Tafsir Surah Ali Imran Ayat 31 (Cinta Allah kena ikut Nabi)

TAAT KEPADA ALLAH DAN RASUL

ِAli Imran Ayat 31: Ayat sebelum ini tentang sifat رَءوفٌ terhadap العِبادِ. Lalu apakah yang perlu dilakukan kalau hendak menjadi العِبادِ? Sekarang kita akan belajar tentang syarat-syaratnya.

Ayat ini adalah Ayat Tabshir (Ayat gembira). Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersifat رَءوفٌ. Maka selepas kita tahu sifat Allah ‎ﷻ begitu, maka timbullah rasa cinta kita kepada Allah ‎ﷻ.

Cinta memerlukan dua belah pihak saling mencintai, barulah lengkap. Kalau kita kasih kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ murka, tidak ada gunanya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu cara bagaimana hendak mendapatkan kasih-Nya. Kalau hendak balas kepada Allah, tentu kita tidak mampu kerana segala apa yang kita ada pun dariNya juga, bukan?

Cara untuk kasih kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan mengikut cara yang Allah ‎ﷻ suruh. Iaitu kita taat kepada kehendakNya. Sebagaimana kita sayang kekasih kita di dunia, tentulah kita akan ikut kehendak dia seboleh mungkin, bukan?

Dalam Tafsir Jalalain, ada disebut bahawa ayat ini tentang segolongan ahli syirik yang kata mereka seru para wali yang mereka seru dengan harapan Allah ‎ﷻ mencintai mereka. Mereka kata yang mereka seru itu bukan makhluk biasa tetapi yang mulia, yang disayangi Allah ‎ﷻ. Jadi mereka sebut-sebut dan puja wali itu supaya yang dipuja itu sebut pula nama mereka di hadapan Allah ‎ﷻ, supaya kemudian Allah ‎ﷻ pula cinta mereka.

Itu adalah cara beragama yang salah. Maka Allah ‎ﷻ memperbetulkan pemahaman syirik ini. Fahaman salah ini juga banyak dalam masyarakat kita seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah, tarekat dan golongan Habib.

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Say, [O Muhammad], “If you should love Allah , then follow me, [so] Allah will love you and forgive you your sins. And Allah is Forgiving and Merciful.”

MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

Cinta adalah perasaan dalam hati dan kita tidak dapat baca isi hati manusia. Kita boleh buktikan dengan perlakuan kita sahaja. Ramai orang kata mereka cintakan Allah, tapi bagaimanakah cara untuk membuktikannya? Maka di sini Allah berikan tandanya yang kita boleh lihat dan bandingkan. Iaitu kita kena ikut cara Nabi Muhammad! Kita kena ikut ajaran Nabi dan amalan baginda. Rasulullah telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.,

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ
“Sesiapa yang mentaatiku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah; dan sesiapa yang menderhakaiku, sesungguhnya dia telah menderhakai Allah.”

(Sahih al-Bukhari, no. 7137; Sahih Muslim, no. 1835)

Kalau benar kasih kepada Allah ‎ﷻ, jangan buat fahaman agama ikut cara sendiri. Jangan pakai cara yang tidak tahu dari mana datangnya (tanpa dalil). Kalau buat cara sendiri, itu adalah kasih ‘sebelah pihak’ sahaja, sedangkan Allah ‎ﷻ murka kepada mereka. Itu maknanya perasan seorang diri sahaja. Cara Nabi ﷺlah yang Allah ‎ﷻ suka. Maka ikutlah cara yang Nabi ﷺ ajar.

Nabi ﷺ suruh kita ittiba‘ kepada baginda. Maksud ittiba’ itu adalah ikut dengan rapat. Macam kalau kita nampak tapak kaki di pantai, kita letak kaki kita letak betul-betul atas bekas tapak kaki itu menyelusuri pantai itu.

Ia berbeza sedikit dengan itaa’ah. Itaa’ah adalah taat atau ikut arahan iaitu, setelah disuruh buat sesuatu, kita lakukan seperti yang disuruh. Paling kurang yang kita lakukan adalah itaa’ah.

Akan tetapi ittiba‘ lebih tinggi lagi daripada itu. Kalau mahu Allah ‎ﷻ cinta kita, kena ittiba’ kepada Nabi ﷺ seperti yang diberitahu dalam ayat ini. Ia berlaku apabila kita tanya bagaimana hendak buat sesuatu (itaa’ah sudah diberi arahan baru buat). Maknanya orang yang ittiba’ itu orang yang ada inisiatif untuk tahu dan ikut.

Keinginan hendak ikut itu adalah kerana ada rasa cinta dan sayang kepada Nabi ﷺ. Maka dia hendak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh, selalu apabila seseorang itu sudah mula terima tauhid dengan cara yang betul, sudah belajar tentang kepentingan sunnah, mereka akan cari maklumat bagaimana Nabi ﷺ salat, cara baginda berpakaian, cara baginda makan dan sebagainya. Itulah yang dikatakan ittiba’. Semoga kita ada perasaan ini dalam hati kita.

Jadi cinta kepada Nabi Muhammad adalah dengan ikut cara baginda. Bukannya puja dan puji baginda melambung-lambung, dalam majlis bid’ah, dengan cara yang bid’ah. Bukannya dengan buat Majlis Mawlid, contohnya dan apa-apa sahaja cara bid’ah yang direka-reka. Zaman sekarang yang banyak mendakwa mereka cinta Nabi tapi buat dengan cara yang salah adalah golongan Habib. Sekarang  mereka terkenal di negara kita (asal mereka dari Yaman) dan ramai dari kalangan orang kita tertipu dengan mereka.

Apakah kesannya nanti kalau kita ada ittiba’?

 

يُحبِبكُمُ اللَّهُ

nescaya Allah mengasihi kamu

Sekiranya dapat ikut Nabi ﷺ, maka barulah Allah ‎ﷻ cinta kepada para pelakunya. Ayat ini menunjukkan betapa Allah ‎ﷻ sayangkan Nabi ﷺ sampai kalau kita ikut baginda, Dia akan suka dan akan cinta pula kepada kita.

Yang pertama sekali kita kena ikut adalah dari segi akidah (terutama sekali tauhid). Tinggalkan segala fahaman dan amalan syirik. Syirik itu lebih buruk daripada seorang isteri tidur dengan lelaki lain atas katil yang ada suaminya. Itu adalah perbuatan kurang ajar menduakan suami, tetapi syirik itu lebih buruk lagi kerana menduakan Allah ‎ﷻ!

Itulah bandingan mereka yang sebut nama Allah ‎ﷻ tetapi dalam masa yang sama, sebut dan seru pujaan lain. Malangnya, ilmu tauhid dan syirik ini jarang dipelajari oleh masyarakat kita, sampai menyebabkan banyak kekeliruan dan terdapat amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita, kerana mereka tidak tahu.

Kemudian selepas ikut hal tauhid (dan akidah), kena ikut dari segi ibadat dan adat. ‘Ibadat’ adalah hubungan makhluk dengan Allah ‎ﷻ dan ‘adat’ adalah hubungan makhluk dengan makhluk. Tentang dua perkara ini, memang ada yang menjaganya (mereka jaga ibadat dan adat mereka), tetapi ada yang culas dalam hal tauhid. Malangnya kalau hal tauhid tidak dijaga, sia-sia sahaja segala amalan yang dilakukan manusia itu kerana dia akan kekal dalam neraka.

Maka begitulah jalan untuk mendapatkan cinta Allah. Rasulullah telah menyampaikan satu Hadis Qudsi tentang mendapat cinta Allah di dalam Hadis Arbain #38:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيّاً فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ. وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ. وَمَا يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا. وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيْذَنَّهُ.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘slaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman, ‘Barangsiapa yang menyakiti waliku, maka Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain apa yang Aku wajibkan baginya. Hamba-Ku senantiasa mendekat diri kepada-Ku dengan amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. Apabila aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang dia gunakan untuk berbuat, dan kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaKu, pasti Aku beri. Jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku lindungi.’”

[Sahih Bukhari, no. 6502]

Cinta ada banyak peringkat, ada yang biasa dan ada yang tinggi. Inilah yang kita cuba tingkatkan dalam diri kita. Tapi yang pasti, cinta akan diuji. Siapa yang kita lebih cinta? Allah atau selainNya? Akhirat atau dunia? Mulut kita mungkin kata Allah dan akhirat, akan tetapi perbuatan kitalah yang membuktikan mana satu yang kita benar-benar cinta. Perhatikan firman Allah di dalam Tawbah:24 sebagai peringatan kepada kita akan hal ini,

‎قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

serta Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu.

Kelebihan kalau kita melakukan segala perkara yang disebut di atas, Allah ‎ﷻ akan tutup dosa kita. Kita manusia yang banyak dosa dan amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut dosa kita pun akan dihadhirkan di akhirat kelak. Maka untuk elak dan jauhkan dosa itu dari kita, hendaklah kita ikut cara Rasulullah ﷺ.  Kena belajar cara sunnah.

Malang sekali, ada orang yang mengaku cinta Nabi ﷺ sampai menangis kalau sebut nama Nabi ﷺ tetapi tidak ikut cara baginda, tidak ikut sunnah baginda. Amalan ibadat banyak yang mereka tambah. Itu semua dipanggil bid’ah. Ramai yang rasa ringan sahaja buat amalan bid’ah. Berbagai alasan mereka bagi untuk membenarkan amalan bid’ah mereka.

Ada pula yang sudah menjaga amalan ibadat ikut cara Nabi ﷺ tetapi cara Nabi ﷺ berurusan dengan makhluk, tidak pula mereka ikut. Maksudnya, akhlak Nabi ﷺ, mereka tidak ikut. Mereka tidak jaga hubungan dan ada yang zalim kepada orang lain. Dengan makhluk lain pun mereka tidak jaga (dengan binatang dan tanaman).

Lihatlah apakah maksud ‘akhlak’ itu. ‘Akhlak’ daripada kata dasar yang sama dengan ‘makhluk’. Maksudnya akhlak adalah tentang interaksi kita dengan makhluk Allah ‎ﷻ yang lain. Yang terbaik interaksi mereka dengan makhluk lain, mereka itulah yang ada akhlak yang terbaik. Maka akhlak ada satu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Sebagaimana Rasulullah ﷺ jaga akhlak baginda, maka kita pun kenalah ikut juga.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada Sifat-Nya yang Maha Pengampun. Ghafara maksudnya Allah ‎ﷻ akan menutup kesalahan dosa yang kita telah lakukan sampai tidak diketahui oleh mana-mana makhluk. Hanya Dia sahaja yang tahu. Kerana malu juga kalau orang lain tahu dosa kita, bukan?

Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa kita kerana Allah ﷻ kasih kepada kita. Allah ‎ﷻ amat bersifat kasih kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ bukan hendak menyusahkan hamba-Nya. Segala yang Dia lakukan dan arahkan kepada kita, adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebabkan kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.

Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia termasuk salah satu penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil wahyu sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Oktober 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply