BALASAN BAIK DAN BURUK
Ali Imran Ayat 30: Di dalam ayat yang lepas, Allah sebut apa yang kita simpan dan kita zahirkan, semuanya Allah tahu. Dan akan sampai satu masa, semuanya akan dibongkarkan, iaitu di Akhirat. Oleh kerana Allah tahu apa yang kita lakukan termasuk niat kita, maka Allah boleh membalas segala kebaikan dan kesalahan kita dengan tepat dan adil. Sekarang Allah suruh kita bayangkan keadaan di akhirat kelak ketika kita dibentangkan dengan rekod amalan kita. Maka ini sepatutnya memberi peringatan yang kuat kepada kita.
يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا وَما عَمِلَت مِن سوٓءٍ تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ ٓۥۤ أَمَدًا بَعيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ
SAHIH INTERNATIONAL The Day every soul will find what it has done of good present [before it] and what it has done of evil, it will wish that between itself and that [evil] was a great distance. And Allah warns you of Himself, and Allah is Kind to [His] servants.”
MALAY (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
يَومَ تَجِدُ كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت مِن خَيرٍ مُّحضَرًا
hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, dihadapkan ke hadapannya
Ayat ini menggambarkan suatu hari yang pasti tiba, hari di mana setiap jiwa akan berhadapan dengan segala amalannya. Ingatlah yang kita akan jumpa balik amalan yang kita buat di dunia dahulu. Di sini kita dapat ingat betapa hebatnya Allah; segala amal kita kecil atau besar akan dipersembahkan kepada kita.
Ini adalah berita gembira buat orang yang beramal. Mungkin kita pun sudah lupa kebaikan yang kita pernah buat itu. Namun Allah ﷻ telah merekod semua sekali perbuatan kita. Maka di akhirat akan ditunjukkan semuanya kepada kita walau sekecil mana pun seperti memberi senyuman kepada orang lain.
Yang menariknya, dengan senyum itu sahaja ia boleh menjadi ibadah dan khayr yang lebih besar. Mungkin dengan senyum itu anda dapat berkenalan, anda beritahu di mana masjid, di mana ada kelas pengajian. Mereka pun pergi dan mereka ajak orang lain pergi. Setiap kali mereka pergi, anda akan dapat pahala hanya kerana anda beritahu mereka tempat pengajian dan ianya bermula dengan senyuman sahaja, bukan? Begitulah rahmat Allah kepada kita. Satu perkara baik membawa kepada perkara baik yang lain.
Balaghah: Perhatikan kalimah يَوْمَ dalam permulaan ayat ini berada dalam keadaan manṣūb (baris atas) kerana ia berfungsi dari sudut nahu sebagai Zharf Zaman (keterangan masa). Para ulama nahu dan mufassirun mengatakan yang menjadikannya manṣūb adalah kerana ada taqdir ayat: (اُذْكُرْ) يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ… (Ingatlah) hari ketika tiap-tiap diri mendapati… Kata kerja اُذْكُرْ (ingatlah) dihazafkan (dibuang secara balaghah) untuk memberi impak amaran yang lebih kuat dan mendesak. Iaitu ia mengingatkan kita untuk ingat tentang Hari Akhirat.
Pada hari akhirat nanti amalan baik kita akan ditunjukkan. Kalimah مِن خَيرٍ di dalam bentuk nakirah, bermaksud semua amalan, kecil atau besar. Kalimah محضرا maksudnya ia akan dibawa ke hadapan kita. Ia dari kata dasar ح ض ر yang juga digunakan untuk kalimah ‘hadhir’.
Allah ﷻ tunjuk semula kerana Allah ﷻ hendak balas. Segala penat lelah kita menjalankan amal yang baik itu semasa di dunia akan dibalas dengan berlebihan lagi. Nanti kita sudah tidak ingat susah payah kita dahulu kerana terlalu suka dengan balasan yang berlipat kali ganda itu. Jadi susah payah itu hanyalah di dunia ini sahaja.
Ayat ini mengingatkan kita untuk beramal baik dengan banyak. Kerana nanti ia akan ditunjukkan kepada kita dan akan membantu menyelamatkan kita. Maka janganlah buang masa di dunia ini. Buatlah amal kebajikan sebanyak-banyaknya. Jangan buang masa asyik main game, tengok movie, berjalan sana-sini sahaja siang dan malam. Mari kita ambil pengajaran dari seorang sahabat yang tidak mahu membuang masa seminit pun,
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: انْطَلَقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ حَتَّى سَبَقُوا الْمُشْرِكِينَ إِلَى بَدْرٍ، وَجَاءَ الْمُشْرِكُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَا يُقَدِّمَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ إِلَى شَيْءٍ حَتَّى أَكُونَ أَنَا دُونَهُ»، فَدَنَا الْمُشْرِكُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قُومُوا إِلَى جَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ»، قَالَ: يَقُولُ عُمَيْرُ بْنُ الْحُمَامِ الْأَنْصَارِيُّ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، جَنَّةٌ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، قَالَ: بَخٍ بَخٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا يَحْمِلُكَ عَلَى قَوْلِكَ بَخٍ بَخٍ؟»، قَالَ: لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِلَّا رَجَاءَ أَنْ أَكُونَ مِنْ أَهْلِهَا، قَالَ: «فَإِنَّكَ مِنْ أَهْلِهَا»، فَأَخْرَجَ تَمَرَاتٍ مِنْ قَرَنِهِ فَجَعَلَ يَأْكُلُ مِنْهُنَّ، ثُمَّ قَالَ: «لَئِنْ أَنَا حَيِيتُ حَتَّى آكُلَ تَمَرَاتِي هَذِهِ إِنَّهَا لَحَيَاةٌ طَوِيلَةٌ»، قَالَ: فَرَمَى بِمَا كَانَ مَعَهُ مِنَ التَّمْرِ، ثُمَّ قَاتَلَهُمْ حَتَّى قُتِلَ. Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: Rasulullah SAW dan para sahabatnya berangkat sehingga mereka mendahului kaum musyrikin sampai ke medan Badar, kemudian kaum musyrikin pun tiba, lalu Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah sekali-kali seseorang daripada kamu mendahului sesuatu sehinggalah aku sendiri berada di hadapannya”, lalu kaum musyrikin semakin mendekat, maka Rasulullah SAW bersabda: “Bangkitlah kamu menuju ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi!”, Anas berkata: ‘Umair bin al-Humam al-Ansari bertanya: “Wahai Rasulullah, syurga yang luasnya seluas langit dan bumi?”, baginda menjawab: “Ya”, ‘Umair berkata: “Bakhin, bakhin!”, lalu Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang mendorongmu mengucapkan ‘bakhin, bakhin’?”, beliau menjawab: “Demi Allah, tidak ada apa-apa wahai Rasulullah, melainkan harapan moga-moga aku menjadi salah seorang daripada penghuninya”, baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau tergolong dalam kalangan penghuninya”, lalu beliau mengeluarkan beberapa biji kurma daripada kantung anak panahnya dan mula memakannya, kemudian beliau berkata: “Sekiranya aku masih hidup sehingga sempat menghabiskan kurma-kurma ini, sesungguhnya itu adalah kehidupan yang terlalu lama!”, Anas berkata: Lalu beliau mencampakkan kurma yang masih berbaki bersamanya, kemudian mara memerangi mereka sehinggalah beliau gugur syahid.
Sahih Muslim (Kitab al-Imarah, Hadis No. 1901)
Maka setelah kita tahu hal ini, jangan kedekut untuk buat amal yang baik. Tak kiralah besar atau kecil. Kita tolong kemaskan tempat orang, kita bantu orang, kita basuh tandas masjid, malah lemparkan senyuman pun sudah dikira amal yang baik! Apa salahnya kalau ringankan tangan untuk buat segala kebaikan itu semua? Ingatlah yang Allah akan rekod segala amal itu dan ia akan ditunjukkan kepada kita nanti. Kita sendiri mungkin sudah lupa perbuatan baik kita itu kerana kita sangka ia terlalu kecil. Tapi ia tidak kecil pada Allah.
Balaghah: Perhatikan kalimah يَومَ (hari) ditaqdimkan (diawalkan) sebelum disebut amilnya iaitu تَجِدُ (mendapati). Ini bukan susunan yang biasa. Ini adalah kerana hendak ditekankan tentang Hari Kiamat itu. Allah ingin perhatian pendengar tertuju terlebih dahulu pada hari yang genting dan menakutkan itu sebelum menyebutkan apa yang dirasakan atau diharapkan oleh manusia di hari tersebut. adalah satu cara bahasa Arab untuk menekankan betapa pentingnya hari tersebut. Ia bukan sekadar menyebut tentang apa yang akan berlaku, tetapi menonjolkan hari itu sendiri sebagai fokus utama, seolah-olah Allah ingin kita mengingat dan merenungkan hari yang agung ini.
Al-Razi juga menyebut bahawa penekanan pada “hari” ini, seperti dalam مالك يوم الدين, adalah untuk memuliakan dan menonjolkan keagungan hari tersebut.
Lagi satu, perhatikan kalimah يَومَ di dalam bentuk mansub kerana fungsinya sebagai penunjuk waktu (zharf zaman). Kalimah يَومَ ini menjadi wadah waktu bagi peristiwa di dalamnya, iaitu penyesalan dan harapan manusia.
Kenapa di sini digunakan kalimah مُحضَرًا (dihadirkan) dan bukan حَاضِرًا (hadir)? Apabila kalimah مُحضَرًا di dalam bentuk pasif, ia membawa maksud yang hari itu didatangkan secara paksa / dihadirkan oleh pihak lain, iaitu Allah. Pemilihan kata ini memberikan kesan yang jauh lebih menakutkan kerana ia memberitahu kita yang amal perbuatan manusia di dunia (yang baik mahu pun yang buruk) bukan sekadar “ada di tempat”, melainkan dijemput, dikumpulkan, dan diseret ke hadapan pelakunya oleh para malaikat pencatat atas perintah Allah. Ia menegaskan adanya kekuatan besar yang memaksa segala rahsia perbuatan manusia jelas nanti di hadapan khalayak, tanpa ada satupun yang tercicir atau disembunyikan.
وَما عَمِلَت مِن سوءٍ
dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.
Malangnya, semuanya akan ditunjuk, termasuk juga perbuatan buruk kita sama ada besar ataupun kecil. Perhatikan pengulangan kalimah عَمِلَت di sini sekali lagi sebagai penekanan (taukid). Kita selalu ingat perbuatan amalan baik kita, bukan? Tapi di sini Allah ingatkan kita yang amalan buruk pun akan ditunjuk juga. Jadi jangan rasa selamat sangat kerana pasti ada sahaja amalan salah yang kita buat.
Amalan baik kadang kita dengan bangganya tunjukkan kepada orang lain. Tapi amalan buruk selalunya kita rahsiakan. Maka sekarang Allah ingatkan yang benda yang kamu rahsiakan itu, akan sampai masanya akan ditunjuk. Jadi kalau tidak mahu malu, jangan buat.
Tapi perhatikan yang Allah sebut berita baik dahulu tadi, sekarang baru disebut berita buruk. Ini memberi isyarat akan rahmat Allah Mendahului kemurkaan-Nya. Ini selaras dengan prinsip asas ketuhanan sebagaimana dalam hadis qudsi bahawa rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya. Mendahulukan balasan kebaikan mencerminkan kemurahan dan kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya sebelum membicarakan tentang hukuman atau keburukan.
Ia juga mengajar kita bahawa kebaikan adalah matlamat asal penciptaan manusia. Tujuan utama manusia diciptakan dan diberi syariat adalah untuk beramal soleh dan melakukan kebaikan. Keburukan pula merupakan penyimpangan daripada fitrah asal. Maka, perkara yang menjadi asas dan tujuan utama (kebaikan) lebih wajar didahulukan penyebutannya daripada perkara yang bersifat sampingan atau penyimpangan (keburukan).
Al-Qur’an sering mengimbangi antara motivasi (at-targhib) dan peringatan (at-tarhib). Memulakan dengan gambaran kebaikan yang dihadirkan di hadapan manusia menanamkan rasa ketenangan, harapan, dan kegembiraan terlebih dahulu, sebelum disusuli dengan rasa takut dan sesal terhadap keburukan yang dilakukan.
Walaupun tidak disebut ia juga akan ditunjukkan (مُّحضَرًا), akan tetapi kalau amalan baik ditunjuk, maka begitulah juga amalan yang buruk. Di sini ia menggunakan kaedah hazf iaitu diringkaskan dengan tidak diulang. Kerana kita boleh fahami sendiri. Begitulah dengan dosa yang kita lakukan, walaupun ia kecil sekali pun. Sebagai contoh, mungkin kita ada jeling tengok perempuan yang bukan mahram. Ini pun akan ditulis juga dan akan ditunjukkan dosa kita itu. Itu kalau ia tidak diampunkan semasa di dunia lagi. Begitulah Allah telah berfirman di dalam Zalzalah:7-8
فَمَن يَعمَل مِثقَالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعمَل مِثقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ۥ (٨)
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (8)
Maka cuba jangan buat dosa walau kecil sekali pun. Ada satu ayat yang sangat menakutkan kita iaitu di dalam Kahf:49
وَوُضِعَ الكِتٰبُ فَتَرَى المُجرِمينَ مُشفِقينَ مِمّا فيهِ وَيَقولونَ يٰوَيلَتَنا مالِ هٰذَا الكِتٰبِ لا يُغادِرُ صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً إِلّا أَحصٰها ۚ وَوَجَدوا ما عَمِلوا حاضِرًا ۗ وَلا يَظلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seorang pun.
Ini kena ingat. Dosa kecil itu sendiri kita mungkin tidak ingat. Kita mengata orang, kita melihat perkara yang kita tidak patut lihat, kita ambil sekupang dua duit orang… tapi semua itu direkod ya. Jangan jangan kita dengan mudah melakukan dosa.
Rasulullah juga ada memberitahu kita akan keadaan kita bertemu dengan amal baik dan buruk kita nanti. Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا سَيُكَلِّمُهُ رَبُّهُ، لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ تُرْجُمَانٌ، فَيَنْظُرُ أَيْمَنَ مِنْهُ فَلَا يَرَى إِلَّا مَا قَدَّمَ، وَيَنْظُرُ أَشْأَمَ مِنْهُ فَلَا يَرَى إِلَّا مَا قَدَّمَ، وَيَنْظُرُ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلَا يَرَى إِلَّا النَّارَ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ، فَاتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ
“Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan Tuhannya akan berbicara dengannya tanpa ada jurubahasa antaranya dan Allah. Lalu dia melihat ke sebelah kanannya, maka dia tidak melihat melainkan apa yang telah dia lakukan (amalan baiknya). Dia melihat ke sebelah kirinya, maka dia tidak melihat melainkan apa yang telah dia lakukan (amalan buruknya). Dan dia melihat ke hadapannya, maka dia tidak melihat melainkan api neraka tepat di hadapan wajahnya. Maka peliharalah dirimu daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh biji tamar.”
Rujukan: Sahih al-Bukhari (No. 7512) dan Sahih Muslim (No. 1016).
Al-Razi mengatakan bahawa untuk kebaikan, Allah secara jelas menyatakan ia akan “dihadirkan” untuk amalan baik, tetapi untuk kejahatan, Dia hanya menyebut tentang keinginan jiwa untuk menjauhinya. Ini memberi isyarat halus tentang rahmat Allah, seolah-olah janji pahala itu lebih pasti dan jelas berbanding ancaman azab.
تَوَدُّ لَو أَنَّ بَينَها وَبَينَهُ أَمَدًا بَعيدًا
dia ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.
Sekarang disebut apakah reaksi apabila hamba melihat amal jahatnya. Ketika disebut amal baik, tidak disebut apakah reaksi hamba itu, bukan? Jadi ayat ini lebih berat sebagai ancaman. Ketika itu semua orang akan berharap kalaulah ada cara untuk menjauhkan benda buruk yang dia pernah buat dahulu.
Kalimah أمداً maksudnya masa yang lama sangat. Maksudnya jauh sangat sampai hendak pergi ke situ pun tidak boleh dikira masanya. Kalau perjalanan yang jauh, kita tidak sebut jarak, bukan? Kita sebut 2 hari perjalanan, sebulan perjalanan. Iaitu kita kira ikut masa perjalanan. Orang yang nampak amalan buruk itu dia tak mahu tengok rekod buruk yang dia pernah lakukan. Dia berharap amalan itu sangat-sangat jauh dari dia. Dia tak mahu amalan buruk itu datang dekat pun kerana dia sudah nampak rupa amalan buruk itu memang huduh sungguh!
Kemudian Allah ﷻ tambah pula kalimah بعيداً yang bermaksud jauh sangat. Apabila digabungkan dua perkataan ini, hendak menunjukkan betapa orang itu hendak dijauhkan sangat dosa dia itu sejauh-jauhnya.
Itu di akhirat. Tapi bagaimana agaknya ketika dia di dunia? Itulah perkara yang dia suka sangat lakukan. Dia buat mungkin hari-hari, tanpa rasa bersalah. Malah ada yang berbangga dengan amalan buruk yang mereka lakukan. Sepatutnya dari dunia lagi kita minta dijauhkan dari dosa itu, supaya kita dielakkan dari melakukannya. Begitulah dalam salah satu Doa Iftitah, Nabi ada ajar satu doa yang sangat bagus, daripada Abu Hurairah RA berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَسْكُتُ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَبَيْنَ الْقِرَاءَةِ إِسْكَاتَةً – قَالَ أَحْسِبُهُ قَالَ: هُنَيَّةً – فَقُلْتُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِسْكَاتُكَ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةِ مَا تَقُولُ؟ قَالَ: أَقُولُ: اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَاىَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ “Rasulullah ﷺ biasanya diam sejenak antara takbiratul ihram dan sebelum membaca (al-Fatihah). Maka aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu, apakah yang engkau baca sewaktu diam antara takbir dan bacaan itu?’ Baginda bersabda: ‘Aku membaca: Ya Allah, jauhkanlah antara aku dan kesalahan-kesalahanku (dosa) sebagaimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah aku daripada kesalahan-kesalahanku sebagaimana dibersihkannya baju putih daripada kekotoran. Ya Allah, cucilah kesalahan-kesalahanku dengan air, salji dan embun”
Sahih Al-Bukhari (No. 744) & Muslim (No. 598)
Inilah yang sepatutnya kita minta kepada Allah. Jangankan kita lakukan, kita minta tidak fikir pun nak buat dosa itu! Jangan di akhirat baru menyesal dan baru hendak berharap dosa itu dijauhkan! Itu sudah terlambat. Di dalam ayat ini mengandungi anjuran untuk meninggalkan setiap syahwat dan kelazatan yang tidak patut. Meskipun berat bagi jiwa untuk meninggalkannya di dunia ini, tapi ia jauh lebih ringan daripada menanggung kedahsyatan (seksaan) tersebut dan memikul aib yang memalukan (di akhirat) kelak.
Di dalam Ayat 28 kita telah dinasihati untuk menjauhkan diri dari orang kafir. Jangan berwala’ kepada mereka, jangan rapat sangat dengan mereka. Tapi ada golongan munafik yang tidak mahu dengar. Maka Allah ingatkan di sini, nanti mereka akan lari dari amalan buruk sepertimana mereka sepatutnya lari dari orang kafir itu.
وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفسَهُ
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap Diri-Nya
Frasa ini kita telah jumpa di dalam ayat sebelum ini. Ia sebagai tanda yang ayat ini dan ayat sebelumnya ada berkaitan. Allah ﷻ ajar kita supaya takut kepada-Nya. Allah ﷻ beritahu Sifat-sifat-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita kenal Dia dan berhati-hati dengan peringatan yang diberikan oleh-Nya. Jangan buat tidak tahu sahaja. Jangan baca kosong sahaja ayat-ayat ini.
Ayat ini adalah antara sungguh banyak ayat yang Allah sebut tentang Hari Akhirat. Tujuannya apa? Supaya kita ingat dan dapat bayangkan. Ini kerana di dunia ini kita tidak nampak akhirat itu lagi. Jadi kita senang terlupa kepadanya. Maka Allah selalu sebut di dalam Al-Qur’an supaya kita tidak lupa. Setiap kali kita Al-Qur’an, kita akan diingatkan dengan akhirat. Maka ia akan semakin sebati dalam diri kita.
Allah mengulang kembali peringatan (akan seksaan) dari diri-Nya sebagai bentuk kasih sayang dan rahmat kepada para hamba. Ibn Ashur menjelaskan bahawa peringatan ini adalah untuk menjauhkan kita daripada bahaya, bukan untuk menyelamatkan setelah kita terjerumus. Ini menunjukkan betapa seriusnya Allah dalam memberi amaran agar hamba-Nya tidak terjerumus dalam kejahatan. Kita mungkin rasa ayat-ayat Allah ini keras, bukan? Asyik ingatkan tentang azab sahaja. Tapi dengan Allah mengingatkan kita ini adalah sebagai tanda Dia sayang kepada kita. Kerana Dia tidak mahu kita susah nanti di akhirat.
Pengulangan kalimat yang sama ini bukanlah sia-sia. Peringatan yang pertama (dalam Ayat 28) adalah peringatan jangan menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong/pemimpin. Sedangkan sekarang adalah peringatan agar manusia tidak mendapati keburukan yang telah mereka amalkan dihadirkan di hadapan mereka pada hari kiamat (maka kena berhati-hati supaya ia tidak terjadi). Ini kerana Allah ulang sekali lagi setelah menyebut tentang ancaman-Nya.
Peringatan ini, ويحذركم الله نفسه adalah satu amaran yang sangat serius dari Allah. Ia diturunkan pada masa awal Islam, ketika umat Islam sedang membina masyarakat baharu dan menghadapi cabaran dalam hubungan mereka dengan orang-orang bukan Islam di sekeliling mereka, baik di Mekah mahupun Madinah. Hubungan kekeluargaan, perniagaan, dan sosial masih wujud, tetapi Islam menyeru agar kesetiaan dan ikatan hati yang mendalam (Muwalat) hanya diberikan kepada Allah dan orang-orang beriman.
Mufti Shafi’ menjelaskan bahawa amaran ini adalah teguran keras terhadap mereka yang mungkin tergoda untuk menjalin persahabatan akrab dengan orang-orang kafir demi kepentingan duniawi yang sementara, sehingga mengundang kemurkaan Allah.
وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ
Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
Di sini adalah iltifat (perubahan) dalam nada ayat. Selepas Dia takutkan kita dengan Sifat keras-Nya, Allah ﷻ terus sebut pula sifat lembut-Nya pula. Begitulah Allah ﷻ dalam memperkenalkan Diri-Nya, akan menyebut kedua-dua jenis Sifat-Nya itu. Ada Sifat jenis Jalal dan Jamal. Tapi sifat rahmah-Nya lebih besar dari sifat keras-Nya seperti disebut di dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
لَمَّا قَضَى اللَّهُ الخَلْقَ كَتَبَ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ العَرْشِ: إِنَّ رَحْمَتِي غَلَبَتْ غَضَبِي
“Tatkala Allah menetapkan penciptaan makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya yang berada di sisi-Nya di atas ‘Arsy: ‘Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan murka-Ku.'”
(HR. Bukhari no. 3194 dan Muslim no. 2751)
Balaghah: Perhatikan ada pengulangan nama اللَّهُ di sini sedangkan boleh sahaja disebut وَهو رَءوفٌ بِالعِبادِ. Pengulangan ini adalah untuk menumbuhkan rasa segan, takut, dan ta’zhim (tarbiyatul-mahabah) di dalam jiwa pembaca.
Sebelum ini Allah sebut tentang Diri-Nya supaya kita beringat-ingat. Sekarang disebut yang lembut pula. Kenapa? Seolah-olah macam tak selari pula, sekejap keras, sekejap lembut. Kerana dalam Allah memberi peringatan itu, Allah sebenarnya sayang dan kasih kepada kita, sebab itulah Allah beri peringatan. Macam anak-anak kita, kita beri peringatan kepada mereka, adakah kita benci mereka? Tidak, bukan? Kerana kita sayanglah kita berikan peringatan itu.
Kalimah رَءُوفٌۢ adalah salah satu Nama Allah yang Agung, yang bermaksud Maha Penyayang atau Maha Lemah Lembut. Al-Razi dan al-Zamakhshari menjelaskan bahawa peringatan itu sendiri adalah manifestasi rahmat Allah. Ibn Ashur menambah, peringatan ini adalah demi kebaikan orang yang diperingatkan. Rahmat Allah ini meliputi semua manusia, sama ada Muslim atau bukan, kerana Dia memberi peluang kepada semua untuk bertaubat dan kembali kepada-Nya. Ini adalah bukti kasih sayang Allah yang tidak berkesudahan kepada seluruh hamba-Nya.
Apakah Sifat رَءوفٌ itu? Ini seperti bila kita tengok kesusahan orang yang kebuluran dan kita hendak tolong mereka. Hati kita remuk bila tengok keadaan mereka. Begitulah juga, Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia tahu apa yang kita lalui. Allah ada belas kasihan terhadap kita, sayang terhadap kita sebagai hamba-Nya. Allah ﷻ tahu apa kita hendak, apa kita rasa, apa yang kita lalui, segalanya Allah ﷻ tahu. Namun Allah ﷻ berikan semua yang Allah ﷻ telah berikan itu sebagai ujian kepada kita. Kerana memang dunia adalah tempat ujian.
Jadi sifat الرَّءُوفُ ini sukar untuk diterjemahkan dalam satu perkataan. Ia kena dijelaskan supaya kita dapat faham dengan lebih lagi. Mengertikan الرَّءُوفُ sekadar “Maha Pengasih” atau menyamakannya begitu sahaja dengan Ar-Rahmān atau Ar-Rahīm menghilangkan nuansa bahasa Arab yang sangat mendalam dan spesifik. Dalam disiplin bahasa Arab (lughah) dan tafsir, الرَّأْفَةُ mempunyai dimensi makna yang jauh lebih halus, dan berbeza daripada sekadar kasih sayang umum. Berikut adalah huraian makna sebenar sifat رَءُوفٌ Allah:
1. Tingkatan Tertinggi dan Terhalus bagi Kasih Sayang. Para pakar bahasa seperti Imam Ibnu Manzhur (Lisān al-‘Arab) dan ar-Rāghib al-Aṣfahānī mendefinisikan ar-ra’fah sebagai:
الرَّأْفَةُ شِدَّةُ الرَّحْمَةِ وَأَعْلَاهَا
“Ar-Ra’fah ialah bentuk rahmat yang paling tinggi, paling mendalam, dan paling halus puncaknya.”
Jika rahmat (rahmah) adalah payung besar kasih sayang, maka ra’fah adalah rasa belas kasihan yang menusuk begitu mendalam ke dalam hati, iaitu kepedulian yang lahir daripada rasa tidak sanggup melihat pihak yang disayangi menanggung kesakitan atau kesulitan.
2. Mencegah Kesakitan Sebelum Berlaku (Daf‘ al-Makrūh). Ulama membezakan antara Rahmah dan Ra’fah dari segi fungsinya:
-
- الرَّحْمَة (Ar-Rahmah): Menghadirkan kebaikan dan manfaat (jalb al-manfa‘ah), seperti memberi rezeki, kesihatan, atau pahala.
- الرَّأْفَة (Ar-Ra’fah): Menolak dan menghindarkan bahaya atau kesakitan sebelum ia menimpa (daf‘ aḍ-ḍarar wal-makrūh).
Apabila Allah bersifat رَءوفٌ, Dia bertindak seperti seorang ibu yang melihat anaknya berlari ke arah tebing yang curam. Tentu ibu itu menjerit memberi amaran keras bukan kerana benci, tetapi kerana hatinya pedih dan tidak sanggup membayangkan anaknya jatuh dan tercedera. Itulah sebabnya dalam ayat yang kita baca ini, amaran keras Allah diakhiri dengan:
وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ (Dan Allah memberi peringatan keras kepadamu tentang seksaan-Nya; dan Allah amat berbelas kasihan kepada hamba-hamba-Nya).
Peringatan azab itu sendiri merupakan bukti ra’fah Allah. Dia menghalang manusia daripada binasa akibat dosa mereka sendiri. Allah awal-awal lagi sudah beri peringatan kepada kita supaya kita tidak kena azab itu.
3. Penuh Kelembutan Tanpa Unsur Kekerasan Hati. Sifat rahmah kadangkala boleh diiringi dengan tindakan yang menyakitkan demi kebaikan masa hadapan.
Sebagai contoh: Seorang doktor atau ibu bapa yang membedah luka anak atau memberi ubat yang sangat pahit bertindak atas dasar rahmat (kasih sayang demi kesembuhan), namun kaedahnya melibatkan kepedihan.
Manakala Ra’fah adalah kasih sayang yang langsung tidak mengandungi unsur kekerasan atau kepedihan.
Kerana itulah di dalam Al-Qur’an berkenaan hukum hudud zina, Allah berfirman:
وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ
(“Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan (ra’fah) terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah…”) — Surah An-Nūr: 2
Ayat ini menggunakan perkataan ra’fah, kerana rasa ra’fah dalam diri manusia boleh menyebabkan mereka goyah dan tidak sanggup menjatuhkan hukuman fizikal atas rasa kasihan melihat penderitaan orang itu. Sedangkan hukum hudud itu perlu dijalankan.
4. Peka Terhadap Bebanan Hamba-Nya (Lutf wal-Taysir). Sifat رَءُوفٌ Allah menzahirkan diri dalam syariat yang tidak membebankan. Allah sangat peka terhadap had kemampuan, kelemahan fizikal, dan kerapuhan jiwa manusia. Maka:
-
- Diberi rukhsah (keringanan) solat secara duduk bagi yang sakit.
- Dibolehkan berbuka puasa bagi orang yang bermusafir atau uzur.
- Tidak dibebani jiwa manusia melainkan mengikut kadar kesanggupannya.
Semua keringanan undang-undang ini lahir secara langsung daripada sifat رَءُوفٌ Allah, iaitu keengganan-Nya melihat hamba-hamba-Nya sengsara melampaui batas ketahanan mereka.
Maka amat indah sekali sifat ini kalau kita faham. Kita akan semakin kenal dan sayang kepada Allah ﷻ. Barulah kita dapat rasa bahawa tidaklah Allah ﷻ tinggalkan kita. Walaupun kita susah, tetapi kita sedar yang Allah ﷻ sedang perhatikan sahaja semua perkara yang kita sedang lalui itu dan ia akan dibalas nanti dengan kebaikan kerana apabila kita redha dengan kesusahan itu semua, kita akan diberi pahala.
Kawan paling rapat kitalah yang kenal dan tahu apa yang kita lalui. Kadang-kadang kita tidak perlu cakap pun, kita tahu dia tahu. Sekarang Allah ﷻ kata Dialah kawan itu. Alangkah indahnya.
Allah ﷻ juga tahu yang kadang-kadang dalam kita menjaga amal dan perbuatan kita, kadangkala tergelincir juga. Maka cepat-cepatlah mohon keampunan daripada Allah ﷻ dan berhenti daripada meneruskan kesalahan itu. Allah ﷻ sanggup untuk ampunkan.
Tapi kena ingat bahawa sifat ini hanya tercurah kepada العِبادِ iaitu hamba-hambaNya yang taat dan menyesali kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Dalam uslub Al-Qur’an, lafaz al-‘ibād (atau sandaran ‘ibādī) sering digunakan dalam bentuk pujian dan kemuliaan khusus bagi hamba-hamba yang taat dan bertakwa, seperti firman Allah di dalam Furqan:63
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ
Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah
Dan firman Allah di dalam Zumar:17-18
وَٱلَّذِينَ ٱجتَنَبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ أَن يَعبُدُوهَا وَأَنَابُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلبُشرَىٰۚ فَبَشِّر عِبَادِ (١٧) ٱلَّذِينَ يَستَمِعُونَ ٱلقَولَ فَيَتَّبِعُونَ أَحسَنَهُ ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُم أُوْلُواْ ٱلأَلبَـٰبِ (١٨)
Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (17) Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (18)
Atas dasar ini, sebahagian mufassir menyatakan bahawa perkataan al-‘ibād di sini membawa maksud al-mu’minin (golongan beriman) yang tunduk kepada amaran dan perintah-Nya. Maka kalau kita hendak mendapat رَءوفٌ Allah, maka hendaklah kita cuba menjadi hamba yang taat.
Jadi di sini Allah kata salah sifat-Nya adalah رَءوفٌ. Akan tetapi sifat ini juga dikatakan ada pada Nabi Muhammad seperti disebut di dalam Tawbah:128,
لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.
Sekarang timbul persoalan: bagaimana pula Allah ada sifat yang sama dengan makhluk? Isu ini ramai tidak faham sampaikan boleh menyebabkan perbezaan akidah. Sampaikan ada yang kata Allah sampai tidak boleh bersuara kerana kalam adalah sifat makhluk. Sedangkan senang sahaja kita tangani masalah ini kerana walaupun nama sifat itu sama, akan tetapi takkanlah sama sifat رَءوفٌ Allah dan Nabi Muhammad atau dengan makhluk yang lain? Ada 4 perbezaan yang ketara iaitu dari segi kualiti:
-
- Limitless vs. Limited (Had / Kadar): Sifat Allah tiada batasan, mutlak, dan tidak bertepi, manakala sifat makhluk mempunyai had dan batasan yang sangat ketat (contohnya: belas kasihan manusia terhad dan boleh habis).
- Given vs. Inherent (Sumber): Sifat manusia bukan milik mutlaknya sendiri, sebaliknya merupakan pinjaman atau anugerah yang diberi (given / acquired) oleh Allah. Sebaliknya, sifat Allah adalah hakiki, berdiri dengan sendirinya, dan berpunca daripada Zat-Nya sendiri tanpa diberikan oleh sesiapa.
- Permanent vs. Temporary / Fragile (Ketahanan / Kelangsungan): Sifat Allah adalah abadi, konsisten, dan kekal (permanent) tanpa dipengaruhi oleh emosi, masa, keadaan, keletihan, atau faktor luar. Sebaliknya, sifat manusia adalah sementara dan rapuh (temporary & conditional). Contohnya seseorang boleh bersifat penyayang pada suatu masa, namun apabila lapar, marah, tertekan, atau diuji, sifat penyayang itu boleh pudar atau hilang serta-merta.
- Sifat Allah takkan sama dengan sifat makhluk. Katakanlah sifat marah. Ia tentu sekali tidak sama marah Allah dan marah manusia, bukan? Takkan kita kena bandingkan kemarahan kita dengan kemarahan Allah.
Kalau kita faham 3 perkara ini, tidaklah kita kelam kabut apabila ada disebut sifat Allah sama dengan makhluk.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 11 November 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

One thought on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 30 (Hisab Amal Batin)”