Bab 10: Penggabungan Sebahagian Nama-nama Allah Dengan Sebahagian Yang Lain.

Bab 10: Penggabungan Sebahagian Nama-nama Allah Dengan Sebahagian Yang Lain.

Sesungguhnya di antara hal yang berharga dan layak diperhatikan dalam memahami nama-nama Allah yang baik adalah penggabungan nama-nama dalam beberapa tempat dari Al-Qur’ an dan Sunnah, seperti As-Sami’ Al-Bashir, Al-Ghafur Ar-Rahim, A-Ghani Al-Hamid, Al-Khabir Al-Bashir, Ar-Rauuf Ar-Rahiim, A-Hakim Al-‘Alim, Al-Hamid Al-Majid, Al-‘Aziz Al-Hakim, Al-‘Ali Al-Adzim, Al-Fattaah Al-‘Alim, Al-Lathif Al-Khabir, Asy-Syakur Al-Halim, Al-Afwu Al-Ghafur, Al-Ghani Al-Karim dan masih sangat banyak lagi contoh-contohnya nama yang digabungkan ini.

Tidak diragukan lagi bahawa penggabungan ini mengandung hikmah yang agung dan faedah yang mulia serta manfaat yang besar, yang menunjukkan akan kesempurnaan Rabb Ta’ala ditambah lagi dengan pujian dan sanjungan kepada-Nya. Kerana setiap nama dari nama-nama-Nya mengandung sifat kesempurnaan bagi-Nya dan apabila digabung dengan nama yang lain, maka bagi-Nya pujian bagi setiap nama-Nya dan pujian bagi penggabungan terhadap nama-nama-Nya. Hal ini merupakan nilai tambah dari sekadar penyebutan secara tersendiri.

[Satu nama sahaja sudah hebat, apatah lagi ditambah pula kehebatan nama-nama itu apabila digabungkan.]

1. Kebanyakan dalam Al-Qur’an disebutkan “Al-‘Aziz Al-Hakim” secara bergabung. Nama tersebut menunjukkan akan kesempurnaan yang khusus bagi nama tersebut yaitu sifat kemuliaan pada nama “Al-Aziz” dan sifat hikmah dan hukum dalam nama “Al-Hakim.”

Penggabungan antara keduanya menunjukkan akan kesempurnaan yang lain, yaitu bahawasanya kemuliaan-Nya digabungkan dengan sifat hikmah, kemuliaan-Nya tidak menyebabkan kezaliman, kecurangan, dan perbuatan semena-mena, seperti yang ada pada diri makhluk-Nya kerana kemuliaan sebahagian mereka terkadang mendorong mereka untuk berbuat dosa, kezaliman, kecurangan, dan tindakan semena-mena. Demikian pula dengan hukum dan hikmah-Nya digabungkan dengan kemuliaan yang sempurna, berlainan dengan hukum makhluk dan hikmahnya yang diiringi oleh kehinaan.

[Ada orang yang gagah menyalahgunakan kegagahannya. Namun tidak dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tidak akan sesekali menyalahgunakan kekuasaan yang ada pada-Nya. Kuasa yang ada pada Allah ‎ﷻ digunakan dengan penuh kebijaksanaan. Sekiranya seorang manusia berkuasa, dia mungkin menjadi diktator dan zalim, bukan? Maka bila kita tahu yang Allah ‎ﷻ penuh bijaksana maka dada kita menjadi lapang.

Manusia tidak ada kebijaksanaan kerana manusia tidak ada ilmu yang lengkap. Mao Zedong, Diktator China pada tahun 50an telah mengarahkan supaya semua burung pipit dibunuh kerana ia banyak makan gandum. Kononnya dengan alasan mahu membantu para penternak untuk mengurangkan kerugian. Jutaan burung dibunuh sehingga hampir pupus. Namun begitu pada tahun berikutnya terjadi masalah baru pula kerana rupanya burung-burung itu bukan sahaja memakan gandum, tetapi turut memakan serangga yang merosakkan tanaman. Bila tidak ada burung, maka serangga bermaharajalela dan tanaman banyak yang rosak. Selama 3 tahun seramai 45 juta manusia mati kerana kebuluran disebabkan oleh kesilapan ini.

Banyak bukan kita dengar kisah orang zalim yang berkuasa? Seperti kisah Hajjaj bin Yusuf di mana dia membunuh sesiapa sahaja yang dia tidak suka.

 

2. Di dalam Al-Qur’an juga sering diulang penggabungan “Al-Ghani Al-Hamid.”

[Al-Ghani bermaksud ‘Maha Kaya’ yang tidak memerlukan, dan Al-Hamid bermaksud ‘Yang Maha Terpuji’.

Kaya maksudnya tidak perlu kepada yang lain. Bagi manusia yang kaya, mereka masih lagi memerlukan orang lain, tetapi tidak bagi Allah ‌‎ﷻ. ]

Allah Taala berfirman,

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

“Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Luqman: 26)

 

۞ يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ ۖ وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (Fathir: 15)

 

وَقالَ موسىٰ إِن تَكفُروا أَنتُم وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا فَإِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ حَميدٌ

“Dan Musa berkata, “Jika kamu dan orang yang ada di bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah Mahakaya, Maha Terpuji.” (Ibrahim: 8)

Al-Ghina (kecukupan atau kekayaan) merupakan sifat kesempurnaan dan Al-Hamdu (pujian) merupakan sifat kesempurnaan juga. Penyatuan Al-Ghina dan Al-Hamdu mengandung kesempurnaan yang lain. Bagi-Nya sanjungan dalam sifat kecukupan dan pujian serta dalam penggabungan keduanya.

Contoh: Barangsiapa yang bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat-Nya dan memuji-Nya atas kurnia dan pemberian-Nya. Sesungguhnya Allah Ta’ala adalah Dzat yang selayaknya disanjung dan dipuji. Milik-Nya, segala pujian di dunia dan di akhirat. Pujian orang yang memuji dan rasa syukur orang yang bersyukur tidak dapat menambah kekuasaan-Nya, kerana Allah Ta’ala Yang Mahakaya, tidak bermanfaat bagi-Nya, juga tidaklah ketaatan orang yang taat dan tidak memudharatkan-Nya kemaksiatan orang yang berbuat maksiat.

 

وَمَن يَشكُر فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

“Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Mahakaya, Maha Terpuji.” (Luqman: 12)

[Jika Allah ‎ﷻ memberi sesuatu kepada kita, maka memang Dia terpuji. Begitu jugalah sekiranya orang memberi kita sesuatu, kita akan puji orang itu. Akan tetapi bagi Allah ‎ﷻ, jikalau Dia tidak memberi apa-apa pun kepada kita, Dia tetap terpuji kerana Dia memang layak. Namun mustahillah kalau Dia tidak memberi apa-apa kerana Dia sudah terlalu banyak memberi.

Bagi orang miskin dan sakit pun, sebenarnya banyak sudah nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka. Sebagai contoh, orang kaya mungkin diberikan banyak harta, tetapi tidak diberikan sifat sabar seperti diberikan kepada orang miskin. Sebab itu ramai orang kaya tidak sabar contohnya situasi ketika beratur di tol. Kalau ada orang di depan dia lambat sikit, mulalah dia marah. Sedangkan bagi orang miskin, mungkin dia senang sahaja untuk sabar. Dan bila dia sabar, dia mendapat lebih banyak lagi pahala daripada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pujian dan ibadah kita. Ia tidak menambah kerajaan-Nya. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan para malaikat itu. Itu semua hanya sebagai lambang kekuasaan-Nya sahaja. Ini sebagaimana seorang raja yang dipandu keretanya. Bukannya dia tidak boleh memandu sendiri tetapi sebagai raja kenalah ada orang bawahan yang memandu. Jangan sangka raja itu dipandu kerana dia tidak pandai memandu pula.

Begitu juga Allah ‎ﷻ tidak memerlukan Nabi Muhammad ﷺ. Maka kerana itulah apabila awan mendung, Nabi ﷺ takut sungguh kerana takut sudah hampir kiamat. Kerana zaman dahulu ada umat yang dikenakan azab dimulai dengan awan mendung. Padahal semua tanda kiamat belum ada lagi. Dan baginda pula Nabi terakhir. Ini kerana Nabi ﷺ tahu yang Allah ‎ﷻ tidak memerlukan baginda. Allah boleh sahaja menggantikan baginda dengan sesiapa sahaja Dia kehendaki.

Para sahabat pun takut kalau Nabi ﷺ lama tidak kelihatan kerana mereka faham Allah ‎ﷻ tidak terikat dengan apa-apa perjanjian. Allah ‎ﷻ boleh membuat apa yang Dia kehendaki. Kita beramal baik pun belum tentu Allah akan selamatkan kita kalau Dia tidak mahu. Terdapat pula ustaz ustazah memandai mengajar amalan pelik-pelik untuk selamat kononnya. Yang bodoh pula mudah sangat untuk percaya.

Apakah anda ingat Allah ‎ﷻ terkesan dengan amalan itu? Adalah anda sangka Allah ‎ﷻ orang suruhan kita untuk memberi apa yang kita suruh? Adakah anda sangka Allah ‎ﷻ memerlukan amalan kita? Allah ‎ﷻ kaya dan tidak memerlukan amalan kita terutama sekali amalan bid’ah. Padahal segala amal kita dapat buat itu pun kerana Allah ‎ﷻ izinkan kita membuatnya. Maka jangan sesekali berlagak dengan amalan yang banyak.

Apa-apa sahaja yang Allah ‎ﷻ kurniakan nikmat kepada kita adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak beri. Bukannya Allah ‎ﷻ terpaksa beri. Maka kita kena doa meminta kebaikan dan nikmat daripada-Nya.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita. Sekiranya kita tidak menjalankan kerja menegakkan agama Allah ‎ﷻ ini, senang sahaja Allah ‎ﷻ gantikan dengan umat yang lain.

Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Maidah: 54

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Sebagaimana Islam tersebar di Eropah sekarang bukannya hasil kerja dakwah kita, bukan? Allah ‎ﷻ boleh kembangkan agama-Nya tanpa usaha kita pun.

Oleh itu semasa meminta kepada Allah ‎ﷻ kenalah ada rasa kita amat memerlukan-Nya tetapi Dia tidak memerlukan kita. Kita wajib meminta kepada Allah ‎ﷻ namun harus sahaja bagi Allah ‎ﷻ sama ada hendak beri atau tidak. Kita mungkin sudah meminta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ dan telah mengambil segala langkah untuk menjaga keselamatan kita tetapi jika Allah ‎ﷻ hendak mengenakan musibah kepada kita, ia tetap juga terjadi. ]

 

3. Sering kali pula diulang dalam surat Asy Syu’ara’ pada penutupan kisah para nabi bersama kaum mereka dengan firman Allah,

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

“Dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”(Asy-Syu’ara’: 9)

Di dalamnya terdapat penjelasan bahawa apa yang Allah takdirkan bagi para nabi-Nya dari pertolongan dan ketinggian serta kemenangan merupakan pengaruh dari sifat rahmat Allah yang Dia khususkan bagi mereka. Allah selalu menjaga, menguatkan, menolong, dan membantu mereka.

Selain itu, apa yang Allah takdirkan dari kekalahan, kehinaan, seksa, dan azab merupakan pengaruh dari sifat keperkasaan-Nya. Allah menolong para rasul-Nya dengan rahmat-Nya dan mengazab para musuh mereka dengan kemuliaan-Nya. Penyebutan dua nama Allah tersebut sekaligus dalam konteks ayat di atas merupakan suatu hal yang sangat tepat.

[Di dunia lagi mereka dikenakan azab. Cuma hanya selepas diturunkan kitab Taurat sudah tidak ada azab sebegitu dikenakan kerana sudah disyariatkan jihad. Oleh itu jangan tunggu azab dari langit untuk musuh kita. Lihat Qasas: 43.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِن بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الْأُولَىٰ بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat.

Ada hint (petunjuk) di sini yang sebelum Taurat diturunkan, umat-umat terdahulu dibinasakan. Akan tetapi tidak lagi selepas Taurat diturunkan. Jika dilihat kepada sejarah pun selepas Taurat diturunkan, tidak ada diturunkan azab yang besar-besar. Kalau dikenakan azab pun sikit-sikit sahaja.]

 

4. Sering diulang dalam Al-Qur’an penggabungan antara “Al-Aziz Al-Alim.”

Hal ini disebutkan dalam konteks penjelasan makhluk-makhluk Allah yang tinggi dan apa yang terkandung di dalamnya dari penciptaan pagi hari dan malam sebagai tempat peristirahatan serta diperjalankannya matahari dan bulan dengan perhitungan yang matang, dan dihiasinya langit dunia dengan bintang-bintang sebagai penjaganya. Allah Ta’ala berfirman,

فالِقُ الإِصباحِ وَجَعَلَ اللَّيلَ سَكَنًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ حُسبانًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Al-An’am: 96)

[Kita mengalami waktu siang kerana ada cahaya matahari tetapi kalau kita keluar dari atmosfera, ia gelap. Maknanya siang hanyalah selapis sahaja. Ini sebagaimana ketika kita berada di dalam ‘shopping mall’, di mana kita bagaikan tidak sedar sama ada di luar sudah malam ataupun siang. Allah ‎ﷻ ada menyebut tentang fenomena ini dalam [Hijr: 14-15]

وَلَو فَتَحنا عَلَيهِم بابًا مِنَ السَّماءِ فَظَلّوا فيهِ يَعرُجونَ

Dan jika seandainya Kami membukakan kepada satu pintu langit, lalu mereka terus menerus naik ke atasnya,

لَقالوا إِنَّما سُكِّرَت أَبصارُنا بَل نَحنُ قَومٌ مَسحورونَ

tentulah mereka berkata: “Sesungguhnya pandangan kamilah yang dikaburkan, bahkan kami adalah orang orang yang kena sihir”.

Begitulah bagi manusia sekiranya keluar dari atmosfera, tengok-tengok sudah gelap.

Manusia memerlukan siang untuk bekerja dan malam untuk berehat. Sebab itulah Allah ‎ﷻ menjadikan malam supaya kita boleh berehat. Biasanya kita dinasihatkan untuk tidak tidur dengan memasang lampu kerana ada kajian mengatakan ia boleh mengakibatkan barah sebab badan tidak dapat berehat. Ada sebab Allah ‎ﷻ menjadikan siang dan malam iaitu untuk kebaikan kita. Dan siang dan malam ini adalah dalam kuasa Allah ‎ﷻ seperti Allah ‎ﷻ sebut dalam [Qasas: 71 – 72]

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ۖ أَفَلا تَسمَعونَ

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ ۖ أَفَلا تُبصِرونَ

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”]

 

وَالشَّمسُ تَجري لِمُستَقَرٍّ لَّها ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Yasin: 38)

[Pada waktu dahulu, manusia tidak mengetahui yang matahari berpusing pada paksinya dan ramai tidak tahu yang matahari pun bergerak juga di atas laluannya mengelilingi orbit juga.]

فَقَضٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ في يَومَينِ وَأَوحىٰ في كُلِّ سَماءٍ أَمرَها ۚ وَزَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَحِفظًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

“Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Fushshilat: 12)

Penutupan akhir ayat mencakup penggabungan antara dua nama yang menjelaskan bahawa penciptaan yang teratur ini bersumber dari kemuliaan dan ilmu-Nya, bukan suatu yang kebetulan yang tidak sepatutnya pelakunya untuk dipuji dan disanjung seperti dalam setiap hal yang bersifat kebetulan.

[Kita sepatutnya berasa takjub dengan penciptaan alam ini. Jika dilihat akan planet dan juga yang lain, semuanya bergerak. Sekiranya berhenti, akan hancur kesemuanya. Ini semua kita patut lihat dan belajar tentangnya, sebab Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini sebagai ‘ayat’ iaitu tanda-tanda bagi kekuasaan-Nya.

Alam ini tidaklah terjadi secara kebetulan seperti sangkaan golongan Atheis itu. Tidak mungkin alam yang sebegini hebat boleh terjadi dengan sendiri. ]

 

5. Allah Ta’ala menutup perintah-Nya untuk ber-isti’adzah (meminta perlindungan) dari gangguan syaitan dengan menggabungkan “As-Sami’ Al-Bashir” pada dua tempat dalam Al-Quran. Dalam firman-Nya,

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطانِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللَّهِ ۚ إِنَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

“Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-A’raaf: 200)

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطٰنِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

“Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Fushshilat: 36)

[Sebab itulah doa Nabi ﷺ ada menambah dua nama Allah ‎ﷻ ini:

Daripada hadith Abu Sa‘id al-Khudri. Rasulullah ﷺ apabila hendak mengerjakan salat, baginda membaca doa berikut: أَعُوْذُ بِاللهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْـمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْـمِ، مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ “
Aku berlindung kepada Allah Yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui, daripada kesombongan, kegilaan, tiupan, dan (bisikan) syaitan yang terkutuk.” (HR Ahmad, at-Tirmidzi, dan Abu Dawud).

Nabi ﷺ membaca doa ini kerana antara perbuatan syaitan jin adalah mengganggu manusia di dalam salat. Maka digalakkan menambah dua nama ini dalam Isti’azah kita.

Syaitan ini kita tidak nampak mereka, tetapi mereka selalu membisikkan arahan jahat kepada kita. Antaranya dengan mengapi-apikan perasaan buruk dalam diri kita menyebabkan kita marah dan sebagainya. Dengan syaitan jin bukan boleh berdiplomasi untuk dibawa berbincang dengan mereka. Maka haruslah terus meminta perlindungan daripada syaitan. Buang masa sahaja dukun dan uskun yang berbincang dengan jin yang mengganggu manusia. Dengan jin pun mereka boleh kena tipu sebab belajar sangat benda-benda mengarut.

Terlalu banyak kekeliruan berlaku dalam masyarakat Melayu disebabkan kejahilan ilmu agama dan terutama sekali ramai tidak faham tentang jin syaitan. Senang sangat ditipu oleh jin. Percaya sangat jin boleh buat apa sahaja sampai sanggup meminta pertolongan daripada jin. Itu adalah perbuatan syirik. Sedangkan jin itu bukannya ada kuasa dan tidak tahu pun ilmu ghaib. Namun amat menyedihkan apabila ramai dalam kalangan orang jahil kita menyangka jin boleh menolong, boleh mengetahui hal ghaib. Ya mereka makhluk ghaib di mata kita tetapi tidaklah mereka tahu perkara ghaib.

Kelam kabutlah manusia yang jahil itu meminta pertolongan daripada dukun dan uskun (ustaz dukun), menunaikan suruhan jin yang mengarut itu, sedangkan mereka lupa kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ suruh minta doa kepada-Nya dan ini telah banyak disebut dalam Al-Qur’an contohnya [Baqarah: 186]

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.]

Sedangkan perintah untuk ber-isti’adzah dari kejahatan manusia ditutup dengan “As-Sami’ Al-Bashir” pada firman-Nya,

إِنَّ الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطٰنٍ أَتٰهُم ۙ إِن في صُدورِهِم إِلّا كِبرٌ مّا هُم بِبٰلِغيهِ ۚ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ

“Sesungguhnya orang-orang yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka tidak ada dalam dada mereka melainkah hanyalah (keinginan akan) kebesaran yang mereka sekali-kali tiada akan mencapainya, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ” (Ghafir: 56)

Allah mengakhiri Al-Isti’adzah dari syaitan yang kita yakini keberadaannya, tetapi kita tidak mampu melihatnya dengan As-Sami’ Al-Alim dan mengakhiri Al-Isti’adzah dari kejahatan manusia yang mampu dilihat dengan As-Sami’ Al-Bashir, kerana perbuatan manusia mampu dilihat dengan penglihatan mata. Adapun gangguan syaitan dan bisikannya dilemparkan ke dalam hati manusia yang hal itu berkaitan dengan ilmu.

[Janganlah berasa pelik pula apabila disebut syaitan dalam kalangan manusia. Ramai yang tidak tahu yang syaitan itu adalah sifat. Sekiranya jin jahat, ia adalah syaitan; dan jika manusia pun jahat, maka dia pun adalah syaitan juga. Dalilnya ada di dalam Al-Qur’an, antaranya [An’am: 112]

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلإِنسِ وَٱلجِنِّ

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada Syaitan-syaitan manusia dan jin.

Ramai yang terkejut apabila diberitahu hal ini, kerana mereka sangka jin dan syaitan itu sama. Mereka menyangka jin sahaja syaitan. Atau, mereka sangka jin itu lain dan syaitan itu lain. ]

 

6. Disebutkan dalam sebahagian penutupan ayat-ayat Al-Qur’an firman Allah, “Allah Maha luas lagi Maha Mengetahui. ” Di antaranya firman Allah,

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Alah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 261)

[Orang yang bijak akan mengambil peluang ini untuk menambah pahalanya di akhirat kelak. Kerana di sana nanti mungkin ada perbalahan tentang salah dan silap kita dengan orang lain. Waktu itu tidak bernilai lagi wang ringgit, tetapi pahala. Maka pahala sepatutnya dikumpulkan supaya kita ada ‘modal’ nanti untuk bayar di sana. Entah-entah kita ada menzalimi orang dan bila dia tuntut, kita boleh bayar dengan pahala kita. ]

Penutupan seperti ini sangat tepat, dan di antara manfaatnya adalah bahawa seorang hamba tidak selayaknya untuk merasa tidak yakin akan dilipatgandakan pahala ibadah tersebut, kerana yang melipatgandakan adalah Dzat Yang Maha luas pemberian dan kurnia-Nya, dan Maha Kaya. Akan tetapi jangan dikira bahawa keluasan kurnia-Nya mengharuskan setiap orang boleh mendapatkannya, kerana Dia mengetahui siapa saja yang layak untuk mendapatkan pahala yang berlipat ganda tersebut,

وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

“Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah:247)

وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

“Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 261)

[Pengajarannya adalah kita mesti percaya yang Allah ‎ﷻ boleh memberi gandaan yang banyak itu kerana sifat Allah ‎ﷻ yang Maha Luas. Sekiranya Allah ‎ﷻ hendak memberikan semua benda yang semua manusia minta, tidak berkurangan khazanah Allah ‎ﷻ. Perumpamaan yang Nabi ﷺ beritahu, ia adalah seumpama air yang melekat pada benang apabila dicelup ke dalam laut sahaja.

Maka jikalau manusia lain mendapat nikmat, jangan kita anggap kita tidak boleh dapat juga. Kerana Allah ﷻ boleh sahaja memberikannya kepada kita juga. Ini sebagaimana Nabi Zakaria عليه السلام yang telah nampak apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Maryam, maka baginda terus berdoa. Ini kerana baginda tahu, sepertimana Maryam boleh diberikan nikmat makanan, baginda juga boleh diberikan nikmat anak. Ia mudah sahaja bagi Allah ﷻ.

Cuma Allah ﷻ tidak memberikan semua yang manusia minta kerana sifat-Nya yang Maha Mengetahui. Kita hendaklah melayakkan diri kita untuk mendapat balasan daripada Allah ﷻ itu. Antaranya kenalah niat yang ikhlas, bukannya kerana ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Ini kerana Allah ﷻ tahu apa sahaja di dalam hati kita. Bukannya tidak boleh tunjuk langsung, cuma lebih baik bagi kita jika kita merahsiakannya. Seperti Allah ﷻ telah sebut dalam [ Baqarah: 271 ]

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu;

Allah ﷻ juga tahu mengqadar pemberian-Nya. Allah ﷻ beri kepada sesiapa yang layak. Maka janganlah kita berasa dengki dengan pemberian Allah ﷻ. Contohnya pemberian kedudukan kepada sahabat pun tidak sama seperti kisah Ukasyah. Rasulullah ﷺ bersabda:

‘Di antara umatku nanti terdapat 70,000 orang akan masuk Syurga tanpa hisab. Wajah mereka bersinar sebagaimana bulan purnama’.” Abu Hurairah رضي الله عنه berkata, “Kemudian Ukasyah bin Mihshan al-Asadi berdiri sambil mengangkat nimarah lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, doakanlah aku kepada Allah agar aku termasuk dalam kelompok itu.’ Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Ya Allah masukkanlah Ukasyah ke dalam rombongan itu!’ Kemudian seorang sahabat daripada golongan Ansar berkata, ‘Ya Rasulullah, doakan pula aku agar termasuk ke dalam rombongan itu.’ Nabi ﷺ bersabda, ‘Ukasyah telah mendahuluimu’.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim) 

Maka ini mengajar kita untuk redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Ada sebab kenapa Allah ﷻ tidak memberikan sesuatu yang kita minta. Itulah tujuan kita belajar maksud nama-nama Allah ﷻ ini, iaitu supaya kita kenal Allah ﷻ dan redha dengan perbuatan-Nya. ]

 

7. Banyak ayat Al-Qur’an yang ditutup dengan dua nama-Nya, “At-Tawwaab Ar-Rahiim”, seperti firman Allah,

فَتَلَقّىٰ ءآدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabbnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 37)

ثُمَّ تابَ عَلَيهِم لِيَتوبوا ۚ إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.” (At-Taubah: 118)

وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَّحيمٌ

“Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

Yang demikian itu, dalam konteks penyebutan rahmat, ampunan, taufik dan kelembutan-Nya. Dan bahawasanya ketika Dia adalah At-Tawwab Ar-Rahim, maka Dia menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya dan memberinya taufik untuk meraih jalan menuju kepada taubat dan menggapai rahmat-Nya, kemudian Allah pun akan mengampuni, dan merahmati mereka. Pertama, Allah menerima taubat mereka dengan memberi taufik kepada mereka untuk bertaubat dan meraih jalan-jalannya. Kemudian Allah menerima taubat mereka dan mengabulkan permintaan mereka sebagai bentuk kelembutan dan rahmat-Nya kepada mereka.

[Allah ‎ﷻ membuka pintu taubat dahulu. Itulah maksud taufik iaitu Allah ‎ﷻ mudahkah kita untuk bertaubat. Kalau tidak, kita tidak akan dapat bertaubat dengan kita tahu yang Allah ‎ﷻ bersifat Tawwab. Allah ‎ﷻ beritahu kita sifat-Nya itu untuk menggalakkan kita bertaubat supaya hati kita jadi senang untuk bertaubat. Taufik maksudnya Allah ‎ﷻ bimbing kita untuk membuat amal yang soleh.

Allah ‎ﷻ memang hendak kita bertaubat. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ terima taubat Nabi Adam عليه السلام selepas baginda diturunkan dari syurga. Malah Allah ‎ﷻ juga yang ajar baginda cara berdoa minta ampun seperti disebut dalam A’raf: 23.

Begitulah sayangnya Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya. Ada orang yang digerakkan untuk bertaubat dengan diberikan sakit teruk, ada yang beri nasihat yang sampai ke hatinya, ada yang diilhamkan untuk bertaubat dengan cara yang lain.

Selepas Allah ‎ﷻ buka pintu taubat, Allah ‎ﷻ terima pula taubat manusia setelah manusia itu bertaubat. Allah ‎ﷻ juga tidak tergesa-gesa menghukum makhluk-Nya maka kita ada peluang dan masa untuk bertaubat. Tidaklah buat dosa sahaja terus dimatikan dan dimasukkan ke dalam neraka. Maksudnya Allah ‎ﷻ juga yang bantu kita untuk bertaubat.

Jelas di sini bahawa kita dapat bertaubat itu pun daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Maka jangan berbangga kalau kita orang yang bertaubat. Dapat bertaubat itu pun kerana Allah ‎ﷻ jua. Selepas bertaubat, Allah ‎ﷻ beri ganjaran rahmat pula. Terdapat dua rahmat: rahmat kita boleh bertaubat, kemudian setelah bertaubat, diberi rahmat lagi. Maka berganda-ganda sebenarnya rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Dalam taubat, ada rahmat Allah ‎ﷻ.

Contoh: kita bergerak menuju ke masjid. Sudahlah diampunkan dosa, diberi pahala pula lagi. ]

 

8. Di dalam Al-Qur’an disebutkan penutupan sebahagian ayat yang dengan menyebutkan jalan-jalan menuju rahmat dan seksa dengan menggabungkan dua nama Allah “Al-Ghafur Ar-Rahiim.”

Di sini terdapat penjelasan akan keagungan nikmat Allah Ta’ala dan bahawasanya rahmat-Nya mendahului kemurkaan-Nya, hingga rahmat-Nya lebih nampak daripada kemurkaan-Nya dan setiap orang yang memiliki sedikit saja sebab rahmat-Nya akan memperolehnya. Ini merupakan pembahasan yang luas bagi yang mahu merenungkannya, Allah Ta’ala-lah satu-satunya pemberi taufik.

[Dua nama ini selalu disebut di hujung ayat-ayat yang di dalam ayat-ayat itu Allah ‎ﷻ menceritakan jikalau melakukan keburukan akan mendapat azab, dan jika melakukan kebaikan akan mendapat syurga. Akan tetapi Allah ‎ﷻ menutup ayat-ayat itu dengan beritahu dia maha menerima taubat.

Contohnya lihat ayat Baqarah: 182

فَمَنْ خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

(Akan tetapi) barangsiapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu, berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Di dalam ayat ini ada punca dosa dan punca rahmat. Sekiranya diubah ketetapan pembahagian harta, maka seseorang itu akan mendapat dosa. Akan tetapi kalau diubah kembali mengikut seperti yang sepatutnya maka dia akan mendapat rahmat kerana membetulkan yang salah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita yang Dia maha Pengampun segala dosa-dosa yang manusia lakukan asalkan mereka mahu untuk meminta ampun. Rahmat-Nya lebih besar daripada murka-Nya. Maka jangan takut kalau sudah terbuat dosa walaupun sebesar mana dan sebanyak manapun. Mintalah ampun sahaja. Allah ‎ﷻ tidak mudah hendak mencampak hamba-Nya ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ sayangkan hamba-Nya.

Begitulah kita dapat faham daripada sebuah hadith riwayat Umar bin Al Khattab رضي الله عنه, beliau menuturkan:

ﻗﺪﻡ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺳﺒﻲ، ﻓﺈﺫﺍ ﺍﻣﺮﺃﺓ ﻣﻦ ﺍﻟﺴﺒﻲ ﻗﺪ ﺗﺤﻠﺐ ﺛﺪﻳﻬﺎ ﺗﺴﻘﻲ، ﺇﺫﺍ ﻭﺟﺪﺕ ﺻﺒﻴﺎً ﻓﻲ
ﺍﻟﺴﺒﻲ ﺃﺧﺬﺗﻪ، ﻓﺄﻟﺼﻘﺘﻪ ﺑﺒﻄﻨﻬﺎ ﻭﺃﺭﺿﻌﺘﻪ، ﻓﻘﺎﻝ ﻟﻨﺎ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ : (ﺃﺗﺮﻭﻥ ﻫﺬﻩ ﻃﺎﺭﺣﺔ ﻭﻟﺪﻫﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﺎﺭ ). ﻗﻠﻨﺎ: ﻻ، ﻭﻫﻲ ﺗﻘﺪﺭ ﻋﻠﻰ ﺃﻥ ﻻ ﺗﻄﺮﺣﻪ، ﻓﻘﺎﻝ: (ﻟﻠﻪ ﺃﺭﺣﻢ ﺑﻌﺒﺎﺩﻩ ﻣﻦ ﻫﺬﻩ ﺑﻮﻟﺪﻫﺎ

Rasulullah ﷺ kedatangan rombongan tawanan perang. Di tengah-tengah rombongan itu ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya.
Tatkala dia berjaya menemui bayinya di antara tawanan itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan menyusuinya.
Rasulullah ﷺ bertanya kepada kami,
“Apakah menurut kalian ibu ini akan sanggup melemparkan anaknya ke dalam api panas yang membakar?”
Kami menjawab, “Tidak mungkin, demi Allah. Sementara dia sanggup untuk mencegah bayinya terlempar ke dalamnya.”
Maka Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya daripada ibu ini kepada anaknya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Rahmat Allah ﷺ mendahului murka-Nya.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فِى كِتَابِهِ – هُوَ يَكْتُبُ عَلَى نَفْسِهِ ، وَهْوَ وَضْعٌ عِنْدَهُ عَلَى الْعَرْشِ – إِنَّ رَحْمَتِى تَغْلِبُ غَضَبِى »

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tatkala Allah menciptakan makhluk-Nya, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari no. 7404 dan Muslim no. 2751)

Allah ﷻ suka mengampunkan hamba-Nya walaupun mereka telah melakukan dosa berkali-kali. Hal ini dijelaskan oleh Nabi ﷺ dalam hadith baginda:

أَذْنَبَ عَبْدٌ ذَنْبًا فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَبْدِي أَذْنَبَ ذَنْبًا فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ فَقَالَ أَيْ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَذْنَبَ عَبْدِي ذَنْبًا فَعَلِمأَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِالذَّنْبِ اعْمَلْ مَا شِئْتَ فَقَدْ غَفَرْتُ

“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).]

Sambung ke bab yang seterusnya

Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna

Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 (Syaitan Musuh Manusia) Part 2

إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang syaitan akan mengambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Ini kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat ke dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan melepaskan peluang kerana ia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan berbuat apa sahaja untuk menyesatkan manusia.

Ayat ini mengajar kita yang syaitan adalah punca kepada yang buruk. Seorang manusia mungkin asalnya baik tetapi dek kerana bisikan syaitan menyebabkan dia menjadi jahat. Begitulah sifat iblis yang telah menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari dahulu lagi. Semasa Allah ‎ﷻ hendak melantik Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai khalifah, iblis senyap sahaja tidak berkata apa-apa tetapi senyap-senyap dia menyimpan dendam terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka begitulah juga dengan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak cakap apa-apa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mereka simpan di dalam diri mereka, menunggu masa untuk meletup sahaja. Tidak tahu bila mereka akan mengambil tindakan. Kerana itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risau kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan mimpinya itu kerana mungkin itulah insiden yang akan menyebabkan abang-abangnya itu bertindak. Selama hari ini mereka simpan dalam hati sahaja.

Maka ini mengajar kita supaya jangan simpan rasa benci dan dendam dalam hati. Jangan biarkan syaitan membisikkan perasaan dengki ke dalam hati itu. Perkara itu akan digunakan oleh syaitan untuk merosakkan kita. Kejayaan sesiapa sahaja adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ, bukan hak kita untuk mempersoalkan. Kalau seseorang mendapat nikmat, itu mungkin kerana usaha dia, mungkin kerana Allah ‎ﷻ beri pada waktu itu dan pada waktu lain Allah ‎ﷻ tarik. Siapa kita untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ? Jangan hiraukan bisikan syaitan itu. Kita kena sedar yang syaitan sentiasa membisikkan benda-benda yang buruk ke dalam hati kita. Kalau kita sudah ada ilmu, maka kita senang perasan: “Ini bisikan syaitanlah ni… jangan layan!”.

Ia mengajar kita yang adik beradik kita tidak semestinya baik belaka. Mereka itu adalah dugaan daripada Allah ‎ﷻ kepada kita kerana kita bukannya boleh pilih adik beradik sepertimana kita pilih kawan-kawan. Sebagaimana mereka itu ujian bagi kita, jangan lupa kita juga ujian bagi mereka. Jangan perasan kita baik sangat. Kalau ada kekurangan pada mereka, biarlah dan bersabarlah kerana mungkin mereka sedang ditipu oleh syaitan. Kita doakan yang baik-baik sahaja. Bayangkan anak beranak Nabi pun boleh ditipu syaitan, apatah lagi kita? Tidak ada sesiapa yang selamat daripada diganggu syaitan. Ini adalah dalil anak-anak Nabi tidak maksum. Jadi kalau ada keturunan Habib sangka mereka maksum, itu adalah pemahaman yang sangat salah.

Begitulah jangan kita perasan ahli keluarga kita baik-baik belaka. Jangan kita pertahankan anak-anak kita kalau mereka telah melakukan kesalahan. Banyak kali bukan kita dengar kisah ibubapa dipanggil ke sekolah dan apabila guru kata anak mereka buat itu dan ini, emaknya akan pertahankan dengan kata: “Eh anak saya ni baik cikgu…. dia tak pandai buat salah!” Janganlah naif sangat kerana walaupun anda tidak ajar mereka buat jahat, syaitan ada untuk ajar mereka. Begitulah juga kalau seorang adik itu baik, tidak semestinya abangnya pun baik kerana sifat masing-masing. Belajarlah daripada kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang kenal anak-anaknya dan tidak naif.

Nabi Ya’qub menyebut tentang syaitan setelah menyebut tentang abang-abang Nabi Yusuf. Tapi Nabi Ya’qub tidak kata syaitan musuh kepada abang-abang itu tapi kepada semua manusia إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ. Jadi kita pun tidak terselamat dari syaitan. Maka ada baiknya kita bincangkan bagaimana syaitan menipu manusia. Contoh-contohnya telah ada di dalam Surah Yusuf ini. Dan kita boleh kaitkan dengan diri kita kerana contoh-contoh itu boleh sahaja terjadi kepada kita. Kisah-kisah ini akan kita apabila kita semakin masuk ke dalam tafsir surah ini nanti.

1. Pertamanya, syaitan membisikkan kecemburuan dalam diri abang-abang Nabi Yusuf itu. Cemburu juga adalah penyakit iblis, bukan? Iblis cemburu kerana merasakan Allah lebih sayang kepada Nabi Adam dari dirinya. Jadi syaitan membisikkan perkara yang sama kepada abang-abang itu (Ayah lagi sayang kat Yusuf ni… buat tak tahu kat kita dah….).

2. Yang kedua syaitan memusingkan konsep cinta. Iblis kononnya mahu berkhidmat kepada Allah dan mengharap cinta Allah. Tapi apabila dia rasa ada yang lebih baik darinya, dia tidak boleh terima. Jadi ia bukanlah sebenarnya mencari cinta Allah, tapi hendak menaikkan diri sendiri. Begitulah juga dengan abang-abang Nabi Yusuf itu. Mereka cakap dengan diri mereka yang apa yang mereka lakukan adalah kerana ayah, tapi sebenarnya untuk diri mereka.

3. Syaitan bagi nampak ringan sahaja dosa yang manusia lakukan. Apa yang telah dilakukan oleh abang-abang itu sangat berat, tapi mereka cakap macam ia tidak berat sangat. Mereka tenangkan diri mereka dengan kata, nanti adalah orang akan pungut dan selamatkan: يَلتَقِطهُ بَعضُ ٱلسَّيَّارَةِ (supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir) Ayat 10. Begitulah syaitan akan tipu manusia dengan menghiasi amalan buruknya supaya nampak baik seperti disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an seperti An’am:43

وَلٰكِن قَسَت قُلوبُهُم وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ ما كانوا يَعمَلونَ
Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.

4. Syaitan boleh bagi manusia hilang terus sifat rahmah, kasih sayang sesama manusia. Kita sebagai manusia sepatutnya kalau lihat orang susah, kita akan terus tolong, bukan? Tapi perhatikan bagaimana syaitan boleh hilangkan sifat rahmah dari abang-abang itu sampai mereka sanggup melakukan perkara yang teruk sekali kepada adik mereka sendiri! Begitulah syaitan boleh merosakkan manusia sampai begitu sekali.

5. Untuk menjalankan kerja terkutuk mereka itu, abang-abang itu telah menipu bapa mereka. Bapa yang mereka kononnya kata mereka sayang itu dan hendak mendapatkan cinta bapa mereka, selamba sahaja mereka tipu! Mereka kata mereka hendak bawa adik mereka bermain-main, tapi sebenarnya mereka hendak buang! Setelah mereka tinggalkan di dalam telaga, mereka balik ke rumah dengan pura-pura menangis! Begitulah syaitan ajar manusia menipu sampaikan sekarang kita pun tidak tahu orang yang di hadapan kita bercakap benar atau tidak.

6. Kemudian kita lihat para peniaga yang jumpa Nabi Yusuf di dalam telaga itu. Sepatutnya mereka selamatkan, tapi tidak. Kerana mereka nampak itu adalah peluang untuk buat duit dengan menjual budak yang nampak hebat itu. Allah sebut di dalam Ayat 19, وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً (Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan).

Ini selalu terjadi dalam dunia ini, bukan? Kita bukan tengok manusia lain sebagai insan, tapi kita melihat sebagai punca duit! Kalau di hospital, mereka suka kalau orang sakit lagi ramai sebab mereka boleh buat duit banyak. Syarikat farmasi ada ubat yang boleh menyembuhkan manusia, tapi mereka naikkan harga ubat beratus kali ganda kerana hendak untung. Tidak kisahlah pembeli ubat itu terpaksa jual rumah atau tanah, asalkan mereka dapat keuntungan besar. Guru-guru ada yang luluskan budak-budak yang gagal dalam peperiksaan kerana kalau mereka gagalkan, mereka juga kena jawap dengan Kementerian Pendidikan dan ini mengganggu punca pendapatan mereka. Jadi dapatlah kita mat rempit yang lulus periksa, tapi langsung tidak berguna kepada masyarakat. Begitulah syaitan mengelabui mata manusia supaya nampak manusia lain sebagai punca kewangan sahaja.

7. Menteri Al-Aziz dan ahli-ahli politik di Mesir juga di dalam tangan syaitan. Mereka akan kuasa dan mereka salah gunakan kuasa mereka itu. Al-Aziz itu pada peringkat awal kita perhatikan dia kagum dengan Nabi Yusuf dan dia berikan tempat tinggal kepada baginda. Tapi perbuatan baiknya itu adalah kerana kepentingan dirinya juga. Kalau betul dia sayang kepada Nabi Yusuf, tentu dia akan berusaha untuk tanya asal dari mana, kenapa jadi hamba dan kemudian pulangkan kembali Nabi Yusuf itu. Tapi tidak, bukan? Dan apabila Al-Aziz dan para menteri nampak skandal Nabi Yusuf dan isteri Al-Aziz itu boleh menggoncang kedudukan mereka, mereka terus sahaja penjarakan dan senyapkan Nabi Yusuf!

8. Al-Aziz itu tidak kisah pun isterinya duduk di rumah dengan Nabi Yusuf. Dia tidak menjaga ikhtilat di rumahnya. Padahal Nabi Yusuf itu punyalah kacak tapi dia biarkan sahaja dan tidak pandang penting pun perkara itu. Begitulah kita dalam hubungan kerja dan keluarga, kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini. Kadang-kadang ahli keluarga kita bercampur gaul walaupun mereka itu ajnabi, begitu juga keadaan di pejabat sampai ada hubungan tidak sihat antara isteri orang dan suami orang. Syaitan suruh kita abaikan perkara itu, tak perlu sibuk akan hubungan sebegitu, biarkan sahaja. Padahal perkara ini telah merosakkan rumahtangga, kehidupan dan keharmonian di dalam masyarakat.

9. Dan apabila skandal telah berlaku, apa yang yang Al-Aziz dan para menteri pentingkan? Mereka pentingkan kedudukan mereka! Al-Aziz apabila sudah tahu apa yang telah dilakukan oleh isterinya, apa dia cakap kepada Nabi Yusuf? يُوسُفُ أَعرِض عَن هَـٰذَا‌ۚ (Yusuf: “Berpalinglah daripada ini) Ayat 29. Kerana syaitan bisikkan kepadanya bahawa kedudukannya dan statusnya yang dipandang tinggi lebih baik dijaga dari menegakkan keadilan. Imej di mata manusia yang selalu dijaga manusia, walaupun ia menyebabkan ada orang yang terzalimi.

10. Sebagai seorang suami dan ketua keluarga, apakah tindakan Al-Aziz itu benar? Tentu tidak! Dia sepatutnya menangani perkara itu dengan memisahkan Nabi Yusuf dan isterinya. Tapi nanti kita akan perhatikan yang isterinya masih lagi boleh mengawal Nabi Yusuf, sampai mempamer beliau di hadapan isteri-isteri menteri yang lain!

Begitulah syaitan membisikkan kepada ketua keluarga supaya tidak buat apa-apa walaupun telah ada isu, skandal dan masalah di dalam keluarga. Syaitan akan suruh senyapkan sahaja supaya tak malu dengan orang kampung. Kalau anak perempuan belum berkahwin pun sudah terberanak, senyapkan sahaja, kata syaitan! Janji jangan malu dengan masyarakat, kata syaitan.

Bukan hanya ketua keluarga sahaja, tapi mana-mana ketua yang ada tanggungjawab untuk membetulkan isu yang timbul. Ini boleh jadi dalam negara, dalam komuniti, dalam tempat kerja malah di mana-mana sahaja.

11. Kemudian dari isteri Al-Aziz kita belajar tentang bisikan syaitan yang biasa terjadi iaitu berselingkuh. Yang ini berlaku zaman berzaman dan agaknya syaitan sudah pakar bagaimana hendak menggelincirkan manusia dalam hal ini. Tidak kira orang biasa atau orang agama, sama-sama boleh melakukan maksiat sebegini. Yang terjerumus itu bukannya tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah, tapi kerana mengikut perasaan, nafsu dan bisikan syaitan, mereka abaikan apa yang fikiran mereka nasihatkan. Fikiran akan nasihat, jangan buat ini monyet, tapi mereka tetap juga lakukan kerana desakan nafsu dan syaitan lebih kuat.

12. Tapi yang lebih teruk adalah bagaimana setelah isteri Al-Aziz itu dibongkarkan kesalahannya, dia tidak bertaubat terus tapi masih lagi menjalankan tipu helahnya. Dia tetap lagi hendakkan Nabi Yusuf dan malah mengugut Nabi Yusuf dengan penjara! Begitulah syaitan tidak membenarkan manusia bertaubat akan tetapi meneruskan kesalahan mereka. Alang-alang buat, kata syaitan.

13. Isteri Al-Aziz itu juga tidak menghormati suaminya. Mungkin ada yang dia tidak puas hati dengan suaminya, maka dia mencari ruang untuk melepaskan ketidakpuasan hatinya. Sepatutnya kalau tidak suka lagi dengan suami, tinggalkanlah, dan carilah suami lain yang lebih baik. Tapi dia tidak lakukan begitu kerana dia tetap mahukan kekayaan dan kesenangan dari harta suaminya. Begitulah ramai yang ada suami, tapi masih lagi mencari lelaki lain untuk memuaskan nafsu mereka. Suami juga ada buat begitu, isteri juga ada buat begitu. Sedangkan Islam mengajar harmoni di dalam hubungan suami isteri. Tapi syaitan akan sentiasa membisikkan supaya tidak suka sesama pasangan.

14. Setelah dia kantoi, dia telah menuduh Nabi Yusuf yang hendak merogol dia. Jadi menyalahkan orang lain adalah bisikan syaitan juga. Syaitan tidak suruh kita mengaku tapi syaitan akan suruh kita jaga nama kita dan salahkan orang lain. Persetankan kalau orang yang tidak bersalah dizalimi, asalkan nama baikmu terjaga!

15. Kadangkala orang yang telah ditangkap kerana melakukan kesalahan, mereka akan berubah. Ia menjadi titik perubahan bagi mereka kerana mereka tidak mahu melalui detik-detik menakutkan dan memalukan sebegitu. Akan tetapi bagi sesetengah orang, syaitan lagi membisikkan supaya orang itu menjadi lebih teruk. Orang yang menangkap dia yang dijadikan sebagai musuh dan dia bertindak lebih teruk dari sebelumnya. Begitulah yang terjadi kepada isteri Al-Aziz itu; dia melihat Nabi Yusuf yang menyebabkan dia malu, jadi dia telah merancang supaya baginda dipenjarakan.

16. Tapi salah Nabi Yusuf kepadanya? Tidak ada salah apa-apa pun, kerana baginda hanya mempertahankan diri baginda dan maruah baginda dan itu memang patut baginda lakukan. Tapi syaitan tetap membisikkan permusuhan ke dalam jiwa isteri Al-Aziz itu sampai dia menjadikan Nabi Yusuf sebagai musuhnya. Dan begitulah syaitan suka menimbulkan permusuhan di kalangan manusia. Syaitan suka kalau manusia berkelahi dan merosakkan sesama sendiri. Jadi syaitan akan membisikkan bibit-bibit permusuhan walaupun tidak ada pun sebenarnya.

17. Dan isteri itu rasa dia boleh lakukan rancangannya kerana dia rasa dia ada kuasa. Dia hendak apa yang dia mahu, dan kerana dia ada kuasa sedikit, dia hendak menguasai orang lain. Begitulah di dalam jiwa manusia dibisikkan dengan kehendak menguasai orang lain. Mereka rasa mereka berkuasa dan bernilai kalau orang lain kena dengar cakap dia, kena tunduk dan patuh. Mereka sudah tidak kira apakah kesan itu kepada orang yang mereka tekan itu, asalkan mereka dapat rasa berkuasa.

18. Kemudian kita akan berjumpa kisah isteri-isteri para menteri  yang lain. Mereka sibuk hendak tahu apa yang terjadi di rumah Al-Aziz itu. Kenapa sampai isteri Al-Aziz itu mahu berselingkuh dengan hamba sahayanya? Maka mereka pun berkumpul dan bercakap-cakap sesama mereka, menyibukkan diri dengan gosip. Dan begitulah cara syaitan memerangkap manusia, gosip. Sibuk memperkatakan tentang orang lain, sibuk mencari maklumat, sibuk memburukkan orang lain. Maka direkalah kisah-kisah yang tidak benar, dijaja kisah orang keliling kampung. Mereka sudah tidak kira maklumat itu betul atau tidak, tapi mereka sampaikan sahaja. Rosak masyarakat apabila manusia mendengar bisikan syaitan dan buat hal ini.

19. Dan kemudian syaitan membisikkan kepada mereka sampai mereka rasa merekalah yang terpaling suci. Mereka kata di dalam Ayat 30: إِنَّا لَنَرَٮٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ (Sesungguhnya kami memandangnya dalam ketidakwarasan yang nyata). Merasa diri paling suci adalah bahaya kerana kita akan memandang rendah orang lain dan rasa diri telah selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Najm:72

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa)

Ini pun penyakit bagi orang agama. Mereka sentiasa menasihati orang lain, memandang kesalahan orang lain, sampai lupa dia pun tidak sempurna.

20. Seterusnya mereka mahu masuk ke rumah Al-Aziz itu untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Mereka hendak mencari-cari kesalahan isteri Al-Aziz itu. Maka inilah yang terjadi kepada ramai manusia yang mencari-cari kesalahan orang lain. Ini kerana mereka rasa mereka sudah baik dan suci, maka perlu pula dicari apakah kesalahan orang lain. Ini amat bahaya apabila menjaga tepi kain orang lain, dan Rasulullah telah menegur hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Abu Dawud dan Imam At-Tirmidzi daripada Abu Barzah Al-Aslami R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنِ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lidahnya namun iman belum masuk ke dalam hatinya! Janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah kamu mencari-cari keaiban mereka. Kerana sesiapa yang mencari-cari keaiban mereka, Allah akan mencari keaibannya. Dan sesiapa yang Allah cari keaibannya, Allah akan mendedahkan keaibannya (memalukannya) walaupun di dalam rumahnya sendiri.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud, no. 4880 — Dinilai Sahih)

Jadi ini menyebabkan ramai orang mahu masuk ke rumah orang lain, hanya untuk cari keburukan tuan rumah itu dan rumahnya! Saya pernah mendengar nasihat yang baik. Nasihatnya begini: “Kalau engkau pergi ke rumah orang dan perasan rumah itu kotor, ada habuk, ada sampah sana dan sini, jangan lagi pergi ke rumah itu” Kenapa tak boleh pergi ke rumah itu? Sebab rumah itu kotor? “Tidak, sebab hati engkau yang kotor! Orang sudah jemput engkau ke rumahnya, beri engkau makan, melayan engkau dengan baik…. tapi yang engkau perasan adalah kotornya rumah itu!”.

21. Kita pun sudah tahu kejadian di rumah itu apabila para wanita itu nampak Nabi Yusuf. Mereka pun jadi gatal, sudah lupa diri dek melihat ketampanan baginda sampai terluka jari mereka kerana tidak sedar diri. Padahal, mereka ini kumpulan aristokrat, isteri para pembesar negara yang selalunya menjaga penampilan mereka, bukan? Begitulah manusia, apabila bersama dengan orang yang tidak malu, masing-masing sudah jadi tidak malu. Di hadapan orang kebanyakan, di khalayak ramai, mereka jaga maruah mereka kononnya. Tapi apabila di kalangan geng-geng sama jenis mereka, sudah hilang rasa malu kerana masing-masing tahu keburukan masing-masing dan selera masing-masing! Syaitan akan kata: relekslah… kau dengan geng sekarang… boleh buat apa yang kau hendak buat!

Sebab itu wanita yang selalunya berpakaian sopan, apabila di pantai peranginan dan semua orang buka aurat, mereka sudah tidak segan lagi untuk buka aurat. Kadang orang yang baik, tapi bila masuk ke kelab malam dan semua orang terkinja-kinja menari, mereka pun sudah tidak segan lagi. Begitulah syaitan suka suasana di mana maksiat berleluasa kerana syaitan tahu, manusia yang selalunya tidak buat maksiat pun akan senang buat maksiat di dalam keadaan sebegitu.

22. Setelah Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, para isteri itu pun tahu yang baginda tidak bersalah langsung. Tapi tidak seorang pun cakap apa-apa untuk menyelamatkan baginda. Mereka tutup mulut kerana takut bocor rahsia, takut nama mereka terpalit, takut nanti kawan-kawan marah dan boikot pula nanti. Syaitan akan bisikkan supaya manusia membisukan diri dalam keadaan sebegini. Syaitan tidak benarkan manusia menyatakan kebenaran. Syaitan suruh manusia lebih pentingkan kedudukan daripada menyatakan kebenaran.

23. Di dalam penjara Nabi Yusuf telah berdakwah dan mengingatkan dua orang banduan tentang Allah, tentang agama. Tapi mereka tidak disebut telah beriman. Begitulah manusia, ramai yang diberi peringatan tapi mereka buat bodoh, buat tak dengar sahaja. Kerana mereka hendak hidup seperti cara hidup mereka sekarang; kalau mula hendak beragama, sudah susah pula nanti, kena solat, kena jadi baik. Jadi para pendakwah datang dan pergi, sikit pun mereka tidak hiraukan. Syaitan akan pekakkan telinga mereka dari mendengar kebenaran. Kalau mereka dengar pun, syaitan akan sibukkan mereka dengan hal lain supaya mereka lupa apa yang mereka dengar itu.

24. Setelah salah seorang banduan itu selamat keluar dari penjara, dia buat tidak ingat sahaja akan permintaan Nabi Yusuf. Padahal Nabi Yusuf telah berlaku baik kepadanya, tapi bertahun dia lupa dan abaikan permintaan Nabi Yusuf itu. Akhirnya yang mengingatkan dia balik adalah raja sendiri yang bertanya ta’bir mimpinya. Begitulah syaitan akan bagi kita lupa akan jasa orang lain, melupakan kita untuk berbuat baik kepada orang lain. Syaitan suruh pentingkan diri sendiri sahaja, asalkan kita selamat, makan pakai semua cukup, tak perlu hirau tentang orang lain.

25. Dan setelah raja bertanya siapa boleh ta’bir mimpi, dia kata dia tahu. Dia tidak cakap terus tentang Nabi Yusuf. Kemudian dia pergi jumpa Nabi Yusuf dan bertanya apakah ta’bir mimpi itu. Dia bukan hendak selamatkan Nabi Yusuf. Tapi dia hendak gunakan ilmu Nabi Yusuf itu untuk menaikkan namanya, menaikkan pangkatnya. Begitulah kita kadangkala dibisik oleh syaitan untuk ambil hasil usaha orang dan jadikan ia sebagai usaha kita untuk menguntungkan kita. Kita plagiat hasil usaha orang, tesis orang, kerja orang, tanpa beri kredit kepada orang itu.

26. Seterusnya kita boleh bincangkan tentang para penasihat raja. Apabila raja minta mereka ta’bir mimpinya, mereka kata di Ayat 44, قَالُوٓاْ أَضغَـٰثُ أَحلَامٍ ۖ وَمَا نَحنُ بِتَأوِيلِ ٱلأَحلَـٰمِ بِعَـٰلِمِينَ  (Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang kosong dan kami sekali-kali tidak tahu menta’birkan mimpi itu”). Padahal mereka tak tahu hendak menta’bir mimpi itu tapi kerana tak mahu kalah, tak mahu mengaku tak tahu, mereka kata mimpi itu yang mengarut.

27. Tapi yang lebih teruk adalah mereka kata mereka pandai menta’bir mimpi. Kerana kalau kita lihat di dalam Ayat 43, raja itu kata, يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ إِن كُنتُم لِلرُّءيَا تَعبُرُونَ (Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’birkan mimpi). Maknanya pernah satu ketika mereka kata mereka pandai ta’bir mimpi. Sedangkan ta’bir mimpi memerlukan ilmu wahyu. Kerana itu kalau kita minta orang ta’bir mimpi, orang itu kena tahu hadis-hadis yang berkenaan. Kerana bukan boleh kita pakai belasah sahaja untuk terjemah mimpi orang.

Akan tetapi begitulah ada manusia yang menipu dalam hal-hal ghaib dan ramai pula yang percaya. Ada orang yang beri servis ta’bir mimpi, selesaikan masalah orang, sembuhkan penyakit orang, buang dan halau jin dan sebagainya. Sedangkan mereka tidak ada pun kuasa itu. Mereka menggunakan penipuan untuk mengambil upah dari manusia yang bodoh (kerana percaya mereka ini) dan mereka menggunakan istilah-istilah agama. Ramailah yang tertipu dan kerana itulah Ibnu Sina pernah berkata: “Jika kamu ingin menguasai orang bodoh, bungkuslah setiap perkara yang batil dengan kemasan agama.”

Dalam bahagian ini, memang syaitan senang menipu manusia kerana ramai yang jahil. Mereka akan tipu individu supaya jadi penyembuh, dan syaitan akan tipu masyarakat supaya percaya dengan orang sebegitu.

 

Syaitan adalah Musuh yang Nyata

Kenapa syaitan dikatakan musuh yang nyata sedangkan mereka itu ghaib pada pandangan kita? Dalam ayat 1 telah disebut ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ dan sekarang syaitan pula yang مُبينِ? Jadi kena faham bahawa bukanlah sifat syaitan sama macam Al-Qur’an pula. Maksud مُبينِ bagi syaitan itu adalah permusuhan mereka yang jelas, bukannya mereka yang jelas.

1. Kerana mereka tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap anak Adam. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, kadangkala kita tidak tahu pun mereka musuh kerana mereka menyembunyikannya dan tidak mengaku. Akan tetapi iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka syaitan tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.

2. Manusia pertama iaitu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun iblis sudah cuba sesatkan dan berjaya menyebabkan baginda diturunkan dari syurga. Jadi bukan calang-calang penipuan mereka kerana Nabi yang bijak pun boleh tertipu.

3. Maknanya mereka tidak buang masa menipu manusia, malah bermula dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi mereka telah menipu. Jadi adakah anda sangka mereka akan berhenti?

4. Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Oleh kerana ramainya mereka, kita pun tentu susah hendak melawan syaitan yang ramai.

5. Kalau bermusuhan dengan manusia, ada yang lama-lama tidak bermusuhan lagi dan malah ada yang jadi kawan pula. Namun tidak sama sekali dengan syaitan; dengan mereka bukannya boleh bawa bincang.

6. Kalau musuh dalam kalangan manusia, mereka pun tidaklah sentiasa bermusuhan dengan kita. Mereka juga perlu kerja, makan dan sebagainya. Akan tetapi syaitan tidak ada masa rehat untuk mereka menipu dan menyesatkan kita kerana mereka bukannya ada kerja menjadi cikgu, jurutera dan peguam. Memang kerja sepenuh masa mereka adalah menipu manusia.

7. Kalau musuh manusia yang zahir, senanglah kita lawan mereka dan mengelak daripada mereka. Akan tetapi kalau daripada syaitan bangsa jin yang kita tidak nampak, bagaimana kita hendak perasan mereka sedang menipu kita?

8. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.

Bunyi macam hebat pula puak-puak syaitan ini, bukan? Maka bolehkah kita selamat daripada mereka? Dengan izin Allah ‎ﷻ, boleh. Kita kena belajar agama untuk kita kawal diri kita supaya tidak terus terjebak dengan bisikan syaitan. Jangan kita anggap mereka kuat kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang tipudaya mereka lemah seperti disebut di dalam Nisa’:76

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.

Maka soalan yang lebih patut ditanya adalah bagaimana hendak mengelak daripada ditipu oleh syaitan? Allah ‎ﷻ ajar di dalam Baqarah:208,

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Di dalam ayat ini mengandungi juga kalimat إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ dan sebelum itu Allah ‎ﷻ sebut tentang ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً. Maka amalkan keseluruhan agama Islam tanpa tinggalkan satu pun. Jangan solat tetapi tidak puasa, jangan belajar tentang Tauhid tetapi tidak belajar tentang adab, jangan amalkan suruhan dalam Al-Qur’an tetapi tidak belajar sunnah. Ini kerana kalau kita tidak belajar keseluruhan agama Islam dan mengamalkannya, maka syaitan akan ada peluang untuk menipu kita di bahagian yang kita tidak belajar dan amalkan.

Setelah mendengar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberitahu hal itu kepada abang-abangnya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semakin berhati-hati menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidak meninggalkannya siang atau malam. Akan tetapi itu hanyalah usaha baginda sahaja dan kita akan lihat nanti baginda tidak dapat menyelamatkan pun anaknya Yusuf itu. Begitulah kadang-kadang jaga macam mana pun, namun takdir Allah ‎ﷻ mendahului. Bandingkan dengan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusaha menjaga keselamatan anaknya dari dibunuh, dan berjaya pula. Semuanya di dalam takdir Allah ‎ﷻ.

Soalan Kuiz

Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah panggilan yang digunakan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan apakah maknanya?
  2. Mengapakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tidak menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya?
  3. Bagaimanakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diketahui sebagai seorang ayah yang “model contoh”?
  4. Apakah perbezaan antara “كيد” (kaid) dan “مكر” (makr) dalam konteks tafsiran ini?
  5. Apakah maksud hadis Nabi Muhammad ﷺ yang menyarankan untuk “meminta pertolongan untuk kejayaan hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya”?
  6. Sebutkan tiga jenis mimpi yang dijelaskan dalam hadith Nabi Muhammad ﷺ.
  7. Mengapakah mimpi para Nabi dianggap sebagai wahyu?
  8. Bagaimanakah syaitan mengganggu mimpi manusia? Berikan satu contoh.
  9. Walaupun syaitan tidak kelihatan, mengapa ia disebut sebagai “musuh yang nyata” bagi manusia?
  10. Bagaimanakah seseorang dapat mengelak daripada ditipu oleh syaitan menurut Surah Al-Baqarah ayat 208?

Glosari Istilah Penting

  • Tashghir: Bentuk perkecilan dalam bahasa Arab yang digunakan untuk menunjukkan kelembutan, kasih sayang, atau merujuk kepada sesuatu yang kecil.
  • Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat Al-Quran.
  • Ghibah: Mengumpat atau membicarakan keburukan orang lain di belakang mereka, yang diharamkan dalam Islam melainkan dalam keadaan tertentu.
  • Dengki (Hasad): Perasaan iri hati atau benci terhadap nikmat yang diperoleh orang lain, dengan keinginan agar nikmat itu hilang daripada mereka.
  • Wahyu: Petunjuk atau ilham daripada Allah yang disampaikan kepada para Nabi.
  • Sanad: Rangkaian perawi hadith yang menyampaikan riwayat dari sumber asalnya hingga kepada penulis hadith.
  • Dha’if: Status hadith yang lemah disebabkan terdapat masalah pada sanadnya atau perawinya.
  • Sahih: Status hadith yang kukuh dan dipercayai kesahihannya, memenuhi kriteria yang ketat.
  • Hasan: Status hadith yang baik, sedikit kurang dari sahih tetapi masih boleh diterima sebagai hujah.
  • Maksum: Bebas daripada dosa atau kesalahan, biasanya dikaitkan dengan para Nabi dan Rasul dalam Islam.
  • كَيد (Kaid): Rancangan atau tipu daya, boleh jadi untuk kebaikan atau kejahatan, dan seringkali melibatkan banyak langkah.
  • مكر (Makr): Rancangan jahat atau tipu daya khusus untuk merosakkan seseorang.
  • Al-Albani: Ulama hadith kontemporari yang terkenal dengan penilaian hadithnya.
  • Bani Israil: Keturunan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, merujuk kepada bangsa Yahudi.
  • Bani Ismail: Keturunan Nabi Ismail, عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merujuk kepada bangsa Arab, termasuk Nabi Muhammad ﷺ.
  • Takfir: Mengkafirkan atau menuduh seseorang sebagai kafir.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Mei 2026

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Baqarah Ayat 125 (Kelebihan Ka’bah)

Baqarah Ayat 125: Kelebihan kedua yang disebut adalah kelebihan Ka’bah. Ia adalah tempat asas agama Nabi Ibrahim عليه السلام dan ia juga adalah tempat asas agama Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kelebihan Mekah pula. Ini adalah kerana ia ada kena mengena dengan kisah Nabi Ibrahim juga. Di dalam ayat sebelum ini disebut Nabi Ibrahim sebagai ikutan. Dan salah satu ikutan baginda yang kita ikuti sampai sekarang adalah berkenaan dengan Baitullah.

Di Mekah ada Ka’bah, ia adalah satu-satunya masjid yang orang salat menghadap ke tengah. Kalau masjid lain, semua mengadap ke dinding, bukan? Tetapi di Ka’bah ini ada kelebihan yang tidak ada pada masjid lain. Ini kita akan bincangkan di sini secara panjang lebar berdasarkan wahyu Ilahi.

Yahudi mencemuh Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda bukan dari keturunan mereka. Dan mereka anggap perbuatan solat mengadap Ka’bah adalah rekaan orang Arab sahaja. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu yang bahawa arahan mengadap Ka’bah itu adalah benar. Ka’bah sendiri dibina (sebenarnya bina semula kerana ia sudah pernah ada) oleh Nabi Ibrahim  عليه السلا yang mereka sendiri kenal dan terima sebagai Nabi mereka juga. Dan arahan mengadap Ka’bah itu dari Allah ﷻ juga.

وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِّلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَّقامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَٱلعَـٰكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ

Sahih International

And [mention] when We made the House a place of return for the people and [a place of] security. And take, [O believers], from the standing place of Abraham a place of prayer. And We charged Abraham and Ishmael, [saying], “Purify My House for those who perform Tawaf and those who are staying [there] for worship and those who bow and prostrate [in prayer].”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

 

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ

Dan ingatlah ketika Kami jadikan Baitillah

Kalimah الْبَيْتَ yang dimaksudkan adalah Baitullah (Rumah Allah). Ia adalah rumah ibadat pertama yang didirikan di dunia ini seperti disebut di dalam Ali Imran:96

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Digunakan istilah rumah kerana rumah adalah tempat kembali untuk beristirehat. Jika seseorang kepenatan setelah bermusafir, atau gelisah kerana apa-apa sahaja punca, maka dia akan kembali ke rumahnya, tempat berehat dan bertenang. Demikian juga dengan Baitullah yang menyebabkan hati manusia selalu terpanggil untuk sampai ke sana. Kalau berada di sana, segala masalah dan kerja di kampung halaman dilupai kerana sibuk untuk beribadah dan kerana seronoknya berada di sana.

Sebelum ini Nabi Ibrahim عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dijadikan daripada keturunannya juga imam-imam yang menjadi ikutan selepas baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ terus memperkatakan tentang Ka’bah selepas sentuh tentang keturunan tadi. Ini adalah kerana Ka’bah adalah umpama ‘ibu’ kepada masjid-masjid yang lain di dalam dunia ini. Maka, ada kaitan masjid di dalam pembinaan akhlak anak-anak. Oleh itu ibubapa kena mesrakan anak-anak dengan masjid. Kena bawa mereka ke masjid supaya mereka tidak janggal dengan masjid.

Yang menyedihkan adalah, masjid di Malaysia ini tidak mesra kanak-kanak. Mereka dilayan seperti warganegara kelas ketiga di masjid. Mereka selalu dimarahi apabila mereka berada di masjid. Ini kerana kejahilan mereka yang menguruskan masjid dan surau. Kalau pun mereka dibenarkan salat, mereka diberikan tempat yang jauh daripada orang-orang dewasa. Mereka ada tempat khas salat. Mereka kata ia ‘saf kanak-kanak’ tetapi sebenarnya ia adalah ‘saf kanak-kanak bermain’.

Kemudian mereka selalu dimarahi oleh orang-orang tua di dalam masjid, seolah-olah mereka tidak patut berada di sana. Kalau mereka dapat pengalaman yang tidak bagus tentang masjid semasa umur muda, bagaimana mereka hendak mesra dengan masjid apabila mereka sudah dewasa nanti? Sebab itu orang-orang muda kita tidak rapat dengan masjid kerana pengalaman tidak menarik di sana. Ini kerana ada orang-orang tua yang tidak pandai menjaga hati manusia. Mereka perasan mereka sudah bagus.

 

مَثَابَةً لِّلنَّاسِ

sebagai satu tempat kembalian bagi manusia

Perkataan مَثَابَةً bermaksud suatu tempat rujukan yang akan didatangi berkali-kali bagi seluruh manusia. Ia dari kata dasar ث و ب yang bermaksud memulangkan, berpatah balik, mengembalikan ke keadaan asal, bertaubat, mengumpulkan, memanggil berkali-kali, mengalir, menjadi banyak, sesuatu yang dipulangkan, membayar balik, tempat pulang, tempat orang berkumpul, rumah, khemah, pakaian. Memang sesiapa yang sudah pergi ke sana akan berharap untuk pergi melawatnya lagi. Ia juga adalah sebagai tempat berkumpul dan berlindung. Zaman Nabi ﷺ dahulu dan sahabat, Mekah adalah tempat rujukan. Jikalau ada pengumuman besar dari kerajaan Islam zaman duhulu untuk disampaikan ke serata dunia Islam, mereka akan lakukannya ketika musim Haji. Khutbah Nabi ﷺ yang paling panjang adalah semasa di Mekah. Cuma zaman sekarang ia menjadi tempat tumpuan semasa musim Haji sahaja.

Padahal pada zaman dahulu, itulah pusat pemerintahan kerajaan Islam. Itulah zaman keemasan Islam. Kalau ada masalah umat islam sedunia, kena selesaikan di sana. Pemimpin Muslim akan berkumpul dan berdiskusi di sana dan pengumuman yang penting-penting akan dilakukan di sana. Terutamanya semasa Musim Haji kerana umat Islam akan berkumpul di sana dan para pemimpin turut akan datang dan berbincang di sana. Pengumuman penting akan dilakukan di sana.

Kalimah مَثَابَةً yang dari katadasar ث و ب yang antara lain bermaksud ‘bayar balik’ yang merujuk kepada pahala. Maka kerana itulah Tanah Haram dan Baitullah adalah tempat kumpul pahala. Solat di MasjidilHaram diberikan dengan pahala yang berganda sehingga 100 ribu kali ganda seperti sabda Rasulullah:

صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ مِائَةُ أَلْفِ صَلَاةٍ، وَصَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي أَلْفُ صَلاةٍ، وَفِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَمْسُمِائَةٍ صَلَاةٌ
“Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100,000 kali solat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1,000 kali solat (di masjid yang lain), sedangkan solat di Baitul Maqdis (MasjidilAqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain).”
(Riwayat Bazar, Ibnu Khuzaimah, & Thabrani dari Jabir bin Abdullah)

Ulama’ ada mengatakan salah satu tanda Haji seseorang itu diterima adalah keinginan hatinya untuk kembali ke Mekah. Kalau difikirkan balik, ini adalah sesuatu yang pelik. Kerana Mekah itu bukannya ada apa sangat dari segi pemandangan kerana padang pasir sahaja dan panas. Tapi tetapi memang mereka yang telah pergi ke sana sangat teringin untuk kembali. Ini pun kerana doa Nabi Ibrahim juga seperti disebut di dalam Hajj:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلَوٰةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ
Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Memang hati orang Mukmin akan tersangkut dengan Ka’bah. Walaupun kita tidak berada di sana, atau tidak pernah pergi, setiap hari kita akan mengadap kepadanya di dalam solat. Maka kerana itulah hati kita sentiasa tertaut kepadanya.

 

وَأَمْنًا

dan sebagai satu tempat yang aman;

Allah telah jadikan Baitullah itu sebagai tempat yang aman. Allah telah juga berfirman di dalam Ali Imran:97

فِيهِ ءآيَاتٌ بَيِّنٰتٌ مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

A rare picture taken by a French photographer from the air of a convoy of pilgrims, near the village of Al-Juhfa. It shows Hujjaj from Morocco, Algeria, Tunisia, Libya, and Egypt, making the journey to Makkah together on camels. The photo was taken in 1934 CE, 90 years ago.

 

Bukan Ka’bah sahaja tempat yang aman akan tetapi Tanam Haram keseluruhannya. Mekah adalah satu tempat yang aman sampaikan binatang dan tumbuhan pun tidak boleh dikacau, apatah lagi manusia. Di Mekah tidak boleh merompak, mencuri dan membunuh. Maka binatang juga tidak boleh dibunuh (melainkan yang membahayakan) dan pokok-pokok pun tidak boleh ditebang atau diambil (kecuali untuk keperluan kehidupan).

Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang membunuh keluarganya sendiri, tidak akan seseorang itu membunuh orang yang bersalah itu kalau sudah memasuki ke dalam Masjidil Haram. Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram tidak akan dibunuh. Kalau seorang waris nampak pembunuh ahli keluarganya pun, dia akan menundukkan muka kerana dia tahu yang dia tidak boleh membalas dendam di Baitullah.

Ayat ini bukan bererti bahawa Ka’bah yang memberi  keamanan, tetapi perintah kepada manusia untuk memberi rasa aman kepada siapa yang berkunjung dan masuk ke Ka‘bah. Siapa pun yang masuk  ke mssjid di mana Ka’bah itu berada, dia tidak boleh diganggu, kerana Allah  menghendaki agar siapa pun yang mengunjunginya dengan tulus, akan merasa tenang dan tenteram, terhindar dari rasa takut terhadap segala macam gangguan lahir dan batin. Kerana itu, manusia diperintahkan untuk mewujudkan kehendak Allah itu. Jadi perkara ini dijaga oleh masyarakat Arab pada waktu itu walaupun mereka itu dipanggil ‘jahiliyyah’. Ini adalah kerana ada lagi saki baki ajaran Nabi Ibrahim pada mereka. Dan memang syariat Islam meneruskan hukum ini. Hanya beberapa ketika sahaja dibenarkan kepada Nabi Muhammad semasa baginda dan umat Islam menakluk Mekah. Hal ini disebut dalam Hadis.

Tetapi malangnya Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada salat di Ka’bah. Ini adalah kerana mereka amat benci kepada apa yang disampaikan oleh baginda sampaikan apa yang mereka lakukan selama itu mereka lupakan. Memang Mekah pada zaman itu aman kalau dibandingkan dari tempat-tempat yang lain. Kalau tempat lain, bermaharajela pembunuhan, rompakan dan serangan. Akan tetapi tidak di Mekah kerana penduduk Tanah Arab penyembah berhala waktu itu dan selalunya ada berhala mereka diletakkan di Ka’bah. Maka mereka menghormati juga Ka’bah dan Mekah tidak akan diserang.

Pada waktu itu kerajaan besar adalah Rom dan Parsi. Dua kerajaan ini juga tidak menyerang Mekah kerana tidak ada kepentingan bagi mereka. Mekah itu jauh daripada tamadun dan tidak ada kepentingan bagi mereka. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan Mekah. Maka Mekah selamat daripada dijajah. Ia juga terletak di kawasan berbukit yang susah untuk diserang.

Maka kawasan Ka’bah dan sekitarnya adalah tempat yang aman, tidak boleh berlaku kezaliman di situ. Malah tidak boleh diadakan hukuman hadd di situ. Jadi kalau ada pesalah yang melarikan diri dan berlindung di Tanah Haram, maka mereka hanya boleh ditangkap dan dihukum di tempat lain.

Ka‘bah yang disebut sebagai أَمْنًا, memberi kesan bahawa keamanan itu bukan saja menyatu dengan Ka‘bah, tetapi wujudnya sendiri adalah keamanan. Sehinggakan sesiapa sahaja yang mengujunginya dan merasakan kehadirannya sebagai rumah Allah, pasti akan merasakan keamanan. Betapa tidak, bukankah yang berkunjung itu berada di rumah Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Kuasa, dan Maha Damai?

 

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَّقَامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى

Dan kamu jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang;

Allah ‎ﷻ telah memberi arahan kepada kita untuk menjadikan Maqam Ibrahim itu sebagai tempat salat iaitu yang dimaksudkan adalah Salat Sunat. Selepas tawaf, dianjurkan untuk salat sunat di situ. Ayat ini walaupun nampak seperti arahan, tapi ia bukanlah membawa kepada maksud wajib. Cuma ada perincian ulama’ tentang hal ini: Kalau tawaf wajib, maka wajib solat. Akan tetapi kalau tawaf sunat, maka sunat sahaja untuk solat. Iaitu solat berdekatan dengan Maqam Ibrahim ini. Kalau boleh solat berdekatan, maka ini lebih baik. Tapi kalau tidak, boleh sahaja solat di mana-mana kawasan dalam Tanah Haram. Kerana ada juga pendapat yang mengatakan ‘Maqam Ibrahim’ ini merujuk kepada keseluruhan Tanah Haram.

Dalam riwayat ada disebut selepas Rasulullah memberitahu Saidina Umar tentang Maqam Ibrahim itu maka beliau telah bertanya bolehkah solat di situ? Maka kerana itulah turunnya ayat ini. Jadi ini adalah asbabun nuzul bagi ayat ini.

Ini adalah kerana para sahabat enggan solat di belakang maqam kerana mereka tidak ingin ada sesuatu yang menghalang mereka dari terus mengadap Ka’bah. Keengganan itu menjadikan arah di mana Maqam Ibrahim berada seringkali tidak digunakan untuk salat. Untuk itu, Umar ra. mengusulkan kepada Nabi saw. agar arah di mana Maqam itu berada dibenarkan pula untuk menjadi tempat salat. Usul Umar ra. itu diperkenankan Allah, maka turunlah perintah menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat salat. Bahkan kini, tempat itu menjadi “rebutan” pengunjung Ka‘bah.

Maksud مَّقَامِ bermaksud ‘tempat berdiri’. Ulama memberikan banyak makna kepada Maqam Ibrahim itu. Yang paling masyhur adalah ianya adalah bekas tapak kaki Nabi Ibrahim pada batu itu semasa baginda berpijak di batu tersebut semasa membina Kaabah bersama Nabi Ismail. Ada yang kata dulu ianya bukanlah batu tapi seperti tanah liat. Itulah sebabnya boleh ada bekas tapak kaki baginda. Dan lama-lama keras tanah itu jadi keras. Tapi kalau kita kata begitu, tidaklah ada kelebihan apa sangat pada batu itu. Sememangnya kita terima ianya memang batu. Ianya adalah salah satu mukjizat yang Allah tunjukkan kepada manusia. Seperti juga semasa kisah Nabi Musa semasa kainnya dilarikan batu. Batu itu hidup bergerak dan selepas itu Nabi Musa memukulnya sampai meninggalkan bekas. Batu yang Nabi Ibrahim jugakan sebagai alas itu semacam satu lif kepada baginda. Apabila Nabi Ibrahim hendak meletakkan batu Kaabah di bahagian atas, batu itu akan membawanya ke atas. Kalau nak bergerak ke kiri, batu itu akan bergerak ke kiri. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut yang beliau ada nampak bekas tapak kaki itu.

Kedudukannya sekarang adalah mengadap ke pintu Ka’bah. Dahulu ia bersandar dengan Ka’bah dan kemudian Saidina Umar menempatkannya di tempat ia berada sekarang. Ia adalah kerana apabila manusia solat di situ, maka ia mengganggu orang ramai hendak melakukan tawaf. Akan tetapi kita akan beritahu ada kritikan terhadap pendapat ini.

Ada juga pendapat yang mengatakan Maqam Ibrahim bukanlah tempat berdiri baginda ketika mendirikan Ka’bah akan tetapi ketika baginda mendirikan solat. Kerana itulah kita disunatkan untuk mendirikan solat di sini sebagai mengikut sunnah baginda.

Jadi Maqam Ibrahim bukanlah kubur baginda pula (orang Melayu panggil kubur makam). Kerana kubur dalam bahasa Arab adalah maqbarah. Takut ada pula orang kita yang sangka Nabi Ibrahim disemadikan di situ pula. Ini kerana memang ada yang berpendapat begitu dan menjadikan ini sebagai dalil boleh adanya kubur dalam masjid. Sedangkan perkara ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

Tetapi bekas tapak kaki itu telah ditutup supaya mereka yang pergi ke sana, tidak nampak. Itu pun orang sudah sapu dan cium bekas yang diletakkan batu itu sebab mereka hendak mengambil berkat. Ini adalah perbuatan yang salah. Manusia kalau iman tidak kuat, mereka akan cari benda-benda seperti itu untuk diambil sebagai berkat.

Kenapa Maqam Ibrahim ini penting? Ianya untuk kita di zaman ini adalah sebagai simbol jejak Nabi Ibrahim. Kita disuruh untuk ikut ajaran agama baginda. Dalam bahasa kita pun kita selalunya menggunakan perkataan ‘jejak langkah’. Begitu jugalah dalam hal ini. Kita disuruh ikut jejak langkah baginda dalam beragama. Nabi Ibrahim pengasas kepada agama yang sampai kepada kita. Asas ajaran Islam dari dia. Itulah sebabnya di dalam Al-Qur’an kita disuruh mengambil dari Nabi Ibrahim, ‘ugama bapa kamu’.

Ada juga yang mengatakan bahawa Maqam Ibrahim itu adalah keseluruhan Tanah Haram. Ada juga yang mengatakan bahawa ianya merangkumi tempat-tempat dilakukan ibadat haji. Bermakna, ia termasuk juga dengan kawasan Ka’bah dan Saie. Kalau mengikut pendapat-pendapat ini, bermakna Maqam Ibrahim itu merangkumi kawasan yang luas. Tapi ulama’ seperti Imam Bukhari memegang bahawa Maqam Ibrahim itu adalah batu tempat berpijaknya Nabi Ibrahim semasa membangun Kaabah. Ini kita boleh lihat di dalam Sahih Bukhari apabila beliau membawa hadis,

عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ قَالَ سَأَلْنَا ابْنَ عُمَرَ عَنْ رَجُلٍ طَافَ بِالْبَيْتِ الْعُمْرَةَ وَلَمْ يَطُفْ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ أَيَأْتِي امْرَأَتَهُ فَقَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا وَصَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ وَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
وَسَأَلْنَا جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ لَا يَقْرَبَنَّهَا حَتَّى يَطُوفَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ
‘Amru bin Dinar berkata, “Kami pernah bertanya kepada Ibnu ‘Umar tentang seseorang yang telah bertawaf di Ka’bah untuk ‘Umrah tetapi tidak melakukan sa’i antara Shafa dan Marwah. Apakah dia boleh berhubungan (jima’) dengan isterinya?” Maka Ibnu ‘Umar berkata, “setelah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datang Makkah, lalu thawaf mengelilingi Ka’bah tujuh kali, salat di belakang Maqam ibrahim dua rakaat, lalu sa’i antara antara Shafa dan Marwah. Dan sungguh bagi kalian ada contoh tauladan yang baik pada diri Rasulullah.”
Dan kami pernah bertanya kepada Jabir bin ‘Abdullah tentang masalah ini. Maka ia menjawab, “Dia sama sekali tidak mendekati isterinya hingga dia melaksanakan sa’i antara bukit Shafa dan Marwah.” Sahih Bukhari (381)

Imam Bukhari meletakkan hadis ini di bawah tajuk: بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى }
Bab Firman Allah Ta`ala: Dan Jadikanlah Tempat Sembahyang Bermula Dari Maqam (Nabi) Ibrahim

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi telah solat di belakang Maqam Ibrahim. Itu yang hendak dibawa oleh Imam Bukhari. Ini adalah seperti yang disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang kita sedang bincangkan. Hadis ini menunjukkan juga bahawa selepas thawaf, baginda telah melakukan solat sunat dua rakaat.

Tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini dan hadis yang digunakan sebagai dalil bahawa perintah Allah dalam ayat Al-Qur’an itu bukan perintah wajib. Bermakna, tidaklah semestinya kita kena solat di Maqam Ibrahim itu. Dari tiga hadis yang dikemukakan dalam tajuk ini, satu sahaja yang menunjukkan Nabi buat begitu. Setiap perintah dalam Al-Qur’an tidak semestinya wajib untuk diikuti. Kita kena faham apakah status perintah Allah itu. Ini memerlukan kita belajar dengan lebih mendalam lagi.

Sebelum kita meneruskan lagi, ada baiknya kita jelaskan bahawa Kiblat adalah tapak di bawah Ka’bah, bukannya Maqam Ibrahim. Dan makna Maqam Ibrahim pun boleh jadi macam-macam seperti yang kita jelaskan di atas tadi. Yang pasti adalah kita mengadap ke Ka’bah dalam solat kita dan bukannya Maqam Ibrahim itu.

Dari segi hukum, perintah ini adalah sunat untuk solat di Maqam Ibrahim itu. Iaitu sunat solat tawaf lepas tawaf di situ. Ada mengatakan bahawa sunat jikalau kita melakukan tawaf sunat dan wajib jika melakukan tawaf wajib.

Satu lagi mengatakan bahawa perintah ini adalah salah satu dari perintah yang dinamakan Amar Irsyadi. Iaitu sesuatu perintah yang memudahkan kita dalam kehidupan kita. Bukan melibatkan pahala jika membuatnya. Bermakna, kita disuruh untuk solat di Maqam Ibrahim itu supaya orang boleh tawaf dengan selesa dan kita tidak solat betul-betul di situ. Kerana kedudukannya adalah jauh sedikit dari dinding Ka’bah, maka kita tidak mengganggu orang lain. Amar Irsyadi ini juga sama macam suruhan ambil dua saksi perempuan di dalam urusan perniagaan. Dalam surah Baqarah dikatakan bahawa hendaklah mengambil dua saksi. Tetapi jikalau perempuan, dua orang perempuan sama dengan seorang saksi lelaki kerana seorang perempuan boleh mengingatkan seorang lagi. Ini adalah kerana pada zaman itu, perempuan tidak biasa berurusan dalam perniagaan. Oleh kerana itu, mereka mungkin tidak biasa. Jadi itulah kerana mereka memerlukan lebih lagi saksi. Tapi pada zaman sekarang, tidak ada beza lagi, malahan ada perempuan yang lagi pandai dari lelaki, tidaklah perlu untuk menggunakan perintah ini secara zahirnya. Dengan memegang pendapat ini, tidaklah Islam dikatakan sebagai memandang rendah kepada wanita.

Ada yang kata Khalifah Umar ubah kedudukan Maqam Ibrahim. Mereka kata sepatutnya ia dekat betul dengan dinding Ka’bah. Tapi sebenarnya, semasa ia dekat dengan dinding Ka’bah itu adalah kerana orang letakkan di situ selepas ianya hanyut selepas banjir. Umar buat itu pun bukan dia buat sendiri tapi selepas berbincang dengan para sahabat yang lain. Kedudukan sekarang adalah kedudukan yang sepatutnya sepertimana dari dulu semasa zaman Nabi Ibrahim lagi. Ini semua adalah kerja-kerja puak Syiah yang telah memesongkan cerita untuk memburukkan Saidina Umar.

Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat tentang ibadat Haji dalam ayat ini. Sedangkan ayat ini diturunkan semasa umat Islam ketika itu berada di Madinah dan mereka tidak boleh ke Mekah lagi kerana masih dikuasai oleh puak Musyrikin Mekah. Maka, Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat kepada mereka bahawa mereka akan dapat pergi buat Haji ke Mekah nanti. Ia adalah isyarat kepada berita gembira untuk mereka. Iaitu nanti mereka akan dapat menguasai Mekah dan dapat mengerjakan ibadah Umrah dan Haji dengan aman.

 

وَعَهِدْنَآ إِلَىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ

Dan ketika Kami titahkan arahan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Perkataan عهد bermaksud ‘perjanjian’, tetapi apabila ditambah dengan perkataan إِلَىٰ, ia bermaksud arahan untuk melakukan sesuatu. Allah ‎ﷻ sebut juga Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini. Maknanya ada arahan titah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua. Arahan Allah ini juga telah disebut di dalam Hajj:26

وَإِذ بَوَّأنا لِإِبرٰهيمَ مَكانَ البَيتِ أَن لّا تُشرِك بي شَيئًا وَطَهِّر بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَالقائِمينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ
Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan): “Janganlah kamu mensyirikkan sesuatu pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang thawaf, dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku’ dan sujud.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya keturunannya juga dijadikan sebagai imam. Allah ‎ﷻ beritahu yng janji-Nya itu tidak diberikan kepada orang yang zalim. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut Nabi Ismail عليه السلام, anaknya. Bermakna, ada dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang baik-baik. Antaranya yang disebut adalah Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini adalah satu berita yang amat gembira baginya.

Ingatlah bahawa ayat ini sedang dibaca oleh orang Yahudi juga. Mereka tidak menerima Nabi Ismail ‎عليه السلام kerana Nabi Ismail عليه السلام adalah bapa bagi keturunan Arab. Orang Yahudi hanya menerima Nabi Ishak عليه السلام sahaja, anak Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Oleh kerana Orang Yahudi tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ memuliakan Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini.

Ayat ini menceritakan Allah ‎ﷻ memberi arahan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Ini juga sebagai isyarat bahawa seorang ayah kena bawa anaknya ke masjid. Bukan pergi seorang sahaja kerana anak itu perlu dididik. Kita telah sebutkan sebelum ini yang seorang ayah kena mesrakan anak ke masjid. Masalah sekarang, ayah pun jarang ke masjid. Kalau ayah pun tidak ke masjid, bagaimana anaknya hendak ikut ke masjid?

Dalam ayat ini arahan juga diberikan kepada Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini bermakna yang baginda sudah dewasa. Dulunya baginda ditinggalkan semasa bayi lagi. Dan sekarang mungkin sudah berumah tangga kerana dalam sirah kita dapat yang baginda bernikah kepada puak Jurhum yang datang ke sana.

 

أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ

supaya menyucikan rumahKu ini;

Lihatlah Allah mengatakan Ka’bah itu بَيْتِيَ (rumahKu) dan kerana itulah nama lain baginya adalah Baitullah (rumah Allah). Dengan ini Ka’bah telah diangkat kedudukannya menjadi mulia dan salah satu syiar utama agama Islam. Nabi Adam عليه السلام yang mula-mula sekali membangunkan kembali Ka’bah (kerana kita tidak tahu dengan pasti siapakah yang  mula-mula membinanya). Dari kisah Israiliyat, ada disebut yang para malaikat yang mula membina asasnya di dunia, dan diteruskan oleh Nabi Adam. Kemudian ia telah rosak bila banjir besar Nabi Nuh عليه السلام. Maka dikatakan Nabi Nuh عليه السلام telah membetulkannya balik. Kemudian manusia berbuat syirik dan letak berhala di Ka’bah. Lama kelamaan ia telah hilang ditelan zaman. Dan sekarang disebut yang Allah ‎ﷻ telah arahkan mereka berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) untuk menyucikan Ka’bah daripada benda-benda yang pernah mengotori Ka’bah. Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ telah ada macam-macam kemungkaran di Ka’bah ketika itu. Maknanya, dari zaman Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada orang buat perangai syirik di situ. Ia telah dijadikan tempat memuja selain Allah ‎ﷻ.

Maka kerana itu Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka berdua untuk membersihkan Ka’bah. Akan tetapi pada waktu itu berkemungkinan tidak ada berhala di situ kerana tidak ada penempatan manusia di situ. Kerana itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام kena membersihkannya dari kekotoran fizikal. Tapi bukan kekotoran fizikal sahaja yang perlu dibersihkan akan tetapi kekotoran akidah dan kekufuran. Nabi Ibrahim yang telah pernah berhadapan dengan kaum yang menyembah berhala sedar tentang bahayanya amalan syirik itu maka kerana itulah baginda berdoa supaya baginda dan anak cucunya diselamatkan dari menyembah berhala seperti disebut di dalam Ibrahim:36 walaupun ia belum terjadi lagi.

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

Kalau diambil maksud umum, maka bukan Masjidil Haram sahaja yang perlu dibersihkan, akan tetapi semua masjid kerana semua masjid adalah ‘rumah Allah’, bukan? Dalilnya Nur:36 di mana Allah menggunakan istilah بُيوتٍ untuk merujuk kepada masjid.

في بُيوتٍ أَذِنَ اللهُ أَن تُرفَعَ وَيُذكَرَ فيهَا اسمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فيها بِالغُدُوِّ وَالآصالِ
Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang

Maka ini adalah arahan untuk memastikan semua masjid di dunia ini bersih dari segi fizikal dan tidak dilakukan perkara kufur dan syirik di dalamnya. Kerana itulah sepatutnya masjid-masjid itu bersih kerana membersihkan masjid adalah kerja yang mulia. Akan tetapi malangnya kalau kita ke tandas masjid sekarang, ada yang kembang tekak kita untuk menjalankan urusan kita di dalamnya. Kerana umat Islam ramai yang tidak ada adab dan tidak mengamalkan cara kebersihan yang diajar di dalam Islam. Bayangkan Rasulullah mengajar kita untuk membersihkan diri apabila ke masjid dan malah melarang orang yang makan bawang untuk datang ke masjid kerana ia boleh mengganggu jemaah lain. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ ـ يَعْنِي الثُّومَ ـ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا
Sesiapa yang makan dari pohon ini (iaitu bawang putih) maka janganlah dia mendekati masjid kami.
Riwayat Al-Bukhari (853)

Jadi membersihkan masjid adalah kerja yang mulia. Kalau sekarang kita perhatikan Kerajaan Arab Saudi amat menjaga perkara ini dan kita boleh lihat kebersihan yang mereka jaga. Menarik kalau kita lihat bagaimana cara kontraktor sekarang membersihkan kawasan Ka’bah itu dengan efisien sekali. Dan kerana mulianya perbuatan membersihkan masjid, maka Rasulullah memuliakan orang yang membersihkan masjid. Lihat satu kisah yang ramai rasanya tahu tentangnya,

أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ أَوْ شَابًّا فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي. قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا أَوْ أَمْرَهُ. فَقَالَ: دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ، فَدَلُّوهُ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا، وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلَاتِي عَلَيْهِمْ.
Ada seorang wanita atau pemuda berkulit hitam bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak menemukan orang tersebut baginda bertanya (kepada sahabat) tentangnya. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal dunia. Kata Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Kenapa kamu semua tidak beritahu kepadaku?” Perawi hadis ini berkata: “Seolah-olah para sahabat menganggap remeh kematian orang itu.” Lalu kata Nabi: “Tunjukkanlah kepadaku kuburnya.” Maka ditunjukkan mereka kepada baginda kuburnya, lalu baginda solat (jenazah) ke atasnya. Kemudian baginda bersabda: “Kubur ini sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla akan meneranginya setelah aku solat di atasnya.”
Riwayat Muslim (no. 956) daripada hadis Abu Hurairah

Nabi marah kerana baginda sudah berpesan kalau wanita itu mati, diberitahu kepada baginda. Akan tetapi para sahabat tidak melakukannya kerana kematiannya di malam hari dan mereka tidak menganggap wanita itu penting kerana orang biasa sahaja pada mereka (sedangkan tidak, beliau seorang yang mulia kerana kebiasaan beliau membersihkan masjid). Di dalam riwayat yang lain ada disebut nama wanita itu dan kenapa beliau dimuliakan oleh Rasulullah. Walaupun ia dhaif akan tetapi ia menjelaskan hadis sahih di atas.

كَانَتْ امْرَأَةٌ بِالْمَدِينَةِ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَتْ فَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قَبْرِهَا فَقَالَ مَا هَذَا الْقَبْرُ؟ فَقَالُوا أُمُّ مِحْجَنٍ، قَالَ الَّتِي كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ؟ قَالُوا نَعَمْ، فَصَفَّ النَّاسَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ أَيَّ الْعَمَلِ وَجَدْت أَفْضَلَ؟ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَسْمَعُ؟ قَالَ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ مِنْهَا، فَذَكَرَ أَنَّهَا أَجَابَتْهُ قَمَّ الْمَسْجِدِ.
Ada seorang wanita di Madinah yang selalu membersihkan masjid. Kemudian dia meninggal dunia dan Nabi salahu ‘alaihi wasallam tidak tahu tentang kematiannya. Nabi sallahu ‘alaihi wasallam melalui kuburnya lalu bertanya: “Kubur siapakah ini?” Para sahabat menjawab: “Ummu Mihjan.” Nabi bertanya lagi: “Yang membersihkan masjid?” Para sahabat menjawab: “Ya.” Nabi dan para sahabat lalu berbaris dan bersolat untuknya. Kemudian Nabi bertanya (kepada Ummu Mihjan): Amalan apakah yang kamu dapati merupakan sebaik-baik amalan?Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah dia dengar?” Nabi menjawab: “Dia lebih dengar daripada kamu semua.” Kemudian Nabi menyebut bahawa dia menjawab: Membersihkan masjid.”
Diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Thawab al-A’mal daripada hadis ‘Ubaid bin Marzuq secara mursal (daif).

Begitu juga ada riwayat daripada hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 7101) yang menyebutkan nama wanita tersebut sebagai Ummu Mihjan. Hadis Buraidah ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.

Maka kita jangan lepaskan peluang membersihkan masjid. Libatkanlah diri dengan masjid dan berkhidmatlah dengan masjid di kawasan kita. Sekurang-kurangnya jangan kotorkan masjid apabila kita berada di sana. Saya teringat satu kisah arwah Tuan Guru Nik Aziz yang disampaikan oleh pemandunya. Kebiasaan beliau adalah berhenti pada masjid di hening hari di dalam musafirnya dan secara senyap-senyap membersihkan tempat wuduk. Beliau mengambil peluang untuk menambah pahala dan tidak mahu orang tahu mengenainya. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Ingat kembali bahawa arahan Allah kepada Nabi Muhammad dan para sahabat ini diberikan ketika mereka berada di Madinah iaitu setelah mereka terpaksa berhijrah meninggalkannya. Maknanya mereka sekarang jauh, jadi bagaimana hendak membersihkannya? Maka ada isyarat yang umat Islam kena mengambil alih Ka’bah itu dari puak Musyrikin Mekah. Cuma arahan jihad menakluk Tanah Haram belum dikeluarkan lagi buat masa ini. Tapi isyarat telah diberikan dan nanti kita akan bertemu ayat arahan Allah untuk menukarkan kiblat dari BaitulMaqdis ke Ka’bah nanti. Dan akhirnya pada Tahun 8 Hijrah umat telah cuba mengerjakan Umrah akan tetapi mereka ditahan dan terjadilah Perjanjian Hudaibiyah. Ini kita akan belajar di dalam Surah Fath. Kemudian apabila perjanjian itu dilanggar oleh Musyrikin Mekah, maka ia telah membawa kepada serangan umat Islam yang menakluk Mekah pada tahun ke 9 Hijrah. Dengan itu berjayalah Nabi Muhammad untuk membersihkan Ka’bah dan Tanah Haram dari berhala yang banyak berada di sekitarnya. Dan Rasulullah telah mengarahkan para sahabat yang diketuai oleh Abu Bakr untuk menyampaikan larangan kepada musyrik untuk tawaf lagi di Ka’bah. Ini nanti kita belajar di dalam Surah Tawbah.

 

لِلطَّائِفِينَ

bagi orang orang yang tawaf

Diutamakan dan didahulukan Ka’bah untuk orang yang tawaf di situ. Ini kerana di Ka’bah sahaja tempat tawaf. Sebab itulah dibolehkan melintas mereka yang salat sunat untuk mengerjakan tawaf kerana ia adalah khas di Ka’bah sahaja.

Sebab keutamaan mengerjakan tawaflah yang menyebabkan penjaga-penjaga di sekeliling Ka’bah akan berusaha untuk memberikan ruang untuk mereka yang tawaf.

 

وَٱلعَـٰكِفِينَ

dan orang-orang yang i’tikaf;

I’tikaf bermaksud masuk masjid dan niat untuk duduk dalam masjid untuk beberapa lama. Ia dari kata dasar ع ك ف yang bermaksud menyusun, berterusan dalam sesuatu, menahan, menyendiri. Jadi ia bukan hanya masuk sahaja. Macam sekarang, orang kita faham kalau masuk masjid untuk salat sahaja, sudah dikira i’tikaf. Walaupun memang ada pendapat yang mengatakan masuk sesaat pun boleh berniat i’tikaf, tapi pendapat yang lebih kuat, kenalah duduk lama.

Sebenarnya, i’tikaf itu adalah masuk dan tidak keluar selama beberapa waktu yang lama. Maknanya, sudah lain makna i’tikaf sekarang dengan yang sepatutnya. I’tikaf hanya boleh dilakukan di masjid, maka kita tidak boleh i’tikaf atas kubur. Yang i’tikaf di kuburan itu adalah golongan quburiyyun, termasuk golongan Habib sekarang.

Dari segi bahasa, i’tikaf itu adalah ‘bertapa’. Selalunya selama sehari semalam (walaupun ada juga pendapat yang mengatakan boleh waktu pendek, walaupun sesaat). Tetapi dalam Islam, tidak ada syariat untuk bertapa. Jadi, i’tikaf kita hanya boleh dilakukan di masjid. Bukanlah itu lebih baik? Daripada bertapa di gunung, bukit, lembah atau dalam kubur?

Tetapi tarekat-tarekat sesat telah mengajar anak murid mereka untuk bertapa di tempat-tempat kotor macam itu. Mereka reka satu amalan pula: bersuluk. Kononnya boleh meningkatkan maqam/darjat ilmu. Masih banyak lagi dilakukan sekarang. Ini adalah kerana masih ramai lagi yang tertipu dengan ajaran-ajaran sesat sebegitu. Ini kerana jahil agama sahaja. Memang yang jahil-jahil sahaja akan masuk tarekat.

 

وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

dan bagi orang yang rukuk dan sujud;

Maksudnya, Ka’bah adalah tempat untuk manusia mendirikan sembahyang. Walaupun yang dimaksudkan adalah solat, akan tetapi Allah menyebut dua perbuatan utama di dalamnya. Mengingatkan kita bahawa ketika melakukan rukuk dan sujud ini kita kenalah merendahkan diri kepada Allah dan sedar kepentingan perbuatan kita itu.

Maknanya, Ka’bah itu adalah tempat bagi orang tawaf, i’tikaf dan melakukan salat. Daripada ayat ini, yang kita disuruh buat di Ka’bah adalah banyakkan membuat tawaf, i’tikaf dan salat di Masjidil Haram. Bukanlah kita disuruh buat umrah banyak-banyak kali macam yang dilakukan oleh ramai orang sekarang. Maka tidak sepatutnya orang buat umrah sampai dua tiga kali. Ada yang buat sampai tujuh kali (sampai lembik mereka di sana). Sahabat tidak ada buat begitu. Kecualilah kalau mereka ada urusan lain dan keluar semula. Iaitu mereka keluar itu kerana ada urusan. Banyak yang salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang buat umrah banyak-banyak kali. Selalunya mereka hendak mengejar sampai cukup tujuh kali buat Umrah. Ini adalah kerana salah faham dengan hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kalau tujuh kali umrah, bersamaan pahala dengan buat Haji sekali. Tetapi hadith itu tidak sahih maka tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Kita kena lihat amalan Nabi dan sahabat. Adakah Nabi ﷺ buat umrah banyak kali setiap kali Nabi ﷺ pergi ke sana? Tidak, bukan? Maka sepatutnya kita buat umrah sekali, kemudian kita banyakkan buat ibadat tawaf seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi, tuntutan kepada kita apabila berada di Masjidil Haram adalah melakukan tawaf, i’tikaf dan salat sahaja. Yang buat umrah banyak kali itu, mereka sudah tidak sempat untuk salat sunat di Masjidil Haram. Sebab tidak sempat untuk mengejar masa ke tempat miqat. Mereka buat benda yang tidak perlu dibuat sampai tertinggal buat benda yang sepatutnya dilakukan. Atau, mereka sudah tidak buat salat sunat dan ibadah lain sebab mereka sudah tidak larat untuk ke sana sini. Padahal, setiap kali salat di Masjidil Haram, pahala salat itu akan digandakan sebanyak seratus ribu kali. Ini adalah dari hadith yang sahih yang kita telah kongsikan di atas. Adakah Nabi ﷺ menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kalau buat umrah banyak kali? Tidak. Manakala apabila mereka mengerjakan umrah banyak kali, mereka tidak akan melakukan tawaf sunat lagi. Maka yang sebetulnya kena banyakkan salat dan tawaf di Masjidil haram. Rugi kalau kita tidak solat di Masjidil haram banyak kali sebab satu waktu bersamaan seratus ribu pahala berbanding salat di tempat lain.

Lihatlah juga keindahan bahasa Al-Qur’an yang tepat. Allah ‎ﷻ sebut:

Kalimah لِلطَّائِفِينَ untuk orang-orang yang bertawaf

Kalimah وَالْعَاكِفِينَ: DAN orang-orang yang beriktikaf

Kalimah وَالرُّكَّعِ DAN orang-orang yang rukuk

Dan kalimah السُّجُودِ bermaksud Sujud. Tidak ada kata DAN di antara rukuk dan sujud kerana dua-dua ada dalam salat.

Begitu juga ada susunan yang tepat ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:

Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja.

I’tikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ (masjid yang diadakan solat Jumaat padanya) sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.

Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada i’tikaf. Tetapi lagi kurang daripada sujud. Ia adalah sebahagian dari solat yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak perlu di masjid atau surau.

Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat (tidak ada rukuk sunat) jadi bilangan sujud itu lebih banyak lagi.

Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum. Tawaf adalah khusus bagi orang yang berada di MasjidilHaram, kemudian i’tikaf yang boleh dilakukan di masjid dan kemudian solat yang boleh dilakukan oleh semua orang. Begitulah hebatnya Allah ‎ﷻ susun perkataan dan kalimah di dalam Al-Qur’an. Begitulah kalau setakat baca tanpa belajar tafsir dan melakukan tadabbur, kita tidak akan berjumpa hal ini. Amatlah rugi bagi kebanyakan umat Islam yang tidak mengendahkan pengetahuan tentang Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 120 – 121 (Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan umat Islam)

Baqarah Ayat 120: Ayat ini adalah tasliah (pujukan) untuk menghilangkan kerisauan Nabi Muhammad (dan para sahabat) disebabkan oleh keengganan golongan Yahudi beriman dengan baginda. Baginda risau baginda dipertanggungjawabkan tentang hal itu. Maka di dalam ayat ini Allah memberitahu keengganan mereka itu adalah kerana mereka tidak redha dengan agama Islam. Rasulullah berharap sangat mereka beriman, maka baginda berlembut dengan mereka dengan harapan mereka beriman. Maka Allah buka rahsia di dalam hati mereka; dan ketidakmungkinan mereka beriman.

Ayat ini juga adalah ayat zajrun (ayat ancaman) dari Allah, jikalau umat Islam ikut cara beragama Yahudi dan Nasara itu.

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

And never will the Jews or the Christians approve of you until you follow their religion. Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance.” If you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, you would have against Allah no protector or helper.

Malay

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

 

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ

Dan tidak sekali-kali akan redha orang Yahudi itu terhadap engkau;

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad yang tamak (tamak yang bagus) supaya golongan Ahli Kitab itu beriman. Baginda kira mereka itu sudah kenal Allah dan memang ada kitab wahyu, maka senanglah mereka beriman. Tapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka menolak dengan keras. Baginda amat bersedih dengan penolakan mereka sampaikan Allah memujuk baginda seperti disebut di dalam Fatir:8

فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ
maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.

Juga disebut di dalam Kahf:6

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Jadi di dalam Baqarah:120 ini Allah memberitahu kepada baginda supaya janganlah berharap lagi kepada golongan Ahli Kitab itu. Mereka tidak akan redha dengan agama Islam. Mereka tidak akan meninggalkan agama mereka ramai-ramai. Kalau yang beriman itu sebahagian sahaja sedangkan sebahagian yang lain akan tetap menentang baginda. Golongan Yahudi tidak dapat duduk diam kerana mereka mahu agama Islam ini hancur.  Ini adalah kecaman terhadap mereka kerana apabila disebut tentang mereka di dalam bentuk kecaman, kalimah الْيَهُودُ yang digunakan. Ini kerana ayat ini menyebut mereka memusuhi dan benci kepada Islam. Kalau bentuk yang bukan kecaman, kalimah lain yang digunakan seperti di dalam Baqarah:62

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Kita telah baca banyak perangai mereka dan bagaimana mereka tidak suka kalau agama Islam ini berkembang. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan Islam. Bukanlah keseluruhan dari mereka kerana ada sahaja orang Yahudi dan Nasrani yang masuk Islam. Tapi ia bermaksud secara umumnya kebanyakan dari mereka.

Walaupun mereka tidak suka kepada perkembangan agama Islam, namun begitu agama Islam telah berkembang pesat ke serata dunia kerana para sahabat telah sebarkan agama ini. Maka golongan Yahudi telah kecewa untuk mematikan agama Islam, tetapi mereka tidak akan berputus asa. Kalimah yang digunakan adalah لن iaitu ‘tidak akan sampai bila-bila’ iaitu نَهي واستقبال. Mereka akan terus merosakkan orang Islam dan pemikiran golongan Muslim. Kalau Islam tidak hancur pun, biarlah pemikiran umat Islam yang hancur. Jadi mereka berusaha merosakkan pemikiran umat Islam menggunakan wang, hiburan dan media massa.

Kalau mereka tidak berhenti daripada merosakkan agama, maka kita pun jangan berdiam diri daripada menyampaikan agama ini kepada manusia. Kalau mereka berjuang untuk menjatuhkan kita, maka kita pun kena terus berdakwah untuk mengembangkan dakwah agama yang suci ini ke seluruh dunia.

 

وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ

dan tidak juga orang Nasara;

Bukan sahaja Yahudi yang tidak redha dan mahu menjatuhkan Islam, tetapi golongan Nasara juga. Ini kerana kalau agama Islam ini diterima oleh manusia, maka akan nampaklah yang agama Kristian itu adalah agama yang sesat dan jauh daripada kebenaran.

Perhatikan kalimah penafian yang digunakan untuk Yahudi adalah لن sedangkan di sini untuk Nasara digunakan kalimah لا sahaja yang tidak sama dengan kalimah لن (tidak akan sampai bila-bila). Ini adalah kerana tidak sama Yahudi dan Nasara. Nasara lebih lembut terhadap Islam seperti diisyaratkan di dalam Maidah:82

۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ
Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

 

حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

sehinggalah kamu ikut ajaran ugama cara mereka;

Kalimah مِلَّةَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘agama‘. Ia dari kata dasar: م ل ل yang bermaksud membacakan supaya orang lain menulis (dictate), memeluk agama, kepercayaan.

Yahudi dan Nasrani sangka agama mereka itulah yang terbaik. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad membawa Islam yang sebenar, mereka berharap bangsa Arab itu masuk agama mereka. Kerana mereka memandang bangsa Arab ketika itu menyembah berhala dan tidak ada pegangan agama yang teratur. Tiba-tiba bangkitnya Nabi Muhammad dari bangsa Arab itu bukannya masuk agama mereka, malah menyebut-nyebut cacat celanya Yahudi dan Nasrani itu. Tentulah mereka menjadi jengkel.

Mereka mahu juga kita ikut cara mereka. Kerana bukanlah mereka hendak sangat kita masuk agama mereka tambahan pula agama Yahudi bukannya kita boleh masuk pun. Yang mereka hendak adalah kita tinggalkan agama Islam. Dan walaupun tidak keluar Islam pun tidak mengapa, asalkan ikut cara hidup mereka terutama sekali cara beragama mereka. Selagi tidak ikut, selagi itu mereka akan khianati kita. Sekarang ini, kita boleh lihat bagaimana umat Islam yang mengaku beragama Islam, namun akidah mereka, cara hidup mereka, dan amalan mereka sudah sama seperti agama Yahudi dan Nasara.

Jangan kita lalai leka dengan usaha mengkristiankan umat Islam yang sentiasa berkembang pesat. Mubaligh-mubaligh mereka tetap masih berkeliaran di negara kita menimbulkan syak wasangka umat Islam terhadap agama Islam, dan mereka tarik sedikit demi sedikit ke agama Kristian. Entah berapa ramai anak-anak muda yang tertipu dan telah menganut agama Kristian. Mereka berjaya kerana kebanyakan dari kita hanya beragama pada nama sahaja.

Golongan Yahudi pula tidaklah ada mubaligh seperti Kristian. Mereka hendak simpan agama Yahudi pada keturunan mereka sahaja. Akan tetapi mereka meluaskan pengaruh mereka ke serata dunia. Sistem perbankan riba yang diamalkan dunia sekarang ini datangnya dari mereka lah. Dengan menggunakan sistem ini, mereka mengawal dunia. Rosak habis ekonomi dunia kerana sistem riba ini. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin terus melata. Yang hidupnya membayar hutang keliling pinggang adalah kerana sistem riba ini lah. Telah dibuat kajian tentang gelandangan di Amerika itu adalah kerana mereka terbeban dengan hutang bank sampaikan mereka tidak mampu lagi untuk hidup seperti manusia biasa.

Bagaimana kita hendak tahu yang kita telah ikut cara beragama mereka? Inilah yang kita sedang belajar di dalam Al-Qur’an apabila Allah sebut satu persatu. Lihatlah cara bagaimana mereka mengagungkan pendita mereka, menyorok kebenaran, melakukan syirik. Jadi untuk tahu apakah pegangan dan amalan mereka, maka hendak tak hendak, kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita boleh elak dari ikut cara mereka. Selain dari ayat-ayat Al-Qur’an, Rasulullah sendiri telah dengan jelas memberitahu kita yang memang umat Islam yang akan ikut mereka,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Dari [Abu Sa’id radiallahuanhu] bahawa Nabi SAW bersabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
Sahih Bukhari (3197)

Sekarang ini, orang Hindu pun suruh ikut agama mereka. Ada pergerakan untuk memasukkan Muslim Melayu ke dalam agama Hindu. Ini amatlah pelik sekali. Bagaimanalah orang Islam boleh menganut agama Hindu sedangkan ia adalah agama yang amat mengarut sekali? Tetapi masih ada yang masuk juga agama Hindu kerana ramai yang tidak kukuh dalam pemahaman agama Islam. Sampai ada orang kita yang boleh rasa agama lain pun ada kebenaran juga.

 

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: bahawasanya hidayat Allah itulah sebenar-benar hidayat;

Nah oleh kerana begitu keadaan Yahudi dan Nasrani itu, maka seolah-olah Nabi Muhammad bertanya, apa yang patut baginda katakan kepada mereka? Di dalam ayat ini baginda diajar bagaimana untuk cakap kepada mereka. Maka ini menutup pintu harapan bagi Yahudi dan juga Nasrani yang Nabi Muhammad akan masuk agama mereka. Ia tidak akan berlaku sama sekali!

Allah ‎ﷻ memberikan peringatan dalam ayat ini: Hanya hidayah Islam sahaja yang benar. Agama dan anutan lain tidak boleh diterima sebagai hidayah. Takkan kita hendak ikut agama lain pula? Jadi agama selain Islam itu tidak boleh dipakai dan diamalkan. Agama Islam ini mendapat هُدَى اللَّهِ, takkan kita hendak tinggalkan? Takkan kita hendak pakai ajaran yang menggunakan pendapat manusia atau campur aduk antara wahyu dan ilmu khayalan pula?

Jadi jangan termakan dengan fahaman: semua agama baik. Tidak, tidak sama semua agama. Walaupun agama lain itu pun mengajak kepada akhlak yang baik, mengajar berbaik-baik dengan semua manusia, ia tetap tidak boleh diamalkan kerana akidah mereka akidah yang sesat. Hanya Islam sahaja agama eksklusif yang membaca kepada hidayah. Ini ditunjukkan dalam bentuk balaghah dengan penggunaan kalimah هُوَ sebelum kalimah الْهُدَىٰ sebagai penekanan sifat eksklusif ini.

Kita ada pegangan sendiri, takkan kita hendak pegang pendapat yang tidak benar pula, bukan? Begitu juga dengan akidah. Kita berpegang dengan akidah salaf dan Ahli Hadis kerana itulah yang pegangan golongan yang awal. Jadi takkan kita hendak terima akidah Asya’irah dan Maaturidiyyah yang datang kemudian pula? Takkan kita terpaksa terima pula walaupun itu pegangan rasmi negara atau golongan majoriti negara ini? Kita ada hak untuk beriman seperti yang kita yakini kerana ia terdapat di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Akan tetapi kita juga tidak memaksa akidah ini kepada umat. Terpulang kepada mereka untuk berpegang dengan akidah yang mereka selesa. Cuma yang menjadi pelik adalah apabila ia seolah-olah dipaksakan kepada orang ramai sedangkan itu adalah pilihan individu.

 

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika sekiranya engkau mengikut hawa-hawa nafsu mereka;

Walau ayat ini khitab (ditujukan) kepada Nabi, tetapi sebenarnya untuk kita juga kerana Nabi tidak akan mengikut hawa nafsu mereka. Kalau kita mengikut nafsu mereka, maka ada amaran dari Allah ‎ﷻ dalam ini. Allah ‎ﷻ kata ‘nafsu’ kerana semua yang bukan agama Islam adalah mengikut nafsu.

Lihatlah kalimah ini وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ. Sedangkan sebelum ini disebut millah حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ. Jadi Allah tidak meneruskan dengan menyebut وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ مِلَّتَهُمْ sebaliknya digunakan kalimah أَهْوَاءَهُمْ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan yang agama mereka adalah agama yang ikut nafsu mereka sahaja. Walaupun asalnya agama mereka itu adalah agama Tauhid, akan tetapi telah ditukar menjadi agama syirik.

‘Hawa nafsu’ yang dimaksudkan ialah apa sahaja hujah yang dibawa yang bukan dari Al-Qur’an dan Sunnah. Iaitu mereka yang hanya pakai hujah guru. Ini seperti masyarakat Muslim yang banyak berkata dalam hujah mereka: “takkanlah ustaz itu nak masuk neraka. Mereka dulu belajar di Mesir, Mekah lama dah. Takkan mereka salah pula.” Atau ada juga yang pakai hujah AADK (Asal Ada Dalam Kitab). Kalau ada orang yang pakai hujah begitu, itu adalah hujah hawa nafsu dan hujah orang musyrik.

Tapi jangan salah faham pula. Bukanlah kita tolak kata-kata ulama’, ijmak dan qiyas dan bukanlah kita bakar semua kitab. Akan tetapi kata-kata manusia dan kitab itu hendaklah disandarkan kepada wahyu sama ada Al-Qur’an atau hadis yang sahih. Jangan pegang terus kata-kata manusia kerana manusia tidak terlepas daripada kesalahan. Lainlah kalau seseorang itu memberi pandangannya berdasarkan kepada ayat Al-Qur’an dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih. Maka kena tengok apakah sandaran hukum mereka. Jangan takut menolak pendapat manusia walau siapa pun mereka, sebagaimana kata Imam Malik:

كل يُؤخذ من كلامه ويُرد إلا صاحب هذا القبر
“Tiap-tiap orang boleh diambil perkataannya dan ditolak melainkan perkataan yang mempunyai kubur ini (sambil beliau menunjuk ke arah makam Nabi).”

 

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

selepas datang kepada kamu ilmu Al-Qur’an ini;

Takkan Nabi Muhammad hendak ikut hawanafsu golongan Ahli Kitab itu pula setelah mendapat ilmu wahyu ini. Ini juga adalah ancaman kepada kita yang sudah dapat dalil daripada ajaran Al-Qur’an, tetapi kita ikut juga mereka. Malangnya ramai umat Islam yang telah ada Al-Qur’an ini, masih lagi ikut fahaman Yahudi dan Nasrani! Maka kalau kita begitu, kita akan dapat balasan dari Allah ‎ﷻ yang amat buruk. Kalau jahil dan mengikut hawa nafsu Yahudi dan Nasara, pun sudah teruk; namun kalau sudah ada ilmu agama tetapi masih lagi mengikut mereka, itu terlebih-lebih teruk dan malang sekali.

 

ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ

Maka tidak ada lagi bagi kamu daripada Allah; satu orang pun yang boleh beri pelindung

Iaitu kita tidak akan selamat daripada neraka Allah ‎ﷻ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang ahli neraka daripada dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada peguam yang akan dapat berhujah ataupun pembantu yang dapat menahan pintu neraka itu.

Kalimah ini ditujukan kepada Rasulullah. Ia mengajar kita yang kalau Nabi ikut nafsu mereka pun Allah ‎ﷻ tidak akan menolongnya, apatah lagi kita. Maka jangan rasa kita akan selamat kalau kita ikut hawa nafsu golongan Yahudi dan Nasara.

 

وَلَا نَصِيرٍ

dan tiada penolong;

Tidak ada sesiapa pun yang akan tolong kita bila Tuhan sudah campak kita ke dalam neraka. Tidak akan ada orang yang akan masuk neraka dan mencari-cari kita untuk selamatkan kita. Mungkin kita perasan kita ini umat pilihan, anak ulama’, keturunan orang baik-baik dan sebagainya. Kita sangka kita akan selamat dan dibantu, tapi tidak sebenarnya. Begitulah golongan Yahudi itu perasan mereka itu umat pilihan dan selamat, tapi di sini mereka diingatkan yang mereka takkan selamat kalau mereka menolak kebenaran.


 

Baqarah Ayat 121: Ini pula adalah pujian kalau mereka melakukan yang sebaliknya. Memang kebiasaan Al-Qur’an setelah menyebut tentang pihak negatif, diteruskan dengan menyebut tentang pihak yang positif. Maka setelah disebut tentang mereka yang menentang, sekarang disebut mereka yang wajar mendapat berita gembira dari Allah kerana beriman dengan sebenar-benar iman. Iaitu mereka benar-benar beriman dengan wahyu dan tidaklah menjadi seperti majoriti dari golongan Ahli Kitab itu.

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Sahih International

Those to whom We have given the Book recite it with its true recital. They [are the ones who] believe in it. And whoever disbelieves in it – it is they who are the losers.

Malay

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

 

الَّذِينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka itu Kitab;

Iaitu kitab Taurat, Injil, Al-Qur’an  dan lain-lain kitab lagi yang telah Allah ‎ﷻ turunkan kepada manusia. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan آتَيْنَاهُمُ: ‘yang Kami berikan kepada mereka’. Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ masih lagi suka dengan mereka kerana Allah ‎ﷻ masih lagi mengaitkan Nama-Nya dengan pemberian kitab itu. Maka ini memberikan harapan lagi kepada mereka.

Namun, ada terdapat di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan: ‘yang diberikan kepada mereka Kitab’, itu menunjukkan Allah ‎ﷻ telah murka sangat kepada mereka. Sampaikan Allah ‎ﷻ tidak lagi menyebut perkataan ‘Kami’ dalam ayat apabila Allah ‎ﷻ murka terhadap mereka. Walaupun memang Allah ‎ﷻ yang berikan kitab, tetapi Allah ‎ﷻ tidak letak perkataan ‘Kami’.

 

يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ

mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan;

Allah ‎ﷻ memberitahu tentang golongan Ahli Kitab yang telah membaca kitab mereka dengan betul. Jadi bukanlah semua Yahudi dan Nasara seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Ada yang baik sebenarnya, walaupun tidak ramai. Kalau mereka membaca kitab mereka dengan betul, maka mereka akan menemui tentang maklumat kedatangan Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ. Maka ada syarat untuk Allah ﷻ terima mereka: hendaklah mereka rujuk kitab wahyu mereka. Bagi mereka itu, setelah kedatangan Rasulullah dan Al-Qur’an, mereka telah beriman dengan keduanya.

Kalimah تِلاَوَتٌ dalam ayat ini bermaksud ‘mengikuti’. Ini seperti penggunaan di dalam Syams:2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya (matahari),

Oleh itu baca dengan betul itu adalah dengan mengikuti segala arahan di dalamnya, beriman dengan apa yang telah disebut di dalamnya. Mereka akan menghalalkan perkara yang dihalalkan dan mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah ﷻ. Dan yang penting, tidak mengubah isi kandungannya. Tidak menyelewengkan maksudnya dan tidak menyembunyikan kandungannya.

Boleh juga ditambah di sini adalah dengan membacanya dengan baik. Maka perlu dibaca Al-Qur’an itu dengan tajwid yang baik. Tapi janganlah setakat baca dengan baik sahaja (seperti yang masyarakat kita lakukan) tapi hendaklah ditadabburi maksudnya dan diamalkan ajarannya.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita iaitu hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah yang dikatakan baca dengan sebenar. Ini kerana kalau disebut حَقَّ تِلَاوَتِهِ ia bermaksud baca untuk faham, amal dan untuk sebar. Bukan setakat baca sahaja tanpa memahami apa yang kita baca. Berapa ramai dalam masyarakat kita yang memang sudah cintakan Al-Qur’an? Mereka membaca Al-Qur’an setiap hari.

Namun malangnya mereka tidak memahami apakah yang mereka baca itu. Ini amat merugikan sekali. Kita sepatutnya kena faham tafsir Al-Qur’an seperti yang difahami oleh ulama’ salaf dan sahabat. Sebab itu kena belajar tafsir dengan benar. Jangan salah pilih guru (maka kena ada fikiran yang kritis sedikit dalam memilih). Ada tafsir yang diajar oleh guru yang tidak habis pun belajar tafsir. Mereka agak-agak sahaja dalam tafsiran mereka.

Apabila kita sudah cinta kepada Al-Qur’an, akan timbul keinginan untuk belajar bahasa Arab supaya lebih memahami lagi Al-Qur’an itu. Begitu juga ia akan menggerakkan kita untuk membaca Al-Qur’an dengan tajwid yang benar dan menghafal ayat-ayat Al-Qur’an.

Jadi maksud حَقَّ تِلَاوَتِهِ itu kita boleh ringkasnya seperti berikut:

1. Baca dengan betul

2. Memahami apa yang dibaca dengan belajar tafsir

3. Bukan setakat faham sahaja, tapi kenalah amalkan.

4. Bukan amalkan untuk diri sendiri sahaja, tapi kena sampaikan kepada orang lain juga.

 

أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

mereka yang bersifat seperti itulah yang beriman dengan kitab itu;

Kebenaran Al-Qur’an dan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ini bukan untuk orang Arab sahaja. Ia bukan diketahui oleh orang Arab sahaja malah ia diketahui oleh ahli kitab juga kerana berita-berita tentang Nabi akhir zaman telah ada dalam kitab mereka. Iaitu terdapat di dalam kitab yang asli. Mereka yang benar-benar membaca kitab mereka dengan betul, akan menemui fakta ini.

Maka kita kena berpegang dengan Al-Qur’an untuk keselamatan kita terutama sekali di akhirat. Dengan Al-Qur’an inilah yang akan menyelamatkan kita seperti yang disebut oleh Rasulullah,

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة
“Puasa dan Al-Quran akan memberikan syafaat pada seorang hamba dihari kiamat kelak”.
(Musnah Ahmad:6626, dan al-Hakim: 1/554, hasan li ghairihi).

Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam juga bersabda:

اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه، اقرءوا الزهراوين البقرة، وسورة آل عمران، فإنهما تأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان، أو كأنهما غيايتان، أو كأنهما فرقان من طير صواف، تحاجان عن أصحابهما
“Bacalah Al-Qur’an kerana Al-Qur’an akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya) iaitu surat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” (Riwayat Muslim: 1910).

Dengan Al-Qur’an inilah yang akan meninggikan kedudukan kita di dunia dan akhirat seperti sabda baginda,

يقالُ لصاحبِ القرآن: اقرَأ وارتَقِ، ورتِّل كما كُنْتَ ترتِّل في الدُنيا، فإن منزِلَكَ عندَ آخرِ آية تقرؤها
“Dikatakan pada orang yang menjadi penjaga Al-Qur’an: bacalah dengan tartil sebagaimana engkau dulu sewaktu di dunia membacanya dengan tartil, kerana sesungguhnya kedudukanmu (tingginya derajatmu di syurga) adalah tergantung pada akhir ayat yang engkau baca”.
(Sahih, Sunan Abu Daud: 1464 dan Tirmidzi: 3141).

Tidakkah kita mahu menjadi orang yang dipuji oleh Allah dan Rasulullah?  Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.
[Riwayat al-Bukhari (5027)]

Mungkin orang kita mengatakan mereka sayang Al-Qur’an, membacanya, malah menghafalnya seperti ramai yang menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz. Akan tetapi kalau kita membacanya sahaja, itu tidak cukup. Malah kita boleh dikutuk oleh Al-Qur’an sendiri kerana meninggalkan pengajarannya. Dalam kita berharap kepada syafa’at dari Al-Qur’an, jangan kita mendapat kutukan darinya pula seperti sabda Rasulullah:

وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim no.223)

 

وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ

dan sesiapa yang engkar dengannya;

Yang engkar adalah mereka yang tidak mahu menurut ajaran wahyu. Sama ada mereka itu Ahli Kitab ataupun orang Islam. Maka ini termasuk dengan mereka yang enggan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila kita ajak, mereka tidak mahu belajar. Dan apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima kerana mereka tidak pernah dengar. Memanglah mereka tidak pernah dengar kerana mereka tidak pernah belajar.

Sebelum ini telah disebut gerakan untuk menarik umat Islam ke dalam agama Kristian dan cara hidup Yahudi. Bagi mereka yang jauh dari wahyu Ilahi, akan senang terpengaruh dengan golongan itu. Kerana umat kita hanya membaca sahaja Al-Qur’an tanpa memahaminya, maka kerana itulah kita jadi lemah dan diperkotak-katikkan oleh golongan Ahli Kitab itu.

 

فَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Maka mereka yang seperti itu adalah orang yang rugi sungguh;

Mereka yang enggan untuk menerima ajaran wahyu itu amatlah rugi. Mereka telah diberikan dengan wahyu sebagai panduan hidup tetapi mereka biarkan sahaja.

Maka begitulah juga, rugi sungguh orang Islam yang jahil wahyu kerana mereka sudah ada Al-Qur’an sebagai pedoman hidup, tetapi mereka tidak menggunakan Al-Qur’an sebagai pendidik dan pembimbing mereka. Mereka hanya baca untuk dapat pahala baca sahaja. Tapi di mana pula pahala memahami dan mengamalkan? Mereka terus ditakutkan dengan fahaman yang Al-Qur’an ini untuk golongan ulama’ sahaja, kalau kita belajar tafsir tidak akan faham, malah akan jadi sesat! Ini adalah kata-kata syaitan yang hendak menjauhkan umat manusia dari Al-Qur’an. Malangnya ramai yang sungguh benar-benar tertipu.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin yang Makro Kedua Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Kedua ini berkenaan Teguran kepada Bani Israil (ayat 40 – 121). Daripada keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 103. Sekarang kita lihat bahagian kedua pula (104 – 121)

Kaitan antara bahagian:

[B6]/[B6’] – Kedua-dua bahagian di dalam cincin luar ini menyebut tentang keraguan, pengejekan dan kedegilan Bani Israil. Sepatutnya mereka beriman dengan wahyu, namun sebaliknya mereka tanya soalan-soalan bodoh, menghina suruhan dan enggan masuk agama Islam.

[B7]/[B7’] – Di dalam bahagian ini ditekankan kekuasaan Allah ‎ﷻ yang memiliki segala-galanya di dalam alam ini.

[B8]/[B8’] – Disebut Rasulullah ﷺ tidak dihormati dan kedudukan masjid Allah juga tidak dihormati. Kedua-duanya (Rasulullah ﷺ dan masjid) adalah wakil bagi kekuasaan Allah ﷻ dan orang kafir tidak menghormatinya.

[B9]/[B9’] – Dua-dua bahagian ini menyebut tentang dakwaan Nasrani dan Yahudi. Di dalam [B9] mereka mengatakan hanya agama mereka sahaja yang selamat dan masuk ke dalam syurga. Akan tetapi di dalam [B9′] disebut pula yang mereka tuduh menuduh sesama sendiri. Sebenarnya dua-dua mereka salah dan nanti Allah ﷻ akan menghakimi mereka di akhirat. Hanya Islam sahaja agama yang benar.

[B10] – Di tengah-tengah antara kekufuran dan kedegilan Bani Israil, Allah ﷻ memberitahu tentang orang yang benar-benar beriman. Mereka inilah yang taat kepada Allah ﷻ dan beramal soleh, mereka inilah yang akan mendapat balasan baik daripada Allah ﷻ.

 

Jadi kita telah habis membincangkan dua Makro di dalam Surah ini. Makro Pertama tentang perbezaan antara Mukmin dan Musyrikin dan Makro Kedua adalah Teguran kepada Bani Israil.

Sekian Ruku’ 14 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 108 (Tanya soalan yang tidak patut)

Baqarah Ayat 108: Sekarang diberi lagi teguran kepada golongan Yahudi kerana kurang ajarnya mereka. Atau ia juga boleh diambil sebagai teguran kepada para sahabat. Jadi ia bukan sahaja kepada Yahudi akan tetapi kepada orang beriman juga. Maka kita juga mendapat pengajaran dari ayat ini.

أَم تُريدونَ أَن تَسأَلوا رَسولَكُم كَما سُئِلَ موسىٰ مِن قَبلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ الكُفرَ بِٱلإِيمَـٰنِ فَقَد ضَلَّ سَوآءَ السَّبيلِ

Sahih International

Or do you intend to ask your Messenger as Moses was asked before? And whoever exchanges faith for disbelief has certainly strayed from the soundness of the way.

Malay

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.

 

أَمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ

Adakah kamu hendak bertanya kepada Rasul kamu

Kurang ajarnya Yahudi itu kepada Nabi Muhammad seperti kurang ajarnya mereka kepada Nabi Musa dahulu. Mereka pernah meminta kepada Rasulullah untuk menurunkan keseluruhan Al-Qur’an kononnya sebagaimana Kitab Taurat telah diturunkan sekaligus. Ini kurang ajar namanya dan bukan sahaja mempersoalkan Nabi Muhammad, tapi mempersoalkan Allah sendiri!

Ini juga adalah teguran Allah ‎ﷻ kepada para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Kalimah تَسْأَلُوا boleh jadi menyoal atau meminta. Ada kalangan sahabat yang tanya soalan-soalan tentang perkara yang tidak berlaku. Hanya berkemungkinan sahaja ia berlaku. Mereka juga mungkin meminta kepada Rasulullah akan hal yang tidak patut. Antaranya mereka bertanya kepada baginda siapakah bapa mereka. Allah ‎ﷻ menegur perbuatan mereka ini kerana bertanya perkara yang sia-sia.

Kalau hendak kirakan kemungkinan, semua benda boleh menjadi kemungkinan. Dalam fiqh ini disebut iftiradi. Kalau hendak layan semua, jenuh untuk dijawab semua soalan-soalan itu. Perkara ini banyak ada terdapat di dalam kitab feqah. Semua perkara diperbincangkan sampai manusia menjadi pening. Sebagai contoh, adakah halal makan ikan duyung? Atau satu lagi: adakah terlepas kewajipan mandi mayat kalau mayat itu bangun sendiri dan memandikan dirinya? Bagaimana solat di bulan? Soalan-soalan sebegini tidak memberi keuntungan kerana ia tidak terjadi pun. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka supaya tak payah tanya soalan-soalan begitu.

Isu membincangkan hukum-hakam fiqh pada perkara yang belum berlaku merupakan satu perbahasan yang panjang dalam kalangan ulama, dan ia diistilahkan sebagai al-fiqh al-iftiradhi الفقه الافتراضي atau al-fiqh al-taqdiri الفقه التقدير. Ringkasnya, ia merupakan usaha para ulama untuk mengandaikan situasi, keadaan atau perkara yang mungkin akan berlaku, lalu menetapkan hukum baginya.

Menurut Muhammad bin al-Hasan al-Hijawi, pengasas bagi manhaj fiqh iftiradhi ini ialah Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit. Beliau banyak memikirkan masalah-masalah taqdiriyyah dan menjangka terjadinya perkara-perkara tertentu serta hukum-hakamnya, sama ada melalui qiyas atau meletakkannya di bawah al-‘umum. Dikatakan bahawa permasalahan taqdiriyyah atau iftiradhiyyah yang beliau susun mencapai bilangan 60 ribu, dan ada yang menyatakan sehingga 300 ribu permasalahan fiqh.

Namun demikian, terdapat ayat-ayat Al-Qur’an serta hadith-hadith yang pada zahirnya melarang fiqh iftiradhi ini. Allah SWT telah berfirman di dalam Maidah:101:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah melarang dari banyak bertanya tentang perkara-perkara yang belum diturunkan hukumnya dalam sabda Baginda SAW:

دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Cukuplah dengan apa yang telah aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa kerana terlalu banyak soalan mereka dan perselisihan mereka dengan para Nabi mereka. Apabila aku larang suatu perkara, tinggalkanlah, dan apabila aku perintahkan suatu perkara, lakukanlah dengan semampu yang mungkin.”
Sahih al-Bukhari (7288)

Teguran Allah tentang bertanya ini bukanlah semua soalan. Memang boleh bertanya dan banyak sahaja soalan yang telah dijawab Rasulullah dan menjadi ilmu bagi kita di kemudian hari. Kalau soalan yang memang hendakkan penjelasan, maka ini sangat dibolehkan malah digalakkan. Yang ditegur adalah permintaan yang bukan pada tempatnya atau soalan yang sengaja hendak merendahkan Nabi Muhammad dan agama seperti yang dilakukan oleh Yahudi itu. Kalau soalan yang baik, Allah pun memang suruh kita bertanya seperti disebut di dalam Nahl:43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Lihatlah sabda Nabi ﷺ dalam hal ini,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Akan tetapi tanyalah dengan baik dan beradab. Jangan tanya sengaja hendak menimbulkan kekecohan, atau bertanya soalan kerana hendak menguji ustaz. Atau bertanya perkara yang tidak perlu. Kadangkala susah ustaz cari jawapan dan kemudian kita tanya balik kenapa hendak tahu, dia cuma jawab ‘saja nak tahu’. Maknanya soalan itu tidak ada pun kepentingan kepadanya. Kena sedar bahawa para ustaz kita bukannya ‘mesin jawab soalan’. Kadangkala apabila ditanya terus hendak jawapan waktu itu juga, seolah-olah para ustaz kaunter pertanyaan pula dan tidak ada kerja lain.

Masyarakat kita kena tahu bahawa bertanya bukanlah cara belajar sebenarnya. Semua kita kena bermula dengan belajar dahulu, kemudian baru bertanya apa-apa yang tidak faham. Barulah senang diperjelaskan apa yang tidak difahami sahaja, bukannya sampai ustaz itu kena jelaskan dari perkara asas. Maknanya maklumat asas kena diketahui dahulu, kena masuk kelas dahulu, kena buat pembacaan dahulu.

 

كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِنْ قَبْلُ

sepertimana telah ditanya Nabi Musa sebelum ini? 

Allah menegur umat Islam jangan ikut perangai buruk golongan Yahudi. Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang perbuatan orang Yahudi kepada Nabi yang mereka sanjung dahulu – Nabi Musa عليه السلام. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام sendiri telah mereka sakiti dengan menanyakan soalan yang tidak patut. Antaranya mereka minta untuk melihat Allah dengan mata kepala mereka. Dan apabila disuruh sembelih lembu macam-macam mereka tanya. Mereka bertanya itu sebenarnya kerana mereka tidak mahu buat seperti mana yang disuruh. Bila disuruh buat sesuatu, mereka persoal: “Kenapa kena buat?” Sekarang mereka tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Perbuatan mereka ini sebenarnya menyakitkan hati Nabi Musa seperti disebut di dalam Saf:5

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?”

Rasulullah juga pernah disakiti hati baginda oleh umat baginda dan baginda memuji Nabi Musa seperti yang terdapat di dalam satu hadis,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا
Dari [Abdullah (Ibn Mas’ud)] dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah SAW.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih dari ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”
Sahih Bukhari (1759)

Sahabat-sahabat Nabi ﷺ juga ada tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara yang karut atau tidak berfaedah. Antaranya mereka tanya siapakah bapa mereka yang sebenarnya. Ini kerana mereka tidak pasti jikalau ayah mereka adalah ayah mereka yang sebenarnya disebabkan ibu mereka telah mempunyai lebih dari satu pasangan (ini semasa zaman Jahiliyah dulu di mana ia adalah perkara biasa). Perkara tersebut merupakan perkara biasa ketika itu semasa zaman jahiliah ketika penzinaan masih berleluasa. Jadi itu adalah soalan yang tidak elok. Itu adalah antara soalan yang membuang masa sahaja. Tidaklah patut soalan sebegitu ditanya kepada Nabi kerana tujuan Nabi Muhammad ﷺ bukanlah untuk menjawab perkara-perkara sebegitu. Banyak lagi tugas Nabi ﷺ di muka bumi ini. Nabi ﷺ tidak mempunyai banyak masa kerana baginda menjadi Rasul selama 23 tahun sahaja dan dalam waktu yang singkat itu baginda kena menyampaikan segala maklumat penting tentang agama. Jadi apabila mereka bertanya soalan yang tidak patut, maka ia hanyalah membuang masa Nabi ﷺ sahaja.

أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَذَكَرَ السَّاعَةَ وَذَكَرَ أَنَّ بَيْنَ يَدَيْهَا أُمُورًا عِظَامًا ثُمَّ قَالَ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَسْأَلَ عَنْ شَيْءٍ فَلْيَسْأَلْ عَنْهُ فَوَاللَّهِ لَا تَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَخْبَرْتُكُمْ بِهِ مَا دُمْتُ فِي مَقَامِي هَذَا قَالَ أَنَسٌ فَأَكْثَرَ النَّاسُ الْبُكَاءَ وَأَكْثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي فَقَالَ أَنَسٌ فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ فَقَالَ أَيْنَ مَدْخَلِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ النَّارُ فَقَامَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ حُذَافَةَ فَقَالَ مَنْ أَبِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَبُوكَ حُذَافَةُ قَالَ ثُمَّ أَكْثَرَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي سَلُونِي فَبَرَكَ عُمَرُ عَلَى رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ رَضِينَا بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولًا قَالَ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَالَ عُمَرُ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ عُرِضَتْ عَلَيَّ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ آنِفًا فِي عُرْضِ هَذَا الْحَائِطِ وَأَنَا أُصَلِّي فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ فِي الْخَيْرِ وَالشَّرِّ
Anas bin Malik radiallahuanhu berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berangkat ketika matahari telah miring, lalu baginda shalat zhuhur, selesai salam baginda berdiri di atas mimbar dan mengingatkan kiamat, baginda ceritakan bahawa menjelang kiamat terjadi peristiwa-peristiwa besar, kemudian berkata: “Siapa yang ingin bertanya sesuatu, silakan! Demi Allah, tidaklah kalian bertanya kepadaku tentang sesuatu, selain kuberitakan kepada kalian selama aku masih berada di tempatku ini.” Anas berkata, “Lantas orang-orang menangis teresak-esak dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyak bertanya: “Bertanyalah kalian kepadaku!” Anas melanjutkan, “Lantas ada seseorang berdiri menuju baginda dan bertanya, “Di manakah tempat tinggalku ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kamu di neraka.” Lantas Abdullah bin Khudzaifah berdiri dan bertanya, “Siapa ayahku ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ayahmu Hudzaifah.” Anas melanjutkan perkataannya, “Nabi memperbanyak bertanya: “Bertanyalah kalian kepadaku, bertanyalah kalian kepadaku.” Lantas Umar meletakkan kedua lututnya dan berkata, ‘Kami redha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama, dan Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Rasul.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lantas terdiam ketika Umar mengucapkan yang demikian. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Demi Dzat yang diriku berada di tangan-Nya, tadi telah diperlihatkan kepadaku syurga dan neraka di balik tembok ini ketika aku salat, dan belum pernah kulihat kebaikan dan keburukan seperti hari ini.”
Sahih Bukhari (6750)

Penerangan: Rasulullah berterusan suruh mereka bertanya itu kerana baginda sudah marah. Seolah-olah macam kalau kita kata begini: “ha tanyalah lagi! tanyalah lagi!”. Saidina Umar yang perasan Nabi telah marah maka kerana itu beliau telah memujuk baginda dengan melutut di hadapan baginda.

Satu lagi tafsir, kerana kita masih lagi dalam bahagian Surah Baqarah yang berkenaan Bani Israil, maka pertanyaan ini ditujukan kepada mereka. Kalau begitu, ayat ini adalah tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan رَسُولَكُمْ – Rasul kamu – kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul mereka sekarang. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu juga merupakan rasul mereka. Mereka sepatutnya telah menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul mereka, tetapi mereka yang tidak terima.

Dalam ayat sebelum ini, mereka mempersoalkan tentang Allah ‎ﷻ memansukhkan Kitab-kitab mereka dan hukum-hukum dalam agama. Kali ini mereka mempersoalkan tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ pula. Begitu juga yang mereka telah buat kepada Nabi Musa عليه السلام dahulu. Mereka mempersoalkan arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Mereka kata arahan itu dari Nabi Musa عليه السلام, bukan dari Allah ‎ﷻ.

Islam memang menggalakkan manusia bertanya untuk mendalami agama. Tetapi soalan mereka ini bukan soalan yang hendak mendalami agama. Contohnya ada jenis soalan yang baik seperti: Bagaimana cara hendak bayar zakat? Itu adalah soalan yang baik.

Tetapi berbeza pula dengan soalan: Kenapa kita kena bayar zakat pula? Itu soalan yang mempersoalkan kesahihan sesuatu hukum. Maka beginilah soalan yang mereka telah berikan dahulu kepada Nabi Musa عليه السلام. Kita telah belajar bagaimana mereka bertanya dan bertanya lagi tentang arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih lembu betina itu. Mereka tanya untuk memperolokkan arahan yang telah diberikan kepada mereka.

 

وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِٱلإِيمَـٰنِ

Dan sesiapa yang ingin tukar iman kepada kufur;

Iaitu mereka yang mengambil kufur, dengan menolak iman. Iaitu permintaan seperti hendak melihat Allah adalah perbuatan kufur. Ini kerana beriman kepada Allah adalah perkara hati, bukannya kerana boleh melihat dengan mata. Kalau hanya percaya setelah melihat, maka itu bukan iman namanya.

Begitu juga kalau soalan mereka adalah untuk mempersoalkan kedudukan Nabi, itu adalah perbuatan kufur. Mereka kena faham, mempersoalkan Rasul adalah sama juga mempersoalkan Allah ‎ﷻ. Ini kerana arahan yang Rasul sampaikan adalah dari Allah ‎ﷻ – bukannya dari diri rasul itu. Maka sesiapa yang mempersoalkan Allah ‎ﷻ, itu adalah tindakan kufur. Itulah makna ayat ini – mereka telah menukar iman dengan kekufuran dengan bertanya soalan yang mempersoalkan Nabi Muhammad ﷺ.

Zaman sekarang, banyak manusia yang mempersoalkan Nabi. Mereka kononnya terima Allah ‎ﷻ, tetapi tidak terima Nabi. Sebab itu ada kumpulan-kumpulan yang anti-hadith. Padahal, mereka tidak belajar hadith-hadith Nabi ﷺ itu (mereka setakat baca sahaja dan buat konklusi sendiri sedangkan bahasa Arab pun mereka tidak tahu). Mereka terus sangka bahawa hadith-hadith itu semua tidak boleh pakai kerana ia adalah kata-kata manusia. Mereka sangsi terhadap kebenaran hadith-hadith itu kerana disampaikan dari manusia kepada manusia yang lain, maka pada mereka tentulah adalah kesilapan. Mereka buat konklusi itu kerana mereka tidak ilmu hadith dan bagaimana ahli hadith amat-amat menjaga kesahihan dan mereka memastikan hadith yang disampaikan itu ada sanadnya. Dan kita boleh periksa kesahihan hadith dengan sanadnya.

Jadi memang terdapat fahaman yang amat bahaya seperti mereka itu. Ini kerana pendapat sebeginilah yang menyebabkan manusia menjadi sesat. Bagaimana kita hendak menerima Al-Qur’an tetapi tidak menerima Hadith Nabi, padahal hadith Nabi itu memperjelaskan apa yang ada dalam Al-Qur’an? Kita tidak akan faham apakah yang Allah ‎ﷻ maksudkan dalam ayat-ayat-Nya tanpa penjelasan dari Nabi ﷺ. Kita juga tidak tahu bagaimana hendak mengamalkan suruhan dalam Al-Qur’an kalau tidak ditunjukkan caranya oleh Nabi ﷺ. Bagaimana pula mereka boleh berkata mereka terima Al-Qur’an tetapi tidak terima Nabi ﷺ, sedangkan Al-Qur’an itu juga telah disampaikan melalui mulut Nabi ﷺ? Ini semua terjadi kerana mereka tidak belajar Al-Qur’an dan tidak belajar ilmu hadith. Padahal, dua perkara itu adalah sumber rujukan utama kepada manusia. Namun lihatlah bagaimana umat Islam sendiri amat jauh daripada dua sumber ini. Mereka langsung tidak ambil peduli tentang ilmu tafsir Al-Qur’an dan ilmu Hadith. Yang mereka belajar dan pegang dengan kuat adalah ajaran dari guru-guru mereka dan dari kitab-kitab karangan manusia.

 

فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ السَّبِيلِ

sesungguhnya telah sesat mereka itu dari jalan yang benar.

Ini kerana mereka tolak Nabi, mereka telah sesat jauh dari kebenaran. Allah ‎ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka yang berterusan menolak Nabi. Kalau tidak mahu memberi telinga mendengar dakwah dari Nabi dan penyeru Tauhid, maka akan ada masalah dengan iman nanti. Mereka yang tidak menjaga mulut mereka dari bertanya soalan yang tidak perlu, maka mereka itu berada dalam kedudukan yang bahaya. Di dalam sebuah hadith telah disebutkan:

“أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرّم فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ”
Orang muslim yang paling besar dosanya ialah seseorang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi diharamkan kerana pertanyaannya itu.
(Sahih Bukhari No. 7289)

Maka jangan kita ikut jejak langkah golongan Yahudi yang banyak bertanya perkara yang tidak patut. Allah telah berfirman di dalam Maidah:102

قَد سَأَلَها قَومٌ مِّن قَبلِكُم ثُمَّ أَصبَحوا بِها كٰفِرينَ
Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu menanyakan hal-hal yang serupa itu (kepada Nabi mereka), kemudian mereka kufur dengannya.

Para sahabat yang sudah memahami larangan bertanya itu telah mengambil pengajaran. Dan mereka menahan diri mereka dari bertanya kepada Nabi kalau tidak perlu. Mereka tunggu sahaja maklumat yang akan disampaikan oleh baginda. Tapi mereka suka kalau ada orang Badwi yang datang dari padang pasir bertanya kerana mereka dapat mendengar soalan dan jawapan dari Rasulullah,

عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ نُهِينَا فِي الْقُرْآنِ أَنْ نَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ فَكَانَ يُعْجِبُنَا أَنْ يَجِيءَ الرَّجُلُ الْعَاقِلُ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ فَيَسْأَلَهُ
Dari Tsabit dari Anas dia berkata; “Dalam Al Qur’an kami dilarang bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sesuatu. Sangat menakjubkan kami jika ada seorang yang berakal dari penduduk kampung hendak datang lalu bertanya kepada baginda.
Sunan An-Nasa’i No. 2064

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah