrad: Mesir), dan ternyata dia ialah Abdullah bin Unais…”
Perhatikanlah bagaimana tekunnya para sahabat dan banyak lagi kisah susah payah para ulama’ zaman berzaman untuk mendapatkan ilmu. Kita sekarang sangatlah senang untuk mendapatkan ilmu, tapi adakah kebanyakan dari kita telah lakukan? Duduk di rumah sahaja kita boleh melayari entah berapa banyak video kelas pengajian. Jangan kata satu hadith, berpuluh hadis kita boleh belajar dalam sehari, bukan? Tapi adakah kita lakukan? Jadi adakah kita berani mengatakan kita benar-benar cinta Sunnah dan ikut Rasulullah?
Yang pertama sekali kita kena ikut adalah dari segi akidah (terutama sekali tauhid). Tinggalkan segala fahaman dan amalan syirik. Syirik itu lebih buruk daripada seorang isteri tidur dengan lelaki lain atas katil yang ada suaminya. Itu adalah perbuatan kurang ajar menduakan suami, tetapi syirik itu lebih buruk lagi kerana menduakan Allah ﷻ!
Itulah bandingan mereka yang sebut nama Allah ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sebut dan seru pujaan lain. Malangnya, ilmu tauhid dan syirik ini jarang dipelajari oleh masyarakat kita, sampai menyebabkan banyak kekeliruan dan terdapat amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita, kerana mereka tidak tahu.
Kemudian selepas ikut hal tauhid (dan akidah), kena ikut dari segi ibadat dan adat. ‘Ibadat’ adalah hubungan makhluk dengan Allah ﷻ dan ‘adat’ adalah hubungan makhluk dengan makhluk. Tentang dua perkara ini, memang ada yang menjaganya (mereka jaga ibadat dan adat mereka), tetapi ada yang culas dalam hal tauhid. Malangnya kalau hal tauhid tidak dijaga, sia-sia sahaja segala amalan yang dilakukan manusia itu kerana dia akan kekal dalam neraka.
Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, Surah Ali Imran ini banyak berkenaan puak Nasara. Nanti tidak lama lagi kita akan masuk perbincangan tentang delegasi dari Najran yang berhujah dengan Nabi Muhammad. Mereka itu mengaku yang mereka cinta Allah, mereka juga cinta kepada Nabi Isa. Tapi sekarang mereka tidak mahu pula terima Rasul Allah iaitu Nabi Muhammad. Maka Allah tegaskan di sini syarat cinta Allah itu mestilah kena ikut Nabi Akhir Zaman ini iaitu Nabi Muhammad.
Jadi ayat ini adalah teguran terus kepada mereka kerana menolak Nabi Muhammad. Dan kita telah bincangkan puak Bani Israil ini mengaku cinta kepada Allah akan tetapi dalam sejarah, mereka tolak ajaran para Nabi mereka sampai ada yang sanggup membunuh para Nabi mereka sendiri! Jadi tak selari apa yang mereka cakap dengan apa yang mereka lakukan.
Dan mereka juga ditegur, kalau cinta Allah dan cinta Nabi Isa, adakah mereka ikut Nabi Isa? Kalau ikut Nabi Isa, tak makan babi, tak minum arak, kena solat ikut cara baginda. Jadi adakah betul kamu kata kamu cinta Nabi Isa tapi kenapa pula tidak ikut cara baginda? Takkan setakat kata cinta cintun, tapi tidak ikut orang yang kita cinta?
Arahan untuk ikut Rasulullah ketika ayat ini diturunkan, bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Untuk mengikut Nabi Muhammad ketika itu bermaksud:
-
- Bagi Quraysh Mekah: mereka kena meninggalkan keluarga, suku, kekayaan, status mereka yang dihormati ketika itu sebagai Penjaga Ka’bah.
- Untuk Ansar: terpaksa berperang dengan suku paling berkuasa di Tanah Arab ketika itu.
- Bagi orang Yahudi / Kristian: meninggalkan tradisi agama dan identiti mereka yang mereka telah pegang selama berabad-abad
- Untuk yang lain: menyertai jihad dan mungkin mati syahid dalam pertempuran (Perang Uhud akan datang dalam tempoh setahun daripada Badr)
Dan kena ingat yang ‘ikut’ Nabi Muhammad bukan sahaja di dalam hal agama. Ia juga bermaksud ikut arahan pemerintahan dari baginda kerana baginda juga adalah pemerintah ketika itu. Orang Islam dan puak Yahudi yang ketika itu berada di Madinah juga kena ikut.
Jadi ini adalah ujian bagi orang yang mengaku beriman. Dan para sahabat telah melepasi ujian ini kerana mereka cinta kepada Allah. Itulah motivasi mereka. Manusia melakukan sesuatu sama ada kerana cinta atau kerana takut. Dan manusia lebih kuat melakukan sesuatu atas dasar cinta, melebihi melakukan sesuatu kerana takut (fear motivation).
Kalimah فَاتَّبِعوني (ikutilah aku) adalah di dalam bentuk kata kerja (verb). Perbuatan yang kita kena lakukan. Sebelum itu disebut تُحِبّونَ (kalian mencintai) yang di dalam bentuk kata nama (noun). Ayat mengajar kita erti cinta. Mungkin kita faham, cinta itu adalah satu perasaan seperti “Saya rasa cinta anda.” Tetapi Al-Qur’an mentakrifkan cinta dengan tindakan/perbuatan: “إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي” – jika anda mengasihi Allah, ada perbuatan yang kena dilakukan iaitu ikut cara Rasulullah. Cinta tidak disahkan oleh apa yang anda rasa; ia disahkan oleh apa yang anda lakukan.
Ini mempunyai implikasi yang mendalam untuk setiap hubungan. Adakah anda mengasihi ibu bapa anda? Maka berkhidmatlah kepada mereka. Jaga mereka, bercakap dengan baik kepada mereka, gembirakan mereka. Adakah anda mengasihi pasangan anda? Maka tunjukkan cinta itu kepada mereka. Beri hadiah, bantu di rumah, bermesra, berbincang dengan baik dan sebagainya. Adakah anda mengasihi Allah? Maka ikutlah Rasulullah. Cinta tanpa pengorbanan, tanpa perkhidmatan, tanpa mengikuti, itu bukan cinta. Itu cuma perasaan sahaja.
Saya teringat satu kisah yang dimasukkan di dalam buku The 7 Habits of Highly Effective People oleh Stephen R. Covey, dalam bab Habit 1: Be Proactive (Jadilah Proaktif) di bawah bahagian yang membincangkan bahawa “Love is a Verb” (Cinta ialah Kata Kerja). Selepas Stephen Covey selesai menyampaikan ceramah mengenai konsep proaktif di sebuah seminar, seorang lelaki menghampirinya untuk meminta nasihat tentang rumahtangganya. Lelaki itu meluahkan rasa bimbang kerana dia dan isterinya tidak lagi mempunyai perasaan yang sama seperti dahulu. Dia merasakan dia tidak lagi mencintai isterinya, dan isterinya juga tidak lagi mencintainya, sedangkan mereka mempunyai tiga orang anak yang perlu difikirkan.
Covey memberikan jawapan yang ringkas dan berulang: “Cintailah dia.” Apabila lelaki itu hairan dengan jawapan itu dan Convey tetap terus kata: “Cintailah dia.” Lelaki itu berasa keliru dan menegaskan bahawa Covey tidak memahami situasinya kerana perasaan cinta itu sudah benar-benar hilang. Orang kata ‘sparks sudah hilang’.
Covey kemudian membalas bahawa ketiadaan perasaan itulah sebab yang paling kukuh untuk dia mula mencintai isterinya. Apabila lelaki itu bertanya bagaimana dia boleh ‘mencintai’ seseorang jika perasaan itu tiada, Covey menjelaskan perspektif utamanya: Cinta ialah kata kerja (tindakan), manakala perasaan cinta ialah buah atau hasil daripada tindakan tersebut. Untuk mencintainya, lelaki itu perlu melakukannya melalui perbuatan: berkorban untuknya, mendengar luahannya, berempati, menghargai, dan memberi sokongan atau pengiktirafan kepadanya.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 20 November 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
