Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 (Syaitan Musuh Manusia) Part 2

إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang syaitan akan mengambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Ini kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat ke dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan melepaskan peluang kerana ia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan berbuat apa sahaja untuk menyesatkan manusia.

Ayat ini mengajar kita yang syaitan adalah punca kepada yang buruk. Seorang manusia mungkin asalnya baik tetapi dek kerana bisikan syaitan menyebabkan dia menjadi jahat. Begitulah sifat iblis yang telah menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari dahulu lagi. Semasa Allah ‎ﷻ hendak melantik Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai khalifah, iblis senyap sahaja tidak berkata apa-apa tetapi senyap-senyap dia menyimpan dendam terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka begitulah juga dengan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak cakap apa-apa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mereka simpan di dalam diri mereka, menunggu masa untuk meletup sahaja. Tidak tahu bila mereka akan mengambil tindakan. Kerana itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risau kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan mimpinya itu kerana mungkin itulah insiden yang akan menyebabkan abang-abangnya itu bertindak. Selama hari ini mereka simpan dalam hati sahaja.

Maka ini mengajar kita supaya jangan simpan rasa benci dan dendam dalam hati. Jangan biarkan syaitan membisikkan perasaan dengki ke dalam hati itu. Perkara itu akan digunakan oleh syaitan untuk merosakkan kita. Kejayaan sesiapa sahaja adalah pemberian daripada Allah ‎ﷻ, bukan hak kita untuk mempersoalkan. Kalau seseorang mendapat nikmat, itu mungkin kerana usaha dia, mungkin kerana Allah ‎ﷻ beri pada waktu itu dan pada waktu lain Allah ‎ﷻ tarik. Siapa kita untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ? Jangan hiraukan bisikan syaitan itu. Kita kena sedar yang syaitan sentiasa membisikkan benda-benda yang buruk ke dalam hati kita. Kalau kita sudah ada ilmu, maka kita senang perasan: “Ini bisikan syaitanlah ni… jangan layan!”.

Ia mengajar kita yang adik beradik kita tidak semestinya baik belaka. Mereka itu adalah dugaan daripada Allah ‎ﷻ kepada kita kerana kita bukannya boleh pilih adik beradik sepertimana kita pilih kawan-kawan. Sebagaimana mereka itu ujian bagi kita, jangan lupa kita juga ujian bagi mereka. Jangan perasan kita baik sangat. Kalau ada kekurangan pada mereka, biarlah dan bersabarlah kerana mungkin mereka sedang ditipu oleh syaitan. Kita doakan yang baik-baik sahaja. Bayangkan anak beranak Nabi pun boleh ditipu syaitan, apatah lagi kita? Tidak ada sesiapa yang selamat daripada diganggu syaitan. Ini adalah dalil anak-anak Nabi tidak maksum. Jadi kalau ada keturunan Habib sangka mereka maksum, itu adalah pemahaman yang sangat salah.

Begitulah jangan kita perasan ahli keluarga kita baik-baik belaka. Jangan kita pertahankan anak-anak kita kalau mereka telah melakukan kesalahan. Banyak kali bukan kita dengar kisah ibubapa dipanggil ke sekolah dan apabila guru kata anak mereka buat itu dan ini, emaknya akan pertahankan dengan kata: “Eh anak saya ni baik cikgu…. dia tak pandai buat salah!” Janganlah naif sangat kerana walaupun anda tidak ajar mereka buat jahat, syaitan ada untuk ajar mereka. Begitulah juga kalau seorang adik itu baik, tidak semestinya abangnya pun baik kerana sifat masing-masing. Belajarlah daripada kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang kenal anak-anaknya dan tidak naif.

Nabi Ya’qub menyebut tentang syaitan setelah menyebut tentang abang-abang Nabi Yusuf. Tapi Nabi Ya’qub tidak kata syaitan musuh kepada abang-abang itu tapi kepada semua manusia إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ. Jadi kita pun tidak terselamat dari syaitan. Maka ada baiknya kita bincangkan bagaimana syaitan menipu manusia. Contoh-contohnya telah ada di dalam Surah Yusuf ini. Dan kita boleh kaitkan dengan diri kita kerana contoh-contoh itu boleh sahaja terjadi kepada kita. Kisah-kisah ini akan kita apabila kita semakin masuk ke dalam tafsir surah ini nanti.

1. Pertamanya, syaitan membisikkan kecemburuan dalam diri abang-abang Nabi Yusuf itu. Cemburu juga adalah penyakit iblis, bukan? Iblis cemburu kerana merasakan Allah lebih sayang kepada Nabi Adam dari dirinya. Jadi syaitan membisikkan perkara yang sama kepada abang-abang itu (Ayah lagi sayang kat Yusuf ni… buat tak tahu kat kita dah….).

2. Yang kedua syaitan memusingkan konsep cinta. Iblis kononnya mahu berkhidmat kepada Allah dan mengharap cinta Allah. Tapi apabila dia rasa ada yang lebih baik darinya, dia tidak boleh terima. Jadi ia bukanlah sebenarnya mencari cinta Allah, tapi hendak menaikkan diri sendiri. Begitulah juga dengan abang-abang Nabi Yusuf itu. Mereka cakap dengan diri mereka yang apa yang mereka lakukan adalah kerana ayah, tapi sebenarnya untuk diri mereka.

3. Syaitan bagi nampak ringan sahaja dosa yang manusia lakukan. Apa yang telah dilakukan oleh abang-abang itu sangat berat, tapi mereka cakap macam ia tidak berat sangat. Mereka tenangkan diri mereka dengan kata, nanti adalah orang akan pungut dan selamatkan: يَلتَقِطهُ بَعضُ ٱلسَّيَّارَةِ (supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir) Ayat 10. Begitulah syaitan akan tipu manusia dengan menghiasi amalan buruknya supaya nampak baik seperti disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an seperti An’am:43

وَلٰكِن قَسَت قُلوبُهُم وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ ما كانوا يَعمَلونَ
Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.

4. Syaitan boleh bagi manusia hilang terus sifat rahmah, kasih sayang sesama manusia. Kita sebagai manusia sepatutnya kalau lihat orang susah, kita akan terus tolong, bukan? Tapi perhatikan bagaimana syaitan boleh hilangkan sifat rahmah dari abang-abang itu sampai mereka sanggup melakukan perkara yang teruk sekali kepada adik mereka sendiri! Begitulah syaitan boleh merosakkan manusia sampai begitu sekali.

5. Untuk menjalankan kerja terkutuk mereka itu, abang-abang itu telah menipu bapa mereka. Bapa yang mereka kononnya kata mereka sayang itu dan hendak mendapatkan cinta bapa mereka, selamba sahaja mereka tipu! Mereka kata mereka hendak bawa adik mereka bermain-main, tapi sebenarnya mereka hendak buang! Setelah mereka tinggalkan di dalam telaga, mereka balik ke rumah dengan pura-pura menangis! Begitulah syaitan ajar manusia menipu sampaikan sekarang kita pun tidak tahu orang yang di hadapan kita bercakap benar atau tidak.

6. Kemudian kita lihat para peniaga yang jumpa Nabi Yusuf di dalam telaga itu. Sepatutnya mereka selamatkan, tapi tidak. Kerana mereka nampak itu adalah peluang untuk buat duit dengan menjual budak yang nampak hebat itu. Allah sebut di dalam Ayat 19, وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً (Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan).

Ini selalu terjadi dalam dunia ini, bukan? Kita bukan tengok manusia lain sebagai insan, tapi kita melihat sebagai punca duit! Kalau di hospital, mereka suka kalau orang sakit lagi ramai sebab mereka boleh buat duit banyak. Syarikat farmasi ada ubat yang boleh menyembuhkan manusia, tapi mereka naikkan harga ubat beratus kali ganda kerana hendak untung. Tidak kisahlah pembeli ubat itu terpaksa jual rumah atau tanah, asalkan mereka dapat keuntungan besar. Guru-guru ada yang luluskan budak-budak yang gagal dalam peperiksaan kerana kalau mereka gagalkan, mereka juga kena jawap dengan Kementerian Pendidikan dan ini mengganggu punca pendapatan mereka. Jadi dapatlah kita mat rempit yang lulus periksa, tapi langsung tidak berguna kepada masyarakat. Begitulah syaitan mengelabui mata manusia supaya nampak manusia lain sebagai punca kewangan sahaja.

7. Menteri Al-Aziz dan ahli-ahli politik di Mesir juga di dalam tangan syaitan. Mereka akan kuasa dan mereka salah gunakan kuasa mereka itu. Al-Aziz itu pada peringkat awal kita perhatikan dia kagum dengan Nabi Yusuf dan dia berikan tempat tinggal kepada baginda. Tapi perbuatan baiknya itu adalah kerana kepentingan dirinya juga. Kalau betul dia sayang kepada Nabi Yusuf, tentu dia akan berusaha untuk tanya asal dari mana, kenapa jadi hamba dan kemudian pulangkan kembali Nabi Yusuf itu. Tapi tidak, bukan? Dan apabila Al-Aziz dan para menteri nampak skandal Nabi Yusuf dan isteri Al-Aziz itu boleh menggoncang kedudukan mereka, mereka terus sahaja penjarakan dan senyapkan Nabi Yusuf!

8. Al-Aziz itu tidak kisah pun isterinya duduk di rumah dengan Nabi Yusuf. Dia tidak menjaga ikhtilat di rumahnya. Padahal Nabi Yusuf itu punyalah kacak tapi dia biarkan sahaja dan tidak pandang penting pun perkara itu. Begitulah kita dalam hubungan kerja dan keluarga, kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini. Kadang-kadang ahli keluarga kita bercampur gaul walaupun mereka itu ajnabi, begitu juga keadaan di pejabat sampai ada hubungan tidak sihat antara isteri orang dan suami orang. Syaitan suruh kita abaikan perkara itu, tak perlu sibuk akan hubungan sebegitu, biarkan sahaja. Padahal perkara ini telah merosakkan rumahtangga, kehidupan dan keharmonian di dalam masyarakat.

9. Dan apabila skandal telah berlaku, apa yang yang Al-Aziz dan para menteri pentingkan? Mereka pentingkan kedudukan mereka! Al-Aziz apabila sudah tahu apa yang telah dilakukan oleh isterinya, apa dia cakap kepada Nabi Yusuf? يُوسُفُ أَعرِض عَن هَـٰذَا‌ۚ (Yusuf: “Berpalinglah daripada ini) Ayat 29. Kerana syaitan bisikkan kepadanya bahawa kedudukannya dan statusnya yang dipandang tinggi lebih baik dijaga dari menegakkan keadilan. Imej di mata manusia yang selalu dijaga manusia, walaupun ia menyebabkan ada orang yang terzalimi.

10. Sebagai seorang suami dan ketua keluarga, apakah tindakan Al-Aziz itu benar? Tentu tidak! Dia sepatutnya menangani perkara itu dengan memisahkan Nabi Yusuf dan isterinya. Tapi nanti kita akan perhatikan yang isterinya masih lagi boleh mengawal Nabi Yusuf, sampai mempamer beliau di hadapan isteri-isteri menteri yang lain!

Begitulah syaitan membisikkan kepada ketua keluarga supaya tidak buat apa-apa walaupun telah ada isu, skandal dan masalah di dalam keluarga. Syaitan akan suruh senyapkan sahaja supaya tak malu dengan orang kampung. Kalau anak perempuan belum berkahwin pun sudah terberanak, senyapkan sahaja, kata syaitan! Janji jangan malu dengan masyarakat, kata syaitan.

Bukan hanya ketua keluarga sahaja, tapi mana-mana ketua yang ada tanggungjawab untuk membetulkan isu yang timbul. Ini boleh jadi dalam negara, dalam komuniti, dalam tempat kerja malah di mana-mana sahaja.

11. Kemudian dari isteri Al-Aziz kita belajar tentang bisikan syaitan yang biasa terjadi iaitu berselingkuh. Yang ini berlaku zaman berzaman dan agaknya syaitan sudah pakar bagaimana hendak menggelincirkan manusia dalam hal ini. Tidak kira orang biasa atau orang agama, sama-sama boleh melakukan maksiat sebegini. Yang terjerumus itu bukannya tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah, tapi kerana mengikut perasaan, nafsu dan bisikan syaitan, mereka abaikan apa yang fikiran mereka nasihatkan. Fikiran akan nasihat, jangan buat ini monyet, tapi mereka tetap juga lakukan kerana desakan nafsu dan syaitan lebih kuat.

12. Tapi yang lebih teruk adalah bagaimana setelah isteri Al-Aziz itu dibongkarkan kesalahannya, dia tidak bertaubat terus tapi masih lagi menjalankan tipu helahnya. Dia tetap lagi hendakkan Nabi Yusuf dan malah mengugut Nabi Yusuf dengan penjara! Begitulah syaitan tidak membenarkan manusia bertaubat akan tetapi meneruskan kesalahan mereka. Alang-alang buat, kata syaitan.

13. Isteri Al-Aziz itu juga tidak menghormati suaminya. Mungkin ada yang dia tidak puas hati dengan suaminya, maka dia mencari ruang untuk melepaskan ketidakpuasan hatinya. Sepatutnya kalau tidak suka lagi dengan suami, tinggalkanlah, dan carilah suami lain yang lebih baik. Tapi dia tidak lakukan begitu kerana dia tetap mahukan kekayaan dan kesenangan dari harta suaminya. Begitulah ramai yang ada suami, tapi masih lagi mencari lelaki lain untuk memuaskan nafsu mereka. Suami juga ada buat begitu, isteri juga ada buat begitu. Sedangkan Islam mengajar harmoni di dalam hubungan suami isteri. Tapi syaitan akan sentiasa membisikkan supaya tidak suka sesama pasangan.

14. Setelah dia kantoi, dia telah menuduh Nabi Yusuf yang hendak merogol dia. Jadi menyalahkan orang lain adalah bisikan syaitan juga. Syaitan tidak suruh kita mengaku tapi syaitan akan suruh kita jaga nama kita dan salahkan orang lain. Persetankan kalau orang yang tidak bersalah dizalimi, asalkan nama baikmu terjaga!

15. Kadangkala orang yang telah ditangkap kerana melakukan kesalahan, mereka akan berubah. Ia menjadi titik perubahan bagi mereka kerana mereka tidak mahu melalui detik-detik menakutkan dan memalukan sebegitu. Akan tetapi bagi sesetengah orang, syaitan lagi membisikkan supaya orang itu menjadi lebih teruk. Orang yang menangkap dia yang dijadikan sebagai musuh dan dia bertindak lebih teruk dari sebelumnya. Begitulah yang terjadi kepada isteri Al-Aziz itu; dia melihat Nabi Yusuf yang menyebabkan dia malu, jadi dia telah merancang supaya baginda dipenjarakan.

16. Tapi salah Nabi Yusuf kepadanya? Tidak ada salah apa-apa pun, kerana baginda hanya mempertahankan diri baginda dan maruah baginda dan itu memang patut baginda lakukan. Tapi syaitan tetap membisikkan permusuhan ke dalam jiwa isteri Al-Aziz itu sampai dia menjadikan Nabi Yusuf sebagai musuhnya. Dan begitulah syaitan suka menimbulkan permusuhan di kalangan manusia. Syaitan suka kalau manusia berkelahi dan merosakkan sesama sendiri. Jadi syaitan akan membisikkan bibit-bibit permusuhan walaupun tidak ada pun sebenarnya.

17. Dan isteri itu rasa dia boleh lakukan rancangannya kerana dia rasa dia ada kuasa. Dia hendak apa yang dia mahu, dan kerana dia ada kuasa sedikit, dia hendak menguasai orang lain. Begitulah di dalam jiwa manusia dibisikkan dengan kehendak menguasai orang lain. Mereka rasa mereka berkuasa dan bernilai kalau orang lain kena dengar cakap dia, kena tunduk dan patuh. Mereka sudah tidak kira apakah kesan itu kepada orang yang mereka tekan itu, asalkan mereka dapat rasa berkuasa.

18. Kemudian kita akan berjumpa kisah isteri-isteri para menteri  yang lain. Mereka sibuk hendak tahu apa yang terjadi di rumah Al-Aziz itu. Kenapa sampai isteri Al-Aziz itu mahu berselingkuh dengan hamba sahayanya? Maka mereka pun berkumpul dan bercakap-cakap sesama mereka, menyibukkan diri dengan gosip. Dan begitulah cara syaitan memerangkap manusia, gosip. Sibuk memperkatakan tentang orang lain, sibuk mencari maklumat, sibuk memburukkan orang lain. Maka direkalah kisah-kisah yang tidak benar, dijaja kisah orang keliling kampung. Mereka sudah tidak kira maklumat itu betul atau tidak, tapi mereka sampaikan sahaja. Rosak masyarakat apabila manusia mendengar bisikan syaitan dan buat hal ini.

19. Dan kemudian syaitan membisikkan kepada mereka sampai mereka rasa merekalah yang terpaling suci. Mereka kata di dalam Ayat 30: إِنَّا لَنَرَٮٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ (Sesungguhnya kami memandangnya dalam ketidakwarasan yang nyata). Merasa diri paling suci adalah bahaya kerana kita akan memandang rendah orang lain dan rasa diri telah selamat. Kerana itu Allah berfirman di dalam Najm:72

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa)

Ini pun penyakit bagi orang agama. Mereka sentiasa menasihati orang lain, memandang kesalahan orang lain, sampai lupa dia pun tidak sempurna.

20. Seterusnya mereka mahu masuk ke rumah Al-Aziz itu untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Mereka hendak mencari-cari kesalahan isteri Al-Aziz itu. Maka inilah yang terjadi kepada ramai manusia yang mencari-cari kesalahan orang lain. Ini kerana mereka rasa mereka sudah baik dan suci, maka perlu pula dicari apakah kesalahan orang lain. Ini amat bahaya apabila menjaga tepi kain orang lain, dan Rasulullah telah menegur hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Abu Dawud dan Imam At-Tirmidzi daripada Abu Barzah Al-Aslami R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنِ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lidahnya namun iman belum masuk ke dalam hatinya! Janganlah kamu mengumpat orang Islam dan janganlah kamu mencari-cari keaiban mereka. Kerana sesiapa yang mencari-cari keaiban mereka, Allah akan mencari keaibannya. Dan sesiapa yang Allah cari keaibannya, Allah akan mendedahkan keaibannya (memalukannya) walaupun di dalam rumahnya sendiri.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud, no. 4880 — Dinilai Sahih)

Jadi ini menyebabkan ramai orang mahu masuk ke rumah orang lain, hanya untuk cari keburukan tuan rumah itu dan rumahnya! Saya pernah mendengar nasihat yang baik. Nasihatnya begini: “Kalau engkau pergi ke rumah orang dan perasan rumah itu kotor, ada habuk, ada sampah sana dan sini, jangan lagi pergi ke rumah itu” Kenapa tak boleh pergi ke rumah itu? Sebab rumah itu kotor? “Tidak, sebab hati engkau yang kotor! Orang sudah jemput engkau ke rumahnya, beri engkau makan, melayan engkau dengan baik…. tapi yang engkau perasan adalah kotornya rumah itu!”.

21. Kita pun sudah tahu kejadian di rumah itu apabila para wanita itu nampak Nabi Yusuf. Mereka pun jadi gatal, sudah lupa diri dek melihat ketampanan baginda sampai terluka jari mereka kerana tidak sedar diri. Padahal, mereka ini kumpulan aristokrat, isteri para pembesar negara yang selalunya menjaga penampilan mereka, bukan? Begitulah manusia, apabila bersama dengan orang yang tidak malu, masing-masing sudah jadi tidak malu. Di hadapan orang kebanyakan, di khalayak ramai, mereka jaga maruah mereka kononnya. Tapi apabila di kalangan geng-geng sama jenis mereka, sudah hilang rasa malu kerana masing-masing tahu keburukan masing-masing dan selera masing-masing! Syaitan akan kata: relekslah… kau dengan geng sekarang… boleh buat apa yang kau hendak buat!

Sebab itu wanita yang selalunya berpakaian sopan, apabila di pantai peranginan dan semua orang buka aurat, mereka sudah tidak segan lagi untuk buka aurat. Kadang orang yang baik, tapi bila masuk ke kelab malam dan semua orang terkinja-kinja menari, mereka pun sudah tidak segan lagi. Begitulah syaitan suka suasana di mana maksiat berleluasa kerana syaitan tahu, manusia yang selalunya tidak buat maksiat pun akan senang buat maksiat di dalam keadaan sebegitu.

22. Setelah Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, para isteri itu pun tahu yang baginda tidak bersalah langsung. Tapi tidak seorang pun cakap apa-apa untuk menyelamatkan baginda. Mereka tutup mulut kerana takut bocor rahsia, takut nama mereka terpalit, takut nanti kawan-kawan marah dan boikot pula nanti. Syaitan akan bisikkan supaya manusia membisukan diri dalam keadaan sebegini. Syaitan tidak benarkan manusia menyatakan kebenaran. Syaitan suruh manusia lebih pentingkan kedudukan daripada menyatakan kebenaran.

23. Di dalam penjara Nabi Yusuf telah berdakwah dan mengingatkan dua orang banduan tentang Allah, tentang agama. Tapi mereka tidak disebut telah beriman. Begitulah manusia, ramai yang diberi peringatan tapi mereka buat bodoh, buat tak dengar sahaja. Kerana mereka hendak hidup seperti cara hidup mereka sekarang; kalau mula hendak beragama, sudah susah pula nanti, kena solat, kena jadi baik. Jadi para pendakwah datang dan pergi, sikit pun mereka tidak hiraukan. Syaitan akan pekakkan telinga mereka dari mendengar kebenaran. Kalau mereka dengar pun, syaitan akan sibukkan mereka dengan hal lain supaya mereka lupa apa yang mereka dengar itu.

24. Setelah salah seorang banduan itu selamat keluar dari penjara, dia buat tidak ingat sahaja akan permintaan Nabi Yusuf. Padahal Nabi Yusuf telah berlaku baik kepadanya, tapi bertahun dia lupa dan abaikan permintaan Nabi Yusuf itu. Akhirnya yang mengingatkan dia balik adalah raja sendiri yang bertanya ta’bir mimpinya. Begitulah syaitan akan bagi kita lupa akan jasa orang lain, melupakan kita untuk berbuat baik kepada orang lain. Syaitan suruh pentingkan diri sendiri sahaja, asalkan kita selamat, makan pakai semua cukup, tak perlu hirau tentang orang lain.

25. Dan setelah raja bertanya siapa boleh ta’bir mimpi, dia kata dia tahu. Dia tidak cakap terus tentang Nabi Yusuf. Kemudian dia pergi jumpa Nabi Yusuf dan bertanya apakah ta’bir mimpi itu. Dia bukan hendak selamatkan Nabi Yusuf. Tapi dia hendak gunakan ilmu Nabi Yusuf itu untuk menaikkan namanya, menaikkan pangkatnya. Begitulah kita kadangkala dibisik oleh syaitan untuk ambil hasil usaha orang dan jadikan ia sebagai usaha kita untuk menguntungkan kita. Kita plagiat hasil usaha orang, tesis orang, kerja orang, tanpa beri kredit kepada orang itu.

 

Syaitan adalah Musuh yang Nyata

Kenapa syaitan dikatakan musuh yang nyata sedangkan mereka itu ghaib pada pandangan kita? Dalam ayat 1 telah disebut ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ dan sekarang syaitan pula yang مُبينِ? Jadi kena faham bahawa bukanlah sifat syaitan sama macam Al-Qur’an pula. Maksud مُبينِ bagi syaitan itu adalah permusuhan mereka yang jelas, bukannya mereka yang jelas.

1. Kerana mereka tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap anak Adam. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, kadangkala kita tidak tahu pun mereka musuh kerana mereka menyembunyikannya dan tidak mengaku. Akan tetapi iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka syaitan tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.

2. Manusia pertama iaitu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun iblis sudah cuba sesatkan dan berjaya menyebabkan baginda diturunkan dari syurga. Jadi bukan calang-calang penipuan mereka kerana Nabi yang bijak pun boleh tertipu.

3. Maknanya mereka tidak buang masa menipu manusia, malah bermula dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi mereka telah menipu. Jadi adakah anda sangka mereka akan berhenti?

4. Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Oleh kerana ramainya mereka, kita pun tentu susah hendak melawan syaitan yang ramai.

5. Kalau bermusuhan dengan manusia, ada yang lama-lama tidak bermusuhan lagi dan malah ada yang jadi kawan pula. Namun tidak sama sekali dengan syaitan; dengan mereka bukannya boleh bawa bincang.

6. Kalau musuh dalam kalangan manusia, mereka pun tidaklah sentiasa bermusuhan dengan kita. Mereka juga perlu kerja, makan dan sebagainya. Akan tetapi syaitan tidak ada masa rehat untuk mereka menipu dan menyesatkan kita kerana mereka bukannya ada kerja menjadi cikgu, jurutera dan peguam. Memang kerja sepenuh masa mereka adalah menipu manusia.

7. Kalau musuh manusia yang zahir, senanglah kita lawan mereka dan mengelak daripada mereka. Akan tetapi kalau daripada syaitan bangsa jin yang kita tidak nampak, bagaimana kita hendak perasan mereka sedang menipu kita?

8. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.

Bunyi macam hebat pula puak-puak syaitan ini, bukan? Maka bolehkah kita selamat daripada mereka? Dengan izin Allah ‎ﷻ, boleh. Kita kena belajar agama untuk kita kawal diri kita supaya tidak terus terjebak dengan bisikan syaitan. Jangan kita anggap mereka kuat kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang tipudaya mereka lemah seperti disebut di dalam Nisa’:76

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.

Maka soalan yang lebih patut ditanya adalah bagaimana hendak mengelak daripada ditipu oleh syaitan? Allah ‎ﷻ ajar di dalam Baqarah:208,

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Di dalam ayat ini mengandungi juga kalimat إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ dan sebelum itu Allah ‎ﷻ sebut tentang ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً. Maka amalkan keseluruhan agama Islam tanpa tinggalkan satu pun. Jangan solat tetapi tidak puasa, jangan belajar tentang Tauhid tetapi tidak belajar tentang adab, jangan amalkan suruhan dalam Al-Qur’an tetapi tidak belajar sunnah. Ini kerana kalau kita tidak belajar keseluruhan agama Islam dan mengamalkannya, maka syaitan akan ada peluang untuk menipu kita di bahagian yang kita tidak belajar dan amalkan.

Setelah mendengar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberitahu hal itu kepada abang-abangnya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semakin berhati-hati menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidak meninggalkannya siang atau malam. Akan tetapi itu hanyalah usaha baginda sahaja dan kita akan lihat nanti baginda tidak dapat menyelamatkan pun anaknya Yusuf itu. Begitulah kadang-kadang jaga macam mana pun, namun takdir Allah ‎ﷻ mendahului. Bandingkan dengan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusaha menjaga keselamatan anaknya dari dibunuh, dan berjaya pula. Semuanya di dalam takdir Allah ‎ﷻ.

Soalan Kuiz

Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah panggilan yang digunakan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan apakah maknanya?
  2. Mengapakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tidak menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya?
  3. Bagaimanakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diketahui sebagai seorang ayah yang “model contoh”?
  4. Apakah perbezaan antara “كيد” (kaid) dan “مكر” (makr) dalam konteks tafsiran ini?
  5. Apakah maksud hadis Nabi Muhammad ﷺ yang menyarankan untuk “meminta pertolongan untuk kejayaan hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya”?
  6. Sebutkan tiga jenis mimpi yang dijelaskan dalam hadith Nabi Muhammad ﷺ.
  7. Mengapakah mimpi para Nabi dianggap sebagai wahyu?
  8. Bagaimanakah syaitan mengganggu mimpi manusia? Berikan satu contoh.
  9. Walaupun syaitan tidak kelihatan, mengapa ia disebut sebagai “musuh yang nyata” bagi manusia?
  10. Bagaimanakah seseorang dapat mengelak daripada ditipu oleh syaitan menurut Surah Al-Baqarah ayat 208?

Glosari Istilah Penting

  • Tashghir: Bentuk perkecilan dalam bahasa Arab yang digunakan untuk menunjukkan kelembutan, kasih sayang, atau merujuk kepada sesuatu yang kecil.
  • Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat Al-Quran.
  • Ghibah: Mengumpat atau membicarakan keburukan orang lain di belakang mereka, yang diharamkan dalam Islam melainkan dalam keadaan tertentu.
  • Dengki (Hasad): Perasaan iri hati atau benci terhadap nikmat yang diperoleh orang lain, dengan keinginan agar nikmat itu hilang daripada mereka.
  • Wahyu: Petunjuk atau ilham daripada Allah yang disampaikan kepada para Nabi.
  • Sanad: Rangkaian perawi hadith yang menyampaikan riwayat dari sumber asalnya hingga kepada penulis hadith.
  • Dha’if: Status hadith yang lemah disebabkan terdapat masalah pada sanadnya atau perawinya.
  • Sahih: Status hadith yang kukuh dan dipercayai kesahihannya, memenuhi kriteria yang ketat.
  • Hasan: Status hadith yang baik, sedikit kurang dari sahih tetapi masih boleh diterima sebagai hujah.
  • Maksum: Bebas daripada dosa atau kesalahan, biasanya dikaitkan dengan para Nabi dan Rasul dalam Islam.
  • كَيد (Kaid): Rancangan atau tipu daya, boleh jadi untuk kebaikan atau kejahatan, dan seringkali melibatkan banyak langkah.
  • مكر (Makr): Rancangan jahat atau tipu daya khusus untuk merosakkan seseorang.
  • Al-Albani: Ulama hadith kontemporari yang terkenal dengan penilaian hadithnya.
  • Bani Israil: Keturunan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, merujuk kepada bangsa Yahudi.
  • Bani Ismail: Keturunan Nabi Ismail, عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merujuk kepada bangsa Arab, termasuk Nabi Muhammad ﷺ.
  • Takfir: Mengkafirkan atau menuduh seseorang sebagai kafir.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Mei 2026

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment